Sunday, July 31, 2011

Harry Potter and the Deathly Hallows Part II

Keseronokan dan keperihan mengembara bersama Harry Potter dan rakan-rakan dalam dunia magis dan sulap mata akhirnya sampai ke penghujung. Walaupun tidak semua edisi filemnya aku ulas dan bukunya pun tidak di baca sepenuh siri, ini adalah episod kemuncak untuk menjelaskan fenomena budak berkuasa ajaib yang di buru lelaki jahat yang tidak boleh di sebut namanya. Aku tidak dapat bagi perbandingan kerana belum habis menelaah naskhah terakhir itu cuma sebagai pengikut yang tidak begitu setia, masih boleh memahami dan enjoy dengan hasil arahan David Yates tersebut. Pembahagian untuk kedua-duanya telah di potong cantik serta sinambungannya memang terasa cuba untuk mengukuhkan mood bagi kedua-dua pecahan filem terbabit.

Rasanya aku tidak pernah lagi berkongsi bagaimana aku mula-mula mendapat tahu tentang Harry Potter ini. Ia hanya berlaku apabila pada suatu hari aku membaca sebuah ruangan dalam akhbar The Edge yang mengulas tiga buku terawal siri berkenaan. Aku tidak dapat ingat sangat kandungan reviu tersebut sebab dah lama. Tapi tak silap aku penulis terbabit memberi pujian kepada pengarangnya JK Rowling kerana berjaya menghasilkan sebuah cerita yang pada dasarnya memfokuskan kepada kanak-kanak namun masih dapat menarik minat orang dewasa. Aku memang terpesona mengikuti ulasan itu dan teringin untuk memiliki bukunya walhal sebelum itu aku terperasan juga buku-buku ini ketika meninjau di kedai-kedai cuma aku tidak terfikir untuk membelek.

Filem ini di buka secara menyambung terus susulan adegan yang tergantung dari bahagian satu tentang Voldemort yang ingin menjarah kubur Dumbeldore bagi merampas ibu segala tongkat sakti di dalamnya dan Harry meratapi pemergian Dobby. Ia diikuti dengan kembara meneruskan pencarian saki-baki Horcruxes bersama dengan Ron dan Hermione bagi pastikan tangkal yang menyimpan jiwa abadi penjahat itu dapat dimusnahkan. Memang terasa agak mendadak juga babak-babak ini berlangsung sehingga kita tidak puas untuk sama-sama mengecapi advancer mereka yang tanpa disedari beberapa azimat maut itu sudah dapat dimusnahkan. Namun lakon layar yang di tulis oleh Steve Kloves ini memang mencabar kerana buku terakhir itu begitu tebal dan boleh makan bertahun nak habiskannya dan beliau melakukan kerja yang rumit untuk merangkumkan semunya supaya tampil unggul dan munasabah bagi sebuah tayangan berdurasi 2 jam 17 minit itu.

Semestinya adegan yang paling dinanti-nantikan oleh para peminat ialah pertembungan fizikal antara Harry Potter dengan Lord Voldemort. Akhirnya mereka dapat beradu kekuatan walaupun secara harfiah dengan ilmu sihir masing-masing demi menumpaskan lawan bagi melunaskan motif dan dendam. Walaupun dibayangkan bahawa ia sepatutnya menjadi lebih gempar dan mengerikan tapi pertarungan itu disifatkan agak berhemah dan jinak bagi seseorang yang bergelar Dark Lord dan seorang remaja lelaki tampak mudah sahaja untuk menewaskannya. Oleh kerana aku tidak tahu maklumat awal daripada bukunya, pendedahan tentang sikap dingin dan keras Profesor Snape terhadap Harry memang mengejutkan. Ia sangat berkesan dalam sepanjang-panjang cerita itu yang bagiku Alan Rickman begitu berdedikasi melakonkannya. Dan tentu sekali Daniel Radcliff bersama Emma Watson dan Rupert Grint wajar di beri tepukan syabas kerana berjaya memikul tugas berat merealisasikan watak-watak ikonik itu sejak usia hijau lagi.

Aku pernah sebut dahulu bahawa Rowling telah menunaikan tanggungjawab sosial yang hebat dalam menyuburkan semula minat membaca dalam jiwa kanak-kanak. Beliau menyemarakkan daya imaginasi dan kreativiti bagi merangsang generasi zaman IT ini supaya keluar dari kepompong gajet dan meneroka segenap potensi yang mampu membuahkan idea lumayan. Bercakap pasal lumayan, terkini filem Harry Potter terbaru ini telah mengatasi jumlah semua kutipan filem lain setakat ini secara global. Pelbagai merchandise, produk dan bisnes telah terbit sejak berjangkitnya virus budak lelaki berparut petir ini. Dengan siri novela Twilight yang dilihat turut menzahirkan kegilaan serupa, kita berharap lebih banyak lagi senario begitu dapat dicetuskan menerusi sebuah sumber maklumat tradisional yang kita panggil buku.

Tuesday, July 26, 2011

Transfomers: Dark of the Moon

Rasanya aku tidak betul-betul ingat tentang Revenge of the Fallen yang keluar pada tahun 2009 dahulu. Di samping malas pula aku ingin membuat kaji selidik serba-sedikit sebelum keluar menonton instalasi terbaru filem tentang robot-robot boleh bertukar rupa ini. Kekangan itu membuatkan isteri di sebelah yang tidak pernah menonton Transformers bertubi-tubi menanyakan itu ini sepanjang filem berlangsung sampai aku main bantai aje jawab. Hanya filem pertama saja yang aku ingat dengan agak meyakinkan (lagipun tengok sampai dua kali dan sambung dengan dvd lagi tu). Jadi memori itu masih berlegar dan hidup tatkala menyaksikan Optimus Prime dan Megatron akhirnya bernyawa secara realiti di depan mata. Sekuel yang terbit selepas itu sudah malap sedikit semangatnya untuk diikuti kerana terasa Micheal Bay macam main bantai aje buat.

(Maaf, aku dah tak ingat apa ke benda yang isteri aku tanya masa tu. Salah satu soalan tu rasa-rasanya ialah pasal dua ekor robot kecil yang selalu muncul buat lawak macam badut sama ada mereka adalah puak yang baik atau pihak yang jahat? Aku balas, mula-mula diorang (diorobot?) tu jahat, tapi selepas ada kejadian apa entah, mereka jadi insaf dan terus masuk kumpulan baik... he he he)

Menurut beberapa reviu yang aku baca Bay sepatutnya mengarah filem yang begitu, keseluruhannya komedi kerana nampaknya bakat beliau lebih ke arah itu. Dengan aksi robot kecil yang kerap muncul beraksi jenaka serta Shia LaBeouf yang perwatakan humornya lebih memberi rasa berbanding babaknya ketika saat cemas atau amarah yang emosinya di buat-buat. Mungkin LaBeouf sendiri tidak dapat mengambil serius tentang filem ini. Dari segi lagak ngeri dan aksi lasak, pengarahnya memang mengeksploitasi segala sudut yang ada bagi memenuhi setiap ruang seakan melepaskan geram. Aku suka dengan paparan wingsuit base jumping yang cuba dipopularkan menerusi satu adegan di sini yang sungguh cool.

Sebenarnya aku tidak berapa faham jalan ceritanya semasa menonton kerana tidak dapat konsentrasi dan urutan dari filem terdahulu yang aku sudah tiada idea mengenainya serta mungkin plotnya sendiri yang memang di reka berserabut? Sama ada pelakon tersohor atau para Transformer itu yang gagal memberi kredibiliti kepada francais yang sangat terkenal ini ia memang tidak berdaya untuk melakukan apa-apa jika garapan ceritanya sekadar tangkap muat tanpa isi yang jitu dan berwibawa. Bay seperti biasa akan lebih menitik beratkan penghasilan imej janaan komputer bagi kesan realistik dan supaya faktor wow itu lebih melekat pada sanubari penonton. Tapi beliau sepatutnya lebih perincikan kemasan teknologi tersebut supaya ia tidak kelihatan bersepah atau terlalu cepat.

Wednesday, July 20, 2011

Murder 2

Jangan tanya aku pasal filem Murder 1 sebab aku tak tengok. Tapi tak pasal-pasal aku pergi tengok pula sekuelnya tanpa ada keperluan. Sebelum itu aku ada membaca sedikit perihal filem tersebut di cinemaonline yang katanya ia tidak ada kaitan dengan produk pertama itu. Cuma pelakon lelakinya, Emraan Hashmi saja yang masih kekal. Manakala Mallika Sherawat tidak kembali dan heroin baru yang menyerikan layar kali ini ialah seorang ratu cantik dari Sri Langka yang aku tidak pernah kenal. Namun dengan bersandarkan pada rupa paras jelita dan tubuh yang seksi menggiurkan, itu sudah cukup sebagai pengenalan.

Menurut sinopsis yang aku baca, ia masih berpusatkan kepada kisah seorang polis bad-ass di Goa yang berhenti kerja sebab ingin mendapatkan habuan lebih lumayan dengan mengambil tugasan tertentu yang di upah oleh ketua gangster di tempatnya. Semua ini kerana kesempitan hidup keluarganya membuatkan mereka perlu survive dengan cara sedemikian keji untuk menghalalkan cara. Yang penting imbuhannya mesti kencang barulah setimpal dengan risiko yang perlu si bekas polis ini tempuhi. Dalam filem yang kedua ini pula, Arjun lakonan Emraan telah menyambung watak mantan penguasa itu dengan menjejaki kes gadis-gadis yang hilang disyaki melarikan diri daripada sindiket pelacuran yang beroperasi di sana.

Untuk cerita kali ini, aku mendapat tahu bahawa ia menceduk idea daripada filem Korea, The Chaser yang aku tak pernah tengok jadi susah lah nak bandingkan. Tapi memang selalu kita dengar pun yang mereka sering “mengadaptasi” mana-mana produk luar dan diubahsuai mengikut citarasa sendiri. Filem ini aku kira agak ekstrem mengikut standard aku yang tidak selalu menonton cerita Hindi ini apabila subjek penderaan dan pembunuhan kejam dan tidak ketinggalan aksi berahi yang begitu berleluasa sepanjang durasi. Namun beberapa unsur melodrama yang klise turut termuat secara minimum dan futej lagu-lagu latar ala video klip masih perlu diselitkan sebagai trademark. Tentu menarik kalau aku dapat pastikan bahagian filem Korea mana yang dimasukkan dan bahagian mana yang di tokok tambah dalam Murder 2 ini.

Permulaan cerita menyaksikan seorang wanita telah di bunuh setelah puas beliau meliuk-lentuk menari penuh sensasi di sebuah rumah. Namun pembunuh misteri itu di beri bayangan bahawa beliau adalah seorang lelaki berpakaian wanita yang modus operandinya boleh dikatakan agak memeningkan dengan twist yang tidak dapat di jangka. Beberapa imej Kristian yang dikaitkan dengan Arjun tidak dapat difahami secara jelas kerana di beritahu bahawa ia turut di angkat daripada filem asal tersebut. Rumusannya Murder 2 ini boleh dikatakan terlalu dewasa untuk menjadi tontonan seisi keluarga di petang Sabtu.

Saturday, July 16, 2011

Attack the Block

Kalau anda tertarik untuk menonton filem ini kerana terkilas dengan nota "Daripada Penerbit Shaun of the Dead" pada poster, itu boleh difahami. Nama-nama pelakon memang tidak dikenali dan promosi juga sekadar reviu menerusi blog dan suratkhabar dan ia pula tidak memberangsangkan. Selain itu jika anda membaca sinopsisnya terasa ia bagai menjanjikan suatu cerita yang boleh di layan, itu aku boleh jamin. Hanya sama ada kepuasan dapat diberikan seperti mana kisah-kisah makhluk asing yang lain, itu susah aku nak cakap.

Pembukaan filem telah menyaksikan seorang wanita dewasa di samun oleh sekumpulan kanak-kanak samseng. OMG. Aku terus teringatkan Eden Lake yang juga merupakan produksi dari Britain yang sangat memualkan tetapi efektif. Tetapi cerita ini ada melibatkan entiti angkasa lepas bukan? Jadi tidak akan berlaku adegan perempuan tadi terpaksa menyelamatkan diri daripada terus di buru dan di seksa oleh budak-budak jahat melampau. Sebaliknya si mangsa dan kumpulan gangster cilik itu terpaksa bekerjasama untuk menyelamatkan diri dan blok pangsapuri kusam mereka daripada serangan sejenis hidupan yang mereka sendiri tidak pasti apakah spesisnya. Mereka menyembunyikan bangkai makhluk tersebut di satu unit rumah di sana yang merupakan tempat urusniaga dadah kerana berpendapat di situ paling selamat sebelum mereka dapat mengambil langkah selanjutnya.

Nick Frost yang merupakan satu-satunya muka yang dapat di cam di sini, membintangi filem kedua beliau melibatkan makhluk asing selepas Paul (yang aku tak sempat tengok) memegang peranan sebagai pengedar kecil-kecilan cuma kali ini beliau seakan tidak punya perasaan bahawa kediaman mereka sedang di ancam bahaya. Manakala remaja dan wanita itu pula setelah menyedari bahawa lebih banyak hidupan bergigi lutsinar dan berbulu legam tersebut yang muncul dan mengganas di sekitar tempat tinggal mereka terpaksa berikhtiar dan bertindak sendiri dalam peperangan dengan sesuatu yang bukan berasal dari bumi. Falsafahnya di sini mungkin kita tidak boleh memperlekehkan anak-anak dan kaum hawa yang mungkin boleh di harap menjadi benteng terakhir untuk mempertahankan planet ini daripada anasir yang menggugat keamanan. Eh, dah bunyi macam kempen jangan menyertai apa-apa perhimpunan jalanan pulak.

Filem ini yang merupakan arahan sulung Joe Cornish mengambil lokasi tempat beliau membesar di selatan London sebagai latar setnya. Kemudian beliau kembangkan imaginasinya supaya kawasan terbabit mengalami serangan oleh segerombolan makhluk asing yang licik dan brutal. Terbatas oleh kekangan belanjawan untuk menghasilkan sebuah filem genre begini yang kita sangka penuh dengan imej janaan komputer untuk kesan khas bagi sesuatu yang melibatkan angkasa lepas tetapi beliau menggunakan taktik kamera dan fokus pada tempat yang terhad bagi melunaskan sebuah cerita yang boleh di kira mencabar logistik. Cuma kita mungkin rasa pening kerana kerap sangat ambilan jarak dekat dan kamera huyung-hayang pada kebanyakan masa sedikit mengganggu. Juga dialog mereka yang tidak mesra di pendengaran dengan slanga moden yang susah di fahami.

Thursday, July 14, 2011

Tolong! Awek Aku Pontianak

Aku tidak tahu sama ada Zahiril Adzim boleh atau tidak membawa watak selain daripada lelaki ganas dan panas baran bersesuaian dengan air mukanya yang serius dan keras itu. Lebih-lebih lagi sekarang dia sedang popular di kaca tv menerusi drama Juvana sebagai pesalah remaja yang di hukum di sekolah budak-budak nakal. Aku tengok pun sebab isteri yang selalu ikut drama-drama Melayu ni. Aku pun layan jugalah sekali. Dalam siri tersebut, Zahiril yang berpenampilan seperti gangster perlu lebih variasikan emosinya kerana isi plot yang berlapis melibatkannya sangat bergantung pada lakonan dan memek wajah bagi melontarkan ekspresi. Apabila muncul adegan yang dia perlu meraih simpati dan di kasihan belas, nampaknya berjaya juga dia menjentik perasaan penonton.

Kini dengan raut tampang yang pongah itu dia harus menakluk jiwa khalayak secara lebih menyeluruh lagi kerana dalam Tolong! Awek Aku Pontianak karektornya sebagai Bob, seorang loser yang di tindas dan lemah serta mudah di buli memaksanya untuk muncul meyakinkan sebagai insan yang perlu di beri sokongan moral begitu kerana hidup peribadi dan kerjayanya yang tidak menyebelahi. Filem terbaru disuguhkan oleh James Lee ini berkisarkan perihal beliau yang tinggal serumah dengan Pian, seorang kawan yang sengal tetapi begitu meladeni Bob dengan sifatnya yang komikal namun berasas. Fasa kehidupan mereka kian tercabar apabila berpindah di sebuah kompleks pangsapuri yang usang dan serabai habis dan berjiran dengan pendatang kulit hitam dan makhluk alam hitam.

Kisah cinta bercampur komedi nuansa seram ini memang terasa bergerak kemas dan agak senang di fahami kerana ia tidak dijengkelkan oleh elemen tambahan yang tiada sangkut-paut. Terutama kalau ada unsur jenaka slapstick dan memualkan sekadar untuk buat orang ketawa. Manakala filem ini membiarkan lelucon itu terbit secara bersahaja terutama menerusi watak Pian dan aktor-aktor pembantu yang begitu ramai seperti Afdlin Shauki, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Harun Salim Bachik. Malah bibit awal pertemuan dua budak bujang ini dengan jiran mereka yang bukan manusia itu turut terbias komedinya walaupun ia boleh menjadi agak menyeramkan. Satu lagi kredit kepada dua rakan sepejabat Bob yang turut terkesan lucunya walaupun mereka tidaklah berusaha untuk berlawak tetapi jika benda itu kelakar, ia tetap bisa menggeletekkan.

Aku memang memuji jalan ceritanya yang sepatutnya senang di terima oleh kelompok penonton dengan tidak memperlekehkan iq mereka dan tetap menjadi sejenis hiburan yang nyaman. Berdasarkan aliran sekarang yang masih kental dengan genre hantu, cinta dan komedi, Tolong! Awek Aku Pontianak, sudah menyajikan semua bumbu itu dalam satu naskhah. Malah tajuknya sendiri sudah boleh buat orang tersengih. Cuma tinggal lagi potensinya untuk tembus ke sasaran ramai supaya boleh belajar menerima sebuah filem yang bersandarkan pada jalan cerita tersusun, ada sinambungannya dan tersirat makna yang boleh di gali mendalam.

Monday, July 11, 2011

The Infidel

P/S: Filem lakonan Zizan Razak yang pertama ialah Duhai Si Pari-Pari mengikut laman ini memegang peranan sebagai penyamun.

Kalau ditakdirkan suatu hari nanti anda mengetahui bahawa anda yang Islam ini merupakan keturunan Yahudi, bagaimanakah agaknya tahap penerimaan anda? Terus pitam? Rasa tergamam? Tak percaya? Rasa terhina? Bersyukur? Dalam Infidel, seorang lelaki Islam yang nampak tak begitu ambil kisah amalan agamanya tiba-tiba jadi gelabah dan kalut habis setelah mendapat tahu susur-galurnya berasal daripada bangsa tersebut manakala keIslamannya cuma terjadi setelah dia menjadi anak angkat kepada keluarga Muslim yang membelanya sejak bayi.

Aku pun tidak faham kenapa dia perlu menjadi kelam-kabut macam tu apabila mendapat tahu yang dia berketurunan Yahudi sebenarnya. Walaupun memang kelakarlah bila dipaparkan adegan-adegan yang menunjukkan dia gabra dan panik tak tentu pasal semata-mata mendapati dia berasal daripada suatu bangsa yang berseteru dengan umat Islam.

Mahmud Nasir mengalami krisis identiti tersebut apabila anaknya ingin melangsungkan perkahwinan dengan sebuah keluarga yang dianggotai oleh seorang pemimpin radikal sedangkan dalam masa yang sama dia baru saja mendapat tahu yang dia adalah anak angkat apabila terbelek sijil kelahirannya tatkala membersihkan rumah peninggalan ibunya yang baru arwah. Dia yang rasa tertipu sepanjang hidupnya dan mempunyai stigma terhadap Yahudi seperti lazimnya penganut Islam, berusaha untuk mengenali bapa kandung dan belajar serba sedikit tentang budaya kaum sebenarnya itu. Dalam masa yang sama pula, dia berusaha untuk tampil lebih Islamik demi mengambil hati keluarga bakal besannya supaya anaknya di terima jadi menantu mengikut garis panduan kaum kerabat si perempuan yang sangat taat beragama.

Isu yang di sentuh dalam filem ini sangat sensitif tetapi nampaknya telah di beri garapan humor yang sedikit berlebihan namun masih berhati-hati. Hubungkait antara dua anutan dan bangsa dalam sentuhan komedi British yang senang di tangkap dan relevan untuk dunia hari ini. Para penonton yang bersama-sama mengikuti filem ini denganku boleh dikatakan sepanjang masa tergelak dan majoriti yang menontonnya ialah dari Asia Barat. Dengan terbitnya sebuah cerita begini walaupun ia tidak mungkin boleh menyelesaikan krisis di sana, sekurang-kurangnya senario yang dicetuskan dalam Infidel ini adalah isyarat bahawa segalanya adalah bahan jenaka jika tidak cuba mengatasi konflik dan permusuhan dengan minda terbuka, toleransi dan manusiawi.

Wednesday, June 29, 2011

KL Gangster

Jika bapanya dahulu mendapat gelaran Six Million Dollar Man, kini giliran anaknya pula yang bukan setakat dapat gelaran, malah jauh daripada itu sudah mengatasi aras yang diletakkan si bapa dengan RM 8 juta (Khurafat) dan terbaru KL Gangster (11 juta dan masih mengutip). Nampaknya filem bertemakan keganasan dan aksi lasak mendominasi carta pecah panggung di Malaysia setelah Kongsi yang lebih awal ditayangkan mencatat jumlah yang lumayan juga sebanyak 8 juta ringgit. Aku tidak menonton Kongsi setelah membaca banyak reviu yang tidak memihak kepada filem tersebut. Manakala KL Gangster ini pula aku sudah rancang berkali-kali untuk menontonnya tetapi asyik tak jadi.

Di dalam kehangatan Transformer: Dark of the Moon memonopoli slot tayangan, nasib baiklah filem terbaru arahan Syamsul Yusof ini ada lagi bermain di satu dua panggung yang masih percaya ia mampu lagi untuk menarik khalayak. Aku menontonnya bukanlah semata-mata kerana faktor ia telah memungut angka pulangan yang luar biasa itu tetapi sebab aku boleh dikatakan ikuti juga perjalanan karier beliau. Bermula dengan Evolusi KL Drift dan Khurafat, kali ini dengan KL Gangster, cuma aku tidak tengok semua dan belum pernah mengulas apa-apa karya Syamsul di sini. Untuk entry ini pun yang sudah beberapa hari tertangguh, aku tidak mahu memaparkan pandangan peribadi aku mengenainya. Cukuplah aku cakap yang aku terhibur dan sekian banyak reviu yang aku baca tentangnya menepati apa yang berlegar di fikiranku juga.

Jika anda merasakan jalan cerita yang dipaparkan dalam KL Gangster itu kurang jelas serta tidak diperincikan masalah ke’gengster”an yang melanda lelaki-lelaki samseng ini, jangan bimbang. Filem ini akan keluar prekuel bagi mengetengahkan kisah awalan yang menjadi titik-tolak kepada ke semua aksi ganas dan brutal seperti yang telah dihamburkan kepada kita ini. Memang aspek penceritaan yang agak celaru dan serabut sedikit mengurangkan konsentrasi lebih-lebih lagi motif sebenar yang menyebabkan permusuhan mereka tidak di kupas selain sekadar perebutan kawasan, ahli berpaling tadah serta dendam yang pincang. Tetapi Syamsul menimbal itu semua dengan kareograf lagak ngeri yang meyakinkan dan boleh di puji. Lagi pun beliau memang bermula dengan filem genre begini jadi semakin cekatan dalam menghasilkan aksi lasak yang agak setanding dengan produksi luar.

Sekadar suka-suka, aku mengandaikan yang sambutan luar dugaan diterima oleh KL Gangster ini kerana:

1) Kontroversi saman yang di cetuskan oleh kumpulan Pekida kerana mendakwa yang filem terbabit membongkar kata laluan dan kod rahsia pertubuhan berkenaan menerusi dialog-dialognya. Jadi, mungkin begitu ramai orang membanjiri panggung semata-mata untuk mendapatkan maklumat rahsia yang selama ini begitu sulit untuk dipecahkan kodnya.(Betul ke?!)

2) Penangan drama lewat petang Nora Elena yang dilakonkan oleh Aaron Aziz yang membuatkan ramai anak dara dan kakak-kakak terigau-igau akan pelakon dari Temasik ini. Jika dalam drama beliau menjadi Seth Tan yang romantik dan penyabar, dalam filem pula beliau menjadi "setan" yang sudah insaf dan penyabar (tapi bergantung pada keadaan).

3) Mungkin faktor Zizan. Beliau yang sedang top dengan Maharaja Lawak pada ketika itu bergandingan dengan Johan, membuatkan para peminatnya berpusu-pusu ke panggung untuk menyaksikan penampilan pertama Zizan di layar lebar. (Rasanyalah, kena check semula fakta ini). Dalam KL Gangster beliau sangat kelakar berbanding ketika dalam program tv tersebut, Johan yang paling menyerlah lawaknya.

4) Boleh jadi ada kalangan peminat filem bercorak begini yang masih berbulu dengan Kongsi yang caca-marba jalan ceritanya memilih untuk menonton KL Gangster pula sebagai menebus kekecewaan. Dan hasilnya memang lebih daripada apa yang mereka harapkan. Lantas mereka promosikan pula kepada geng-geng yang lain dan mereka turut menonton berulang-kali sebagai menghargai filem yang sepatutnya layak menerima label gengster kongsi gelap.

Thursday, June 23, 2011

Laddaland

Menonton Laddaland mengingatkan aku pada sebuah lagi filem Thailand yang menggunakan acuan serupa bertajuk Ghost House. Cuma Laddaland ini walaupun tidak mengumpan perkataan hantu pada judulnya tapi sekurang-kurangnya masih menepati gambaran kasar yang dimomokkan pada penonton melalui poster dan trailernya yang mendakwa ia sebuah kisah seram yang total. Berbanding dengan Ghost House yang sangat menyeleweng dan menganiaya menerusi promosi kononnya ia sejenis filem horror yang berlaku di sebuah rumah berpuaka. Tapi sebenarnya bukan.

Laddaland mengeksploitasi strategi pemasaran dengan mengaitkan stigma bahawa sebarang filem yang datang dari Siam hanya mampu di jual jika ianya bergenre seram selain bercorak aksi lasak. Malah ia menjadi satu bonus pula jika terdapat nota tambahan bahawa cerita tersebut berdasarkan kejadian benar yang menjadi kontroversi di sana. Di sebut bahawa sebuah taman perumahan di Chiang Mai dengan kawalan keselamatan rapi akhirnya ditinggalkan usang setelah beberapa siri pembunuhan misteri dan aktiviti mistik dilaporkan berlaku di situ. Maka filem ini pun di bikin disesuaikan dengan peristiwa berkenaan.

Pada permulaan filem ini kita tidak diberikan apa-apa gambaran bahawa ia sebuah filem seram seperti yang dijanjikan. Rumah yang di hias indah dan bapa berpenampilan penyayang dengan latar-belakang warna cantik berseri kelihatan seperti sebuah drama keluarga siaran petang untuk tontonan suri-surirumahtangga. Kalau ada yang membaca sinopsis filem yang disediakan di laman web, kita diberitahu bahawa bapa tadi sudah lama mengidam untuk menyediakan rumah sendiri bagi kesenangan anak isteri setelah menerima jawatan bergaji lumayan di utara Thailand. Selain itu ia juga sebagai membuktikan kemampuannya untuk menyara keluarga terhadap ibu mentua yang selalu memperkecilkannya. Namun impiannya untuk mendiami sebuah kawasan penempatan yang harmoni dan mesra bertukar menjadi malapetaka bahana satu pembunuhan berlaku di kawasan tersebut yang mengakibatkan gangguan makhluk halus menimpa mereka dan jiran-jiran.

Walaupun poin untuk sampai ke kejadian seram lagi misteri itu agak lambat, aku rasa filem ini tidak kurang menakutkan jika anda memang tinggal di lokasi perumahan terpencil seperti Laddaland ini. Apa yang ditekankan dalam plotnya adalah lebih menjurus kepada si bapa itu sendiri yang daripada awal sehingga penamat berusaha habis-habisan untuk menyenangkan hidup keluarganya. Kita tidak dijelaskan pun tentang kehadiran hantu dan entiti yang menggiat kerana itu sudah tidak terasa perlu di ambil tahu lagi. Menggabungkan elemen hantu dan kisah famili boleh menjadi paduan genre yang berjaya jika anda ingin mencari kelainan filem bertemakan ketua keluarga pasca hari bapa ini.

Monday, June 20, 2011

Henry's Crime

Aku tidak tahu sama ada filem ini berbaloi di tengok atau pun tidak. Ini semua gara-gara aku sudah membaca terlebih dahulu komen ringkas berkenaannya yang rata-rata tidak mengesyorkan ia di tonton. Namun pada masa itu tidak ada filem lain yang sesuai untuk di pilih bertepatan waktu lapangku lantas separuh rela aku beli juga tiket filem ini. Sebenarnya aku bukanlah bergantung sangat pada ulasan atau citarasa orang lain sebagai faktor sebelum aku masuk panggung tetapi ada saat-saatnya kita kepingin juga ingin mendengar testimonial daripada mereka yang pernah mengalaminya. Secara terus-terang, aku berasa lega kerana tidak terpengaruh dengan mereka yang tidak menyukai filem tersebut.

Sudah termaktub bahawa pelakon utama filem ini, Keanu Reeves layak di gelar kayu kerana perwatakan yang agak kaku ketika beraksi di layar. Walaupun pada pendapat aku dalam filem-filem Keanu sebelum ini pun, karektor yang di pegangnya itu sendiri memang bersesuaian dengan kekayuan yang ada pada dirinya. Dalam Henry’s Crime, beliau tiada masalah untuk menghayati method lakonan sebegitu kerana boleh dikatakan beliau tidak perlu menzahirkan apa-apa perasaan terhadap plot yang melibatkan dirinya, sekurang-kurangnya untuk satu per tiga permulaan filem. Walau sebagaimana dramatik pun situasi yang digambarkan itu, beliau sentiasa tenang dan melugu. Seolah-olah perkara emosi itu adalah sesuatu yang tabu untuk diperlihatkan. Seolah-olah hidupnya kalis afeksi. Seolah-olah jiwanya mati. Nihil.

Henry, peranan di pegang Keanu adalah seorang jurutol yang ketika filem di buka ditunjukkan memandang kosong di dalam kotak pengap bersebelahan jalan raya yang hening tatkala menunaikan shif malam.Fajar menjelang lalu beliau pun pulang ke rumah. Kita boleh menyelami kesepian hidup yang beliau rentasi dalam adegan yang agak mengambil masa ini. Sunyinya dunia yang beliau alami berterusan di rumah dengan komunikasi yang terhad bersama isteri. Namun nasibnya kelihatan semakin merosot apabila beliau diperdayakan oleh seorang kawan lama untuk merompak bank. Lantas beliau, manusia yang serba pasrah itu merelakan saja dirinya di hukum penjara daripada bertindak untuk menegakkan hak.

Tempo cerita ini terasa bergerak laju sikit semasa Henry dalam penjara dan berkawan dengan Max (James Caan) dan sesudah beliau dibebaskan lalu tiba-tiba di langgar oleh Julie (Vera Farmiga). Ketika dalam tahanan itu, kita diberikan maklumat bahawa Henry adalah seorang yang tiada impian dan matlamat. Dia tidak pernah bermimpi untuk mencapai apa-apa dalam hidupnya. Kali ini, beliau yang baru lepas kemalangan, tak semena-mena tercetus idea ironi untuk merompak dari bank yang telah menghukumnya gara-gara terlihat lakaran di dinding tandas. Bersekutu dengan Max dan Julie, seorang pelakon tempatan yang melanggarnya itu, mereka secara tidak langsung telah menghela hidup yang lebih memberangsangkan bagi seorang polos seperti Henry.

Filem ini memang agak perlahan dan lambat untuk di terima oleh kebanyakan penonton. Ia ibarat mewakili kriteria Henry sendiri yang sememangnya lembab, naïf dan bersahaja. Jika anda mudah lemas dalam cerita begini, mungkin akan terhibur dengan dialog yang kelakar dan gampang dilontarkan pelakon. Ada saja orang yang menyongsong hidup seperti Henry ini. Cuma dia belum bertemu penggera yang boleh melonjakkan portfolio kehidupannya.

Thursday, June 16, 2011

The Return

Pada tahun 2004 dahulu, aku pernah sentuh dalam blog ini pasal sebuah filem yang aku teringin nak tengok tapi tak tahu mana nak cari. Akhirnya pada tahun 2011 ini barulah aku berpeluang menonton filem yang diidamkan itu. Terima kasih kepada kawan aku yang sempat tolong downloadkan sebelum kerajaan memulakan langkah untuk menyekat banyak laman sesawang yang menawarkan khidmat perkongsian fail media secara percuma itu. Demi untuk membendung lanun cetak rompak katanya. Di samping untuk memelihara hakcipta golongan mereka yang gigih berkarya tetapi pulangannya tidak dapat mereka kecapi hasilnya.

Filem ini memang perlahan dan sunyi. Jadi bersedialah untuk larut dalam sebuah kembara perjumpaan semula antara bapa dan dua anak lelakinya yang sudah terpisah selama dua belas tahun. Sebenarnya aku teringin nak tahu. Ke manakah si bapa pergi hirap tanpa khabar berita meninggalkan keluarga begitu saja dan tiba-tiba muncul kembali pada suatu hari dengan bersahaja menyertai mereka yang setia menanti kepulangannya. Dalam filem langsung tidak dijelaskan secara harfiah saat-saat kehilangannya itu kecuali kita di tunjukkan tangkapan lensa jarak jauh dalam beberapa adegan tertentu yang tidak mengesahkan apa-apa. Si anak, terutama yang bongsu itu berhak untuk merasa rengsa di atas kehadiran bapa yang tidak sabar-sabar menunjukkan kuasa patriarknya.

Ada satu lagi misteri yang menyelubungi filem ini ialah apabila si ayah tadi mengajak anaknya ke satu daerah terpencil untuk memancing, dia mempunyai agendanya tersendiri yang budak-budak itu mahu pun kita penonton tidak di beritahu motifnya. Pendek kata, bapa yang perengus itu memang banyak rahsia seolah-olah hidupnya selama ini asyik berpalit skandal yang besar. Mungkin kita kena latih mata supaya lebih peka lagi dengan fokus kamera dan gerakan aksi serta imej yang dibentangkan bagi menafsir simbol dan makna yang ingin pengkarya sampaikan. Tentu saja bagi peminat filem seni yang suka dengan cerita kedekut dalam berkongsi fakta dan lebih banyak menghamburkan persoalan, akan terpesona dengan The Return atau tajuknya dalam bahasa Rusia, Vozvrashchenie.

Ini sebuah prosa yang sangat indah, lirih dan tragis sekaligus diperkayakan dengan pemandangan lanskap semulajadi negara tersebut yang diekploitasi secara maksimum. Ketiga-tiga lelaki yang berlakon sebagai bapa dan anak itu telah menghidupkan lagi filem ini yang begitu dinamik sepanjang durasi yang kebanyakannya berkisarkan antara mereka. Malah mereka dan alam sebati dalam menyempurnakan sebuah kisah penuh enigma dan menghantui.

Saturday, June 11, 2011

X-Men: First Class

Setelah menyaksikan asal-usul Wolverine, kita di bawa pula untuk menghimbau bagaimana permulaan anggota pasukan mutasi yang lain di dalam X-Men: First Class. Tetapi tidak semua ahli X-Men yang pernah kita ketahui sebelum ini menerusi trilogi awalnya di beri peluang untuk memperkenalkan diri terutama jika garis masa dan latar cerita tidak memungkinkan kemunculan itu. Sebagai peminat yang hanya bergantung kepada tafsiran mutlak oleh pembikin filemnya yang di beri mandat untuk mencorakkan sejarah manusia-manusia freak ini tanpa maklumat komik, aku sangat berpuas hati dengan hasilnya. Apatah lagi tenaga belakangnya terdiri daripada Matthew Vaughn yang pernah memberikan kita Kick-Ass yang sangat kick-ass, filem ini juga sungguh menepati tajuk. Di sokong oleh Bryan Singer sebagai penerbit dan juga pernah mengarahkan produksi sulung dan kedua yang di puji pengkritik, ia tambah menguatkan lagi faktor x.

Nampaknya berlaku hatrik kali ini apabila untuk entry yang ini pun, aku masih mengulas tentang filem yang plotnya berkisarkan tentang zaman dahulu. Begitu juga dengan prekuel X-Men ini yang merujuk kepada era perang dingin Amerika dan Russia tatkala kedua negara kuasa besar itu sedang di ancam krisis nuklear. Bagi yang tidak mengetahui, bukan ini sahaja filem adiwira yang mengambil pendekatan begitu yang bakal keluar tahun ini dengan adaptasi Captain America turut menggabungkan konteks sejarah bagi memperkenalkan watak The First Avenger itu tidak lama lagi. Kerangka cerita dengan bayangan fiksyen berbaur peristiwa nyata di beri garapan cermat dan boleh dipercayai tanpa kosmetik melampau mengembalikan keyakinan terhadap francais ini.

Kebanyakan aspek mengenai X-Men ini sudah kita maklumi lebih awal. Malah kita pernah ditunjukkan Magneto semasa kecil yang sudah menzahirkan kuasa magnetiknya ketika di kem tahanan. Beberapa indikasi bahawa Profesor X dan Magneto merupakan sahabat baik suatu ketika dahulu kerap terkias dalam filem-filem rintisnya. Kali ini, secara skala lebih menyeluruh kita di bawa ke tempoh pra-sekolah tempat anak-anak indigo ini di cerap, di asuh dan di gembleng potensi mereka di bawah sebuah organisasi. Barisan penulisnya telah melakar dan menyusun kronologi dua tokoh ini mengasah kebolehan luar biasa mereka sampai dewasa secara konsisten dan seimbang sehingga kita mampu memahami aspirasi dan adicita yang ingin mereka terapkan kemudian hari ke atas diaspora mereka itu.

Slogan yang bermain sepanjang filem seperti yang pernah diutarakan sebelum ini berkenaan konflik penerimaan masyarakat umum terhadap mereka yang berkelainan upaya istimewa ini serta dilema dalaman mereka sendiri untuk redha terhadap anugerah langka yang dikurnia, kian berasas serta dihamburkan kepada penonton secara bersahaja dalam sela-sela adegan yang bergerak dengan bergaya. X-Men: First Class menyalurkan segenap elemen yang wajib bagi genre begini yang selalu dipenuhi imej janaan komputer bagi aksi pertempuran dan gimik kuasa ajaib yang masing-masing punyai melonjakkan darjah keterujaan apabila semua itu dipadankan secara saksama. Perkembangan setiap karektor lain sama ada mereka di pihak mutan atau manusia normal di beri paparan seadanya sebagai inisiasi untuk mengesahkan kewujudan mereka di dalam sinambungan komik yang memakan urutan masa yang panjang.

Sebenarnya aku tidak berharap langsung untuk mendapat sesuatu yang mantap dan segar daripada edisi terbaru ini setelah mendengar berita bahawa ia sedang dalam frasa pembikinan. Walaupun aku suka Wolverine yang teruk di bidas kerana terasa cetek di layar, jadi potensi untuk prekuel ini menerima kritikan yang sama tidak dapat di elak. Malah perancangan untuk menerbitkan kisah Magneto secara solo juga gagal menjadi. Namun, akhirnya X-Men kembali bersaing dengan penuh berkuasa mencipta suatu perspektif baru dalam dunia hero beraura magis seraya memperkukuhkan kelasnya.

Wednesday, June 08, 2011

Super 8

Menonton filem ini mengingatkan aku kepada tayangan cereka Disney pagi Sabtu pada cuti sekolah dengan kisah kembara siasatan kanak-kanak yang seronok dan penuh cabaran. Mereka hanya mahu menghabiskan masa terluang dengan aktiviti kegemaran tetapi tanpa di duga terjebak pula dalam bahaya. Bermulalah episod masing-masing yang terlibat ingin melepaskan diri daripada rintangan serta pelbagai konflik dengan saiz yang lebih besar daripada badan mereka melanda hidup si cilik yang tidak bersedia untuk memikulnya. Bersulamkan aksi dan drama dengan kapasiti maksimum, produksi ini memang telah meluaskan dimensi filem yang mengangkat kanak-kanak sebagai fokus dengan di beri liabiliti yang setimpal.

JJ Abrams mengaplikasikan sekali lagi publisiti stunt seperti filem beliau sebelum ini, Cloverfield yang sangat sulit dan dirahsiakan pembikinannya sebelum dapat dibocorkan pada khalayak. Begitu juga dengan Super 8 ini yang di jaga rapi akan sinopsis dan struktur ceritanya yang mengundang ingin tahu peminat setelah mendapat maklumat awal mengenai pra penerbitannya. Apabila teaser trailernya beredar pun, kita masih tidak didedahkan tentang umpan sebenar yang ingin di provok menerusi filem ini, hanya hentakkan dari dalam salah satu gerabak oleh sesuatu yang amat perkasa menjadi klue buat kita. Ya, Abrams berjaya membuatkan aku ingin tahu lebih lanjut tentang asal punca kemalangan keretapi itu serta apakah isi di dalam koc yang nampaknya tidak sabar-sabar mahu keluar.

Namun, Super 8 sebenarnya akan lebih aku ingati sebagai filem tentang sepasukan kanak-kanak yang tinggi daya kreativiti yang ingin membuat penggambaran berkenaan zombi yang sungguh teliti dan bersungguh-sungguh. Memang ada makhluk ganas yang menjadi kerangka cerita dan penarik skrin, tetapi Abrams nampaknya membuatkan plot tentang itu sebagai sekunder. Filem ini lebih menjadi naskhah peribadi beliau dijelmakan melalui karektor kanak-kanak yang ingin menyiapkan filem pendek semasa cuti musim panas tatkala pekan mereka digemparkan dengan tragedi keretapi tergelincir serta beberapa kes pelik yang berlaku susulan peristiwa tersebut yang turut ada kena-mengena dengan mereka. Dengan mengambil latar-belakang akhir 70-an, beliau bagaikan mengimbas kembali zaman kecilnya sendiri memberi homage untuk filem-filem bercirikan itu seperti E.T serta semangat Stand By Me dan The Goonies dengan begitu berkesan.

Pelakon-pelakon cilik kurang ternama yang memegang peranan utama di sini memang memberi persembahan cemerlang dan meyakinkan serta ketara yang mereka semua enjoy dengan apa saja bencana atau advencer yang di arahkan ke atas mereka. Elle Fanning, adik kepada seorang yang lebih popular dengan nama Dakota, hampir tidak dapat dikenali setelah meningkat remaja dan dia memang layak menyebabkan dua budak lelaki itu berkrisis. Rasanya tidak pernah aku menyaksikan Kyle Chandler mengemudikan mana-mana filem sebelum ni. Beliau yang terkenal dalam siri tv Early Edition dan Friday Night Lights memerankan watak timbalan sheriff di bandar tersebut sebagai melengkapi karektor anaknya lakonan Joel Courtney yang efektif. Sebagai anak kematian ibu, Courtney menawarkan emosi sewajarnya bergelut masalah peribadi dan dalam masa yang sama ingin berhubung dengan rakan-rakan dengan cara tersendiri.

Manakala lembaga yang disorokkan sangat itu, bukanlah tidak realistik, malah aku suka kerana ia tidak menonjolkan diri terlalu awal dan kerap sehingga boleh anti-klimaks. Walaupun penamatnya di sebut sesetengah orang sebagai klise, tetapi sebagai sebuah cerita yang mengenangkan saat-saat mudah dan ringkas pada zaman itu, ia melengkapi latar yang dipilihnya. Malah filem pendek yang di rakam oleh karyawan kecil kita itu pun turut memberi pengakhiran yang menggembirakan juga. Oh, penonton di beri peluang untuk melihat hasil bikinan kanak-kanak itu disiarkan tatkala closing credits dinaikkan.

Friday, May 27, 2011

Water for Elephants

Kalau tidak kerana terbaca yang filem ni mengikut formula seperti Titanic, mungkin aku terasa yang ia memang kisah cinta terhebat, terunggul dan paling gemilang pernah di buat (ok, melebih-lebih sikit) dewasa ini. Jujur aku memuji betapa asyik dan sungguh syahdu filem yang menghimbau kenangan jerih perih seorang tua yang bergelumang dalam dunia karnival ketika muda serta terpanah asmara dengan seorang perempuan yang sudah berpunya. Mereka berdua yang saling tertarik tetapi disebabkan risiko dan dilema, kasih sayang tidak dapat di pateri. Destinasi cinta penuh ranjau yang ingin mereka tujui seolah tidak kesampaian kekangan status dan situasi yang memaksa dua hati ini meneroka jalan supaya peluang untuk bersama akhirnya tetap berpihak jua.

Aku yang dengan degilnya tidak tergerak untuk menonton Titanic walhal ada cakeranya di rumah serta ia berulang kali dimainkan di tv kerana jengkel dengan sambutan luar biasa yang di terima, akhirnya tercuit pula pada cerita ni yang mirip cuma beberapa kondisi berbeza. Kalau peluang itu terlebih dahulu aku beri pada filem tentang kapal pelanggar bongkah ais itu, tentu sekali aku tidak akan bermurah hati untuk memberi sanjungan meluru. Namun sebuah cerita yang mengesankan tetap mendatangkan impak juga bagi sesiapa yang boleh merasa dekat dengannya, biarpun ramai yang lain protes atau mempertikaikan atau mendakwa ia sekadar salinan daripada versi lain yang lebih jitu. Begitu juga dengan Water for Elephants ini yang begitu banyak reviu tidak memihak padanya sedangkan kisah romantik old school ala zaman Gone with the Wind ni sudah jarang dihasilkan dan sesekali muncul, ia menyerlah dan menangkap perhatian.

Dibarisi oleh bintang Twilight, Robert Pattinson (ini turut menjadi faktor yang aku ingin melihat beliau di luar francais itu) serta dua penerima Oscar, Reese Witherspoon dan Christoph Waltz, mereka memegang tampuk utama kepada adaptasi novel oleh Sara Gruen yang berkisarkan dunia sarkas pada era kemelesetan ekonomi Amerika. Di saat warga di sana alami masalah wang dan keutamaan asas hidup, siapa yang ingin membazir dan mengeluarkan belanja semata-mata bagi satu hiburan ringan seperti sarkas yang turut melibatkan kos bukan sedikit. Itulah yang menjadi masalah buat Waltz selaku tuan punya Benzini Brothers untuk meningkatkan hasil kumpulannya serta meneroka persembahan yang lebih menguntungkan. Penyertaan Pattinson seorang veterinar dan pembelian seekor gajah berusia sebagai bahan pertunjukan baru dikendali isterinya, Witherspoon, diharap memacu bisnesnya kemuncak ekstravaganza sedangkan itu semua bakal menjadi tragedi di kemudian hari.

Filem ini memang cukup rencahnya sebagai kisah cinta yang mengeksploitasi latar zaman dulu dengan gerabak keretapi mengangkut gerombolan sarkas yang mampu menjana potensi untuk menggerakkan jalan ceritanya dengan lebih variasi. Haiwan dan individu yang berkecimpung di arena karnival itu sendiri boleh menawarkan perspektif terhadap plot utama yang boleh jadi hambar sekiranya tiada bantuan sepertinya. Tajuk filem ini sendiri sudah menerbitkan musykil di hati kerana ia sungguh catchy dan memerlukan pencerahan.

Tuesday, May 24, 2011

Priest

Rupa-rupanya ini adalah kerjasama kedua antara Paul Bettany dengan pengarahnya, Scott Charles Stewart dalam sebuah filem. Kali pertama dulu mereka terlibat dalam projek Legion yang mengandungi tema seakan sama. Masih berteraskan aksi, thriller, fantasi dan dengan tambahan horror juga terselit konotasi agama lebih-lebih lagi judulnya yang ini terang-terang mengambil gelaran penting institusi anutan tersebut hanya deskripsi tugas yang berubah ekstrim. Jika Legion menawarkan cerita yang utusan dari langit turun untuk membasmikan umat manusia, manakala Priest pula berkisarkan sekumpulan paderi dikerahkan pihak gereja untuk menentang "langsuir" yang sekian lama telah berperang dengan penduduk di sebuah dunia pasca-malapetaka.

Terjemahan bagi vampire yang di panggil langsuir itu memang tidak nampak seperti sisi puntianak biasa yang pernah disogokkan kepada kita selama ini. Kecuali mereka masih tidak boleh terkena matahari dan santapan ruji mereka tetap darah. Para biarawan yang mahir bertarung dan terlatih dalam pertempuran telah membanteras ke semua makhluk keji itu lalu fungsi mereka dimansuhkan oleh pihak tertinggi badan keagamaan setelah komuniti tersebut disahkan selamat daripada serangan. Oleh kerana mereka bukan paderi jenis mubaligh yang menyebarkan ajaran, tiada apa lagi bakat lain yang dapat di sumbangkan justeru mereka meminggirkan diri. Namun suatu hari tercetus berita gempar bahawa seketumbukan puntianak baru sedang melancarkan huru-hara ke arah kota terbabit yang melibatkan seorang anggota keluarga Priest (Bettany) sebagai mangsa culikan.

Ada banyak paderi sebenarnya yang memainkan peranan sebagai penyelamat dalam filem ini tetapi Priest itu sendiri di rujuk kepada pelakon utama kita yang tidak ada menggunakan nama gantian. Malah Maggie Q yang turut sama beraksi hanya di beri kredit sebagai Prietess. Malah antagonisnya sendiri di label berdasarkan pemakaian topi koboi hitam yang rugged dan merbahaya sekaligus. Dalam pada ceritanya yang kita sudah biasa lihat, ia terasa menarik juga dengan sedikit twist terbongkar menjelang pertengahan akhir filem. Koreografi aksi lasaknya memang boleh memuaskan penonton walau bertindan dengan cgi yang nampak sangat kartun. Tapi kalau anda sekadar harapkan hiburan kosong tanpa merosakkan akidah, Priest ini dapat menyeru kepada keamanan sejagat bagi membebaskan alam semesta daripada cengkaman puntianak.

Filem ini sebenarnya adaptasi daripada komik ciptaan artis Korea, Hyung Min-woo. Cuma aku baru tahu masa baca reviu filem ni dalam The Star. Tetapi versi filem ini telah di ubahsuai dengan drastik daripada karya asalnya yang menggabungkan aspek western dan seram.

Thursday, May 19, 2011

Nur Kasih - The Movie

“Pada suatu hari, tersebutlah sebuah kisah …. “ berlawak seorang rakan yang menonton Nur Kasih membuat komen sebegitu setelah selesai tayangan siap dengan nada seolah-olah sedang berlipur-lara. Dia merujuk kepada bunyi suara periwayat yang timbul di celah-celah filem seolah-olah membaca hikayat lama buat kita semua. Ibarat ia manifestasi tentang betapa epiknya naskhah yang dipaparkan ini sehingga dokumen tentangnya direkodkan sebaik mungkin dan di ulang baca untuk di buat kaji selidik dan dijadikan iktibar. Semua yang anda pernah tahu tentangnya sebelum ini adalah terhad. Jadi bantuan diperlukan daripada seorang yang dapat menyalurkan maklumat terkini itu walaupun secara kabur dan berkias dalam bentuk suara latar. Dinasihatkan anda usah jengkel dengan narrator yang sekejap-sekejap muncul itu kerana ia memang proses memberi kelainan kepada jalan cerita yang sudah sedia mudah ini.

Sebagai seorang yang tidak ikuti langsung sirinya di tv, aku sedikit was-was sama ada filem ini boleh di nikmati secara memuaskan tanpa perlu meninjau barang satu dua episod pun atau ia akan lebih berkesan jika drama rantaian itu aku hadam terlebih dahulu? Memandangkan aku tak ada banyak masa nak cari dvdnya dan siri ini juga di tonton oleh berjuta-juta rakyat Malaysia, aku pun cari info di internet yang sudah pasti berlambak diterbitkan. Jadi serba-sedikit ringkasan cerita itu boleh aku ketahui sebelum menyelami versi filemnya pula. Tapi aku rasa kalau anda tidak ada gambaran awal tentang Nur Kasih ini, bukan satu masalah yang besar untuk memahami ceritanya secara berdikari cuma untuk edisi layar lebar ini terdapat subplot yang tidak di beri latar kisah yang jelas. Keseluruhannya ia senang di terima dan dihayati lewat sebuah cerita cinta bernada keagamaan dalam kebangkitan penerbitan bertema dakwah yang sedang giat memenuhi segmen hiburan buat masa ini.

Aku suka dengan gaya filem ini yang mengambil beberapa jalur masa yang berbeza untuk menerangkan kepada penonton situasi dan aspek yang setiap watak utama itu alami sepanjang mereka tertinggal tatkala siri tv itu berakhir. Rangkuman ini walaupun nampak sedikit tergesa-gesa tetapi ia masih boleh di mengerti. Cuma ralatnya ia kurang mencengkam pada emosi apabila beberapa babak memancing air mata tidak terkesan kerana ia cepat di potong misalnya semasa di hospital, kemalangan si isteri atau dilema kewangan mereka. Rasanya kalau dipanjangkan lagi durasi filem ini pun, peminat sejatinya pasti lebih teruja lagi. Itu belum masuk bab pergaduhan dalam terowong yang tak tahu asal puncanya. Sedangkan itu juga boleh menguatkan lagi elemen melodrama Nur Kasih yang tatkala disiarkan di tv dulu, ia merupakan faktor menarik yang memusatkan perhatian ramai.

Berdasarkan trend yang menjurus kepada produk-produk dengan konsep Islamiyah yang aktif memasarkan penghasilan mereka, filem ini dengan tema dakwah sederhana menerusi asas, dialog dan pemakaian pelakon-pelakonnya mengisi ruang yang ada untuk menawarkan alternatif tersebut. Nur Kasih mungkin tidak akan melabelkan dirinya sebagai sebuah karya yang layak untuk di angkat sebagai filem yang betul-betul berdakwah kerana ia lebih terarah sebagai kisah cinta yang kebetulan berlaku dalam lingkungan keluarga yang alim. Itu lah juga faktor yang membuatkan sebahagian besar masyarakat Melayu hari ini yang memiliki latar hidup serupa boleh terasa dekat dengan filem ini seolah-olah menonton kisah peribadi sendiri.

Tuesday, May 17, 2011

Micmacs

Filem ini mengingatkan aku tentang tema Silent Comedy dalam program Maharaja Lawak minggu lepas. Sesetengah gerak-geri dan perlakuan boleh mengundang gelak secara semulajadi. Tanpa paksaan. Tanpa di buat-buat. Sesuatu jenaka yang universal boleh terus difahami lawaknya dan dapat ditangkap maksudnya secara spontan. Lalu ketawa mula meledak dan berjangkit tanda aksi itu menjadi walau sepatah dialog tiada diucapkan. Hanya di sokong visual yang memancar. Dan jalan cerita yang macam senang untuk di buat cuma diandalkan kepada daya kreativiti dan teknik bagi menghasilkan sebuah kisah yang berkesan.

Micmacs, garapan Jean-Pierre Jeunet yang memberikan kita Amelie dulu, menonjolkan elemen humor senyap ini dalam kebanyakan adegan terutamanya yang melibatkan watak utama. Kita di bawa menyorot kronologi hidup Bazil sejak kecil sehingga dewasa yang tepu peristiwa namun ia disampaikan dengan dialog minimum, cuma aksi luaran di guna sebagai komposisi. Struktur yang sangat efektif dan mencuitkan kerana kita dengan senang boleh menyelami masalah dan konflik yang melanda Bazil tatkala ingin menebus nasib diri ekoran dua kejadian utama yang tragis. Dia yang berkarektor polos dan naïf tapi geliga akhirnya bertemu kumpulan sekepala menerusi komuniti pusat pengumpulan barang lusuh yang berkongsi citra yang sama.

Mula-mula aku sangka yang filem ini ada kena-mengena dengan “mime”, sejenis pantomim Perancis berdasarkan tajuknya yang mirip. Tetapi terjemahan sebenarnya merujuk kepada tipu helah atau muslihat yang Bazil dan rakan-rakannya berkomplot sedang uruskan demi sebuah pengajaran moral. Namun “mime” itu turut digunapakai di sini apabila gerak-geri, bahasa tubuh dan isyarat tertentu di aplikasi secara konsisten pada beberapa babak bergandingan jalan cerita selayaknya ini. Seperti Amelie yang eksentrik, Jeunet masih mengekalkan watak tunjang yang beraspirasi serupa dengan semangat filem yang sama menerusi paparan teknik warna begitu pijar dan garapan idea keanakan tetapi kompleks. Semua ini mudah difahami bagi sebuah filem berbahasa asing yang mana sarikata di bawah adalah kadang-kadang tidak membantu.

Bentuk komedi yang akrab dengan semua peringkat umur dan latar-belakang pastinya rumit untuk di klasifikasi. Namun bagi Micmacs yang menggabungkan antara kelakar bersuara dan jenaka bisu, ia adalah kombinasi berjaya dengan bonus suntikan cerita sangat relevan dengan isu semasa. Kita sangat kurang melahirkan filem genre lucu yang sofistikated begini yang tidak malu untuk di bawa ketengah sebagai bukti bahawa kita juga berkebolehan untuk mengeluarkan lawak tahap maharaja.

Sunday, May 15, 2011

Bangkok Knockout

Daripada pengarah Ong Bak, Panna Rittikrai kini meluaskan portfolio dengan sebuah lagi filem bergenre sama bertajuk Bangkok Knockout. Minat beliau yang amat mendalam terhadap dunia seni mempertahankan diri memang jelas tergambar menerusi filem yang dihasilkannya sejak memberikan buah tangan pertama, Born to Fight pada tahun 1978. Thailand yang terkenal dengan sukan ekstrem Muay Thai adalah satu kelebihan untuk menonjolkan aksi lasak pertarungan kombat kebanggaan negara tersebut berbaur lagak ngeri sebagai elemen tunjang dalam karya-karya yang dicetuskannya. Eksploitasi yang sangat berfaedah untuk meningkatkan khazanah bangsa dalam medium yang boleh dinikmati secara sarwajagat.

Kalau anda ingin melihat adegan bergasak, tumbuk-menumbuk, tendang-terajang secara maksimum melalui segala jurus dan pencak, Bangkok Knockout memang menawarkan itu semua. Seawal minit pertama filem di buka lagi ia dengan gesit menggerakkan adrenalin penonton supaya cepat-cepat panaskan badan untuk bersedia dengan sebarang aktiviti fizikal muktamad. Malah dalam kebanyakan masa kita tidak sempat menarik nafas lega pun kerana ada saja tumbukan padu dilepaskan dan anggota badan dibelasah. Tapi ada juga babak yang kelakar terutama bila ia melibatkan mak nyah dan lawak slapstick.

Ceritanya tentang satu program realiti pencarian bakat stuntmen antara dua kumpulan fight club diadakan untuk diketengahkan ke Hollywood berakhir dengan seorang ahli pasukan yang menang telah di culik. Lantas anggota lain bertungkus-lumus untuk menyelamatkannya walau nampak begitu sukar dan pelik kerana terlalu banyak rintangan dan musuh di samping yang mereka tidak boleh keluar dari bangunan itu kerana sebenarnya mereka sudah terperangkap oleh satu komplot perjudian terancang yang mempergunakan bakat mereka sebagai alat taruhan. Plot yang ringan begini memang berniat untuk menghamburkan sepuas-puasnya aksi lasak dan ganas lengkap dengan aksesori dan prop sebagaimana melampau sekalipun, asalkan ia memenuhi selera peminatnya.

Kalau anda pernah tengok Rat Race, begitulah konsep filem ni. Cuma Bangkok Knockout ini, para peserta pertandingan itu tidak tahu bahawa mereka telah diperdayakan oleh agensi hiburan dengan modus operandi yang menyeleweng. Walaupun matlamat filem ini lebih menyogok lagak ngeri daripada pembinaan karektor dan aspek sepertinya, tetapi ia tetap ada jalan cerita. Sekurang-kurangnya penonton tidak rasa yang filem genre aksi lasak perlu menjadi terlalu kosong tanpa secebis pun layak di sokong asas penceritaan sewajarnya.

Wednesday, May 11, 2011

The Roommate

Rata-rata mereka yang membaca sinopsis atau telah menontonnya akan mengaitkan ia dengan Single White Female. Sedangkan aku yang tidak pernah menyaksikan filem itu pun akan merumuskan demikian. Teringat ada seorang kawan yang begitu obses dengan Single White Female dulu sehingga aku jadi musykil. Berulang kali dia suruh aku cari cerita tu dan tengok. Dia nampaknya begitu teruja dengan plot begitu yang menurutnya sangat menggiurkan dan tidak pernah berlaku.

Tetapi kali ini jalan cerita yang sama terjadi sekali lagi. The Roommate walaupun tidak menyatakan sebarang notis bikinan semula atau pun salinan filem terbitan 1992 itu, masih sangat terasa persamaan keduanya. Heck, aku tidak perlu menontonnya terlebih dahulu untuk mendakwanya macam tu. Walaupun sepatutnya aku tengok dulu yang original sebelum meladeni versi serba kureng yang cuma mempertaruhkan pelakon muda belia dan rupawan sebagai pancingan. Err .. aku memang dangkal kerana memilih filem ini pun disebabkan oleh faktor para pemeran yang gorgeous itu sahaja.

Minka Kelly saling tak tumpah macam Leighton Meester. Kenapa dia perlu untuk taksub dan posesif dengan kawannya nan seorang itu terasa bagai tidak berasas. Tiada cukup konflik di tampilkan. Tiada dilema betul-betul di bawa ke pengetahuan penonton untuk di kongsi. Tiada intipati. Dalam satu reviu oleh pengulas bebas di imdb, lebih menarik sekiranya filem ini menumpukan kisah rakan sebiliknya yang sakit jiwa itu secara lebih rinci daripada mengetengahkan perihal si mangsa yang sudah pasti wajib di raih simpati. Mental tergangu begitu seronok di kaji periksa.

Wednesday, May 04, 2011

Berkelana - Year Without a Summer

Seorang lelaki berseluar jeans tapi tidak berbaju. Tiba-tiba tersembul keluar dari perut laut lalu berlari menghampiri kamera. Di belakang adalah lautan bergelora. Di depan, sosok lelaki ini memandang kita dengan basah dan sarat dalam hening fajar.

Gelap.

Lelaki itu namanya Azam. Datang entah dari dasar laut atau pelusuk darat mana bertemu Ali kawan lamanya. Kemudian dia menyertai keluarga Ali menikmati makan malam. Mereka menghadap hidangan sambil bersembang. Daripada perbualan, kita boleh mengagak bahawa Azam ini mungkin penyanyi. Mereka ada menyebut tentang kaset. Kemudian mereka menghisap rokok di luar. Langit masih berbalam-balam cahayanya.

Selepas itu mereka pergi memancing dengan disertai Minah, isteri Ali. Malam menjadi tidak terlalu pekat di bantu lampu minyak tanah dan sinar bulan. Di pulau mereka sambung bercerita. Tentang zaman silam. Metos nelayan. Cinta. Segala yang mereka boleh hubungkait mematerikan waktu-waktu terputus khabar. Mengimbas setiap apa kenangan yang mereka boleh peluk kembali.

Tetapi Azam yang sekejapan hadir, hilang semula. Tenggelam bersama segara. Kali ini entah ke mana lagi dia ingin berkelana.

Memang sejak kecil dia mahu pergi jauh dari situ. Azam yang sentiasa mendesak. Tidak sabar. Mahu cepat dewasa. Mahu segera dapat wang. Tetapi dia juga tumpul tumpuan. Lekas bosan. Tiada anjuran. Seorang Azam yang kering hati.

Ini adalah cerita tentang kesedihan. Mengenai manusia yang hidup namun tidak mengerti apa yang berlaku terhadap mereka. Seseorang yang elusif memang payah untuk ditafsirkan. Filem yang berbekas dan akan aku kenangi ia buat jangkamasa yang lama ...

Thursday, April 28, 2011

Hello Stranger

Wabak hiburan Korea berjangkit di mana-mana. Negara jiran utara kita juga nampaknya tidak terkecuali menerima virus ini. Cara apa lagi untuk menyakat obsesi rakyat sendiri yang kemaruk dengan segala produk K-Pop selain karyawan mereka turut menyertai kegilaan itu melalui sebuah persembahan filem di panggil Hello Stranger. Keghairahan peminat di sana terhadap drama rantaian Korea di angkat menjadi topik satu kisah komedi romantik tentang dua jiwa tidak serasi yang berpapasan dalam sesi rombongan wisata.

Si jejaka yang di perdajalkan oleh kawan-kawannya menyertai pakej melancong ke negara tersebut dengan tiada sebarang bekalan asas dan maklumat awal terpaksa berkongsi koc dengan sekumpulan fanatik telenovela Korea. Dia linglung dengan halatuju lawatannya ke sana yang sungguh terbeban dan terpaksa bagi dirinya untuk bersekongkol dengan para ahli rombongan lain yang bersemangat gila dapat mengunjungi setiap lokasi yang ada kaitan dengan produksi drama itu. Manakala di suatu sudut berbeza, kita diperlihatkan seorang gadis yang mengembara sendirian turut menjejaki tempat yang sama dengan wajah teruja serta mengamati dan menghargai kesempatan berada sendiri di suatu kawasan yang begitu diimpikannya. Dia yang kebetulan dalam memenuhi jemputan kahwin kawannya di sana, di ambil kesempatan itu untuk pergi meninjau ke setiap destinasi di Korea yang ada kena-mengena dengan siri tv yang taksub di tontonnya selama ini.

Untuk seorang yang tidak memahami keasyikan mereka semua itu yang tekun mengikuti episod demi episod soap opera Korea, aku sangat berpihak pada jejaka yang jengkel sekaligus sinis dengan puak-puak yang obses habis dengan hiburan ini sehingga satu acara lawatan yang berkonsep demikian boleh dianjurkan. Tidak cukupkah dengan hanya menikmatinya di kaca tv tanpa perlu sampai mengemas bagasi dan pergi terus ke negara asalnya. Teringat pula aku dengan satu pakej melancong ke lokasi tumpuan set penggambaran Sex and the City di New York yang mendapat sambutan menggalakkan bagi penggemar sitkom tersebut. Tak ada pula aku mendengar ada program melawat ke sekitar set rakaman drama Nur Kasih walaupun siri itu memang popular sehingga versi filemnya bakal ditayangkan. Kita mungkin memerlukan sebuah telenovela tempatan yang kuat dan berkuasa pengaruhnya untuk menjadikan ia sebuah produk pelancongan yang bukan setakat boleh terkesan pada rakyat sendiri tetapi juga serantau seperti yang telah dikecapi oleh penerbitan dari Korea itu.

Hello Stranger membuktikan kita tidak perlu memahami bahasa apa pun yang dipertuturkan malah nama insan yang bertembung dengan kita itu pun kita sengaja tidak ambil peduli kerana kita tahu untuk merasa sesuatu tarikan, semua itu tidaklah penting. Jejaka dan gadis yang masing-masing boleh menjalinkan perhubungan walau terbatas identiti dan peribadi, ia bukan halangan untuk suatu pertalian tercipta. Filem ini cantik dan sayu sekaligus dengan momen-momen yang dipinjamkan daripada drama Korea untuk memberi warna dan humor terhadap cerita ini yang mengangkat kegilaan sejagat kepada karya tv dari sana yang di olah meresap ke segenap liang hati. Namun yang paling utama, kita tidak perlu menanti berminggu-minggu untuk ketahui kesudahan episod cerita gadis dan jejaka lewat pertemuan singkat mereka di bumi asing itu.