Wednesday, January 30, 2008

My Louisiana Sky

Masa tertengok filem My Louisiana Sky di saluran Hallmark, terperasan pulak aku kat muka budak lelaki sorang ni. Macam aku pernah tengok. Kat filem apa ya? Tapi dalam filem tu dia dah besar.

Oo… yerr… Superbad.

Michael Cera yang aku tonton dalam Hallmark tu seorang budak lelaki yang tengah gatal. Tiba-tiba dia pergi cium budak perempuan, kawan/jirannya semasa mereka di atas pelantar di tepi tasik. Perempuan itu marah dan tak suka lalu lari. Michael rasa bersalah dan meminta maaf. Kemudian mereka berbaik semula.

Sebuah cerita yang manis. Walaupun My Louisiana Sky bukanlah filem tentang mereka berdua. Ia pasal budak perempuan tersebut, seorang watak bernama Tiger Ann Parker yang tinggal bersama kedua ibubapanya yang o.k.u. tapi masih mampu berdikari. Serta nenek yang dikasihinya.

Sesekali perlu juga rehatkan otak dengan cerita melodrama begini setelah disogokkan lawak-lawak Meet the Spartan atau mendengar nyanyian dendam Johnny Depp dalam Sweeney Todd ataupun kalau dah tak tahan dengar si Jonah dalam Superbad tu asyik mencarut jer (walaupun kelakar).

Wednesday, January 23, 2008

The Lives of Others

Filem ini berkisarkan tentang Jerman Timur beberapa tahun sebelum percantuman dengan saudara baratnya. Lebih tepat lagi ia tentang polis rahsia - Stasi yang berkhidmat untuk kerajaan bagi mengesan sebarang pengkhianat di kalangan rakyatnya. Tetapi ia juga tentang kesunyian dunia seorang lelaki yang ditugaskan melakukan kerja-kerja pengintipan itu. Ia adalah voyeur yang walaupun bahaya tetapi menjadikan kita seakan ingin lebih terlibat dalam dunia mereka yang kita intai itu.

Aku rasa filem ini, The Lives of Others jika dibandingkan dengan Goodbye Lenin adalah dalam tone yang lebih serius, gelap dan menakutkan. Tetapi ia tidak kurang elemen humor contoh yang ketara ketika di kafetaria tatkala seorang kakitangan sebuah jabatan ingin berjenaka dengan rakan sejawat tanpa menyedari seorang menteri berada di situ. Ok, mungkin itu tak ada apa-apa tapi lawak yang ingin dikongsinya itu adalah menghina ketua tertinggi mereka. Bukan itu saja malah sebarang bualan atau anasir yang tidak sehaluan dengan polisi negara mereka, akan menimbulkan nahas.

Plot filem ini yang perlahan pada mulanya, janganlah anggap ia membosankan kerana hidup di Jerman Timur itu lebih membosankan lagi. Tapi lihat apa yang mereka boleh hasilkan dari ideologi politik yang rigid dan tidak makmur menjadi satu proses kreatif atau membuat kita lebih ingin memahami sesama manusia. Itu yang dapat aku rasa dengan watak-watak yang mewakili negara sosialis tersebut yang sebelum ini terlindung dan kebal di belakang tembok Berlin.

Ia mendapat anugerah kategori filem asing terbaik pada Academy Awards tahun lepas mengalahkan Paradise Now yang lebih di sebut-sebut. Keseluruhan filem ini mengandungi jalan cerita yang berkesan untuk sebuah sistem yang menganjurkan polisi kekerasan dan tidak mesra tetapi sebarang unsur itu tidak terlihat secara getir atau menyeksa dalam The Lives of Others ini. Aku suka tetapi sedih dalam masa yang sama dengan pengakhiran filem ini.











r.i.p Heath Ledger

Sunday, January 20, 2008

Cloverfield

Masa gembar-gembur tentang Blair Witch Project dulu, aku tidak terasa langsung keseramannya. Mungkin sebab aku menontonnya melalui vcd. Sebab ia tidak ditayangkan di panggung. Cuma sequelnya saja yang bermain di pawagam dan aku pun bergegas nak tengok tetapi hasilnya hampa. Mungkin ia hilang impak atau tiada lagi hype yang layak.

Sekarang kita ada Cloverfield. Menggunakan idea seperti Blair Witch dan disiarkan di panggung jadi aku kena pergi. Hasilnya, aku boleh faham kenapa kita akan rasa seram dengan filem itu dahulu. Pengalaman dari mata sendiri yang memandang memang lebih menakutkan. Ia adalah faktor psikologi yang tak boleh di elak. Berbanding dengan penggambaran filem lazim yang mana jurukamera bertindak sebagai orang ke-tiga, dalam Cloverfield "dinding ke-empat" telah runtuh.

Mereka bercakap sendiri depan kita, depan kamera, dari suasana parti yang riang dengan sedikit konflik kecil antara tetamu majlis kepada tragedi hidup dalam skala yang lebih besar. Dan ia memang tersangat besar. Mencetuskan huru-hara dan cemas. Semuanya seolah kita sendiri mengalaminya. Tiada perasaan begini pernah aku alami selama menonton wayang. (Mungkin kalau Blair Witch pertama dulu aku dapat tonton di layar lebar, ia akan berbeza). Ia menggerunkan dan seronok sekaligus.

Kerja-kerja promosi yang dijalankan sebelum ini untuk menimbulkan rasa ingin tahu dan keghairahan membongkar misteri tentang Cloverfield, aku fikir masih aspek pemasaran yang bijak. Dengan generasi youtube sekarang ia pasti boleh mencapai matlamatnya untuk menarik perhatian. Jika seram dan monster sudah, mereka mungkin sedang memikirkan genre yang lain pula untuk menimbulkan efek serupa.

Monday, January 14, 2008

10 Filem Untuk 2007

Ada banyak filem yang di tonton pada tahun 2007. Jadi aku pilih 10 filem yang aku belum mention dalam ni sebagai tanda yang ia patut di sebut. Namun filem tersebut tidak semestinya terbit pada tahun 2007 juga.

1. Noviembre (2003)

Sepanyol, apa yang mereka lakukan dalam filem ini, memang selalu aku fikirkan untuk membuat benda yang sama. Ia bagai deja-vu. Filem yg aku tengok sempena 2007 European Union Film Festival (Euff).


2. Goodbye Lenin (2003)

Tengok pada bulan Februari tahun lepas di Universiti Malaya. Sebab aku dah lama mencari filem ini. Tetapi tak jumpa-jumpa. Lalu bila dengar ia akan dimainkan di UM sempena German Film Festival (?) aku pun follow Gaia ke sana.


3. The New Country (2000)

Satu lagi filem yang aku saksikan di Euff.


4. Transformers (2007)

Aku tengok dua kali.


5. Novel Tanpa Huruf R (2004)

Aku tengok filem Indonesia ni melalui vcd. Tapi sayangnya disk pertama sangkut-sangkut. Quite disturbing ceritanya. Aku nak explain lelebih pun tak pandai.


6. Anak Halal (2007)

Osman Ali yang aku memang tidak akan lepaskan karya-karyanya.


7. The Iron Giant (1999)

Memang sepatutnya aku tengok filem ni dulu. Tak adalah sampai nak tengok Transformers sampai dua kali.


8. The Grave of the Fireflies (1998)

Menyentuh hati dan menakjubkan. Aku dah lama dengar mengenai filem ni tapi baru sempat tengok tahun lepas. Hati aku bagai disiat-siat. Sebuah filem yang akan diingati untuk selama-lamanya sebab aku tak sanggup untuk menontonnya lagi.


9. Zodiac (2007)

David Fincher, seorang lagi pengarah yang memang aku tidak lepaskan peluang untuk saksikan hasilnya.


10. Eternal Sunshine of the Spotless Mind (2004)

Aku tak ingat aku tengok filem ni tahun 2006 atau tahun lepas. Tapi yang pastinya aku tak habiskan lagi menontonnya kerana yang aku ada dalam bentyk vcd! Sangat leceh kerana gambar tak clear. Kena cari dvd dia.

Wednesday, December 26, 2007

Very Wrong Turn

Tak payahlah buat sequel kalau sekadar melepaskan batuk di tangga. Tapi aku beli juga dvd Wrong Turn 2 – Dead End ni sebab filem pertamanya dulu aku suka. Setelah menyelidik imdb filem susulannya ini straight-to-video, patutlah tak pernah dengar pun masuk panggung kat US. Setelah aku menontonnya, janganlah korang membazir masa nak tengok cerita ni. Tak best langsung. Aku review ni pun sebab tak ada benda nak buat.

Kalau menerusi filem sulungnya dulu, memang ia menepati tajuk sebab membelok pada arah yang salah, tetapi dalam filem ke-dua ni, mula-mula adegan jer ada sebuah kereta tu tersilap masuk lorong, lepas tu ia menumpukan pada sekumpulan krew rancangan tv ni yang memang parking di kawasan itu. Ia merupakan dead end bagi mereka semua. Babak awal masa pemandu wanita yang tersalah jalan tu memang menarik kerana ia mencetuskan tempo bagi filem yang sepatutnya thrill.

Namun tidak sampai feel yang layak untuk filem dari genre sebegini, mungkin kerana gambarnya terlalu terang? Memang lain daripada filem seram biasa yang moodnya suram dan gelap tapi filem ni walaupun lokasinya di dalam hutan ia nampak terang-benderang, langsung tak takut. Walaupun pemangsa tersebut tetap berimej ngeri dengan efek mutasi yang hodoh tapi sebab mereka muncul terlalu kerap dan ditunjukkan secara penuh pula, unsur suspen pun dah tak terasa lagi.

Cuma satu yang menyedapkan hati, sebab dvd ni ada trailer filem Alien VS Predator: Requiem. Menonton sedutan filem itu saja sepuluh kali ganda lebih seronok dari menghabiskan masa menonton keseluruhan Wrong Turn 2. Yang hairannya, publicity tagline filem AVP tu lebih kurang sama pulak dengan tagline filem bodoh ni, masing-masing bersandarkan kalimat “scream“. Cuma yang pasti AVP lebih layak untuk dijeritkan.

Tuesday, December 18, 2007

Panggung Baru Filem Free

Kalau korang masih tidak puas dengan panggung wayang yang dah sedia ada di pusat bandaraya ini maka tunggulah ketibaan satu lagi cawangan TGV yang bakal di buka di CapSquare Centre pada 20 Disember ini. Dah bukak pun sebenarnya tapi untuk sementara waktu mereka tayangkan beberapa filem secara percuma sebagai langkah promosi. Filem-filem seperti Spiderman, Pirates of the Caribbean, 300, Jangan Pandang Belakang, Ghost Rider dan entah apa-apa lagi boleh d tonton tanpa bayaran.

Kebanyakan filem itu semua aku dah tengok. Dan yang aku belum tengok tu pulak, malas aku nak menontonnya. Dan yang tak sempat aku nak tengok hari tu macam Knocked-Up, Resident Evil Extinction, Hairspray, 28 Weeks Later, tidak pula disiarkan. Aku pun tak begitu teruja dengan line-up filem-filem free yang diorang offer. Lagipun wrong timing dengan aku.

Tapi aku pergi juga merewang ke kompleks ni. Selain TGV di tingkat 3, kedai-kedai lain memang belum beroperasi. Kebanyakan sedang dalam proses pengubahsuaian atau belum ada penyewa. Di ground floor ada Starbucks dan Coffee Bean. Kalau berminat nak tahu di mana lokasinya, google sendiri.

Monday, December 17, 2007

Rumah di Lambung Tornando

Ada beberapa filem yang aku tonton sempena 2007 European Union Film Festival di GSC minggu sudah. Dan salah satunya ialah Tornando A Casa sebuah filem dari Itali. Ia mengutarakan subjek tentang nelayan dengan hidup di duga lautan serta pancaroba di daratan yang tidak kurang getirnya. Ia suatu tema yang universal berkenaan golongan itu. Oleh kerana aku dibesarkan di tepi laut dan dekat dengan perkampungan nelayan, aku boleh relate kisah ini sewajarnya.

Watak-watak yang mengisi filem ini ialah Salvatore tuan punya bot yang tegas, berkarisma dan penuh pendirian menjaga anak-anak buahnya serta tahu untuk mencongak untung nasib di dalam mencari rezeki. Dia di bantu oleh Giovanni sebagai orang kanannya yang boleh di harap walaupun bermulut lancang serta panas baran tetapi tidak selalu mengikut amarah.

Manakala dua watak utama filem ini, Franco dan Samir pekerja am di kapal tersebut yang menjadi fokus tentang kemanusiaan serta matlamat hidup perlu diteruskan walau ke mana kamu di campak serta halangan yang menimpa, peluang dan jalannya masih terbentang untuk kita pilih. Mungkin tidak di Naples atau mungkin di Algeria – kita ada alternatif yang patut di hala. Keseluruhan perjalanan cerita sama ada ketika mereka di lambung ombak atau setelah sampai di tanah besar, mood yang syahdu dan menusuk membelai kita supaya menghayati kedua-dua pemuda ini meneruskan kelangsungan takdir.

Bila aku baca ulasan filem ni di internet, rupa-rupanya pelakon dalam Tornando A Casa ni ialah nelayan sebenar. Patutlah terkadang aku perasan yang mereka sesekali memandang ke arah kamera. Tetapi oleh kerana situasi yang dilakonkan itu adalah situasi hari-hari pekerjaan yang di alami jadi aspek keintiman mereka secara rakaman jelas terpancar jujur dan mendalam.

Thursday, December 13, 2007

Kata Laluan

Terpaksalah aku pinjam password orang pulak nak update blog ni kat office. Banyak pula problem kat pc aku ni bila nak login guna password sendiri. Jadi, untuk memuaskan diri ini dan kamu-kamu semua (thank you, Salina) yang masuk ke sini dan mendapati tiada entry yang baru, sekarang dah ada satu. Sebenarnya password itu pun pinjam tanpa kebenaran - minta maaf pada tuannya - macam mana pula aku boleh dapat password tu di luar pengetahuan tuan empunya?

Aku rasa pernah beritahu dulu yang di pejabat ni seseorang yang tak ada internet access akan pinjam kata laluan daripada colleaque yang ada.

Akhir tahun acara yang biasa di tempat kerja aku ni ialah Annual Dinner. Oleh kerana aku pernah cerita pasal kisah aku nak bersiap menghadiri majlis makan malam tahunan itu, apa kata aku tulis kisah aku tidak pergi pula. Dah dua tahun berturut-turut aku tak attend.

Tahun lepas tak ada alasan tertentu.

Tahun ni sebab family aku datang KL.

Bagi kakitangan yang confirm pergi majlis tersebut, mereka boleh balik awal. Kerja setengah hari sajalah. Yang tak pergi, kerja macam biasa. Maka, aku sedang buat kerja macam biasa ni (padahal update blog) menunggu waktu kerja selesai. Ruang kantor lebih sunyi dengan bunyi pendingin hawa saja yang berdendang. Ramai yang telah pulang untuk pasang badan, melawa-lawa untuk acara malam ini.

Wednesday, November 28, 2007

Merentas Semesta

Kalau kamu peminat tegar The Beatles, pasti fikiran kamu akan ligat mengait atau mencantum susun atur adegan dan sinambungan setiap laras cerita dalam filem Across the Universe ini dengan legenda muzik tersebut. Itu pun jika kamu tahu terlebih awal bahawa filem ini ada ada kena-mengena dengan kumpulan itu (merujuk kepada lagu dan kerja-kerja muzik mereka). Ia akan lebih memudahkan malah membuat kamu tidak senang duduk menyenaraikan segala references yang dihidangkan.

Mendengar nama watak utama filem ini adalah Jude saja sudah buat aku ingin menjerit “Hey…!”

Daripada Julie Taymor yang filemnya sebelum ini tidak habis aku tonton, Frida (pasal dvd tersekat-sekat) ini naskhah yang sangat releven untuk situasi sekarang di Amerika atau di mana-mana jua berkenaan polisi negara itu yang mencerobohi kedaulatan negara lain atas nama menghapuskan keganasan dengan bertindak secara ganas juga. Namun ia dipersembahkan dalam genre muzikal, bukan drama seperti Lions for Lamb atau aksi seperti The Kingdom. Malah ia juga bukan berlatar-belakangkan zaman kini sebaliknya kita di bawa ke tahun-tahun 60-an dan 70-an ke era perang Vietnam.

Kerana The Beatles yang begitu idealis menerusi lagu-lagu mereka mempengaruhi dan menyebarkan kemanusiaan, memupuk kasih sayang dan menyemai toleransi secara puitis dan berseni. Ia memang berceretek di dalam filem ini walau ada yang boleh di ambil secara surface seperti semasa poster Uncle Sam itu menyanyikan “I Want You” malah ia juga eksentrik dengan rendisi “Being for the Benefit of Mr. Kite!” di waktu mereka masuk ke khemah sarkas dan “Let It Be” yang menyentuh emosi tatkala di perkuburan.

Kalau berkesempatan apabila Across the Universe bermain di pawagam nanti, pergilah tengok. Penonton tidak ramai pun semalam di tgv yang buat promosi menerusi kupon percuma dalam suratkhabar. Walau terasa agak panjang tetapi dengan jalinan lagu dan plot yang berpadu cantik dan kena, langsung ia menafikan kebosanan. Kamu tidak perlu pun meminati The Beatles atau menjadi radikal seperti kumpulan subversif untuk menghayatinya. Apa yang perlu hanyalah, kamu harus sebarkan semangat cinta sesama insani.

Saturday, November 24, 2007

Berkereta Horror

"Don't forget to breathe,"

Demikian beberapa kali nasihat ahli pskitiari bernama Orianna yang sedang dalam proses memulihkan pesakitnya, Penny Deerbon lakonan Rachel Miner yang mengalami trauma terhadap kereta ekoran kemalangan jalan raya yang melibatkan kedua ibubapanya terbunuh semasa dia kecil dahulu. Jadi caranya, dia membawa kembali Penny dalam satu perjalanan berkereta ke tempat di mana kejadian malang itu bermula. Well, kamu tahu di sini episod pemanduan mereka tidaklah semudah yang di rancang.

Manakala aku sendiri yang tidak merancang menonton filem ini tapi setelah membaca ulasan ringkas dalam The Star semalam, tiba-tiba rasa tertarik pula ingin menontonnya. Dan seperti menurut nasihat pakar tersebut, jangan lupa untuk menarik nafas dengan tenang kerana sama juga macam Penny, aku juga bagai tak bernyawa bila filem horror seperti ini cuma aku seorang saja yang menontonnya. Takut juga sesekali.

Filem ini mengingatkan aku macam The Hitchiker yang pernah ku tengok dulu. Okey lah jalan ceritanya walaupun di sini kita hanya tertumpu pada watak Penny itu semata-mata bergelut untuk menyelamatkan diri. Dia memang berjaya membuatkan kita bersimpati dengannya di atas faktor psikologi yang di alami serta situasi yang tidak menyebelahi nasibnya. Tapi rasa macam melampau pula bila terdapat prospek yang ingin membantu perempuan ini semuanya kena cantas.

Aku juga tidak faham kenapa rating filem ini 18SG. Ia tidak ada elemen ganas yang menyinggung pun berbanding Beowulf yang lebih ekstrem. Manakala pelakon famous yang terlibat dalam filem Penny Dreadful ini cuma Mimi Rogers, itu pun terpaksa berlakon "kayu" di separuh kedua durasi.

Thursday, November 22, 2007

"Asteroid"

Akan jatuh sebuah lagi asteroid Disember nanti seperti yang diramalkan oleh seorang ahli nujum yang berasal jauhnya beribu batu dari tempat berpunca. Tapi dalam rancak bersamba dan membuat capoeira, sempat pula menelek bencana bakal menimpa di tempat sama. Kali ini entah berapa ratus atau ribu nyawa lagi yang akan tewas seperti yang pernah dunia saksikan semasa kejadian pertama dulu. Belum pun sembuh luka yang lama telah timbul pula berita begini waima ia sekadar cakap-cakap yang belum dapat di maktubkan kesahihannya. Namun tiada salahnya ambil iktibar mana terdaya.

Apabila dikenangkan, tragedi seperti ini bukan semata-mata mempalitkan lara pada yang tertimpa sebaliknya turut meledakkan ilham pada yang lain. Batu angkasa yang menghentam keras bumi serambi Mekah menyebarkan sisanya ke pelusuk atmosfera ke hampir separuh dunia sehingga garisan hidup dan mati seakan tidak berbeza. Padahal mereka tidak lagi membuat perkara mungkar jika dulu itu peringatan yang ingin ditunjukkan Tuhan, maka insaf sungguh mereka semua kini.

Peristiwa pertama yang abadi dalam fikiran dengan takbir dan taubat bergema-gema membungkus tubuh kerdil dan hati yang cuma mampu akur. Siapa lagikah yang degil masih belum berbekas petanda dahulu atau iman umpama rollercoster yang tidak tetap darjah paksinya? Atau ini satu lagi kifarah yang didatangkan menjadi tebusan bagi menghapuskan dosa atas keterlanjuran?

Semoga musibah yang singgah tidak begitu memusnahkan. Namun masih juga tersimpan harapan agar tertepis ramalan bencana tidak menjadi nyata.

Tuesday, November 20, 2007

Clash of the Titans

Mungkin aku tak tahu bagaimana menyebut nama Richard Gasquet dengan betul tapi thanks to Mahadzir Lokman yang beberapa kali mewar-warkan nama itu di tv sebentar tadi, maka ia sudah jelas. Tapi aku tak pasti pasal nama Menteri Belia dan Sukan yang beliau sebut tu.

Datuk Azalina Aziz?!

Atau aku salah dengar?

Anyway tahniah kepada Rafael Nadal yang menjuarai acara tenis pertunjukan Clash of the Titans di Stadium Malawati beberapa minit lalu. Satu permainan yang aku fikir tidak begitu memberangsangkan. Namun mereka yang sempat hadir di stadium malam ini sudah lebih dari berbaloi dapat tengok sendiri di depan mata pemain yang diminati beraksi secara langsung.

Lagi satu yang agak kelakar dan malu jugak aku rasa bila trofi kotak kaca yang berisi hiasan wau bulan di beri kepada Gasquet mula-mula macam nak tercabut dari plaknya. Gam tak cukup kuat agaknya.


kredit foto: The Star

Thursday, November 15, 2007

Semburlah

Bercakap pasal semburan ... ehemm hari Sabtu yang lepas kita dapat melihat imej-imej manusia yang kena sembur di kawasan Jalan Melaka dan Masjid Jamek.



Gambar-gambar di petik daripada laman web ni. Harap tuan punya gambar tak marah sebab ambil tanpa kebenaran http://flickr.com/photos/najiblaa/1979167103/in/photostream/

Monday, November 05, 2007

Semburan Si Pemalu

Ini petikan dari suratkhabar Mingguan Malaysia semalam.

Penawar bagi mereka yang rasa rendah diri dan malu. Para saintis Universiti Zurich berjaya mencipta semburan hidung yang di dakwa mampu meningkatkan keyakinan diri dan mengurangkan rasa malu.

Kajian awal mendapati 70 orang dewasa yang mencuba semburan ini menunjukkan perubahan dramatik dari segi sikap.

Semburan ini adalah versi sintetik oksitoksin, iaitu hormon yang memberi kesan terhadap tindak balas rasa takut dan mengurangkan kerisauan. Ia dihasilkan oleh badan sebagai sebahagian proses induksi ketika bersalin.

Penemuan itu dipertontonkan ketika Kongres Neurosains Sedunia oleh Dr. Markus Heinrichs. Percubaan besar sedang di rangka dan jika ia berjaya, semburan hidung ini mungkin akan memasuki pasaran dalam masa lima tahun lagi.


Err... mungkin aku patut dapatkan satu?

Wednesday, October 31, 2007

Kau, Aku dan Sesiapa yang Kita Kenal

Dalam suratkhabar NST bertarikh 22 Okt, ada ruangan Comment yang mengutarakan tajuk “Internet Pornography is Child’s Play”. Daripada apa yang aku baca, salah-satu unsur yang mungkin membolehkan kanak-kanak ini secara tidak sengaja akan menjerumuskan diri mereka ke dunia tidak sihat ini terutama apabila mereka melayan laman sembang. Tahu-tahu sajalah entah siapa-siapalah yang sedang chat masa tu.

Tiba-tiba aku teringat pada filem Me and You and Everyone We Know. Ada satu adegan tu melibatkan kanak-kanak dengan chatroom. Aku rasa sepanjang filem yang agak slow tu, adegan inilah yang paling aku ingati. Kelakar tak hingat. Walaupun penonton mungkin ketawa masa tu tapi budak yang berlakon itu, Brandon Radcliff sangat serius masa menaip butiran chatnya seakan dia memang di suruh begitu atau pengarah ingin mendatangkan respon semulajadi daripada kanak-kanak.

Tuesday, October 30, 2007

30 Malam Tanpa Siang

Cerita seram dengan latar cuaca sejuk dalam panggung yang sejuk juga, seperti biasa menjadikan ia thrill tahap maksimum. Bayangkan pula ia berlaku di kawasan terpencil tanpa sokongan dengan musim yang tidak menyebelahi. Tambah menggentarkan lagi apabila kejadian ngeri yang hanya berlaku pada waktu malam tidak akan berakhir dalam 12 jam kerana untuk peringkat ini siang cuma akan menjelma lagi 30 hari.

Daripada pengarah yang memberikan kita Hard Candy, kali ini David Slade mengangkat komik 30 Days of Night menjadi filem puntianak yang tidak kurang takutnya. Seorang Sheriff, Eben lakonan Josh Hartnett bersama beberapa ahli keluarga dan penduduk Barrow, Alaska harus mempertahankan diri mereka daripada sekumpulan makhluk yang entah dari mana datangnya (Russia, agaknya) yang hanya tahu membunuh dan menghisap darah. Tidak ada masa yang lebih tepat lagi untuk aktiviti ganas ini melanda penempatan mereka melainkan pada musim dingin tanpa siang sebulan itu.

Ia premise yang baik untuk sebuah filem seram. Tetapi untuk mengembangnya dalam plot yang asli tanpa mengitar semula elemen horror yang pernah di bikin mungkin harapan yang terlalu berlebih. Namun filem ini ada shot-shot yang menarik seperti pandangan udara semasa gerombolan puntianak itu membunuh penduduk pekan serta latar belakang lokasi putih gelap yang memberi kesan terperangkap dan cemas. Selebih itu gabungan shock and thrill yang wajib untuk mengejutkan juga berhasil walaupun ada masa-masanya terganggu kerana sensor.

Dalam filem ini puntianak itu cuba menjelaskan bahawa kewujudan mereka bukan metos tetapi adalah kenyataan. Mereka juga lebih pintar dengan penampilan lebih mengerikan dan tidak tampan seperti puntianak dalam Fright Night. Namun mereka masih alah kepada matahari (atau sebarang cahaya menyerupainya). Bela Lugosi mungkin bukan berasal dari kelompok mereka tetapi dia juga yang terus menjadi legenda.

Monday, October 29, 2007

Kerja-Kerja Comot

Mike Rowe : Apa beza bola golf yang 5 dollar dengan yang 6 dollar?

Penjual : Bezanya cuma 1 dollar saja.

Muahhahhaha......

Dialog di atas terkeluar masa Mike Rowe melawat kedai menjual bola golf terpakai yang berjaya di kutip dari dalam kolam di padang golf. Selepas dikeluarkan ia akan di cuci, digredkan, di bungkus dan di jual semula dengan harga murah. Walaupun kerja menjual balik bola golf itu nampak mudah tetapi proses untuk mendapatkan semula bola yang tenggelam di dasar tasik yang berlumut, keji dan berbau busuk malah mendatangkan bahaya adalah mencemarkan tubuh.

Dan siapa lagi yang sanggup untuk melakukan tugas-tugas kotor atas dasar hiburan televisyen itu jika bukan Mike Rowe yang ingin bereksperimen dengan kerja-kerja yang tidak ramai berupaya bergelumang dengannya.

Aku pun pernah juga buat satu dua kerja yang mencomotkan begini .... nanti sambung.


Dirty Jobs with Mike Rowe setiap Isnin 10 malam di Discovery Channel

Sunday, October 28, 2007

Pemergian

Kita mulakan entry ini dengan ucapan takziah kepada keluarga Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha di atas kepulangan adinda beliau ke rahmatullah. Mula-mula terdengar berita yang adik beliau koma setelah terhantuk pada tiang di sebuah restoran di Jalan Klang Lama, pada Ahad lepas aku tak dapat nak absorb maklumat begitu untuk dikaitkan dengan Dr Sheikh.

Bagaikan berita tentang doktor itu saja adalah tidak cukup buat kita, sebaliknya kita perlu juga maklumat tentang anggota keluarga beliau yang lain. Tapi ini cerita kemalangan. Kebetulannya cuma mangsa yang terlibat adalah seseorang yang ada kena-mengena dengan person-of-the moment yang kita raikan.

Pun begitu aku tidaklah rasa perlu mengambil berat tentang cerita tersebut dan berharap yang adik beliau akan beransur pulih. Walau aku masih menganggap kes-kes terhantuk kepala ni bukanlah enteng. Macam aku tahun lepas yang terhantuk kat pintu lori. Naik benjol kepala. Esoknya mc. Alhamdulillah tak ada apa-apa. Namun sudah tersurat adik Dr. Sheikh tidak dapat survive.

Kebanyakan daripada kita tentu akan lebih khuatirkan nasib angkasawan itu rasanya. Macam kawan aku Azah yang sebelum projek itu dilancarkan lagi telah meluahkan spekulasi yang buruk tentang kapal angkasa yang meletup. Misalnya Space Shuttle Columbia dan Challenger. Syukurlah itu semua tidak berlaku kepada misi angkasa pertama yang disertai negara. Walaupun ada perkara sebaliknya pula yang menimpa.

Seolah-olah perkara seperti itu ada ironi yang minta di tamsilkan.

Tetapi semua itu tentulah ada hikmah di mana-mana.

Tuesday, October 23, 2007

Membaca Panggilan Alam

Semalam tertinggal handphone di rumah. Apabila balik saja aku bergegas mendapatkan telefon itu yang terdampar di atas katil. Pada skrin terpapar ada 12 panggilan yang aku terlepas yang semuanya datang daripada orang yang sama .... hehe .... serta beberapa servis mesej ringkas.

Masa tu juga aku tengah sakit perut. Aku tak sempat nak baca sms. Langsung aku bawa handphone itu bersamaku ke dalam bilik pelaburan. Sambil membuat bisnes aku menekan biji telefon untuk mengakses pesanan.

Mesej 1:

Daripada kakak.

Berzikirlah selalu. Dengan itu hatimu akan menjadi tenang.

Wah… nasihat yang baik. Tapi tunggu aku keluar dari tandas dulu kalau mahu berzikir pun.

Mesej 2:

Daripada kawan aku, Brad.

Friday on?

Aku tidak membalas mesej. Terus erase. Akan di balas kemudian.

Mesej 3:

Daripada 012-xxx xxxx (Pastinya bukan salah satu nombor yang aku save dalam handphone)

Cegahlah kanser prostate untuk kebahagiaan suami-isteri. Lawatilah laman web kami di www.apantah dan cuba ubat herba untuk kekuatan tenaga!

Hah! Sampai dalam sms pun ada iklan macam ni. Biasanya aku dapat menerusi e-mail je. Dan membacanya ketika berada dalam tandas aku rasa seperti ...err.... masa yang tepat?

Monday, October 22, 2007

Hey

Ini lah padahnya bila lama sangat tak update sampai lupa username dan password segala... hihihihi.... Sampai otak aku berfikir,

"This is it"

Agaknya inilah detik yang menentukan sama ada blog ini akan berterusan atau ia hanya sampai di sini saja. Puas aku menekan-nekan kepala ini tentang aku punya kata laluan dengan username tu. Langsung tak dapat ingat. Macam mana ni?

Ahh.... cakap banyak pun tak guna.

Tiba-tiba aku dah dapat balik benda-benda yang aku lupa tu. This is it. Maka aku pun kembali mengemaskini blog. Maaf kalau selama sebulan lepas kamu menyelak halaman ini ia masih terisi pasal "Bilik Puaka" itu. Teruskan kesetiaan kamu semua. Aku menghargainya.