Monday, October 30, 2006

Terima Kasih yang Dikaburi Asap


Setiap perkara selalunya ada pro dan kotra. Tetapi dalam benda alah rokok ni aku rasa memang tak ada pro-nya langsung. Even kepada petani yang menanam tembakau sekalipun. Tapi kalau dah namanya penghisap rokok, tetap ada saja excuse yang mereka bagi untuk membolehkan mereka melepaskan kecanduan mereka. Itu bagi yang merokok, bagaimana pula dengan mereka yang bekerja dengan syarikat rokok? Bagaimana untuk menimbulkan perasaan “Nak!” kepada syarikat yang mengeluarkan sebuah produk yang diberi kempen “Tak Nak!” oleh kerajaan?

Di sinilah Nick Naylor (Aaron Eckhart) akan mengambil alih. Tugas beliau ialah melobi bagi pihak syarikat tembakau kepada orang ramai, kerajaan dan badan NGO supaya menerima tembakau dan hasil-hasil tembakau sebagai satu komoditi serta menjelaskan, mempromosi dan mendidik masyarakat umumnya tentang rokok. Tugas yang sangat susah dan mencabar bagi Encik Naylor kita tetapi beliau tidak berseorangan dalam hal ini. Beliau berkongsi gejala ini bersama dua lagi gengnya, Polly Bailey (Maria Bello) yang menjadi jurucakap pengusaha minuman keras dan Bobby Jay Bliss (David Koechner) seorang pelobi senjata api.

Berbanding dengan dua “dagangan maut” (melalui dialog yang smart dan kelakar dituturkan karektor) tadi, rokok adalah penyumbang kematian yang utama. Jadi asasnya tentulah kerja Naylor yang paling menekan dan mendesak untuk dia memberikan justifikasinya kenapa semua orang perlu merokok atau memberi peluang untuk berkenalan dengan rokok manalah tahu mereka tertarik. Malah tambah membebankannya lagi apabila dia perlu menjadi role-model kepada anaknya Joey (Cameron Bright) sedangkan bidang kerjanya tidak menampakkan begitu.

Ini adalah satira terbaik yang seboleh mungkin cuba untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi sebagai insan biasa aku akan pro kepada Senator Ortolan K. Finistirre (William H. Macy) yang memang anti merokok. Beliau cuba mendapatkan petisyen supaya syarikat rokok membubuh grafik tengkorak pada produknya agar mesej lebih jelas dapat disampaikan bahawa merokok adalah membunuh. Tetapi Naylor ada saja hujah dan alasannya yang masuk akal untuk menolak saranan tersebut. Begitu juga ketika dalam rancangan talk show malah dalam kelas anaknya sendiri, beliau memang bijak berkata-kata.

Bak kata pepatah orang putih, action speaks louder than word. Ada berlaku insiden yang menjadi turning point dalam hidupnya. Eckhart memang sangat bersahaja dan selamba dalam mempamerkan eksperesi muka “tidak bersalahnya” sebagai pelobi tembakau sedangkan kita tahu ada banyak yang salah pada rokok. Kadang-kadang dengan memek muka begitu rasa kasihan pun ada kerana beliau terpaksa menepis serangan kiri dan kanan dalam menegakkan keadilan bagi pengusaha rokok. Malah dengan karenah orang atasan syarikatnya sendiri serta keluarganya, Naylor atau pun Eckhart adalah sangat cemerlang di sini.

Menonton Thank You For Smoking tidak akan membuat anda bersegera ke kedai dan membeli satu pek hari ini. Setidak-tidaknya kita tahu setiap kerja yang seseorang itu buat ada alasan atau matlamat yang mereka ingin capai. Sama ada anda dapat menerimanya atau anda tetap ingin menyebelahi sesiapa, ia adalah hak anda sebagai manusia.

Trivia: Apabila anda tekan butang play, keluar asap hitam menyelubungi seluruh screen seolah asap rokok. Clever!

Monday, October 16, 2006

Kontang Daripada Kopi

Bila aku menyentuh pasal aku ingin mengurangkan pengambilan kafeina semasa berbuka, aku cuma tidak minum nescafe atau kopi saja. Sebaliknya aku masih minum teh. Aku memang tak mampu untuk langsung menolak minuman yang mengandungi kafeina ini kerana aku mudah terasa lesu dan mengantuk pada siang hari. Di tambah dengan air-cond yang dingin membeku ni, lagilah buat aku rasa nak tertidur.

Cara yang mudah untuk mendapat juga bahan kafeina ini dalam kuantiti yang sederhana ialah apabila berbuka, minum juga secawan (atau segelas) teh buat merangsang saraf yang letih dan tidak bermaya.

Semalam dalam sisipan Kesihatan Mingguan Malaysia ada artikel bertajuk “Elakkan Kontang di Bulan Ramadan“. Secara asasnya rencana itu mengajar umat Islam yang berpuasa tentang cara-cara menggantikan air dalam tubuh serta mengekalkan kelembapan setelah seharian menahan dahaga. Selain itu ia juga memberi panduan cara-cara pemakanan sihat dan berkualiti bagi memberi rasa kenyang dari masa berbuka sehingga waktu bersahur.

Apa yang menarik dalam artikel tersebut ialah risiko kepada orang yang berpuasa jika mengambil minuman berkafeina terlalu banyak tatkala berbuka.

Pakar runding diet itu menegah kita daripada mengambil minuman yang mengandungi kafeina seperti kola, kopi atau teh kerana ia bersifat diuretik (menambahkan volum air kencing) dan boleh menyebabkan penyahhidratan. Ini memang biasa berlaku pada aku sendiri apabila banyak minum nescafe selalu rasa nak buang air jer. Beliau juga mengesyorkan supaya kita kurangkan pengambilannya secara beransur-ansur, tiga hingga lima hari sebelum Ramadan.

Oh, aku pulak berhenti minum kopi secara on the spot masa first day of Ramadan. Pengurangan kafeina secara tiba-tiba boleh menyebabkan seseorang diserang sakit kepala, perubahan mood mendadak dan bengkeng, menurut beliau. Aku pulak terasa diri aku terlebih letih dan lesu semasa berpuasa ni. Yang lain-lain tak ada kecuali kadang-kala ada macam sakit kepala sikit-sikit.

Adalah penting bagi seseorang itu untuk mengekalkan tahap kelembapan tubuhnya dengan meminum pelbagai jenis cecair dari saat berbuka puasa sehinggalah bersahur. Minumlah pelbagai jenis cecair seperti air, jus buah-buahan, minuman isotonik dan susu bagi mengelakkan kebosanan atau mengalami ‘fatig tunas rasa’ disebabkan oleh jenis cecair yang sama sepanjang masa, tambah beliau lagi.

Pertama kali aku dengar terma “fatig tunas rasa” ni. Aku pula banyakkan minum air mineral dan jus buah-buahan semasa berbuka. Namun masih tidak dapat menandingi air nescafe atau kopi yang dicampur susu dengan perisa yang manis dan segar seperti hari-hari biasa yang aku menikmatinya.

Thursday, October 12, 2006

Meme - About Me, Me and Only Me!

Masa tengah blog hopping tadi ternampak pula meme seperti di bawah. Dalam pada malas nak mengup-date tu aku buat meme saja.

I am thinking about :buka puasa karang nak beli lauk apa, kuih apa, atau berbuka kat luar ke.

I said :kurangkan bercakap perkara sia-sia di bulan puasa ini

I want to :watch anime Fullmetal Alchemist (pinjam dari kawan, thanks GAIA!) tapi belum ada masa terluang

I wish :dapat berada di tempat yang hangat sikit, sejuk sangat dalam office ni.

I regret :tidak ada apa yang perlu dikesalkan lagi

I hear :bunyi kontraktor tengah renovate office

I am :a procrastinating person

I dance :last year masa annual dinner

I sing :bukan sing, just humming lagu-lagu raya.

I cry :masa baca novel The Kite Runner

I am not :too enthusiastic to update this blog dalam bulan puasa

I am :trying to reduce caffeine intake

I write :an entry tapi tak siapkan

I confuse :sekarang ni rasa nak makan macam-macam, tapi bila dekat nak berbuka tak terasa nak makan, rasa macam nak tidur pulak

I need :to be more focus in everything

I tag :sesiapa saja yang sudi buat

Monday, October 09, 2006

Berbuka Dalam Jerebu

Alhamdulillah petang ni hujan. Boleh memansuhkan sikit debu-debu jerebu yang mengaburi pandangan mata. Aku ingatkan dah berakhir musim jerebu. Tahun ini rupa-rupanya ia datang lambat dan bertepatan dalam bulan puasa. Tahun lepas sekitar dalam bulan Ogos (aku ada mencatatnya) ia melanda KL dan kebanyakan wilayah di semenanjung dan Malaysia Timur.

Tapi syukurlah tahun ni nampaknya tidak seteruk tahun lepas. Yang aku pulak dah tahu suasana sedang berjerebu masa tu, sanggup lagi buka puasa di ruang terbuka. Aku buka puasa di Manhattan Fish Market minggu lepas cawangannya di Ampang Park. Sudahlah di tepi jalan raya campur dengan jerebu lagi bertambah berdebu gamaknya ikan grill aku masa tu.

Nasib baik kali ni ia telah memasang bidai jadi terhalanglah sikit kesibukan jalan Ampang yang tetap macet walaupun telah masuk waktu berbuka. Dulu masa first time datang sini bahagian luar restoran ni di biarkan terbuka begitu saja. Kalau ada kereta atau motor yang tengah berhenti sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau, bolehlah menjeling ke arah pelanggan yang tengah asyik menjamu selera.

Manhattan Fish Market menawarkan set berbuka puasa yang terdiri dari satu hidangan utama, soup of the day (sup tomato berempah), air sirap bandung selasih, kurma dan kalau nak order dessert dia bagi half price. Aku ambik ikan dory grill dengan nasi. Sedap. Malah sup tomato yang masam tu pun boleh jadi sedap kalau makan waktu berbuka.

Ruang makan terbuka atau alfresco yang terdapat pada sesebuah restoran atau cafe sebenarnya dikhaskan untuk golongan yang merokok. Kenapa seseorang yang tidak menghisap rokok macam aku sanggup juga duduk di bahagian tersebut? Dan kenapa pada musim jerebu begini golongan perokok masih juga ingin menambahkan asap dalam atmosfera kita? Masih tidak cukup berdebu atau berhabukkah ruang udara kita sekarang?

Harap-harapnya musim jerebu kali ini tidak akan berpanjangan dan ia tidak bertukar menjadi lebih mudarat.

Monday, October 02, 2006

Perjalanan; Yang di Cari Atau di Tuju

Inilah filem yang sangat memberi inspirasi. Dua anak muda yang bosan, seorang kerja di bengkel manakala lagi seorang cuma tahu bercita-cita walaupun nampak mustahil tapi jika kena caranya dia boleh mencapainya juga. Mereka tidak mahu terus terperangkap dalam dunia kekampungan mereka. Mereka ingin keluar dari situ dan ada satu destinasi yang ingin mereka tujui. Dengan sebuah volvo vintage mereka memulakan perjalanan dari Jemapoh ke Manchestee.

Yadi yang memujuk Mafiz, pekerja bengkel itu supaya “meminjam“ kereta tersebut barang dalam dua tiga minggu untuk ke Manchester (tapi di sebut sebagai Manchestee – malah agak annoying mendengar sebutan Manchestee itu di ulang-ulang sampai aku terfikir tak ada sesiapa ke yang nak membetulkan sebutan Yadi ni? Nasib baik ada. Perempuan yang dia selamatkan semasa di bar itu. Walaupun Mafiz sendiri menyebut Manchestee, kadang-kadang terdengar macam dia sebut Manchester, ada R kat hujung) ... err... kat mana kita tadi?!

Ok, kereta volvo tadi. Mafiz sepatutnya menghantar balik kepada tuan Haji Ramli kerana dah siap baiki. Tapi terpengaruh dengan plan yang baik punya dari Yadi maka dia singgah ke rumah, kemas kain baju lalu memulakan pengembaran mereka. Memanglah nampak tak logik macam tu naik kereta jer nak ke Manchester, diorang ni tak belajar geografi ke? (macam tu jugak soalan dari minah yang mereka selamatkan tadi – Mila namanya. Mila ni ada rasionalitinya dalam menangani dua mamat blur-blur yang berlagak pandai ni. Seorang lagi si Singaporean Lini, pun lebih bijak walaupun dialognya kiasu sikit asyik menyebut “cool” tak habis-habis).

Alamak, penuh dengan ayat in-bracket pulak.

Dari mana datangnya “penumpang tambahan” Mila dan Lini itu? Untuk memberikan point yang realistik dalam road movie ini serta menyedarkan penonton bahawa kisah ini adalah bukan fantasy, (serta menyedarkan dua mamat macam pandai itu supaya berpijak di bumi nyata) sebagai pemberi tunjuk ajar bahawa bercita-cita lalu berusaha itu semua akan menjadi sia-sia jika tidak mengikut birokrasi/undang-undang/protokol/logik akal dan segalanya. Walaupun kewujudan Mila dan Lini yang seakan tiba-tiba serta macam tidak dijelaskan bagaimana mereka ke situ (bar di mana Mila mula-mula discovered serta gig underground tempat Lini perform tetapi menjadi huru-hara lalu Lini menyorok dalam bonet volvo) agaknya akan melambatkan lagi perjalanan filem.

Rasanya filem ini adalah personal account pembikinnya Hishamuddin Rais yang kontroversi dalam arus politik tanahair. Paling akhir aku baca kisah beliau dalam majalah ialah tentang cerita keluar masuk penjara beliau dalam Chrome. Ya, cerita tentang penjara ini saja sudah cukup sebagai bahan yang menarik untuk difilemkan. Bukanlah aku maksudkan Dari Jemapoh ke Manchestee tidak cukup menarik tetapi keseluruhan filem agak slow jadi kita kena betul-betul memasang minat untuk mengikuti sehingga habis. Walaupun ini vcd original tetapi kualiti gambarnya terutama adegan di waktu malam amatlah gelap...err... maksud aku amatlah tidak memuaskan.

Satu aspek yang penting dalam filem ini ialah muzik latarnya yang mengingatkan kita bahawa latarbelakang dan situasi yang mereka alami bukanlah pada zaman sekarang sebaliknya pada tahun 70-an. Dengan lagu Harapan Hampa, lagu-lagu The Beatles, Hari ini dan Semalam (nyanyian J. Mizan), Dendang Remaja (A. Romzie), radio transistor, kereta antik meyakinkan sebagai props untuk menggambarkan dekad tersebut. Jadi kita boleh terima kenaifan dua sahabat tadi yang berasal dari kampung serta tidak terdedah dengan dunia luar. Tetapi dalam masa yang sama ada lagu-lagu alternatif dari kumpulan underground seperti Koffin Kanser, The Republic of Brickfields dan lain-lain sebagai kontras.

Cuma aku rasa seronok dengan idea filem ini, merantau ke tempat orang. Yadi ingin ke Manchester untuk bertemu pasukan bola kegemarannya manakala Mafiz kerana ingin mencari ayahnya seorang kelasi yang telah lama menghilang di Liverpool. Malah seorang anggota polis yang mereka temui di tengah jalan juga turut merestui perjalanan tersebut. Sebenarnya cerita ini bukanlah menitik-beratkan sangat destinasi yang mereka ingin tuju itu tetapi perca-perca pengalaman yang mereka tempuhi sepanjang perjalanan itu yang lebih penting. (Ini ayat untuk menyedapkan diri sebab aku rasa macam nak lempang diri sendiri bila melihat endingnya yang simbolik sangat...haha....)

Friday, September 22, 2006

Thursday, September 21, 2006

Mengulas Atau Tidak

Anda ada banyak beli atau tonton filem (di panggung / dvd) tapi tidak semuanya anda tulis dalam blog anda kan? Kenapa sesetengah filem itu anda tergerak untuk review manakala sesetengah yang lain anda tidak berhasrat untuk menonjolkannya?

1. Tak ada idea nak tulis apa

2. Ada idea nak review tapi tiba-tiba masa nak menyusun ayat-ayat dia jadi blank pulak

3. Dah ada yang ulas pasal filem tu dan idea anda sama dengan dia

4. Belum masanya anda menulis tentang filem tersebut, anda kena tunggu right timing

5. Memang tak ada masa nak tulis, tup-tup anda telah pun menonton filem yang lain

6. Malas nak berkongsi pasal ke”menarik”an filem tu dengan sesiapa

7. Ada sesetengah filem yang di panggil chick flick atau pop-corn movie tak payah review pun tak apa tapi ada jugak anda buat misalnya Just My Luck atau Snakes on the Plane sebab ada benda yang nak di tulis mengenainya

8. Anda takut akan mengecilkan hati pembikin/peminat filem berkenaan jika review yang dibuat agak mengguris kerana anda tidak sukakannya

9. Tunggu sajalah kalau-kalau ada blogger lain nak review, anda baca saja nanti. Kalau tak ada pun tak apa

Monday, September 18, 2006

Commercial Free/Break

Hari Sabtu lepas semasa aku di Johor sempat menonton siaran TCS Channel 5. Pada pukul 10.30 ia menyiarkan slot Saturday Movie House dengan filem yang mengisi tirai malam itu ialah The Family Man lakonan Nicholas Cage dan Téa Leoni. Filem itu mungkin tak ada yang istimewa tetapi ketika opening credit terpampang satu banner pada sudut kiri atas skrin bertulis Commercial Free.

Nampaknya filem ini akan disiarkan terus-menerus tanpa di celah oleh iklan-iklan. Sanggupkah kita bertahan terpaku depan kaca tv selama dua jam (lebih kurang) semata-mata untuk menghabiskan satu tayangan gambar? Benarkah iklan begitu menyusahkan?


Aku pernah ingat dulu ada sekali syarikat rokok Benson and Hedges (tak silap aku) mengadakan gimik begini dengan menaja sebuah filem di tv tempatan tanpa sebarang iklan. Filem tersebut ialah Dances with Wolves lakonan Kevin Costner malah beberapa hari sebelum itu telah di beri promosi besar-besaran kerana inilah kali pertama sebuah tayangan filem disiarkan tanpa gangguan dari sebarang iklan.

Semua orang tertunggu-tunggu di depan tv masing-masing pada hari yang dijanjikan kerana tidak sabar untuk menonton sebuah filem yang disiarkan secara sekaligus tanpa ada apa-apa iklan komersial mencacatkan durasinya. Biasanya pengalaman begini hanya boleh diperolehi apabila menonton di panggung wayang saja. Berapalah agaknya kos yang dihabiskan sebagai promosi oleh syarikat terbabit.


Begitu juga ketika mula-mula stesyen tv kabel di beri lesen untuk beroperasi iaitu Mega TV kita dijanjikan hiburan secara mutlak dengan tidak perlu ada iklan muncul di antaranya. Selepas itu Astro pula bersaing dengan menawarkan insentif serupa tetapi nampaknya lama-lama ia menjadi sama dengan stsyen tv terrestrial yang lain, penuh dengan iklan-iklan setiap 15 minit rancangan ke udara.

Kita hargai strategi pemasaran yang diaplikasi dengan menayangkan filem sepenuhnya tanpa iklan-iklan yang tak ada kena-mengena membuat kacau. Namun lupakan tentang berapa pulangan material yang dapat di pungut oleh organisasi berkenaan daripada promosi atau khidmat begini kerana kita ingin tahu berapa ramai yang mampu berjaga duduk secara tertib di depan tv tanpa ada hasrat untuk berganjak sekejap lebih-lebih lagi apabila berada di rumah sendiri.

Nanti kalau tinggalkan kejap cerita ni, miss pulak scene yang menarik. Bukan macam tengok dvd yang ada butang pause jadi kita boleh pause kan sebentar. Siapakah antara kita yang ada disiplin begitu?

Sebab itulah aku lebih suka jika filem atau drama atau sebarang rancangan tv dihiasi dengan beraneka jenis iklan. Kalau aku betul-betul suka ingin menonton sesebuah filem atau siri tv mengikut keselesaan sendiri aku akan dapatkan dvdnya. Kerana aku memang payah nak concentrate satu tayangan in one shot. Ada saja benda nak kena buat tapi dalam masa yang sama tak mahu terlepas apa-apa babak di dalam filem tersebut. Jadi bila sampai commercial break, bolehlah aku buat kerja-kerja yang tertangguh tadi.


Sekiranya commercial break itu benar-benar diperlukan. apakah agaknya yang anda lakukan semasa itu?

1. Pergi bilik air

2. Masuk dapur - buat air/ambik jajan/basuh tangan lepas makan

3. Balas/kirim sms

4. Buat call

5. Baca suratkhabar/majalah

6. Sambung buat assignment/latihan sekolah/kerja pejabat

7. Tidur kejap

8. Berborak dengan ahli keluarga/housemates

9. Tak buat apa-apa duduk saja tengok iklan

Friday, September 15, 2006

Scoop Secara London

Ada sebuah filem Melayu bertajuk Scoop diterbitkan dalam tahun 90-an dulu. Ianya berkisarkan dunia wartawan mengejar berita. Tahun ini pun ada sebuah filem Inggeris memakai judul Scoop. Sudah tentu ia bukan remake dari filem Melayu tadi. Tetapi kerana perkataan “scoop” itu ia masih melibatkan journalist ingin memburu bahan untuk dijadikan isu. Maka bersedialah untuk menerima sumber berita dari dimensi yang tidak di sangka-sangka.

Ini adalah koloborasi ke-dua Woody Allen dengan Scarlett Johansson selepas Match Point. Jika Match Point aku terkejut walaupun lega dengan penamat yang sedemikian rupa lalu dalam Scoop pada awal-awal lagi Woody telah menghamburkan kita dengan idea beliau yang eksentrik dan di luar logika. Ianya bukanlah tak bagus malah kelakar metah serta membuatkan kita tidak boleh berfikir bagaimanakah semua ini akan berakhir. Aku ingatkan kemunculan beliau adalah cameo sebagai ahli silap mata bernama Sidney Waterman semata-mata tapi memang salah-satu watak penting di sini.

Woody nampaknya begitu tertarik dengan kehidupan di UK serta nilai-nilai British amnya. Jika dibandingkan dengan filem sebelum ini kita masih ditemukan dengan golongan aristokrat, keadaan kota dan desa, budaya, tata susila serta struktur mereka sebagai ilham ceritanya. Kali ini semua itu dijadikan parody berbanding ketika Match Point yang lebih serius. Sesekali terasa bagaikan menonton episod dalam drama penyiasatan 80-an, Murder She Wrote pula atau sekarang ni macam siri Midsomer Murders di saluran Hallmark. Cuma dipersembahkan dalam bentuk jenaka.

Filem ini mengisahkan Sondra Pransky (lakonan Scarlet) seorang pelajar jurusan kewartawanan menerima maklumat bahawa seorang lelaki kaya, Peter Lyman (Hugh Jackman) merupakan seorang pembunuh. Justeru dia berpakat dengan Sidney untuk menyiasat kerana dia boleh mengasah nalurinya menghidu berita di samping menegakkan keadilan. Bagai di jangka dia terjatuh cinta pula dengan Peter lantas mengenepikan niatnya untuk membongkar perihal lelaki tersebut walaupun Sidney berusaha membantu walhal pada mulanya ahli silap mata tadi agak keberatan.

Kalau berdasarkan sinopsis ringkas tersebut mungkin ia tak ada apa-apa tapi percayalah ia sebenarnya agak absurd. Di tambah dengan lakonan yang bersungguh-sungguh serta baris-baris dialog yang lawak maka kita akan bersetuju saja dengan Woody Allen. Ini sebuah filem ringan yang ada komedi dan fantasi tetapi ia tidak cuba merendahkan intelek sesiapa.

Wednesday, September 13, 2006

{mental}

Ada seorang budak yang tak suka matematik. Suatu hari dia beli dvd filem bertajuk Proof. Dia tak tahu pun filem tu tentang apa. Rupa-rupanya filem tu tentang matematik! Macam mana nak tengok filem tentang perkara yang dia tak suka? Sebab dah beli - tengok jer lah, nanti rugi lak.

Bila check dekat imdb, Proof adalah loosely based on Prof. John Nash, seorang mathematician yang tersohor sehingga sebuah filem berdasarkan hidupnya telah di bikin iaitu A Beautiful Mind. Jadi kenapa perlu ada sebuah lagi filem tentangnya? Proof bukanlah seratus-peratus merangkumi keseluruhan hidup professor berkenaan sebaliknya ia lebih menumpukan pada anak perempuan beliau, Catherine. Ia hanya mengaitkan dalam nisbah yang kecil pertalian antara mereka berdua.

Tetapi di sini watak tokoh tersebut telah di beri nama Robert seorang berjawatan yang sama serta menderita penyakit yang serupa. Cuma ini adalah kisah pasca kematiannya kerana dalam beberapa minit terawal kita di beritahu bahawa lelaki tua yang Catherine bercakap itu rupa-rupanya telah pulang ke alam barzakh. Lalu di sepanjang filem beliau muncul secara flashback atau halusinasi untuk berbual, bertukar-tukar pendapat malah bertekak dengan anaknya mengenai topik kegemaran mereka, matematik.

Siapakah yang lebih gila antara mereka? Kalau anda masih ingat dengan A Beautiful Mind (err... sebenarnya aku tak tengok pun cerita tu) Prof. John Nash ini mengidap schizophrenia. Jadi kebarangkalian untuk Catherine turut mewarisi jangkitan ini adalah 50-50. Walaupun dia ada seorang lagi kakak, tapi dia rasa dia lebih layak untuk menghidapinya kerana persamaan linear yang dia miliki dengan ayahnya iaitu kedua-duanya adalah pakar matematik. Anak-beranak + matematik = gila?

Secara asasnya semua ini adalah usaha mereka untuk membuktikan satu formula yang sah. Ada beberapa babak yang dialog mereka berselang-seli dengan terminolgi ilmu hisab, tetapi ianya tidaklah sampai anda kena buka buku kalkulus lalu membuat latihannya (tapi boleh juga kalau nak cuba). Malah filem ini memang terlalu banyak dialog dan bersembang-sembang.

Tidak hairanlah kerana Proof adalah adaptasi dari pementasan karya David Auburn. Sama juga macam filem The 24th Day, The Woodsman atau siri mini Angels in America yang di angkat dari drama pentas, aku dapat rasakan bahawa kekuatan skrip serta lakonan yang mantap adalah nadi untuk filem jenis ini. Lepas tu aku selalu bayangkan sendiri bagaimanakah props atau kesinambungan versi pentasnya pula setelah menyaksikan visual serta set untuk versi filem. Cuma aku tertanya-tanya apakah kriteria yang mereka pilih sebelum memutuskan satu-satu teater itu layak atau berbaloi untuk difilemkan.

Subjek seperti matematik adalah boring sebagai sumber hiburan. Malah Catherine sendiri memperlekehkan Hal seorang bekas anak murid bapanya yang bermain muzik di waktu lapang. Matematik + muzik = disaster. (ada satu babak yang boleh buat kita terpinga-pinga masa band ni adakan persembahan yang di panggil i di rumah Catherine). Rumusannya, {proof}≠ Ω

Monday, September 11, 2006

Pesawat yang Tidak Sempat


Walaupun aku masih in denial bahawa dalang utama kejadian Sept-11 adalah orang Islam Arab tetapi teringin juga menonton dramatization salah-satu tragedi yang berkait dengannya. Pesawat United Airlines 93 yang turut di rampas pada pagi tersebut tidak berjaya menjunam ke sasaran. Sebaliknya ia terhempas di sebuah padang di tepi hutan. Apakah yang berlaku dalam kabin sebelum pesawat malang itu menemui takdirnya, inilah yang ingin filem itu khabarkan.

Selain filem berjudul United 93 ini, terdapat sebuah dokumentari bertajuk The Flight That Fought Back disiarkan malam tadi di Discovery Channel yang juga menampilkan kisah yang sama. Sebab aku tak tengok sangat dokumentari berkenaan jadi aku tak dapat bandingkan di antara ia dan versi filem.

Tetapi biar aku bagi sedikit puji-pujian tentang filem ini kerana cara ia di proses tidak melebih-lebih. Walaupun tempias itu terasa semasa orang Arab tadi memulakan aksi rampasan mereka manakala penumpang-penumpang yang lain semua bukan Islam jadi ia tetap menjatuhkan maruah agama. Pada masa yang sama walaupun mereka digambarkan ingin berjihad, mereka tidak over-reacting – berbaur antara fahaman, manusiawi, gentar atau pasrah – penghayatan yang di beri adalah realistik.

Begitu juga dengan penumpang dan krew yang menjadi mangsa. Semuanya nampak semulajadi, ekspresi dan tindakan yang di dalam kawalan. Semuanya berkongsi dalam satu acuan yang sama, tidak ada yang ingin terlebih hero atau terlebih emosi dari yang lain. Mungkin itulah rasionalnya pengarah memilih para pelakon bukan bertaraf star untuk membintangi filem ini. Supaya kita boleh nampak segala yang mentah dari mereka dan lebih mendekati.

Kalau anda perasan yang adegan di kediaman keluarga mangsa yang di hubungi, mesti ada bayi atau kanak-kanak di rumah tersebut atau paling tidak pun sambil menelefon, ahli keluarga tadi akan menjenguk keluar tingkap untuk melihat kanak-kanak di luar rumah. Apakah maknanya ini? Mungkin pada tahun 2001 penduduk Amerika di landa wabak “baby-boom“. Sebab itulah di setiap isi rumah ada budak-budak. Siaplah lepas tu mereka “boom“ pula orang Arab yang disyaki sebagai pengganas.

Satu lagi aspek yang penting untuk kita ketahui ialah tindakan pihak berkuasa setelah menerima maklumat bahawa terdapat sebuah lagi kapal terbang dalam bahaya yang masih berlegar di udara. Sekadar spekulasi, tak tahulah sama ada ia terjunam kerana pergelutan di dalam kokpit atau di tembak oleh pesawat pejuang. Kalau ianya perkara ke-dua ini adalah bagus untuk kes X-Files. Sedangkan keseluruhan peristiwa 9-11 ini masih di perdebatkan serta di dakwa berselit konspirasi.

Friday, September 08, 2006

Senaskhah Catatan Duka

Bukanlah aku telah membeli buku tersebut (please refer balik dua entry terdahulu) tetapi suatu hari bila aku sampai ke rumah terlihat buku itu terdampar di atas lantai. (Tetapi jangan salah anggap yang aku bersikap sinikal kepada sesiapa yang membelinya). Hey, walaupun aku tak beli tapi aku baca juga, tau?

Aku baca hampir keseluruhan mukasurat. Mungkin ada satu-dua part yang aku skip.

Ianya satu penceritaan yang melankolia. Gaya bahasa yang lahir dari hati dan orang yang membacanya boleh meresap ke dalam jiwa apa yang si gadis alami. Tetapi walaupun kelihatan merana, dalam masa yang sama dia masih dapat mengawal perjalanan situasi hidupnya supaya tidak nampak terlalu meratapi atau kehilangan punca.

Lihatlah hasilnya sekarang. Si gadis tadi seakan berlawan-lawan dengan bekas tunang untuk meraih populariti. Mungkin anda semua berpendapat yang dia lebih baik duduk diam-diam tanpa pedulikan orang yang ingin tahu her side of story. Tapi dia ada explain dalam buku tu kenapa dia perlu lahirkan buku begini.

Bukan hanya untuk memberitahu kisah di pihak dirinya tetapi juga dia telah malas ingin menjawab soalan-soalan serupa yang kerap-kali diajukan padanya. Kira-kiranya ini adalah sebagai once and for all.

Bagi aku ini ialah buku kedua yang agak sedih aku baca untuk tahun ini selepas buku The Curious Incident of the Dog in the Night-time.

Wednesday, September 06, 2006

Menghuni di Mortuary

Memang aku tak tahu apa-apa langsung pasal filem ni, main beli saja tiket lepas tu masuk panggung dan tonton. Ada baiknya anda tidak payah sibuk nak baca review dulu atau tunggu pendapat orang lain sebaliknya pergi dengan fikiran kosong kerana manalah tahu ceritanya mampu menghiburkan anda. Memang itu yang aku rasakan. It was one hell of fun horror movie!

Okeylah, aku mengaku yang aku sikit terpengaruh dengan iklan kecil pasal filem ni dalam suratkhabar yang meletakkan nama Tobe Hooper dalam promosinya. Dari pengarah yang menghasilkan The Texas Chainsaw Massacre (yang asal) maka ia seakan menjanjikan sesuatu. Malah dalam adegan pembukaannya yang menampilkan bilik mengawet mayat macam siri Six Feet Under sudah menyeronokkan.

Mungkin kita ingat balu yang bernama Leslie Doyle mengheret bersama dua anaknya Jonathan dan Jamie untuk memulakan hidup baru di sebuah rumah jenazah yang telah usang adalah bangang. Di sebuah pekan kecil yang sepi pula dan di tepi perkuburan lama! Kalau itu semua bukan plot yang boleh meremangkan bulu roma aku tak tahu nak cakap apa lagi.

Lupa nak bagitahu, rumah yang mereka duduki itu pula ada sejarah silam yang menakutkan tentang seorang penghuninya, Bobby Fowler yang hilang secara misteri tetapi penduduk di situ mendakwa dia sebenarnya masih hidup dan melakukan aktiviti mistik waktu malam. Untuk menyeramkan lagi ada sejenis kulat yang menyedut darah-darah yang menitis tanpa sesiapa pun di situ menyedari malah semakin hari semakin merebak.

Kalau anda pernah tengok Cabin Fever, jalan ceritanya juga melibatkan jangkitan pada seseorang lalu mengakibatkan huru-hara. Tapi pada adegan akhir filem ini mengingatkan aku pada babak klimaks filem Silent Hill cuma bezanya Silent Hill adalah kawat duri besi yang berceracak memburu mangsa manakala Mortuary menyimbolkan pada fungus yang seperti akar berselirat ingin memakan korban. Kalau anda sukakan siri-siri filem yang tajuknya ada “ … of the Dead”, tunggu hasil yang terjadi setelah seseorang itu dijangkiti kulat.

Sebenarnya ada satu scene yang membuatkan aku rasa simpati dengan Bobby (itu lah hantunya seperti mitos penduduk pekan tersebut) yang cuba untuk menjadi kawan dengan Jamie kerana dia sebenarnya cacat sejak kecil dan disisihkan. Tetapi Jamie mengumpannya dengan gula-gula lalu lari menyelamatkan diri. Kalaulah Jamie tahu hantu itu hanya mahu teman-berteman tentu dia akan duduk saja disebelahnya!

Menonton Mortuary terasa kembali ke zaman 70-an dan 80-an dengan perisa seram yang tidak cuba untuk menjadi bijak dengan plot yang tidak di beri kewajaran. Inilah yang kebanyakan darpada kita mahu kerana kita hanya rasa teruja untuk ditakut-takutkan.

Tuesday, September 05, 2006

Post-Merdeka Pain Killer

Doktor telah prescribe kan aku dengan pil-pil berbagai jenis - pil demam, pil phlegm, antibiotic dan pain killer. Aku tak pernah menelan pain killer sebelum ni (seingat akulah) so aku ada develope semacam apprehensive terhadap pil begini.

Bagaimanakah tubuhku akan respond terhadap pain killer? Mengikut cakap doktor, pain killer ini akan meredakan sakit kepala yang menimpaku. Sakit kepala ini bukan disebabkan migraine tetapi terhantuk sesuatu dan akibatnya kepalaku benjol dan sakit. Menurut aturan yang tertulis pada sarung ubat, aku kena menelannya 2 biji selama 3 kali sehari.

Manakala pada pernyataan [Sebelum / Selepas Makan] yang tertera pada sampul juga, dibulatkan pada / Selepas Makan. Aku cuma telan pain killer tersebut sebelum tidur sekali harung dengan pil-pil yang lain.

Alhamdulillah pagi ini bila bangkit dari tidur sakit kepala semakin pulih dan bolehlah aku kembali bekerja. Oh, aku on mc semalam.

Dalam sakit-sakit begitu aku habiskan masa membaca buku tentang Catatan Duka seseorang ... haha.... nanti aku cerita lebih lanjut.

Malam merdeka tahun ini aku tidak bersesak-sesak dengan orang ramai di mana-mana dataran atau medan terbuka sebaliknya aku dan beberapa rakan makan-makan dan lepak di Bora Ombak. Tapi tak dapat tengok percikan bunga api dari sini, hanya dengar bunyi. Band yang buat performance tu pula selepas detik dua belas malam barulah kedengaran mereka nyanyikan lagu patriotik. Boleh tahan persembahan mereka.



r.i.p Steve Irwin

Tuesday, August 29, 2006

Snakes on a Plane Tak Patut Dilepaskan


Siapa saja yang bagi idea untuk buat filem ni patut kena belasah dan humban dia dalam sangkar yang penuh dengan ular beraneka genetik. Biar dia kena belit dan kena patuk! Hahaha..... filem yang bikin orang geli-geleman sampai terasa macam ada ular pulak menyusur kat bawah kaki kerusi ni. Definately a must watch.

Apa yang hendak aku cakap tentang filem ni? Tajuknya saja adalah spoiler kalau itu yang korang harap ada benda surprise lain untuk tambah terkejut. Rasanya tak ada binatang perkara yang lebih mengejutkan selain daripada tak semena-mena beratus-ratus ular berbisa merayap di sekeliling anda tatkala anda berada dalam silinder besi... kapal terbang ler tu. Macam mana nak lari dalam ruang terhad dan ular saja yang kita nampak bersepah-sepah menyusur di segenap pelusuk.

Satu benda yang penting untuk anda ketahui ialah bagaimana reptilia beracun ini boleh berada dalam kabin? Siapa yang buat angkara menyeludup mereka dan apa yang menyebabkan mereka boleh terlepas dari kurungan. Satu fakta menarik ialah penerbangan ini berlepas dari Hawaii, sebuah kepulauan yang bukan menjadi tempat ular berasal. Apa yang menarik lagi ialah anda juga dapat shot dari sudut pandangan ular sebelum ia mula menyerang mangsanya. Ini adalah B-Movie yang cuba naikkan sikit taraf B-Movienya dari yang kita ketahui.

Kalau sebuah pesawat itu di beritahu akan terhempas bila-bila masa saja dari sekarang, memang pastilah jantung kita mula berdegup kencang. Bayangkan pula sebelum terhempas tu tiba-tiba ada pulak serangan daripada ular-ular. Double kencang lah jawabnya. Jadi pasang tali pinggang keledar anda dengan kemas, duduk diam-diam dan enjoy the fright!

Monday, August 28, 2006

Di Mana Kebenaran Berbaring

Benarkah kita betul-betul obses ingin tahu selok-belok kehidupan artis? Apakah kenikmatan yang kita boleh perolehi daripadanya? Bagaimanakah kita boleh lampiaskan kepuasan itu dengan ambil-tahu setiap inci ceruk apa yang artis itu buat, pergi, singgah atau menghala? Siapakah yang paling untung di sebalik semua ini?

Karen O’Connor (lakonan Alison Lohman) ingin menulis biografi idolanya pasangan komedi tahun 90-an yang popular Vince Collins dan Lanny Morris (Colin Firth dan Kevin Bacon). Mereka di anggap sebagai heronya terutama apabila semasa kecil beliau mengidap sakit polio tetapi berjaya mendapat rawatan ekoran telethon yang diacarakan pasangan tersebut. Ada satu episod penting dalam karier duo ini pasal perpisahan mereka dari dunia showbiz secara mendadak yang masih diselimuti misteri serta tiada liputan lanjut. Tambahan pula apabila sebelum itu mayat seorang gadis di temui dalam bathtub suite mereka.

Tinggalkan dulu kenapa ada orang berminat ingin menulis kisah hidup orang lain sama ada mereka artis atau tidak atau mereka tiba-tiba saja menjadi selebriti disebabkan oleh hal-hal yang digembar-gemburkan. Indikator yang boleh kita pegang di sini ialah faktor menarik minat orang untuk mengambil tahu seterusnya membaca produk tersebut. Faktor berkenaan haruslah sensasi dan menjadi buah mulut masyarakat. Kita semua kan suka menjaga tepi kain orang lain.

Tetapi macam mana kita ingin memastikan apa yang bakal di baca itu betul-betul satu kebenaran yang ingin orang ramai tahu atau ia hanyalah publisiti sebagai bahan pelaris? Dan jika kita sanggup menulis, sejauh mana kita ingin menggali rahsia yang terpendam selama ini demi untuk menghebahkan kepada peminat? Apakah batasan moral atau material yang sanggup kita gadai atau pertaruhkan dengan membongkar skandal yang tertutup selama ini.

Itulah antara beberapa isu yang terpaksa Karen tempuhi demi untuk mendapatkan bahan-bahan yang dia perlu dalam bukunya. Perlahan-lahan dua lelaki yang selama ini di anggap wira di hatinya mula pecah tembelang siapakah mereka yang sebenar. Persona yang di tonjol atas pentas tidaklah kemilau mana cahayanya malah menyakitkan mata. Kita ditunjukkan juga bagaimana sebagai penulis Karen terpaksa memanipulasi keadaan dan menganalisis secara rinci maklumat yang diperolehi untuk mengawal situasi tertentu.

Seperti mana tajuk filemnya, Where the Truth Lies seakan memberi amaran kepada kita bahawa letak duduknya satu kebenaran adakalanya menjadi samar atau boleh jadi satu penipuan sama sekali. Jika lebih banyak lapisan yang tersingkap kadang-kadang cuma akan mengaibkan empunya badan sendiri. Malah ada baiknya kita terus melihat saja façade seperti yang mereka ingin pamerkan pada media atau memandang dari kaca mata orang biasa yang malas untuk membuang masa mengambil tahu hal-hal peribadi artis.

Wednesday, August 23, 2006

Tinggal Saja

Kamu pernah kena langgar? Atau di timpa kemalangan jalan raya? Kalau kamu pernah di langgar tentu kamu tahu bahawa pada ketika itu suasana sekitar kita bergerak terlalu perlahan, terlalu berhati-hati. Kalau kamu pernah menonton tayangan mana-mana filem, adakalanya satu-satu babak di buat dalam bentuk slow-motion supaya kita turut merasakan apa yang pelakon jiwai, supaya nampak hidup dan berpadu dalam konteks.

Macam itulah visual yang akan kamu dapat apabila kamu kena langgar. Kamu bagaikan di awang-awangan, begitu lambat dan masa seakan terhenti. Tetapi dalam sekelip mata juga suasana tiba-tiba menjadi drastik. Kamu jatuh dan tercedera lalu barulah kamu sedar yang kamu berdarah. Kamu bukannya statik dan “Stay”.

Stay adalah sebuah kisah yang sulit. Ini adalah psychological thriller yang memeningkan kepala. Ketika mula-mula kamu mengharapkan ia mesti ada twisted ending, sebenarnya ia bukan. Kita ingatkan ia tidak menurut turutan tapi ia tidaklah melangkau-langkau. Tatkala kamu rasa yang wataknya cuma bermimpi tetapi ia adalah real. Mungkin kita boleh anggap bahawa ianya separa sedar. Tetapi siapakah sebenarnya yang berhalusinasi?

Ada persamaan antara tiga watak tunjang dalam filem ini. Sam seorang psikiatrist, kekasihnya Lila adalah bekas pesakitnya yang pernah cuba membunuh diri juga seorang pelukis dan Henry seorang pelajar art yang dalam proses membunuh diri. Seni dan suicide bersatu membentuk asas filem ini seperti kebanyakan daripada kita yang tidak memahami maksud seni abstrak. Begitu juga kita tidak faham kenapa seseorang perlu membunuh dirinya.

Stay cuba melanggar semua teknik penceritaan yang konvensional. Perlahan-lahan apabila kamu sampai ke penghujungnya barulah kamu sedar di manakah kamu berada. Lalu kamu cuba mencantum semula realiti walaupun ia sesuatu yang tidak pernah kamu alami. Walaupun kamu tahu ia tak ada logika.

Monday, August 21, 2006

Lif Tanpa Cahaya

p/s: Entry bertajuk “Lif Tanpa Cahaya” tu sebenarnya adalah teaser trailer sahaja untuk entry penuh yang aku nak beritahu hari ni.

Lif yang dimaksudkan masih berjalan seperti biasa cuma lampunya saja yang tidak berfungsi. Bila pintu terbuka di ground floor, beberapa orang yang sedang menanti tergamam melihat lif yang gelap-gelita. Tapi kami semua lima orang masa tu masuk juga ke dalam sebab dah lama tunggu. Lagi pun nak takut apa, ramai orang kan.

Salah.

Mula-mula memanglah ramai. Tapi bila lepas seorang demi seorang keluar di tingkat terawal, last-last tinggal aku seorang. Cepat decide macam-mana ni, nak terus jugak naik lif sampai ke level office aku tu atau keluar bersama orang terakhir di tingkat yang dia nak pergi.

Dan orang terakhir itu ialah seorang apek yang baik hati dengan membantu menerangi ruang lif yang gelita melalui nyalaan lighter. Seorang apek yang tua memetik lighter dekat dengan mukanya lalu api turut membias raut-raut kedut wajahnya sambil mulutnya menyeringai. Masuk-masuk saja dalam lif yang tak ada lampu itu tadi orang tua tersebut terus menyalakan lighter.

Empat orang pengguna lif yang lain semuanya lega dapat berkongsi sekelumit cahaya daripada pemetik api termasuklah aku.

“Manyak gelap woo... nasib baik saya ala lighter....hehhehheehe...” ujar apek.

“Ye...ye... tengkiu....tengkiu......” balas semua yang lain dengan nada gembira.

Bila aku tengok cahaya dari panel nombor di sisi pintu lif menandakan dua lagi tingkat nombor yang masih belum padam dan masa tu tinggal aku dan apek saja dalam lif bermakna sahih lah aku orang terakhir yang akan berada di situ. Apek tersebut mesti keluar di level 4 dan aku pula akan keluar di tingkat 8.

Alamak, nak buat macam mana ni? Sanggup ke aku duduk seorang diri dalam tu sampai ke level 8? Di buatnya tak ada sesiapa yang dari tingkat 5 dan ke atas ingin ke tingkat 8, bermakna sepanjang masa itu lah aku akan bersendirian, sunyi, gelap, terkurung dan terpisah.

Dan biasanya memang tak ada orang dari tingkat-tingkat tersebut nak naik ke pejabat aku tu. Bukannya ada urusan apa pun. Walaupun bukannya lama sangat aku akan bergelap dari level 4 ke 8 namun aku rasa satu macam panik dah menyerang. Inikah yang di panggil panic attack?!

Tiba-tiba apabila lif berkenaan berhenti di tingkat 4 aku pun keluar sekali dengan si apek.

“Eh, you mukan nak pegi tingkat 8?” tanya si apek.

Aku tersengih-sengih.

“Tak jadi lah nak pergi tingkat 8, saya turun sini jer lah….hehe….”


Cerita telah diubahsuai sikit untuk menimbulkan kesan dramatik. Teaser untuk entry 17 Ogos itu sebenarnya telah diinspirasikan dari teaser trailer filem Snakes on a Plane