Selain Bukak Api atau Gedebe yang di bikin kemudian hanya di buka kepada tontonan terhad, Haru Biru adalah anjakan lebih berpotensi, ia di tayang pada pawagam mainstream. Kemudian timbul nama Raja Azmi. Yang tidak banyak rekod menyenangkan dalam portfolio seninya. Ia bukan satu kombinasi yang selesa buat kebanyakan orang. Sepatutnya kita ketepikan semua itu, bagi peluang kepada filem ini dan nilaikan sendiri. Kalau lepas tu masih nak mencarut kepada penerbitnya (yang fungsi paling besarnya adalah keluarkan duit nak biayai filem dan paling tak ada kena-mengena dalam pembinaan plot cerita atau kreativiti ke apa) terpulanglah.
Ini filem yang aku tak peduli dengan kutukan tidak berasas yang pernah aku dengar sebelum ni. Kerana aku memang berminat walaupun agak skeptikal mulanya (siapa yang tidak) untuk menonton.
Tanggapan pertama aku, ini berdasarkan pengalaman penulis skripnya sendiri, mungkin. Sebab itu ia jadi sebati dengan persekitaran, dialog, latar dan konsep yang berpadu secara total. Kita tidak terasa jengkel dengan premise macam ni yang jika kita kenal (secara façade saja meskipun) si penulis tersebut, kita akan merestui beliau. Watak-watak yang ditonjolkannya seolah mengambil semangat beliau selain pengarah, Shadan Hashim yang membentuknya supaya terlihat kecamuk, nanar dan amarah anak-anak muda di kotaraya.
Filem ini berasas kepada bersahabatan Kid, Dani dan Ariyana. Sebelum itu ada Suzie yang terlebih dahulu “bercinta” dengan Kid yang mungkin hanya melibatkan hubungan fizikal. Dani pula ingin kepada Ariyana tapi dia terlalu pasif sedangkan dalam masa yang sama Ariyana telah pun ada bunga-bunga asmara dengan Kid. Itu tidak ada hal, tetapi kerana bahasa, dadah dan seks yang dipaparkan agak ekstrem dalam standard filem tempatan sebagai elemen maka ia menjadi sesuatu yang lain. Dulu dalam filem Panas lakonan Aleeza Kassim dan Eizlan Yusof hanya adegan ranjangnya saja yang agak sensasi. Itu pun filemnya dapat rating 18SX. Ini yang lebih banyak aksi melampau agak bermurah hati pula dengan menjadi terbuka kepada semua golongan penonton.
Aku mengaku yang jalan ceritanya tidak ada pengajaran moral boleh di kutip, malah karektor mewakili hitam atau putih seperti kabur saja. Seperti juga jenis format filem ni yang kadang-kala gambarnya berbintik-bintik macam tak cukup dimensi warna. Eman Manan sebagai bapak gangster mungkin ada memberi nasihat kalau itu yang penonton harapkan tetapi dia sendiri kepala penjahat. Seperti menempelak kepada realiti dunia yang kita diami sekarang. Anak-anak muda yang berperangai bangsat seperti ini adakah memerlukan tunjuk ajar atau nasihat daripada orang tua yang perangai sendiri pun macam penyangak?