Friday, December 10, 2010

Haunted Changi

Filem ni lebih kurang macam “Blair Witch Project”, menurut Kekure sebelum kitorang, termasuk Gaia masuk ke panggung di MidValley. Aku memang pernah mendengar yang filem Singapura ini berkonsep dokumentari tetapi tidak sangka pula ia menceduk 100% gimik dan senario seperti produksi tersebut yang telah mencetuskan fenomena dan mengaut keuntungan di luar jangkaan. Kenapa tidak membuat konsep doku-drama yang lebih konvensional tanpa berharap pada pseudo-realiti dan propaganda untuk menarik minat? Lagipun idea sebegini sudah lapuk. Tiada sebab nak percaya testimoni yang dangkal macam tu lagi. Ia hanya tambah menjengkelkan.

Apabila melihat bangunan usang dan terbiar itu, terdetik di hatiku, kenapa pihak berkuasa mereka tidak berbuat sesuatu tentang tempat ini? Merobohkannya atau jalankan restorasi supaya ia di beri nafas baru dan boleh dimanafaatkan kembali. Bukankah mereka sangat terhad ruang dan saiz jadi setiap penjuru adalah sudut berharga. Tiba-tiba ada pula binaan kumal yang teguh berdiri jadi saksi kepada hikayat misteri tempatan yang tidak sepatutnya berlaku jika ia terus disengajakan wujud di situ.

Bagi orang luar, Changi akan lebih diingati sebagai tempat mendarat apabila masuk ke republik itu. Namun menerusi filem ini, kita ada satu lagi mercu tanda untuk mengaitkan tempat tersebut apabila ia dikatakan kawasan paling berpuaka di sana menerusi bangunan hospital lama Changi yang ditinggalkan mereput dan lusuh. Bukan lagi rahsia bagi lokasi sebegitu untuk di dakwa sebagai berhantu dan menakutkan jika sudah berzaman dibiarkan jelek dan buruk sendiri. Tapi reputasi negatif sebegitu di ambil sekumpulan anak muda di sana untuk mencabar kreativiti mereka merakam sesuatu yang telah lama menjadi buah mulut komuniti setempat sebagai produk filem.

Dan hasilnya kurang efektif kerana idea yang dikitar semula dari Blair Witch itu tadi tanpa sebarang usaha untuk cipta atau cetus semula sesuatu yang baru supaya kita boleh mendapat input yang lagi segar. Teknik yang diinspirasikan ini sangat meletihkan untuk memacu otak kita supaya menerima ini kononnya adalah kejadian sebenar dan mereka semua mangsa kepada konspirasi entiti yang menghuni bangunan terbabit. Ya, aku harap mereka semua betul-betul menderita sebagaimana yang mereka filemkan itu supaya tidak dapat menyeksa penonton lagi dengan idea lemau mereka pada masa akan datang.

Tuesday, December 07, 2010

Unstoppable

Filem ini sudah di tayang agak lama di pawagam tapi aku baru saja menontonnya. Lagipun kawan aku ada mention tentang filem ni jadi aku rasa macam nak tengok. Seperti mana yang tajuknya diketahui, memang itulah hasil yang anda dapati. Ini filem Tony Scott yang paling jinak dan tone down aku fikir setakat ini. Menggunakan medium keretapi sebagai bahan penggerak untuk menghidupkan ceritanya, ia memang berharap pada kenderaan itu saja sebagai aksi utama. Malah, kita seakan boleh mendengar keretapi itu “bertempik” melalui bingit bunyi yang dihasilkannya tatkala melalui landasan.

Pengarah Unstoppable ini meneruskan kerjasama dengan Denzel Washington dalam sebuah lagi kisah aksi yang agak luar biasa kerana tidak melibatkan orang jahat. Ok, mungkin ketua syarikat lokomotif itu boleh di anggap sebagai antagonis tapi tidak cukup untuk diberikan kredit. Denzel berpasangan dengan Chris Pine sebagai wira yang dalam usaha untuk menghalang sebuah gerabak yang sedang meluncur laju tanpa pengemudi akibat kesilapan manusia. Tambah membahayakan lagi, salah satu koc yang diusungnya mengandungi bahan toksik yang boleh membinasakan sekiranya ia tergelincir daripada rel.

Unstoppable lebih menarik perhatian kerana label diinspirasikan daripada kejadian sebenar pada posternya. Jadi kita boleh menyemak sendiri di internet untuk mengenalpasti perisitiwa keretapi yang mana filem ini didasarkan. Di bahagian penamat cerita, penonton dipaparkan dengan teks mengenai apa yang berlaku selanjutnya kepada watak-watak yang terlibat dalam filem tersebut. Namun yang pastinya tren itu juga bernasib baik kerana dapat meneruskan perkhidmatan untuk berbakti kepada para pengguna setelah melalui episod genting seperti itu.

Friday, November 26, 2010

Let Me In

Aku tak tahu sama ada cubaan aku untuk menonton Let the Right One In yang sampai ke sudah tidak berjaya adalah satu rahmat atau patut disesali. Tapi menurut beberapa reviu yang aku baca, versi remake arahan Matt Reeves ini adalah lebih bertenaga dan jitu. Sebab tidak dapat membandingkan, aku akur saja dengan pendapat mereka bahawa Let Me In memang sangat baik buatannya dan aku tidak ralat jika filem asalnya tidak dapat ditonton. Sekurang-kurangnya aku mahu membiarkan atmosfera itu masuk ke duniaku buat sekian waktu sebelum bersedia untuk menemukan produk awal yang mencetuskannya.

Berterus-terang aku ingin memihak kepada filem vampire ini setelah merasa jengkel dengan segala hiruk-pikuk publisiti yang dibawakan Twilight. Isi ceritanya lebih mengganggu, kompleks dan matang walau karektor utamanya adalah budak pra-akil baligh. Paling mengejutkan juga, ia turut romantis dan melankolik dalam ruang lingkup genre begini yang tidak dinafikan terkandung ngeri dan bahaya. Semua itu berpadu cantik untuk memberikan kita satu alternatif kepada kisah vampire yang boleh menggigit.

Menonton filem ini seperti kita di ajak mengintai atau menyelak batasan frem pada kelir kerana beberapa babak dan watak, shotnya terlalu dekat atau paparan di buat tidak menyeluruh sehingga naluri kita membuak-buak ingin tahu lebih lanjut. Dari awal pembukaan lagi kita sudah di usik dengan strategi itu apabila adegan dalam ambulans yang tidak jelas dengan dialog latar-belakang memang menimbulkan intrig. Malah memulakan rangka cerita daripada tengah juga barjaya membuatkan mood untuk suspen dan seram muncul tiba-tiba.

Ia bukanlah seram seperti nampaknya hantu di tengah skrin. Tetapi beberapa pendedahan yang dileraikan perlahan-lahan dalam Let Me In ini sangat menyeramkan bila difikirkan kembali. Contohnya bila kita tahu hubungan sebenar vampire itu dengan karektor dibawakan Richard Jenkins, memang tak terbayangkan mula-mula. Jalan ceritanya yang tidak straight-forward dan tidak menyuap jawapan kepada kita memang menyegarkan. Gandingan plot seorang budak yang hidup kesunyian dan sering di buli serta seorang vampire yang kesunyian dan terpaksa “membuli” untuk hidup adalah naratif yang mengasyikkan.

Pujian menggunung untuk dua pelakon cilik tersebut, Kodi Smit-McPhee dan Chloe Moretz yang membawakan peranan yang mencengkam itu dengan berkesan. Subjek begini yang sungguh mencabar dan melanggar batasan namun di tangan pengkaryanya telah melunaskan dengan berhemah dan terkawal. Let Me In secara kasarnya bersandarkan pada tema vampire itu untuk memikat penonton, tapi kita memerlukan penonton yang tahu bersabar dan berbudaya untuk menghargai cerita yang bagus tapi perlahan semacam ini.

Thursday, November 25, 2010

Megamind

Ada ungkapan menarik dalam Megamind yang menangkap perhatianku. Tak kira betapa buruk pun asal-usul kita, yang lebih bererti ialah di mana tempat kita akan berakhir nanti. Begitulah lebih kurang dialog si Megamind ni yang semasa bayinya telah mendarat di penjara. Ada sesetengah anak yang membesar dalam pusat tahanan disebabkan ibunya dijatuhkan hukuman ketika sedang hamil. Tetapi makhluk asing bernama Megamind ni terdampar di sana kerana laluannya dipesongkan ke situ bersama side-kick yang tidak kurang aneh tapi kelakar untuk menemaninya.

Dreamworks selalu mengetengahkan hero yang tidak semacam tipikal hero seperti Disney yang cantik lawa dan baik pekerti. Ini elok juga untuk menerapkan pada kanak-kanak bahawa fizikal luaran bukanlah penentu hati budi seseorang. Kalau tengok betul-betul pada trailernya tentu kita boleh suspek sesuatu yang tak kena apabila Megamind pula yang diangkat sebagai tajuk. Bukan Metroman. Tauladan yang ingin di beritahu ialah, setiap antara kita ada ciri-ciri baik dan buruknya yang tersendiri. Jadi terpulanglah kepada kita untuk memupuk sifat yang mana satu bagi menjana keupayaan diri dalam sebuah perjalanan hidup yang belum pasti.

Saturday, November 20, 2010

Menonton Filem di YouTube - Setinggan

Oleh kerana talian internet di kampung ini guna streamyx yang laju maka bolehlah tonton filem guna youtube. Kalau di KL memang sakit hati nak tengok youtube pasal kat kawasan rumah aku tu internetnya lembab. Jadi dengan adanya jalur lebar serba pantas di sini, aku pun fikir baik aku pilih satu cerita untuk di tonton. Seperti yang anda sedia maklum, kebanyakan video yang di muatnaik dalam laman itu memang pendek-pendek. Justeru, kenalah tengok filem yang panjang secara bahagian demi bahagian.

Entah kenapa filem pertama yang aku pilih untuk tonton secara dalam talian ini ialah Setinggan. Ada sebelas part semuanya dan terdapat juga sesetengah durasi yang tersekat-sekat tapi sekejap saja. Tidaklah sampai menjejaskan tumpuan. Tiba-tiba masa tengah tengok filem ni, aku boleh terbayangkan filem Estet pula. Mungkin kerana Setinggan ini dalam lawak jenakanya ada menyelitkan kritikan sosial terhadap kehidupan masyarakat Melayu dari desa yang berhijrah ke kota besar. Sedangkan Estet boleh bertindak sebagai platform yang sama untuk mewakili golongan penduduk tanah rancangan itu menyampaikan aspirasi mereka dalam sela-sela komedi acuan pengarah itu yang tersendiri.

Tak silap aku, macam pernah terbaca blogger Fadz menulis pasal filem Setinggan. Rupa-rupanya Fadz mencatatkan sejarah zombie dalam filem-filem Melayu apabila memperkatakan tentang Setinggan yang di tulisnya tatkala mengkritik tentang Zombie Kg Pisang. Dalam dua perenggan ulasannya itu memang menepati apa yang cuba disampaikan oleh tontonan youtube pertama aku tadi.

Wednesday, November 10, 2010

Death Place

Agaknya Thailand dah tepu daya kreativiti mereka dalam mengeluarkan karya-karya seram yang bisa menyentak lagi menghantui seperti dulu. Contoh yang paling ampuh sudah pastilah Nang Nak dan disusuli Shutter dan Lhong Khong serta beberapa filem lain yang darjah keseraman mereka adalah tinggi. Kali ini aliran cereka panjang genre itu macam semakin diabaikan. Nampaknya mereka beralih kepada konsep memuatkan beberapa siri cerita menerusi satu filem dipakejkan sebagai antologi. Terbaru yang beredar di pasaran ialah Death Place.

Ada empat kisah dalam filem ini yang diadaptasi dari kejadian sebenar yang pernah mendapat liputan di negara tersebut. Biasanya tiga daripada cerita berkenaan di persembahkan secara serius dan salah-satunya mesti ada elemen komedi. Seperti formula yang lazim di guna oleh filem jenis empat dalam satu begini berdasarkan keluaran terdahulu.

Filem pertama yang dipersembahkan, formulanya seperti Final Destination. Cuma ia bukan rekaan kerana aku masih ingat laporan berita pasal kebakaran disko di sana yang meragut banyak nyawa. Info selanjutnya boleh anda baca dalam Utopia keluaran terbaru. Satu lagi filem tu ala Dark Water. Kisah mayat dalam tangki air di puncak bangunan yang mengalirkan air paip menjijikan. Ke semua siri cerita ini tidak bertujuan untuk menimbulkan unsur suspen kerana sebab-akibat misteri tercipta tidak diselindungkan.

Namun pada bahagian akhir, berjaga-jaga untuk satu kejutan yang tetap juga mahu di buat sebagai penamat. Aku rasa selagi Thailand masih rasa yang banyak lagi koleksi kisah seram mereka yang wajar di kongsi, tunggulah sajalah satu lagi konsep filem sebegini diterbitkan.

Thursday, November 04, 2010

Sammy's Adventures: The Secret Passage

Filem animasi Sammy’s Adventure: The Secret Passage ini sudah lama berputar di pawagam tetapi aku baru saja berpeluang mengikutinya. Lagipun aku tidak begitu menggugah untuk menontonnya setelah membuat rumusan sendiri ia mesti berkenaan hidupan segara seperti Finding Nemo yang begitu cemerlang dihasilkan. Ok, memang susah untuk menandingi piawaian karya Pixar itu tetapi ia tidak bermakna Sammy terlalu lekeh. Kisah yang dibawakan ini agak penting tentang alam sekitar dan kita di ajar melalui sudut pandang seekor penyu agar yang merentas lautan dan mengembara ke segenap pelusuk samudera lewat usianya yang panjang.

Peralihan zaman yang dilalui penyu bernama Sammy itu terbias melalui beberapa situasi yang ketara seperti zaman hippies yang diiringi lagu California Dreamin' yang sangat menepati. Dalam sorot matanya, ia melihat banyak aspek yang menunjukkan sisi buruk manusia terhadap dunia bawah laut ini. Betapa mereka semua tidak berdaya dan lemah untuk membasmi ejen pemusnah tersebut. Tetapi yang mencuit hati, filem ini turut mengimbanginya dengan sinar harapan bahawa masih ada insan bersifat pengasih yang sebilangan mereka turut berbakti untuk kesejahteraan makhluk sejagat.

Senario ini agak keliru dan rumit untuk penyu fahami yang aku dapati ia terkias betapa manusia adalah makhluk yang kompleks diciptakan. Di samping itu Sammy's Adventures ini turut mengandungi plot yang melibatkan perhubungannya dengan haiwan marin yang lain dan pertembungannya dengan kucing yang licik bernama Fluffy agak menawan. Memang ini dikhususkan untuk anak-anak kecil dan sesiapa yang berjiwa remaja untuk di didik secara santai dan murni.

Tetapi apa yang dikesalkan pihak tgv ini sungguh tidak sensitif dengan menayangkan promosi beberapa filem yang sangat tidak sesuai untuk budak-budak sebelum Sammy ini bermula. Sampai seorang lelaki orang putih yang turut membawa dua anaknya menonton masa tu telah memprotes rasa tidak puas hatinya dengan agak kuat. Memang patut pun kena sound.

Mula-mula sekali trailer filem The Road Less Traveled lakonan Louis Koo dan Huang Yi telah disiarkan. Ia mengisahkan seorang pemandu lori kontena terlanggar seorang lelaki. Agak grafik trailernya menunjukkan babak lori itu meluru ke arah lelaki yang berbasikal itu sebelum shotnya beralih ke adegan lain.

Kemudian trailer filem Lelio PoPo (tak tahulah kenapa filem Cina juga) yang menampilkan dua dj lelaki memakai pakaian perempuan seperti nenek yang asyik nak bersenggul-senggulan di bahagian tetek palsu mereka. Kelakar lah juga, ala-ala lucah gitu. Tak sesuai langsung untuk ditonjolkan pada budak-budak. Berulang kali pula tu dipaparkan adegan yang sumbang itu.

Tapi trailer yang paling mengganggu sekali ialah Let Me In. Memang disturbing cerita ni. Banyak muzik latar dan adegan yang mengejutkan. Ngeri dan suspen dibuatnya. Masa inilah bapa mat salleh tu sound dengan suara yang marah. Kenapalah tayang promosi filem-filem yang bertaraf dewasa dan daring itu pada masa ni. (Walaupun Let Me In itu memang watak utamanya ialah kanak-kanak juga, tapi temanya sangat gelap dan traumatik). Boleh mengigau dibuatnya.

p/s: Tak sabar nak tunggu Let Me In. Tapi orang kata versi Swedennya, Let The Right One In lebih mantap.

Wednesday, November 03, 2010

Dancebox October

Sejak Actor Studio di buka di Lot 10, baru Sabtu lalu aku berpeluang menjengah ke sana. Sebenarnya beberapa bulan lepas pun ada juga cuba pergi nak tengok ada satu pementasan tu tapi rupa-rupanya ia dikhaskan hanya untuk jemputan dan tidak di buka kepada orang luar. Agak menyusahkan juga masa tu sebab mereka tidak nyatakan awal-awal dalam laman web atau dalam media.

Malam minggu tersebut yang tiba-tiba Bukit Bintang menjadi meriah dengan bunga api (aku rasa itu sempena pelancaran model baru Volkswagon) turut menyemarakkan suasana sebelum aku masuk ke dalam panggung. Persembahan yang aku saksikan hari Sabtu lalu dinamakan Dancebox. Aku tidaklah begitu gemar dengan genre tarian ni tapi setakat untuk hargai bakat dan pertunjukan mereka, aku tak kisah. Cuma kalau nak tengok reality show tentang pencarian bakat menari atau rancangan tentang bertandak di kaca tv yang aku malas nak tengok. Namun untuk acara ini, aku sudah sediakan mental untuk mengadap bentuk dan gaya hiburan dansa yang mungkin berbeza dan langka.

Tepat sekali jangkaan aku. Artis pertama yang membuat penampilan sudah cukup nak buat aku ketawa dengan aksinya yang selamba kelihatan gigih sekali menarikan suatu gerakan yang moden dan robotik. (Aku terpaksa merujuk flyer nak tahu nama makcik ni). Riki von Falken membuat persembahan solo yang begitu eksperimental sampai aku tak boleh nak tafsirkan apa ke bendanya tu. (Tentulah aku boleh membaca butir-butir mengenainya dalam flyer yang sama juga).

(Sebenarnya penonton diizinkan ambil gambar – tapi aku segan nak bawa keluar kamera fon ku. Rata-rata menggunakan dslr).

Penonton boleh dikatakan ramai juga dengan variasi umur, kaum dan warna hadir memenuhi ruang. Paling mendapat perhatian gemuruh ialah Naim Shahrazad dan Azizi Mansor dari Aswara yang mempersembahkan formasi tarian yang menyihatkan kerana banyak menggunakan fizikal dan daya ingatan. Menjentik semangat para hadirin yang mula-mula macam bosan, tiba-tiba menjadi segar.

Sunday, October 31, 2010

The Child's Eye

Aku tak pernah tengok siri-siri filem The Eye sebelum ini kecuali versi remake-nya lakonan Jessica Alba. Dalam pada ingatkan sudah tiada lagi filem susulannya akan keluar, tiba-tiba Danny dan Oxide Pang terbitkan pula satu lagi The Eye, kali ini dengan format 3-D yang semacam sudah satu wabak menimpa dunia wayang. Mereka mungkin mengeksploitasi jenama tersebut yang sinonim pada khalayak penonton untuk menguji penerimaan peminatnya jika visualnya lebih menonjol di bantu teknologi. Memang sepatutnya macam tu kan, apatah lagi tajuk filem itu sendiri berkaitan mata.

Babak-babak terawal filem ini akan mengingatkan kita pasal penunjuk perasaan antikerajaan yang bergelar “baju merah” yang kecoh melanda Bangkok pada awal tahun ini dulu. Cuma mereka tak adalah memakai sebarang uniform atau lambang yang boleh dikaitkan dengan kejadian benar itu. Ia hanya diaplikasi di sini supaya menjadi pencetus kepada peristiwa angker yang bakal dialami oleh sekumpulan anak muda dari Hong Kong yang kebetulan sedang melancong di sana dan terperangkap dalam demonstrasi tersebut. Namun perkaitan antara pemberontakan tadi dengan kisah seram yang mahu dibentangkan ini berhenti setakat itu saja.

Oleh kerana banyak prasarana lumpuh dan sistem pengangkutan tergendala, mereka tiada pilihan melainkan terpaksa terus duduk di ibukota itu buat sementara waktu menanti keadaan pulih. Sebuah hotel kusam yang masih tidak terjejas oleh krisis menjadi tempat berteduh. Oleh kerana tidak mahu membiarkan penonton tertanya-tanya, bilakah akan muncul kanak-kanak boleh nampak hantu itu, tiba-tiba menjelma tiga orang budak dengan ekspresi terpempan tanpa emosi memandang ke satu sudut ala “I see dead people” setiap kali mereka bertembung dengan sekawan remaja terbabit. Tidak begitu menjadi lagi pada pendapatku dengan skil begini untuk menyuruh elemen seram takut itu keluar.

Mungkin kalau anda menontonnya dalam format 3-D, impaknya lebih jelas dan menyentak. Maksud aku, bukan takut pada budak-budak itu. Malah kelibat mereka juga agak terhad dalam filem ini untuk di pakai sebagai tajuk. Anjing itu pula yang banyak dapat coverage. Sebaliknya ada beberapa adegan yang disasarkan untuk dinikmati secara tiga dimensi supaya menjadi santapan keseraman yang total. Bercakap pasal anjing, salah-satu unsur misteri dalam filem ini juga melibatkan haiwan tersebut yang bergaul sadis dan tabu.

Tuesday, October 26, 2010

Altitude

Kalau filem orang putih yang kita tidak kenal siapa barisan pelakonnya, itu boleh jadi keluaran dari New Zealand atau Kanada. Tapi sebab aku tertarik melihat imej sotong dari angkasa tu, pedulikanlah tak ada pelakon tersohor pun. Habis, macam mana pula dengan jalan ceritanya? Err… kalau sotong yang anda harapkan, maka sotong jugalah yang anda dapat. Mujurlah moluska raksasa itu tidak ditunjukkan kerap sangat. Jadi agak ternanti-nanti juga kemunculan beliau yang mengancam itu. Seluruh shot hampir bertumpu dalam kabin pesawat melalui suasana latar belakang yang gelap pekat dengan awan bersisik menggerunkan.

Tengok filem ini aku teringat pada The Hole yang baru saja bermain di pawagam kita. Idea kedua-dua filem ini seakan-akan serupa. Aku lebih suka dengan The Hole yang jurus ceritanya di olah lebih baik dan efektif. Teen flick begini sesuai untuk satu lagi koleksi tontonan Holloween ringan.

Monday, October 25, 2010

Legend of the Guardians: The Owls of Ga'Hoole

Agaknya Zack Snyder fikir, kalau nak suruh dia buat filem yang semua orang boleh tengok, baik dia buat cerita kartun je. Pengarah ini telah mengangkat sebuah novel fantasi yang memang tidak pernah aku dengar sebelum ini ke bentuk animasi dan menyertai sekian banyak produksi lain yang turut memaparkan versi 3-D dalam salinannya. Masa menengok tu, aku makin tertanya-tanya sama ada filem ini sesuai atau tidak untuk tontonan umum. Snyder mungkin ingin mendidik daripada awal, sasaran penonton yang dia mahu tackle untuk mengikuti filemnya pada masa akan datang. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, bak kata pepatah.

Sebelum tayangan bermula, kita disajikan dengan filem pendek The Road Runner Show yang memang aku tak suka sejak kecil lagi. Aku betul-betul sakit hati dengan burung kasawari (?) yang sangat lincah pantas memecut tatkala di gempur oleh seekor coyote yang comel. Seperti biasa memang tidak berjaya pun ia dalam sebarang cubaannya untuk menangkap burung yang bedebah itu. Cuma grafiknya lebih cantik dan solid kali ini walaupun senario kedua haiwan itu saling mengakali antara satu sama lain dalam percubaan daripada menjadi habuan kekal sebagai trade marknya.

Bahagian yang paling menakjubkan dalam Legend of the Guardians: The Owls of Ga'Hoole ini ialah kehalusan dan corak animasi yang begitu teliti. Burung-burung hantu berkenaan terasa hidup dan majestik dalam dunia misteri mereka. Kisah yang dibentangkan di sini mengenai pergaduhan adik beradik dan pihak yang baik menentang puak yang jahat adalah lazim di bawa kebelakangan ini. Cuma plot itu tidak di terangkan lebih mendalam sebaliknya ia hanya di bantu oleh adegan perang dan latar yang begitu ekstrem dan getir untuk standard sebuah cerita kanak-kanak.

Mungkin filem ini tidak menepati selera anda terutama jika loghat yang digunakan tidak mesra telinga. Aku teringat satu filem kartun lain yang turut menggunakan burung sebagai watak-wataknya, Valiant juga guna loghat begini. Burung-burung lebih sesuai cakap ala British kot?

Saturday, October 23, 2010

Buried

Bagaimanakah dia boleh berada dalam tanah tu? Dapatkah dia diselamatkan? Begitulah bunyi pertanyaan skima yang akan berkeliaran di benak setiap antara kita. Dan percayalah, sesungguhnya gambar poster dan tajuknya memang 100% menjurus pada isinya. Itulah yang dibentangkan pada kita selama sembilan puluh minit. Memang itu terlalu lama bagi seseorang terperangkap di bawah tanah untuk menyelamatkan diri. Mungkin agak panjang juga masa bagi sesetengah penonton untuk menghadam sebuah cerita yang menunjukkan seorang pelakon saja.

Rasanya aku tidak perlu menghuraikan lebih lanjut tentang filem ini kerana sesuai dengan temanya yang minimal , lebih sedikit yang anda tahu, adalah lebih baik. Manalah tahu kalau anda ghairah sangat nak menyelidik serba-sedikit mengenai cerita tu tiba-tiba terbaca spoiler pula. Betapa malangnya. Atau mungkin tidak? Bergantung kepada sejauh mana anda mampu bertahan dengan seorang lelaki di sebuah lokasi saja dengan prop yang terhad, cabaran anda akan teruji.

Begitulah juga terdengar suara-suara sumbang di panggung yang sama-sama menonton denganku seakan tidak berpuas hati dengan persembahan Buried ni. (Bunyi macam mencarut pun ada kalau salah sebut). Mungkin jangkaan mereka terlalu tinggi. Atau mereka tidak membaca terlebih dahulu sebelum pergi tengok. Tapi aku amat sukakan filem ini walaupun aku dah tahu penamatnya.

Kreativiti pengarah, Rodrigo Cortés dan penulis lakon layar Chris Sparling menghidupkan sebuah thriller dengan beberapa faktor ketakutan dirangkumkan dalam satu dimensi adalah sangat bijak. Sampai bunyi suara melalui telefon juga mampu menyeramkan sekaligus mendatangkan fobia. Ryan Reynolds telah berjaya mengerah seluruh tenaganya untuk psiko anda supaya mendoakan dia selamat.

Friday, October 22, 2010

Eat Pray Love

Selepas menonton Eat Pray Love barulah aku membaca ulasannya di internet (IMDB dan Rotten Tomatoes) dan ia mendapat kritikan yang agak teruk. Mungkin aku juga akan terpengaruh dengan reviu begitu kalau tidak kerana aku menonton Oprah yang mengundang Elizabeth Gilbert sendiri untuk bercakap perihal buku tersebut. Tapi aku memang tidak merancang untuk mencari buku itu dahulu setelah mereka memperkenalkan Julia Roberts yang akan memegang watak si pengarang berkenaan dalam sebuah kisah tentang seorang wanita yang mencari diri dan menilai semula kehidupannya setelah terbit idea rancu yang menggusarkan. Kalau sudah dalam proses ingin difilemkan, baik aku tunggu ia di wayang saja.

Aku memberi filem ini peluang kerana aku suka dengan tema pengembaraan yang turut menjadi nadi ceritanya. Semasa mengikuti wawancara itu dahulu aku boleh bayangkan Elizabeth yang tiba-tiba mendapat kesedaran dan petunjuk bahawa hidup yang dijalaninya itu bukanlah ideal baginya dan dia sudah tidak merasa istimewa atau bahagia dalam rutin sehariannya lagi. Lantas dia mengorak langkah drastik dengan bercerai, memulakan cinta baru bersama seorang anak ikan yang new age dan lepas tu memutuskannya kemudian berkelana ke tiga destinasi yang pada firasatnya boleh menemukannya kembali pada jiwa dan jasadnya yang kosong dan tepu.

Wanita yang ketandusan zat ini mungkin kelihatan terburu-buru atau mementingkan diri sendiri serta tidak bersyukur dengan apa yang diperolehinya setakat ini. Tetapi bagi aku semua orang ada utopia yang mahu di capai atau menyonsong keutamaan yang perlu. Mereka yang berada di sekitarannya kelihatan memberi sistem sokongan yang boleh di harap. Elizabeth telah menggunakan seluruh kuasa individunya secara mutlak di sini bagi menentukan arah tujunya. Namun ada terkesan rasa teragak-agak dan pasrah di sebalik pandangannya yang dituturkan secara bersahaja.

Itu semua pendapat peribadi aku tentang penulis novel ini semasa di temubual oleh Oprah dulu. Namun setelah menyaksikan Julia menjelmakan karektor pengarang itu, sukar untuk mengikis imej Elizabeth yang sederhana dan polos dari fikiran. Sebaliknya, aku cuma nampak persona superstar yang ada pada pelakon tadi yang sudah sebati di terap di samping kemelut emosi yang cuba di zahir tetapi agak kurang meyakinkan. Malah untuk menyelami panasaran heroin kita ini pun agak susah sebab ia tidak di rinci sangat. Watak tambahan terutama Richard Jenkins lebih menarik di sini yang aku boleh percaya dengan rusuh dan ghalaunya lantas membawa diri ke ashram di India.

Eat Pray Love kaya dengan catatan perjalanan yang bertindan dengan visual indah bagi sebuah memoir tentang pencarian diri seorang wanita yang sesat. Dia melampiaskan semua itu dalam bentuk santapan rohani dan jasmani yang bukanlah asing bagi semua manusia. Namun kita ini secara umum, tidak berkongsinya sebagai bahan bacaan untuk ramai, sehingga ia macam ada agenda tersembunyi atau bertindak menjadi guru seakan proksi.

Tuesday, October 19, 2010

Magika

Rasa teruja untuk menonton filem ini sebab semasa di kampung dulu pernah terdengar cerita budak-budak disorokkan hantu. Berjam-jam jugalah lesapnya tu sampai dah tak tahu nak cari kat mana. Tiba-tiba terjumpa di perdu pokok merimbun yang sudah di periksa dan di geledah beberapa kali sebelum ini. Tapi masa tu tak jumpa pun. Bila dah tengah malam, apabila cari lagi di tempat yang sama, terjumpa pula si budak ini duduk memeluk lutut mengerekot di celahan pokok tersebut. Syukurlah selamat ditemui anak jiran aku tu.

Ibarat mengimaginasikan semula detik kanak-kanak yang secara tidak semena-mena boleh hilang dari pandangan terutamanya di pinggir desa berhampiran rimba yang di asosiasikan dengan kepercayaan setempat, Magika menawarkan saktinya. Kalau kita pernah dengar sendiri pengalaman anak kecil yang ghaib entah ke mana ini tentu akan bersetuju sedikit sebanyak dengan bayangan yang digambarkan menerusi filem itu. Cuma Edry Abd Halim ini sudah pastilah perlu melebih-lebih untuk memberi impak dan aura mendalam agar penonton semua sekilas lalu boleh merasa takjub terhadap dunia melangkau horizon yang diciptakannya.

Mengambil tema muzikal dengan setiap beberapa minit, pemeran itu semua akan menyanyi, ia mungkin taktik untuk memanjangkan jangkamasa filem ini. Atau strategi yang berkesan juga untuk memastikan kanak-kanak tidak bosan kalau keluar adegan agak meleret. Cuma lagu-lagunya itu kedengaran sama – tak ada banyak ragam untuk membezakan setiap satu lagu yang berkumandang. Tak melekat pula iramanya untuk di buat humming. Mujurlah filem ini tidak begitu banyak babak yang membazir tenaga.

Kesinambungan ceritanya agak baik dan padat dalam sela-sela nyanyian untuk disesuaikan konsep itu. Akhirnya aku harus memuji Edry kerana mengambil langkah menaikkan kembali nama-nama watak dan figura metos dan legenda tempatan sebagai tonggak pilihan untuk Magika. Walaupun beberapa karektor yang ditampilkan itu sekadar tempelan atau hanya di buat mengisi ruang, ia sudah cukup membuatkan penonton dewasa teringat kembali cerita hikayat yang melibatkan mereka tatkala di telaah suatu ketika dahulu. Cuma anak-anak kecil yang rasanya kurang jelas signifikan mereka semua dalam sosio-budaya Melayu. Mungkin untuk masa akan datang KRU boleh memikirkan untuk mengangkat semula kisah dongeng dan cerita rakyat tersebut secara serius dalam skala yang lebih ekstravaganza.

Friday, October 15, 2010

Dinner for Schmucks

Bagi aku, Stevel Carell memang sesuai dan berjaya bawa watak lurus bendul dan bodoh-bodoh alang tanpa terlalu menyakitkan hati. Walaupun kasihan untuk mentertawakannya, tapi tak boleh tahan nak tergelak. Bukan hanya kepada beliau saja, tetapi artis seniman itu pun kelakar. Juga tetamu-tetamu aneh yang di jemput hadir menemani ahli korporat di jamuan makan malam tersebut. Namun yang merungsingkan lagi mereka tidak sedar pun bahawa merekalah bahan jenaka sejati.

Menganalisis kepada bakat-bakat unik yang dipersembahkan oleh para pengiring tersebut, walau sesetengah daripadanya macam merepek dan lebih layak di pandang sinis, tetapi masing-masing nampaknya percaya dengan kebolehan mereka yang tersendiri itu serta beria-ia pula ingin membuat orang lain kagum dengan mereka. Itulah pun tujuan makan malam itu dianjurkan oleh bos Tim (Paul Rudd) sebelum dia boleh dinaikkan pangkat maka dia perlu membawa seseorang yang memiliki “daya penarik” begitu untuk mereka sama-sama boleh ketawa dan memalukan perangai si bodoh tadi yang tidak sedar bahawa kehadiran mereka di sana sekadar untuk dieksploitasi. Si “badut” yang paling berjaya menampilkan kedunguan secara maksimum akan diiktiraf sebagai juara. Siap dapat trofi lagi tu.

Aksi Barry lakonan Carell dengan diorama tikus yang diawet melalui pelbagai variasi watak dan situasi sangat memukau dan mengesankan. Lebih-lebih lagi apabila dia cuba menambat hati Tim setelah menyusahkan pemuda itu dengan seribu satu karenah yang tidak disengajakan daripada sifatnya yang lurus dan naïf itu. Mungkin tikus bukan haiwan kegemaran anda, tetapi seawal kredit pembukaan lagi anda akan disajikan oleh rodensia ini yang mula-mula aku ingatkan anak patung buatan. Rupa-rupanya memang tikus betul yang telah di awet. Malah pertemuan kedua lelaki ini juga telah ditakdirkan berlaku apabila Barry cuba menyelamatkan seekor haiwan itu daripada dilenyek kereta Tim. Apa yang terjadi selepas itu, akan diingati sebagai sejarah.

Aku suka dengan tema yang disajikan Dinner for Schmucks ini. Setiap orang memiliki bakat yang tersendiri. Macam Tim contohnya. Idea beliau melalui lampu dengan bom itu sangat menarik. Tidak semua orang bernasib baik sepertinya yang ada saluran dan sokongan untuk mengembangkan potensinya. Manakala Barry dan para calon yang lain itu terpaksa menyerah diri pada sekumpulan elitist yang memperdaya untuk menonjolkan kebolehan masing-masing. Namun mungkin itu saja peluang yang ada membiarkan diri di jamah oleh pihak berkuasa sebelum akhirnya kita juga dapat ketawa besar sambil kaki melangkah ke bank…hahaha...

Tuesday, September 28, 2010

Devil

Semasa tertengok trailer filem ni depan tgv beberapa minggu nan lalu, tidak ada langsung idea ia tentang apa. Sehinggalah Gaia memberitahu bahawa ini mungkin comeback dari M Night Shyamalan setelah sekian lama di cemuh kerana menghasilkan filem-filem yang gagal dan menjerankan. Mengejutkan juga kerana baru saja khalayak disajikan dengan The Last Airbender kini dalam jangkamasa terdekat datang lagi buah tangan beliau. Hanya penghasilan ini lebih menjurus forte beliau seperti mana dunia pertama kali terdengar namanya setelah The Sixth Sense meletup.

Tidak silap, aku pernah ada tertengok sedutan filem seakan-akan Devil ni berkaitan dengan sebuah lif yang di timpa tragedi bertajuk Blackout. Tapi filem tersebut macam tak masuk sini (atau aku yang tak sedar bila ia dimainkan?) padahal aku tertunggu untuk menontonnya. Mujurlah ada sebuah lagi filem tentang terperangkap dalam lif yang menyusul untuk memuaskan nafsu menakutkan diri sendiri yang di panggil klaustrofobik ini.

Pembukaan filem ini sudah memukau dengan bangunan dan binaan di paparkan secara terbalik dipadankan muzik latar yang begitu menyeru memang berhantu. Apatah lagi ia sangat menepati konsep cahaya pada liang lif menyerupai dahat yang secara kebetulan berkedudukan terbalik juga seperti di promosi oleh posternya. Apatah lagi terdapat tulisan di situ yang mengusik kita bahawa salah seorang daripada mereka bukan manusia, kita berharap mungkin ada twist tersirat seperti yang sudah dimaklumi dari minda Shyamalan yang lazim diketahui. Rupa-rupanya tagline tersebut tidak menipu.

Hanya bertindak sebagai pengarang cerita, kerja-kerja pengarahan dan lakon layar di serahkan pada orang lain malah Shyamalan tidak menyibuk pun untuk membuat cameo. Aku boleh merasakan sesuatu yang segar di sini dari seseorang yang pernah dikagumi kerana mempedayakan sekian ramai khalayak dalam karya sulungnya. Inilah yang membuatkan chronicle kedua dalam siri “Night” ini semakin di antisipasi.

Thursday, September 23, 2010

Piranha

Begitulah kisahnya sekumpulan ikan karnivor yang rakus dan sadis mencicip mangsanya tanpa belas kasihan atau bertangguh-tangguh lagi. Satu keseronokkan sinema yang tulen dan meloncat dari tempat duduk dibuatnya! Bagi yang memilih untuk menontonnya dalam format 3-D pasti kepuasan lebih berganda. Gabungan imej sekawan spesis ganas mengerumuni secara nyata dan fobia lemas di dalam air adalah ketakutan yang dieksploitasi demi memberikan impak. Rasa bersalah pula untuk terhibur.

Wednesday, September 15, 2010

Towelhead

Rasanya aku pernah terbaca reviu pasal filem Towelhead ni dulu dalam satu blog tapi dah ingat-ingat lupa. Cuma bila aku terjumpa dvd filem ni di kampung semasa balik raya baru-baru ni, aku pun tergerak untuk menonton. Tanpa ada sebarang maklumat jelas ia mengenai apa malah “towelhead” itu sendiri aku tak tahu merujuk kepada apa, dengan poster remaja perempuan memandang kosong di sebuah sub-bandar, ia begitu sukar dilepaskan. Rupa-rupanya subjek yang di bawa filem ini sangat meresahkan dan mengena.

Menyaksikan filem ini membuatkan kita tidak dapat mengelak daripada terfikirkan masalah gejala seks bebas yang melibatkan remaja perempuan di negara sendiri. Kes terbaru yang terpapar di media ialah sepasang kembar dengan kawan mereka lari menghilangkan diri masa orang tengah sibuk nak sambut raya. Rupa-rupanya mereka lari ikut teman lelaki. Oleh kerana mereka masih di bawah umur, hanya jantan dua ekor tu sajalah yang kena dakwa. Aku pasti puncanya adalah pengaruh bahan picisan yang berlambak memenuhi laman web. Bagaimana pula kalau tiada internet untuk menawarkan keasyikan itu? Adakah terjamin gejala ini akan terbendung?

Latar filem ini yang berlangsung ketika perang teluk pertama sekadar ingin mewajarkan plot yang melibatkan dua beranak dari Asia Barat (walaupun bukan Islam) di dalam sebuah cerita yang sepatutnya lebih efektif tetapi hasilnya mendatar saja. Beberapa persoalan politik dan persepsi perkauman yang klise dipaparkan menerusi sesetengah adegan dan dialognya yang tidak ada matlamat jelas ingin di capai. Itu yang mula-mula aku sangka berkenaan filem ini kerana peristiwa perang itu dan pemilihan watak yang stereotaip dengan isu begini akan membuatkan kita merumusnya demikian.

Diadaptasi daripada novel karya Alicia Erian berjudul sama, nampaknya ia macam sengaja memprovok dengan campuran beberapa topik kontroversi di dalam sebuah naskhah. Pelbagai subjek sarat dimuatkan secara kolektif tanpa benar-benar di rinci sehinggalah akhirnya kita dimaklumkan perkara sebenar yang ingin didedahkan ialah kronologi seorang budak perempuan yang mula mencapai status akil-baligh dan menyelongkar daya seksualitinya. Dengan sumber rujukan yang terhad (internet tak ada) dan persekitaran yang tidak membantu, gadis naif ini terbelek pula majalah porno ketika menjadi babysitter di rumah jirannya. Sebuah tontonan yang sukar dengan tema begini tambah menyentakkan ia turut menjadi-jadi di halaman sendiri.

Tuesday, September 14, 2010

Home of the Brave

Sepasukan askar mendapat berita yang mereka akan di hantar pulang ke tanahair setelah berkhidmat sekian tempoh di Iraq. Dalam pada gembira menerima khabar tersebut, mereka ditugaskan pula dalam satu misi menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan ke sebuah bandar kecil. Namun kumpulan mereka di serang semasa di sana yang mengakibatkan sebahagian anggota cedera parah dan ada yang maut. Tragedi itu mengembalikan mereka ke kampung halaman di Spokane, Washington dengan sisa-sisa kenangan pahit yang terjadi bahana tugasan terakhir yang tidak bergerak sempurna.

Home of the Brave memfokuskan empat teraju utama yang pulang dari kacau-bilau perang ke suatu tempat yang sepatutnya dapat mententeramkan tapi mereka bertarung pula dengan emosi dan mental terganggu pasca peperangan yang ditempuhi. Dr Marsh (Samuel L. Jackson), Vanessa (Jessica Biel), Tommy (Brian Presley) dan Jamal (50 Cent) masing-masing mengalami trauma yang tersendiri dan berusaha untuk mengatasinya walaupun sukar dan memerlukan iltizam yang jitu. Sejauh mana mereka berupaya untuk mengubati katarsis, mendasari perjalanan filem terbitan tahun 2006 ini.

Dalam pada kontroversi pembakaran kitab suci Al-Quran baru-baru ini (yang telah di tarik balik) dengan kerisauan utama Amerika berkenaan nasib tentera mereka di sana jika polemik berpanjangan kita boleh memahami dilema mereka ini. Filem ini sebagai contoh – walau plotnya sederhana saja dan lakonan seimbang – mampu memberi sedikit gambaran tentang kesan peperangan yang di alami apabila pulang dari perbatasan. Apatah lagi jika suatu ledakan prospek yang boleh mencuit sentimen umat Islam secara skala yang lagi besar, bayangkan tindakbalas yang akan menimpa pasukan hadapan mereka di sana. Efeknya tentu lagi bukan kepalang.

Sebagai filem yang menjurus kepada konflik di Iraq walau dalam perspektif yang berbeza, Home of the Brave mampu menggugah. Sekurang-kurangnya watak remaja anak Dr Marsh itu berani memprotes melalui saluran yang dia fikirkan betul kepada suatu perang yang pada fikirannya tidak betul. Merujuk ungkapan Machiavelli di akhir durasi, memulakan perang itu mudah. Tetapi untuk menamatkannya ia adalah sesuatu yang tidak pasti.

Monday, September 13, 2010

Hot Tub Time Machine

Seperti juga John Cusack, aku tertarik dengan filem ini setelah mendengar tajuknya saja. Walau pun sebenarnya aku memang berminat dengan cerita yang bercorak merentas masa. Apatah lagi medium yang digunakan bagi tujuan tersebut adalah sangat tidak terjangkau akal sama sekali, ia pasti membuahkan hasil yang lucu. Sementelah idea pengembaraan masa yang sudah sekian banyak di paparkan pada layar, tentunya tidak menjadi masalah untuk berseronok dengan satu lagi produk berkonsep sedemikian.

Tetapi filem ini yang dipasarkan atas label menjadi Hangover untuk 2010 seakan tidak begitu mengesankan. Mungkin kerana perbandingan itu. Atau mungkin sebab formula yang cuma nampak menjadi atas kertas namun apabila diaplikasi secara nyata ia tidak berhasil. Atau aku bias dengan Hangover yang aku suka giler?

Seperti yang boleh di agak (melainkan tab mandi sebagai pengangkutan melangkau era tadi) filem sebegini akan dipenuhi lawak slapstick, dialog jenaka lucah dan aksi melampaui batas. Selain itu bagi merangsang pancaindera, kita disajikan dengan panorama dekad 80-an yang jelas terang dengan warna, aksesori dan spray rambut. Dan kita boleh mengimbas kembali bagaimana hidup ketika telefon bimbit, internet dan gajet canggih belum mendominasi persekitaran kita.

Hot Tub Time Machine mungkin agak dipaksa-paksa penyampaiannya tetapi moralnya mengenai peluang kedua dalam hidup yang seseorang itu berhak memperolehinya dapat menyimpulkan sedikit daripada ia menjadi terlalu longgar. Lupakan logika tentang alam semesta yang caca-marba kesan menebus kesilapan silam dan mengeksploitasi sesuatu dengan cara yang aneh namun menguntungkan. Hidup pada tahun 80-an tidak pernah menjadi semeriah ini.