Monday, October 31, 2011

Paranormal Activity 3

Formula yang menjadi bagi mengaut pulangan besar sempena Halloween ini wajib diteruskan. Untuk berapa banyak lagi siri, itu tidak dapat nak cakap. Tapi jika berdasarkan kutipan pecah panggung yang berjaya di raih kali ini sehingga mengatasi pencapaian filem awalannya, ia sesuatu yang sudah pasti akan berlaku. Prekuel? Sekuel? Namakan apa saja istilah yang di pakai untuk produk susulan nanti, fenomena Paranormal Activity akan berlanjutan untuk suatu jangkamasa yang lama. Termasuk aku juga yang masih lagi bersedia untuk ditakutkan oleh sebuah kamera tangkapan sendiri.

Tontonan anda akan lebih berkesan jika mengimbas balik dua filem terawal supaya lebih waspada. Kalau macam aku yang malas ni, aku hanya membaca sinopsis yang sedia ada di internet. Tak ada masa nak tengok semula dua filem terdahulu. Atau mungkin itu semua tidak perlu? Nanti lebih banyak persoalan timbul dan terperasan beberapa fakta bercanggah. Filem yang di dakwa sebagai permulaan kepada semua aktiviti separuh normal yang telah dimomokkan kepada kita ini tiada asas cerita yang kukuh.

Bagi yang tidak prihatin tentang francais Paranormal Activity ini mungkin boleh berhibur seadanya dengan sekadar tertunggu-tunggu aksi kejutan luar jangka atau imej kabur tentang sesuatu entiti bersulam bayangan seram yang bermain di minda sendiri. Itu aku setuju kerana tangkapan syot menggunakan sudut pandang kamera pegun dan handycam memang ada kualiti gambar yang boleh eksploit banyak emosi. Teknik meletakkan kamera atas kipas meja yang sudah di ubahsuai sangat berjaya untuk membuatkan orang resah. Apabila badan kipas beralih ke kanan dan ke kiri maka kita merasa cemas untuk menantikan sesuatu yang mungkin tertangkap dalam kamera yang sama bergerak mengikut kipas.

Teori yang boleh di buat bahawa lompong plot yang bersepah pada prekuel ini akan dijelaskan pada filem sambungan yang akan datang. Nampaknya kita kena tunggu para karyawan ini muncul dengan sebuah lagi mesin penjana untung. Cuma kali ini mereka kena mampu menggarap naskhah yang lebih munasabah dan mewajarkan jalan cerita yang telah dirintis sebelum ini.

Thursday, October 27, 2011

Gigante

Baru-baru ini aku menonton sebuah filem dari Uruguay sempena dengan Festival Filem Amerika Selatan di gsc. Sangat menarik jalan ceritanya. Tidak perlu dialog yang berjela-jela untuk menjelaskan apa yang berlaku kepada penonton. Cuma dikehendaki sedikit kesabaran kerana tempo yang lembab. Tidak perlu aksi-aksi ganas, ghairah, gerun, seram seperti yang dilambakkan oleh produksi tempatan. Cuma dikehendaki luaskan kreativiti supaya mampu menghasilkan filem yang gagah seperti Gigante ini.

Seorang pengawal keselamatan shif malam mengendap gadis pencuci di pasaraya tempat mereka sama-sama bekerja berpandukan kamera litar tertutup yang di pasang di pelbagai sudut di situ. Dengarnya macam menarik. “Mengendap” adalah istilah yang boleh diterjemahkan sebagai bersedap-sedapan. Tetapi tidak di sini. Pengawal itu, Jara namanya, tidak mempunyai keberanian untuk mendekati si perempuan. Selain meninjau menerusi cctv, dia turut mengekor secara senyap-senyap di belakang setelah waktu kerja tamat. Skodeng yang di tahap ekstrem nampaknya.

Filem ini secara ringkasnya tentang dua insan keseorangan yang ingin mempunyai hubungan. Jara rendah diri dengan fizikalnya yang besar, maka jadilah Gigante sebagai penghormatan untuk tubuh bagaknya itu. Tetapi dia adalah abang besar berjiwa heavy metal yang dalam hatinya ada taman - pokok kaktus secara tepat. Manakala gadis pencuci yang datang dari kampung ke bandar Montevideo mencari sesuap nasi walau kelihatan menyendiri dan solo ke mana-mana, namun masih ada interaksi dengan persekitarannya.

Pelakon yang membawa watak Jara itu memang sangat berkesan sebagai lelaki gergasi yang brutal di luar tetapi berhati luhur dan baik budinya. Sampai kita pula naik geram bila dia hanya berani terintai-intai akan si perempuan dalam banyak situasi tanpa ada sekali pun dia tergerak nak tegur. Namun acara yang kekok dan janggal itu menerbitkan momen-momen lucu dan comel tidak terancang. Menjadi stalker tidak pernah terhasil semanis ini.

Inilah filemnya di mana medium kamera litar keselamatan yang diaplikasi secara meluas berguna untuk merangka sebuah cerita yang berhemah. Selain itu elemen voyeur yang biasanya dikaitkan dengan sesuatu yang horror atau seks tetapi ia mendapat olahan yang berbeza dalam konteks seorang manusia yang mengintip manusia lain tanpa motif yang melampau. Gigante membiarkan kita menggunakan naluri intrig yang selalu kita ada terhadap seseorang yang ingin didekati, menjadi begitu puitis dan syahdu.

Wednesday, October 19, 2011

Jualan Murah Buku Serigala

Seriusnya, aku tidak pernah dengar pun jenis jualan murah buku seperti pada tajuk. Pelik benar bunyinya. Merujuk pada maklumat dalam internet, ini adalah kali ke-empat ia dianjurkan. Sudah empat kali ia berlangsung dan baru pada tahun ini aku mendapat tahu. Itupun Gaia yang tukang hebohkan setelah dia menerima maklumat itu daripada Kekure. Masa tu Kekure telah memborong begitu banyak buku dengan harga yang cukup murah.

Buku di Malaysia.

Err... murah?

Boleh kah membeli buku-buku dengan harga yang murah kat Malaysia ni?

Jawapannya - boleh.

Hanya di Big Bad Wolf Book Sale.


Banyaknya buku ... duit je tak banyak :(


Murah yang aku maksudkan di sini ialah bagi kategori buku berbahasa Inggeris yang pilihannya bukan setakat terdiri daripada novel pop dan terpakai. Sebaliknya ialah buku-buku agak terkini yang merangkumi pelbagai genre dan topik serta di jual dengan harga yang mampu di beli seakan matawang di guna adalah pound atau dollar. Cukup menguntungkan. Jadi sangat berbaloi mengusung kotak, beg besar dan kereta sorong untuk mengangkut berpukal-pukal bahan bacaan itu sebagai stok bekalan untuk telaah sepanjang tahun.

Rupa-rupanya, jualan murah buku-buku Serigala Besar lagi Jahat ini dianjurkan oleh Bookxcess. Aku pernah menulis sebuah entry tentang mereka pada Ogos 2009 bertajuk “Mencuri Ilmu”. Konsep kedai buku mereka yang menjual terbitan terlebih cetak atau yang sudah tidak mampu dipasarkan membuatkan baki yang berlambak itu diperuntukkan sebagai komoditi bahan jualan sehabis murah yang dapat mereka tawar. Pergi ke kedai mereka di AmCorp Mall atau tunggu tahun depan untuk satu lagi edisi Big Bad Wolf Book Sale.

Friday, October 14, 2011

Dream House

Pengarahnya, Jim Sheridan bermasalah dengan filem ini sehingga ingin memadamkan namanya daripada terpamer sebagai sutradara. Pelakon-pelakon utamanya enggan keluar menjalankan promosi. Malah ia dipasarkan terus tanpa melalui tayangan pendahuluan untuk pengkritik, suatu polisi yang bukan menjadi amalan penerbit di sana. Jim menempuhi perbezaan kreativiti yang teruk dengan pihak studio sehingga tindakan sebegitu yang ingin di ambilnya. Apakah yang membuatkan Dream House begitu dilaknati?

Ketepikan dulu politik dalaman pihak berkuasa Hollywood di sana kerana apa yang aku ingin tumpukan sekarang ialah final produk yang terhidang buat kita. Secara pukul rata, aku tidak ada masalah dengan versi yang disepakati oleh pemegang kuasa veto filem ini bahawa karya yang disiarkan itu sejujurnya ialah hasil siap seperti yang mereka mahukan. Ia mungkin terlihat seperti bahan misteri atau seram tipikal buah tangan oleh seseorang yang tiada nama besar seperti Jim. Memang pun kerana seperti diketahui ada “tangan-tangan“ lain yang sibuk nak masuk campur. Tapi cerita ini juga tidaklah teruk sangat.

Sesetengah pendapat, ia merupakan Shutter Island dalam bentuk yang kurang perkasa. Atau terasa juga seperti filem remake Uninvited kerana twist yang mirip. Kalau anda menggemari cerita berkonsep begini, mungkin tiada masalah dengan Dream House. Menurut beberapa komen yang aku baca di internet berkenaannya, tidak sukar untuk menelah rahsia tersirat kerana telah didedahkan dalam trailer. Tapi aku tak pernah tengok pula trailernya sebelum ini jadi ia tidak berkaitan denganku.

Namun, walaupun tidak menonton promo itu terlebih dahulu bukan bermakna aku tidak dapat mengagak apakah yang tersembunyi di sebalik filem itu. Tetapi setelah muslihat di rungkai, terdapat satu lagi helah yang di lindungi sehingga klimaks. Di kala Jim sedang berlaga angin dengan pihak produser, kebanyakan penonton masih boleh terima jalan cerita beraura seram dengan impak sederhana seperti ini. Sila klik link ini jika anda ingin tahu masalah berbangkit yang membuatkan rumah ini tidak dirahmati mimpi yang indah.

Wednesday, October 12, 2011

Fright Night

Fright Night versi asal aku ingat sangat sebab kami adik-beradik menonton dengan penuh teruja semasa ia ditayangkan di tv3 dahulu. Disiarkan pada waktu malam (sudah tentulah), mungkin pada hujung minggu kerana masa siarannya tidaklah pula terlalu awal. Padahal ceritanya memang ekstrem untuk standard budak-budak seperti kami pada ketika itu. Aku tidak pasti sama ada mak bapakku tengok sekali atau tak. Memang ia pengalaman filem horror dan ngeri yang paling seronok pernah kami rasai. Berjiran dengan vampire? Cool.

Tapi pada 2011 ini Fright Night di buat balik. Err ...

Gara-gara pengaruh daripada Twilight, habis di bongkarnya segala filem-filem bertemakan hantu puntianak yang ada untuk di bikin kembali. Sampaikan satu dialog dalam filem ini sendiri pun ada mengajuk kepada novel itu apabila watak utama, Charlie perli Ed seorang rakan yang obses dengan lelaki rumah sebelah yang didakwanya vampire. Itulah, banyak sangat baca buku Twilight sampai terbawak-bawak pula... Kemaskini terhadap budaya pop sekarang adalah perlu supaya salinan ini jadi relevan.

Aku masih sukakan filem asalnya, tidak dapat di sangkal lagi. Sudah berlambak sangat genre ini keluar dalam masa terdekat sampai jelak. Stesyen tv juga nampaknya tidak ketinggalan asyik menawarkan siri drama begini yang masih gunakan formula berorientasikan remaja bergelumang dalam dunia misteri puntianak itu. Fright Night edisi 2011 ini sebenarnya tidak perlu bekerja keras untuk meneroka pasaran. Peminatnya sudah tersedia termasuk aku sendiri yang curious juga untuk melihat bagaimana hasil terbaharu ini.

Ok, selain ubahsuai di beberapa bahagian plot (Vincent asal adalah hos rancangan seram manakala Vincent terkini ialah ahli pertunjukan silap mata mistik) dan penampilan vampire yang lebih hodoh, ia tidak menawarkan apa-apa lagi yang ekstra. Colin Farrell dan Anton Yelchin melakukan tugasan mudah dengan mencerap aksi yang sudah berulang tanpa banyak berusaha. Tengoklah sama ada Fright Night 2 juga akan menyusul selepas ini.

Saturday, October 08, 2011

Contagion

Filem ini sudah bermain agak lama di pawagam dan cuma baru-baru ini saja aku memutuskan untuk menontonnya walaupun jauh sampai ke gsc Tropicana kerana di sana saja yang menyediakan waktu tayangan sesuai. Ini pertama kali aku masuk ke panggung wayang cawangan kompleks tersebut dan oklah selesa dan masih baru. Motif utama yang membuatkan aku tegar juga nak layan filem Contagion ini sebab reviu yang positif di beri oleh pengkritik. Aku jangkakan sebuah cerita tentang jangkitan kuman tiada apa lagi yang boleh di teroka supaya mampu impresif. Mungkin kerana ditukangi oleh Steven Soderbergh, pengarah pemenang Oskar membuatkan hasilnya solid.

Jika anda pernah mengikuti satu program di saluran National Geographic tentang krisis virus nipah yang melanda negara kita tidak lama dahulu, filem ini ibarat sebagai adaptasi daripada dokumentari tersebut. Penulis lakon layar Scott Z Burns menggunakan lesen kreatif mencetuskan dramatisasi ke atas pandemik berkenaan melangkau sempadan geografi dan demografik. Silang cerita berbagi beberapa watak dan latar-belakang sebagai struktur walaupun kaitan antaranya tiada ketara namun isu pokok masih bersangkut pada mikroorganisma terbabit. Cuma ia di garap lebih realistik, lakonan mantap terkawal dan dialog yang meyakinkan, tidak melebih-lebih menjadikan aksinya boleh di terima kenyataan.

Contagion membariskan begitu ramai pelakon gred A yang merupakan pemenang atau pernah dicalonkan Oskar. Mungkin ini sebagai strategi pemasaran untuk mengundang lebih ramai penonton memilih filem ini. Tetapi, jika sudah banyak sangat nama-nama besar itu, tempoh mereka menjayakan watak dan muncul pada skrin sudah tentu terhad. Namun komitmen mereka untuk sama-sama terlibat dan berbakti dalam satu “kerja amal“ berkongsi pada dunia tentang bencana penyakit seperti ini amatlah dihargai.

Filem ini merupakan satu lagi terbitan bersekutu oleh Imagenation Abu Dhabi, sebuah konglomerat milik negara UAE. Berdasarkan carian di imdb, selain Contagion, filem lain yang pernah aku tengok diterbitkan syarikat ini ialah The Way Out, My Name is Khan, The Crazies, Fair Game dan Furry Vengeance. Nampaknya studio Hollywood sekarang bertumpu ke wilayah timur tengah yang kaya dengan hasil minyak itu supaya melabur dalam industri ini. Namun sama ada Abu Dhabi mampu mengaut untung daripada dana yang mereka carum melalui pembabitan tersebut, ia bergantung dengan siapa mereka bekerjasama, kata Bill Mechanic, bekas ketua studio Fox News Corporation.

Tuesday, October 04, 2011

Freedom Film Festival 2011

Sabtu lalu, aku menggigihkan diri pergi ke Mutiara Damansara untuk meraikan Freedom Film Festival yang berlangsung di Wisma Bentley. Walaupun terlepas tayangan pertama tetapi untuk filem-filem seterusnya aku pastikan agar berpeluang menonton kesemuanya cuma satu dokumentari saja yang aku tak tengok berjudul “Aku Siapa?“. Ini kerana setelah membaca sinopsis, aku memberi pra-tanggapan bahawa ia membawa tema yang klise tentang wanita bertudung dan isu seputarnya. (Mungkin aku tidak sepatutnya melepaskan filem ini sebab setelah mendengar komen dari Gaia yang tengok, ia di beri perspektif berbeza, segar dan sudah tentu sungguh provokatif).



Searching for a "Malaysian Identity"

Aku mulakan festival dengan menonton filem pendek berkisarkan krisis identiti yang di rangkum padat berkenaan dilema anak-anak Malaysia berbaka kacukan yang serba-salah ingin mengkelaskan mereka sebagai kaum apa secara spesifiknya. Jadi mereka semua rancu dalam memilih padanan ras bersesuaian dengan darah keturunan yang sudah bercampur dek perkahwinan multi-nasional oleh ibu bapa.

Pembikinnya telah menemubual beberapa responden yang mengalami masalah ini terutama dalam aspek salah-sangka yang stereotaip melibatkan sosok luaran seperti Melayu padahal mereka sebenarnya adalah hibrid berlainan bangsa. Bagi aku tema begini sudah pernah di baca atau terpapar dan nampaknya ia masih menjadi duri dalam daging bagi mereka yang terlibat.



Me and My Nose

Dokumentari karya Ziska Szemes yang berasal dari Sweden ini juga ada kena-mengena dengan jatidiri seseorang yang lahir berkacuk bangsa. Paling ketara ialah bahagian hidungnya yang mancung tak hingat warisan dari ibunya berketurunan India dan bapanya seorang Hungary. Dengan ciri fizikal begitu, beliau tidak tergolong sebagai warga Sweden yang berketrampilan lazimnya mempunyai hidung yang “normal“. Lalu beliau memutuskan untuk membuat pembedahan plastik bagi membega anatomi itu supaya sama bentuk seperti hidung kebanyakan rakyat Sweden yang lain.

Filem ini memang menarik kerana tema yang Ziska bawa berkenaan suatu isu yang serius tetapi di beri judul dan naratif yang macam merepek, namun ia kondusif dan berkesan mendapatkan perhatian khalayak. Cara dokumentari ini dihasilkan sangat kreatif dan langka seperti buah tangan siri tv realiti dengan lakaran animasi ringkas yang mencuit hati. Tuntasnya, bukan masalah kosmetik itu yang Ziska ingin beratkan pun. Cuma sekurang-kurangnya salah impresi yang dialaminya selama ini dapat diringankan.

Oily Hair

Rencana ini pula mengenai usaha segelintir sukarelawan yang ingin membendung tumpahan minyak di Teluk Mexico dengan cara yang begitu unik tetapi efektif. Pengkarya, Indrani Kopal datang sendiri ke majlis festival menceritakan proses latar-belakang penerbitan dokumentari ini yang di buat bersama Simon De Swardt. Semasa mereka di Washington DC, mereka google kisah-kisah ”gila” yang berlaku di wilayah tersebut sebagai bahan yang boleh mereka rakam.

Verdiknya terhasillah Oily Hair yang menyorot inisiatif para warga prihatin berkenaan mengumpulkan rambut manusia yang bertindak sebagai gentian bagi menghalang minyak daripada terus merebak. Sesiapa sangka selain daripada menjadi mahkota di kepala, ia mampu berfungsi sebagai alat menyelamatkan alam sekitar.

Countdown to a Toxic Future

Bersedialah untuk menerima satu lagi implikasi seperti kes di Bukit Merah. Itulah ramalan yang di buat oleh dokumentari ini yang sungguh komprehensif merakamkan detik-detik penubuhan kilang memproses bumi nadir di Gebeng yang secara muktamadnya pasti akan membawa bencana. Malah futej awalan sudah memberi mesej yang suspen dengan tangkapan kamera secara sembunyi terhadap pembinaan kilang tersebut dari luar pagar seakan sebuah filem espionaj.

Menonton filem ini terasa tiada satu pun agenda positif yang dapat di kutip daripada aktiviti industri ini di sana. Amat malang bagi aku jika kita hanya membantah tetapi dalam pada itu produk-produk yang di buat menggunakan material bumi nadir ini galak pula kita ingin membelinya. Manakala di luar kesedaran kita, pada masa yang sama suatu lokasi lain akan turut menjadi korban kerana sifat materialistik dan tamak terhadap teknologi. Di masa depan, konotasi malapetaka adalah galian ini.

Huruf J

Ini sangat-sangat menghiburkan. Ok, mungkin mengatakan isu seorang mak janda yang mengalami masalah dalam tuntutan nafkah sebagai satu hiburan agak melampau tetapi pembikinnya telah menyuguhkan produknya ini dengan begitu comel. Malah terma Huruf J itu sebagai tajuk filem ini sendiri terasa bagai validasi kerana aku pun guna initial itu apabila merujuk kepada seorang wanita yang bercerai (cuma aku tambah M di depan).

Bersandarkan pengalaman sendiri Afiq Deen berkongsi cuplikan hidup peribadi dan temuramah dengan beberapa ibu tunggal yang bercerita jerih-perih mereka menjalani kehidupan pasca perpisahan yang rata-rata menghadapi konflik bersama bekas suami terutama mengenai biaya sara hidup anak-anak dan birokrasi mahkamah syariah. Walau ini kisah nyata, namun Afiq kaya imaginasi dengan adunan beberapa selitan animasi dan sketsa dalam isu yang sensitif dan personal bagi dirinya namun beliau berjaya lahirkan semua itu dalam satu dokumentasi.



Lot, Umah Am (Laut, Rumah Saya)

Filem terakhir yang aku tonton ialah berkenaan Orang Asli Seletar yang mendiami kawasan Selat Johor yang dibangunkan terutama sebab ia berhampiran koridor Iskandar. Semua ini tentang hak asasi mereka untuk meneruskan cara hidup dan tradisi yang diamalkan turun-temurun dengan menangkap hasil laut dan tinggal di pesisir pantai yang makin terjejas dewasa ini kerana projek tersebut.

Kaum asli yang di sebut di atas turut hadir ke acara festival ini untuk bercakap secara langsung dengan hadirin di auditorium. Aku rasa Edisi Siasat ntv7 pernah mengupas isu ini cuma ia menjurus kepada masalah nelayan secara amnya yang teruk menerima akibat ekoran sistem ekologi yang kian merosot.

Thursday, September 22, 2011

Your Friends

Filem ketiga yang aku tengok sempena JFF ini ialah Your Friends. Kami masuk agak lambat dan rasanya ia sudah bermain dalam sepuluh minit. Mungkin kerana kelewatan itu membuatkan ia agak sukar difahami buat beberapa ketika. Ceritanya tidak di bina secara terus sebaliknya ada imbas kembali dan babak masa kini yang tidak dibezakan secara ketara. Hanya setelah agak lama menontonnya barulah aku dapat tangkap plot yang sedikit merengsakan ini. Jenis filem begini memang sesuai untuk menyertai festival mengikut tafsiran aku yang tidak ada ilmu ini, ia bercirikan naratif yang tidak mengikut urutan, sorot lensa jarak jauh, dialog yang sedikit, banyak termenung, muzik latar yang minimum serta mengandungi simbol atau falsafah tersirat yang minta di gali.

(Untuk menulis reviu ini pun terasa putus-putus ilhamnya. Beberapa imejan yang terlintas di kepala berkenaan filem itu pun sudah tidak berapa jelas lagi. Kena periksa beberapa sumber lain untuk menokok idea. Tapi dah ada satu perenggan di atas, mungkin boleh tambah beberapa poin lagi supaya puas hati baca. Perkara yang perlu aku highlight tentang filem ini ialah berkenaan Puffy Cloud yang banyak kali keluar sebagai dialog dan shot-shot awan yang pelbagai.)

Puffy Cloud itu diterjemahkan sebagai awan gembung. Menurut Gaia, ia mungkin merujuk kepada karekter manusia yangg berubah-ubah. Manusia kebanyakannya disamakan dengan awan yang bentuknya sentiasa bertukar corak dan biasanya tak dipedulikan. Manakala individu yang popular pula semacam matahari yang bersinar terang selalu mendapat perhatian dan di ambil tahu. Pasal tu si gadis tempang tanyakan pada budak perempuan sekolah tinggi, adakah dia tak suka pada awan dan sebaliknya lebih menyukai sang suria? Ini kerana budak kaki pengkar itu hanyalah awanan biasa yang mencuba sedaya upaya untuk bersinar macam matahari jugak...

Memang begitulah inti cerita Your Friends ini. Kisah seorang yang kelainan upaya bersahabat dengan seorang yang sempurna fizikalnya ekoran dari satu peristiwa yang menimbulkan rasa bersalah, dendam, dilema, prihatin dan kesetiaan. Diakui filem ini memang lembab dan perlahan untuk menjelaskan sesuatu yang terjadi. Jadi aku pun turut melengah-lengahkan diri menyiapkan ulasan tak seberapa ini sebagai melambangkan mood aku sendiri yang bagaikan awan berarak lesu seperti semantik filem itu juga.

Tuesday, September 20, 2011

Double Trouble

Bunyinya macam filem yang melibatkan aksi ganas, pertempuran, pergaduhan dan sepak terajang atau seumpamanya. Tetapi bukan. Ia adalah kerana masalah “double-booking” yang tersilap oleh kekeliruan nama persatuan yang membuat reservasi itu lebih kurang sama. Jadi ia menimbulkan problema berganda kepada si pengurus jabatan yang terpaksa mencari jalan penyelesaian untuk memuaskan semua pihak. Malah kita juga akhirnya berpuas hati dengan filem yang manis seperti ini.

Ceritanya sangat mudah dan ringkas, hanya berkitar sekeliling hidup seorang pekerja pejabat dan sekumpulan perempuan yang ingin mengadakan pertunjukan koir di malam menjelang tahun baru. Konflik yang tercipta disebabkan sikap cuai dan sambil lewa pengurus itu yang terkhilaf tatkala menerima tempahan penggunaan dewan sehingga membuatkan keadaan menjadi huru-hara. Di samping itu penonton juga di sorot meninjau aspek dua jenis golongan wanita yang meminati jalur muzik yang sama cuma terpisah oleh batasan status. Agak menarik untuk di teliti bahawa mereka yang ditonjolkan sebagai tiada kelas itu turut meminati lagu klasik dan irama barat yang nampaknya begitu senang di cerna oleh wanita Jepun itu.

Menurut Gaia, mungkin itu ialah pengaruh manga yang banyak menyerap unsur Eropah dan asing ke dalam karya mereka maka sasaran peminat di sana yang tidak mengira golongan usia dan latar-belakang akan mudah berasimilasi dengan elemen tersebut. Jadi dari situ, makcik dan kakak Jepun ini apabila menelaah manga begini akan lebih mudah untuk mencuba dan mendalami budaya luar serta mengaplikasikannya sebagai hobi atau bidang rekreasi. Itu teori dia sendirilah tanpa ada sebarang rujukan tertentu.

Bagi aku sendiri filem ini memang terasa humor dan santai serta senang untuk di hadam. Betapa agenda sehari-hari dan rutin itu oleh saja diterjemahkan menjadi bahan yang efektif untuk dipentaskan. Malah pelakon-pelakonnya juga walau sesetengah itu agak over-acting tetapi secara keseluruhannya Double-Trouble langsung tidak menimbulkan masalah untuk buatku terhibur.

Sunday, September 18, 2011

About Her Brother

Sempena Festival Filem Jepun tahun ni di GSC, cerita pertama di pilih ialah About Her Brother. Diarahkan oleh Yoji Yamada, seorang sutradara yang namanya tak putus-putus dipromosikan oleh kawan aku Gaia. Jadi, malam cuti Hari Malaysia yang lepas, aku pun sertai dia bersama dua kawannya menonton. Seorang rakannya itu pula ialah warganegara Jepun (tetapi aku tak berborak banyak dengannya) manakala lagi seorang ialah rakyat Perancis. Kedua-dua mereka bekerja di Kuala Lumpur dan merupakan pasangan kekasih. Menurut awek Jepun tu, filem yang bakal kami saksikan nanti memang mudah di jangka jalan ceritanya dan senang diikuti.

Yoji Yamada terkenal dengan filem-filem bercorak drama kekeluargaan dan beliau paling diingati dengan kisah Tora-san yang dinobatkan sebagai siri tayangan filem yang merangkumi berpuluh episod paling panjang di dunia. Pada tahun 2004, filem arahan beliau The Twilight Samurai telah dicalonkan untuk kategori Filem Asing Terbaik di dalam Oskar. Jadi aku pun cuba menyelami penghasilan karyawan veteran itu yang sebelum ini aku belum pernah saksikan. Untuk About Her Brother ini bagi aku ia seperti drama rantaian Asia yang biasa dimainkan di kaca tv kita pada petang hari. Sebuah cerita tentang hati dan ikatan persaudaraan yang kental murni.

Abang dalam filem ini ialah Tetsuro, yang banyak menyusahkan hidup keluarganya lebih-lebih lagi buat si adik perempuan dan anaknya, tinggal di sebuah pekan mengusahakan farmasi kecil serta dalam persediaan untuk mengahwinkan anak itu dengan doktor dari kalangan terhormat. Ceritanya bertitik-tolak ekoran kekecohan ditimbulkan Tetsuro pada majlis tersebut dan apa yang menyusul memberi kesan pada perhubungan mereka bertiga dalam satu olahan plot yang kemas dan meninggalkan kesan. Walaupun si abang itu memang dimaklumi tidak berguna, namun terdapat detik yang begitu menjentik tatkala si anak didedahkan bahawa namanya yang di pilih oleh bapa saudara tersebut sebagai tanda bahawa sekurang-kurangnya itu bagi membantu menaikkan harga diri Tetsuro yang tiada sebarang pencapaian yang boleh di ketengahkan sepanjang hidupnya ini.

Malah ia menjadi satu ironi pula apabila penjaga orang sakit itu dengan penuh semangat mengucapkan syabas pada Tetsuro yang sudah menjalani hidup sepenuhnya ketika babak dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Mungkin bagi sesetengah orang, sekadar dapat hidup di muka bumi ini pun sudah merupakan satu kejayaan yang besar. Bagi aku cerita ini memang tradisional dan melankolik. Adegan mereka menjalani kehidupan di Osaka dengan komuniti saling bertoleransi dan tinggi pekerti amat seronok untuk di telusuri. Filem yang sarat moral dan berhemah begini sesuatu yang jarang lagi kita keluarkan.

Monday, September 12, 2011

Filem-filem 11 September

Dalam akhbar NST Jumaat lepas, disenaraikan beberapa filem yang memuatkan peristiwa runtuhnya World Trade Center sebagai plot utama atau hal-hal seputar 11 September sebagai kerangka cerita. Tragedi yang mengejutkan dunia itu banyak diterjemahkan ke layar menurut pelbagai dimensi untuk menafsirkannya. Sepuluh filem di pilih dipaparkan menerusi artikel tersebut melambangkan genap sedekad kejadian itu berlaku. Namun cuma ada satu dua saja yang aku pernah tengok. Tak kira apa saja teori atau isu yang diketengahkan berkaitan malapetaka terbabit, kesan yang ditinggalkan membawa impak bukan kepalang kepada dunia hari ini.

1. World Trade Center (2006)

2. Fahrenheit 9/11 (2004)

3. United 93 (2006)

4. My Name is Khan (2010)

5. Yasmin (2004)

6. Reign Over Me (2007)

7. Brick Lane (2007)

8. Tiger Cruise (2004)

9. Remember Me (2010)

10. New York (2009)

Tuesday, August 30, 2011

Raya Merdeka

Hari raya tahun ini agak istimewa kepada jatuh berdekatan dengan hari merdeka. Bagi aku sendiri secara peribadi memang lebih bermakna kerana pertama kali meraikannya sebagai seorang suami. Kena beraya dua tempatlah nampaknya. Hari pertama dihabiskan dengan mengunjungi sanak-saudara di daerahku dan pada raya kedua akan bertandang ke kampung isteri. Sepanjang hari seperti biasa bila sudah datang berziarah, acara makan minum di setiap rumah tidak di lupa.

Sekarang bersandar kekenyangan di kediaman orang tua menghadam juadah raya yang di jamah sejak pagi. Di samping itu sebagai santapan minda, aku membaca cerpen-cerpen yang termuat dalam antologi terbaru Faisal Tehrani, Tiga Kali Seminggu. Salah satu cerita yang terkandung bertajuk, Dangai, Pau dan Maruku sangat bertepatan untuk sambutan merdeka. Cuma aku tak tahu langsung apakah kuih dangai itu. Setelah di google, inilah rupa kuih tersebut yang aku dapati dari dapur mina punya blog.

Thursday, August 25, 2011

Buffet Ramadan 1432H 2.0

Rasanya aku boleh tempek balik entry pasal buffet yang lepas tu dan letak sebagai isi terbaru untuk hari ini pula. Ini kerana semalam aku sekali lagi mengalami peristiwa yang sama cuma kali ini bukan dengan rakan sepejabat. Aku terima pelawaan seorang kawan untuk bersama-sama berbuka di hotel sebab dia ada lebihan baucer. Selain aku, dia turut mengajak beberapa kenalan lain untuk sama-sama memanafaatkan baucer tersebut daripada ia terbazir tidak di pakai. Itu pun ada ekstra banyak lagi sebab ramai betul peserta yang sepatutnya menghadiri acara tersebut tidak dapat menghadirkan diri.

Maka si kawan yang baik hati itu pun berusaha mencari dan menghubungi handai-taulan yang boleh memenuhi kekosongan yang di tinggalkan kerana memang ralat melihat habuan berbuka yang sepatutnya ramai boleh nikmati tetapi tidak dapat dilunaskan. Aku kebetulan yang lapang pada petang itu bersyukur dengan teman yang sudi mempelawa. Walaupun dalam hati masih terharu dengan peristiwa makanan melimpah yang dialami dalam sesi buffet yang baru lalu, namun aku fikir secara positif supaya tetamu yang semeja denganku kali ini akan lebih berhemah dalam memilih dan mengeksploitasi makanan.

Tetapi hal yang sama masih berlaku nampaknya. Dan aku tidak boleh salahkan mereka kerana menurut tuan punya baucher yang mengajak itu, rata-rata kenalan yang hadir memenuhi undangan itu adalah pertama kali merasai pengalaman berbuka puasa secara buffet di hotel. Mahunya tak rambang mata melihat makanan dan minuman beraneka jenis mengisi setiap ruang dan sudut serta pelbagai gerai dan kiosk didirikan bagi memuatkan variasi sajian gastronomi yang mampu membuat perut penuh kekenyangan sehingga esok pagi sekurang-kurangnya.

Jadi pandangan sinis mata-mata memandang dan bisik-bisik halus mereka tatkala terpapas meja kami yang sarat dengan juadah tak terbendung, aku cuba buat tak tahu saja. (Sedangkan dalam benak sudah ligat memikirkan, ini boleh jadi idea untuk entry terbaru). Aku berbesar hati dan tumpang seronok melihat kenalan baru ini yang sungguh berselera berbuka di hotel dengan makanan yang seakan tiada terbatas. Masing-masing ingin mencuba setiap satu menu yang tersedia di sana dan syukurlah banyak juga yang di ambil berjaya di habiskan. Nampaknya mereka memang menghargai jemputan yang di terima dan menghargai rezeki Ramadan yang dikurnia menerusi teman yang bermurah hati berkongsi secebis nikmat.

Monday, August 22, 2011

Terlaris dan Bakal di Sambung

Dalam entry yang lepas aku ketengahkan perihal beberapa filem yang mungkin akan di sambung. Info yang aku dapat itu bukanlah aku reka sendiri sebaliknya didapati setelah melakukan carian di internet. Agak tidak mengejutkan jika penerbit mereka masih ingin mengaut laba berpanjangan dengan meneruskan cerita yang sudah pasti ada pengikutnya. Aku rasa filem-filem lain bukan tidak terliur untuk mengeksploitasi wang penonton melalui strategi menerbitkan filem susulan cuma mungkin ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Contohnya Harry Potter yang sudah sedia maklum bukunya sudahpun tamat. Jadi kalau nak keluarkan filem terbaru, kenalah tunggu JK Rowling mendapat ilham tiba-tiba menulis balik dengan plot melibatkan anak kepada Harry pula.

Sambungan Toy Story 3

Menurut Tom Hanks yang mewakili suara Woody berkata, disebabkan filem ketiga itu yang tersangat laku, siri ke-empatnya boleh saja sempat di bikin menjelang tayangan perdana pada akhir 2013 nanti. Studio Pixar yang menerbitkannya pula mengulas bahawa kemungkinan ia disiarkan pada tahun tersebut memang ada cuma mereka tidak boleh memastikan sama ada ia akan berbentuk sekuel atau satu olahan cerita lain akan di rangka. Mereka dah siap pilih tarikh lagi tu iaitu pada 27 Nov, 2013 akan menemui penonton.

Sekuel Avatar

Sebelum Avatar keluar, pengarahnya James Cameron telah bercakap kepada MTV bahawa beliau sudah ada inspirasi terhadap senario yang ingin dicetuskannya menerusi filem terbabit terutama perkembangan watak Jake dan Neytiri yang dibayangkan akan berlaku trilogi cuma ia belum di lakar serius dalam bentuk penulisan skrip. Dalam satu sesi S&J sempena promosi Avatar tidak lama dahulu, beliau dilaporkan berkata “Ya, akan ada yang lain,”. Jadi, yakinlah anda sekalian bahawa setelah melabur begitu banyak wang dan masa mencipta teknologi mengubah Sam Worthington dan Zoe Saldana menjadi Na'vi, sebuah sekuel tentu lebih daripada berbaloi.

Instalasi Seterusnya Transformers

Walaupun tidak ada sebarang maklumat lagi berkenaan prospek Transfomers untuk di sambung, penganalisis hiburan meramalkan studio Paramount akan terus menerbitkan sekuelnya nanti jika berdasarkan prestasi box-officenya yang mengutip USD97.5j sekaligus mencatatkan rekod pembukaan cuti hujung minggu terbesar setakat tahun ini. Persetankan dengan Bay dan LaBeouf yang berura-ura ingin bersara daripada francais itu kerana lebih ramai lagi sutradara dan aktor yang sedang melobi untuk terbabit dalam cerita bertahap spektakular ini. Walaupun tidak di puji pengkritik dan jalan cerita agak lemau, namun dengan sambutan yang tidak pernah surut, potensi robot-robot boleh bertukar menjadi jentera untuk terus dihasilkan adalah terjamin.

Kronologi Pirates of the Caribbean

Aku tidak jumpa sumber berita yang konkrit tentang sekuel Pirates of the Caribbean yang akan di buat ini hanya merujuk kepada imdb yang menyiarkan senarai sambungan filem tersebut dari lima ke enam bahagian. Jadi kalau imdb sudah menyenaraikannya begitu, bersedialah untuk menjarah harta karun bersama lanun-lanun selanjutnya di dalam dua buah lagi filem yang bakal menyusul.

Friday, August 19, 2011

Buffet Ramadan 1432H

“Ni kalau orang Somalia tengok ni, boleh menangis ni,” seloroh seorang rakan pejabat melihat timbunan sajian di depan mata.

Berbuka secara buffet memang menjadi gaya hidup dewasa ini. Tetapi ambil terlalu banyak makanan untuk dilambakkan di atas meja semata-mata kita dibenarkan untuk kaut semua hidangan tanpa batasan adalah tidak boleh di terima. Penuh sehingga melimpah ruah sampai dah tahap pinggan berada di pinggiran meja dah. Melampau sangat.

Orang keliling yang lalu-lalang mesti akan menjeling ke arah meja kami. Harus diorang ingat yang kami ni buruk lantak. Macam dah sepuluh hari tak makan. Kebulur sangat ke? Ambil lauk-pauk, kuih-muih, seolah-olah tak pernah jumpa itu semua. Seolah-olah memang lapar amat. Seolah-olah mampu untuk menghabiskannya dalam sekali hadap.

(Aku bercakap pasal majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh jabatan aku ni di SDCC baru-baru ini. Itulah pertama kali aku ke sana. Pilihan makanan memang pelbagai dan banyak. Semua sedap-sedap belaka)

Bagai di jangka, memang tak habis pun makanan yang di ambil tak ingat dunia tu. Aku ni setakat tengok je pun rasa dah kenyang. Sebelum berbuka nafsu bermaharajela melihat beraneka santapan yang membuka selera. Memang terasa membazir. Alangkah elok kalau semua itu dapat disedekahkan kepada orang Somalia.

Tuesday, August 16, 2011

10 Filem Terlaris

Mari kita lihat senarai sepuluh filem yang meraih kutipan terbanyak di seluruh dunia sehingga sekarang seperti menurut artikel yang keluar dalam The Star hari ini. Kelakar juga baca rencana itu yang secara sarkastik mengutuk pencapaian Harry Potter terbaru yang hanya mampu mengaut satu bilion dollar di sebalik ramalan pihak studionya bahawa ia berupaya mencecah 10 bilion sekurang-kurangnya. Malah penulis tersebut juga berbangga kerana masih bertahan dengan tidak terpengaruh sama untuk menyertai sekian banyak peminat yang sudah pun menonton filem terakhir Harry Potter itu.

Inilah dia senarai ke sepuluh buah filem terlaris yang dimaksudkan.

1) Avatar (2009)

2) Titanic (1997)

3) The Lord of the Rings: Return of the King (2003)

4) Pirates of the Caribbean: Dead Man’s Chest (2006)

5) Toy Story 3 (2010)

6) Harry Potter and the Deathly Hallows Part 2 (2011)

7) Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides (2011)

8) Alice in Wonderland (2010)

9) Transformers: Dark of the Moon (2011)

10) The Dark Knight (2008)

Ada tiga buah filem yang aku tidak pernah tengok (dari awal hinggal habis) iaitu Titanic dan kedua-dua Pirates of the Caribbean. Kebetulan latar-belakang masing-masing pula melibatkan kapal dan lautan.

Enam di antaranya ialah sekuel (tujuh jika anda masukkan sekali The Dark Knight).

Aku menonton Dark Knight dua kali di panggung, yang lain-lain tengok sekali aje.

Dua daripadanya adalah genre animasi (dua kerana satu untuk Toy Story manakala Avatar dan Alice in Wonderland berkongsi setengah poin masing-masing)

Tiga merupakan produk yang pernah difilemkan sebelum ini iaitu Titanic, Dark Knight dan Alice in Wonderland

Johnny Depp membintangi tiga filem daripada senarai box-office ini.

Kedua tempat teratas didominasi oleh filem arahan James Cameron.

Ada empat buah filem yang masing-masing sedang dalam pertimbangan untuk di sambung iaitu Pirates of the Caribbean, Avatar, Toy Story dan Transformers manakala satu sekuel Dark Knight menanti tayangan bertajuk Dark Knight Rises.

Sunday, July 31, 2011

Harry Potter and the Deathly Hallows Part II

Keseronokan dan keperihan mengembara bersama Harry Potter dan rakan-rakan dalam dunia magis dan sulap mata akhirnya sampai ke penghujung. Walaupun tidak semua edisi filemnya aku ulas dan bukunya pun tidak di baca sepenuh siri, ini adalah episod kemuncak untuk menjelaskan fenomena budak berkuasa ajaib yang di buru lelaki jahat yang tidak boleh di sebut namanya. Aku tidak dapat bagi perbandingan kerana belum habis menelaah naskhah terakhir itu cuma sebagai pengikut yang tidak begitu setia, masih boleh memahami dan enjoy dengan hasil arahan David Yates tersebut. Pembahagian untuk kedua-duanya telah di potong cantik serta sinambungannya memang terasa cuba untuk mengukuhkan mood bagi kedua-dua pecahan filem terbabit.

Rasanya aku tidak pernah lagi berkongsi bagaimana aku mula-mula mendapat tahu tentang Harry Potter ini. Ia hanya berlaku apabila pada suatu hari aku membaca sebuah ruangan dalam akhbar The Edge yang mengulas tiga buku terawal siri berkenaan. Aku tidak dapat ingat sangat kandungan reviu tersebut sebab dah lama. Tapi tak silap aku penulis terbabit memberi pujian kepada pengarangnya JK Rowling kerana berjaya menghasilkan sebuah cerita yang pada dasarnya memfokuskan kepada kanak-kanak namun masih dapat menarik minat orang dewasa. Aku memang terpesona mengikuti ulasan itu dan teringin untuk memiliki bukunya walhal sebelum itu aku terperasan juga buku-buku ini ketika meninjau di kedai-kedai cuma aku tidak terfikir untuk membelek.

Filem ini di buka secara menyambung terus susulan adegan yang tergantung dari bahagian satu tentang Voldemort yang ingin menjarah kubur Dumbeldore bagi merampas ibu segala tongkat sakti di dalamnya dan Harry meratapi pemergian Dobby. Ia diikuti dengan kembara meneruskan pencarian saki-baki Horcruxes bersama dengan Ron dan Hermione bagi pastikan tangkal yang menyimpan jiwa abadi penjahat itu dapat dimusnahkan. Memang terasa agak mendadak juga babak-babak ini berlangsung sehingga kita tidak puas untuk sama-sama mengecapi advancer mereka yang tanpa disedari beberapa azimat maut itu sudah dapat dimusnahkan. Namun lakon layar yang di tulis oleh Steve Kloves ini memang mencabar kerana buku terakhir itu begitu tebal dan boleh makan bertahun nak habiskannya dan beliau melakukan kerja yang rumit untuk merangkumkan semunya supaya tampil unggul dan munasabah bagi sebuah tayangan berdurasi 2 jam 17 minit itu.

Semestinya adegan yang paling dinanti-nantikan oleh para peminat ialah pertembungan fizikal antara Harry Potter dengan Lord Voldemort. Akhirnya mereka dapat beradu kekuatan walaupun secara harfiah dengan ilmu sihir masing-masing demi menumpaskan lawan bagi melunaskan motif dan dendam. Walaupun dibayangkan bahawa ia sepatutnya menjadi lebih gempar dan mengerikan tapi pertarungan itu disifatkan agak berhemah dan jinak bagi seseorang yang bergelar Dark Lord dan seorang remaja lelaki tampak mudah sahaja untuk menewaskannya. Oleh kerana aku tidak tahu maklumat awal daripada bukunya, pendedahan tentang sikap dingin dan keras Profesor Snape terhadap Harry memang mengejutkan. Ia sangat berkesan dalam sepanjang-panjang cerita itu yang bagiku Alan Rickman begitu berdedikasi melakonkannya. Dan tentu sekali Daniel Radcliff bersama Emma Watson dan Rupert Grint wajar di beri tepukan syabas kerana berjaya memikul tugas berat merealisasikan watak-watak ikonik itu sejak usia hijau lagi.

Aku pernah sebut dahulu bahawa Rowling telah menunaikan tanggungjawab sosial yang hebat dalam menyuburkan semula minat membaca dalam jiwa kanak-kanak. Beliau menyemarakkan daya imaginasi dan kreativiti bagi merangsang generasi zaman IT ini supaya keluar dari kepompong gajet dan meneroka segenap potensi yang mampu membuahkan idea lumayan. Bercakap pasal lumayan, terkini filem Harry Potter terbaru ini telah mengatasi jumlah semua kutipan filem lain setakat ini secara global. Pelbagai merchandise, produk dan bisnes telah terbit sejak berjangkitnya virus budak lelaki berparut petir ini. Dengan siri novela Twilight yang dilihat turut menzahirkan kegilaan serupa, kita berharap lebih banyak lagi senario begitu dapat dicetuskan menerusi sebuah sumber maklumat tradisional yang kita panggil buku.

Tuesday, July 26, 2011

Transfomers: Dark of the Moon

Rasanya aku tidak betul-betul ingat tentang Revenge of the Fallen yang keluar pada tahun 2009 dahulu. Di samping malas pula aku ingin membuat kaji selidik serba-sedikit sebelum keluar menonton instalasi terbaru filem tentang robot-robot boleh bertukar rupa ini. Kekangan itu membuatkan isteri di sebelah yang tidak pernah menonton Transformers bertubi-tubi menanyakan itu ini sepanjang filem berlangsung sampai aku main bantai aje jawab. Hanya filem pertama saja yang aku ingat dengan agak meyakinkan (lagipun tengok sampai dua kali dan sambung dengan dvd lagi tu). Jadi memori itu masih berlegar dan hidup tatkala menyaksikan Optimus Prime dan Megatron akhirnya bernyawa secara realiti di depan mata. Sekuel yang terbit selepas itu sudah malap sedikit semangatnya untuk diikuti kerana terasa Micheal Bay macam main bantai aje buat.

(Maaf, aku dah tak ingat apa ke benda yang isteri aku tanya masa tu. Salah satu soalan tu rasa-rasanya ialah pasal dua ekor robot kecil yang selalu muncul buat lawak macam badut sama ada mereka adalah puak yang baik atau pihak yang jahat? Aku balas, mula-mula diorang (diorobot?) tu jahat, tapi selepas ada kejadian apa entah, mereka jadi insaf dan terus masuk kumpulan baik... he he he)

Menurut beberapa reviu yang aku baca Bay sepatutnya mengarah filem yang begitu, keseluruhannya komedi kerana nampaknya bakat beliau lebih ke arah itu. Dengan aksi robot kecil yang kerap muncul beraksi jenaka serta Shia LaBeouf yang perwatakan humornya lebih memberi rasa berbanding babaknya ketika saat cemas atau amarah yang emosinya di buat-buat. Mungkin LaBeouf sendiri tidak dapat mengambil serius tentang filem ini. Dari segi lagak ngeri dan aksi lasak, pengarahnya memang mengeksploitasi segala sudut yang ada bagi memenuhi setiap ruang seakan melepaskan geram. Aku suka dengan paparan wingsuit base jumping yang cuba dipopularkan menerusi satu adegan di sini yang sungguh cool.

Sebenarnya aku tidak berapa faham jalan ceritanya semasa menonton kerana tidak dapat konsentrasi dan urutan dari filem terdahulu yang aku sudah tiada idea mengenainya serta mungkin plotnya sendiri yang memang di reka berserabut? Sama ada pelakon tersohor atau para Transformer itu yang gagal memberi kredibiliti kepada francais yang sangat terkenal ini ia memang tidak berdaya untuk melakukan apa-apa jika garapan ceritanya sekadar tangkap muat tanpa isi yang jitu dan berwibawa. Bay seperti biasa akan lebih menitik beratkan penghasilan imej janaan komputer bagi kesan realistik dan supaya faktor wow itu lebih melekat pada sanubari penonton. Tapi beliau sepatutnya lebih perincikan kemasan teknologi tersebut supaya ia tidak kelihatan bersepah atau terlalu cepat.

Wednesday, July 20, 2011

Murder 2

Jangan tanya aku pasal filem Murder 1 sebab aku tak tengok. Tapi tak pasal-pasal aku pergi tengok pula sekuelnya tanpa ada keperluan. Sebelum itu aku ada membaca sedikit perihal filem tersebut di cinemaonline yang katanya ia tidak ada kaitan dengan produk pertama itu. Cuma pelakon lelakinya, Emraan Hashmi saja yang masih kekal. Manakala Mallika Sherawat tidak kembali dan heroin baru yang menyerikan layar kali ini ialah seorang ratu cantik dari Sri Langka yang aku tidak pernah kenal. Namun dengan bersandarkan pada rupa paras jelita dan tubuh yang seksi menggiurkan, itu sudah cukup sebagai pengenalan.

Menurut sinopsis yang aku baca, ia masih berpusatkan kepada kisah seorang polis bad-ass di Goa yang berhenti kerja sebab ingin mendapatkan habuan lebih lumayan dengan mengambil tugasan tertentu yang di upah oleh ketua gangster di tempatnya. Semua ini kerana kesempitan hidup keluarganya membuatkan mereka perlu survive dengan cara sedemikian keji untuk menghalalkan cara. Yang penting imbuhannya mesti kencang barulah setimpal dengan risiko yang perlu si bekas polis ini tempuhi. Dalam filem yang kedua ini pula, Arjun lakonan Emraan telah menyambung watak mantan penguasa itu dengan menjejaki kes gadis-gadis yang hilang disyaki melarikan diri daripada sindiket pelacuran yang beroperasi di sana.

Untuk cerita kali ini, aku mendapat tahu bahawa ia menceduk idea daripada filem Korea, The Chaser yang aku tak pernah tengok jadi susah lah nak bandingkan. Tapi memang selalu kita dengar pun yang mereka sering “mengadaptasi” mana-mana produk luar dan diubahsuai mengikut citarasa sendiri. Filem ini aku kira agak ekstrem mengikut standard aku yang tidak selalu menonton cerita Hindi ini apabila subjek penderaan dan pembunuhan kejam dan tidak ketinggalan aksi berahi yang begitu berleluasa sepanjang durasi. Namun beberapa unsur melodrama yang klise turut termuat secara minimum dan futej lagu-lagu latar ala video klip masih perlu diselitkan sebagai trademark. Tentu menarik kalau aku dapat pastikan bahagian filem Korea mana yang dimasukkan dan bahagian mana yang di tokok tambah dalam Murder 2 ini.

Permulaan cerita menyaksikan seorang wanita telah di bunuh setelah puas beliau meliuk-lentuk menari penuh sensasi di sebuah rumah. Namun pembunuh misteri itu di beri bayangan bahawa beliau adalah seorang lelaki berpakaian wanita yang modus operandinya boleh dikatakan agak memeningkan dengan twist yang tidak dapat di jangka. Beberapa imej Kristian yang dikaitkan dengan Arjun tidak dapat difahami secara jelas kerana di beritahu bahawa ia turut di angkat daripada filem asal tersebut. Rumusannya Murder 2 ini boleh dikatakan terlalu dewasa untuk menjadi tontonan seisi keluarga di petang Sabtu.

Saturday, July 16, 2011

Attack the Block

Kalau anda tertarik untuk menonton filem ini kerana terkilas dengan nota "Daripada Penerbit Shaun of the Dead" pada poster, itu boleh difahami. Nama-nama pelakon memang tidak dikenali dan promosi juga sekadar reviu menerusi blog dan suratkhabar dan ia pula tidak memberangsangkan. Selain itu jika anda membaca sinopsisnya terasa ia bagai menjanjikan suatu cerita yang boleh di layan, itu aku boleh jamin. Hanya sama ada kepuasan dapat diberikan seperti mana kisah-kisah makhluk asing yang lain, itu susah aku nak cakap.

Pembukaan filem telah menyaksikan seorang wanita dewasa di samun oleh sekumpulan kanak-kanak samseng. OMG. Aku terus teringatkan Eden Lake yang juga merupakan produksi dari Britain yang sangat memualkan tetapi efektif. Tetapi cerita ini ada melibatkan entiti angkasa lepas bukan? Jadi tidak akan berlaku adegan perempuan tadi terpaksa menyelamatkan diri daripada terus di buru dan di seksa oleh budak-budak jahat melampau. Sebaliknya si mangsa dan kumpulan gangster cilik itu terpaksa bekerjasama untuk menyelamatkan diri dan blok pangsapuri kusam mereka daripada serangan sejenis hidupan yang mereka sendiri tidak pasti apakah spesisnya. Mereka menyembunyikan bangkai makhluk tersebut di satu unit rumah di sana yang merupakan tempat urusniaga dadah kerana berpendapat di situ paling selamat sebelum mereka dapat mengambil langkah selanjutnya.

Nick Frost yang merupakan satu-satunya muka yang dapat di cam di sini, membintangi filem kedua beliau melibatkan makhluk asing selepas Paul (yang aku tak sempat tengok) memegang peranan sebagai pengedar kecil-kecilan cuma kali ini beliau seakan tidak punya perasaan bahawa kediaman mereka sedang di ancam bahaya. Manakala remaja dan wanita itu pula setelah menyedari bahawa lebih banyak hidupan bergigi lutsinar dan berbulu legam tersebut yang muncul dan mengganas di sekitar tempat tinggal mereka terpaksa berikhtiar dan bertindak sendiri dalam peperangan dengan sesuatu yang bukan berasal dari bumi. Falsafahnya di sini mungkin kita tidak boleh memperlekehkan anak-anak dan kaum hawa yang mungkin boleh di harap menjadi benteng terakhir untuk mempertahankan planet ini daripada anasir yang menggugat keamanan. Eh, dah bunyi macam kempen jangan menyertai apa-apa perhimpunan jalanan pulak.

Filem ini yang merupakan arahan sulung Joe Cornish mengambil lokasi tempat beliau membesar di selatan London sebagai latar setnya. Kemudian beliau kembangkan imaginasinya supaya kawasan terbabit mengalami serangan oleh segerombolan makhluk asing yang licik dan brutal. Terbatas oleh kekangan belanjawan untuk menghasilkan sebuah filem genre begini yang kita sangka penuh dengan imej janaan komputer untuk kesan khas bagi sesuatu yang melibatkan angkasa lepas tetapi beliau menggunakan taktik kamera dan fokus pada tempat yang terhad bagi melunaskan sebuah cerita yang boleh di kira mencabar logistik. Cuma kita mungkin rasa pening kerana kerap sangat ambilan jarak dekat dan kamera huyung-hayang pada kebanyakan masa sedikit mengganggu. Juga dialog mereka yang tidak mesra di pendengaran dengan slanga moden yang susah di fahami.