Wednesday, January 31, 2007

Tak Panjang dan Menang

Sebenarnya hari Sabtu lepas aku tak sempat tengok pun majlis anugerah Filem Pendek yang berlangsung malam tu sebab aku keluar pergi Great Eastern Mall. Bila balik dari mall itu dan singgah makan di food court berhampiran rumah, tv di situ sedang tayangkan bola. Malaysia vs Singapore. Buat sakit hati aje tengok sebab kalah kerana penalty.

Tapi itu memang biasa. Manakala festival filem pendek itu pula tidak kurang menyakitkan hati (well... at least for this fella, Perhani Salam, nama dia) kerana salah seorang pemenang didakwa memperdayakan penganjur sebab menggunakan filem arahan orang lain untuk menyertai pertandingan itu. Kat Malaysia ni, pertandingan apa sekalipun macam tak sah pulak kalau tak ada kontroversi. Tapi kalau dah menang dengan cara tak bermaruah seperti itu memang orang akan bising dan tak puas hati.

Hari ni keluar pula kenyataan balas oleh pihak yang didakwa itu penafikan segala pernyataan serta mempertikaikan tuduhan terbabit.. Aku hanya sempat tonton beberapa filem pendek yang di senarai tapis untuk melayakkan mereka ke peringkat akhir semasa disiarkan oleh RTM. Tetapi filem-filem yang diisytiharkan sebagai pemenang tu tak pulak aku perasan aku tengok ke tak. Rasanya yang penting ialah exposure dengan publisiti begini yang pengkarya itu perolehi sedikit sebanyak akan meluaskan portfolio mereka.

Terlanjur cakap pasal filem yang tak berapa panjang ni, dalam filem May ada satu adegan di mana May berkunjung ke rumah seorang lelaki yang dia admire secara agak keterlaluan. Sebenarnya dia lebih “kagum” dengan tangan lelaki tersebut, bernama Adam. Di rumah itu Adam pun menayangkan sebuah filem pendek yang dibikinnya. Filem itu dalam hitam putih tentang sepasang kekasih yang sedang berkelah di taman dalam suasana bahagia. Lama-kelamaan keadaan yang harmoni itu bertukar jadi ngeri apabila mereka saling mengunyah anggota badan masing-masing dalam memek dan aksi yang girang lagi tu!

Kalau korang tertanya-tanya kenapa mereka perlu menyaksikan filem yang sadis itu kerana May sendiri adalah seorang weirdos. Okey, aku bukan nak cakap pasal May (walaupun interesting) tapi pasal filem pendek bertajuk Jack & Jill yang mereka tonton itu. Aku pasti idea begitu susah nak dipertaruhkan sebagai hasil pertandingan kerana subjek matternya, kanibal atau pembunuhan dan tabiat pelik (obses dengan tangan atau mana-mana anatomi lain) yang melanggar jangkauan akal. Malah sebarang hasil karya yang melibatkan plot kekejaman atau brutal memang payah nak lepas walaupun untuk satu filem pendek.

Tentu ramai yang nak tengok tema begini dalam arena seluloid tempatan. Kita tak perlu nak berperangai pelik dan aneh atau jadi freaky macam May untuk menghargai persembahan begini. Aku rasa kategori “Eksperimental” sesuai kalau ada filem pendek yang nak masukkan idea ganas dan ganjil ini dalam produksi mereka pada majlis anugerah akan datang. Walaupun kemungkinan nak lepas tu mungkin tipis, tapi boleh cuba. Dengan budget yang sikit dan plot yang seram, sadis dan ngeri dalam jangka masa sekejap, ia lebih berbaloi untuk di bikin berbanding buat filem durasi panjang dengan tema begini sedangkan kita hampir pasti ia tidak diluluskan.

Monday, January 29, 2007

Meninggalkan Ilmu

Semalam aku membaca rencana berkenaan Professor Syed Hussein al-Attas yang telah pulang ke rahmatullah pada 23 Januari lalu dalam Mingguan Malaysia. Mula-mula aku ingatkan beliau ialah pengasas ISTAC tetapi mengapa tidak di sebut dalam artikel berkenaan. Bila aku check di internet, rupa-rupanya itu adalah adik beliau Syed Muhammad Naquib al-Attas. Kedua-dua beradik ni agak mirip sama ada dari segi ketokohan atau daya intelektual.

Dulu bila terdengar saja perkataan ISTAC, perkara pertama yang terlintas ialah binaan bangunan serta kesenian hiasan yang begitu menyerlahkan ciri-ciri timur tengah yang mendominasi keseluruhan institut ini. Kini pusat pengajian tersebut di bawah UIAM.

Ada dua perkara yang menjadi perhatian dalam rencana itu, rasuah dan stigma bangsa Melayu adalah pemalas. Professor telah terlebih awal menghuraikan isu ini dalam dua buah buku tulisan beliau, Sociology of Corruption dan Myth of the Lazy Native. Aku pasti kedua-dua buku ini lebih berbaloi untuk di beli dan di telaah daripada buku yang aku mention dalam entry sebelum ini.

Tapi kenapa seakan-akan ia tidak mendapat pendedahan kepada umum buku-buku yang membincangkan topik yang sangat relevan dan menjana pemikiran kritis. Atau mungkin aku yang tak sedar kewujudannya. Rasuah adalah tidak bermoral dan merendahkan integriti malah jika ada pengamal undang-undang yang melakukan korupsi mereka lebih hina dari gangster, menurut professor.

Manakala frasa bangsa pemalas yang ditinggalkan oleh penjajah itu selain ditujukan untuk orang Melayu, ia turut terpalit pada kelompok nusantara yang lain seperti Jawa dan Filipina. Tapi baru-baru ini kita terdengar berita mengenai sindrom lelaki Melayu pemalas terutama yang telah berkeluarga sehingga menimbulkan dilemma dan boleh melumpuhkan ekonomi. Kalau ikutkan logik, kerana malas berusaha lebih untuk memajukan diri sendiri juga seseorang sanggup menggunakan jalan pintas dengan terlibat dalam rasuah.

Semoga Allah mencucurkan rahmat-Nya kepada Allayarham. Al-Fatihah.

Friday, January 26, 2007

Filem Pendek

Ada satu buku ni aku baru beli Jumaat lepas kat Kunokuniya. Daripada tajuknya cambest jer. Sebab dia ada bunyi-bunyi kisah orang hidup di perantauan. Tapi bila aku baca dalam 4 – 5 bab, tak adalah best sangat. Nanti kalau dah habis baca (dan kalau rajin) aku cuba mengulas sikit pasal buku yang cuma tajuknya sedap. Isinya kureng.

Kalau korang terbuka siaran rtm1 (ada ke yang tengok rtm nih?!) ada satu rancangan di beri nama Anugerah Filem Pendek 2006 yang memberi peluang kepada produksi-produksi yang menerbitkan filem yang durasinya tak begitu panjang untuk merebut anugerah. Oleh sebab aku baru start tengok dari episod Jenaka, Eksperimental dan malam tadi Kategori Khidmat Awam/Iklan/Animasi maka, tak banyak yang aku dapat komen tentangnya.

Ada beberapa filem yang menarik perhatianku seperti Jauh Geylang-Gombak yang adegan hanya di buat dalam teksi dengan kesemua tiga pelakonnya begitu natural dan hidup. Cinta Miqael pula tentang seorang budak yang ingin membeli bunga. Rupa-rupanya dia nak hadiahkan buat ibunya. Manakala kisah Ballet pula tentang seorang gadis terlebih saiz yang ala-ala mental gitu berangan bahawa dia adalah seorang penari balet yang paling berbakat besar.

Keputusan akan diumumkan malam esok. Malah penonton di rumah boleh sertai peraduan sms untuk memenangi hadiah wang tunai untuk mengundi mana-mana filem pendek yang mereka gemari.

Tuesday, January 23, 2007

Hijrah 1428

Selamat menyambut Awal Muharram. Tak terlambat lagi kot nak ucap. Sepuluh perkara yang membuatkan anda tidak sedar kedatangan tahun baru Hijrah

1) Anda tak hafal bulan-bulan Islam

2) Jatuh pada hari Sabtu, anda memang dah cuti pun hari tu

3) Tak ada cuti Krismas (sebab Krismas kan dekat dengan new year masehi...hihihi....)

4) Memang tak tahu pun wujudnya bulan Islam ni! (gila... jahil...)

5) Tak ada Year End Sale (sebab tak ada pulak Year End Of The Hijrah Sale)

6) Kawan-kawan anda tak ajak anda pergi lepak dataran ke, KLCC ke, Bukit Bintang ke, tengok bunga api

7) Anda memang phobia bab-bab Islam ni, termasuklah kalendarnya sekali.

8) Tak tahu macam mana nak raikan Awal Muharam ni, jadi buat donno jer lah.

9) Kalau beli apa-apa majalah, biasanya bila keluaran Januari ia ada ucap Selamat Tahun Baru tapi bila tiba Maal Hijrah, tak letak pulak? Jadi mana kita nak tahu kan?

10) Sebab Blogger buat hal ... ! (tak tahulah ada kena-mengena dari segi apa)

Wednesday, January 17, 2007

Wira Barbarik

Unsur Red Indian yang baru-baru ini aku jumpa di panggung ialah menerusi filem Night at the Museum. Ia diwakili oleh seorang gadis bernama Sacajawea sebagai salah satu bahan figura yang di pamer terkurung dalam bilik kaca di muzium tersebut. Menurut legendanya Sacajawea ialah wanita daripada puak berkenaan yang menunjukkan jalan kepada dua penjelajah barat yang datang meneroka Tanah Baru.

Ada satu adegan yang kelakar apabila Ben Stiller ingin menguji kepakaran Sacajawea yang handal dalam bab-bab menjejaki ini untuk mengesan sebuah van yang didapati lesap setelah terlibat dalam kecurian di muzium tersebut. Kepintaran tersebut bagaimanapun tidak lagi menjadi kelakar dalam filem Pathfinder apabila seorang dari anggota puak Red Indian itu telah di dera untuk mengesan koloninya kepada sekumpulan barbarian. Ironinya dia sendiri bukanlah lahir daripada kaum itu namun jati dirinya lebih kuat dan memihak kepada “puak angkat”nya.

Pada awal-awal filem ini muncul keluar kenyataan di layar yang mendakwa 500 tahun sebelum Columbus sampai ke Amerika, golongan Viking terlebih dahulu telah menjejakkan ke situ. Sama seperti suku-sakat Columbus, Viking juga tidak mengiktiraf Red Indian malah lebih sadis lagi bertindak untuk membasmikan mereka terus dari wujud dengan menyeksa dan menghunus senjata. Hampir sepanjang tayangannya itulah tema yang di bawa, keganasan, buru dan bunuh dalam atmosfera yang kelam gelap dan membuatkan jantung berdebar.

Malah aksi kezaliman itu dikemaskan lagi dengan latar-belakang yang sunyi tanpa banyak dialog cuma semulajadi bentuk bumi Amerika yang liar serta cuaca ekstrem menyampaikan mesejnya. Mungkin yang tak logik ialah puak Red Indian tersebut cakap Inggeris sedangkan Viking tu boleh pula di buat bertutur bahasa Nordic mereka. Satu lagi yang mungkin membuatkan golongan tersebut merasa ralat ialah filem ini menggambarkan mereka sangat lemah seolah pengecut dan tiada strategi malah hanya tahu menyelamatkan diri.

Sama ada itu yang lebih baik untuk mereka atau metos ini cuma satu lagi helah untuk mewirakan orang kulit putih sebagai saviour atau pejuang di saat memerlukan, itu masing-masing punya pendapat. Tapi kalau anda tidak pedulikan semua itu, Pathfinder ada semua ramuan memenuhi selera menonton segala yang melampaui tamadun manusia. Lebih-lebih lagi untuk satu zaman di mana istilah tamadun itu pula di tafsirkan sesuka hati mengikut agenda sesuatu bangsa.

Tuesday, January 16, 2007

Permata di Perlombongan

Tak silap aku, pelakon yang memegang watak supervisor kapal korek itu turut berlakon sebagai professor dalam Cadaver. (Tapi aku malas nak check nama). Sepatutnya The Tin Mine ni yang di beri tayangan meluas bukan sekadar di International Screen kerana memiliki cerita yang ada value. Berbanding dengan Cadaver yang bersandar pada cheap shock thrill.

Situasi yang di bawa oleh filem ini memang relevan dengan keadaan di Malaysia juga. Tetapi Cadaver yang memang lebih relevan dengan kita semua kerana semua orang akan menjadi mayat suatu hari nanti sebab itulah jumlah showtimenya adalah secara menyeluruh. Tapi itu bukanlah soal utama, yang penting, cara ia di garap sangat bagus apatah lagi ia diadaptasi daripada kisah benar. Hidup yang nampak pahit pada zahir seperti yang di alami oleh watak utama menjadi indah apabila dipindahkan ke layar lebar. Of couselah tuan punya badan yang kena bekerja di kapal korek tu macam nak mampos cari rezeki dengan guna tulang empat kerat kita ni cuma sedap menonton saja.

Ianya tentang Arjin yang tidak lulus belajar kejuruteraan di universiti kemudian mengambil keputusan berkelana di selatan Thai untuk bekerja di sebuah lombong bijih timah. Ia seakan mengajar kita bahawa mana yang lebih penting, menimba ilmu untuk mendapat sekeping sijil, ataupun menimba pengalaman tetapi tidak dapat dibuktikan oleh apa-apa, setakat kita tahu yang kita melaluinya dan menikmatinya dengan sepenuh jiwa. Ia berlatar-belakangkan awal tahun 50-an di mana kemudahan asas adalah terhad dan serba-serbi aktiviti dilakukan secara manual sama ada ketika mereka bekerja atau cara mereka berekreasi.

Kita boleh reflects dengan filem The Red Kebaya (daripada beberapa segi) apabila menonton The Tin Mine terutamanya aspek expatriate yang mendokong sosio-ekonomi/sosial di tanah pribumi manakala penduduk tempatan sebagai pekerja/pengikut. Cuma filem Thai ini kelihatan agak smooth pada kronologi yang dialami oleh Arjin sebagai hikayat coming-of-age tatkala penonton biasa mungkin mengharapkan sedikit drama atau sensasi. Tapi nanti akan menyimpang pula dari hidup tuan punya naratif.

Pendapat aku sendiri, filem ini memang berjaya tanpa memaksa kita belajar ilmu alam tentang perlombongan bijih timah di selatan Thailand atau terasa bagai menonton satu dokumentari. Karektor yang bercampur-campur antara pekerja lombong, bos mereka dan orang kampung di samping persekitaran yang suci itu sendiri mewujudkan jalinan yang unik. Ini sebuah filem yang tembus ke emosi.

Monday, January 15, 2007

Project Anime

Pre – entry ni sepatutnya keluar Jumaat lepas, tapi masa nak publish tu, blog buat hal.

Ketika membuka salah-satu drive yang terdapat dalam network komputer aku kat office ni, tiba-tiba aku terpandang satu folder yang diberi nama

Project Alchemy

Alchemy?

Dekat-dekat dengan bunyi Alchemist.

Tapi bila aku buka folder “Project Alchemy” tu isinya ialah tentang share, capital, business operations, equity, merger and acquisition dan lain-lain dalam format powerpoint.

Tak ada kena-mengena dengan ..ahem... FullMetal Alchemist, kalau itu yang melayang di fikiranku. Ingat tak aku pernah mention pasal siri anime ini beberapa bulan yang lepas

I want to : watch anime Fullmetal Alchemist (pinjam dari kawan, thanks GAIA!) tapi belum ada masa terluang.

Untuk pengetahuan anda siri tersebut bakal dimainkan TV3, bermula esok pukul 6 petang (kalau tak ada pertukaran jadual). Walaupun menurut kawan aku, ia sepatutnya lebih sesuai disiarkan waktu malam. Contohnya macam siri Blood Trinity di ntv7 yang ke udara pukul 12.45 malam setiap Rabu - Jumaat. Manakala TV3 juga ada tayangkan anime waktu malam iaitu Bleach, setiap Ahad pukul 11.

Nampaknya kalau anda tak ada channel Animax pun tak apa.


Post - petang Sabtu lepas aku pun tengok ler kat tv3. Rupa-rupanya anime ni dubbed in BM. Bunyinya agak aneh dengan dialog-dialog yang boleh menyinggung ketenteraman bagi yang tengok tanpa usul-periksa. Berbeza dengan dvd yang aku pinjam, ia dalam BJ (bahasa Jepun) jadi tak adalah rasa hairan ke haper.

Poster from: http://tn3-1.deviantart.com

Monday, January 08, 2007

Eye on Kuala Lumpur

Bermulanya Tahun Melawat Malaysia. 2007 diisytiharkan sebagai tahun melancong ke negara ini manakala Sabtu lepas baru dirasmikan oleh PM. Teringin juga rasa nak naik gondola Eye On Malaysia tapi tunggu dululah. Awal-awal ni masih ramai berpusu-pusu nak duduk terkurung dalam benda tu sambil melengkapkan satu pusingan. Bayaran yang dikenakan agak mahal untuk mereka yang miskin, RM15 harga dewasa, kanak-kanak RM8.

Aku try cari dalam mana-mana online jurnal kalau-kalau ada yang dah naik dan letak gambar dalam blog mereka, tapi tak jumpa. Walaupun ”Ferris Wheel“ ini bukan idea yang asli sebab tiru London Eye tapi nampak menghidupkan lagi kawasan Tasik Titiwangsa.

Bila aku fikir pasal benda Eye ni (aku ni suka berfikir), ia hanya menarik kalau anda ialah pelancong asing atau orang luar dari KL, kalau penduduk KL sendiri, tentu dah bosan tengok pemandangan kotaraya ni. Melainkan anda naik sebab nak ambil gambar dan paparkan dalam blog atau sesaja temankan orang kampung yang teringin nak rasa berada dalam tu, tujuan lain adalah tak begitu berfaedah.

Jika anda ialah orang KL yang tetap nak naik juga Eye on Malaysia tapi dah bosan tengok alam persekitaran KL ni, ada 10 perkara yang boleh anda buat tatkala berada dalam gondola tersebut.

1. Bawa novel atau majalah dan baca.

2. Bersembang dengan strangers dalam tu atau jika bersama kengkawan, berborak sesama sendiri

3. Kalau bawa kamera dan tak mahu ambil gambar pemandangan luar, ambil gambar diri sendiri.

4. Dengar muzik

5. Buat lawak bodoh dengan cakap kat penumpang lain yang anda klaustrofobik dan ingin terjun dari situ (atau lawak lain seperti anda rasa yang roda gergasi itu tak stabil dan akan tumbang dll)

6. Tidur

7. Main game

8. Siapkan homework/assigment dalam tu (rajin tahap tak logik...)

9. Kalau anda jual MLM atau jual insurans atau jual ubat tenaga batin ke, boleh la promote produk anda kepada penumpang lain dalam tu

10. Buat-buat tengok jam sambil buat muka bosan merungut dengan diri sendiri “Bilalah nak sampai ni...” (macam naik bas pulak!)


Gambar daripada www.lensamalaysia.com

Wednesday, December 27, 2006

Anda-lah, Person of the Year


Kali ni, anda semualah yang di pilih sebagai “Person of the Year“ oleh Time sebagai satu tradisi tahunan yang di pakai oleh majalah tersebut. Biasanya ada seorang (atau beberapa) tokoh atau insan tertentu yang signifikan untuk dinobatkan dengan gelaran terbabit tetapi kali ini tiada sebarang manusia secara spesifik yang di pilih. Ini boleh di panggil gimik atau publisiti stunt supaya masyarakat melabur untuk memilikinya, tetapi Time ada alasan mereka.

Siapakah anda?

Menurut majalah tersebut “Anda“ merupakan kita semua – anda, Ya, anda yang sedang membaca benda yang aku taip ini – internet user secara amnya – janganlah hipokrit dengan tidak mahu mengakuinya pula. Kalau bukan guna internet, macam mana korang, eh.. korang pulak ... anda... nak baca blog aku ni.

Ya, itulah “Anda” secara lebih terperinci yang dimaksudkan oleh Time. Mereka yang berkecimpung dalam arena weblog, penulisnya dan pembaca online jurnal yang berkarya sama ada memaparkan isu-isu tertentu atau sekadar berkongsi maklumat harian. Selain itu mereka yang bergiat dalam myspace atau friendster untuk menambah sahabat atau cuma mempromosi diri sendiri atau mereka yang hanya melayarinya juga sama-sama menyandang gelaran ini.

Jadi inilah masanya untuk kita merasa dihargai dan dipedulikan oleh sebuah media cetak berpengaruh dan bertaraf antarabangsa bahawa peranan media kecil-kecilan seperti blog dan lain-lain itu turut mendatangkan impak. Sekarang bukan lagi zaman yang maklumat cuma terhad dalam bentuk naskhah tertentu dan hanya orang tertentu yang boleh menyampaikannya. Kita pun boleh buat juga – kita semua – anda dan saya.

Selamat Hari Raya Haji dan Selamat Tahun Baru 2007.

Wednesday, December 20, 2006

Sinema Sembilan

Inilah dia sembilan buah filem yang aku suka seperti yang dijanjikan semalam. Serta ada penerangan sikit tentang filem tu dalam satu dua ayat atau pun kurang.

Tajuk: Frailty
Tahun: 2001
Pengarah: Bill Paxton
Pelakon: Bill Paxton, Matthew McConaughey, Matt O’Leary
Nota: Bapa anda bukanlah seperti apa yang anda sangkakan – dia rupa-rupanya adalah pesuruh tuhan dengan implikasi yang menyebabkan konflik dan memusnahkan jiwa.


Stranger Than Fiction
2006
Marc Forster
Will Ferrell, Maggie Gylenhaal, Dustin Hoffman
Kalau anda rasa suara narrator dalam sesebuah filem itu hanyalah mengganggu, inilah filemnya. Mungkin bukan setakat anda yang rasa macam tu, tetapi watak utamanya sekali!


Adaptation
2002
Spike Jonze
Nicolas Cage, Meryl Streep, Chris Cooper
Kisah yang berbaur antara benar dan rekaan yang sangat mengujakan tentang seorang karyawan Hollywood dalam proses untuk mengangkat isi kandungan dalam sebuah buku bagi difilemkan.


Limbo
1999
John Sayles
David Strathairn, Mary Elizabeth Mastrantonio, Kris Kristofferson
Berlokasi di Alaska, dengan tiga watak utama – seorang lelaki bersama pasangan ibu dan anak perempuan yang secara tidak sengaja terjebak dalam satu sindiket jenayah.


A History of Violence
2005
David Cronenberg
Viggo Mortensen, Maria Bello, Ed Harris
Sebuah keluarga tampak sempurna di sebuah sub-bandar rupa-rupanya ketua keluarga itu ada sejarah silam yang patut digeruni ekoran liputan media yang meluas apabila dia bertindak sebagai hero menyelamatkan kedainya tatkala di ancam penjahat pada suatu malam.


Ed Wood
1994
Tim Burton
Johnny Depp, Sarah Jessica Parker, Martin Landau
Filem ni walaupun bukan bertema sedih, tapi aku rasa sayu menontonnya. Walau pun begitu aku salute dengan si Ed Wood ini yang tetap optimistik dan gigih berusaha walaupun hasilnya tetap macam s*al!...haha…


Can’t Hardly Wait
1998
Harry Elfont and Deborah Kaplan
Seth Green, Jennifer Love Hewitt, Ethan Embry
Cerita budak-budak dah habis sekolah pergi ber-party dengan agenda masing-masing. Teen flick dengan problem, karektor, misi dan klik mereka sendiri di samping lagu-lagu yang memberi kesan.


The Talented Mr. Ripley
1999
Anthony Minghella
Matt Damon, Gwyneth Paltrow, Jude Law
Kerana sehelai jaket telah menimbulkan salah-sangka dan ia tidak pula diperbetulkan awal-awal. Lalu segalanya menjadi bobrok kerana dia tidak mahu menjadi dirinya lagi kerana dia memang berbakat dari segi itu.


Babel
2006
Alejandro González Iñárritu
Brad Pitt, Cate Blancett,
Selepas Amores Perros dan 21 Grams, pengarahnya masih memisahkan kepingan-kepingan cerita yang kita ingatkan tiada sangkaut-paut dan pertalian kini melangkau jarak semakin jauh dari benua ke benua seolah semua tempat tiada batas geografi, seolah segala estetika dapat di kongsi menjadi satu.

Tuesday, December 19, 2006

Filem Di 9

Kalau kat MTV ada MTV Screen dan Channel [V] ada The Ticket, di tv9 pula kita ada Filem di 9! Yeaaa…! (walaupun aku tak faham konsep rancangan ini, dia main campur-campur – ada filem lama, ada filem baru. Kalau dua rancangan terawal aku sebut tadi ia lebih nak promosikan filem-filem baru di panggung tetapi Filem di 9 tidak berorientasikan begitu.) Baru kali kedua aku tengok program ni malam tadi.

Pengacaranya bernama Tazneem dan seperti biasa ia di isi dengan segmen-segmen. Antaranya seperti – Aura, ia lebih untuk recap filem-filem yang pernah bermain di pawagam. Contohnya malam ni dengan Sikit Punya Gila (most memorable scene yang Yusni Jaafar tegur Hamid Gurkha malam-malam masa tengkuknya pakai neck brace tu keluar suara jantan). Satu lagi filem animasi Polar Express (mungkin pasal Krismas dah dekat).

Aku dah tengok kedua-dua filem terbabit. Sikit Punya Gila memang gila punya kelakar dengan kritikan sosial terhadap hidup bujang dara dan teruna di kota besar seperti Kuala Lumpur. Polar Express memang “membawa” penganut ciliknya secara fizikal meneroka fantasi kutub seperti yang perayaan mereka dogmakan.

Segmen lain seperti Sinema 9 dengan selebriti jemputan memilih 5 filem yang mereka gemari, interview bersama pelakon dengan artis yang ditemubual malam tadi ialah Maya Karin manakala minggu lepas ialah Eman Manan. Akhir sekali penonton di bawa ke segmen Akan Datang untuk previu filem yang bakal berputar di bioskop menerusi dua trailer iaitu Tentang Bulan dan Sinking of Japan.

Aku tertarik dengan ruangan Sinema 9 yang semalam menampilkan Raja Farah untuk memilih lima buah wayang kesukaan beliau. Setiap minggu seorang artis akan berkongsi dengan penonton berkenaan filem-filem yang mendapat tempat di hati mereka. Filem yang Raja gemari ialah Harry Potter, Pontianak Harum Sundal Malam, Ali Setan, Little Man dan LoTR.

Tak tahu ler pulak apasal dia hadkan pada lima jer padahal tajuk segmen tu Sinema 9. Patutnya biarlah selebriti tu pilih sampai 9 filem, tapi takut tak cukup masa agaknya sebab rancangan ni setengah jam saja.

Apa kata aku pun buat macam tu? So, inilah dia 5 buah filem yang aku suka (secara tidak teratur, tak kira baru atau lama, tak kira aku pernah mention dalam blog ni atau pun tidak) berdasarkan tahun, sutradara, pelakon-pelakon utama serta sedikit sinopsis.

Ermmm... tak jadilah pilih 5. Aku pilih 9 filem. Esok aku buat.

Filem di 9 disiarkan setiap Isnin, 10.30 malam di tv9.

Friday, December 15, 2006

Pergilah Daftar, Nanti Terputus Talian

Lupakan untuk menjadi anonimositi kerana selepas ini mereka boleh mengenal siapa kamu apabila semua nombor-nombor pra-bayar telah di daftar. Untuk memiliki telefon mudah alih ini pun saya sebenarnya agak keberatan, ini, mereka suruh daftarkan nombornya pula. Saya buat tak tahu saja.

Untuk makluman kamu semua, saya telah mendapat mesej di bawah pada akhir bulan November yang lalu daripada pembekal telco saya. Sebelum saya memadamkannya saya telah sempat menyalin kerana saya tahu ia mungkin berguna suatu hari nanti.

Hotlink
Terima kasih krn tlh mendaftar no prabayar anda.Jgn lupa mengingatkan keluarga & rakan2 anda utk daftar no mereka sblm 15 Dis 06 utk elak no mereka disekat
Sender:
Hotlink
Sent:
Akhir-Nov-2006
00:00:00

Sebenarnya saya tidak pernah mendaftarkan nombor telefon pra-bayar saya dan saya tidak bercadang pun untuk membuat demikian. Mungkin keluarga saya di kampung yang tolong daftarkan. Walaupun ikut peraturan kena tunjukkan kad pengenalan semasa melakukan proses tersebut tapi saya rasa tak perlu tunjuk IC pun boleh daftar juga (macam yang housemate saya buat). Tapi saya belum tanya dengan keluarga saya untuk memastikan hal ini.

Bagi memuaskan hati sendiri saya telah menaip mesej REG dan hantar ke 22555 untuk betul-betul jelas bahawa nombor selular saya telah didaftarkan.

Memang benar!

Ia telah didaftarkan.

Lalu saya tidak lagi hidup dalam ketakutan dan trauma apabila menerima panggilan daripada nombor-nombor yang tidak saya kenali kerana saya tahu nombor-nombor itu juga telah pun dapat dipastikan siapakah pemiliknya. Maka saya boleh meneruskan hidup saya dengan puas dan selesa.

Thursday, December 14, 2006

Gembirakah Penguin


Kalau anda sudah menyaksikan Happy Feet, anda tentu tahu ceritanya bagaimana. Dalam The Star Selasa lepas menyiarkan rencana yang di petik daripada National Geographic, setakat mana Happy Feet menepati fakta di dalam memilemkan kisah burung penguin tersebut. Aku cuba buat terjemahan sikit atas apa yang aku faham menurut artikel itu.

1) Petualang yang membuat onar dalam Happy Feet ialah kita semua, manusia. Ancaman seperti penangkapan ikan secara berlebihan, tumpahan minyak, pencerobohan wilayah, global warming turut menjejaskan system kehidupan penguin di kutub selatan.

2) Penguin baka Emperor membiak/mengeram ketika musim sejuk yang melampau seperti digambarkan dalam filem kartun itu. Malah dalam dokumentari March of the Penguin juga merakamkan fenomena ini.

3) Ikan-ikan di perairan Antartika yang menjadi sumber makanan penguin terutama gen Emperor memang sudah berkurangan kerana faktor tangkapan komersil. Tetapi bagi penguin jenis King yang makan ikan lantern, mereka tidak tergugat kerana ikan lantern atau myctophids bukan hasil perikanan ekonomikal yang menjadi buruan nelayan.

4) Dalam Happy Feet, burung yang tidak boleh terbang ini digambarkan takut pada manusia. Sedangkan in real life, penguin tidak ambil pusing pun dengan kehadiran kita dalam kelompok mereka. Tetapi itu bukan bermakna yang mereka mengalu-alukan kita sepenuhnya kerana mereka juga boleh menjadi stress dan monyok dengan kita beramai-ramai datang untuk menengok mereka di habitat semulajadi.


Untuk membaca rencana berkenaan selengkapnya sila klik sini.

Wednesday, December 13, 2006

Apocalypswich

Ramai wanita di kawasan Ipswich di sini merasa ketakutan dengan kejadian pembunuhan bersiri terhadap pekerja seks yang bergiat di tempat mereka. Ramai yang merasakan bahawa walaupun setakat ini ia hanya melibatkan wanita yang berkecimpung dalam lapangan itu, tetapi impaknya turut dirasai oleh mereka yang lain. Bukanlah bermakna kerjaya ini direstui ramai tetapi apa yang menimpa pelacur itu lebih menyayat hati dan patut di bela.

Mungkin pihak media yang agak berat sebelah kerana menonjolkan tajuk “Pelacur“ itu daripada menggunakan terminologi lebih umum seperti “Beberapa Wanita Di Bunuh“ menjadi umpanan mata kerana ia kelihatan lebih sensasi dan menarik minat.

Sedangkan penampilan wanita yang menyandang gelaran ini di layar lebar juga menjadi kontroversi, macam tak ada pilihan karier lain – apatah lagi dalam dunia nyata, ia memang menjadi polemik dalam masyarakat. Hentikan dulu persoalan mengapa mereka menjalani hidup begitu, yang penting bagaimana kita ingin timbulkan simpati terhadap mangsa tanpa mengeluarkan kata-kata “Padan muka?“ Lihat, wanita juga yang menjadi sasaran sedangkan pembunuh yang masih berkeliaran tidak dipersalahkan atas jenayahnya. Sekurang-kurangnya belum lagi.

Sama ada ia berlaku di Ipswich atau Amsterdam atau Rio de Jeneiro atau Jalan Alor ia masih satu aktiviti yang diklasifikasikan sebagai jenayah. Oleh kerana mangsanya itu adalah seorang pekerja seks, ia menimbulkan dilema pada sesetengah anggota masyarakat bagaimana untuk memberi justifikasi mereka. Kalau mengikut dasar perikemanusian ramai yang dengan mudah akan menyebelahi nasib malang pelacur-pelacur itu yang di bunuh dan dijumpai dalam keadaan tanpa seurat benang.

Sebab itulah juga satu berita terbaru yang di terima, mana-mana pekerja seks yang belum menjadi mangsa telah menerima sumbangan wang dari pihak polis dan pengedar dadah supaya berehat dari menjual diri buat sementara. Pada saat-saat yang pembunuh berkenaan masih belum dapat di berkas adalah lebih baik ke semua pelacur di Ipswich duduk di rumah atau mencari kerja lain yang lebih selamat jika bantuan kewangan itu tidak mencukupi. Tetapi ia menerbitkan pula persoalan lain di benak penulis.

Benarkah modus-operandi pembunuh tersebut hanya melibatkan pelacur? Bagaimana kalau mangsa selepas ini adalah wanita yang berkerjaya lain daripada pelacur atau bukan wanita sama sekali tetapi lelaki?

Sama-sama kita tunggu.
;
;
;
Err... maksud penulis, sama-samalah kita menunggu pembunuh terbabit di tangkap oleh pihak berkuasa.

Friday, December 08, 2006

Pencari Cinta

Ketika Pierre Andre membuka tingkap pejabatnya (yang mula-mula aku ingat itu adalah rumahnya) tiba-tiba setompok najis burung terpalit atas papan billboard Mingguan Sensasi di luar daun tingkap. Mingguan Sensasi adalah nama akhbar tempat di mana dia bekerja. Kebetulan pula aku di dalam mood bercakap tentang suratkhabar tabloid. Selepas Buletin Rakyat, kali ini aku membaca Warta Mingguan Perdana.

Pengisiannya jauh berbeza daripada Buletin Rakyat tadi. Ia penuh dengan berita yang digempar-gemparkan berbaur kontroversi. Contohnya pada muka hadapan keluaran yang sedang aku tatap ini. Ia tentang seorang penyanyi lelaki popular yang sedang mencari ketenangan di sebuah pulau yang nama pulau peranginan tersebut bermula dengan huruf M (ok, ini akhbar tabloid – tentulah ini menjadi isu buat mereka). Manakala seorang perempuan lain yang pernah mempunyai kaitan hidup dengannya pergi bercuti di pulau lain yang namanya bermula dengan huruf B.

Satu blurb kecil pada muka hadapan itu juga memuatkan pengakuan seorang artis wanita yang kini hangat digosipkan dengan penyanyi yang bercuti di Pulau M tadi bahawa dia bersedia untuk berlakikan penyanyi itu. Ok lah tu, berita-berita macam tu untuk menambahkan input berborak kosong.

Di Mingguan Sensasi pula, selain Pierre ada dua pekerja lain yang bertugas mengejar scoop sebagai sumber tulisan mereka. Suatu hari mereka terserempak dengan Eizlan Yusof seorang eligible bachelor berjalan berpimpin tangan dengan seorang awek cun Fasha Sandha. Ini memang sensasi (sesuai dengan nama company) untuk front-page. Jadi peluang begini mereka tidak lepaskan untuk merakam. Tentulah jadi tajuk utama akhbar mereka itu dan ia mendapat liputan susulan ketika pemberita tadi mewawancara Eizlan dalam satu sidang media yang lain.

Jika tadi adalah akhbar olok-olok untuk prop dalam filem Cinta, tabloid yang betul aku baca ini memang penuh dengan cerita ringan santai sensasi begitu. Tidak lupa juga ia padat dengan rencana tentang seks! Penuh dengan kisah dalam kelambu dan iklan-iklan berkaitan alat kelamin. Tak adalah aku nak komplen apa, cuma too much sex is …err.. too much? Selain berita dan info yang trivial tadi adalah iklan-iklan personal yang kecil tetapi praktikal yang memuatkan berbagai produk dan perkhidmatan untuk dipasarkan. Tapi aku tak perasan pula ada ke tidak iklan orang mencari orang.

Kerana Sharifah Amani telah berjumpa dengan Pierre untuk mengiklankan dalam suratkhabar itu bahawa dia sedang mencari orang bernama Khalif. Walaupun secara peribadi aku skeptikal dengan tindakan mencari orang secara iklaneka begini tetapi ia berhasil. Ada banyak respon dan maklum balas yang mereka terima ekoran ramai yang prihatin di atas iklan yang tersiar dalam akhbar terbabit. Salah seorang Khalif yang ada prospek sebagai Khalif seperti yang di cari Sharifah ialah seorang pekerja kontrak (mungkin Bangla) yang sedang bekerja di satu construction site.

Imej yang timbul dari pertemuan itu adalah sillouette yang cantik pada kelir dengan percikan api dan batu-bata dan keluli yang masih dalam kerangka seolah selain dari ingin membina bangunan ada satu struktur lain yang mereka ingin bina di situ. Ada satu lagi mercu tanda yang tidak siap dalam filem Cinta apabila Rita Rudaini mengambil keputusan untuk berpisah dengan Rashidi Ishak kerana cintanya bubar lalu Rashidi tidak sanggup menyiapkan mahligai itu kerana ia tidak melambangkan apa-apa lagi.

Cinta sudah memulakan tapaknya, mendirikan tiang-tiang, menyusun batu-bata untuk menyiapkan sebuah kisah yang dekat dan boleh di terima oleh kita semua. Seperti Sharifah yang mencari Khalif, walau siapa pun dia – walau ada Pierre di depan mata, kita masih akan terus mencari sebuah cerita yang boleh membuat kita merasa puas dengannya. Mungkin ia telah pun ada atau mungkin kita tak jumpa atau kita tidak sedar bahawa selama ini sesuatu yang ringan, yang santai dan yang sensasi itu jugalah yang menjadi sumber pelepas rasa bersalah kita.

Nampaknya kita tidak perlu mencari jauh kerana persekitaran ini, manusianya serta imej-imej yang bernyawa mahu pun yang kaku adalah pencerita yang tulen dan mampu membuahkan ilham. Kita semua pencari cinta dan kita akan berusaha mendapatnya. Kerana kalau kita nak, mesti ada cara kan...?

Tuesday, December 05, 2006

Arus Tabloid

Selain paper arus perdana aku suka juga baca akhbar tabloid. Last week aku baca Buletin Rakyat keluaran 18 Nov 2006. Konsep suratkhabar sama macam Watan, Siasah dan lain-lain, penuh dengan berita politik dan analisis isu semasa. Ruangan lain seperti pojok, wawancara, rencana dan penulis tamu yang kebanyakannya memberi input seputar hal-ehwal tanahair.

Salah seorang penulis jemputan untuk akhbar ini ialah S.H. Alattas atau lebih dikenali dengan Pak Syeikh mengisi kolum di beri nama Macam-Macam Ada (macam tagline Astro). Tak silap aku, ada banyak juga suratkhabar tabloid yang mengambil Pak Syeikh untuk menulis di dalam paper mereka. Untuk Buletin Rakyat ini, pada keluaran tersebut beliau menulis artikel bertajuk Irama dan Lagu, Melayu dan Sungai, Laut dan Pantai. Bunyi macam sebahagian lirik lagu P. Ramlee.

Mula-mula aku baca rasa macam tak nak habiskan, tiba-tiba sampai pada satu perenggan yang berbunyi,

Jangan berhenti baca setakat ini saja. Nabi suruh sampaikan hatta sepotong ayat. Kebenaran itu pahit. Baca pakai akal, jangan ikut emosi. Belajar dari cerita Singapura di langgar todak. Jangan bunuh orang Melayu yang cerdik, pandai dan berani. Janganlah pula kita simpan yang pandai tapi jenis yang hanya mementingkan perut dan tembolok sendiri sahaja.

Baca mesti habis, jangan separuh-separuh. Kalau baca separuh-separuh maka yang dapat pun separuh-separuh juga. ’Half truth’ boleh mengakibatkan fitnah. Bila dapat separuh nanti budak-budak cakap: “Dia tu separuh. Tapi kalau tiga suku lagilah teruk. Jadi mestilah bacanya habis. Lainlah pula kalau kita pergi Negeri Sembilan. Ada kawan-kawan di sana bercerita masuk suku. Ini pun kurang seronok juga. Masuk Islam tidak bolehlah masuk separuh-separuh, suku-suku atau tiga suku dan sebagainya. Dah masuk tak boleh keluar, kalau keluar maknanya murtad”.


Panjang juga rencana tersebut. Keseluruhan artikel yang dibentangkan oleh Pak Syeikh ialah tentang senario politik tempatan yang turut berkait dengan dunia Islam antarabangsa. Cara beliau menulis juga menarik, ada eloquent yang tersendiri.

Ada satu hal yang aku tak tahu bahawa Ghandi seorang negarawan India ulung, akan mengulang baca sejarah Nabi Muhammad (S.A.W) walaupun telah tamat membacanya selain daripada membaca kitab Baghavad Gita dan al-Quran.

Tuesday, November 28, 2006

Kebaya Expatriate

Memang diakui bahawa jalan cerita The Red Kebaya ini mudah di jangka. Tapi itu mungkin bukan tujuan asal pembikinnya untuk menimbulkan perasaan suspen pada penonton. Atau barangkali mereka ingin supaya kita dapat menyelami kesepian dan keterasingan dunia seorang jurugambar? Tetapi itu juga seakan tidak sampai perasaan yang cuba di memek dan hayati oleh pemeran. Mungkin sepatutnya filem ini tentang baju kebaya yang misteri yang boleh mencetuskan petaka pada pemiliknya? Sesiapa yang memakai maka mautlah padahnya.

Tidak.

Tidak ada tulah pada baju tersebut malah kebaya berwarna merah itu tidak mendapat coverage yang sewajarnya dalam sebuah kisah yang mengambilnya sebagai judul. Rasanya itulah yang melencongkan niat asal filem ini daripada memberi homage untuk sejenis pakaian tradisi yang membentuk figura, yang molek dan menggiurkan kepada transisi seorang lelaki yang digambarkan syahdu dan berseorangan dalam meneruskan karier sebagai perakam peristiwa. Jika boleh memilih, aku akan stick untuk mengikuti perjalanan hidup sepasang kebaya yang warnanya saja seakan memberi amaran.

Bukan setakat Vanida Imran lebih sedap di tonton daripada Ramli Hassan tetapi zaman 50-an di mana kebanyakan shoot latarnya bermain lebih meninggalkan impak dan sepatutnya di teroka isi dan pengambangan watak agar penonton boleh terkesan dengan jerit payah Azizah mencari rezeki di kelab joget di samping terjebak cinta Mr. Reynolds orang putih expatriate. Unsur komunis itu juga menarik sebagai bahan cerita kerana di sini ia telah di beri plot yang baik bahawa lelaki Azizah yang Melayu itu lari ke hutan untuk berjuang bersama komunis tetapi ia cuma setakat itu saja selain muncul dalam halusinasi Mr. Reynolds.

Selain daripada Divinia, isteri orang putih itu yang sangat sakit hati dengan Azizah, penari-penari joget lain yang juga cemburu masih boleh di beri susulan supaya Azizah di lihat benar-benar wajar dimusuhi. Ini sebagai efek lebih meruntun jiwa penonton. Ataupun penulis skrip boleh memasukkan watak suaminya yang komunis itu tiba-tiba muncul kembali lalu turut berdendam dengan kehidupan yang dimiliki wanita itu sekarang. Tidakkah itu akan lebih menguatkan konflik di samping pandai-pandailah letakkan baju kebaya merah tersebut di mana-mana sebagai signifikasi.

Tidak dinafikan bahawa gerak kerja kamera The Red Kebaya sangat baik malah ia adalah faktor yang membuatkan aku menonton filem ini. Kalau boleh di buat jalan cerita yang kuat dan berkesan maka itu lebih baik lagi. Tetapi Vanida memang berjiwa sebagai ibu tunggal yang cekal dan lembut di samping dialog Bob Mercer sebagai Mr. Reynolds bertutur dalam Bahasa Melayu menjadi humor yang tidak disengajakan.

Monday, November 27, 2006

Jan/Tina

Pagi semalam aku menonton stesyen Channel News Asia, ada sebuah program bertajuk 20/20 sedang ke udara. Topik yang di bawa ketika itu ialah tentang buku bertajuk “Self-Made Man“ serta temuramah dengan pengarangnya Norah Vincent. Beliau bercerita tentang pengalaman yang dilalui untuk menghasilkan buku tersebut.

Norah cuba menjalani hidup sebagai seorang lelaki selama 18 bulan sebagai eksperimen untuk memahami dan mengkaji gender yang berlawanan sebagai bahan bukunya. Tapi tidaklah sampai kena buat surgeri tukar jantina atau ambil ubat-ubatan mengubah hormon secara melampau. Proses itu dilakukannya melalui penyamaran berbentuk fizikal dengan kosmetik dan gesture. Macam filem She’s the Man. Atau Transamerica. (Tapi Transamerica lagi kompleks sebab itu dari perempuan tulen kena berlakon jadi mak nyah yang dalam proses nak jadi wanita sejati).


Transformasi ini bukanlah menjadi rumit buat Norah kerana beliau sendiri adalah seorang lesbian. Cuba lihat cover buku berkenaan. Norah setelah make-over menjadi lelaki adalah mirip dengan Robert Downey Jr.! Mungkin mereka ada related di mana-mana.


Robert Downey Jr. pula pernah berlakon sebagai gay dalam filem A Wonder Boy walaupun tak perlu disguise sebagai wanita. Tapi kita tahu sekarang kalau beliau teringin untuk berpenampilan feminine, macam mana rupanya. Atau mungkin tidak. Kerana Norah sendiri walaupun memang dirinya adalah wanita namun tidak begitu jelas berketrampilan sebagai wanita kerana beliau adalah tomboy. Terlebih testosterone agaknya.

Bercakap tentang Robert lagi, kalau beliau ingin menjadi perempuan, namanya tentulah bertukar sebagai Roberta. Dalam satu aksi prank rancangan “When A Hidden Camera Attack”, terdapat sketsa yang ingin mengenakan dua orang lelaki kononnya mereka telah memenangi hadiah sebuah kereta sport daripada satu company. Tetapi staff di situ memberitahu bahawa director company terbabit inginkan seorang wanita yang memenangi kereta itu.

Namun itu semua boleh di urus kerana menurut staff tadi, lelaki berkenaan boleh menyamar sebagai perempuan kerana boss dia tu blur sikit. Mesti dia tak dapat bezakan antara perempuan yang tulen atau yang palsu. Pokoknya, sanggupkah kedua-dua lelaki tersebut mengubah penampilan mereka jadi perempuan demi untuk memenangi kereta sport? Sejauh mana mereka boleh bertahan sebelum terjerumus ke dalam godaan ini?

Tentu saja mereka lemah untuk menahan nafsu daripada terjebak dalam memenuhi tuntutan materialistik. Salah seorang lelaki yang terpedaya tadi bernama Robert semasa aksi penyamaran berlaku telah menukar namanya jadi Roberta. Kelakar juga melihat aksi “Roberta” itu yang bersungguh-sungguh ketika berlagak sebagai wanita.

Tuesday, November 21, 2006

Perjudian Bond


Ini reviu dari bukan peminat filem-filem James Bond. Pertama sekali sebab aku tak suka dengan imej perisik yang terlalu kemas dan suave sepanjang masa. Aku juga tak suka dengan gajet-gajet dan perkakasan yang tak masuk akal yang Mr. Bond ni guna untuk membantu siasatannya. Satu lagi ialah, dia mesti akan berjaya dalam misinya pada akhir cerita, spoiler or not. Jadi baik aku tak payah tengok.

(Walaupun tak tengok aku tahu jugak sikit-sikit filem Bond ni macam mana. Tak adalah ignorance sangat. Aku tahu trademark nama yang dia sebutkan tu and the theme song)

Tapi aku telah menonton Casino Royale. Pujian untuk karyawan James Bond kali ini kerana memberi pendekatan realistik untuk persona seorang hero yang sebelum ini terlalu menjaga penampilan dan tidak berpijak di bumi nyata. Ok, dalam Casino Royale ada satu adegan yang tidak berpijak di bumi nyata, apabila Bond mengejar penjahat di atas kren. Permulaan filem ini memang hebat dan aku harap momentum begini akan berterusan sehingga penamat.

Mungkin ada yang telah mengetahuinya, kejar-mengejar di antara Bond dengan mangsanya pada awal filem ini di panggil “parkour“ semasa mereka berada di Madagascar. Kalau kita perhatikan penjahat yang dikejar tu berlari, melantun dan memanjat dengan kemas dan lincah sambil mengelak sebarang halangan di tengah jalan. Cuba tengok Bond yang mengejar di belakang pula. Habis tunggang-langgang, berterabur segala benda yang mengganggu masa dia nak berlari tu. Semacam ia adalah amaran bahawa apa-apa perkara yang bikin kacau akan dimusnahkannya.

Filem ini jadi bosan sikit semasa aktiviti poker berlangsung sebab aku tak faham cara-cara main daun terup ni. Tapi kesunyian permainan menjadi hidup semasa time break. Tetapi “hidup“ menjadi understatement untuk orang-orang di sekeliling Bond apabila nyawa mereka bila-bila masa boleh melayang sehingga di saat penamat filem. Nak tunggu “The End“ itu pun terasa lama kerana filem ini durasinya adalah filem James Bond yang terpanjang pernah dihasilkan.

Walaupun lama, aku rasa watak Solange tidak diberi screen time yang sewajarnya kerana mungkin telah dipendekkan oleh lembaga penapis kita. Aku fikir sebab mereka ingin memberi taraf U maka perkara tersebut tidak dapat dielakkan walaupun aku terpinga dengan beberapa adegan ganas seperti torture scene itu boleh lepas dengan selesa. Bukannya aku tak boleh terima tetapi untuk certain peringkat umur ia mungkin menjadi keterlaluan.

Casino Royale setaraf dengan filem-filem aksi lasak yang lazimnya. Tapi kerana ia filem tentang perisik yang di bawah satu franchise yang sama dengannya maka kita cenderung untuk membandingkannya sesama sendiri saja. Cuma kali ini ia muncul dengan garapan yang lebih mantap dan lebih berjiwa generasi baru. Barulah yang bukan peminat pun akan bersetuju supaya James Bond masih mampu berfungsi secara relevan.

Untuk review lebih komprehensif, sila baca eddvedder.

Friday, November 17, 2006

Riang Ria di Hari Raya

Dia tak ingat pula hari itu ialah hari raya ke dua atau ke tiga. Apa yang dia pasti musim itu ialah hari raya. Pada hari raya yang dimaksudkan, pagi-pagi lagi dia telah ke pantai. Dia tidak tahu kenapa dia ke situ. Sebelum ini dia tidak pernah turun ke pantai semasa hari raya. Pagi-pagi buta pula tu.

Hanya dia seorang saja ketika itu. Tiada manusia lain.

Berlari-lari di pesisiran pantai.

Dari hujung ke hujung.

Bermain air laut.

Dari gigi air ke tengah.

Biar basah.

Biar basah semuanya.

Dia belum mandi pagi itu. Pagi hari raya. Dia bangun dan belum mandi dan pergi ke pantai. Air laut menyimbah ke seluruh badan. Badan basah. Baru dia ingat kenapa dia turun ke laut semasa pagi hari raya. Kerana tidak ada orang. Kerana dia boleh mandi laut seorang diri.

Tidak ada sesiapa di situ.

Kerana tidak ada sesiapa yang akan pergi ke pantai tatkala hari raya. Sekurang-kurangnya pada pagi raya ke dua atau ke tiga.

Tidak ada orang akan memandang.

Jadi dia tidak perlu rasa aib.

Rasa rikuh.

Terasa malu-malu.

Kerana berseorangan di pantai adalah perkara asing.

Terasa dipulaukan.

Tiba-tiba dia ternampak ada orang datang. Dia ingin lari menyorok tapi tak sempat. Dia membiarkan orang itu menghala. Walau hati rasa kecewa.

Rupa-rupanya itu bapanya. Bapa datang dengan dua orang adik-beradiknya.

Walaupun dia rasa kebersendiriannya telah tergugat tetapi dia tak boleh buat apa-apa. Kerana pantai ini bukan miliknya. Sesiapa saja boleh datang bermain air. Mandi laut. Berlari-lari atas pasir yang berdesir.

Tambahan pula itu ialah bapanya. Dan adik-beradiknya. Dia tak boleh marah ahli keluarga sendiri. Kerana dia baru saja minta ampun dan maaf daripada mereka pada pagi 1 Syawal. Mereka pun ingin mandi laut juga. Walaupun pada pagi hari raya. Walaupun itu bukan perkara wirit yang mereka lakukan sebelum ini.

Bapa, dia dan adik-beradiknya menyerbu ke arah air. Mereka berenang. Meluru ke tengah, ke laut luas yang tidak di duga. Melihat ombak berlumba-lumba menuju ke pantai secara dinamik. Badan di lambung tetapi mereka cuba mengelak. Namun lencun juga.

Menjerit gembira dengan cara yang sebenar. Kerana itulah tujuan bapa dan adik-beradiknya ke sini. Dia pergi ke hujung sebelah sana. Batu-batu besar tercokol tegap kukuh seakan perisai. Kakinya memanjat hati-hati batu berlumut, licin dan sejuk tetapi selamat untuk sampai ke puncak.

Bapanya tidak memanjat sama. Sebaliknya berenang lambat-lambat menyusur tebing sembari mengawas. Adik-beradiknya mengikut dari belakang mengira batu-batu tersergam. Dia melangkah teliti kerana rentan tergelincir. Dia ingin melihat apa yang ada di sebalik pantai sana.

Pantai di sebalik batu-batu bagak.

Batu yang menyembunyikan.

Sesuatu yang dilindungi akan menjadi syak.

Sebenarnya mereka mungkin bukan ingin mandi laut. Atau bermain ombak. Atau memanjat batu. Mungkin bapa dan adik-beradiknya datang ke sini mencarinya. Dia tak ingat sama ada dia ada memberitahu mereka sebelum keluar tadi.

Apabila langit semakin meninggi, mereka sekeluarga meninggalkan pantai. Kerana cuaca tidak mengizinkan. Kerana hari itu masih hari raya. Mereka sepatutnya berada di rumah menyambut tetamu. Atau pergi berziarah ke rumah saudara atau tetangga.

Bukannya mandi-manda di pantai. Jejak-jejak pantai mereka tinggalkan. Matahari semakin terik memancar. Mereka tidak mahu di selar ultra lembayung.