Oleh kerana aku tak pernah tengok filem-filem lakonan Michelle Yeoh di panggung wayang sebelum ni, maka aku pun melapangkan masa untuk menontonnya. Sudah pastilah ini bukan medan selayaknya mengukur kekuatan aksi lakonan beliau kerana terdapat tujuh lagi watak lain yang berkongsi ruang dengannya secara saksama. Lapan angkasawan dan saintis di hantar ke angkasa dalam satu misi di panggil Icarus 11 untuk menjana semua kuasa matahari yang semakin malap dengan menggunakan bom nuklear. Michelle menjadi pakar biologi bernama Carazon yang bertugas memelihara kebun tanaman bagi bekalan oksigen serta sebagai sumber makanan dalam kapal angkasa tersebut.
Aku nasihatkan anda berbanyak bersabar apabila menonton filem ini kerana ia bergerak sangat perlahan sehingga kalau seseorang angkasawan itu berada terlalu lama di angkasa dia boleh di rasuk “space madness”, anda yang di pawagam pula boleh terkena “cinema madness” masa tengok Sunshine ni. Seakan ia mahu kita benar-benar ambil sedikit masa untuk hargai dan nikmati matahari yang seringkali kita abaikan kerana menganggap ia akan tetap menyinar untuk selama-lamanya. Apatah lagi hampir keseluruhan fokus filem ini terkepung di atas kapal itu serta dunia kosmik di luarnya.
Jadi untuk elakkan daripada kegilaan ini berlaku, cuba tumpukan pada proses yang para angkasawan itu jalani untuk menjayakan misi berkenaan di samping menyelami setiap detik yang resah, sulit dan indah tatkala masing-masing berada dalam stesyen angkasa terbabit. Penulisnya Alex Garland melakukan tugas sukar dalam naskhah Sunshine ini kerana jika ia berseni sangat mungkin penonton mudah bosan. Special effect terutama percik-letus matahari itu memang menakjubkan namun itu bukan umpan bagi filem ini bertaraf blockbuster kerana aku tidak fikir ia di beri label demikian.
Kalau kita familiar dengan kerja-kerja pengarahnya Danny Boyle sebelum ini seperti The Beach, Trainspotting dan 28 Days Later, kita boleh rumuskan bahawa idea yang nampak biasa seperti remaja yang ingin mencari pantai atau zombie tiba-tiba kelihatan segar dan tidak lagi menjadi tontonan santai. Kisah angkasaraya seperti ini boleh menjadi falsafah dan semangat seperti juga ada di kalangan kita yang suka merenung bulan di langit lepas dengan tujuan kerohanian atau sebagai sumber inspirasi.