Tuesday, June 26, 2007

Kekosongan Kejam

Ok, kita semua sudah tahu kan undang-undang filem thriller. Namun ia masih juga berbaloi di tonton. Kalau mahu fikir dengan kritikal mengapa pita rakaman itu dibiarkan saja dalam bilik tersebut atau mengapa kes sebelum ini mustahil tidak di buat siasatan atau menimbulkan syak? Atau bagaimana kalau terjadi lebih daripada dua orang penginap datang pada malam berkenaan? Satu rombongan bas ke?! Macam mana agaknya mereka nak handle situasi begitu?

Tinggalkan “lubang” itu menjadi kecacatan yang disengajakan bagi mencemaskan kita. Luke Wilson beralih ke watak di luar kebiasaannya yang goofy atau kelakar kepada lebih serius di samping Kate Beckinsale dari underworld ke dunia atas yang tidak kurang getir dan kejamnya. Tapi ada satu adegan yang melibatkan “underworld” semasa mereka dalam proses ingin melarikan diri.

Apa sebenarnya kisah Vacancy ini? Seperti dalam Psycho atau Identity, fokus kita adalah kepada motel itu, yang terpencil di tepi jalan dan kelihatan selamat tetapi terlindung petaka. Sanggupkah anda mendaftar masuk ke dalamnya?

Sebenarnya tak payah peduli pasal jalan ceritanya pun tak apa. Luke dan Kate sebagai suami-isteri dalam kereta baru balik dari sebuah majlis keluarga. Mereka rasa janggal dengan kehadiran itu sebab mereka dalam peringkat akhir ingin bercerai secara rasmi. Tambah memedihkan lagi anak mereka baru saja meninggal akibat kemalangan jalan raya. Antara bercerai hidup dan berpisah mati, kereta mereka tiba-tiba rosak di tengah jalan. Tapi kejadian ngeri tidak bermula di sini sebaliknya melorongkan mereka ke sebuah rumah tumpangan yang akan mencetuskan tragedi.

Opening credit yang terasa seperti memberi homage kepada filem-filem thriller vintage garapan Alfred Hitchcock yang diiringi score muzik dengan montaj seakan mengembalikan semangat pengarah tersohor itu. Malah mungkin Norman Bates sendiri akan bangkit memberi idea tambahan kepada motel tersebut supaya lebih menimbulkan impak.

Thursday, June 21, 2007

Hero Dalam Dirimu

Masih lagi dengan konsep copy and paste isi kandungan majalah sebagai bahan blog kali ini aku pilih majalah 8 Days pula. Aku telah membelek isu no. 863 May 3, 2007 yang lepas serta berminat dengan satu kuiz yang terdapat pada keluaran tersebut. Maaflah aku malas pula nak imbas atau taip semula kuiz itu supaya korang dapat menjawabnya. Aku rasa seperti melanggar hakcipta.

Cari sendirilah majalah tu kalau teringin nak buat.

Kuiz tersebut bertajuk “Which Hero Are You” dan betullah seperti yang korang agak, ia berkaitan dengan siri televisyen popular Heroes. Ada sepuluh soalan dengan empat pilihan jawapan yang dapat mencungkil rahsia personaliti seseorang. Yang seronoknya kita boleh tahu adakah peribadi kita serupa atau tidak dengan salah seorang karektor dalam siri Heroes berkenaan setelah selesai menjawab. Tapi cuma empat watak saja yang dapat diketengahkan sebab tak muat, ramai sangat kan.

(Aku terjemahkan secara rambang berdasarkan apa yang aku faham dari keterangan majalah tersebut)

1. Niki/Jessica Sanders (lakonan Ali Larter)

Seorang yang ada dwi personaliti yang sangat berlawanan antara satu sama lain. Kamu sungguh misteri dan sukar di telah perangai sebenar kamu yang mana satu. Waima ini bererti kamu lebih mudah untuk memikul sebarang cabaran hidup berbanding manusia biasa, malangnya karektor kamu yang berubah-ubah itu membuatkan kamu susah untuk menaakulkan perbuatan itu dengan diri sendiri.


2. Peter Petrelli (Milo Ventimiglia)

Kamu ternyata seorang yang baik budi sangat sampai ke tahap memperbodohkan diri sendiri. Tidak sekelumit pun kamu menaruh waham terhadap orang maka sesiapa yang mendekatimu rasa selamat berada di samping. Walaupun bermakna orang mudah untuk menjadikan kamu kawan tapi kamu juga mudah diperlaku sewenang-wenangnya. Lebih buruk lagi, mereka juga selalu ambil kesempatan di atas sikap kamu yang baik hati tak pasal-pasal tu.


3. Claire Bennet (Hayden Panettiere)

Memang kamu sangat istimewa kerana dapat memulihkan diri sendiri walau semalang mana pun peristiwa yang melanda kamu sentiasa menghadapi dunia dengan senyuman. Tak mungkin kamu berduka terlalu lama maka tidak ada luka yang tidak boleh sembuh. Sehebat mana pun dugaan yang di tempuh ia di anggap bukan satu hukuman. Tidak ada faktor yang boleh menggugat daripada kamu terus menjalani hidup oleh kerana kekebalan itu.


4. Hiro Nakamura (Masi Oka)

Sifat ceria dan positif dalam meneruskan apa juga cita-cita waima sebesar mana pun halangan tidak bisa melemahkan. Kamu di kurnia akal bijaksana untuk digunakan mengatasi segala krisis melalui idea logik itu. Walaupun IQ kamu tinggi tetapi ciri EQ juga harus di pupuk lebih mendalam. Keupayaan minda dioptimumkan supaya kamu boleh memanipulasi sesiapa juga demi kebaikan sejagat. Tapi apakah yang baik-baik saja hasilnya yang keluar oleh daya intelek kamu?


Aku sendiri setelah buat kuiz tu mendapati aku lebih kurang sama dengan Peter Petrelli. Baik kah aku ni? Selalu ke aku diperbodohkan?! (tanya diri sendiri)

gambar ihsan http://www.heroes-pictures.com

Tuesday, June 19, 2007

Senarai Penguin Berkuasa


Menurut Entertainment Weekly #931/932 keluaran Apr 27/May 4, 07 ada seekor binatang lain yang telah mengatasi populariti monyet di Hollywood. Ia adalah penguin! Tahun ini mengukuhkan lagi kedudukan haiwan ini dengan kemunculan Surf’s Up yang akan ditayangkan bermula Khamis. Mari kita lihat senarai penguin tersohor yang telah menempa nama di sini berdasarkan Penguin Power List seperti yang dipaparkan majalah tersebut.

1. Mumble – Happy Feet

Telah meraih Oscar dalam kategori Filem Animasi Terbaik baru-baru ini. Aku pernah tulis dah pasal Happy Feet ni, kan? Memang sejenis makhluk yang gebu dan comel untuk menambat hati sesiapa pun. Aku bersetuju dengan majalah ni yang meletakkan Mumble nombor satu dalam senarai mereka.


2. The Penguin – Batman Returns

Bukan semua penguin baik dan jinak kerana burung ini telah mengubah stigma itu dengan jadi penjahat dalam Batman Returns. Tak ada siapa menyangka Danny deVito berjaya menjadi burung yang tidak boleh terbang bermemek bengis dan keji. Sesuailah duduk nombor dua sebagai kontras dengan Mumble yang baik hati dan cute.


3. Emperor Penguin – March of the Penguins

Berasal dari Perancis ia bukan drama sebaliknya dokumentari. Aku pun tak tengok-tengok lagi. Sebagai dokumentari yang kedua mencatat kutipan tertinggi setakat ini ia boleh menjadi perimeter kepada produksi lain yang ingin memilemkan genre ini. Kalau monyet ingin kembali merampas carta tersebut, kenalah bikin satu rencana yang betul-betul gempak tentang makhluk primate ini pula.


4. Skipper, Private, Kowalski dan Rico – Madagascar

Tak sangka pula yang keempat-empat penguin ini pulak yang ditunggu-tunggu kemunculan mereka dalam filem kartun Madagascar. Padahal adegan mereka tidak banyak tetapi biarlah sikit asalkan berkualiti. Inilah surprise hit namanya. Kalau nak buat satu filem spin-off berdasar watak mereka, pastikan ia turut beri impak yang berkesan.


5. Chilly Willy – dalam The Woody Woodpecker Show

Inilah penguin yang meletakkan piawai kepada semua kemunculan penguin selepas itu. Mula dikenali menerusi siri animasi berjudul The Woody Woodpecker Show, ia menarik perhatian khalayak dengan kakinya yang sejuk comel serta suka menghirup sirap maple (terus terjemah daripada EW). Sejak dari tahun 50-an hingga sekarang popularitinya terus bertahan dengan kemunculan memorabilia yang mengabadikan namanya.

Monday, June 18, 2007

NOM3OR

Di petik dari ruangan Sechoit, Majalah Ujang Bil 304 keluaran 15 Mac 2007. Ini sebagai platform untuk pembaca mengetengahkan lawak atau komik hasil perahan idea mereka sendiri. Di bawah ialah jenaka yang di kirim oleh pembaca bernama Almuhaimin Mohd Zahrin.

Nombor

Suatu hari di sebuah sekolah berhampiran dengan studio Ujang, seorang guru matematik menyedari seorang muridnya bernama Jinggo tidak menumpukan perhatian semasa dia mengajar. Lalu beliau memanggil Jinggo dan bertanya pada Jinggo,

“Jinggo! Beritahu saya apakah kategori nombor 4, 17, 40 dan 62?”

Kemudian Jinggo dengan pantas bangun dari kerusinya dan menjawab,

“Ria, AXN, HBO dan Cartoon Network, cikgu!”

Selepas menjawab, dua batang kapur telah melayang dan menyumbat lubang hidung Jinggo.

Sebenarnya aku pun tak tahu jawapannya apa. Tapi tak kanlah kalau aku kena soal macam tu aku nak jawab nombor-nombor itu ialah kategori saluran dalam Astro. Memang patut kena baling dengan kapur. Atau blackboard duster.

Bercakap tentang nombor, sekarang ni pelanggan Astro dengan pakej basic tentu sudah kena belajar mengenali nombor 59.95 pula. Kalau dulu nombor yang harus difahami ialah 49.95 sekarang sudah berganda 10. Walaupun ada penambahan saluran baru tetapi rasa macam rugi pulak sebab kebanyakannya memang tak pernah tengok.


Disclaimer. Logo di atas tak ada kena mengena dengan mana-mana stesyen satelit berbayar.

Thursday, June 07, 2007

Asas Tidur 101

Skrin kecil di luar TGV sedang menyiarkan trailer filem Rush Hour 3. Ada seorang watak pemandu teksi sedang beraksi di situ. Aku terasa macam pernah tengok orang yang pandu teksi tersebut sebelum ini. Dalam cerita apa agaknya. Aku pun membuka internet untuk mencari siapakah namanya. Rupa-rupanya dia adalah Yvan Attal. Memang aku pernah menonton beliau dalam satu filem tak lama dulu, My Wife is an Actress berlakon bersama isteri beliau sendiri, Charlotte Gainsbourg.

Beberapa bulan lalu aku telah memuat-turun lagu “If you rescue me” soundtrack filem The Science of Sleep. Tapi aku belum jumpa filem ni kat mana-mana penjual dvd. Cuma naluri sendiri saja yang selalu mendesak supaya cari dan tonton. Tapi bagaimana, ya? Nasib baik ada Festival Filem French berlangsung di Mid-Valley dan filem tersebut turut tersenarai bakal ditayangkan.

Pelakon utamanya, Gael Garcia Bernal bernama Stephane adalah seorang pemuda ting-tong dari Mexico datang ke Paris setelah ibunya yang lama berjauhan menjanjikan dia akan dapat kerja sebagai pereka-seni di sebuah syarikat menerbitkan kalendar. Tapi sebenarnya dia hanya di beri tugas buat kerja-kerja am yang bosan dan menjerankan. Dia menginap di apartment ibunya yang di biar kosong sementera satu unit rumah yang ibunya miliki di sebelah baru saja dimasuki penyewa baru, seorang wanita lakonan Charlotte yang ketika itu cemerkap dengan kerja-kerja memindahkan barang-barang.

Ini filem yang mengajak kita tidur dan bermimpi bersama Stephane. Ia berwarna-warni, bersimpang-siur, bercampur-baur, berlapis, bertindan membentuk seakan vorteks yang bisa memeningkan. Walau kita cuba sisih mana yang nyata, mana pula fantasi atau di alam mimpi malah kita berusaha meyaring pula simbolik dan abstrak yang tampil mengkehendaki kita menafsirnya sendiri. Ini menyusahkanlah sains tentang tidur ini dengan formulanya yang eksentrik dan analogi yang mahu dihuraikan tentang pemuda tersebut serta peristiwa-peristiwa seputarnya. Aku hanya penonton lemah!

Keseluruhan filem ini merupakan hasil kraf yang cantik sekaligus pelik kerana aku memang ada di situ di samping khalayak lain yang ketawa atau terpinga-pinga menatap kelirnya. Kalau sesekali mengamati perjalanan seharian seorang manusia ketika jaganya saja sudah terlalu rutin. Kali ini kita ingin lebih menyumbeleweng lagi dengan menjengah ke dunia mimpinya pula. Percayalah, kalau ia terjadi begitu, tiada lagi yang rahsia atau privacy untuk kita simpan sebagai hakmilik sendiri.

Sebelum boleh memasuki portal mimpi seseorang itu, tunggulah sehingga dia mengantuk. Dengan mulut menguap dan kepala tersengguk-sengguk, kata peribahasa ibarat kepala di sorong bantal. Efek daripada itu menyebabkan kita turut rasa macam nak menguap juga walaupun bila tidur nanti belum pasti kita akan mendapat mimpi yang serupa.

Monday, June 04, 2007

Sempadan Nama

Hidup ini lahir dengan nama. Walaupun bayi lelaki kepada pasangan Ganguli itu sebenarnya kalau ikut adat terpaksa menunggu sehingga 6 bulan selepas itu, tetapi kerana dia lahir di Amerika dan untuk keluar hospital dia harus dinamai dahulu, maka bapanya memohorkan dia dengan Gogol. Bukan sebab terpaksa atau tiada nama lain lebih sesuai tetapi kerana satu peristiwa masa lampau yang menjadi pencetus anjakan. Lagi pun itu bukan sebarang nama. Milik seorang penulis terkenal kerana ibu bapa selalunya kita sangka memang obses dengan selebriti walaupun nama itu ganjil dan bakal di giat orang.

The Namesake ialah proses pencarian dan cuba mengekal jatidiri di bumi asing tetapi dalam masa yang sama ingin berasimilasi dengan masyarakat serta norma tempatan. Filem ini mengetengahkan nama sebagai subjek yang sepatutnya menjadi identiti sesuatu bangsa walaupun watak utamanya sendiri tidak memakai nama yang berbunyi seperti kaum yang diwakilinya tetapi seumur hidup kita akan di panggil dan dibahasakan orang, maka – apakah makna nama itu yang perlu di cerakin dan di kaji sehingga mengabaikan faktor lain yang menyerlah pada seseorang insan.

Gogol dengan kedua ibubapanya, imigran dari India seakan menimbulkan isu tentang namanya sendiri yang tidak konvensional sehinggakan apabila dewasa dia memilih untuk dikenali dengan Nick yang lebih berbunyi seperti orang New York. Selepas itu ia bukan lagi sekadar tentang nama, sebaliknya menjurus kepada adat resam, mencari jodoh dan menyelami budaya sendiri yang jauh ditinggalkan di India sana supaya anak-anak mereka kenal asal-usul. Dengan imej Taj Mahal, cuaca panas, manusia-manusia kumal dan geografi sesak serta konsep kasta yang berfungsi sebahagian daripada sosio-politik mereka, inilah yang generasi baru itu harus tahu dan belajar mengenainya.

Dua negara yang berbeza dengan dua bahasa serta dua cara hidup dan dua fahaman tetapi ia mengalami percampuran yang berhati-hati supaya tidak terlalu meresap atau tidak terbawa-bawa. Ia masih konflik atau dilema kepada para penghijrah yang mencari hidup baru di bumi asing tentang warisan yang mereka lepaskan di tempat asal juga apa yang akan mereka tinggalkan untuk legasi yang selepas itu. Walaupun pada hakikatnya sekarang semua aspek hidup telah saling berkait dan tidak mengenal batas sempadan sedangkan kita sedaya-upaya untuk mempertahankan segala yang kita dakwa dan anggap sebagai personifikasi bangsa walaupun hanya pada sepotong nama.

Friday, May 25, 2007

Kembali Bersiaran

Tak ada idea nak tulis apa dan aku yang tengah sakit-sakit sekarang ni lalu sesetengah agenda tergendala. Alhamdulillah sekarang ini beransur pulih. Tapi ubatnya harus masih perlu di ambil juga. Bukan aku seorang yang tak sihat, rakan rumah dan teman tempat kerja juga ada di landa wabak.

Paling akhir menonton wayang ialah cerita Spiderman 3. Bagi aku, ia layak dengan biaya yang melampaui kos biasa untuk terbitkan filem kerana hasilnya dari aspek aksi komputer memang nampak hidup. Sandman dan Venom itu meyakinkanku bahawa kewujudan mereka tidak kelihatan kartun walau Goblin Jr lebih ketara seperti manusia watak jahat yang menunggang mobil udara. Dengan gajet senjata dan segalanya, tentu ia seteru lelaki labah-labah paling ampuh.



Manakala bagi sesi menonton sinema di kaca tv pula, aku terpapas dengan sebuah filem Iran di Kirana dua atau tiga minggu lepas. Oleh kerana aku tidak tengok daripada awal maka aku terpaksa surf internet untuk dapatkan maklumat tentangnya. Tajuknya ialah Beautiful City atau Shah-re Ziba yang aku fikir ia sebuah filem tema cinta yang sangat menyentuh hati dari negara ini. Tapi tentulah cara cinta dan perasaan sayang itu tidak didedahkan cliche seperti filem barat malah filem tempatan sendiri.

Kisahnya seorang perempuan yang hidup bersama anak kecilnya dan bekerja di kilang kain dengan adik lelakinya sedang merengkok dalam penjara menanti hukuman mati. Seorang rakan sepenjara adiknya yang baru dibebaskan bersimpati dengan nasib wanita itu lalu dia memberi harapan bahawa dia boleh mencari jalan supaya adiknya dapat dibebaskan. Adiknya di hukum kerana kesalahan membunuh anak perempuan kepada sepasang suami-isteri di kawasan berhampiran.

Caranya mengikut undang-undang dia mesti memohon pengampunan daripada pihak keluarga tersebut serta melunaskan sejumlah bayaran kepada mereka di atas kesalahan yang adik wanita itu disabitkan. Dalam proses inilah terbitnya perasaan cinta tidak terluah di samping timbul konflik dengan keluarga si mangsa serta dilema yang masing-masing hadapi ekoran masalah yang melanda. Tapi mereka tempuhi itu semua dengan tenang walaupun ada kecoh sikit-sikit tapi kelihatannya mereka tidak terlihat penasaran yang terlalu.

Apa yang seronoknya, penamat itu dibiarkan tergantung tanpa kita diberi penjelasan atau harapan pada siapa masa depan yang lebih baik memihak. Tidak dapat tidak, semasa menonton itu hati turut merasa ghalau dengan rencana hidup yang melingkungi. Kalau berpeluang, aku kepingin untuk menonton filem ini daripada awal supaya ia lebih menjelaskan lagi apa yang terjadi sebermula. Pokoknya, filem Iran ini memang bisa membekas.

Friday, May 11, 2007

Tontonlah Sumolah

Filem ini mengandungi nuansa Asia yang bercita-cita untuk menjana minat antarabangsa. Inilah yang di panggil glokal agaknya. Afdlin ada matlamatnya dan kita ada pilihan masing-masing jika tidak mahu mengikut laluan yang dirintisnya. Tetapi berilah peluang kepada filem ini jika berkesempatan kerana pengkaryanya sudah melakukan sehabis daya mempromosikan walaupun tentu kita berharap ia berbaloi dengan hype yang tersebar. Namun ia tidaklah mengecewakan juga.

Aku ada mention perkataan “promosi” dalam perenggan di atas bukan?

Strategi dalam memakai pelakon terkenal Thailand dan Singapura untuk filem ini jelasnya bagi memancing penonton dari negara asal mereka. Sekadar cadangan, kenapa tidak bentukkan supaya karektor itu benar-benar dari sana supaya tidak kelihatan terlalu kekok lebih-lebih lagi Inthira Chareonpura yang nampak tidak sebati dalam persekitaran. Sepanjang adegan yang melibatkan beliau, aku asyik berfikir tentang masalah bahasa itu, orang Siam yang kena cakap Melayu, English, Jepun dengan wataknya sendiri satu dimensi dan tidak dikembangkan sebaiknya. Boleh ambil pelakon tempatan saja kalau begitu.

Bagi yang lain seperti Awie, Radhi Khalid, Patrick Teoh, Kartina Aziz dan Afdlin sendiri memainkan peranan yang sederhana tetapi berkesan untuk menghidupkan cerita. Ianya masih ada lawak seperti Baik Punya Cilok atau Buli namun mesejnya mungkin tidak sekuat seperti filem-filem terdahulu. Aku suka dengan naratif yang seakan menjadi trademark untuk filem-filem Afdlin kerana kurang produksi tanahair yang ingin gunakan pendekatan suara latar begini.

Walau ada yang tidak kena dan terdapat lubang di sana-sini, Sumolah ada iltizam yang ingin di sahut. Satu yang aku boleh lihat tentang filem ini ialah ingin mengajak kita mencontohi orang Jepun yang sentiasa berbangga dengan budaya mereka, makanan dan sukan mereka. Kita sendiri, masyarakat nusantara ada identiti dan kelebihan juga. Mungkin Afdlin boleh menggali dan mencetuskan idea dari situ untuk mengembangnya menjadi sebuah kisah tentang jati diri bangsa serumpun pula.


Terima kasih kepada Gaia dan AyuG di atas tiket menonton preview Sumolah di KLCC, Rabu lepas.

Wednesday, May 09, 2007

Kudaku Lari Gagah Berani

Filem tentang binatang kadang-kadang sedap juga di tonton. Aku rasa dalam banyak-banyak haiwan yang wujud di muka bumi ni, antara yang selalu enterframe ialah anjing, ikan, kucing, tikus, khinzir, naga dan lain-lain. Baru-baru ni aku menonton sebuah dvd yang menampilkan kuda sebagai temanya. Subplotnya pula ialah tentang kekeluargaan. Sebuah filem sesuai untuk petang hujung minggu yang damai.

Ia berdasarkan novel bertajuk “My Friend Flicka” tetapi untuk versi filem ini ia menjadi Flicka saja. Seekor kuda liar yang di lihat ada potensi untuk dijinakkan – itulah yang bermain di benak Katy (lakonan Alison Lohman) setelah dia terselamat dari serangan seekor “singa” disebabkan oleh bantuan Flicka yang menghalau binatang buas itu. (Aku tak tahu kenapa ia di panggil lion/singa. Haiwan itu nampak macam harimau kumbang atau puma). Namun bapanya Rob (Tim McGraw) tidak bersetuju lalu memutuskan untuk menjual kuda itu kepada pihak lain.

Kita menyedari Flicka dan Katy ada persamaan yang cuba dilampiaskan menerusi tindakan agresif mereka melalui naluri masing-masing. Seperti kuda itu yang tidak mahu di kawal, Katy juga ada pemikirannya sendiri dan dia boleh bertanggungjawab di atas apa saja keputusan yang di ambil. Walaupun ada kalanya dia nampak seperti teragak-agak dan tidak pasti. Namun dalam masa yang sama dia masih memerlukan sokongan tetapi tidak mahu dikuasai. Ia adalah emansipasi jantina itu terutama dalam satu bidang yang zahirnya di beri gambaran dunia penuh lasak, mencabar dan menuntut keperkasaan.

Sebaliknya abang dia sendiri Howard (Ryan Kwanten) yang di harap bapa mereka untuk meneruskan tradisi kerja-kerja gembala kuda tidak berminat untuk mengembangkan legasi tersebut. Justeru dia menganjurkan pula kepada orang tua mereka bahawa Katy yang lebih layak malah lebih bersemangat koboi daripadanya untuk bekerja di situ. Ada satu adegan yang mengukuhkan kenyataan ini apabila adiknya sanggup menyamar jadi lelaki semata-mata untuk menyertai acara menunggang kuda liar. Sebagai ibu bapa yang konservatif tentu ini bukan satu benda mudah.

Filem ini tentang coming of age yang menyentuh pertalian antara manusia dan haiwan. Antara generasi muda dan orang tua. Antara menurut laluan sedia ada atau mencipta haluan sendiri. Antara mengikut tradisi atau memecahkannya supaya menjadi lebih konkrit dan berdaya maju lalu dalam masa yang sama warisan tidak terkubur cuma ia beralih konsep. Ia seperti pola yang terjadi dalam mana-mana demografik di dunia hari ini yang beranjak dan mengalami perubahan kerana tuntutan zaman. Seperti dalam bait-bait esei yang Katy cuba siapkan untuk kerja sekolahnya mengenai tafsirannya tentang “How the west was won...”. Atau barat itu sebenarnya tidak pernah menang.

Satu hal yang pelik dalam filem ini ialah dua beradik tersebut hubungan mereka ditampilkan seperti terlalu mesra untuk adik perempuan dan abang sendiri. Ia terlebih ekspresi. Manakala Tim McGraw aku rasa tidak sesuai berlakon sebab sifat bapa yang tegas seakan tidak nampak terzahir pada wajahnya. Mungkin dia patut biarkan muka dia dengan goatee supaya kelihatan lebih keras. Maria Bello yang menjadi emak walaupun biasa saja tetapi ok lah, dengan watak ibu penyayang dan memahami. Dan, Flicka sebagai kuda .... err.... memang menjadi watak kudanya itu.....hehhehehe.....

Friday, April 27, 2007

Utusan Angker

Sekawanan burung gagak terbang dan hinggap di luar pada hari keluarga itu berpindah ke rumah baru mereka di sebuah tanah terpencil di Dakota Utara. Seakan haiwan itu bertindak sebagai usherer mengalu-alukan serta menghela mereka ke dimensi lebih gelap seperti warna bulu-bulu pelepah yang membalut tubuh burung itu sendiri. Ibarat mata keluarga itu juga kelam gelap untuk menyedari mesej yang gagak itu cuba beritahu apa yang bakal menunggu mereka di sebuah penempatan sunyi yang lama ditinggalkan.

Serba-serbi adalah cliche dan stereotype untuk The Messengers. Tetapi aku suka dengan metafora menggunakan gagak itu bagi memberi maksud malapetaka. Tak silap aku ia di ambil daripada mitos Greek yang mengaitkan burung terbabit sebagai pembawa berita musibah. Juga aku pernah terbaca (dalam Mastika agaknya) yang haiwan ini adalah makhluk pendendam. Jika ia pernah disakiti atau dianiaya, seseorang yang membuat angkara terhadap kelompoknya maka bersedialah untuk terima pembalasan. Dalam satu adegan semasa Roy (Dylan McDermott) ingin menghalau burung itu secara tak sengaja dia telah mencederakannya, tidak lama kemudian gagak-gagak itu kembali untuk menyerangnya.

Tapi The Messengers tidak boleh semata-mata merujuk pada burung gagak kerana nanti ia menjadi filem salinan Alfred Hithcock’s The Bird bulat-bulat. Masalahnya walaupun ia tidak bermaksud untuk muncul semula sebagai filem berkenaan, ia tetap ada saduran The Shining, Cold Creek Manor, Dark Water serta imejan hantu yang semacam re-cycle daripada The Grudge. Malah hantu yang muncul di siang hari itu membuatkan aku teringat pada Puaka Tebing Biru. Mungkin mereka ingat dengan menggabungkan sekian banyak anasir seram produksi lain akan mencetuskan impak yang baru untuk filem ini.

Selain elemen gagak itu, aku juga tertarik dengan konsep membolehkan bayi atau kanak-kanak berupaya melihat objek atau semangat halus yang orang dewasa tidak dapat memperolehinya. Di sini watak bayi lelaki itu, Ben (dilakonkan secara berganti oleh kembar Evan & Theodore Turner) yang mula-mula sedar kehadiran unsur lain dalam rumah tersebut serta memperlakukannya seperti ahli-ahli lain seperti keluarganya juga. Tetapi kakaknya Jess (Kristen Stewart) turut di rasuk oleh entiti terbabit bagaimana pun tentu saja memberi respon lebih agresif apabila di ganggu. Seperti biasa juga orang tua mereka Roy dan Denise (Penelope Ann Miller) tidak percaya dengan anak-anak mereka apabila mereka mengadu perihal aktiviti mistik ini.

The Messenger memang tiada plot dan cerita yang kuat untuk menyokong pembabitan pertama Danny dan Oxide Pang ke dunia Hollywood. Mungkin mereka terbatas atau terikat dengan olahan kisah yang bukan idea sendiri. Tetapi meminjam terlalu banyak emosi filem seram tersohor lain adalah lebih mengecewakan lagi.

Wednesday, April 25, 2007

Tontonan Segera

Apabila aku sentuh mengenai filem ni ramai kawan-kawan aku akan mengaitkannya dengan Super Size Me. Bukan mereka saja yang terkeliru dengan filem dokumentari tersebut, aku sendiri pun tidak pasti sama ada ini adalah filem yang serupa tetapi memakai judul lain atau memang ianya berbeza sama sekali. Namun premisnya tetap mengangkat restoran makanan segera menjadi rencah utama dalam menghidangkan sebuah masakan yang boleh di hadam itu pun jika kita mahu menikmatinya.

Fast Food Nation adalah filem yang berdasarkan buku karya Eric Schlosser serta diarahkan oleh Richard Linklator. Kebanyakan reviu yang aku baca menyatakan bahawa filem ini tidak begitu bagus malah kita sepatutnya membaca dari bukunya saja. Aku tak baca buku itu tetapi aku fikir yang filem ini tetap menarik.

Berbanding dengan doku-drama yang satu lagi aku tonton, Thank You for Smoking, filem ini agak didaktik. TYfS tidak bertindak untuk mengajar atau berceramah pada kita tentang moraliti di sebalik rokok. Tetapi FFN dialognya memang terang-terang sedang menyuap kita dengan segala maklumat tentang kepincangan industri makanan segera, pihak-pihak berkuasa di belakang tabir industri itu, kaedah memproses bahan mentahnya dan lain-lain. Aku rasa macam nak ambil buku nota dan salin butir-butir penting apa yang mereka bincangkan.

Secara kasarnya terdapat dua aspek yang menjadi fokus dalam filem ni. Selain makanan segera, kita juga dapat menyorot masalah pendatang dari Mexico yang di bawa masuk secara haram untuk bekerja dalam sektor kolar biru di Amerika. Senario begini berlaku di mana-mana juga di dunia terhadap negara yang di anggap lebih superior dari jirannya. Justeru ia masih boleh menginsafkan melihat gambaran yang di beri menerusi FFN apabila ada yang sanggup menggadai maruah diri, diabaikan perlindungan kesihatan serta situasi tempat kerja yang merbahaya semata-mata mencari kehidupan lebih baik di tempat orang.

Tempo keseluruhan filem ini adalah perlahan dan tenang walaupun ada unsur-unsur dramatik seperti kemalangan di kilang atau di kejar peronda sempadan tetapi ia kelihatan bersahaja. Mungkin ia untuk disesuaikan dengan situasi penggemar makanan segera itu sendiri yang selalu sangat mengambil burger atau kentang goreng yang penuh bahan kimia dan garam berlebihan serta minuman berkarbonat yang mengandungi gula melampau lambat-bangat ia tetap mendatangkan risiko penyakit dan memusnahkan tubuh pelahapnya. Kita mungkin tidak peduli dengan kesannya pada hari ni tetapi sesuatu yang perlahan dan lambat lama-lama akan sampai juga kepada kita dan ketika itu mungkin telah terlewat untuk kita bertindak.

Ada adegan di akhir filem ini yang membuat aku tersengih sebab ia semacam sama seperti yang pernah aku alami. Makanan segera ini boleh disimbolkan sebagai kemajuan yang kita kejar-kejar. Seperti juga aku yang sebelum dapat kerja di KL teringin sangat nak makan MacDonalds. Memang nampak naif masa tu. Mungkin itu juga yang menjadi umpan pada sesetengah orang untuk berhijrah ke tempat lain yang lebih makmur dan makanan segera menjadi standard kepada kemakmuran yang mereka cari.

Monday, April 23, 2007

Nombor Psiko

Mengapa seseorang perlu obses dengan nombor? Mungkin filem The Number 23 dapat memberikan jawapannya. Itu saja yang aku dapat rumuskan tentang manusia yang taksub dengan sesuatu nombor dan filem mengenainya, ia tidak begitu memberi kesan. Tapi opening credit agak mengujakan dengan cara menggabungkan nama pelakon dan krew beserta angka dengan peristiwa dan teori yang boleh disabitkan dengan 23. Selepas itu anda boleh tinggalkan panggung kalau tidak mahu bertahan melihat Jim Carrey berlagak serius.

Memang masih timbul nak ketawa melihat beliau walaupun filem ini tidak memerlukannya menggelinjang atau buat memek-memek muka lawaknya itu. Kombinasi dengan pelakon-pelakon lain seperti Virginia Madsen, Logan Lerman dan Rhona Mitra dapat mengimbangi unsur drama misteri yang cuba dibawakannya daripada penonton yang gelak tak pasal-pasal. Begitu juga dengan elemen “noir” yang diterapkan pada sesetengah babak filem itu untuk membezakan yang mana gambaran daripada buku/khayalan dan ketika di alam nyata.

Filem ini berasaskan kepada sebuah buku. Begitu juga dengan filem Secret Window yang pernah aku minati dulu. Satu persamaan yang aku tak dapat sangkal ialah nama pengarang buku yang turut menjadi subjek dalam kedua-dua garapan ini iaitu Topsy Kretts dan John Shooter. Nama itu seakan kriptik yang merahsiakan sesuatu. Nampaknya selain nombor, ada perkara lain yang terpaksa watak-watak ini pecahkan kodnya. Walaupun ada mereka berikan penjelasan, tapi tak payah dengar betul-betul kerana ia mungkin tak masuk akal atau anda akan pertikaikan nanti.

Satu lagi karektor yang aku tak berapa faham ialah Ned, anjing yang menimbulkan masalah buat Jim selain daripada buku tersebut. Anjing itu ada signifikan dengan kerja Jim di Animal Control tetapi nampaknya haiwan itu terus mengganggu sehingga kita tidak pasti sama ada ia benar-benar perlu wujud sekadar untuk menambah suspen pada plot? Lebih baik penulis skripnya, Fernley Phillips cuba untuk menjustifikasikan nombor 23 itu supaya ia benar-benar memberi impak kepada hidup Jim daripada sekadar dia sasau untuk menyelidik kenapa buku tersebut seolah-olah berdasarkan kisah hidupnya.

Begitulah permulaan ceritanya apabila watak yang di pegang Jim bernama Walter Sparrow dihadiahkan buku oleh isterinya bertajuk The Number 23 ketika harijadi yang jatuh pada 23 haribulan 2. Makin lama dia baca semakin paranoid jadinya kerana catatan dalam buku tersebut benar-benar mirip dengan apa yang pernah dia alami. Cuma kita sebagai penonton perlu alasan yang lebih konkrit untuk turut menyelami ketakutan yang sama.

Friday, April 20, 2007

Mengejar Matahari

Semasa melihat poster dan membaca sinopsis filem ni, aku terus teringat pada The Core. Sejenis lagi filem dengan konsep yang sama cuma satu menuju ke matahari manakala yang sebuah lagi menjunam ke dasar pusat bumi. Kedua-duanya bertindak atas prinsip ingin membaiki atau memulihkan suatu sistem yang kian lemah dan rosak supaya dapat kembali berfungsi demi kesejahteraan umat sejagat.

Oleh kerana aku tak pernah tengok filem-filem lakonan Michelle Yeoh di panggung wayang sebelum ni, maka aku pun melapangkan masa untuk menontonnya. Sudah pastilah ini bukan medan selayaknya mengukur kekuatan aksi lakonan beliau kerana terdapat tujuh lagi watak lain yang berkongsi ruang dengannya secara saksama. Lapan angkasawan dan saintis di hantar ke angkasa dalam satu misi di panggil Icarus 11 untuk menjana semua kuasa matahari yang semakin malap dengan menggunakan bom nuklear. Michelle menjadi pakar biologi bernama Carazon yang bertugas memelihara kebun tanaman bagi bekalan oksigen serta sebagai sumber makanan dalam kapal angkasa tersebut.

Aku nasihatkan anda berbanyak bersabar apabila menonton filem ini kerana ia bergerak sangat perlahan sehingga kalau seseorang angkasawan itu berada terlalu lama di angkasa dia boleh di rasuk “space madness”, anda yang di pawagam pula boleh terkena “cinema madness” masa tengok Sunshine ni. Seakan ia mahu kita benar-benar ambil sedikit masa untuk hargai dan nikmati matahari yang seringkali kita abaikan kerana menganggap ia akan tetap menyinar untuk selama-lamanya. Apatah lagi hampir keseluruhan fokus filem ini terkepung di atas kapal itu serta dunia kosmik di luarnya.

Jadi untuk elakkan daripada kegilaan ini berlaku, cuba tumpukan pada proses yang para angkasawan itu jalani untuk menjayakan misi berkenaan di samping menyelami setiap detik yang resah, sulit dan indah tatkala masing-masing berada dalam stesyen angkasa terbabit. Penulisnya Alex Garland melakukan tugas sukar dalam naskhah Sunshine ini kerana jika ia berseni sangat mungkin penonton mudah bosan. Special effect terutama percik-letus matahari itu memang menakjubkan namun itu bukan umpan bagi filem ini bertaraf blockbuster kerana aku tidak fikir ia di beri label demikian.

Kalau kita familiar dengan kerja-kerja pengarahnya Danny Boyle sebelum ini seperti The Beach, Trainspotting dan 28 Days Later, kita boleh rumuskan bahawa idea yang nampak biasa seperti remaja yang ingin mencari pantai atau zombie tiba-tiba kelihatan segar dan tidak lagi menjadi tontonan santai. Kisah angkasaraya seperti ini boleh menjadi falsafah dan semangat seperti juga ada di kalangan kita yang suka merenung bulan di langit lepas dengan tujuan kerohanian atau sebagai sumber inspirasi.

Wednesday, April 18, 2007

The Fabulous Picture Show

Petang Sabtu lepas di saluran Aljazeera, aku sempat tertengok rancangan bertajuk The Fabulous Picture Show (FPS). Tapi aku tertinggal beberapa minit terawal jadi aku kena surf internet untuk mendapatkan info selanjutnya tentang program ini. Ianya tentang acara-acara filem dan perkara seputarnya dihostkan oleh Amanda Palmer. Pada hari yang aku tengok itu mereka sedang mengadakan diskusi tentang filem yang datang dari Israel berjudul Beaufort.

Rancangan ini di rakam secara langsung di sebuah pawagam yang menayangkan satu-satu filem tertentu penghasilan karyawan dari seluruh dunia justeru penonton yang hadir di situ boleh memberi pendapat mereka lantas pengarah serta penerbitnya boleh menerima maklum balas secara bersemuka dari khalayak yang mengikutinya. Verdik yang dapat di cerna daripada itu, terserahlah pada publik untuk menilainya sendiri.

Beaufort diarahkan oleh Joseph Cedar seorang bekas tentera Israel (aku rasa semua rakyat Israel ni memang dikerahkan jadi askar) yang mengisahkan pada tahun 2000 dulu bagaimana satu ketumbukan pasukan muda tentera di arah untuk mengawasi sebuah penempatan terakhir Israel di Labenon yang terletak di Beaufort Castle, tatkala mereka dalam proses berundur dari situ. Pelakon Oshri Cohen memegang watak Liraz Liberti seorang komander yang berusia 22 tahun mengepelai sebuah kumpulan anak muda yang di paksa berperang dalam satu perjuangan sia-sia. Namun ironi pahit yang terpaksa di telan, sebulan setelah tamat penggambaran filem ini, konflik meletus semua antara Israel dan Labenon pada 2006.


Penonton yang hadir ketika itu terdiri dari warga Labenon dan kaum Yahudi masing-masing menyokong filem ini dan kesal dengan tragedi yang berlanjutan. Ia dapat menyentuh hati mereka kerana peristiwa yang dipaparkan adalah dekat dengan persekitaran yang di alami serta menimbulkan keharuan. Siap ada yang bercucuran air mata kerana terkesan dengan cerita berkenaan.

Selain daripada filem Beaufort tersebut, satu lagu preview yang sempat aku tengok ialah Goodbye Bafana. Ianya menyingkap memoir seorang warden penjara kulit putih yang bersikap apartheid lakonan Joseph Fiennes yang tiba-tiba berubah apabila beliau ditugaskan untuk mengawal seorang banduan, pejuang hak asasi manusia, Nelson Mandela lakonan Dennis Haysbert. Berapa banyak lagi filem tentang tokoh dari Afrika yang hendak ditonjolkan tidak dapat kita jangka. Apa yang sedikit pincang ialah apabila karektor itu bukan dimainkan oleh wakil benua itu sendiri tetapi orang luar.


Selain itu program FPS ini juga menemuramah Sydney Pollack, seorang pengarah veteran Hollywood yang popular dengan filem seperti Tootsie, Out of Africa dan The Interpreter. Filem terbaru yang sedang ditayangkan kini, Sunshine turut dipromosikan dalam rancangan ini. Aku dah tengok Sunshine minggu lepas, nanti aku cuba bagi pendapat aku tentangnya.

Friday, April 13, 2007

Main Tembak-Tembak

Apabila melihat letupan disusuli api marak menyambar dari belakang dengan si hero melangkah gagah dibayangi api tersebut, kita terasa ingin melaung “Rambo..!!” Mark Wahlberg dengan lagak macho penuh intensiti dan stamina berperanan sebagai Bob Lee Swagger seorang askar marine yang telah bersara tetapi di panggil balik untuk membantu satu misi rahsia kerajaan. Kemahirannya sebagai penembak curi jarak jauh yang tepat sangat diperlukan bagi membanteras satu cubaan membunuh presiden U.S.

Melihat filem ini daripada perspektif yang lebih luas ia nampak idealistik yang keterlaluan sehingga kita terasa jengkel. Dalam pada negara polis dunia itu masih berkeras dengan Iran yang terus dengan prinsipnya untuk memiliki kuasa nuklearnya sendiri, kita idamkan ada manusia macam Bob Lee ini yang muncul di Amerika secara realiti. Supaya dia sanggup memikul tanggungjawab di atas setiap tindakan kotor pemimpinnya waima dalam masa yang sama dia tetap bersemangat patriotik. Ia sesuatu yang nampak bertentangan.

Itulah juga yang bermain di fikiranku tatkala ditemukan dengan The Shooter ini seolah-olah perwira berkenaan ingin menentang seluruh sistem Amerika. Mungkin bercampur sedikit dengan konflik peribadi apabila semasa pembukaan cerita, rakan karibnya yang juga bertindak sebagai scout sniper terbunuh lalu mereka berdua ditinggalkan terkontang-kontang oleh rakan sepasukan di Ethiopia semasa satu serangan. Kemudian, tiga tahun selepas itu dia di aniyai pula oleh beberapa pegawai berkuasa yang menyebabkan dia menjadi buruan.

Pengarah Antoine Fuqua yang memang sinonim dengan action flicks begini seperti Training Day dan Tears of the Sun sekali lagi tidak menghampakan peminat aksi thriller. Tapi tindakan menembak mangsa dari jauh dan tersembunyi kita rasa macam perbuatan mengelat dan tidak gentleman. Namun aku rasa ada sesetengah adegan dalam filem ni semacam memberi homage untuk siri tv MacGyver, lelaki yang pintar menggunakan perkakas, unsur dan benda-benda di sekelilingnya sebagai survival untuk hidup. Tetapi MacGyver anti senjata api jadi ada sedikit perbezaan di sini dengan Bob Lee.

Paling melecehkan tentang The Shooter ialah plotnya yang tidak kemas dan dangkal terutama melibatkan alasan untuk seorang tentera yang telah berhenti khidmat bagi membalas dendam dan bertindak menuntut bela bagi warga Ethiopia. Perempuan yang jadi balu kepada rakan karibnya itu juga tidak muncul meyakinkan malah tak perlu pun tak apa. Sekadar untuk menjadi damsel in distress adalah cliche. Tetapi anda sekadar tengok untuk berseronok apa salahnya.

Tuesday, April 10, 2007

Kisah Seram Daripada Kitab

Melihat dari trailer saja aku sudah dapat rasakan Jangan Pandang Belakang adalah sangat menyeramkan. Terus meremang bulu roma masa tu. Lantas aku teringatkan sebuah drama bertajuk “Kembali” lakonan Zami Ismail yang pernah aku saksikan masa kecil-kecil dahulu yang turut menjalarkan rasa seram yang sama. Memang sebuah cerita yang akan menghantui anda buat jangka masa yang lama sehingga tak boleh tidur. Jadi aku skip filem ni dan memilih untuk menonton The Reaping.

Sebelum itu memang aku ada tertengok promo dan posternya yang kelihatan fantastik. Ia nampak misteri cuma tak timbul rasa seram sejuk bagi apa-apa bulu berdiri. Aku memang susah nak selami unsur ketakutan yang cuba diterapkan oleh filem barat. Tapi sekurang-kurangnya kita boleh ambil tahu perkara-perkara yang menjadi faktor seram buat mereka. Dan ia ada persamaan juga dengan kita sendiri yang selalu berwasapada dan prihatin bila mendengar perkara-perkara pelik dan berita-berita yang menimbulkan intrig. Tambahan pula apabila ia ada kaitannya dengan kitab suci yang menjadi pegangan sesuatu penganut.

Tetapi bagi seseorang yang telah hilang kepercayaan kepada fahaman rohaninya, dia akan sedaya upaya membongkar kejadian misteri itu dengan huraian saintifik dan logik akal. Di sinilah karektor Katherine lakonan Hilary Swank muncul di sebuah daerah bernama Haven setelah penduduk di situ gempar apabila air sungai mereka tiba-tiba menjadi merah ibarat darah. Mereka mengaitkannya dengan seorang budak perempuan Loren (AnnaSophia Robb) yang disyaki jelmaan syaitan lalu membangkitkan kembali peristiwa ngeri seperti digambarkan dalam kitab Zabur.

Agak menarik mendengar hujah Katherine bagaimana dia menafsirkan kejadian 10 Biblical Plagues di Mesir dulu mengikut huraian bersandarkan fakta-fakta yang boleh di terima akal. Jadi apabila simptom yang serupa melanda Haven, mereka perlu mencari kambing hitam untuk melupuskan sumpahan wabak itu daripada terus menimbulkan bencana. Dari sini kalau kita cerakin dengan teliti, dah boleh agak twist yang bagaimana pengarah mahu tampilkan. Namun The Reaping bermula dengan baik pada adegan awal Katherine bersama krew dalam sebuah gereja di Chile untuk menyiasat satu kes mukjizat di situ yang ingin dibongkarnya.

Kebanyakan ulasan dan kritikan memberi penarafan yang buruk buat filem ini. Bagi aku sendiri yang tak begitu tahu kisah yang bersangkutan dalam kitab agama mereka rasa menarik juga maklumat begini sebagai pengetahuan am. Tentang aspek lakonan, dialog, kesan khas atau jalan cerita aku bagi rating sebagai sederhana saja. Memang kita ingin mengaitkan ia dengan Rosemary’s Baby atau Signs tetapi sudah tentu filem berdua itu lebih kuat lagi dari segi permainan ceritanya.

Sunday, April 08, 2007

Suku-Sakat Robinsons

Baru saja aku sentuh pasal inovasi, reka cipta dan apa-apa lagi tentang cetusan idea untuk membentuk benda atau produk terbaru bagi memudahkan hidup serta menjana pertumbuhan minda (dah bunyi ala-ala iklan susu tepung pulak ..hehe...) dalam dua entry terdahulu, tiba-tiba keluar filem Meet the Robinsons. Memang bernas tema yang di bawa oleh filem ini untuk memupuk minat kanak-kanak kepada dunia sains dan teknologi. Serta kesan yang boleh di bawa oleh seorang saintis kepada hidupnya sendiri pada masa depan serta alam sekelilingnya.

Tetapi baik aku cakap awal-awal bahawa filem ini bertaraf sederhana saja. Animasi Disney sebelum ini, Cars lebih baik lagi walaupun aku susah nak absorb kisah kereta boleh bercakap dan alat-alat pengangkutan berjiwa macam manusia itu. Tapi seluruh penceritaan Cars adalah bersungguh-sungguh dan perincian yang di buat memang menarik minat. Tapi bukanlah keluarga Robinson ni mengecewakan sangat dan tidak ada pengisian cuma menontonnya tak ada rasa teruja. Mungkin dah banyak sangat filem kartun malah syarikat filem lain juga menghasilkan filem animasi dengan olahan cerita lebih padu jadi kita expect bila muncul yang terkini ia akan lebih gempak.

Secara asasnya Meet the Robinsons ini mendasari persahabatan antara Lewis dan Goob, dua anak terbuang yang membesar di rumah anak yatim. Mereka mempunyai kegemaran yang berbeza iaitu Lewis seorang yang berminat dalam bidang sains dan mereka-cipta manakala Goob yang suka dengan permainan baseball tetapi tak begitu berbakat. Malah Goob yang lebih banyak berkompromi dengan hobi rakannya itu apabila dalam segenap aspek terpaksa menjadi pembantu Lewis serta bertindak sebagai bahan eksperimen. Kaedahnya, dialah yang paling banyak berkorban supaya Lewis dapat memajukan lagi ciptaan sainsnya seolah-olah dia dan sukan baseballnya tidak penting.

Namun satu unsur yang tidak dieksploit sepenuhnya ialah keunikan keluarga Robinson tersebut yang patut di beri sceen time lebih lama kerana tajuknya sendiri tentang mereka. Tetapi ia boleh jadi juga berkenaan famili yang diimpikan oleh Lewis kerana sejak lahir tidak pernah merasai kasih sayang keluarga kandung kerana dibiarkan ke tangan rumah kebajikan. Natijahnya, semoden atau seadvance mana kehidupan manusia ini akan tempuhi kelak, nilai serta ikatan sebagai saudara sedarah sedaging jugalah yang akan menjadi teras insani.

Perhatikan pada sejuring kata-kata hikmat oleh Walt Disney dipaparkan sebelum kredit penutup buat motivasi.

Wednesday, April 04, 2007

Nampak Saja Macam "Kacang"

Kalau anda pernah terasa macam nak lempang jer bila nampak Mr. Bean, hajat anda akan ditunaikan dalam filem ni. Dan ia bukan sekali. Karektor yang paling menjengkelkan, menyakitkan hati, menyusahkan hidup dan tidak bermakna tetapi boleh jadi kelakar kini kembali mengganggu kita dalam filem keduanya bertajuk, Mr. Bean’s Holiday. Jika dalam filem pertama dulu anda di bawa ke Amerika, kali ini destinasi yang bakal ditimpa malapetaka ialah Perancis atau lebih tepat lagi, bahagian selatan negara ini atau Cannes.

Menyebut Cannes kita akan teringatkan festival filem yang termasyhur itu malah ironinya filem Mr. Bean ini sendiri hanya boleh bermimpi untuk bertanding didalamnya. Tetapi beliau ada muslihat lain bagaimana cara membolehkan watak seperti Mr. Bean untuk menyertai pertandingan yang berprestij seperti di Cannes tersebut. Ia di buat dalam bentuk satira sebagai filem artsy yang macam syok sendiri dibintangi kebanyakkannya oleh Willem Dafoe cuma ia lebih serius tetapi masih narsisistik seperti Mr. Bean itu sendiri. Kalau diperhatikan inilah unsur paling lucu sepanjang filem ini bermain. Dan bijak.

Dalam hidup seharian kita pun, kita memang tidak boleh bertoleransi dengan mereka yang mementingkan diri sendiri. Mengapa kita boleh bertahan untuk menonton aksi begini di dalam sebuah filem adakalanya ia di luar capaian akal. (aku sendiri tengok pun pasal kawan aku belanja ....hehe...) Nak tengok sitkom dia yang setengah jam kat tv itu juga aku rasa macam kena torture. Tapi disebabkan ia dapat sambutan hangat maka versi filemnya wajib di bikin. Tetapi menurut sumber imdb, ini adalah filem Mr. Bean yang terakhir. Mungkin Rowan Atkinson sudah penat untuk buat-buat tak boleh bercakap dan bergaya macam manusia paling ignorance di muka bumi.

Bagi mereka yang tidak berminat dengan gaya lawak ala Mr. Bean ini mungkin akan skeptikal cara penulis cerita akan mengarang filem ini supaya jenaka dan perjalanannya konsisten sehingga akhir. Aku memang memuji garapan mereka kerana dari saat watak utama kita ini menang cabutan bertuah itu sehinggalah beliau tiba di Cannes ia penuh dengan misadventure acuan Mr. Bean yang kita tidak terasa keterlaluan atau dimualkan sehingga penonton boleh hilang minat. Mungkin ia aksi biasa bagi mereka yang kerap menyaksikan semua itu melalui siri tvnya tetapi aku percaya bila menonton versi filem ini, ia tidak hilang niche yang di bawa.

Ini sebuah road movie yang kita rasa di samping dapat mengekalkan populariti Mr. Bean, turut jadi serampang dua mata untuk memperkenalkan pelakon-pelakon Perancis yang membintangi filem ini. Dan juga ia lebih mudah bagi orang asing yang ingin berkenalan dengan Mr. Bean untuk bertanya khabar dengannya kerana masalah bahasa itu bukan lagi satu masalah (sebab dia kan ada problem pertuturan).

Wednesday, March 28, 2007

Idea Inovasi Hidup

Jika anda ada hobi suka melihat alatan, perkakas atau barang-barang yang berinovasi baru atau ciptaan unik, pasti anda telahpun melawat pameran Improving Life – the design of Swedish Innovation yang berlangsung di level concourse Ikano Power Centre baru-baru ini. Aku juga berkunjung ke sana hujung minggu lepas setelah mengetahuinya melalui suratkhabar. Ketika itu sambutan sudah agak reda jadi sekitar ruang pameran lengang. Cuma kelihatan beberapa orang sedang duduk di sofa yang tersedia berhampiran.

Benda pertama yang menarik perhatianku ialah robot vacuum cleaner daripada Electrolux. Penyedut hampagas ni dibiarkan berfungsi sendiri tanpa ada manusia mengendalikannya. Yang bestnya benda ni diletakkan atas satu bongkah tinggi berpermukaan rata dan ia men”vacuum” di situ. Tak jatuh pulak tu sebab bila dah sampai kat sipi-sipi bongkah tu ia pun berpatah balik ke ruang yang selamat. Kalau vacuum cleaner ni ada wayar putus kat mana-mana, tentu dah jatuh tergolek ke bawah.

Barang lain seperti ubat untuk pesakit lelah macam inhaler. Ada jaket untuk memudahkan penyusuan bayi. Kerusi keselamatan untuk kanak-kanak ketika menaiki kenderaan. Kotak-kotak untuk isi air minuman yang di panggil Tetra Pak pun turut dipamerkan dalam satu akuarium. Rupa-rupanya itu juga dicipta oleh mereka dari Scandinavia ini. Ada satelit apa entah, macam ceper satelit Astro tapi lebih sofistikated fizikalnya turut berada di sana.

Memang setiap item pameran di beri label dan penerangan tetapi aku jer yang tak baca betul-betul. Aku suka sangat tengok hasil ciptaan mereka yang berbentuk moden, licin, selamat, ringkas, mesra pengguna dan bergaya. Orang-orang Sweden ini memang mengalu-alukan hasil inovasi terbaru dan mereka akan memajukannya dan mengkomersilkan untuk faedah khalayak ramai. Jadi tak timbullah isu penat-penat buat R&D untuk sesuatu projek lepas berhasil tu senyap jer tak ada khabar berita. Mustahil sesuatu idea baru itu langsung tak dapat untuk diketengahkan sebagai berpotensi mendatangkan prospek?

Atau pun jika benda itu bukanlah ciptaan terbaru tetapi ada improvasi atau idea lain untuk menambahkan lagi kecekapan atau kelebihannya maka ia sedikit sebanyak juga boleh mendatangkan impak. Contohnya penyedut hampagas itu bukanlah ciptaan Sweden sebaliknya mereka telah mengemukakan versi yang lebih ringan, cantik dan murah kepada mesin dari Amerika yang mula-mula kelihatan ganjil. Kereta Volvo mereka juga adalah kenderaan yang paling selamat di dunia dengan three-point seatbelt sebagai medium menahan penggunanya dari risiko maut akibat kemalangan.

Mereka tidak saja-saja menubuhkan company kereta itu semata-mata untuk national pride tanpa menimbangkan kualiti, rekabentuk atau kebolehpercayaan yang sepatutnya menjadi perimeter bagi membentuk satu jenama yang berjaya. Bukannya dengan melaungkan propaganda untuk menyemai semangat patriotik palsu dengan memaksa rakyat menggunakan produk kelas ke-tiga sebagai slogan gunalah barangan buatan negara sendiri. Ini sangat menganiaya, menindas, tidak berhemah dan tidak beretika kepada rakyat.

Jika ada satu benda yang tidak dapat disekat dari kita, ia adalah idea. Tapi jika ada satu benda lain yang mungkin dapat mengengkangnya, ia adalah karenah birokrasi. Namun langkah pertama harus di buat kerana kata pepatah, kalau hendak seribu daya...


Gambar daripada The Star. tq

Thursday, March 22, 2007

Jangan Bagi Tumpang


Mesti fikiran kita dah dapat agak macam mana bentuk filem ni tanpa berpandu pada sinopsis, trailer, poster atau tengok filem asalnya sekalipun. Ini adalah remake dari tahun 1986 punya production tapi masih fun untuk di tonton. Mula-mula sekali aku bayangkan yang pemandu kereta tu mesti sengaja cari pasal dengan bagi tumpang pada orang asing yang menahan kereta mereka di tengah jalan.

Nampaknya ada sedikit twist pada bahagian itu yang akhirnya mahu tak mahu mereka terpaksa juga mengajak lelaki tersebut, John Ryder lakonan Sean Bean untuk menyertai mereka di dalam kereta. Part ini menarik bagi aku sebab kita tentu tidak mahu lagi watak itu jadi terlampau sivik dan bermurah hati tanpa ada menaruh sedikit pun syak wasangka pada orang yang tidak di kenali? Walaupun tidak ada surprise lagi di sini yang stranger yang menumpangi kereta itu memang seorang celaka yang akan menimbulkan banyak kekejaman tetapi apakah ikhtiar mereka untuk membasminya?

Mereka berdua di sini ialah Grace dan Jim (Sophia Bush dan Zachary Knighton) sepasang kekasih yang dalam perjalanan untuk balik kampung dari kolej. Tetapi segala angan-angan indah mereka untuk menghabiskan percutian musim bunga itu bertukar malapetaka apabila bertembung dengan John. Sean Bean yang menjadi orang jahat dalam cerita ni tidak membuang masa untuk menunjukkan aksi ganasnya kepada dua remaja tersebut tetapi dalam sekelip mata juga mereka berjaya menumpaskannya. Tak kan cepat sangat kot?

Memang agak mendadak juga tetapi brutality tidak berakhir di sini. Walaupun sehingga melibatkan pihak polis sekali pun tetapi mereka seperti biasa sekadar tempelan cuma untuk meyakinkan penonton yang pihak berkuasa tetap berada di sisi anda tatkala anda memerlukan bantuan apabila terjerat dengan penjenayah. Seperti biasa juga penjenayah itu pun bukannya ada motif apa-apa untuk merasionalkan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu. Namun tak payah anda nak berasa runsing atau berkerut dahi memikirkan plot atau skrip longgar ke haper hanya yang perlu nikmati saja apa yang The Hitcher ini mainkan.

Serupa juga dengan road movie genre gory lain seperti Joyride, Kalifornia atau Wolf Creek yang tak lebih dari sekadar untuk psycho para pengguna lebuh raya ketika mereka sedang menempohi sebuah perjalanan yang panjang dan sunyi sehingga boleh trauma dibuatnya. Sedangkan ada kata-kata hikmat yang pernah kita dengar juga menyebut bahawa bukan destinasi itu yang penting sebaliknya adalah perjalanan yang sedang dilalui itu yang patut kita hargainya. Yeah right, itu mesti mereka sebut sebelum jumpa John Ryder!