Tuesday, January 31, 2012

Underworld: Awakening

Melangkah bergaya kembali membinasakan jembalang tanah

Dalam bulan ini pun, ada sebuah lagi filem yang tajuknya mengandungi Awakening juga ditayangkan. Tapi aku tak tengok pula yang itu. Berdasarkan sinopsis yang aku baca, filem tersebut turut melibatkan unsur-unsur alam ghaib dan hantu. Manakala Underworld: Awakening ini, sudah pastilah membabitkan elemen puntianak, makhluk aneh dan aneka mistikal yang bersangkut-paut dengannya secara total. Ingatkan mereka sudah tidak lagi membuat sambungan filem ini setelah Underworld: Rise of the Lycans tidak mengembalikan Kate Beckinsale ke dalam francais itu. Namun polisi hasil yang menguntungkan wajar diteruskan menjadi pegangan, maka kita pun dapat mengikuti sekuel ini keluar. Malah ia lebih bermakna lagi apabila heroin bersut hitam melekap kita muncul semula untuk memuaskan peminat kental.

Kalau anda memang tak pernah langsung menonton Underworld sebelum ini, ada ditunjukkan recap kisah-kisah yang berlaku di siri terdahulu untuk menyegarkan kembali minda anda yang sudah tepu dengan perkataan puntianak atau serigala jadian. Walaupun secara ringkas, sedikit-sebanyak maklumat awal itu berguna untuk membuatkan anda sekurang-kurangnya peduli dengan malapetaka yang menimpa wirawati kita ini. Menonton Underworld edisi terbaru ini mengingatkan aku kepada Daybreakers. Persamaan dari segi dunia di kongsi oleh manusia biasa dan puntianak serta pembasmian makhluk macam ada mirip sikit-sikit. Gabungan realiti atas tanah bersama hidupan alam mistik tersebut yang terlihat mempunyai potensi jalan cerita yang boleh dikembangkan lagi berupaya untuk memacu minat penggemar supaya terus menantikan sambungannya kelak. Malah hint sudah di bagi pada akhir durasi tentang sesuatu yang melarikan diri daripada mereka perlu untuk di selesaikan dalam episod baru.

Underworld kali ini mungkin berjaya untuk mengembalikan kepercayaan terhadapnya setelah Beckinsale muncul semula bertarung dan membelasah setiap seteru yang ada. Tetapi watak Micheal yang pernah tampil dalam dua filem terawal walaupun turut hadir kali ini cuma ia sedikit ralat apabila pelakon asalnya Scott Speedman menolak untuk terlibat dalam versi terbaru ini. Kewujudan karektor anak kepada Selene (dilakonkan Beckinsale) dan Michael juga di lihat strategi untuk memanjangkan lagi usia produksi tersebut. Seringkali filem dengan genre begini akan keluar dengan jalan cerita yang boleh di tebak dan agak lazim. Jadi mereka mesti kareograf aksi lasak dan pertempuran yang lebih kreatif untuk menimbal kekurangan tadi.

Friday, January 27, 2012

Journey 2: The Mysterious Island


Bakat misteri sebidang dada

Hiburan adalah matlamat filem ini di tonton. Bukannya mahu sangat mengharap cerita yang bersungguh mantap dan padu di bikin. Sekadar melayan fantasi kembara sesuai si cilik ataupun yang dewasa berhati anak-anak dan tidak mahu serabut berfikir. Ini merupakan sekuel kepada Journey to the Centre of the Earth yang tidak kembalikan pelakon asalnya sama kecuali Josh Hutcherson. Mengangkat beberapa naskhah klasik novel advencer terkenal sebagai rangka, filem ini sesuai untuk menghidupkan imaginasi bagi sesiapa yang pernah membaca karya-karya yang didasarkan itu.

Kalau perasaan anda masih tidak dapat mengelak daripada membandingkan antara versi ini dengan filem pertamanya, sudah pasti yang awal itu lebih bagus. Sedangkan menonton dalam format biasa pun sudah melonjak naik ketakjuban melihat atmosfera di “pusat bumi“ dengan imej geografi dan hidupan serta marabahaya yang dicetuskan menerusi paparan cerita yang baik dan bertenaga. Manakala Journey 2 ini tidak begitu rancak cabaran pengembaraan yang para pelakon itu jalani sebab macam penulisnya malas saja nak reka bentuk cerita yang lebih menggemparkan. Namun tahniah buat mereka kerana tampil dengan idea teknik The Rock ajar anak tirinya mengorat melalui cara menggerak-gerakkan dada. Satu panggung tergelak besar.

Sebelum tayangan bermula, seperti biasa kita ditunjukkan dengan trailer beberapa filem. Dua yang aku tertarik ialah filem di ambil berdasarkan kisah dongeng barat popular. Pertama, Snow White and the Huntsman. Manakala satu lagi ialah Jack the Giant Killer. Dengan tajuk Show White tanpa tujuh orang kerdil dan Jack tanpa pokok kacang, kita saksikan sendiri ilham semula cerita rakyat dengan barisan pelakon terkenal serta bajet yang lebih banyak di beri sentuhan baru kali ini.

Wednesday, January 25, 2012

7 Khoon Maaf

Jenis: Dvd
Bahasa: Hindi/Inggeris
Genre: Drama/Misteri/Thriller

Menonton filem ini membuatkan aku teringat kisah Nek Wook. Bukanlah maksud aku jalan cerita dia sama sebijik macam tu cuma ia sinonim darihal perempuan berkahwin banyak tersebut. Beberapa berita dan info yang aku baca dari internet turut menokok satu-dua maklumat lain yang tidak dapat disahkan tentang sejarah perkahwinan warga emas itu yang lepas-lepas. Sehingga kepada rumahtangga beliau yang terbaru dengan lelaki tujuh puluh tahun lebih muda daripadanya, hidup nenek ini masih di landa masalah. Setelah berkahwin 23 kali, Nek Wook nampaknya belum lagi bertemu lelaki yang betul-betul boleh membahagiakannya.

Manakala Susanna Anna-Marie Johannes lakonan Priyanka Copra dalam filem ini pun juga mengalami rentetan majlis perkahwinan yang banyak kerana dilema yang sama. Dia belum berjumpa dengan lelaki yang sesuai untuk dijadikan teman sehidup sematinya. Sehidup? Ya. Semati? Err... ada risiko yang melibatkan suami-suami Susanna jika dia mendapati kemudiannya bahawa hidup selepas mengahwini mereka tidak seindah yang diharapkan. Sejak kecil wanita kaya ini sudah kematian ayah maka dia mendambakan seorang lelaki yang bertanggungjawab untuk melindunginya. Tetapi kebanyakan pilihan yang jatuh ke tangannya adalah jenis berperangai buruk, bertopengkan haiwan dan ada muslihat.

Di petik daripada sebuah cerpen, 7 Khoon Maaf menyorot kronologi kehidupan wanita ini dan setiap perkahwinannya melalui kacamata budak lelaki gelandangan yang dijadikan anak angkat di rumah agamnya itu. Di awal cerita ditunjukkan adegan Susanna ini membunuh diri dan Arun, budak tersebut yang kini sudah dewasa dan menjadi doktor, melakukan bedah siasat ke atas mayat terbabit. Dia melakukan tugasan itu dengan penuh terseksa dan begitu banyak kecamuk melanda jiwa. Selama naratif filem berputar, semakin kita boleh memahami konflik emosi yang melanda doktor muda itu sejak daripada awal hidup bersama perempuan penuh citra yang selalu tersungkur dalam pemburuan cinta sedangkan kita tahu insan sebenar yang mampu menawarkan semua itu terbatas oleh situasi yang rumit.

Filem ini memang milik Priyanka yang telah membuat persembahan muktamad untuk menzahirkan watak wanita berkuasa namun goyah dan licik seperti Susanna. Tidak ketinggalan nama-nama gah pelakon-pelakon lelaki yang hadir ibarat cameo dalam hidupnya turut memberi sokongan seimbang. Paling cemerlang ialah aksi pelakon pembantu sebagai amah dan babu di rumah besar itu yang sangat menggerakkan jalan cerita. Dvd ini tidak menawarkan apa-apa tambahan selain bahagian bab lagu untuk anda ulang balik kerana lagu Russia itu sedap juga di dengar kembali.

Thursday, January 19, 2012

The Beaver


Jodie: Cute gak menatang Beaver ni
Mel@Beaver: Aku bukan binatanglah, aku puppet

Sesekali muncul idea yang pelik dari kilang filem tersohor dunia itu. Tetapi masih terasa rasional dan munasabah kerana digambarkan watak utama tersebut mengalami masalah tekanan dalaman yang kronik. Kalau orang Jepun atau Korea yang menggarap cerita macam ni, tentu lagi aneh dan tak karuan jadi hasilnya. Orang gila atau yang di sangka begitu boleh di eksploitasi mewujudkan kisah yang kuat. Apatah lagi bertepatan pelakon utama yang memerankan karektor ini pun sedang berdepan konflik kejiwaannya tersendiri di luar layar.

Jika kaitkan dengan kisah peribadi Mel Gibson yang pemarah dan kaki pukul ini, kita mungkin boleh menerima faktor mental yang kurang stabil itu seperti Walter Black yang di pegangnya (atau patung Beaver yang dalam genggamannya itu) bahawa itu semua adalah natijah kepada apa yang terjadi. Sebuah boneka perlu menjadi alat untuk mengesahkan kepada faktor psikologi yang dihadapinya ketika itu walaupun ia hanya bahan buangan dari tong sampah. Semua orang perlu dicerahkan dengan maklumat yang penting ini, keluarga, rakan sekerja hatta seluruh masyarakat secara umumnya sepatutnya harus bertoleransi dengan aspek minda yang kompleks dan lucu juga kadang-kadang sedangkan dalam hati rasa ganjil dan terkesima.

Walter wakilkan seluruh jiwa dan jasadnya kepada makhluk daripada keluarga tikus itu. Biarpun kita nampak beliau sendiri yang bercakap apabila beaver itu menggerakkan mulutnya (tangan Walter sendiri yang buat, of course) tetapi mereka yang disekelilingnya perlu terima kewujudan patung ini dan berinteraksi dengannya kerana Walter secara realitinya sudah hirap dan yang ada hanya watak puppet itu yang sahih lagi nyata. Kenapa susah sangat orang untuk mengakui bahawa beaver itu yang dominan di sini dan masih ingin bercakap-cakap dengan Walter juga? Apakah mereka semua sudah gila?

Kegilaan bukan warisan. Ini adalah trauma buat anak sulungnya Porter yang muncul sub-plot untuk membawa sisi lain persembahan ini. Nyaris tergelincir ke jurang nestapa, Porter membawa mesej optimis bahawa dengan sokongan moral yang wajar, sesiapa yang seolah ada potensi merosakkan diri, boleh bangkit kembali. Walau jengkel dengan pengakhiran manis bergula, well, kita semua mengharapkan akal waras sebagai imbangan jalani pancaroba hidup.

Friday, January 13, 2012

The Darkest Hour


"Jangan tembak! Kami hanyalah orang Amerika"

Filem ini mengumpan nama Timur Bekmambetov yang juga salah seorang penerbitnya sebagai faktor penarik penonton. Kalau anda memilih untuk menonton filem ini kerana pelakon-pelakonnya, tiada siapa sangat yang betul-betul superstar di sini kecuali beberapa nama yang biasa terlihat seperti Emile Hirsch (Speed Racer) dan Max Minghella (The Social Network). Atau anda terkesan dengan sinopsisnya yang berkisarkan ancaman makhluk asing ke atas planet bumi yang membawa kekacauan. Atau pun anda tertarik dengan sedutan trailer yang memaparkan beberapa aksi luar biasa manusia di cerna suatu entiti halimunan lantas menjadi lebur berdebu.

Jadi, Timur adalah proksi yang berkuasa di sini yang cuba mengalih perhatian arus perdana Hollywood dalam sebuah genre fiksyen sains bertemakan hidupan angkasa lepas ke Moscow, sebuah lokasi yang janggal untuk tema begini melainkan ia lebih sinonim untuk para antagonis, doktrin yang ekstrem dan tempat himpunan pengganas berkomplot menghancurkan dunia. Beliau yang mula-mula di beri perhatian ekoran inovasi yang diberikan terhadap karya sai-fainya Day Watch dan Night Watch yang memikat studio besar di situ untuk mendapatkan khidmat kreatifnya dalam projek mendatang. Setelah mengarahkan Wanted, Timur menyalurkan penglibatan lebih kecil di dalam The Darkest Hour yang hasilnya juga sekadar cukup makan tanpa sebarang pengisian baharu yang boleh dikecapi.

Aku salahkan pihak promosinya yang kemaruk sangat untuk menghamburkan segala kandungan yang menarik dan aksi getir dalam trailernya sampai kepada filem sebenar, sudah tidak banyak bahagian yang mengujakan tertinggal lagi. Imej fizikal hidupan di basmikan oleh lembaga ghaib itu memang faktor penggerak yang baik malah ia idea seram yang boleh diperluaskan kerana bertolak dari situ banyak potensi yang dapat dikembangkan menjadi satu cerita fantasi sains yang berupaya menakutkan.

Sebaliknya The Darkest Hour menjadi sangat klise dan terlalu cepat penyelesaiannya sedangkan pada permulaan makhluk kejam itu ingin mendarat, macam banyak saja jumlah mereka di angkasa. Sudah tentu kita mengharapkan para survivors kita ini berjuang secara maksimum untuk mengatasi musuh mereka dalam skala yang tidak terkira itu. Tapi penulisnya lebih memberatkan mereka supaya bertindak untuk lari ke kedutaan Amerika dan berharap mereka dapat tumpang berteduh. Aku fikir penulis memang sengaja ingin menyindir orang Amerika betapa di saat bumi di landa serangan makhluk asing paling binasa sekali pun, mana-mana premis yang mempunyai kepentingan Amerika adalah masih selamat dan sila bersegera memohon perlindungan di sana ya.

Tuesday, January 10, 2012

Maharaja Lawak Mega

Dalam pada tengah mencari idea nak tulis apa dalam blog ni, aku terbelek-belek beberapa draf tulisan yang pernah aku rangka tetapi aku tidak paparkan di sini, tiba-tiba terjumpa bahawa aku pernah tulis pasal Abon! Isinya ialah seperti di bawah berdasarkan berita bertarikh 30 Jun, tahun 2005.

“Tatkala membaca artikel tentang Abon dalam Utusan Malaysia hari ini (walaupun agak surprise mendapati dia sebenarnya bukan Jawa sementelah itu menjadi trade-mark beliau dalam lakonan – No, that’s not my concern here] apabila beliau memberikan maklumat seperti di bawah.

[Abon mula berlakon ketika bertugas di DBP pada 1979. Katanya, ketika itu setiap kali DBP menerbitkan buku baru, kakitangan DBP di minta menjayakan teater untuk mempromosikan buku tersebut.

Hari Terakhir Seorang Seniman dan Salina merupakan antara teater yang pernah dijayakan oleh Abon sepanjang dia bertugas di DBP.]“

Rasanya aku tulis artikel seciput tu pasal aku tertarik dengan kaedah DBP yang menganjurkan pementasan teater yang diadaptasikan daripada buku yang baru di lancar sebagai strategi untuk memasarkan buku tersebut. Tetapi aku tiada banyak input untuk mengembangkan tulisan itu lantas ia mati begitu saja. Namun memandangkan popularnya Abon sekarang sejak menang Maharaja Lawak Mega bergandingan dengan Os, ok jugalah aku ambil balik draf tu dan buat cerita pasal Abon.

Sebenarnya aku pernah buat entry pasal aku tengok show di auditorium DBKL pada 27 Julai, 2004 dan salah seorang artis yang di jemput ialah Abon yang bertindak selaku pelawak pada konsert itu. Memang aku puji aksi jenaka stand-up komedi yang beliau buat ketika itu kerana ia sungguh bertenaga, kelakar dan terkawal malah tidak perlu untuk bergaya slapstik atau mekap seperti wanita sebagai bahan. Bukan macam sketsa yang beliau persembahkan tatkala bertanding dalam program realiti itu yang saban minggu ada saja lawak berpakaian dan menjadi perempuan yang beliau dan pasangan tampilkan.

Di dalam satu interviu di buat dengan Abon oleh Astro, beliau menegaskan bahawa taktik berlawak dengan memakai kostum wanita dan berlagak lembut seperti itu kerana ia senang untuk mendapat perhatian penonton. Jadi mereka perlu aplikasikan tema begini supaya sokongan dan perhatian kepada tim mereka akan meningkat. Kalau buat komedi yang intelektual dan smart, bimbang orang tak boleh terima.

Aku harap bakal-bakal peserta Raja Lawak musim terbaru nanti tidak akan menggunakan strategi yang serupa untuk memancing undi kerana ia hanya akan merencatkan kreativiti dan pembentukkan minda yang progresif. Sepatutnya ada lebih banyak bidang dan genre jenaka yang dapat di teroka dan mereka boleh menggunakan platform ini bagi mendidik penonton untuk mengecap dan menghargai variasi komedi yang lebih berisi, kreatif dan berhemah. Jika stigma "Ini yang orang ramai mahu" terus dijadikan kayu ukur, kualiti lawak sebegitu hanya layak di sambut dengan senyuman sinis.

Tuesday, December 27, 2011

Mission Impossible Ghost Protocol

Dulu, semasa pawagam Imax masih bertapak di Berjaya Times Square, aku tak terfikir pula nak pergi menonton apa-apa filem di situ. Mungkin sebab mahal. Atau mungkin kerana aku tidak merasa perlu untuk mengikuti sebuah tontonan melalui skrin yang luas lebar dengan imej begitu jelas terperinci. Aku yang selalu gagap teknologi ini seakan sebal apabila kita kena bergantung pula kepada gajet dan perkakasan bagi menjual sebuah cerita yang sepatutnya sudah boleh berfungsi sendiri. Hanya akan merabakkan poket pengguna saja. Namun itu dulu. Kini aku sebagai peminat filem, patut juga menokok pengalaman bermesra dengan panggung yang di lengkapi peranti audio visual spektakular yang tiada seumpamanya di sinema lain. Misi itu terlaksana bersama ejen Hunt dan rakan sepasukan di dewan teater Imax TGV Sunway Pyramid.

Tatkala masuk saja terus terpukau dengan permukaan skrin teramat besar yang memenuhi dinding depan. Hanya agak mengganggu dengan kepala penonton hadapan jika mereka itu tinggi. Satu masalah TGV Sunway ni ialah tempat duduk mereka agak curam. Prestasi gambar bagi aku sama saja dengan format 2D yang terang nyata dan jitu kualitinya seperti pernah aku alami dulu. Cuma bezanya diameter layar yang melaut luasnya adalah bonus bagi mereka yang menonton secara Imax ini. Sistem audionya juga lebih berkuasa dan adakalanya rasa bergegarlah juga sikit kesan daripada muzik latar kuat pada adegan tertentu.

Ini merupakan siri Mission Impossible pertama yang sesetengah futej di rakam menggunakan kamera Imax. Menurut pengarahnya, Brad Bird menerusi format Imax, beliau percaya tahap aksi persembahan filem-filem Hollywood mampu melonjak kembali yang kian hilang akhir-akhir ini angkara penayangan filem di multiplex berbanding dalam bangunan panggung seperti zaman dahulu. Aku tak dapatlah nak berkongsi sentimen yang sama macam Bird sebab faktor utama yang membuatkan aku ke pawagam ialah mesti ia jenis cerita yang aku suka. Lokasi atau karektor panggung tu, ia tak menjadi hal. Mungkin sebagai pengkarya, beliau mahu mengecap sesuatu yang lebih utopia dalam seni krafnya. Lagipun MI:Ghost Protocol ini pula merupakan arahan pertamanya yang melibatkan orang hidup. Selama ini asyik dengan animasi.

Sebagai filem live-action yang pertama, Bird memang telah menjalankan kerja yang cemerlang. Ini mengingatkan kita dengan The Incredibles yang memuatkan tema serupa dengan sekumpulan perisik/superhero yang mahu menumpaskan penjenayah/saintis psycho. Tom Cruise telah kembali mengerah fizikal dan naluri melakukan lagak ngeri sendiri dan berlari (memang banyak berlari!) membuktikan usia meningkat bukan penghalang. Tapi aku baca dalam trivia imdb, membawa masuk Jeremy Renner adalah pra-perkenalan kepada ejen tersebut yang mungkin bakal mengepalai misi seterusnya jika Cruise berhasrat untuk aktif di belakang tabir saja. Terus-terang aku memang berpuas hati dengan instalasi terbaru serta di tambah pula dengan menontonnya di pawagam Imax. Suatu penutup hujung tahun yang wow.

Thursday, December 15, 2011

Festival Human Rights in Outer Space

Setelah membaca promosi dalam blog Fadz, minggu lepas aku pun ke Annexe, Pasar Seni untuk mengikuti filem-filem yang ditunjukkan sempena festival Human Rights in Outer Space anjuran Sisters in Islam & Centre for Independent Journalism. Walaupun selepas sesi tayangan ada diskusi dan dialog tetapi aku tidak tunggu sidang perbincangan itu. Jadi aku hanya dapat mengulas filem yang aku tengok itu berdasarkan pemahaman aku yang sekelumit ini. Sebelum wayang bermula, ada petugas menjaja kacang ngan yin manalah tahu ada penonton yang nak mengunyah sambil menonton.

Gie.

Sudah lama mendengar tentang filem yang hebat ini dan baru sekarang aku dapat saksikan. Mungkin apa yang bermain di fikiran sesetengah penonton apabila melihat babak si Gie ini berjalan kaki yang ala lenggang mak limah itu akan membuat andaian tertentu terhadap peribadinya. Apatah lagi digambarkan beliau seakan pasif terhadap perempuan dan adegan beliau dengan kawan karib lelakinya berlari-lari di gigi pantai kerap di imbas kembali. Ok, itu mungkin sudut atau latar lain aktivis ini yang mahu diketengahkan oleh penulis cerita yang ingin berkongsi segala sisi yang perlu kepada umum.

Jika anda hanya tahu sepintas lalu tentang sejarah pemerintahan Indonesia, maka naskhah ini seolah mengulang tentang secebis pengetahuan anda itu dalam bentuk dramatisasi. Kita di bawa menyorot susur-galur Gie atau Soe Hok Gie, lakonan Nicholas Saputra sejak dari kanak-kanak ke remaja hidup sebagai seorang Cina di negara tersebut yang begitu vokal dan tegas menyuarakan pendapatnya sama ada menerusi akhbar atau forum terbuka seputar ehwal politik setempat. Filem ini di pilih sebagai mengambil aspirasi daripada semangat Gie yang begitu lantang, proaktif dan kritis tatkala bergelar mahasiswa pada satu era yang sungguh mencabar di nusantara.



Inside Job

Filem ini akan lebih benar-benar berkesan jika anda mengetahui dengan mendalam tentang krisis kewangan yang melanda seantero dunia pada 2008 yang lepas. Macam aku yang hanya membaca maklumat dan mendengar berita secara sepintas lalu berkenaan isu tersebut, tentulah ia tidak berapa membantu tatkala menonton dokumentari berkisarkan konflik ini yang sarat info, data dan terminologi. Mungkin kalau ada sarikata ia sedikit mudah. Namun aku berbangga kerana berjaya menghasut dua orang kawan yang dalam kategori penonton tipikal filem-filem blockbuster untuk beralih selera sekejap dengan mengikuti dokumentari ini sampai habis. Walaupun mereka mengaku rasa terdera menonton filem ini, hey, sekurang-kurangnya mereka telah mendapat ilmu baru.

Ilmu yang di kongsi menerusi Inside Job ini adalah mengenai sektor kewangan, pasaran saham dan dunia bisnes yang melibatkan para pelabur, tokoh korporat, ahli politik, para intelektual, kerajaan antarabangsa dan firma terkemuka. Jadi, apa dan bagaimana kaitan mereka semua ini boleh menyebabkan ekonomi boleh menjadi merudum dan lumpuh? Testimoni dan penjelasan panjang lebar telah berjaya di perolehi dan ada pula individu terlibat yang enggan ditemuramah sekaligus bagai mensahihkan teori konspirasi. Namun situasi filem ini yang lebih menjurus kepada senario di Amerika yang masih berlarutan sehingga sekarang ibarat susunan domino yang kita tahu kesannya apabila jatuh satu maka jatuh semua.



The Stoning of Soraya M

Dengan tajuk berbunyi “The Stoning of Soraya M“, sesiapa pun akan timbul rasa intrig untuk menontonnya. Apatah lagi tatkala polemik hukum hudud sedang hangat berlegar sudah tentu ia sekurang-kurangnya boleh menjadi salah-satu medium bagi kita meninjau aspek komponen undang-undang ini di tafsir, di analisis dan di praktis oleh suatu kelompok masyarakat yang mendokongnya menerusi filem yang berdasarkan kisah benar ini. Sejauh mana insiden tersebut menepati kejadian asalnya, kita cuma mampu bergantung kepada mesej yang berjaya di seludup keluar oleh ibu saudara mangsa kepada seorang lelaki asing yang terkandas di pekan tersebut sehari selepas anak saudara perempuannya di rejam. Dan benarlah jika begitu bentuk simulasi hukuman tersebut dilaksanakan, memang kita akan gentar untuk membuat apa jenis kesalahan pun.

Tapi jika begitu pula proses dan prosedur undang-undang itu akan di kuatkuasa, ia pasti akan menimbulkan pertikaian, tohmahan dan salah faham. Kanun Islam itu telah di beri pendekatan yang sempit, lemah dan sungguh prejudis. Ya, aku bersetuju ia boleh dieksploitasi sebagai strategi kempen pilihanraya yang manipulatif. Di sebalik subjek tentang hudud dan eksekusinya, filem ini juga menjadi lambang emansipasi dua wanita iaitu emak dan anak saudara untuk bersuara dan berusaha lepas daripada strata adat resam setempat yang selalu diasosiasikan dengan hukum-hakam agama.

Sunday, December 11, 2011

The Dirty Picture

Melihat pada tajuknya yang kalau diterjemahkan menjadi Tayangan Gambar Kotor/Lucah, apakah agaknya yang bermain di benak akan kandungan filem ini jika kita tidak tahu-menahu tentang sinopsisnya? Posternya juga di kira agak provokatif untuk di pamer secara terbuka dan meluas sebagai tatapan masyarakat umum. Ia memang menjadi isu di sana apabila terbaca artikel yang aktres utamanya Vidya Balan akan dikenakan tindakan atas dakwaan berposing secara tunasusila pada poster dan promo yang boleh mencemar minda khalayak serta mendatangkan korup kepada penduduk. Dalam konteks komuniti di sana yang masih konservatif dan rigid apabila melibatkan aksi atau imej wanita, terdapat seorang aktres dengan beraninya telah melanggar benteng tabu untuk mencipta nama dengan cara yang tersendiri dalam dunia perfileman wilayah selatan India.

Dia yang dimaksudkan ialah Silk (lakonan Vidya). Sebuah nama pentas yang di beri secara spontan oleh seorang produser yang tertarik dengan bakatnya (atau badannya?) daripada cebisan futej yang telah di buang oleh pengarah filem yang merasa jengkel dengan adegan libasan cemeti yang membabitkan Silk di dalam produksinya. Namun pengarah tersebut, Abraham (Emraan Hashmi) yang digambarkan mempunyai hubungan suka-benci dengan pelakon berkenaan juga merupakan narrator kepada The Dirty Picture ini yang merekodkan kronologi kerjaya seorang pelakon yang begitu kontroversi dalam sejarah perfileman Tamil pada dekad 80-an. Abraham yang lebih cenderung kepada filem bercorak art-house tidak dapat berkompromi dengan kemunculan Silk dalam industri mereka yang tidak lebih sebagai gimik murahan pelaris panggung dengan kebolehan tidak seberapa cuma harapkan susuk tubuh menggiurkan sebagai daya penarik.

Aku yang memang tidak tahu menahu langsung mengenai kewujudan Silk Smitha ini hanya mampu berharap pada hasil tulisan Rajat Arora bagi menterjemahkan kehidupan seorang seniwati simbol seks di depan dan di belakang tabir yang di buat secara penuh dramatik seperti acuan filem-filem tipikal India. Dengan unsur tarian dan lagu yang masih terkawal serta suara latar Emraan yang menerangkan senario yang berlaku dalam nada berfalsafah, skripnya memang kuat kerana dialog yang padat berkias dan berisi, kalau secara realitinya memang begitu cara si Silk ini berkata-kata, memang boleh tersiat pedih mendengarnya. Apatah lagi tatkala berucap ketika menerima anugerah dalam satu majlis, memang dia menyelar habis-habisan kelompok insan seni di sana yang seakan terhina dan jelek dengan hadirnya dia dalam industri filem Tamil tapi masih berminat untuk mengeksploitasi khidmat serta pengaruhnya sama ada bagi aspek komersil atau pun keperluan peribadi.

Filem biografi ini memang bersifat universal bagi memotretkan jatuh bangun seorang anak seni yang bermula dengan taktik begitu manipulatif namun berkesan untuk dia mengejar cita-citanya. Ia mewakili sekian banyak manusia yang menaruh impian yang sama dan mencekup apa saja peluang yang ada serta mempertaruhkan apa jua hatta kehormatan diri sekalipun untuk bergelar bintang. Malah corak bisnes perfileman ini dijalankan juga sangat mirip dengan negara kita sendiri yang para produser ini begitu berorientasikan kutipan jualan tiket. Mereka tidak pedulikan dengan faktor seni atau filem yang berbudaya untuk di angkat sebagai bahan cerita sebaliknya dengan tampilnya individu seperti Silk yang sanggup mengangkang dan terselak depan kamera, itulah umpan mencari untung dengan prinsip dangkal mendakwa itulah sebenarnya hiburan, hiburan dan hiburan.

Friday, December 09, 2011

Petaling Street Warriors

Tengok ini kalau

1) Anda adalah peminat kental filem-filem karya James Lee

2) Anda curious nak tahu apakah benar Petaling Street dulu mempunyai pahlawan? Dan jika ada, macam manakah rupa gaya pahlawan tersebut?

3) Memang suka benar anda jika ada watak-watak lelaki berpakaian perempuan atau watak ala-ala nyah ni. Kelakar sangat dan anda akan gelak tak hengat bila melihat mereka muncul tak kiralah di panggung wayang atau di mana-mana

Jangan tengok ini jika

1) Anda tak boleh dengar nama Namewee. Apatah lagi nak menyokong sebarang media yang ada kena-mengena dengan nama itu. Pantang bebenor...

2) Anda ingin mengetahui asal-usul bagaimana Petaling Street boleh terkenal sebagai tempat penjualan barangan cetak rompak dan lain-lain komoditi pasar lambak

3) Anda bersikap perkauman

Wednesday, December 07, 2011

Happy Feet Two

Terasa macam ada sesuatu yang kurang pada Happy Feet 2 ini. Mungkin sebab segalanya telah dimuatkan dalam filem pertama jadi sudah tiada idea yang mantap lagi untuk di garap. Tentang isu pemanasan global yang menyebabkan habitat penguin tersebut terjejas turut di ulang kali ini cuma nampaknya ia menjadi plot utama untuk sekuel ini. Tetapi Ice Age 2 sudah melakukannya melalui senario zaman ais berakhir dengan lebih efektif. Malah beberapa topik yang serius dan relevan sudah di teroka menerusi Happy Feet terawal jadi apa yang tinggal untuk sekuel ini?

Tidak dinafikan betapa burung yang tak boleh terbang ini sangat comel, gebu dan sedap di dakap. Memang ketara para penganimasi itu telah melakukan kerja yang cemerlang dalam memperhalusi dan kemasan imej grafik filem ini supaya memukau pancaindera. Di bantu oleh muzik dan lagu yang boleh tahan catchy cuma ia tidak cukup kuat untuk diingati. Paling tidak boleh di terima ialah jalan cerita yang sungguh kering. Padahal filem susulan ini mengambil masa lima tahun untuk di sambung. Sempat saja kalau nak brainstorm dan gagas ilham sebanyaknya dan cipta sesuatu yang lebih segar melibatkan penguin-penguin ini.

Penonton baru mungkin boleh berseronok dengan kisah Mumble yang sudah berkelamin dengan Gloria sehingga di kurniakan seekor Erik. Masalah mungkin di situ kerana konflik yang mahu dicetuskan menerusi Erik ini sudah jadi tidak berbekas atau menyentuh hati. Berbanding dengan Mumble dulu yang begitu tragis dan penuh pancaroba yang dilalui bersama keunikan yang ada pada dirinya serta survival yang perlu kaumnya tempuhi adalah epik. Sedangkan Erik hidup di iklim kutub yang semakin merosot maka milieu mereka juga patut lebih katastrofe.

Mungkin motif sebenar mereka ingin menjual merchandise hasil karektor daripada filem ini dan produk-produk berkaitan dengan tujuan mendapat untung segera. Pedulikanlah untuk merangka plot yang lebih matang dan menjana minda asalkan ia boleh disiapkan kerana tradisi menghasilkan sekuel bagi filem animasi mesti diteruskan. Jika mereka ada niat untuk terbitkan bahagian ketiga pula nanti tanpa menitikberatkan isi cerita, eloklah jika ia dipasarkan terus dalam bentuk dvd.

Tuesday, November 29, 2011

Misteri Jalan Lama

Filem ini terperap hanpir dua tahun kerana ingin memperhalusi teknik imej janaan komputer yang diaplikasi pada beberapa adegannya. Hasilnya? Err... mungkin masih kelihatan amatur. Terutama akar-akar pokok yang menjalar itu. Inspirasi daripada Evil Dead? Dan hujan durian ketika di dusun yang tidak nampak sebati dengan latar. Namun semua itu boleh di pandang enteng. Cuma yang tak boleh blah pasal kostum mereka. Puak bunian yang di panggil kaum Nian tu, aku memang tak sanggup tengok pakaian yang digayakan oleh mereka semua tu. Terutama baju Que Haidar.

Siapa punya idea pakai persalinan mirip baju besi perang salib dengan replika tetek di dada dan siap ada pusat bersama perut buncit? Sangat kelakar dan pening. Diserikan pula dengan kain pelikat ala songket sebagai samping sebagai memberi penghormatan kepada dunia Melayu agaknya. Dastar yang dipakai juga tidak terserlah kehebatannya kerana nampak murah. Serba-serbinya busana perang mereka memang kelihatan lekeh dan merungsingkan.

Hanya puak Ghaul yang sangat berjaya dengan mekap dan kostum penjahat meyakinkan bahawa mereka memang lahabau. Juga shot-shot kemunculan seimbas lalu beberapa bayangan ngeri yang menimpa watak utamanya juga berupaya menakutkan. Sebenarnya orang kampung tanpa muka itu pun tidak kurang seramnya. Jadi, adakah Misteri Jalan Lama ini lebih berkuasa sebagai filem seram atau filem alam fantasi? Aku lebih suka jika ia boleh berdiri sebagai cerita hantu daripada menjadi kisah dunia kayangan atau sai-fai umpama Jula-Juli Bintang Tiga atau Anita Dunia Ajaib.

Aku respek dengan Afdlin Shauki kerana ingin memperluaskan portfolionya dengan mengarah filem genre begini. Tetapi apa salahnya jika Misteri Jalan Lama ini boleh diberi sentuhan filem seram yang tak kisahlah jika ia terikut-ikut dengan arus pasaran tempatan kerana ketara ia lebih berpotensi ke situ. Lebih-lebih lagi tajuknya sendiri sudah memberikan tonasi yang ia bakal meremangkan bulu roma. Penonton yang terpedaya dengan judul filem yang ada misteri itu mungkin akan merengus tak puas hati.

Sunday, November 20, 2011

My Brother's Summer

Permulaan filem ini agak mendadak sampai aku ingatkan pemain dvd gsc tu rosak atau apa. (Ya, untuk tayangan slot filem-filem Eropah ini, mereka gunakan dvd player macam di rumah kamu semua itu). Tiba-tiba saja keluar adegan budak-budak berebut pistol dan seorang emak memarahi anaknya dan menyuruh dia berkongsi saja senjata mainan tersebut. Dalam pada itu, di selang-seli dengan kredit pembukaan yang membuatkan kita yakin bahawa filem terbabit berada di landasan yang betul. Aku telah membaca terlebih dahulu sinopsisnya dan aku tahu ini memang ceritanya yang akan aku suka.

Sergio adalah seorang anak tunggal yang memiliki alam yang tersendiri di dalam kepalanya. Dia akan menzahirkan hampir apa saja situasi atau aktiviti yang berlaku di sekelilingnya mengikut interpretasi yang dia mahu. Dan selalunya ia sangat komikal dan comel. Contohnya apabila dia mengangkut tangga ke halaman di waktu malam dan berlakon turun dari tangga itu perlahan-lahan berlagak gaya seorang angkasawan yang sedang dalam misi mendarat di bulan. Terbaik. Cuma adakalanya imaginasi itu bertukar menjadi ekstrem bergantung kepada faktor semulajadi yang tercetus misalnya tatkala ibunya baru saja lepas keguguran dan itu merenggut emosi paling dalam bagi dirinya sehingga aku rasa aksi kreatifnya itu tidak berupaya lagi di dakwa sebagai cute sebaliknya ia menjadi sadis dan morbid.

Memang My Brother’s Summer ada berlapis humor gelap yang menuntut penonton mendekati seorang kanak-kanak yang di label sebagai anti-sosial hanya kerana dia kelihatan kurang mesra atau jarang terlibat bersama rakan sebaya sebaliknya lebih banyak bersendirian dan asyik beraksi bersama teman halimunan. Beberapa karektor dewasa yang berpusing di sekitarnya seperti ibu bapa dan saudara-mara kelihatan berperanan seperti orang tua yang normal dan membentuk anak itu seperti asuhan yang biasa layaknya dengan sesekali marah dan sayang serta prihatin macam sebuah keluarga yang lazim. Filem Itali ini bergerak pada skop keluarga kecil itu yang di landa konflik yang juga kecil skalanya walau isunya boleh jadi serius jika ia menjadi luar kawalan cuma pendekatan yang diambilnya membuatkan ia lebih realistik.

Budak yang menjadi Sergio itu memang berjaya sebagai kanak-kanak penyendiri yang lebih suka tenggalam dalam dunia fantasinya. Dia yang walaupun tidak berapa betah bergaul tetapi apabila berada di sekeliling sebilangan orang, masih sanggup menawarkan interaksi yang ikhlas dan menyenangkan. Sampai kita menganggap yang dia menyarung beberapa topeng pada mukanya untuk disesuaikan pada keadaan supaya itu membuatkan dia di terima walaupun dalam benaknya asyik membayangkan yang bukan-bukan. Filem dengan kapasiti mengungkap kejiwaan si cilik yang di sangka polos namun mampu menjadi bom jangka.

Thursday, November 17, 2011

Immortals

Sebelum anda dapat melihat beliau menjadi lelaki keluli, kenali dahulu beliau sebagai lelaki mitologi dalam Immortals. Pengarah Tarsem Singh memperjudikan nasib mengemukakan Henry Cavill, thespian paling malang di Hollywood yang selalu gagal dalam ujibakat untuk memegang peranan sebagai pahlawan legenda Greek, watak utama untuk filem barunya itu setelah agak lama tidak keluar dengan apa-apa produk. Tidak tersangka pula selepas itu Cavill berjaya dalam percubaan buat kesekian kalinya bagi bergelar superman apabila karektor adiwira itu akan menjalani reboot untuk tayangan 2013. Nama tersebut tiba-tiba menjadi strategi pemasaran tidak langsung bagi Immortals menarik khalayak berpesta darah dan keringat dalam sebuah lagi epik pedang dan sandal.

Aku tahu nama Tarsem ni bila seorang kawan yang giat mempromosi The Cell suruh aku tengok kerana baginya filem itu sungguh unik bersemarak warna, kaya fantasi dan rekaan set yang tinggi imaginasi. Apabila beliau membuat kemunculan kembali dengan Immortals ini kita boleh jangka tona filem ini juga akan sarat dengan trade-mark beliau yang segala-galanya kelihatan serba megah. Mungkin juga ini sebagai mengambil inspirasi atau penghormatan bagi produksi negara asalnya yang terkenal selalu ekstravaganza dan penuh dramatik.

Filem ini bersandarkan pada metos yang di olah secara liberal, menggunakan beberapa nama dan peristiwa yang mahsyur dalam hikayat sebagai lesen untuk mereka merangka sebuah kisah yang sepatutnya maskular. Selain tubuh Theseus (Cavill) dan lain-lain watak yang peragakan otot perkasa, sayang sekali ceritanya tidak begitu. Ia mendapat hentaman yang teruk kerana tafsiran semula yang melulu dan plot terlalu biasa serta dialog tidak berbekas yang boleh di buat slogan terutama ketika Theseus memberi kata-kata perangsang kepada askar-askarnya sepatutnya ada ucapan yang dapat dijadikan tagline. Malah tiada apa dalam Immortals dapat diingati selain keghairahan Tarsem bermain dengan aspek visual supaya ia kelihatan bergaya dan di luar dari dunia ini.

Lakon layar filem ini di tulis oleh adik-beradik Charley dan Vlas Parlapanides yang berketurunan Greek sendiri yang mungkin secara tiba-tiba mendapat ilham lantas menceduk beberapa naratif klasik yang mereka tahu lalu menggabungkannya menjadi satu metos lain yang hanya mereka faham rasionalnya. Di saat negara itu sekarang yang sedang di ancam muflis angkara kewangan merudum mengandaikan bahawa pada realitinya mereka juga mahu menulis balik cara mengendalikan ekonomi mereka supaya krisis tersebut tidak berlaku. Jadi dengan mengambil jalan mudah, Immortals bolehlah juga dijadikan motivasi supaya rakyatnya kekal bertahan menghadapi kemelut ini supaya mereka kebal dan boleh hidup lama untuk mengatasinya walaupun hasil akhir filem itu sendiri tidaklah memuaskan.

Tuesday, November 15, 2011

Luxemburg USA

Aku tak pasti negara Luxembourg ni terselit kat celah mana di benua Eropah. Walaupun namanya biasa di dengar tetapi tidak pernah pula ingin di ambil tahu. Menurut maklumat, ia merupakan negara kecil yang kaya dan stabil di kepung oleh Jerman, Perancis dan Belgium. Namun, suatu masa dahulu ia bukanlah sebuah wilayah yang mewah untuk didiami. Ramai penduduk asal sana telah meninggalkan kampung halaman mereka untuk berhijrah ke dunia baru yang di panggil Amerika Syarikat.

Jadi aku yang jenis tak memilih ni, tertengok dokumentari ini yang tersenarai dalam salah satu filem yang ditayangkan sempena EUFF 2011 di gsc. Cerita tentang sekelompok komuniti yang berasal dari sebuah kerajaan terpencil di seberang Atlantik mendiami di beberapa daerah di pedalaman di sebuah kawasan yang mereka gelar tanahair baru buat mereka kini.

Filem ini di buat oleh Christophe Wagner yang berasal dari Luxembourg mengunjungi tempat yang mempunyai nama yang sama dengan negaranya itu di Amerika. Banyak sesi temuramah dan penggambaran dijalankan di beberapa lokasi yang ada kaitan dengan sejarah dan warisan tinggalan para imigran yang mula-mula meneroka penempatan di sekitar tengah negara tersebut. Dokumentari ini tiada suara latar cuma bunyi penemubual bertanya soalan-soalan seputar hal relevan serta visual pemandangan luar bandar yang permai serta aktiviti anak cucu cicit generasi terkini berketurunan Luxembourg ini dalam memulihara dan menghargai (atau tidak) pusaka nenek moyang mereka seperti bahasa, budaya dan lain-lain memorabilia.

Mana-mana bangsa atau marga akan tertanya-tanya tentang suku kaum mereka yang berselerak di diaspora yang asing dari bumi asal mereka. Misalnya orang Portugis di Portugal tentu teringin menjejaki susur-galur mereka yang ramai bermukim di Melaka atau nusantara ini. Seperti Wagner sendiri yang membikin filem ini untuk meninjau dan menelusuri sebahagian daripada populasinya yang hilang suatu ketika dahulu demi mencari penghidupan baru yang lebih makmur di sebuah benua yang jauhnya beribu batu.

Friday, November 11, 2011

Empat Secara Ringkas

Di sini ada empat filem yang baru aku tonton dan ada juga yang dah lama. Tulis ringkas sajalah sebab tak ada banyak benda nak diperkatakan.

1. Trespass

Ini sebuah drama tebusan kitar semula yang tidak menawarkan apa-apa yang baru. Filem ini cuma bersandarkan nama-nama besar pelakonnya dan pengarah yang memang biasa kita dengar mengetengahkan genre aksi lasak. Sepatutnya kita boleh mendapat faedah daripada sub-plot pada babak imbas kembali yang boleh menlonjakkan draf ceritanya daripada menjadi terlalu lemah. Ini diburukkan lagi dengan penamat ala-Hollywood yang mereka masih tidak jemu sogokkan pada kita. Saguhati hanya di beri pada binaan dan deko rumah yang penuh berkelas.



2. Don't Be Afraid of The Dark

Memang terasa ada persamaan antara filem ini dengan lain-lain filem garapan Guillermo del Toro seperti Pans Labyrinth dan The Orphanage walaupun tidak sehebat dua yang terawal itu. Rumah atau kediaman menjadi objek yang masih di pilih sebagai pasak kepada kerangka cerita yang ingin dikembangkan. Cuma ia tiada magis yang diharapkan seperti sepatutnya. Serba-serbi klise kisah seram terhambur melengkapkan filem. Mentang-mentanglah ini bikinan semula jadi usaha yang lebih tidak perlu untuk memantapkannya.



3. In Time

Menonton filem ini membuatkan aku teringat pada Equilibrium. Kedua-duanya bercorak sains fiksyen walaupun In Time mempunyai latar yang lebih dekat dengan realiti hanya Equilibrium menawarkan gaya dan plot yang lebih impresif. Mengambil motif masa menjadi matawang pada zaman akan datang bagaikan ironi yang cuba disahkan sebagai pepatah moden yang biasa kita dengar. Sayangnya ia tidak di sokong jalan cerita konkrit dan cuma menerbitkan lebih banyak kemusykilan. Equilibrium pula dengan idea, emosi adalah di larang pada dunia masa depan mengukuhkannya dengan struktur penceritaan bertenaga dan boleh diyakini.



4. Shark Night

Kumpulkan segerombolan remaja dan jebakkan mereka pada suatu kejadian malang, aku tidak serik menyertai sama. Menghimbau kenangan Jaws menyerang pawagam satu ketika dahulu, sudah agak lama mamalia pemangsa ini tidak membuatkan kemunculan setelah Deep Blue Sea. Bukan aku ingin berat sebelah, tapi filem ni masih ada kisah yang agak menarik walaupun tidaklah baru. Yang penting ia sudah pasti menghiburkan. Dalam pada anda tekun mengikuti Shark Week di tv, sila bagi peluang pada Shark Night.

Monday, October 31, 2011

Paranormal Activity 3

Formula yang menjadi bagi mengaut pulangan besar sempena Halloween ini wajib diteruskan. Untuk berapa banyak lagi siri, itu tidak dapat nak cakap. Tapi jika berdasarkan kutipan pecah panggung yang berjaya di raih kali ini sehingga mengatasi pencapaian filem awalannya, ia sesuatu yang sudah pasti akan berlaku. Prekuel? Sekuel? Namakan apa saja istilah yang di pakai untuk produk susulan nanti, fenomena Paranormal Activity akan berlanjutan untuk suatu jangkamasa yang lama. Termasuk aku juga yang masih lagi bersedia untuk ditakutkan oleh sebuah kamera tangkapan sendiri.

Tontonan anda akan lebih berkesan jika mengimbas balik dua filem terawal supaya lebih waspada. Kalau macam aku yang malas ni, aku hanya membaca sinopsis yang sedia ada di internet. Tak ada masa nak tengok semula dua filem terdahulu. Atau mungkin itu semua tidak perlu? Nanti lebih banyak persoalan timbul dan terperasan beberapa fakta bercanggah. Filem yang di dakwa sebagai permulaan kepada semua aktiviti separuh normal yang telah dimomokkan kepada kita ini tiada asas cerita yang kukuh.

Bagi yang tidak prihatin tentang francais Paranormal Activity ini mungkin boleh berhibur seadanya dengan sekadar tertunggu-tunggu aksi kejutan luar jangka atau imej kabur tentang sesuatu entiti bersulam bayangan seram yang bermain di minda sendiri. Itu aku setuju kerana tangkapan syot menggunakan sudut pandang kamera pegun dan handycam memang ada kualiti gambar yang boleh eksploit banyak emosi. Teknik meletakkan kamera atas kipas meja yang sudah di ubahsuai sangat berjaya untuk membuatkan orang resah. Apabila badan kipas beralih ke kanan dan ke kiri maka kita merasa cemas untuk menantikan sesuatu yang mungkin tertangkap dalam kamera yang sama bergerak mengikut kipas.

Teori yang boleh di buat bahawa lompong plot yang bersepah pada prekuel ini akan dijelaskan pada filem sambungan yang akan datang. Nampaknya kita kena tunggu para karyawan ini muncul dengan sebuah lagi mesin penjana untung. Cuma kali ini mereka kena mampu menggarap naskhah yang lebih munasabah dan mewajarkan jalan cerita yang telah dirintis sebelum ini.

Thursday, October 27, 2011

Gigante

Baru-baru ini aku menonton sebuah filem dari Uruguay sempena dengan Festival Filem Amerika Selatan di gsc. Sangat menarik jalan ceritanya. Tidak perlu dialog yang berjela-jela untuk menjelaskan apa yang berlaku kepada penonton. Cuma dikehendaki sedikit kesabaran kerana tempo yang lembab. Tidak perlu aksi-aksi ganas, ghairah, gerun, seram seperti yang dilambakkan oleh produksi tempatan. Cuma dikehendaki luaskan kreativiti supaya mampu menghasilkan filem yang gagah seperti Gigante ini.

Seorang pengawal keselamatan shif malam mengendap gadis pencuci di pasaraya tempat mereka sama-sama bekerja berpandukan kamera litar tertutup yang di pasang di pelbagai sudut di situ. Dengarnya macam menarik. “Mengendap” adalah istilah yang boleh diterjemahkan sebagai bersedap-sedapan. Tetapi tidak di sini. Pengawal itu, Jara namanya, tidak mempunyai keberanian untuk mendekati si perempuan. Selain meninjau menerusi cctv, dia turut mengekor secara senyap-senyap di belakang setelah waktu kerja tamat. Skodeng yang di tahap ekstrem nampaknya.

Filem ini secara ringkasnya tentang dua insan keseorangan yang ingin mempunyai hubungan. Jara rendah diri dengan fizikalnya yang besar, maka jadilah Gigante sebagai penghormatan untuk tubuh bagaknya itu. Tetapi dia adalah abang besar berjiwa heavy metal yang dalam hatinya ada taman - pokok kaktus secara tepat. Manakala gadis pencuci yang datang dari kampung ke bandar Montevideo mencari sesuap nasi walau kelihatan menyendiri dan solo ke mana-mana, namun masih ada interaksi dengan persekitarannya.

Pelakon yang membawa watak Jara itu memang sangat berkesan sebagai lelaki gergasi yang brutal di luar tetapi berhati luhur dan baik budinya. Sampai kita pula naik geram bila dia hanya berani terintai-intai akan si perempuan dalam banyak situasi tanpa ada sekali pun dia tergerak nak tegur. Namun acara yang kekok dan janggal itu menerbitkan momen-momen lucu dan comel tidak terancang. Menjadi stalker tidak pernah terhasil semanis ini.

Inilah filemnya di mana medium kamera litar keselamatan yang diaplikasi secara meluas berguna untuk merangka sebuah cerita yang berhemah. Selain itu elemen voyeur yang biasanya dikaitkan dengan sesuatu yang horror atau seks tetapi ia mendapat olahan yang berbeza dalam konteks seorang manusia yang mengintip manusia lain tanpa motif yang melampau. Gigante membiarkan kita menggunakan naluri intrig yang selalu kita ada terhadap seseorang yang ingin didekati, menjadi begitu puitis dan syahdu.

Wednesday, October 19, 2011

Jualan Murah Buku Serigala

Seriusnya, aku tidak pernah dengar pun jenis jualan murah buku seperti pada tajuk. Pelik benar bunyinya. Merujuk pada maklumat dalam internet, ini adalah kali ke-empat ia dianjurkan. Sudah empat kali ia berlangsung dan baru pada tahun ini aku mendapat tahu. Itupun Gaia yang tukang hebohkan setelah dia menerima maklumat itu daripada Kekure. Masa tu Kekure telah memborong begitu banyak buku dengan harga yang cukup murah.

Buku di Malaysia.

Err... murah?

Boleh kah membeli buku-buku dengan harga yang murah kat Malaysia ni?

Jawapannya - boleh.

Hanya di Big Bad Wolf Book Sale.


Banyaknya buku ... duit je tak banyak :(


Murah yang aku maksudkan di sini ialah bagi kategori buku berbahasa Inggeris yang pilihannya bukan setakat terdiri daripada novel pop dan terpakai. Sebaliknya ialah buku-buku agak terkini yang merangkumi pelbagai genre dan topik serta di jual dengan harga yang mampu di beli seakan matawang di guna adalah pound atau dollar. Cukup menguntungkan. Jadi sangat berbaloi mengusung kotak, beg besar dan kereta sorong untuk mengangkut berpukal-pukal bahan bacaan itu sebagai stok bekalan untuk telaah sepanjang tahun.

Rupa-rupanya, jualan murah buku-buku Serigala Besar lagi Jahat ini dianjurkan oleh Bookxcess. Aku pernah menulis sebuah entry tentang mereka pada Ogos 2009 bertajuk “Mencuri Ilmu”. Konsep kedai buku mereka yang menjual terbitan terlebih cetak atau yang sudah tidak mampu dipasarkan membuatkan baki yang berlambak itu diperuntukkan sebagai komoditi bahan jualan sehabis murah yang dapat mereka tawar. Pergi ke kedai mereka di AmCorp Mall atau tunggu tahun depan untuk satu lagi edisi Big Bad Wolf Book Sale.

Friday, October 14, 2011

Dream House

Pengarahnya, Jim Sheridan bermasalah dengan filem ini sehingga ingin memadamkan namanya daripada terpamer sebagai sutradara. Pelakon-pelakon utamanya enggan keluar menjalankan promosi. Malah ia dipasarkan terus tanpa melalui tayangan pendahuluan untuk pengkritik, suatu polisi yang bukan menjadi amalan penerbit di sana. Jim menempuhi perbezaan kreativiti yang teruk dengan pihak studio sehingga tindakan sebegitu yang ingin di ambilnya. Apakah yang membuatkan Dream House begitu dilaknati?

Ketepikan dulu politik dalaman pihak berkuasa Hollywood di sana kerana apa yang aku ingin tumpukan sekarang ialah final produk yang terhidang buat kita. Secara pukul rata, aku tidak ada masalah dengan versi yang disepakati oleh pemegang kuasa veto filem ini bahawa karya yang disiarkan itu sejujurnya ialah hasil siap seperti yang mereka mahukan. Ia mungkin terlihat seperti bahan misteri atau seram tipikal buah tangan oleh seseorang yang tiada nama besar seperti Jim. Memang pun kerana seperti diketahui ada “tangan-tangan“ lain yang sibuk nak masuk campur. Tapi cerita ini juga tidaklah teruk sangat.

Sesetengah pendapat, ia merupakan Shutter Island dalam bentuk yang kurang perkasa. Atau terasa juga seperti filem remake Uninvited kerana twist yang mirip. Kalau anda menggemari cerita berkonsep begini, mungkin tiada masalah dengan Dream House. Menurut beberapa komen yang aku baca di internet berkenaannya, tidak sukar untuk menelah rahsia tersirat kerana telah didedahkan dalam trailer. Tapi aku tak pernah tengok pula trailernya sebelum ini jadi ia tidak berkaitan denganku.

Namun, walaupun tidak menonton promo itu terlebih dahulu bukan bermakna aku tidak dapat mengagak apakah yang tersembunyi di sebalik filem itu. Tetapi setelah muslihat di rungkai, terdapat satu lagi helah yang di lindungi sehingga klimaks. Di kala Jim sedang berlaga angin dengan pihak produser, kebanyakan penonton masih boleh terima jalan cerita beraura seram dengan impak sederhana seperti ini. Sila klik link ini jika anda ingin tahu masalah berbangkit yang membuatkan rumah ini tidak dirahmati mimpi yang indah.