Wednesday, August 27, 2008

Wall•E

Filem ini di pakej macam satu produk. Berbentuk kiub. Untuk dijadikan merchandise sebagai promosi filemnya. Nanti boleh di beli buat kenang-kenangan. Sementara tayangannya masih rancak berputar di panggung. Bagi mengujakan lagi kalau beserta mainannya. Bila filemnya sudah sejuk nanti, simpan saja ia di rak.

Buat hiasan.

Mengumpul debu di situ.

Kalau dah jemu dengannya, buang ia ke tong.

Nanti pihak majlis bandaraya akan ronda dan kumpul sampah dari tong tersebut. Lalu di bawa ke satu tapak lain untuk di lupus.

Lalu 700 tahun lagi mungkin semasa Wall•E mengorek tanah dan sisa akan terjumpa satu benda sepertinya. Dia membelek dan merenung untuk dikenalpasti. Setelah lulus menurut piawainya sendiri, dia akan membawa benda itu pulang.

Kalau dia tak berkenan, akan di proses dalam badan bersama barangan lusuh lain. Keluar sebagai kiub. Di susun tinggi bertingkat-tingkat ibarat menara.

Tiada benda yang terlepas dari sasaran Wall•E. Dan Wall•E menyasarkan kita semua. Sebuah produk tentang mesin yang berperasaan. Dan kita manusia yang sepatutnya lebih tinggi perasaannya terhadap alam semulajadi yang rapuh ini. Kerana bumi bukan merchandise. Ia tak boleh di buang ke tong. Walaupun kebanyakan daripada kita treat ia macam sampah.

Monday, August 25, 2008

Komuter, Kapal, Kapal Terbang, Kereta

Minggu lepas berita-berita mengenai pengangkutan menarik minatku untuk di blog. (Harga petrol turun 15 sen – setelah digenapkan amat melegakan seluruh Malaysia dan membuatkan sebahagian pengundi Permatang Pauh serba salah). Walaupun minyak memang ada kena mengena dengan alat-alat pengangkutan ni, tetapi bukan itu yang aku nak cerita. Mari imbas kembali beberapa tajuk-tajuk melibatkan transportations di dalam mahu pun di luar negara.

1. Komuter

Pengguna komuter sangat bertuah pada hari Khamis lalu. Pak Lah telah merendah diri untuk sama-sama bersesak-sesak dengan rakyat jelata dengan menaiki pengangkutan tersebut menuju ke destinasi masing-masing. Apakah mesej yang dapat di pelajari daripada headline ini? Bahawa pemimpin kita memang kalau boleh ingin selalu menggunakan public transport itupun jika servisnya lebih effisyen kerana dalam spot check tu Pak Lah dapati perkhidmatan komuter kurang memuaskan.

2. Kapal

Berita yang merisaukan di terima dari Yaman apabila sebuah kapal tangki MISC yang berisi minyak kelapa sawit telah di rampas oleh sekumpulan lanun di Teluk Aden, berhampiran perairan Yaman dan Somalia pada 19 Ogos. Ok, apa-apa saja yang berkaitan dengan minyak adalah sangat berharga sekarang walaupun yang bukan daripada fosil. Seramai 39 anak kapal masih belum dapat dipastikan nasib mereka. Doakan semoga mereka selamat dan tidak diapa-apakan oleh lanun minyak sawit itu.


3. Kapal Terbang

Sementara menunggu National Geographic Channel buat lakonan semula dalam program Air Crash Investigation nanti, sebuah pesawat penumpang milik Spanair Airlines terhempas lalu terbakar di landasan di Lapangan Terbang Madrid-Barajas ketika baru hendak berangkat, mengakibatkan 45 orang terbunuh, manakala 40 lagi cedera.

Manakala di Kyrgyzstan pula pesawat kebangsaan negara itu telah terhempas apabila mengalami kerosakan teknikal tatkala berlepas dari terminal kira-kira 25 kilometer dari ibukotanya, Bishkek. Sebanyak 65 nyawa tertewas dalam nahas tersebut.

4. Kereta

Well, pasal kereta yang aku nak cakap ni ia bukan laporan mana-mana berita. Tapi dari filem Death Race. Sebaik saja anda memutuskan untuk tengok filem ni, lupakan aksi lumba jentera yang anda pernah saksikan ala The Fast and the Furious (atau Evolusi KL Drift... hehe..) kerana hidup mati di litar memang memerlukan pelumbanya mampos. Hanya yang menang akan hidup dan bebas dari penjara di mana perlawanan itu berlangsung. Sebuah aksi pecutan adrenalin yang ganas dan laju.

Friday, August 15, 2008

Rogue

Tak ingat bila kali terakhir tengok filem berkaitan buaya. Tak juga aku menggemari haiwan yang berasal dari susur-galur zaman dinasor ni. Rogue muncul dengan nama Greg Mclean sebagai daya penarik untuk membuat orang teruja. Filem beliau sebelum ini Wolf Creek yang aku tahu pun setelah membacanya dari blog mamaikmal tak silap. Jumpa saja dvd itu di kedai dan tengok, wow! memang dahsyat dan mencemaskan.

Malah untuk filem ini juga konsepnya lebih kurang sama. Jika filem dulu, orang tua itulah yang jadi binatangnya, maka dalam Rogue ini, well, buaya itu ler. Kalau dulu juga adegan pembukaan dihiasi dengan budak-budak muda tersebut berjalan iseng bersantai di gurun Alice Spring itu, kali ni para pewisata tu semua belayar tenang merentasi sungai di negeri wilayah utara. Tapi rasanya kalau untuk genre horror-thriller ni memang temponya akan jadi macam tu juga mana-mana pun.

Ok, seperti yang aku sebut dalam perenggan di atas, pelancong-pelancong terbabit naik bot sebab nak tengok habitat buaya yang memang tersohor di situ. Salah seorang daripada mereka ialah Pete (Michael Vartan) seorang penulis majalah pelancongan dari Chicago. Mengemudi perjalanan mereka pula ialah Kate (Rhada Mitchell) sebagai pemberi penerangan untuk pelawat yang berminat pasal haiwan berkenaan. Sedang mereka berseronok di atas air berlaku insiden malang menimpa rombongan cik kiah itu.

Sekali lagi kalau korang pernah tengok Wolf Creek, bahagian yang dekat hujung-hujung semasa mangsa terperangkap itu pun lebih kurang sama dengan Rogue ni. Bezanya kali ini ianya adalah binatang betul. Namun versi asalnya, orang tua berperangai binatang itu lebih baik lagi untuk di tonton.

Wednesday, August 13, 2008

Susuk

“Kau tak payahlah tengok Susuk. Tak best,” kata kawan aku

“What?! Tak best ke?” aku

“Tapi aku tak tahulah kau punya selera. Kau mesti suka kot? Macam ada pretentious art something dalam tu,” kawan aku

Aku tak ingat exactly apa yang kawan aku cakap, lebih kurang macam tu lah. Lama dah tunggu filem ni. Jadi tak kan aku nak terjentik dengan kata-kata kawan aku tu. Nasib baik tak tengok dengan dia. Kalau tak mood mesti terjejas untuk menghayati filem ini yang rupa-rupanya complicated. (Mungkin itu yang dia tak suka, susah untuk di cerna agaknya?)

Hasil mainstream pertama Amir Muhammad. Dari Perforated Sheets (artikel), Lips to Lips (filem), Malaysian Decameron (teater), Big Durian (filem), Lelaki Komunis Terakhir (filem) sekarang ke khalayak ramai akhirnya dengan satu naskhah yang releven dan cocok dengan naunsa tempatan. Walaupun tidak kontroversi sehingga tayangannya boleh di tarik balik, Susuk bukanlah subjek yang selesa. Mungkin ada yang bandingkan dengan satu siri drama Melayu yang turut guna tajuk serupa, seolah amalan ini makin dilupakan kerana persaingannya dengan botox maka ia memerlukan pendedahan lebih meluas.

Apabila membaca sinopsis filem ini rasa tidak ada kelainan atau perkara baru yang boleh diketengahkan. Topik perempuan kampung yang ingin menjadi glamor adalah lazim dalam filem-filem Melayu. Daripada gadis naif, suci kemudian bertukar jadi lupa daratan, jadi pelacur, jadi huru-hara dan macam-macamlah. Sekarang dalam Susuk sampai jadi monster pulak. Tapi itu semua adalah cadangan transisi yang bagus dalam konteks perlunya anak-anak gadis ini membuat keputusan yang tepat dalam hidup.

Berkoloborasi mengarah dengan Naeim Ghalili, disertai tenaga yang biasa berganding bahu dengannya dan jalan cerita yang berulang-kali di rombak, filem ini berjaya menakutkan jika itu matlamatnya. Kalau ia ingin menyeru masyarakat tentang keangkeran susuk, mungkin akan sampai maksudnya. Cuma jika ia ingin mendidik penonton supaya menghargai teknik penceritaan yang unik dan berbeza, aku rasa itu tidak akan berlaku dalam masa yang singkat. Namun strategi pengkarya Susuk mengambil serampang dua mata melalui gabungan kisah seram yang memang diminati ramai dalam kerangka cerita tidak linear adalah satu usaha yang sangat bijak dan patut di puji.

Tuesday, August 12, 2008

21

Ada seorang pelajar MIT yang pintar ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang medik di Harvard tetapi tidak cukup wang. Mula-mula dia buat permohonan untuk biasiswa (bukan dengan mana-mana pejabat timbalan perdana menteri tau!) tapi masa interviu, macam tak ada harapan. Pada masa yang sama pelajar ini Ben Campbell lakonan Jim Sturgess turut buat kerja sampingan di sebuah kedai pakaian dan aktif dalam rekacipta robot.

Bekerja dengan pendapatan tetap = ada jaminannya tapi hasilnya mendatar + mungkin lambat meningkat. Masuk sebarang pertandingan, +- menang wang lumayan atau +- tak menang = hasil yang belum konkrit sedangkan budget kena dikeluarkan dulu untuk menghasilkan material.

Bagaimana dengan berjudi? Belum pasti juga nasibnya nanti. Bagaimana kalau berjudi dengan kepakaran tertentu? Beserta strategi dan komplot bersama sekumpulan genius? Maka kebarangkalian untuk menang besar bukan lagi satu hipotesis.

Itulah yang telah menyeret Ben ke kota berdosa untuk berjudi secara mengira daun terup dalam game blackjack setelah terpengaruh dengan ajakan profesornya Mickey Rosa (Kevin Spacey) dengan beberapa pelajar lain. Mula-mula dia hanya ingin join mereka sehingga dananya mencukupi untuk melanjutkan pelajaran tapi lama-kelamaan dia semakin kemaruk berjudi. Plot yang dah biasa diutarakan perihal manusia yang tergoda kerana fulus. Keseluruhan filem ini bagi aku bergerak dalam tempo yang sederhana dan tidak teruja sangat.

Daripada apa yang aku tahu, banyak aspek dari buku asalnya (sumber filem ini) telah diHollywoodkan. Antaranya ialah para pejudi itu sebenarnya kesemua mereka adalah orang Asia, mereka tidak bermain di Vegas saja, tidak ada unsur romance, setiap kali berada di kasino mereka akan buat penyamaran (dalam filem bila part last itu saja mereka menyamar). Kebarangkalian kalau penulis lakon layar dan pengarah ikut saja elemen dalam buku itu aku jangka hasilnya +- akan mengena jackpot.

Friday, August 08, 2008

The X-Files I Want to Believe

Peminat kental The X-Files tentu bersyukur dengan terbitnya filem yang kedua ni. Boleh melepaskan rindu terhadap dua petugas, Mulder dan Scully yang masih ada kimia mereka. Malah tidak tersirat lagi. Ya, itu saja yang anda boleh bongkar untuk fail X kali ini jika selalu tidak jelas tentang status hubungan mereka berdua. Kalau masih ingin bukti kukuh bahawa mereka bukan sekadar rakan sekerja, inilah dalilnya.

Selain itu, aku tak berupaya nak kutuk filem ini. Plot yang dangkal dan persembahan yang tidak blockbuster membuatkan ia di kecam oleh orang ramai. Terutama mereka yang menanti selepas enam tahun sesudah siri tv tu tamat, patutnya buatlah versi filem yang lagi gempak. Sudah-lah Fight the Future dulu pun so-so jer. Bagi aku yang tak expect apa-apa ni, tak adalah nak komplen banyak. Aku redho jer dengan garapan Chris Carter kali ni.

Kisahnya bersabitkan kehilangan anggota wanita FBI. Lalu seorang paderi yang mempunyai kuasa psikik di minta membantu kerana dia ada tenaga dalaman untuk mengesan dimanakah mangsa berada. Latar belakang si paderi itu pula menjelikkan sebab dia seorang bekas peodiphilia. Sementara sub-plotnya pula Scully sedang dalam proses untuk memulihkan penyakit seorang kanak-kanak dengan menggunakan rawatan tidak konvensional. Mula-mula aku ingatkan ada kaitan antara kes pertama dengan cerita kedua tetapi tak ada pun. Mungkin sekadar nak melodrama mengingatkan Scully pasal anaknya, William yang dia tinggalkan dengan keluarga angkat dulu.

Aku baca dalam internet, mungkin ada filem ketiga untuk The X-Files ni. Yay! Tapi bersorak ala-kadar je lah kalau hasilnya masih tak ada x-factor.

Thursday, August 07, 2008

Sex and the City Movie

Ok, berdasarkan versi wayang di Malaysia, Sex and the City Movie masih menghiburkan. Itu pun kalau anda memang menyusuri kisah empat perempuan ini sejak dari siri tvnya di HBO lagi. Kalau tidak mungkin susah sikit nak mengenali, memahami dan menilai perangai dan latar belakang mereka. Atau tak perlu semua itu? Tengok saja buta-buta tanpa perlu nak concern apa-apa. Cerita pasal seks, apalah sangat.

No. Tak adalah pasal nak mengongkek je.

Filem ini lebih kepada cinta. Cinta Carrie Bradshaw kepada lelaki besar itu yang on and off and on and off entah bila kesudahannya. Jadi untuk menyimpulkan perhubungan tersebut, ia dipateri menerusi filem ini yang bagi aku tak perlu pun tak apa. Cukuplah dengan Mr. Big mengejar Carrie di Paris di musim finalenya dulu. Atau memang kena juga difilemkan untuk membolehkan SJP memperaga fesyen-fesyen yang sangat menawan dan bergaya serta bertata-rias sepenuh-penuhnya di layar lebar.

Seolah-olah itu maksud sebenar tujuan hati. Kesampingkan jalan cerita yang lebih kukuh dan penuhkan dengan masa-masa gembira untuk panjangkan durasi.

Ketiga-tiga kawan rapatnya iaitu Miranda, Charlotte dan Samantha turut mendapat sedikit peluang untuk berkongsi perkembangan karektor mereka dengan kita semua. Jadi kita tidak hanya perlu risau dengan hidup Carrie yang penuh drama dan warna. Hidup seorang wanita single di New York yang cintakan fesyen dan buku serta mendambakan sebuah perhubungan abadi. Pengakhiran yang memang di harap untuk sebuah siri yang sungguh fabulous.

Monday, August 04, 2008

The Midnight Meat Train

Senang cakap, untuk bahagian gory – body di lapah, darah bersembur, di bunuh dengan ganas, filem ni memang sangat lazat sebagai horror/thriller terbaik untuk 2008 setakat ni. Tajuknya pun dah berbunyi semacam (Tapi apasal ada yang kaitkan dengan porn, hah? Ada undertone dengan “daging” lain ke?) Selain ia turut buat orang membuak-buak ingin tahu tentang apa yang simbolik mengenai keretapi ngeri ini.

Bagi sesiapa yang tak pernah dengar tentang cerpen tulisan Clive Barker, tak tahulah jangkaan anda bagaimana. Aku sendiri tak dapat bayangkan bagaimana untuk membaca kisah kejam yang ekstrem ini tanpa visual yang boleh menceritakannya sendiri. Malah “cerita” itu pun kita boleh sangkalkan ia perlu untuk mewajarkan segala elemen brutal tahap hardcore ini. Lebih-lebih lagi di masa 30 minit terakhir di mana kita di bawa ke penghujung terminal yang gelap, terperosok dan di luar logika.

Tapi aku tak ada komplen pasal tu sebab ia memang menjadi impian peminat filem seram supaya melopong tengok. Nasib baik filem ni tak banyak mencarut kalau tak habislah tersekat-sekat gambar kena potong macam Doomsday. Bahagian membelasah tubuh manusia dan main kerat-kerat dan mendera atau menikam dengan peralatan tajam serta apa-apa adjektif ganas yang lain di biar bebas tanpa potongan. Ia sangat memuaskan hati. Bravo kepada LPF!

Seorang jurugambar, Leon yang dalam proses untuk mendapatkan peluang menjual karyanya di sebuah galeri seni, telah menjelajah ke sekitar kota di waktu malam untuk menangkap imej-imej emosi sebuah metropolitan. Namun dia terjerumus lebih dalam daripada itu apabila dia mula obses untuk mengekor seorang lelaki bagak yang tiada perasaan semata-mata dia suspek lelaki itu terlibat dalam satu kes pembunuhan seorang model jelita. Bermula dari sini, bersedialah anda untuk menaiki keretapi tengah malam yang mengangkut daging yang boleh jadi daging anda sendiri juga sesuai menjadi muatan gerabak.

Wednesday, July 30, 2008

Pushing Daisies

Malam tadi Pushing Daisies punya episod ada sikit macam filem yang Ryan Gosling bercinta dengan manekuin perempuan tu. Kisah tentang patung itu yang di tuduh mencekik kawan kepada boyfriendnya. Tapi tak habis lagi cerita terbabit ada pula plot sampingan pasal sebuah kedai gula-gula dan manisan yang baru di buka bersaing dengan The Pie Hole untuk merebut pelanggan. Jadi teman lelaki yang terpenjara dengan patung perempuan sebagai bahan bukti masih tergantung begitu je. Bersambung next week gamaknya.

Siri tv ini memang unik dan tak masuk akal namun meriah dengan warna-warni. Walaupun temanya berkenaan pembunuhan dan kematian tetapi semuanya ditunjukkan secara humor. Aku start tengok daripada pilot. Padahal tak perlu tengok pun tak apa kerana dalam bahagian yang kemudian-kemudian, ia turut menyelitkan riwayat hidup Ned (lakonan Lee Pace) ini sejak kecil berlanjutan ke masa sekarang.

Terdapat suara latar-belakang yang tahu semuanya lengkap terperinci berlipur-lara kepada penonton mengenai watak-watak yang terlibat dalam Pushing Daisies dan agenda hidup mereka. Suara itu juga tak penat-penat mention tentang umur setiap karektor secara detail sekali lengkap dengan minit dan saat. Tak tahulah apa relevennya buat kita dengan maklumat umur yang seteliti macam tu. Usia yang terperinci mungkin menjadi dilema kepada Ned kerana bakat ajaibnya itu yang boleh menyambung semula umur terhenti sering menimbulkan problema. Atau penawar?

Dengan premise yang ganjil tetapi fantastik, tahun ini ia turut menerima pencalonan Emmy yang memberangsangkan sebanyak 12 kategori. Antara nominasi yang berjaya diterimanya (untuk siri komedi) adalah Outstanding Lead Actor bagi Lee Pace, Outstanding Supporting Actress bagi Kristin Chenoweth, Outstanding Casting dan lain-lain kategori teknikal. Tak tahulah peluangnya bagaimana kerana persaingan sangat hebat lebih-lebih lagi dengan 30 Rock yang lawak tak hengatt.


Pushing Daisies disiarkan setiap Selasa, 9.30 malam di 8tv
kredit foto: thetvaddict.com

Tuesday, July 29, 2008

Budak-budak Histerikal

Kalau berita-berita misteri dan anker tahap majalah Mastika atau Variasari ni aku jarang nak bagi perhatian. Tapi kalau dah sampai masuk dua tiga hari dan siap ada laporan susulan, agak menarik juga untuk di teliti bersama. Dari zaman aku sekolah lagi cerita histeria macam ni sudah keluar melanda masyarakat setempat. Di bawah ada sedikit petikannya,
Seramai 36 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan yang mengalami histeria baru-baru ini akan dipindahkan ke sekolah berdekatan iaitu SMK Sungai Soi dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran dengan selesa.

Tujuan memindahkan pelajar tersebut adalah supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran masing-masing. Dalam pada itu gangguan histeria di sekolah itu semakin buruk apabila 15 lagi pelajar perempuan menjerit-jerit dalam keadaan tidak sedar diri pagi semalam.

Seramai 14 daripada mereka merupakan mangsa berulang, manakala seorang lagi mangsa terbaru menjadikan kesemuanya 36 orang diganggu kejadian misteri yang menyelubungi sekolah tersebut lebih dua bulan lalu.

Aku tak ingat pulak masa sekolah aku dulu ada tak budak-budak kena histeria. Rasanya macam ada. Yang aku ingat, aku pernah melawat jiran aku yang kena sakit ala-ala histeria ni. Tapi dia bukannya satu sekolah. Menakutkan jugak lah masa melawat dia tu sebab dia meraung-raung dan suara garang giler. Cuma tak pasti sama ada punca dia menjadi begitu adalah kerana di landa jangkitan histeria atau penyakit lain.

Dulu ada drama Melayu bertajuk Histeria lakonan Melissa Saila (pelakon-pelakon lain, tak ingat) yang disiarkan kebetulan semasa tengah hangat jugak dengan kes-kes begini. Aku pun dah lupa jalan ceritanya macam mana. Tapi boleh bajet sendiri yang plot dia berkisar di kawasan sekolah dan budak-budak perempuan itu di rasuk sesuatu lalu menjadi histerikal.

Manakala tidak lama lagi muncul pula sebuah filem dengan tema serupa arahan James Lee. Ia telah ditayangkan sempena 21st Singapore International Film Festival pada April lepas. Tapi belum sampai-sampai lagi di Malaysia. Aku rasa inilah masanya kalau filem berjudul Histeria lakonan Vanidah Imran, Ady Putra dan Liyana Jasmay ini ingin menceduk peluang menjadi laris di saat-saat tengah heboh dengan berita histeria. Aku sendiri memang akan tunggu filem ni.

Wednesday, July 23, 2008

Charlie Brown

Kawan aku forward e-mel tentang apakah watak kartun yang secocok dengan personaliti diri mu. Lantas aku pun mencuba kuiz tersebut dengan sedaya-upaya. Macam biasa format kuiz begini ada soalan dan aneka pilihan jawapan. Pilih saja mana jawapan yang paling tepat persamaan dengan kamu atau pun yang dekat-dekat.

Pernahkah kamu tertanya-tanya apakah karektor kartun yang kamu paling mirip? Sekumpulan pengkaji telah bersama-sama memerah otak dan mencerakin keperibadian watak-watak animasi moden yang popular dan diminati ramai untuk membina kuiz ini. Jawab semua soalan dan mata akan di beri berdasarkan pilihan jawapan yang di klik. Seterusnya, nilai terkumpul markah di kira untuk menentukan watak berkenaan.

Ringkas cerita setelah aku mengabiskan waktu mencuba kuiz terbabit, akhirnya aku pun mendapat tahu kartun yang berkongsi karektor denganku. Ianya CHARLIE BROWN! Yay!!

Disebabkan aku nak tahu lebih lanjut tentang siapakah sebenarnya Charlie Brown ini, maka aku pun wiki nama itu. Ayat pertama yang describe tentang Charlie Brown telah buatkan aku kecik hati

Charlie Brown is a loveable loser, a child possessed of endless determination and hope, but who is ultimately dominated by his insecurities and a "permanent case of bad luck", and often taken advantage of by his peers.


Copyright by Charles M. Schulz, ambil kat wikipedia

Monday, July 21, 2008

Sleepless/Non ho sonno

Tertekan channel sana-sini, alih-alih sampai ke Astro Kirana, dan tertengok satu filem ni lakonan Max von Sydow. Sememangnya di kenali kerana watak Paderi Merrin dalam The Exorcist. Nama-nama lain yang terpampang pada opening credit tak familiar. Lepas tu keluar nama Dario Argento sebagai pengarah. Dario Argento? Bukan kah dia ni tersohor dengan filem-filem yang seram-ganas-sadis ke? Mesti filem yang aku bakal saksikan ni sejenis macam tu juga. Ini kalau siar pun harus banyak potong.

Filem ni dinyatakan tajuknya sebagai Sleepless/Non ho sonno. Yang ada slash tu mungkin pasal alih-suara dari bahasa asalnya kot, Itali. Dengar pelakonnya bercakap Inggeris pun macam kaku, tak nampak menjiwai watak. Namun itu semua tidak menggugat jalan ceritanya yang misteri dan cemas. Rasanya, inilah pertama kali aku menyaksikan filem yang dihasilkan oleh Argento setelah sekian lama mendengar namanya diwar-warkan oleh bloggers kat sini.

Tapi aku tak boleh nak claim yang filem ni dapat justify kepada karya-karya Argento yang dengarnya lebih power seperti Suspiria, Stendhal Syndrome atau Deep Red. Overall yang aku boleh cakap, ia tidak mengecewakan untuk mereka yang baru nak berkenalan dengan beliau. Terasa macam tengok filem Hitchcock pun ada. Endingnya agak mencuit hati, seolah ianya siri penyiasatan kanak-kanak. Dan kisahnya memang bermula dari zaman watak utamanya masih kanak-kanak.

Semasa Giacomo (Stefano Dionisi) masih kecil, ibunya telah mati di bunuh. Dia yang ketika itu sempat menyorok bawah katil bagaimanapun selamat dan detektif Ulisse Moretti (Max Von Sydow) yang menyiasat kes itu berjanji akan menangkap pembunuhnya. Lepas tu kita di bawa ke masa sekarang, seorang pelacur yang baru habis menservis pelanggannya ingin melarikan diri dari rumah itu dalam keadaan tergesa-gesa (Kena sensor kot sebab adegannya tak lancar). Lalu dia menelefon kawannya yang dia suspek sesuatu yang menakutkan pasal lelaki tadi dan menyuruh si kawan menjemputnya bila dia sampai di stesyen keretapi kelak.

Adegan semasa dalam koc keretapi yang lengang dan kosong memang menarik. Perempuan yang gelisah berlari-lari dari satu gerabak ke gerabak yang lain untuk mengelakkan penjahat berjaya menimbulkan rasa tak tenteram. Seperti di jangka, terlalu banyak kengerian, kelar dan bunuh dalam filem ni. Namun Argento bukan bersandarkan itu saja, sebaliknya beliau turut ada menyelitkan simbolik atau motif yang terkandung dalam plot seperti puisi kanak-kanak dengan elemen binatang untuk membangkitkan curiosity penonton tentang pembunuhan tersebut walaupun ia tidaklah berkesan mana.

Friday, July 18, 2008

Insatiability

Terus-terang, aku tak berapa faham filem ni. Satu perkara yang memang agak pasti menurut filem ini, China akan menyerang Poland pada suatu ketika nanti. Aku rasa itu mungkin dari aspek ekonomi secara tersiratnya kerana mereka akan menguasai ekonomi dunia dan juga bidang-bidang lain. Cuma mungkin tidak akan menyerang negara lain secara fizikal seperti yang dicadangkan dalam cerita ni.

Pada akhir adegan jika anda masih mampu bersabar dengan segala ekstravaganza yang ditampilkan, anda pasti rasa tertipu. Tajuk asal filem ini dalam bahasa ibundanya ialah Nienasycenie keluaran tahun 2003. Menurut kenyataan pada kulit dvd, ia adalah futuristic remake untuk filem Salo, hasil karya kontroversi Pasolini. Tontonfilem pernah reviu filem tu dulu.

Namun Insatiability ialah versi tone down segala yang melampau dan memualkan dari filem Salo. Ia berdasarkan novel tulisan pengarang, dramatis dan ahli falsafah Poland bernama Stanisław Ignacy Witkiewicz yang diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1930. Oleh kerana situasi pada zaman itu yang tidak releven untuk difilemkan pada masa sekarang, maka naskhah itu telah di olah supaya lebih terkedepan pada era yang ganjil yang aku tidak dapat pastikan bila.

Di sini aku terjemahkan sinopsis ikut pemahaman aku.

Seorang lelaki kacak yang merupakan pewaris kepada pengusaha arak yang berjaya di Poland telah di korup oleh seorang puteri yang rosak akhlak dengan badutnya yang psycho, gila seks, dan homo serta berbadan bongkok pula. Pengarahnya, Wiktor Grodecki sangat daring mengadaptasi naskhah ini yang merincikan kejatuhan tamadun barat secara muktamad.

Dalam pada itu China telah menakluk dengan rakus Eropah Timur dan sedang pewaris yang tampan dan idealistik tadi memikirkan kesan-kesan perang tersebut, si puteri jelita, Irina mengambil peluang itu untuk menghela beliau ke arah keseronokan asmara terlampau tatkala motif sebenarnya adalah nak membolot kekayaan pemuda itu. Bukan puteri itu saja yang eksploitasi keadaan ini, pewaris berumur 18 tahun itu juga cuba dimanipulasi oleh seorang sami tua yang lawak dengan memperolokkan kenaifannya, sehingga nampaknya tiada jalan pulang untuk satu dunia di mana perang dan seks adalah gabungan intim selama-lamanya.

Friday, July 11, 2008

Sepi

Secara peribadi jika ingin dibandingkan antara Cinta dan Sepi, aku lebih sukakan Sepi. Kedua-duanya mempunyai cerita yang baik walaupun masih tidak dapat mengelak dari dikaitkan dengan filem luar. Mengambil inspirasi mana yang elok dan bermain dalam ilham sendiri aku kira tidak akan membuatkan sesiapa kecewa walaupun penyudahan yang gembira bukanlah untuk semua. Dalam tiga kisah yang dibawakan hanya seorang atau sepasang yang perhubungan mereka tidak berakhir seperti diharapkan. Maka menjadilah ia lebih menepati tajuk Sepi ini.

Kejadian flyer iklan servis majlis perkahwinan terbang melayang lalu mengakibatkan satu kemalangan adalah pencetus imbas kembali dan masa depan watak-wataknya. Setiap yang bercinta atau yang masih solo ingin hidup mereka merasa ke jinjang pelamin. Tetapi ada kalanya rencana tidak menjadi atau mungkin lorong ke arahnya penuh ranjau. Semua orang ingin takdir yang indah memihak kepada mereka. Tiada siapa inginkan sunyi dan ghalau menjadi teman hidup. Tema yang sebegitu lazim diketengahkan dalam produksi tempatan menjadi cantik dan kreatif apabila kena tukangannya.

Sekali imbas memang nampak seakan-akan Cinta sementelah tenaga belakang yang sama membikinkan, Kabir Bhatia dan Mira Mustapha. Selain adegan kemalangan yang seperti filem Mexico itu, Sepi ini ada sedikit macam filem Iran, Cafe Setareh yang turut memuatkan tiga cerita dalam satu filem. Ia turut berkisarkan tiga karektor utama (cuma bezanya ia ke semua wanita) yang berhadapan dengan masalah peribadi dengan cinta dan perhubungan sebagai persoalan tunjang. Yang menariknya adegan-adegan yang di alami watak-watak tersebut turut diulang-ulang setiap masa berdasarkan time frame yang sama cuma dari sorot pandang karetor yang berlainan pula.

Filem ini lebih membuai rasa lagi dengan alunan lagu latar yang menjadi dan berpadu. Jika di suruh memilih, kisah Sufi-Marya lebih aku gemari dan mendatangkan kesan. Aku turut simpati dengan watak Nasha Aziz yang walaupun kecoh dan pelik, dia kelihatan “sepi”. Terasa ingin lebih mendalami karektor perempuan gila ini kerana ia subjek yang menarik untuk di kaji. Entah siapalah Mat Noor yang dia jeritkan itu setelah mendengar kata-kata perpisahan dari lelaki tersebut.

Sunday, June 29, 2008

Pensil

Filem ini tidak berputar lama di panggung. Kalau dah minggu pertama aku tengok pun penonton cuma dua tiga kerat, jangan harap nyawanya panjang. Aku rasa sebab promosinya tidak giat di tambah dengan pelakon utamanya entah siapa (M. Subash?) dan tema tidak popular serta tajuk tidak mendebarkan (macam Akhirat contohnya... walau cerita sampah) maka tiada sambutan. Karya seperti Pensil ini macam lebih sesuai untuk terbitan tv saja.

Memang itu pun seperti yang aku baca. Ia diangkat dari sebuah drama Tamil. Tapi aku tak dapat nak agak versi Tamilnya bagaimana. Adakah Badrul itu di asuh dalam keluarga Islam juga? Adakah mak tiri Badrul masih berbulu dengan sikap suaminya yang ada anak haram India dan terencat pula? (kalau versi Tamil tentu konflik emosinya tidak begitu menyengat). Tetapi untuk naskhah Melayu ini ia sangat mencengkam sampai aku rasa nenek itu patut bela sendiri cucunya yang istimewa itu daripada membiarkan dia terus merana.

Pensil ada cerita yang baik dan lakonan yang berkesan. Malu pulak aku rasa sebab karyawan bukan Melayu yang buat filem ni tahu pula untuk martabatkan tulisan Jawi dan tak ada nak buat adegan kurang sopan (kecuali Jalil Hamid… hehhe…). Hanya ada sesetangah part terlalu melodrama sehingga kita nak rasa sedih pun tak perlu terutama masa Badrul kena belasah oleh mak tiri dan adiknya tu. Dah dapat jangka yang adegan begini akan meruntun hati. Namun pada aku bahagian yang sedih tanpa di buat-buat sepanjang filem ini ialah semasa Badrul merealisasikan impian neneknya. Sebak dowh …

Mungkin sempena Festival Filem Malaysia yang akan datang ini Pensil akan ditayangkan percuma bersama beberapa filem lain. Pergilah tengok.

Wednesday, June 18, 2008

The Happening

Filem ini di buka dengan orang ramai membunuh diri masing-masing. Kemudian semasa adegan Elliot lakonan Mark Wahlberg mengajar di dalam kelas, dia memberitahu bahawa berlaku kepupusan lebah di Amerika dan bertanya anak muridnya kenapa serangga itu kian terhapus. Musnah dan lenyap adalah suasana filem ini. Sebuah filem apokalips gaya M. Night Shyamalan. Walaupun berdasarkan teaser poster dan trailer, ia di jangka lebih huru-hara dan menggemparkan, tetapi dalam The Happening tidak berlaku demikian.

Menyendiri atau menjadi terpencil dan menjauhkan diri dari komuniti ada horrornya yang dapat dirasai. Secara kasar, apabila berada dalam kelompok lebih kecil, ia akan menjadi mudah diperhatikan, di selia dan di baik pulih. Populasi yang ramai dan tersebar khalayaknya akan menjadi rumit dan mudah berjangkit. Lebih payah pula untuk dikendali jika terjadi sesuatu fenomena atau peristiwa. Apatah lagi jika punca berlakunya kejadian itu tiada siapa yang dapat mengesahkannya.

Elliot mencetuskan teori tentang epidemik yang melanda kawasan mereka sekarang adalah tindak balas alam semulajadi. Lebih tepat lagi ialah tumbuh-tumbuhan. Tapi benarkah pokok boleh mengakibatkan malapetaka sebegitu rupa? Melainkan kita di timpa dahan yang patah atau tersangkut akar yang menjalar, kita tidak pernah nak ambil pusing bahawa pokok juga tidak boleh di pandang enteng tahap ancamannya. Cuma kita mungkin insaf setelah termakan buah atau daun-daun beracun. Padahal kita sendirilah kebanyakannya menyebur toksin pada buah dan hasil tanaman tersebut.

Filem ini memang sebuah persembahan yang tidak penuh aksi. Seperti watak cikgu itu juga mengajar sains di dalam kelas. Jika anda menumpukan perhatian semasa cikgu berada di depan, anda mungkin dapat A dalam subjek berkenaan. Jika anda cuba untuk berfikir sedikit semasa menonton filem ini, anda mungkin akan terkesan dengan mesej yang cuba disampaikan. Selepas itu, mungkin masih ada harapan untuk melihat lebah-lebah beterbangan menyebarkan debunga pada tumbuh-tumbuhan.

Monday, June 16, 2008

Sms Emosi

Minggu lepas, sedang aku sedap-sedap buat kerja di pejabat, tiba-tiba terdengar bunyi mesej masuk ke telefon bimbitku. Teksnya seperti di bawah,

Congratulations!
Nombor HOTLINK
Anda tlh berjaya
Mendptkan hadiah
Utama.Cek b’nilai
RM 10.000,dari
Power Root SDN.
BHD.Sila Hub tel:
017-277****
Terima kasih.

Rasa macam nak melompat baca tu. Lepas tu satu lagi mesej masuk. Wahh, sama jugak! Sampai dua kali dapat?! Adakah bermakna aku boleh claim dua kali hadiah wang tunai itu. Bestnya!
>
>
>
>
>
>
>
>
>
Ok, sebelum korang semua nak mula dengki dengan aku .... don’t. Tipu je semua tu.

(Walaupun aku cuba juga telefon nombor yang di beri .... hhehe... Manalah tahu kan? Tapi bila aku call – ada bunyi line busy yang aku dengar. Memang ia satu bentuk scam, dan hanya membuatkan anda membazir duit je hubungi diorang)

Namun Power Root ada kena-mengena dengan musim Euro sekarang apabila menjadi penaja bersama sorakan emosi Euro 2008 di saluran media prima. Jangan lupa untuk minum Power Root masa mengikuti perlawanan pasukan kegemaran korang nanti. Hehe..

Sunday, June 15, 2008

Happeningkan Hidup Sendiri

Minggu lepas sangat happening. Well, selain ada kena-mengena dengan filem The Happening, aku bukan saja-saja memulakan perenggan ini dengan perkataan tersebut. Tapi nampak macam tak sensitif pula kan, dengan isu-isu kenaikan harga petrol, harga barang-barang yang turut melambung, tidak puas hati dengan pemimpin negara ini, aku pula tidak tunjukkan rasa prihatin langsung. Sedang segelintir daripada kita terpaksa mengikat belanjawan dan perlu meneruskan hidup sehari-hari dalam skala cukup makan saja, aku ni boleh nak cakap yang hidup aku menggembirakan.

Maksud aku, gembira dalam terma aku sendiri. Kita tidak berkongsi universe yang sama walaupun masih hidup di planet yang sama. Betul, aku turut menerima kesan lantaran harga miyak naik itu, tetapi keluar menikmati hidup tetap perlu diteruskan.

Aku tidak mahu setiap hari cuma pergi kerja, balik kerja, tidur dan esoknya pergi kerja lagi dan balik kerja lagi dan lepas tu tidur lagi. Bukan hanya orang kaya saja yang mampu keluar bersuka-suka di saat-saat tenaga bahan api melonjak tinggi seperti sekarang. Orang yang tak kaya macam aku pun boleh ok! If you can't beat them, join them. (hehe... gurau je).

Walaupun dengan cara itu tidak boleh menghantar signal kepada pihak berkuasa yang rakyat bawahan benar-benar menderita dengan kenaikan harga minyak berkenaan, tapi dengan duduk berkurung saja di rumah pun akan menimbulkan tekanan juga. Oleh kerana nak pergi ke tempat-tempat yang berbayar dan memerlukan perjalanan jauh adalah tidak ekonomikal sekarang, keluar saja ke destinasi yang free of charge. Misalnya taman bunga (berlari berkejaran ... seindah bunga di taman ... sambil feeling-feeling Broery dan Kak Pah), tepi sungai, pantai, perpustakaan, masjid, taman permainan dan sebagainya. Semua itu percuma bukan. Sekurang-kurangnya kita ada lagi cara untuk bebas keluar menyedut udara segar dengan tak perlu bayar apa-apa (buat masa ini lah, tak tahulah nanti kerajaan nak caj udara pulak!)

Hujung minggu ni aku tidur di hotel (bukan free ok, kena bayar). Ada khidmat wifi percuma dan boleh surf sepuas hati di situ dengan membawa laptop. Melepaskan tekanan kerja seminggu di hotel pada saat-saat begini adalah ganjaran tidak ternilai. Harap keadaan akan menjadi lebih baik selepas ini.

Thursday, June 05, 2008

Prom Night

Kalau anda rasa nak marah hari ni dan ingin membunuh (dalam filem of course) boleh menonton Prom Night. (Walaupun budget tengok wayang mungkin terpaksa dikurangkan atau tak ada langsung dah bagi sesetengah kita) aku masih ingin ke panggung. Terutama untuk teen-slasher-horror macam ni, memang aku minat sangat. Ia seakan mengimbas kembali era akhir 90-an dulu yang penuh dengan genre begini.

Aku ingat lagi kawan aku bukan main bengang masa Scream tak jadi disiarkan di Malaysia. Kami terpaksa berpuas hati dengan tengok vcd je. Iya, memang agak ngeri dan tak membantu moral langsung filem ni terutama untuk remaja. Tapi ia sangat klasik bagi aku dan tidak hairanlah ia menjadi trilogy dan di spoof sebagai perintis Scary Movie. Namun kami kena bergembira dengan I Know What You Did Last Summer, Carrie 2, Teaching Mrs Tingle, Urban Legend, Halloween H20 dan beberapa lagi yang dapat masuk panggung. Walaupun tak gempak macam Scream.

Yang tak lepas masuk wayang kenalah tengok vcd seperti Jawbreaker, The Faculty, The Forsaken dan lain-lain. Dasarnya sama saja konsep filem macam ni. Tak ada yang perlu di fikir atau nak kaji. Di saat-saat nilai untuk menikmati satu eskapisme dengan menonton filem di pawagam menjadi semakin tidak perlu, kenalah pilih cerita yang betul-betul buat anda rasa berbaloi dan tidak menyesal lepas tu. Kalau anda ada citarasa macam yang aku listkan di atas, Prom Night ada kembalikan nostalgia itu.

Seorang remaja perempuan masih trauma dengan kejadian keluarganya di bunuh oleh seorang cikgu psycho. Ia kembali menghantuinya setelah tiga tahun peristiwa kejam itu berlaku pada satu malam acara tari-menari tamat sekolah. Itulah dia serba ringkas sinopsis filem ni. Tapi tak ngeri sangat. Sebab itu lah lepas tanpa potongan oleh LPF.

Wednesday, May 28, 2008

Budak-budak Sekolah Suka Berembun

Dua tiga hari ini hujan sudah melanda setiap petang di Kuala Lumpur. Bagus. Panas terik berminggu-minggu yang lalu menakutkan. Cuti sekolah sudah bermula. Tapi aku bukan cikgu atau murid sekolah jadi ia tidak ada kena-mengena. Cuma yang buat ia ada kena-mengena dengan aku kalau budak-budak yang sedang cuti sekolah ni duduk memekak kat bawah rumah pagi-pagi buta.

Orang nak tidur pun tak boleh. Mana perginya mak bapak bebudak ni? Tak risau ke anak-anak masih tak balik rumah sedangkan jam dah pukul 2, 3 pagi? Iyelah walaupun ada yang cakap budak-budak jantan ni tak payah nak control sangat tapi diorang tu masih di bawah umur. Duduk saja-saja melepak buat bising dan mencarut kat tepi rumah orang tak mendatangkan hasil apa-apa. Kalau dah dari kecil lagi terbiasa berembun macam tu, sampai ke besar lah jawabnya bawak perangai sebegitu rupa.

Kenapa agaknya ada remaja suka melepak kat luar dinihari macam tu? Apa yang di cari? Atau apa yang membuatkan mereka tak betah duduk di rumah sendiri? Aku tetap nak salahkan ibu bapa sebab tak tegas menegur anak-anak. (Tapi dapat mak bapak yang tegas pun, ada juga kes budak perempuan curi-curi keluar rumah dengan turun pakai cadar ke tingkat bawah, macam kes kat Putrajaya dulu). Rasanya lebih ramai lagi kes ibu bapa yang sukarela atau berlembut dengan anak-anak membiarkan mereka ke hulu- ke hilir pagi-pagi buta tanpa tujuan.

Diorang berlatih nak jadi pak guard agaknya? Dari kecil dah di ajar supaya tahan berjaga malam sampai ke subuh. Eloklah tu. Tak payahlah kita nak mengupah pak guard dari Myanmar atau Nepal lagi. Selain daripada jadi pengawal keselamatan, aku tak pasti bidang tugas apa lagi yang memerlukan kita berjaga malam. Terutama untuk mereka yang dah praktik dari kecil lagi tak reti nak tidur walaupun dah malam buta. (Sebenarnya memang banyak pun kerja-kerja yang melibatkan shift malam – kupu-kupu malam tak termasuk, ok!)

Jadi, kepada adik-adik bawah umur yang sedang membaca blog ini, tolonglah jangan melepak pagi-pagi buta masa orang tengah nak tidur ni. Lebih-lebih lagi masa malam hari kerja (Kalau malam weekend, maybe tak adalah sakit hati sangat). Dan jangan buat bising kalau nak melepak pun. Dan mulut kena jaga. Jangan guna ayat tak senonoh. Nanti kesian dengan ayah dan ibu dapat anak suka bercakap lucah.