Friday, March 12, 2010

Up In the Air

Ada persamaan tema antara cerita ini dengan filem yang aku ulas di bawah. Ya, kedua-duanya melibatkan bepergian dan singgah di tempat orang. Walaupun tujuan transit di satu-satu lokasi itu berbeza antara kedua senario ini, ia masih melibatkan konsep dan struktur yang serupa. Cuma Up in the Air menggunakan perkhidmatan udara secara lebih ekstensif dengan tujuan yang bukan main-main serta itenerari yang menjurus dan spesifik. Hidup rupa-rupanya tidak indah apabila perlu terlalu kerap di udara.

“Above Us Only Sky” berbunyi slogan pada t-shirt yang seorang atheist pakai seperti yang pernah diceritakan oleh kawanku. Begitu juga dengan Ryan Bingham yang menghabiskan sebahagian besar masanya dengan berada di “langit” kerana dia perlu terbang ke sana ke mari memecat orang di merata syarikat di pelusuk Amerika. Aku mengaku yang kerier seperti peranan dimainkan oleh George Clooney ini tidak pernah aku tahu kewujudannya. Dia kelihatan seperti begitu berkuasa sekaligus menggerunkan kerana apabila dia turun ke bumi bertemu hamba sahaya, dia mengutuskan berita yang perit bagi mereka. Namun dia juga masih ada perikemanusiaannya apabila turut menawarkan alternatif kepada individu yang di buang kerja tersebut untuk merancang masa depan selepas dilepaskan jawatan melalui risalah yang disertakannya.

Tetapi nasib Ryan yang bagaikan dewa itu seakan tergugat dengan kemunculan Natalie (Anna Kendrick) yang mengesyorkan idea lebih praktikal dan canggih di dalam zaman ekonomi meleset serta capaian IT lebih efisien, jadi bos mana yang tidak tertarik untuk menjimatkan kos? Menebak risiko kerjayanya sendiri mungkin dalam bahaya, Ryan menangkis keberkesanan proposal Natalie dengan membayangkan beberapa potensi yang merisaukan daripada cadangan tersebut kerana skop kerja seperti itu sangat memerlukan hubungan dua hala insani. Lagipun ia melibatkan kehilangan sumber mata pencarian yang tentunya menyentap emosi manusia yang halus dan kompleks.

Up In the Air meraih 3 pencalonan Oskar untuk aspek lakonan termasuklah Vera Farmiga yang memainkan karektor Alex Goran, seorang yang inteletual dan berdaya seksual lagi manipulatif yang merobek jiwa keras Ryan supaya menyedari perasaan untuk dijinakkan bukan bersifat superfisial dan sementara, atau hanya atas kepentingan peribadi. Filem ini mungkin menghambur kita dengan tema dan moral yang secara kuasi-falsafah menyalurkan pandangan ideal bagaimana seharusnya seseorang itu menjalani hidup seperti menurut masyarakat normal. Tapi jika selalu terbang dan bebas dari komitmen adalah tafsiran normal bagi satu-satu pihak itu, biarlah dia melayang mengikut definisi sendiri.

Wednesday, March 10, 2010

Dear Galileo

Siapalah yang tidak teringin menjadi seperti mereka? Terbang bebas ke negara orang untuk meluaskan pengalaman hidup, menempuh cabaran, mencuba sesuatu yang baru, berdikari di bumi asing, menggalas beban menempuh apa saja rintangan demi bergelar perantau. Semangat mengembara yang ada dalam diri ini rasa meronta-ronta ingin keluar ikut bersama mereka. Tidak perlu tetapkan matlamat tertentu apabila tiba ke destinasi, susuri saja denai yang telah dirintis, atau melencong ke laluan baru yang belum diterokai sambil berdoa dan berharap, jalan yang di telusuri tidak menjurus ke lembah duka. Apatah lagi berada di luar tanahair sendiri, segala risiko lebih sulit dan berganda akibat mahu di tanggung.

Cerita dua orang gadis di Thailand, Cherry dan Noon yang di selubungi dengan masalah peribadi masing-masing, akhirnya membuat keputusan untuk berkelana secara backpack ke Eropah. Mereka yang ketika itu sedang ingin terjun bungee, secara mendadak mendapat idea yang sungguh gila tetapi menarik ini. Mungkin ia seperti wake-up call bagi sesetengah orang apabila di landa problema, mereka cuba melupakan sekejap derita yang menimpa dengan aktiviti ekstrem begitu. Manakala bagi dua sekawan ini pula, bukan setakat bergadai nyawa untuk menbuat terjunan lasak tersebut, mereka ingin membawa langkah lebih jauh, bukan lagi hanya sekadar kaki terikat dan terayun tidak menjejak bumi.

Bagi aku filem ini agak seimbang daripada segi pembinaan karektornya serta plot yang di jalin untuk mengembangkan cerita kedua perempuan ini di dalam mencari diri mereka di tempat orang. Kita di bawa menyelami perasaan serta karenah mereka mendepani persoalan hidup, dengan seorang mengalami krisis cinta serta lagi seorang pula sedang bercuti belajar setelah di gantung pengajian akibat salah laku. Kalau sudah namanya filem bertemakan melancong, jadi para penonton di bawa sekali menjengah ke lokasi-lokasi tumpuan di sana yang lazim seperti, ahhh... tengok mercu tanda pada poster pun boleh tahu kan?

Aku yang memang suka idea begini, jadi aku cadangkan kepada mereka yang masih muda dan tiada tanggungan di luar sana untuk keluar merantau walaupun tak mampu untuk ke seberang laut, sekurang-kurangnya pergi dalam negara dulu. Dalam suratkhabar Kosmo! baru-baru ni juga ada artikel pasal seorang remaja lelaki yang memiliki keghairahan back packing macam ni. Tentu banyak lagi kisah menarik yang dia dapat kongsi dalam ekpedisinya keluar mengembara itu sehingga mana tahu ia berbaloi difilemkan.

Thursday, March 04, 2010

Fantastic Mr Fox

Kalau dalam peribahasa Melayu ada yang berbunyi “musang berbulu ayam“ bermakna orang jahat yang menyamar menjadi orang baik-baik, tetapi dalam Fantastic Mr Fox kita akan merasa untuk menyebelahi orang (atau dalam kes ini, musang) yang jahat itu. Memang haiwan tesebut tidak perlu menyamar lagi sebaliknya cuma dikehendaki lebih licik, tangkas serta mampu menumpaskan satu penempatan kampung namun dalam masa yang sama boleh kelihatan cute. Err... mungkin tidak secomel kucing yang boleh dielus-elus, tetapi stop motion animation yang menjadi format kartun ini membuatkan mereka kelihatan demikian.

Kali ini bermain dengan animasi sebagai struktur terbarunya, Wes Anderson tidak mempersiakan peluang imaginasinya untuk keluar ke dimensi lebih jauh dan tidak terbatas. Kita disajikan dengan corak lukisan berwarna terang benderang seperti berada dalam hasil lakaran Van Gogh dengan teknik penggambaran unik penuh teruja serta dialog dan aksi yang mencuit hati. Beliau mengadaptasi buku cerita karya Roald Dahl yang tidak pun aku membacanya jadi aku boleh menonton filem ini tanpa ada sebarang pra-tanggapan. Produk akhir yang tercipta di sini sangat cemerlang sehinggakan aku boleh ubah fikiranku supaya filem ini di beri Oscar daripada Up.

Cuma mungkin corak filem begini susah untuk mendekati khalayak kanak-kanak kerana subjeknya yang matang dan jenis animasinya yang tidak mesra pada mata mereka. Kisah sebuah famili musang yang disertai oleh suku-sakat makhluk yang hidup di bawah tanah cuba dengan segala kudrat yang ada untuk mengalahkan tiga orang peladang dan pengusaha yang menjadi sumber pencurian mereka apabila keadaan semakin mendesak dan tidak terkawal. Ok, mungkin rumusan satu ayat tersebut tidak dapat menggambarkan situasi sebenar secara adilnya namun musang & and the gang vs. manusia adalah frasa lebih tepat untuk menjelaskannya.

Tak tahulah filem garapan Wes Anderson ini boleh di terima oleh semua orang atau tidak. Memang agak pelik style dan kreativiti beliau yang walaupun tidak susah langsung untuk dinikmati tetapi ia seakan tidak menyeluruh sambutannya. Segelintir peminat yang menghargai usaha gigih beliau dalam berkarya akan sentiasa mengharapkan kemunculan filem-filem yang lebih berkualiti dan menyegarkan daripadanya.

Monday, February 22, 2010

My Name is Khan

Satu rekod nampaknya apabila dalam masa dua bulan berturut-turut aku menonton filem Hindi di panggung. Ok, aku memilih filem ini juga kerana hype yang menyinggah terutama agenda boikot oleh sekumpulan radikal Hindu di India terhadap komen oleh Shah Rukh Khan berkaitan sokongannya kepada pasukan kriket Pakistan. Mula-mula aku sangka yang ada adegan dalam filem ini melibatkan perlawanan kriket sampai meruapkan kemarahan. Tapi seingat aku semasa tengok trailernya dulu, tak ada pula petunjuk bahawa aksi sukan atau permainan sedang berlangsung. Rupa-rupanya itu merupakan demonstrasi yang tidak bersabit terus dengan filem.

Untuk standard sebuah produksi Hindustan yang biasanya kita sendiri sudah tahu konsep mereka bagaimana, filem ini barangkali boleh di terima sebagai sesuatu yang berbeza dan efektif walaupun masih formulaik. Unsur melodrama, ekspresi yang kadang-kala berlebihan serta durasi yang memakan masa panjang tetap dikekalkan dalam prosesnya. Cuma temanya yang melangkaui batas geografi serta ideologi dan fahaman membuatkan ia kelihatan universal dan boleh didekati oleh lebih ramai khalayak antarabangsa. Apatah lagi hampir keseluruhan lokasi cerita bermain di Amerika yang sudah mesra dengan kebanyakan kita yang terdedah dengan filem Hollywood.

Aku tidak boleh mengaku yang aku kenal filem-filem Karan Johar jika setakat menonton sepintas lalu Kuch Kuch Hota Hai atau Kabhi Kushi Kabhi Gam. Berdasarkan reputasi beliau sebelum ini yang memang membikin cerita Hindi tipikal yang selalu meriah dan berat dengan tari menari dan nyanyian dalam sedu-sedan percintaan klise, kali ini beliau tone down sedikit segala ekstravaganza yang wiritnya menjadi trade-mark. Kisah cinta terbarunya ini melangkah benua lebih jauh dan mempunyai prinsip serta jati diri penuh iltizam ala Forrest Gump walau segetir mana rintangan mendatang kerana maruah dan pendirian yang teguh harus ditegakkan demi membulatkan matlamat.

Mungkin menonton My Name is Khan tidak mampu membuatkan anda bertukar selera menjadi peminat filem Hindustan jenis pop begini. Tapi usaha mereka tetap di puji di atas idea kreatif serta memberikan sedikit kelainan kepada gaya persembahan sedikit menongkah kebiasaan namun identitinya masih kita boleh nampak dan rasa. Satu je aku nak cakap, elakkan filem ni jika anda mudah terjengkel dengan top star yang berlakon watak-watak terencat (cue: Tropic Thunder).

Thursday, February 18, 2010

The Wolfman

Tentu ramai yang sudah termaklum dengan premise cerita ini. Seorang manusia (setahu aku, daripada kalangan lelaki sahaja) di gigit oleh seekor serigala jadian lalu dia juga pada kala malam bulan mengambang akan secara tiba-tiba turut berubah membentukkan dirinya seakan haiwan itu juga. Paling hampir imej ini pernah mendatangi kita ialah menerusi New Moon. Lalu segala susuk makhluk mitos dan ngeri dibangkitkan kembali semenjak fenomena Twilight meletup termasuklah The Wolfman edisi 2010 ini. Berdasarkan versi klasiknya tahun 1941, kali ini kisahnya di beri efek khas lebih solid dan teliti sehingga nampak benar-benar menggerunkan.

Benicio Del Toro memegang tampuk utama sebagai Lawrence Talbot, seorang pelakon pentas yang sedang membuat persembahan di Amerika apabila dia menerima sepucuk surat daripada bakal isteri adiknya, lakonan Emily Blunt tentang misteri kehilangan tunang perempuan itu yang lenyap secara tiba-tiba. Lalu dia kembali ke Blackmoor, England untuk menyelidik berkenaan peristiwa itu yang bermakna dia terpaksa berhadapan dengan bapanya Sir John Talbot (Anthony Hopkins) yang telah sekian lama masing-masing mengasingkan diri akibat satu memori silam yang dahsyat. Namun begitu, kehadirannya semula di sana, bukan semata-mata dapat menjejak adiknya yang hilang bahkan turut menjebakkannya dalam satu legenda penduduk setempat.

Ya, kita sudah pun tahu apakah sebenarnya kisah legenda yang menjadi keluh-kesah masyarakat di daerah itu. Namun ada yang cuba berfikiran rasional lalu mengaitkan ia dengan perbuatan haiwan liar terutama beruang yang dipelihara golongan gypsy yang berkhemah di pinggir desa. Apabila Talbot ingin menyiasat sendiri dengan menyerbu ke karavan puak terbabit, dia seakan menyerah takdirnya ke arah yang tiada lagi jalan keluar. Seorang penguatkuasa, inspektor Aberline (Hugo Weaving) tiba-tiba datang apabila keadaan menjadi semakin tidak terkawal namun dia sendiri tidak mampu menafikan keanehan situasi yang melanda walaupun dia masih cuba memberikan justifikasi yang munasabah.

Aku fikir menggunakan Del Toro sebagai serigala jadian sangat sesuai dengan rangka dan emosi yang seganding dapat diyakini akan kesamaanya. Juga latar-belakang ceritanya yang kelam, gotic serta tahun 1890-an seperti filem asalnya adalah sangat membantu untuk menaikkan mood seperti legasi filem-filem makhluk ganas dari era tersebut, misalnya Frankenstein atau Dracula. Ia diperhalusi lagi dengan teknik dan kerja kamera yang memberikan wajah baharu kepada sejenis lembaga horror yang sudah sekian lama mengamuk di layar.

Monday, February 15, 2010

The Hurt Locker

Filem ini tanpa membuang masa lagi menunjukkan pada penonton apa yang mahu ia sampaikan. Tentu anda sudah mendapat idea terlebih awal berkenaan temanya yang berkisarkan penglibatan tentera Amerika dalam kancah perang di Iraq walaupun mereka lebih layak di gelar penceroboh. Jadi sebagai paradoks di atas pembabitan itu, mereka berdepan dengan tindakbalas yang memang mengancam nyawa. Malah filem ini di buka dengan seorang anggota Explosive Ordinance Disposal Unit (EOD) di timpa maut (lakonan cameo oleh Guy Pearce) ketika sedang dalam operasi memusnahkan bom. Atas dasar itulah filem ini bergerak dengan menggunakan naratif tugasan skuad tersebut dalam giliran mereka melangsaikan khidmat dalam unit berkenaan.

The Hurt Locker ada menyajikan atmosfera yang tulen sebagai latar-belakang serta aksi lasak yang mendebarkan walaupun bukan dalam format tipikal melibatkan sebarang adegan kombat secara taktikal dan khusus. Sekali pandang, filem ini mungkin macam tidak di bantu dengan latar cerita yang menjurus pada faktor tertentu yang pada penamatnya kelak ia merangkum penyelesaian yang memuaskan. Namun kalau kita abaikan corak filem ini yang di rakam stail gerila ala dokumentari serta penggunaan skor muzik yang minimum dengan pemeran yang relatifnya tidak terkenal, ia tetap memiliki kisahnya yang ingin dihebahkan senyata yang mungkin. Malah satu slot untuk Discovery Channel juga lebih sesuai untuk mengisinya.

Pengarah Kathryn Bigelow bersama penulis lakon layar Mark Boal menelusuri hidup tiga orang kru pemusnah bom yang bertugas membasmi bahan-bahan letupan tersebut yang berceretek di sekitar Baghdad sebelum ia memakan mangsa. Kerja terbabit bukan setakat merbahaya daripada segi fizikal tetapi ia turut menerobos psikologi para askar tadi yang berhadapan misi yang sarat risiko. Selain kita boleh ketahui variasi teknik bom yang kompleks dan pintar , perkembangan karektor askar berkenaan terutama Staff Sergeant William James, lakonan cemerlang Jeremy Renner yang sering di gempur adrenalin terburu walau di luar waktu kerja sekali pun sehingga pertimbangannya selalu mendatangkan runsing kepada dua rakan setugas lain yang cuba untuk kekal waras dan pragmatik di tengah-tengah kancah perang yang lazim di luar kawalan.

Kita mungkin rasa sudah berlambak filem yang bertemakan pergolakan di bumi Iraq ini di bikin. Tetapi ada lebih banyak cara yang mereka teroka untuk memberikan kita dimensi lain supaya kita menggerakkan persepsi sendiri berkenaan konflik yang melanda di sana. Malah dalam filem ini langsung tidak di gambarkan dengan jelas siapakah musuh yang mereka perangi. Cuma peranti bom yang tersembunyi serta orang awam yang hilir mudik di sekeliling mereka yang selalu menjadi objek prasangka. Sesekali bunyi enjin jet pejuang di kejauhan yang meluncur menjadi petanda bahawa memang ada anasir yang mengancam.

Wednesday, February 10, 2010

The Blind Side

Motif apakah Sandra Bullock dapat merangkul banyak gelaran pelakon wanita terbaik dalam anugerah-anugerah utama perfileman baru-baru ini menerusi filem The Blind Side, seperti tidak berasas. Peranan seperti beliau terlalu lazim muncul di layar lebih-lebih lagi bagi yang biasa menonton telefilem di rangkaian Hallmark, sudah tiada yang istimewanya. Malah plot yang diketengahkan pun bukanlah sesuatu yang baru dan boleh membuatkan kita ingin menyebut wow. Mungkin Sandra telah di lobi habis-habisan supaya namanya sangkut untuk menyandang trofi yang berprestij itu. Apatah lagi genre drama pula bukanlah forte beliau.

The Blind Side adalah berdasarkan kisah benar tentang Michael Oher seorang remaja kulit hitam bersaiz besar dari Memphis dengan tidak berpendidikan serta keluarga yang tidak sempurna menemui cahaya melalui seorang wanita bernama Leigh Anne Tuohy yang berhati emas berkat hidupnya yang kuat pegangan agama. Leigh bersama suami dan dua anak mereka memberi bantuan secukupnya dan sokongan penuh kepada Oher dari segi akademik dan keperluan material untuk menjayakan misi dan matlamat anak muda itu supaya cemerlang dalam sukan American football di peringkat sekolah tinggi untuk melayakkannya mendapat biasiswa ke universiti.

Namun di atas semua kebajikan yang famili berada lagi dermawan itu hulurkan nampaknya mereka hanya ada satu muslihat kepada Oher daripada segi pemilihan pusat pengajian tinggi yang bakal pemuda itu putuskan kelak. Cuma itu bukan menjadi moral dilema yang menderakan bagi teraju utamanya berbanding dengan faktor pembesaran awal remaja tersebut dari kawasan flet kumal dan tidak sihat serta ibu yang menagih dadah. Budi yang keluarga Tuohy hulurkan lebih-lebih lagi Puan Leigh lakonan penuh karisma dan bersemangat oleh Sandra Bullock demi memastikan Oher mendapat perhatian sewajarkan serta potensinya dalam sukan tersebut dieksploitasi secara penuh adalah jasa yang tidak ternilai harganya.

Quiton Aaron sebagai Oher di sini tampil meyakinkan sebagai remaja yang kelihatan janggal di kepung golongan kaukasian kelas atasan dengan ekspresi dan gerak tubuh yang tidak dapat di lindung oleh saiz bagak itu akan kesunyian serta keterasingan yang mengelilingi. Pelakon-pelakon pembantu seperti Tim McGraw dan dua actor cilik tersebut juga berhasil memupuk kimia yang serasi di dalam membentuk ikatan filem ini supaya kita boleh percaya jalan ceritanya yang harmoni dan seperti kisah dongeng turut menjelma cantik di alam nyata.

Tuesday, February 09, 2010

THIS,,,IS IT?

Pertama kali aku menyaksikan acara stand-up comedy ialah semasa Huzer Suleiman di jemput menjadi artis undangan ketika majlis makan malam tahunan di tempat kerjaku. Memang kelakar jenaka yang beliau persembahkan cuma ia agak menyinggung. Dalam lawak yang beliau utarakan itu, terselit sindiran halus yang mencucuk. Namun kakitangan syarikat nampaknya boleh ketawa dengan sporting.

Hujung minggu lepas aku berpeluang menyaksikan program sebegitu di PJ Life Art Theatre yang terletak di Jaya One dengan teraju utamanya ialah Harith Iskander. Sebenarnya aku agak was-was untuk menghadirinya kerana sudah boleh jangka jenis lawak yang akan keluar.

Sebelum Harith tampil menghiburkan penonton, dua orang opening acts terlebih dahulu menunjukkan aksi mereka. Tapi aku lupalah pula siapakah nama kedua-dua pak lawak tersebut. Boleh tahan pedas juga sketsa yang mereka persembahkan waima di buat dengan tujuan untuk berlelucon. Kebanyakan isi jenaka adalah menjurus kepada isu semasa yang semua masyarakat Malaysia boleh relate dengannya. Beberapa mat salleh yang hadir sama tidak dipinggirkan apabila mereka turut jadi sasaran bahan lawak.

Harith memang adalah bintang pada malam itu. Jika dua artis pembukaan tadi pun sudah cukup kelakar, yang si Harith ni pula, lagilah kelakar tak hingat. Memang ada topik yang di sentuh oleh beliau terasa menyengat dan membuku dalam dada, namun aku terima itu untuk meluaskan pengalaman mengenali berjenis-jenis ragam manusia. Kepintaran beliau bermain dengan kata-kata untuk meluahkan ekspresi serta gerak tubuh dan intonasi yang bervariasi dalam mempertaruhkan jenis lawak seputar minat setempat dan peribadi sendiri adalah produk akhir yang wajar di puji. Keupayaan beliau mengekalkan dinamik untuk terus menggeletek penonton sangat mengagumkan.

Ada beberapa selebriti turut hadir memeriahkan acara malam itu seperti Yasmin Yusoff, Andrea Fonseka dan Aziah Jasmin Azizul. Pelbagai kelompok manusia daripada segenap kaum hadir memenuhi ruang tontonan yang bersaiz kompak. Harith tidak memerlukan undian sms untuk menobatkannya sebagai raja lawak yang bernas dan berisi.

Monday, February 08, 2010

Fame

Dalam banyak-banyak filem yang aku senaraikan bulan Mac tahun lepas yang aku mengada-ngada nak tengok tu, cuma dua filem saja yang aku dapat tengok setakat ini. 2012 dan Fame. Yang lain-lain tu mungkin tak sampai Malaysia atau belum masuk panggung. Kalau rajin aku beli dvdnya nanti. Aku tidak mahu komen tentang 2012 kerana sudah pasti ianya sama macam yang aku cakap untuk 10,000 B.C. dulu. Sekarang biar aku kondem tentang Fame.

Kenapakah filem ini perlu mendapat bikinan semula, tak tahulah aku. Mungkin kerana memuncaknya populariti High School Musical atau rancangan mencari bakat American Idol dan So You Think You Can Dance, mencetuskan ilham untuk menyedarkan khalayak bahawa dua dekad yang lalu, seni persembahan adalah di rintis melalui bakat-bakat terpendam secara kolektif dalam sebuah institusi. Dan namanya di kenang sehingga sekarang. Malah liriknya yang menyebut Remember My Name itulah yang membuatkan aku teruja untuk menontonnya kembali.

Banyak yang sumbang di dalam proses filem ini berlangsung lebih-lebih lagi tentang perkembangan watak beberapa teraju utamanya yang kelihatan hambar dan satu dimensi. Malah permulaan sesi ujibakat dalam mengadili pengambilan pelajar ia sudah tidak memberangsangkan malah graf untuk terus menontonnya merosot sejak itu. Mujur ada satu dua adegan persembahan yang mereka pentaskan mampu menarik perhatian sehinggakan aku ingin saja mereka banyakkan lagi tari dan lagu untuk sebuah filem yang mereka dakwa sebagai muzikal begini.

Sebagai saguhati, tema yang filem ini ketengahkan bolehlah memberi inspirasi. Bakat saja tak mencukupi untuk menjadi tersohor. Sebaliknya kena asah melalui ilmu serta pembelajaran yang sistematik dan disiplin yang betul. Cuma mungkin pensyarah akademi seni New York itu tidak sempat mengajar Fame edisi 2009 ini bagaimana untuk kekal diingati seperti filem asalnya dulu.

Sunday, February 07, 2010

Haunted University

Dengar tajuk pun dah melonjak. Kisah institut pengajian tinggi yang dimomoki serta penuh peristiwa angker, adalah déjà-vu bagi sesiapa yang pernah hidup di dalamnya. Dan masih bernyawa ketika keluar dari situ untuk menceritakannya kembali. Atau tidak perlu sehingga tamat belajar, senior-senior akan secara sukarela bercerita pada pelajar baru tentang misteri dan puaka yang pernah atau sedang melanda di sana. Ok, sekurang-kurangnya itu lah yang aku bayangkan apabila mengetahui tentang filem yang bakal aku kongsi dengan korang ini.

Tetapi filem Siam ini tidak mengitar plot seperti Dorm yang juga berlokasi di sebuah tempat menuntut ilmu, cuma sekadar menggunakan medium yang sama. Tidak juga sebenarnya, kerana kawasan universiti itu hanya benar-benar ditonjolkan dalam cerita yang pertama. Ada empat buah kisah dalam filem ini yang dihubungkan melalui seorang perempuan yang bekerja sebagai pembantu ambulans. Manakala cerita-cerita lain setakat menampilkan pelakon-pelakon yang memainkan watak sebagai pelajar/remaja yang terlibat dengan kejadian horror yang tidak semestinya berlaku di universiti.

Menurut sinopsis yang aku baca, isi cerita yang terbentang dalam filem ini adalah berdasarkan beberapa legenda moden yang khabarnya menjadi buah mulut di Thailand. Tak dapatlah pula aku nak tentukan kesahihan kisah-kisah yang difilemkan itu tetapi sesetengah daripadanya memang berupaya mengundang bulu roma meremang. Walaupun kebanyakan yang kita tengok itu sudah biasa di tonton dalam filem lain namun unsur keseramannya masih efektif.

Satu hal yang menarik dalam filem ini, walau dalam ruang-ruang untuk menakutkan dan menghantui kita semua, ada juga babak yang boleh buat orang ketawa. Sama ada disengajakan atau memang benda tu kelakar, aku tak dapat nak merungkaikan. Aku boleh terdengar penonton sebelah aku ni menghamburkan kata-kata yang muka pelakon yang membawa watak medic student tu sungguh lawak. Perkara seram tidak perlu di ambil serius kaedahnya.

Tuesday, January 26, 2010

3 Idiots

Aku menonton filem ni sebab tertarik dengan beberapa review yang aku baca di internet tentang kehebatannya. Sebenarnya aku sendiri tertanya-tanya, seriuskah aku mahu menonton cerita Hindustan ni? Kalau dulu Chakde!India yang aku pernah tengok, konsepnya memang berbeza sebab tak ada tari-menari tak pasal-pasal serta jalan cerita yang lebih realistik membuatkan aku boleh menerimanya dengan senang. Lagipun filem tu juga tak panjang sangat. Tetapi 3 Idiots menggunakan formula tipikal filem Hindi yang biasa kita kenali. Sanggupkah aku bertahan menontonnya? Adakah ia akan membuatkan aku tiba-tiba jadi penggemar Bollywood pula?

Untuk memendekkan cerita, aku memang puas hati dengan filem ini. Aku akan ketepikan sebal di hati perihal adegan wajib yang pelakon-pelakon itu tiba-tiba saja boleh menyanyi dan berdansa riang lengkap disertai koreografi cantik dan sempurna. Tapi bila aku fikirkan balik, adegan nyanyian tu di buat dalam bilik air! Memang selalu pun orang melalak dalam bilik air kan (Cuma untuk exaggerate di sini kenalah ada efek formasi tarian macam buat show di atas pentas layaknya). Lagi satu adegan muzikal tatkala Kareena Kapoor sedang menonton tv juga tidak menjengkelkan. Bahkan ia sangat catchy serta boleh buatkan aku turut humming lagu tersebut.

Aku paling suka dengan tema yang di garap oleh filem ini. Persoalan yang di bawanya itu sangat universal kepada dunia hari ini yang mementingkan persaingan untuk menempa gred yang baik semasa belajar. Adakah sesiapa saja yang melanjutkan pelajaran itu, benar-benar belajar kerana dahagakan ilmu pengetahuan atau hanya bermatlamatkan lulus cemerlang supaya jadi graduan dengan markah kumulatif tertinggi agar senang mohon kerja demand gaji lumayan. Babak paling meremangkan dalam filem ini apabila melihat adegan membunuh diri kerana tekanan hidup di pusat pengajian tinggi. Tergamam sekejap aku.

Masalah aku cuma satu dalam filem ni. Tak ada ke pelakon muda lain yang betul-betul masih muda untuk memgang watak sebagai pelajar yang baru nak masuk u itu selain Aamir Khan?! Walaupun di mekap tebal dan buat-buat gedik macam remaja, dia tetap tak nampak muda ok. Nasib baiklah dua orang kawan dia tu nampaklah juga macam budak muda belia untuk dikategorikan sebagai baru habis sekolah dan nak further studies kat universiti.

Wednesday, January 20, 2010

Heiran



Memang sedih sangat filem ni. Sampai dah balik rumah pun asyik teringat-ingat. Pengalaman menonton wayang tidak pernah menghibakan seperti ini. Aku selalu berat hati untuk merasa berbekas menonton sebuah kisah cinta. Sebab apa yang lazim aku hadap di panggung untuk genre ini selalunya bersifat superfisial. Terima kasih pada Fadz yang promote filem ini dalam blog beliau.

Menonton filem ini terasa macam mengikuti sebuah siri realiti yang tidak disediakan draf lebih awal atau di beri arahan atau tunjuk ajar oleh sesiapa. Mungkin itu yang membuatkan ia benar-benar jadi sangat mengesankan. Ditambah dengan pelakon-pelakonnya yang memang kita tak kenal langsung. Tidak perlu imej kamera bergoyang-goyang atau lokasi yang statik seperti Paranormal Activity untuk mendakwa yang cerita itu adalah sebuah rakaman sebenar. Dengan filem sebegini yang polos dan jujur aku boleh terasa tekanan mencengkam yang keluar daripadanya dan tembus ke dalam sanubari mereka yang menyorot.

Atau pun mungkin sebab fikiran aku masih menerawang bab demi bab dalam novel A Thousand Splendid Suns yang tidak berapa lama aku sudahkan bacaannya. Ya, mungkin aku terbawa-bawa dengan emosi daripada buku itu lalu apabila menyaksikan Heiran terasa tidak tergalas lagi penasaran yang harus di tanggung laksana semua itu adalah beban yang telah dipaksakan di atas pundak yang lemah ini. Walaupun kedua-dua buku dan filem yang aku telaah itu nampak macam sama sebab ada kena-mengena dengan Afghan dan fokusnya pada wanita tetapi plotnya agak berbeza. Tetapi apa-apa cerita yang aku ikuti pasal Afghanistan ini memang selalu menyesakkan dada.

Secara ringkasnya filem ini mengisahkan seorang remaja sekolah menengah yang jatuh cinta dengan seorang pemuda pelarian dari Afghanistan yang juga menyimpan perasaan yang sama dengannya. Malangnya, keluarga budak perempuan tadi tidak merestui perhubungan dua insan ini kerana mereka lebih mahu anak gadis mereka masuk universiti supaya mendapat masa depan yang lebih baik. Kerana keluarga mereka sendiri asalnya adalah pelarian dari sana serta bersusah-payah keluar dari daerah sengsara itu dan mencari rezeki di bumi Iran. Namun kerana sayang, budak perempuan ini dengan kedegilan atau dirasuk entah ilmu asmara apa, turutkan juga lelaki itu ke Tehran yang kebetulan ingin mencuba nasib di sana. Seterusnya apa yang terbentang buat mereka terutama untuk gadis mentah itu adalah takdir hidup yang merusuhkan.

Monday, January 18, 2010

The Imaginarium of Dr Parnassus

Seperti mana yang telah diketahui ini adalah filem terakhir Heath Ledger sebelum di jemput ajal malah beliau tak sempat nak siapkan pun. Namun ia dapat dilangsaikan apabila tiga pelakon lelaki lain secara sukarela bersetuju untuk menggantikan tempat mendiang walaupun aku sendiri keliru mula-mula kenapa sampai perlu tiga untuk satu watak yang cuma di bawa oleh seorang pada awalnya? Oleh kerana plotnya yang berkisarkan alam fantasi, jadi sebarang unsur mustahil atau luar logika boleh dinafikan kewajarannya. Cuma bayangkan kalau plot filem ni macam A Knight’s Tale atau Brokeback Mountain? Tentu ganjil kalau tiba-tiba William dan Ennis Del Mar bertukar rupa jadi orang lain sama sekali.

The Imaginarium of Dr Parnassus adalah mengenai sebuah kumpulan sarkas bergerak ala gipsi yang menjalankan busking tetapi guna kenderaan gerabak yang aneh dan sarat dengan perkakas dan aksesori. Pemain-pemain aksinya juga yang terdiri daripada seorang gadis bernama Valentina, remaja lelaki, Anton, lelaki kerdil, Percy yang dikepalai oleh Dr Parnassus sendiri melengkapkan kuartet yang pelik ini. Segalanya yang ganjil, mistik dan melampaui akal ada di sini yang diterjemahkan melalui aktiviti, pakaian, imej serta personaliti mereka yang kelihatan tidak sebati dengan zaman moden London sekarang. Namun semua itu tidak menghairankan pun kerana jenis bisnes yang mereka kendalikan memang luar biasa sifatnya.

Dr Parnassus melalui anak-anak buahnya berupaya untuk menjelmakan khayalan sesiapa yang berminat dengan memprovokasi mereka untuk masuk ke dunia impian di mana godaan untuk memilih antara meriah seronok atau yang duka gerhana akan mereka alami sendiri secara nyata. Semua fantasi yang mereka tempohi kelak akan dikawalselia secara telekenetik oleh Dr Parnassus walau risiko apa yang akan berlaku nanti di dunia maya itu tidak dapat di jamin oleh sesiapa. Sebenarnya ada satu rahsia silam yang di sembunyikan oleh si doktor itu tadi yang melibatkan siri perjanjian dengan seorang syaitan untuk memenuhi kehendak nafsunya. Sebagai balasannya, dia dikenakan syarat tertentu yang bakal tamat pada tahun itu juga yang membuatkan jiwanya sasau

Masa tengok filem ni dulu, aku tidak begitu boleh proses jalan ceritanya. Mungkin aku kena biasakan diri menonton filem-filem Terry Gilliam untuk hargai hasil usaha beliau. Namun gambaran visual alam fantasi yang memukau itu cukup fantastik. Memang agak terasa kehilangan Ledger yang tiba-tiba saja ghaib dalam sela-sela perjalanan filem ini. Mungkin ada yang ingin masuk ke portal ciptaan Dr Parnassus lalu mengimpikan Ledger terjelma kembali.

Friday, January 15, 2010

The Carriers

Biasanya yang di sogok pada kita tentang filem yang melibatkan virus atau wabak, mereka yang terkena jangkitan akan berubah jadi zombie atau cannibal yang kerjanya hanya tahu mengejar dan memerangkap mangsa untuk di ratah daging mereka. Tetapi The Carriers tidak mengumpan kita dengan mayat hidup supaya kita boleh berseronok melihat adegan lari dan kejar antara yang hidup dengan yang mati tak mahu, supaya darah berhambur dan daging di siat dapat divisualkan secara puas. Kita secara umumnya akan terus menghukum filem dengan tema begini akan berpotensi untuk mengikut piawai seperti lazimnya yang pernah terhasil.

Cuma kalau The Carriers menolak untuk menggunakan zombie atau mana-mana lembaga mutasi sebagai strategi untuk mendatangkan impak atau faktor daya penarik, bagi sasaran penonton biasa, ia akan sedikit mengecewakan mereka. Tetapi aku boleh saja menerima jalan cerita yang digarap oleh dua beradik Alex dan David Pastor ini yang menumpukan pada nilai manusiawi dalam menghadapi dunia yang penghuninya kian terpupus angkara wabak penyakit ala selesema H1N1. Kebanyakan manusia telah lenyap angkara jangkitan ini dan mereka yang telah di timpa virusnya pula memang hanya menanti maut.

Ada undang-undang tertentu yang perlu mereka patuhi seperti tagline pada poster untuk mereka kekal survive macam dalam filem Zombieland juga. Cuma syarat itu lebih simple dan tidak rumit berbanding peraturan-peraturan yang complicated dan kelakar macam dalam Zombieland tu. Tetapi matlamat akhirnya tetap sama supaya kelangsungan hidup dapat berpanjangan dan yang selamat, terus bernyawa untuk satu jangkawaktu. Empat orang survivor yang masih hidup ini sedaya upaya cuba menjauhi tempat dan kawasan yang mereka syaki masih berpenduduk kerana mereka sudah set dalam fikiran bahawa semua orang lain kini telah dijangkiti kuman tersebut.

Sekurang-kurangnya filem ini cuba memberi gambaran yang mungkin agak berasas tentang kemungkinan dan persepsi mengenai dunia tatkala di landa pandemik melampaui kudrat. Manusia yang masih tinggal akan terus berusaha untuk melepaskan diri daripada terjangkit dengan wabak yang merbahaya itu serta menaruh optimis bahawa akan ada penawar untuk membasmikannya. Watak-watak terselamat dalam cerita ini dalam perjalanan menuju ke pantai dalam ikhtiar untuk mengurangkan risiko daripada mereka terkena jangkitan. Aku rasa laut dan pantai adalah utopia bagi kita untuk melupakan nestapa yang melanda.

Wednesday, January 13, 2010

Bandslam

Sudah lama aku baca reviu tentang filem ini tetapi rasa teragak-agak mahu membeli tiketnya. Bukannya ulasan yang di beri tidak bagus tetapi kerana genre begini yang aku kurang gemari jadi seperti tidak bersemangat. Bila aku ingat balik tidak berapa lama dahulu yang seorang kawan beria-ia promote Almost Famous bagai nak rak suruh aku tengok sampai jengkel pulak aku dibuatnya, tapi last-last aku mengalah dengan menontonnya juga. Memang betul aku terus tersuka dengan filem tu. Tak sia-sia usaha gigih dia promote filem kegemarannya itu.

Begitu juga dengan Bandslam. Minit-minit pertama cerita mula bergerak aku sudah boleh jamin yang aku akan layan filem ni. Sampai rasa nak tepuk tangan lepas habis budak-budak tu perform dalam pertandingan band masa klimaks. Best sangat. Apatah lagi apabila persekitaran muzik masakini di tanahair kita juga dibanjiri pemuzik indie yang penuh idea, visi serta mengenali muzik mereka sendiri menjadikan ia sangat relevan. Walaupun watak utama di dalam filem ni bukanlah siapa-siapa di dalam mana-mana kumpulan atau aktivis dunia seni tetapi Will Burton ibarat ensiklopedia bergerak yang tahu segala maklumat serta penuh ilmu tentang wirama.

Karektornya di beri luaran yang stereotype sebagai remaja lelaki nerd yang tidak begitu hensem tetapi nampak bijak, senang di buli, penyendiri serta susah nak buat kawan. Namun dia ada cara untuk mengatasi segala masalah dan dilemma hidup yang melanda. Caranya ialah dengan menulis surat kepada David Bowie! Hahaha…. sangat cool ok! Naratif cerita ini memang dari awal lagi penonton sudah di asak dengan keluh-kesah mamat ni tentang benda-benda seputar minat dan pandangannya yang ditujukan kepada bintang rock terkemuka itu. Ibunya sendiri (lakonan agak kelakar oleh Lisa Kudrow) tahu tentang obsesnya itu menulis walaupun tidak melarang tetapi sempat jugak melazer, macamlah si Bowie tu nak balas.

Aku suka dengan cara mereka mengolah cerita ini dengan tidak hanya menumpukan yang budak-budak sekolah menengah ini sedang berusaha keras untuk memenangi pertandingan muzik tersebut. Sebaliknya aspek pelajaran dalam kelas serta personal issues turut dititik-beratkan menerusi cara yang real serta tidak terlalu ala teen-flick yang biasa. Malah watak yang kelihatan seperti antagonis pun tak sempat kita nak menyampah dengannya sebab kejap sangat jahatnya. Namun saat paling menggusarkan tatkala penonton mencerca Will di auditorium bertukar momentum jadi mengujakan kerana twist “ayat” yang cantik.

Selain plot yang baik dan kreatif, muzik sangat berperanan besar di sini untuk memenuhi elemen yang menggegar emosi dan jasad penonton. Ia di adun dan dimainkan sangat baik sepanjang filem berlangsung. Patut di beri pendedahan lebih menyeluruh dalam promosi untuk sebuah cerita yang menghiburkan seperti ini.

Tuesday, December 29, 2009

9

Tahun 2009 menyaksikan keluar beberapa filem memakai judul yang mengambil nombor 9. Selain filem Nine yang sedang ditayangkan di U.S sekarang dan District 9, sebuah filem animasi turut menggunakan tajuk digit yang sama. Kebetulan? Atau mengharapkan tuah yang tertentu? Memang aku tertarik untuk menonton 9 semata-mata kerana ada nama Tim Burton dan Timur Bekmambetov pada promo walaupun mereka cuma produser. Dunia pasca malapetaka yang merbahaya, getir dan tiada ketentuan menjadi latar-belakang filem ini yang tidak dibarisi seorang manusia pun.

Ok, ada jugaklah manusia tapi lebih untuk adegan flashback. Atau telah menjadi mayat dan tinggal rangka saja. Ini semua gara-gara sebuah mesin yang di reka oleh seorang saintis telah terlebih input menjadi sangat berkuasa lalu ingin membasmikan manusiawi. Macam Skynet Terminator pula kan. Bagi menebus kesilapannya, saintis tadi telah mencipta pula anak patung daripada tali jut menjadi sebiji guni kecil yang begitu punk. Maka, seperti mana tagline pada poster, terserahlah nasib bumi ini kepada anak patung tadi menjalankan misi untuk membanteras mesin robotik yang kejam dan perkasa.

Masalahnya, boneka bernama 9 itu tidak tahu satu apa pun tentang perkara yang berlaku, kemusnahan dunia atau musibah apakah yang sedang melanda di tempat manakah dia berada langsung tiada clue. Malah apakah sebenarnya dia yang tiba-tiba saja dapat bernyawa di sebuah bilik kusam terbiar sangat menjadi misteri. Lalu dia meneroka segenap sudut ruang dengan susah-payah dia berjalan akhirnya dia ketemu satu lagi bentuk jasad yang sama sepertinya dengan teruja namun dia tetap waspada. Plot bertukar menjadi lebih cemas, takut dan getir kemudiannya apabila mereka sekumpulan bertembung dengan mesin raksaksa pemusnah.

Shane Acker mengarah filem ni berdasarkan filem pendeknya sendiri (dengan adaptasi lakonlayar oleh Pamela Puttler) tentang apokalips yang menimpa dunia masa depan dengan latar belakang nuansa perang dunia kedua berkenaan pecutan teknologi melampau yang akhirnya makan tuan. Memang kreatif filem begini kerana membiarkan takdir planet ini di bawah anak patung guni yang berisi soul seseorang yang telah dipisah-pisahkan sebagai tanda jiwa kemanusiaan jugalah dapat membebaskan kita dari terperangkap dalam bala bencana yang turut dimulakan oleh manusia sendiri.

Wednesday, December 23, 2009

2 Days in Paris

Hujung tahun begini apa kata kita berkunjung ke Paris, walaupun hanya untuk 2 hari. Itulah tempoh waktu yang di ambil pasangan Marion dan Jack berada di sana selepas mereka menghabiskan masa bercuti di Venice dan sebelum bertolak balik ke New York. Bukan saja-saja mereka singgah di bandaraya romantik itu kerana Marion memang berasal dari sana dan dia ingin melawat ibu bapanya serta memperkenalkan teman lelaki Amerikanya kepada ahli keluarga dan rakan-rakan.

Julie Delphy yang memegang teraju utama sebelum ini dikenali menerusi filem Before Sunrise (dan Sunset) meneroka perhubungan antara benua yang dibatasi kekangan bahasa, budaya, politik serta frasa-frasa kehidupan lepas yang pernah masing-masing lalui. Adam Goldberg sebagai pasangannya yang sekali pandang nampak tidak secocok tetapi semacam melengkapi sisi yang kelihatan tidak mengancam Marion tetapi secara tiba-tiba boleh jadi kurang waras atau di luar kawalan serta aneh namun masih menambat hati. Selain itu percutian ini juga di rancang untuk menyemarakkan kembali asmara mereka yang sekejap on, sekejap off.

Dialog-dialog dwibahasa dalam filem keluaran tahun 2007 ini yang dilontarkan menarik di dengar, dalam keadaan sama ada secara bersembang biasa, nada bergurau, naik angin, mencemuh dan menjengkelkan serta ekspresi wajah terutamanya Jack yang sering kelihatan terpinga-pinga dan sakit hati dalam banyak situasi. Ia banyak menerbitkan persoalan lazim dalam hubungan cinta antara dua insan terutama melibatkan bekas kekasih dan isu-isu seputar yang boleh membuatkan seseorang menjadi rawan. Sama ada perkara berbangkit itu boleh di atasi secara matang dan dewasa atau mereka membiarkan saja polemik berterusan dan rela berpatah arang. Faktor lokasi yang di ambil sebagai latar filem ini selain menilai ikatan yang terpateri sungguh memberi kesan untuk menerobos dalam emosi manusia.

Selain daripada dua karektor itu tadi 2 Days in Paris jadi menghiburkan dengan watak ibu bapa Marion (dilakonkan oleh ibu bapa sebenar Julie Delphy) yang berjiwa seni, eksentrik dan bohomein. Aksi makan arnab di meja makan dan adegan di galeri lukisan memang tidak dapat dilupakan. Satu lagi kemunculan Daniel Brühl (Inglorious Basterds) yang sekejap sebagai pelanggan restoran makanan segera yang pelik juga kelakar. Ada satu teori oleh Jack semasa di Paris bahawa seseorang dari belah dunia yang lain ada kemungkinan untuk terserempak dengan orang yang dikenalinya dari dunia sebelah sini, lalu membentuk satu rantaian perhubungan. Tetapi dia tidak dapat membuktikan teori itu kerana tak ada seorang manusia pun yang dia kenali di sana. Cuma watak-watak asing yang kebanyakannya ditemui di kota itu ada kaitan dengan Marion dan itu membuatkan jiwanya kacau.

Aku tak pernah tengok filem popular Julie Delphy yang aku mention di atas sebelum ini. Jadi menerusi filem ini, beliau selaku penulis skrip, pengarah dan juga mencipta lagu untuk karya ini, bagi aku ia begitu baik hasilnya. Filem yang kelihatan ringkas dengan tema yang biasa terasa jujur keluar daripada sanubari insan sungguh berbakat sepertinya.

Tuesday, December 22, 2009

The Princess and the Frog

Sanggupkah mencium sang katak? Atau analoginya sanggupkah melakukan sesuatu yang jijik demi berhajatkan sesuatu? Mungkin apa yang kita impikan menjadi nyata itu akan lebih kita nikmati manis hasilnya jika kita bersusah-payah mengerah tenaga berazam dan harungi segala rintangan demi mendapatkannya.

Dinobatkan sebagai filem Disney pertama yang menampilkan golongan kulit hitam sebagai puteri (dia sebenarnya adalah pelayan restoran) serta mengembalikan corak animasi dalam format 2-D. Yalah, di mana-mana saja sekarang Hollywood begitu obses untuk menyogok deria kita dengan keajaiban tontonan terkini melalui serba-serba produksi filem boleh disaksikan juga secara 3-dimensi. Jadi kita menoleh ke belakang sejenak dengan kartun tradisional begini yang secara kebetulan turut berlatar-belakangkan tahun 1920-an di New Orleans.

The Princess and the Frog menyajikan cerita yang menarik dan boleh membuatkan hati jadi gembira. Tiana adalah lambang wanita berdikari dan bersemangat waja. Dia bekerja keras mencari wang bagi membuka perniagaan kedai makannya sendiri. Manakala seorang lagi karektor perempuan dalam filem ni Charlotte yang merupakan kawan baik Tiana walaupun berbeza darjat tetapi tidak berlagak dan akrab serta ikhlas dalam persahabatan mereka. Malah setiap kali Charlotte muncul terasa gamat dengan keletah dan aksi over-actingnya yang kelakar.

Walaupun mereka bukannya daripada golongan bangsawan, tetapi kemunculan Prince Naveen dari Moldonia yang tampan dan manis berkata-kata mewajarkan plotnya untuk mencipta seorang puteri sebagai pasangan bertuah (cuma perlu bernasib malang dahulu) dalam bentuk yang tidak stereotype. Sekalipun ideanya yang di angkat daripada kisah dongeng, si putera yang di sumpah oleh ahli sihir menjadi katak perlu di kucup sebagai penawarnya, Disney telah mengolah cerita tadi menjadi sesuatu yang cantik dan menyegarkan.

Sunday, December 20, 2009

Precious: Based on the Novel Push by Sapphire



Ejaan pada kredit pembukaan sedikit sukar untuk di baca. Sama ada tidak sengaja atau ia ada maksud tertentu untuk divisualkan demikian. Sedarlah kita setelah menontonnya buat sekian waktu bahawa watak utama filem ini sendiri memang mengalami masalah dalam pembelajarannya. Dia tidak dapat membaca dengan lancar walaupun bukan buta huruf. Tetapi pelajaran hanya satu halangan kecil dalam hidup budak perempuan ini. Ada lagi pancaroba lebih dahsyat daripada itu.

Simpati kita akan melimpah-ruah untuk remaja bernama Precious ini yang bukan saja perlu tabah untuk meneruskan persekolahannya tetapi dalam masa yang sama perlu mengusung perut megandungkan anak akibat di rogol bapa sendiri. Buat kali kedua pula tu. Walaupun emak dia tahu semua ini tapi dia tidak mendapat sokongan dan bantuan sepatutnya daripada ibu kandung sendiri. Sebaliknya dia di cemuh, di dera dan di perhambakan oleh emaknya, watak di pegang dengan begitu berkesan oleh Mo’Nique sampai aku pun takut menengoknya.

Dipadankan daripada novel Push, pelakon baru yang memainkan peranan Precious ini Gabourney 'Gabby' Sidibe juga turut mengimbangi tempo sisi kejam Mo’nique yang walaupun dia dilayan kasar dan sadis oleh ibunya, di luar dia turut melampiaskan reaksi serupa apabila keadaan memaksa. Namun kita tidak dapat tidak akan merasa kasihan kerana umurnya yang mentah dan persekitaran yang tidak mendorong, dia berhak memiliki masa depan yang lebih baik. Filem ini tidak bergerak atas dasar ingin menjadi terlalu melodrama disebabkan perangai Precious itu yang masih cekal secara luarannya.

Di samping itu gambaran ilusi dunia sebagaimana dicita-citakan oleh remaja ini pada masa depannya yang dia menjadi seorang bintang dan ditemani jejaka kacak yang kerap mencelah menjadi escapism yang sangat membantu. Bukan itu saja imej dan montaj fantasi ketika dia di dalam kesulitan atau bencana turut menjelma pada layar sebagai elemen untuk kita berkongsi kecamuk dan gelora di dalam. Paparan begini sangat menarik dalam jalur cerita yang sangat murung di kawasan Harlem yang terkenal dengan kedhaifannya.

Tetapi mujurlah di sekolah Precious mendapat perhatian daripada seorang guru yang berdedikasi terhadapnya. Selain itu seorang pekerja sosial dilakonkan tanpa mekap diva oleh Mariah Carey turut menjadi antara penyalur untuk dia mengatasi problema. Dalam hidup sebenar juga kalau kita disediakan dengan sekian banyak sumber bantuan pun hanya kita yang mampu memikul dan melunaskan masalah sendiri. Beban itu tidak tahulah betapa azabnya untuk digendung jika kita adalah remaja 16 tahun seperti Precious.
;
;
;
;
;
;
;
;
;
;
;
;
r.i.p Brittany Murphy

Wednesday, December 09, 2009

Don't Look Back

Aku sebenarnya nak tengok Gomorrah. Tapi ia ditayangkan di Picturehouse Dhoby Ghaut dan aku pula masa tu berada di Cathay Cineleisure Orchard. Macam mana aku nak ke sana? Kalau aku check jadual lebih awal, tatkala mrt berhenti kat sana tadi aku dah turun di Dhoby Ghaut. Oleh sebab aku takut masa terbazir petang tu, aku pun tengok sajalah apa-apa filem yang bertepatan dengan waktu yang aku ada. Jadi aku memilih Don’t Look Back.

Jangan Pandang Belakang ke ni?

Hehehe … di terjemah daripada judul Perancisnya Ne te retourne pas, sesungguhnya aku jangan memandang ke belakang lagi setelah menyaksikan filem yang complicated seperti The Box tidak lama dulu supaya mencari filem yang lebih senang. Tapi aku terjerumus pula dengan filem keluaran Perancis ni. Namun di sebalik segala teka-teki dan titik persoalan yang diutarakan, ada di beri penjelasan yang boleh di terima akal di akhir persembahan.

Filem bercorak psychological drama ini dilakonkan oleh Monica Bellucci dan Sophie Marceau yang memegang watak orang yang sama bernama Jeanne yang bukan saja telah mengelirukan penonton malah diri karektor itu sendiri. Mula-mula aku ingatkan ia macam filem Swimming Pool yang pada awal turut melibatkan seorang pengarang ingin menulis buku. Manalah tahu dia cuma berimaginasi atau alami delusi sebagai proses kreatif di dalam penghasilan karya tersebut. Namun keseluruhannya untuk mencerna filem berselirat ini menuntut kesabaran bukan sedikit.