Tuesday, December 30, 2008

In Bruges

Dua orang pembunuhan upahan telah di hantar ke Bruges oleh seorang kepala gangster. Mereka tidak tahu kenapa mereka perlu berada di sana. Malah Ray salah seorang daripada mereka tidak tahu pun di manakah letaknya Bruges itu (Ia terletak di Belgium kalau-kalau kamu juga tidak tahu). Filem ini mengambil bandar itu sebagai karektor pusatnya dalam sebuah naskhah tentang destini dua manusia samseng yang cuba di gambarkan masih ada hati budinya.

Tatkala di sini, Ray (lakonan berkesan Colin Farrell) sangat bosan dan gelisah singgah di kota lama yang di panggilnya jamban tanpa sebarang tugasan tertentu. Manakala rakannya Ken yang lebih berusia dan tenang, (di peran sama kuat oleh Brendan Gleeson) mengambil kesempatan itu untuk bersiar-siar dan berlibur di sebuah lokasi yang di anggapnya semacam di alam kayangan dengan istana, titi, terusan, kereta kuda, jalan bata, gereja dan senibina gothic dari zaman medieval yang kukuh terpulihara. Terima kasih kepada Ken kerana penonton juga dapat peluang menelusuri daerah Bruges yang sangat cantik dan damai bagaikan dunia pari-pari.

Filem ini adalah komedi gelap dengan paparan kontras dua penjenayah yang walaupun nature mereka adalah membunuh tetapi dari aspek psikologinya mereka masih sama macam orang lain. Segalanya menjadi semakin jelas apabila Harry (watak oleh Ralph Fiennes yang sedikit over) ketua mereka mengeluarkan satu arahan yang mencuit emosi. Dalam masa yang sama, sub-plot filem ini mengandungi satu penggambaran filem yang berlangsung di bandar itu yang melibatkan seorang pelakon kerdil dari Amerika. Tanpa niat aku nak menyinggung golongan tersebut, tapi memang kelakar bab ni dan ia memberi kaitan yang munasabah pada akhir cerita.

Ini bukanlah kisah gangster tipikal yang selalunya penuh pergelutan dan aksi lasak. Ia senada dengan Sexy Beast yang pernah aku tengok dulu. In Bruges berharap pada nama sebuah kota yang tepu aura dongeng dan klasik. Bagi jiwa manusia yang penasaran, hinggap sebentar di dunia sebegitu seakan memberi masa bagi diri mencari pertimbangan.

Wednesday, December 24, 2008

The Day the Earth Stood Still

Awal tahun ni aku ada jumpa versi 1951 filem ni di kedai lanun malah dah ambil pun nak beli. Last-last tak jadi. Masa tu aku tak tahu menahu langsung ia telah di remake. Lantas apabila versi bikinan semula ini bermain di panggung, aku pun pergilah tengok. Tak perlu nak mengadap filem asalnya yang tiada teknologi canggih untuk menyokong genre sci-fi seperti kita hari ini yang dah lali menonton filem berkesan khas sfx.

Walaupun ramai yang mengutuk dan mendakwa lebih sukakan produksi pertamanya, aku masih boleh terima versi 2008 ini. Aku tidak harapkan ia mengikut piawai blockbuster sains fiksyen makhluk asing seperti Independence Day, Star Wars atau Alien yang lebih jitu dan memberangsangkan, namun filem ini ada mesejnya tersendiri. Mungkin itu juga akan di label bosan oleh sesetengah orang kerana tiada banyak aksi hanya lebih bercakap.

Aku tak nak komen gaya berlakon Keanu Reeves atau Jennifer Connelly yang kedua-dua seperti kurang emosi (Keanu sebagai makhluk asing memang patut tak ada emosi, tidaklah jugak aku pernah kenal mana-mana makhluk asing untuk justifykan ini) seakan kehancuran planet bumi ini adalah perkara selamba-mamba. Eh, kalau kita fikirkan sekali imbas, memang itu pun yang kita buat selama ini, walau berlaku global warming, tanah runtuh, tsunami, ramai ke yang betul-betul ambil kisah?

Satu situasi yang menggentarkan dalam filem ini apabila makhluk angkasa itu cuma berminat untuk menyelamatkan spesis hidupan lain dan mahu memusnahkan semua manusia. Lalu Connelly merayu supaya mereka di beri peluang kedua dan berjanji akan berubah untuk lebih memelihara planet bertuah ini. Skeptikal sangat adakah kita akan betul-betul sanggup untuk berubah. Kena ada follow-up nampaknya untuk membuktikan waktu itu nanti sama ada bumi masih mampu kaku terpempan.

Monday, December 22, 2008

Angus, Thongs and Perfect Snogging

Punyalah panjang tajuk, letih nak menyebutnya. Ia sebuah lagi cerita remaja macam Twilight juga cuma kali ni semua karektornya adalah manusia biasa. Tak ada melibatkan pontianak atau kuasa ajaib. Hanya ciuman sebagai kuasa.

Apakah matlamat bagi budak-budak perempuan keletah yang masih bawah umur ini inginkan sangat satu kucupan sempurna daripada seorang pemuda, tidak tercapai akal. Sudah tentu aksi tersebut akan jadi ikut-ikutan oleh kalangan remaja di sini dan di rakam dalam kamera. Kemudian tepek gambar comolot itu dalam facebook atau myspace untuk tatapan semua.

Filem ini memang kelakar di pandang dari budaya mereka. Georgia, seorang gadis mentah yang naïf, sedikit berisi dan tidak tergolong popular menyimpan hasrat untuk dicintai oleh lawan jenisnya. Seperti plot cliche yang sudah biasa kita tahu, lelaki mana yang inginkan perempuan macam tu? Tapi nampaknya ada lari sedikit amalan tipikal itu kerana dalam filem ni, ramai pulak yang menaruh hati pada Georgia.

Tapi dia lebih sukakan Tom seorang pelajar baru di sekolah. Apatah lagi peluang itu nampaknya semakin cerah apabila kawan baiknya Jas berjaya berpasangan dengan Robbie abang Tom. Senanglah dia nak minta Jas masuk jarum rekomenkan dia melalui Robbie nanti.

Pelakon yang bawa watak Georgia ni, Georgia Groome mengingatkan aku pada pelakon yang memegang peranan utama dalam Melissa P. Mereka ada persamaan yang ketara. Malah kedua-dua filem ini pun seakan-akan serupa temanya berkenaan seorang remaja yang ingin mencari cinta dan perhatian budak lelaki. Tapi Melissa .P tu lagi dahsyat lah ceritanya.

Walaupun pada pendapat peribadi aku, apa yang dipaparkan dalam Melissa .P itu rasanya lebih menepati senario remaja hari ini. Namun Angus, Thongs and Perfect Snogging menzahirkan warna-warni dunia anak dara yang baru nak membesar menerusi suasana lebih terdidik, terkawal walau adakalanya terbabas, manis dalam lawak ala British.

Thursday, December 18, 2008

Lakeview Terrace

Baru-baru ni aku tengok Lakeview Terrace. Ok saja filem tu mengenai sepasang suami-isteri lelaki kulit putih dengan minah tak putih berjiran dengan polis kulit hitam emo gila. Dia tidak membuang masa untuk menunjukkan sikap tidak senangnya terhadap jiran baru itu melalui gurauan sinis, ancaman halus dan perilaku jengkel apabila mereka start duduk situ. Tahap psycho yang membuatkan sesiapa saja akan memutuskan untuk pindah terus dari sana tanpa perlu menjeruk rasa terlalu lama.

Aku pernah ada kawan sepejabat yang bercouple antara kaum ni. Lepas kahwin mereka pun berhijrah ke New Zealand (bukan sebab ada kena-mengena dengan mana-mana polis atau jiran yang mental)

Masa di kampung dulu pun aku ada kenal lelaki India, wanita Cina yang mendirikan rumahtangga. Nampak pelik dalam kampung nelayan yang terdiri daripada komuniti Melayu tu mereka saja merupakan golongan bangsa lain. Tapi anak mereka, Cindy tak bersekolah kat kampung tu. Dia bersekolah dekat kawasan bandar. Aku berkawan dengan si Cindy ni masa aku start belajar kat sekolah tu.

Aku sempat berkawan setahun saja sebab Cindy naik ke sekolah menengah tidak lama kemudian. Aku pulak maintain kat situ sebab aku baru darjah 6. Masa aku darjah 6 ada seorang cikgu lelaki baru, Mr R. Dia mengajar subjek English. Dia juga guru ko-kurikulum pengakap.

Aku dah hampir lupa pasal Cindy bila pada suatu hari dekat hujung tahun seorang rakan sekelas aku bagi satu berita hangat,

“Kau kenal Cindy kan?” tanya dia.

“Kenal. Dulu kan dia sekolah sini,” jawabku.

“Kau tahu Cindy ada dot-dot-dot dengan Mr. R!”

“Hah, ye ke ni?! tapi … tapi ....macam mana pulak diorang boleh kenal?”

“Kan last week ada perhimpunan badan-badan beruniform seluruh daerah ni kat sekolah menengah sebelah tu, Cindy pun masuk pengakap wakil sekolah dia. Mr. R tu memang in charge pengakap sekolah kita kan,”

“Waktu malam diorang asyik berkepit je sampai ada orang nampak diorang masuk khemah sekali malam tu,” sambung kawanku yang kapochi.

Seorang cikgu Melayu (kacukan mat salleh) yang dewasa dan matang ada skandal dengan budak perempuan Chindian bawah umur (13 tahun) adalah cerita sensasi di sebuah bandar kecil. Semua orang akan bercakap tentangnya.

Dan bila tengok Lakeview Terrace aku tiba-tiba teringat tentang kisah tadi. Walaupun tak ada kena-mengena dengan jiran sebelah yang gila isem. Sebabnya cikgu English aku tu saling tak tumpah macam Patrick Wilson.

Monday, December 15, 2008

Bintang Barat/Filem Melayu

Agaknya website TGV nie memang sengaja letak nama pelakon Hollywood sebagai salah satu daya penarik orang nak tengok filem Melayu tak? Kali ni nama Rosario Dawson pulak yang naik. Berlakon dalam Los dan Faun katanya. Tapi macam sesuai jer kan sebab tajuk filem tu sendiri berbunyi omputeh

Seorang lain pelakon barat yang membintangi filem tempatan ialah David Straithairn. Beliau turut beraksi dalam Cicakman 2 menurut website tgv tersebut. Ini bukan kes silap taip atau tak sengaja dah ni. Macam nak main-main pulak gayanya.

Wednesday, December 03, 2008

Twilight

No chemistry. Stiff acting. Lousy!
- Sms daripada kawan aku.

Aku pergi juga tengok walaupun kawan aku kutuk gila-gila punya (ada lagi lah yang dia send dalam sms lain). Untuk yang tidak membaca bukunya, seperti ungkapan biasa yang kita dengar, versi filem ini tidak sebagus dalam buku kerana banyak yang tidak dapat dimuatkan. Aku tak komplen pasal tu kerana plotnya senang difahami walau aku masuk sedikit lambat. Pengenalan watak mungkin agak perlahan cuma tiga vampire karnivor itu yang lebih menepati genre ini secara lazimnya tiada latar belakang jelas.

Bella dan Cullen yang merupakan karektor utama adalah fokusnya untuk memberi dimensi lain dalam sebuah tema antara dua darjat. Ia patutnya mengerikan kerana orang berpangkat itu pula ialah puntianak. Pengarangnya telah twist sedikit di situ bahawa mereka juga boleh jadi vegetarian (makan darah haiwan saja). Untuk menimbulkan logik bahawa manusia dan vampire ini masih boleh bercinta tanpa perlu risau leher di mamah.

Filem ini memang ditujukan untuk peminat budak perempuan muda yang sedang ghairah. Macam beberapa penonton gedik sebelah aku yang setiap kali keluar saja scene Cullen seorang, Bella dengan Cullen atau pun Cullen dengan sesiapa pun lah, mulut tu tak boleh diam. Asyik nak ..err… apa yer istilahnya, … swoon..giggle… wahh..oohh…aahhh …. dan bunyi-bunyi yang something to that effects lah yang macam tengah orgasm sangat-sangat! Rimas pulak aku dengar.

Pada pendapat aku, filem ni sesuai digandingkan dengan video klip Evenescence, Bring Me to Live. Memanglah tak ada reference yang ketara tetapi imejan gothic vampire dan darah lebih terkesan lagi dalam muzik video itu minus Cullen mungkin perlu betul-betul high jika pilih Amy Lee sebagai his own personal heroin yang nampak macam mak orang tu. Namun lagu Decode oleh Paramore sebagai runut bunyi Twilight pun melekat juga.

Wednesday, November 26, 2008

Wayang Piper


Ada ke Piper Perabo berlakon dalam filem Wayang ni? Masa aku tengok dulu tak perasan pulak. Dah kena sensor ke? Kekkeke....Macam mana boleh tersilap letak nama minah ni. Piper Perabo ni famous berlakon dalam Coyote Ugly, Cheaper By the Dozen, The Cave dan The Prestige.

Filem terbaru beliau yang sedang meletup di Hollywood sekarang ialah Beverly Hills Chihuahua. Tapi belum start tayang di Malaysia lagi walaupun posternya sudah lama terpampang. Filem berkaitan anjing yang mula bermain di pawagam Malaysia ialah Bolt. Gambar di atas aku ambil dari website tgv.


Bila aku check kat imdb, teruk gila user rating Beverly Hills Chihuahua ni dapat, 2.3/10... memang hanjeng lah filem ni

Tuesday, November 25, 2008

Tiga Filem Hujung Minggu

Hujung minggu yang lepas aku telah berkesempatan menyaksikan tiga buah filem. Dua cerita Eropah dan satu remake Eropah.

Mozart in China


Ya, mungkin filem Wayang tu patut guna strategi ni untuk menarik kembali minat khalayak mainstream kepada wayang kulit. Modus operandinya dengan menggunakan kanak-kanak dan cipta satu persekitaran advancer sebagai elemen cuak, sedih dan seronok. Kerana dalam filem ini fokusnya ialah dua seni tradisional dari dua negara berbeza digabungkan menjadi satu kerangka cerita yang bertunjangkan kanak-kanak. Puppet dari Salzburg dan shadow theatre dari Hainan adalah fokus kepada produksi dari Austria ini yang melibatkan persahabatan di samping budaya silam nenek moyang mereka.

Terdapat persamaan evolusi juga seperti wayang kulit Kelantan yang hampir lenyap, teater patung dari China itu juga turut alami nasib serupa kerana persaingan daripada panggung wayang moden yang lebih popular. Namun filem Mozart in China ini menggunakan pendekatan sejarah (Mozart), dongeng (ikan berlian), mistik (puppet bernyawa), geografi (Eropah – Asia), gangster (along) serta budaya itu sendiri dalam kronologi plotnya. Semuanya di susun menarik walau dari segi teknikalnya nampak murah atau sesetengah pelakon ciliknya kaku semacam tetapi cerita yang ditawarkan sangat meriangkan hati.

Quarantine


Aku masih tidak berpeluang menonton •Rec yang heboh diperkatakan itu. Bila keluar saja Quarantine aku teruslah bergegas ke panggung. Dua orang kawan yang telah tengok semua tidak suka pada ending. Masalah aku pulak, aku bukan tidak suka kat ending dia tapi sebab masa trailer lagi dah tunjuk semua itu. Apa lagi yang tinggal? Kalau trailer tu setakat paparkan footage mereka yang kena gigit atau di terjah oleh mangsa virus itu pun sudah cukup efektif.

Corak filem ini yang guna handheld camera memang berkesan sangat bagi aku kerana masa tengok tu aku sedang pening kepala. Jangan tengok jika sedang di landa sakit kepala yang kronik kerana ianya lebih thrill dan horror daripada …err… Cloverfield? Puas hati sangat dengan filem ini malah penonton semua sporting siap menjerit sekali dalam panggung.

The Ride


Bila diingatkan balik, filem Jizda atau dalam Inggeris judulnya ialah The Ride ada persamaan karektor dengan Y’ tu Mama Tambien kerana ada dua lelaki dan seorang wanita dalam sebuah kereta. Cuma tujuan perjalanan itu saja yang tak sama. Filem Mexico tu mereka ingin mencari pantai. Cuma yang Republik Czech ni apa entah arah tujuan mereka langsung tak tahu. Tapi bab-bab karektor yang horny memang tak boleh tinggal. Tetap ada dalam kedua-dua cerita.

Aku suka The Ride ni walaupun tiada destinasi yang jelas diterangkan ia ada paparkan semangat road movie yang kuat. Perempuan yang mereka ajak tumpang itu serta kereta lelaki yang tenggelam timbul mengekor mereka memberi nilaian kepada genre sebegini yang kelihatan mudah. Malah aku semakin hargai perjalanan yang filem ini beri sebab pengkarya mereka benar-benar tahu menikmatinya kerana dari trivia yang aku baca mereka semua bertaruh sama ada sebuah filem dengan nilai sejuta crown mampu di bikin.

Friday, November 21, 2008

Joshua

Filem Joshua ini bagi aku berjaya menjadi psychological thriller yang baik untuk era moden ini. Berlatarkan suasana kosmopolitan New York dan penduduknya yang elite serta berbudaya terpendam sebuah kejahatan yang tidak dapat disahihkan namun ia berlaku kepada sebuah keluarga. Bagai déjà vu kerana peristiwa ini seakan pernah terjadi dahulu sebab premisnya juga masih dalam sebuah apartmen dan turut melibatkan seorang suami dengan seorang isteri yang baru lepas bersalin. Hanya kali ini ada seorang budak lelaki sebagai tambahan.

Jika anda terus teringat pada Rosemary’s Baby, tak salah untuk berfikir macam tu, macam bayi kepada puak kultus pemuja setan itu kini sudah membesar. Namun tidak ada yang supernatural pada budak ini. Dia bukan The Omen. Namun dia kelihatan aneh dan sesuatu dengan pandangan dingin serta energy seram yang dirembaskannya. Diperankan oleh Jacob Kogan dengan sungguh berkesan sampai kita naik geram. Wataknya digambarkan sebagai manipulatif dan sadis walaupun penonton tidak disajikan semua itu di depan mata. Beberapa babak yang sepatutnya membuktikan kelakuan psycho si Joshua ni macam nak acah-acah kita pula.

Selebihnya kita kena fikir atau analisa sendiri tentang apa sebenarnya yang menimpa keluarga tersebut. Seorang ibu yang gila meroyan dan bapa yang terpaksa mengimbangi tuntutan kerja dan rumahtangga yang seolah semakin berantakan namun punca dan penyelesaiannya masih samar-samar. Kemelut ini bermula apabila si ibu membawa pulang bayi yang baru dilahirkan ke rumah dan budak lelaki itu rasa terancam dan disisihkan. Mungkin faktor pergaduhan adik-beradik yang merumuskan kekacauan ini tercetus. Walaupun aku lebih berat untuk menuduh Joshua mengalami gangguan jiwa yang kronik. Teori yang aku boleh cakap mungkin dia adalah mangsa paedofilia daripada seorang ahli keluarga terdekat.

Waima tidak ditunjukkan secara nyata dalam filem namun beberapa subtle yang dipaparkan dalam sesetangah babak membuatkan kita boleh buat andaian sendiri. Sebuah drama sosial yang memperdaya penonton denagn dipakejkan sebagai sebuah filem horror tipikal. Namun Joshua menawarkan sesuatu yang lebih menggerunkan daripada itu.

Wednesday, November 19, 2008

Paris

Apabila aku cakap yang aku nak menonton Paris, terus si Gaia bagi komen “Paris agak lembab. Banyak cerita yang tak berapa dimengerti apa kaitan antara satu sama lain. Kalo French (kawan dia) konfem tak suka pasal dia selalu cakap filem Perancis ni slow and bad music”.

Ok, noted.

Tapi aku pergi juga ke gsc dengan fikiran terbuka. Dalam booklet Euff 2008 telah memberikan sinopsisnya secara ringkas mengenai Pierre seorang penari yang mengidap penyakit jantung. Sementara menanti hari-hari di bedah, dia menghabiskan waktu dengan bersidai di balkoni, menyorot kehidupan marga Paris secara rambang yang bergelut dengan indah dan ghalaunya perjalanan mereka sendiri di sebuah kota cinta. Tapi bukanlah dia berteleku di situ sehari suntuk sampai tak ada buat aktiviti lain. Kakaknya Elise seorang ibu tunggal yang bila mendapat tahu adiknya sakit pantas memberi sokongan moral dengan berpindah sementara di situ beserta anak-anak.

Asasnya filem ini mengenai kasih sayang mereka dua beradik dengan Paris menjadi lambang. Di samping itu watak-watak lain yang di skodeng oleh Pierre tadi turut terkandung sebagai plot. Memang sudah cliche kota ini sebagai metafora kepada cinta seperti filem Paris, je T’aime yang aku saksikan dulu. Namun masih tak jemu. Walaupun aku rasa kedua-dua filem ini seakan-akan sama cuma dalam Paris naratifnya di bina dalam bentuk ala filem Love Actually atau Crash. Hanya unsur kebetulan itu tidak terlalu di paksa.

Paris tak adalah lembab sangat. Ia seakan kita di suruh ambillah sebanyak mana masa yang kita mahu untuk menghayati bandaraya ini. Seperti filemnya juga yang turut di isi dengan ajnas karektor dan suasana untuk di telaah. Kalau tengok Le vie en Rose lagilah azab lembabnya dengan muzik dan lagu yang aku tak begitu masuk. Namun muzik dalam Paris is not bad.

Tuesday, November 18, 2008

The Coffin

Tak serik-serik aku tengok filem Thailand. Hujung minggu lepas aku pergi menonton The Coffin. Hasil terbaru daripada pengarah Ekachai Uekrongtham yang sebelum ni memberikan kita Beautiful Boxer. Itu sebuah kisah benar mengenai seorang peninju yang ingin membuat pembedahan jantina. Manakala filem ini pula turut bersandarkan sesuatu yang benar iaitu satu amalan pelik masyarakat Siam yang melibatkan keranda. Dengar je dah seram.

Sebenarnya ritual tersebut mengkehendaki seseorang berada dalam keranda selama beberapa hari sebagai syarat untuk menjauhi nasib malang dan anasir puaka. Premise begini memang sudah boleh di telah akan sampai impak takutnya. Tapi bagi mereka yang menaruh ekspektasi lebih tinggi mungkin akan kecewa sikit. Aku pula tak adalah harap seram yang melampau-lampau. Bagi aku filem ni lebih ok daripada dua cerita Siam yang aku tengok sebelum ni. Ada aku mention dalam beberapa entry terdahulu.

Satu lagi aku nak cakap, jangan nak expect dua selebriti tersohor yang menerajui filem The Coffin ini akan bergandingan di sepanjang filem. Rupa-rupanya karektor mereka wujud tidak parallel dalam timeline yang sama. Cuma masa nak dekat penamat barulah mereka berkongsi skrin. Walaupun aura seram lebih berjaya semasa kisah Ananda, tetapi tidak begitu difahami kaitannya dengan ritual tersebut. Manakala bahagian cerita Karen Mok senang difahami kesan dan akibat yang melandanya dek melaksanakan penyucian terbabit.

Selain gabungan dua plot yang agak baik itu tadi aku juga tertarik dengan aspek tangkapan kamera yang cantik dan membentuk mood. Kita boleh merasa ngeri dan gentar kematian melalui shot-shot yang difokuskan. Namun itu semua tidak banyak di bantu oleh pelakon-pelakon yang bagi aku tidak memberi sepenuh jiwa. Seolah separuh lagi mereka sudah masukkan ke dalam keranda.

Sunday, November 16, 2008

Wayang

Subjek yang di bawa oleh filem ini ialah sejenis hiburan tradisional orang Melayu yang di panggil wayang kulit. Rasanya sebelum ni tidak ada lagi sebuah cerita tentang unsur ini di angkat ke layar lebar. Mungkin sebab belum ada cerita yang kuat untuk diketengahkan. Atau dikhuatiri khalayak umum tidak berminat untuk menjengah panggung menonton sebuah kisah mengenainya. Aku sendiri tak pernah tengok persembahan wayang kulit secara “live” depan mata. Tapi, tegasnya aku tak akan buat perangai sengal macam segelintir budak-budak student Uitm dalam satu babak dalam filem ni.

Ada ke patut masa Awang Lah lakonan Eman Manan suruh Awi dan Melor demokan wayang kulit depan mereka, diorang semua jadi tak tentu arah dengan ekspresi memek muka curious gila. Masing-masing jadi tak karuan dan tercangak-cangak hilang punca. Lepas tu ada seorang dua menjenguk belakang kelir nak tahu macam mana seorang buta dan seorang lagi sengau boleh memainkan patung-patung tu semua. Tak perlu sangat nak tunjuk muka dan aksi kelam-kabut tu! Sampai nampak pathetic. Terpaksalah aku highlight benda ni dulu walaupun aku tahu remeh-temeh jer perkara ini.

Ya, gambaran kasar yang kita dapat proses dari hiburan ini ialah seorang tok dalang mestilah berupaya melihat dan bersuara dengan normal untuk mementaskan hasilnya. Tetapi naskhah garapan Hatta Azad Khan ini memberi ironi daripada apa yang kita tahu mungkin sebagai simbolik kepada semakin hilangnya seni tersebut dari pandangan orang ramai. Dan jika ada pun suara yang ingin menyokong kelangsungan hayatnya, ia hanyalah bunyi-bunyi sumbang dan tiada siapa yang sudi membela nasibnya. Satu lagi aspek yang di beri perhatian oleh Hatta apabila produk ini di label un-Islamic seperti adegan pada awal cerita yang bagi aku patut di bagi lebih pendedahan.

Watak antagonis, Jusoh sepupu Awang Lah sendiri yang anti wayang kulit dengan imej Islami tidak dibangunkan karektornya secara kukuh untuk kita memegang fahamannya. Sepatutnya biar Jusoh dan Mamat, anak Awang Lah itu berkongsi idealogi mereka sendiri untuk berpakat memusuhi seni tradisional ini. Jadi Wayang tidak akan bergerak terlalu hambar dan lesu jika sekadar untuk menerapkan pergolakan jiwa seni Awang Lah serta tugasnya untuk mendidik dua OKU itu tadi mendalami bidang ini. Cuma unsur romantis dua anak murid (juga anak angkat kepada beliau) memang boleh difahami dalam teks ini hanya ia terasa meleret.

Aku suka ingin kaitkan filem ini dengan Budak Kelantan yang turut masih bermain di panggung. Atas dasar yang kedua-duanya guna dialek yang sama, aku andaikan jika Awi ingin main gitar semasa persembahkan wayang kulit, hasilnya adalah Budak Kelantan. Wayang kulit seperti yang Awang Lah ingin pertahankan yang kekal dalam ciri-ciri tulennya mungkin akan terus lestari. Tapi hanya sebagai bahan pameran atau rujukan ilmiah. Manakala wayang kulit yang pop akan di pilih dan di sukai oleh kebanyakan orang.

Thursday, November 13, 2008

The Last House in the Woods

Aku beli dvd ni pasal keliru dengan satu lagi tajuk filem yang aku dah lama cari. Beberapa blogger selalu mewar-warkan filem The Last House on the Left dan buat aku teringin nak tengok. Masa kat Jb, tengah aku belek-belek cover beberapa dvd, nampak je tajuk ni aku pun rembat. Rupa-rupanya tiga perkataan depan saja yang sama. Tersalah beli pulak.

Ok, tak mengapa. Bukannya teruk benar filem ni. Walaupun gambarnya macam style movie 70-an. Tapi sebab ada handphone tu sedarlah kita bahawa ni filem moden. Walaupun telefon mudahalih tersebut tetap tak boleh di harap apabila tiba saat-saat cemas dan kritikal. Lagipun ini filem horror slasher thriller yang memang penuh dengan adegan begitu.

Produk Itali ni meneruskan kelangsungan tradisi yang wajib ada dalam genrenya. Dari segi naratifnya kita terpaksa tunggu juga sampai ke akhir durasi kalau ingin tahu apa yang terjadi pada budak di awal cerita. Itu mungkin umpan pengarahnya jika penonton dah muak di simbah dengan darah yang bergelen-gelen dan anatomi yang di lapah serta di mamah juga jerit pekik. Fikiran aku langsung tak boleh nak agak apa yang famili aneh tu buat pada budak malang tersebut. Sampaikan ada seorang penjahat itu siap muntah selambak.

Dalam filem ni ada tiga penjahat mula-mulanya. Mereka nak rogol seorang awek ni selepas membelasah balak awek tu dan sumbat dalam but kereta. Kejadian berlaku di sebatang jalan sunyi di tepi hutan belukar. Pendek cerita, si gadis dan pasangannya tu diselamatkan oleh keluarga tadi yang melalui jalan tersebut dan membawa mereka pulang ke rumah terakhir di dalam hutan. Siapakah orang jahat sebenar itulah persoalannya.

Wednesday, November 12, 2008

The Art of Travel

Filem ni macam korang tengok episod dalam Globe Trekker. Atau Not Your Average Traveller di saluran Travel and Living. Cuma ia bukan dalam dokumentari tetapi didramakan. Hujung-hujung tahun begini kalau bajet tak ada nak pergi bercuti, tontonlah filem ni. Ia ada premise yang menjanjikan. Puas hati juga dapat habiskan tengok. Seolah baru melepasi perjalanan yang tak tahu di mana akan berakhir.

Tak silap aku si Gaia pernah beritahu dulu yang budak-budak remaja di US sebelum mereka sambung belajar di kolej/universiti biasanya akan ambil cuti mungkin dalam setahun untuk mengembara. Itu lah hero filem ni Connor Layne buat yang terbang ke Amerika Sentral sebelum dia mulakan kelas. Namun tujuan itu sebenarnya terlencong sebab pada mulanya dia nak berjalan-jalan sambil berbulan madu tapi di atas altar dia membatalkan perkahwinannya. Kemudian dia terus ambil keputusan untuk keluar ke mana-mana saja destinasi luar negara yang pertama pesawat akan tujui.

Tatkala di Nicaragua, dia bertembung dengan sepasang suami-isteri yang sedang merangka satu advencer untuk merentas Darien Gap menerusi hutan tebal dan bahaya dengan menggunakan jip tetapi mereka tersangkak seorang kru. Lantas Connor yang berat hati awalnya bersetuju sertai mereka berdua yang turut di sokong sekumpulan ahli lain yang berkepala sengal. Terasa macam tengok Amazing Race pun ada juga cuma tak ada perlumbaan dengan mana-mana group atau proses penyingkiran je. Sebab task-task semasa dalam hutan tu agak mencabar juga.

The Art of Travel ni memang bukan macam filem kembara seperti Turistas atau The Beach atau The Ruins yang lazimnya di beri plot lebih dramatik dan ada thrill. Setakat nak tengok pelakon beraksi sambil berwisata di negara-negara tertentu mungkin boleh dijadikan tarikan. Tapi dalam satu adegan ada sejenis jenaka yang suami-isteri itu kenakan pada watak utama ini yang boleh menjadi inspirasi. Atau dalam kes Connor, ianya adalah pendorong secara paksa. Kelakar jugak.

Friday, October 31, 2008

Tropic Thunder

Ben Stiller akhirnya berjaya memindahkan idea filem ini ke layar lebar setelah lama terperap dalam kepalanya. Mungkin agak aneh kenapa situasi yang digambarkan ialah perang Vietnam. Ia nampak out-dated berbanding plot dalam beberapa filem lain yang memaparkan konflik timur tengah yang lebih terkini. Namun lokasi mungkin perkara sekunder. Kerana konsep filem ini sendiri yang spoof dan mengambil rujukan beberapa filem Hollywood lain serta memperolokkannya.

Ini sama seperti The Player oleh Robert Altman sebagai satira yang mewajarkan mereka mempunyai persepsi sendiri terhadap sesuatu walau absurd, nakal dan terpesongnya penerimaan tadi. Tropic Thunder menggunakan lesen ini untuk mempermainkan dunia Hollywood, sehingga menjadi kecoh, lawak dan celupar yang berlebihan. Bagi kita, ini adalah hiburan muktamad yang boleh mengisi masa senggang. Namun tidak semua pihak berpendapat begitu.

Ada subplot dalam filem ini yang berkait dengan golongan terencat akal membuatkan organisasi yang mewakili mereka tersinggung. Dialog “retard” yang diulang-ulang sangat mengguris. Tapi ada asasnya mereka berbuat demikian sebagai parody kepada beberapa aktor yang pernah berwatak begitu demi komitmen seninya. Mereka sebenarnya sedang buat lawak sinikal kepada bintang terkenal berkenaan walaupun ia secara tidak langsung membuat khalayak lain pula yang terasa. Satu lagi apabila Robert Downey Jr yang menjadi karektor black dalam filem ni turut menimbulkan rasa keberatan pada beliau pada mulanya. Namun itu tiadalah kontroversi sangat.

Filem ini turut dijayakan oleh Jack Black yang menyertai dua nama popular tadi sebagai pelakon utama dalam satu cerita tentang sekumpulan karyawan sedang membikin filem. Mereka merangka sebuah blockbuster tentang perang Vietnam yang sedang dalam lokasi di Asia Tenggara yang diadaptasi daripada sebuah buku bestseller.

Disebabkan karenah bintang-bintang ini yang superstar serta belanjawan produksi yang kian melambung sedangkan filem tak siap-siap, penulis buku serta pengarahnya berpakat nak mengajar para aktor ini supaya lebih berdisplin dalam karier dengan membuat penggambaran style gerila jauh dari sokongan krew lain. Namun rancangan yang di atur bertukar menjadi kacau dan huru-hara apabila mereka bertembung dengan sekumpulan gangster penyeludupan dadah di tengah hutan.

Tropic Thunder adalah filem yang sarat dengan persendaan kepada golongan selebriti mahupun terhadap produk Hollywood itu sendiri. Malah mereka nampaknya tak kisah pulak menjadi subjek sindiran itu apabila ramai bintang popular muncul cameo atau pegang watak sampingan dalam filem ni. Tapi kita di Malaysia ni bagai di persendakan pula oleh lembaga penapis apabila filem ni jadi melompat-lompat sebab banyak kena sensor. Setahu aku Tobey Maguire pun ada enterframe dalam filem ni tapi babak tu dah kena potong agaknya.

Tuesday, October 28, 2008

Beberapa Catatan Movie di JB

Cuti tiga hari hujung minggu lepas aku pergi ke Johor Bahru. Tak ada apa benda pun aku buat kat sana selain jalan-jalan dan makan-makan. Ada beberapa perkara berkaitan dengan movie yang boleh aku kongsi semasa aku di Jb.

1. Tatkala terpasang stesyen tcs5, aku berpeluang tengok setengah jam terakhir filem Mindhunters. Aku ingat lagi yang dvd aku beli dulu rosak. Seperti biasa aku ni memang malas nak tukar balik. Jadi aku tak tahu ending dia macam mana sebab aku dapat tengok sekerat jalan je dulu. Ini dah ada disiarkan di tv Singapore ni, boleh le aku tengok ending dia bagaimana.

2. Masa kat Jb aku beli dvd Harold and Kumar Escape From Guantanamo Bay. Tokey tu cakap gambar clear. Kalau mana-mana movie yang tak clear memang diorang akan bagitahu yang gambar tak jelas. Tapi dalam kes ni, bukan pasal gambar tak clear tapi movie lain pulak yang keluar.

Bila aku pasang dvd tu yang keluar ialah Harold and Kumar Go to White Castle. Laa… macam mana ni? Dah-lah aku dah tengok movie ni. Eh, dia silap masuk dalam sampul ke? Tapi bila aku check gambar yang kat disc tu memang ia tulis Harold and Kumar Escape From Guantanamo Bay. Pelik ni. First time aku beli dvd terjadi kes macam ni.


3. Satu lagi dvd yang buat aku upset ialah Pineapple Express. Patutnya aku test dulu kat kedai tu atau kat rumah kawan aku di Jb. Ini dah sampai KL baru nak test. Bukak-bukak jer gambar dah senget-benget. Tak clear pulak tu. Mungkin sebab adegan awal ni ialah zaman 1937 (ada tulis kat skrin) sebab tu hitam putih kelabu warna dia. Tapi selepas 5 minit babak tu dan kembali ke zaman sekarang pun masih kelabu lagi, macam mana tu? Sah-sah dvd ni yang kelabu asap.


4. Masa on the way balik tu bas pasang filem Midnight Meat Train. Terkejut gak aku. Boleh ke nak siar filem 18 tahun ke atas ni dalam bas? Macam mana nak sensor part-part yang ranjang dan ganas sadistik itu? Oh, bila sampai ke adegan yang menyinggung ketenteraman awam tu, diorang fast forward kan. Tapi penumpang setakat boleh tengok gambar je, audio langsung tak dengar. Kecuali part jerit-jerit. Tak ada subtitle pulak tu. Aku tak kisah pun sebab dah tengok kat tgv.

Friday, October 24, 2008

Soul's Code

Filem Thailand yang ni macam berlagak bagus je. Menggabungkan konsep forensik ala csi dengan elemen supernatural dalam satu persembahan pada awalan cerita macam menjanjikan sesuatu. Tapi lama-lama jadi menjengkelkan. Pelakon-pelakon yang membintangi filem ni pun nampak sengal. Aku rasa tak ubah macam aku tengok Gerak Khas versi Siam je dengan dialog yang poyo (kalau ikut sarikata tu lah – mungkin kalau aku faham cakap Siam aku tetap nak kata dialog tu skima giler).

Sudahlah plotnya agak berbelit. Mungkin pembikinnya nak bagi surprise kepada penonton. Tapi sampaikan ada lubang-lubang cerita tidak dijelaskan dengan teliti (atau aku yang tak tengok betul-betul?) membuatkan ia bertambah palsu. Ada dua kisah yang berlainan yang difokuskan dalam filem ini, hanya bertembung di tengah cerita untuk mengaitkan mereka. Pertama tentang sepasukan polis yang sedang dalam operasi untuk memberkas penjenayah. Kedua berkenaan seorang lelaki dengan teman wanita, si model jelita yang sedang bermasalah.

Di samping itu kedua-dua cerita ini melibatkan satu jelmaan roh wanita yang menyeru ketua pasukan polis dan teman lelaki model seolah-olah meminta tolong. Tapi efek hantu itu tak seram mana sebab semua sudah pernah kita lihat dalam produksi lain. Malah kisah begini pun kita boleh anggap ia sebagai satu episod dalam siri The X-Files dengan perisa asia. Jelas unsur tok sami dan tokong Siam sebagai props untuk menaikkan lagi fenomena yang di harap boleh menambahkan misterius pada khalayak. Namun itu tidak begitu banyak membantu.

Namun dari segi positifnya, filem ni tidak menaruh strategi marketing dengan poster dan terjemahan tajuk yang mengelirukan. Tak macam filem Ghost House yang aku tengok beberapa bulan lepas yang memang buat orang rasa tertipu. Tapi aku tetap gembira walaupun sudah dipedayakan oleh filem itu kerana endingnya yang sangat di luar jangkaan. Siap ada penonton yang tergelak besar lagi masa tengok adegan penamat yang mental itu.


Poster taken from http://www.demonoid.com Tq

Monday, October 20, 2008

Catacombs

Filem ni bukanlah menjadi pilihan untuk di tengok. Main beli je tiket kemudian tunggu show start pukul 9 malam. Masa kredit pembukaan keluar kenyataan yang mengatakan filem ni berdasarkan kejadian sebenar. Di samping itu turut juga diterangkan apakah maksud Catacombs ni sebab kebanyakan penonton memang tak tahu langsung apa kah bendanya ini. Kalau berdasarkan poster yang penuh tengkorak itu kita akan suspek ni filem angker.

Agak seram jugak filem ni, sudahlah penonton dua tiga kerat je. Langsung aku membayangkan konsep penggambarannya ada macam •Rec (walaupun aku tak tengok lagi filem tu) sebab feelnya seolah kita dibawa menyelami keluh-kesah seseorang yang cemas di rakam guna videocam sendiri tanpa ketahuan apa yang menanti di depan (atau belakang, tepi segala). Dengan ruang bawah tanah yang klastraufobik serta momokan urban legend misteri menambahkan lagi trauma kepada si gadis malang yang mengalami.

Aku agak terkejut dengan ending filem ini. Bukan ia buruk atau tak masuk akal tapi ia memuaskan hati. Setelah lama terkurung dengan seorang watak utama saja lari ke hulu ke hilir dalam situasi gelap yang hanya di bantu oleh lampu suluh, memang kita rasa nak naik hantu jugak.

Tuesday, October 14, 2008

Paranoid Park

Mula-mula pandang dvd ni di kedai rasa macam nak beli. Tapi fkir-fikir semula tak jadi lah. Nasib baik tak beli pasal masa balik kampung hari tu tengok-tengok dah ada kat rumah. Adik aku beli. Tapi tak habis pun dia tengok. Boring katanya.

Memang pun. Aku sendiri rasa azab nak habiskan filem ni. Kalau anda bayangkan filem ini ala Elephant, mungkin jangkaan anda boleh dikatakan tepat. Lagipun subjeknya masih sama berkaitan dengan alam remaja. Malah tema keganasan di sekolah seperti dimainkan oleh filem tersebut sangat segar pada waktu itu kerana ia ibarat dokumentasi tragedi Columbine yang masih hangat.

Namun Paranoid Park walaupun ada kena-mengena dengan remaja dan pembunuhan tetapi naratif yang di bina adalah dalam format yang menyeksakan penonton. Ia tidak menurut jurus teknik bercerita filem-filem lain yang konvensional. Bagi aku sedikit rumit dan menuntut kesabaran kalau nak tonton filem ni seperti kena cerakin sebuah buku penuh falsafah. Tidak aku nafikan yang konsep begini sangat unik dan kreatif tapi hanya penggemar Gus Van Sant saja yang akan benar-benar menghargainya.

Alex lakonan Gabe Nevins pergi bermain skate board di sebuah kawasan di panggil Taman Paranoid. Dalam pada itu terdapat satu kejadian pengawal keselamatan stesyen keretapi terbunuh dan nampaknya Alex terlibat dalam kes ini atau mungkin tahu sesuatu mengenainya. Pasal baca sinopsis ini pada inlay dvd itu dahulu juga yang buatkan aku berminat nak beli. Ia sebagai daya penarik selain nama pengarah kerana pelakon-pelakonnya semua tak famous kecuali Taylor Momsen (Gossip Girls).

Jalinan plot yang di susun tidak mesra penonton. Termasuk juga dengan kerja kamera yang dengan long takes, gerakan gambar yang slow serta aspek-aspek visual yang bagi aku eksperimental lebih dititikberatkan daripada cerita itu sendiri. Selain di tuduh boring tadi, Paranoid Park juga akan di kecam sebagai pretentious dan mengada-ngada. Namun secara positif, filem ini jika disaksikan pada kondisi yang tepat boleh membuatkan kita meneroka satu lagi perspektif baru dalam tontonan.

Thursday, October 09, 2008

Eagle Eye

Masa mula-mula adegan di buka dengan orang-orang Arab berkumpul di satu penempatan padang pasir dan ada skuad intelligent Amerika memantau dari satelit kita dapat gambaran asas filem ini mungkin tentang terrorist. Dah berdetik dalam hati rasa tidak selesa, entah macam mana ganas pula orang Islam akan di potray dalam cerita ni. Atau tatkala tengok trailernya lagi dengan babak dalam bilik Shia Labeouf dengan senjata, alatan tentera dan bahan kimiawi membuat bom ada alasan untuk percaya filem ni ada kena-mengena dengan keganasan.

Bagi aku setakat tengok trailer saja pun cukup. Jika ada yang terlebih anda harapkan daripada Eagle Eye, mungkin sedikit kecewa.

Aksi pelakon utamanya yang cemas dan sasau menerima panggilan telefon entah siapa dan dari mana memberi arahan macam-mana sangat berkesan. Kita pun jadi terpinga-pinga dan takut dengan suara misteri yang bijak menyusun perintah dan pandai memanipulasi membuatkan suasana jadi rusuh. Kalau boleh aku tidak mahu tahu dari mana suara itu datang. Dan kenapa ia perlu menguasai. Biar ia kekal jadi tanda-tanya.

Kerana apabila jawapannya di buka, mungkin ia tidak segempak yang kita sangka. Atau jadi klise. Macam tak boleh ada klimak yang lain sebagai punca. Dengan penamat yang tidak memuaskan, ia lebih menjengkelkan lagi. Sekadar Untuk tahap aksi kejar-mengejar dengan kamera goyang-goyang dan laju ia memang boleh di harap.