Wednesday, September 09, 2009

Hari Radio SeMalaysia

Tidak pula aku tahu wujudnya Hari Radio ni. Bila selidik di internet baru aku tahu yang ia baru saja dianjurkan dan Malaysia merupakan negara ketiga menyertainya selepas Russia dan Belanda. Tapi ia di panggil Hari Radio Sedunia. Manakala yang aku dengar di Sinar fm tadi menyebutnya sebagai Se-Malaysia.

Selain entry ini di buat untuk menandakan tarikh yang unik hari ini 09/09/09, mari kita imbas kembali beberapa kenangan aku dan radio. Memang sejak dari kecil lagi aku dah biasa dengar radio ni. Tapi biasalah zaman dulu tak banyak variasi media radio untuk di buat pilihan. Jadi aku bergantung kepada RTM saja untuk memuaskan halwa telinga ini.

1. Radio Nasional menjadi pilihan utama aku untuk dengar pagi-pagi sebelum aku ke sekolah sesi petang dulu sampai aku dah boleh hafal dua program utamanya sebab dek kerana selalu sangat pasang. Ianya ialah drama radio popular No. 5 Persiaran 1 yang dibintangi oleh pelakon terkenal Osman Zailani dan Fatimah Yassin. Pelakon lain tak pulak aku ingat. Kisah satu family yang tinggal di alamat tersebut bersama anak-anak dan jiran tetangga menelusuri hidup seharian mereka.

Habis saja drama berkenaan, ada program bertajuk Segar Mewangi yang membawa kita menghubungi stesyen-stesyen radio negeri kelolaan RTM untuk meninjau aktiviti atau berita setempat dari sana.

2. Ada satu stesyen radio yang aku minat sangat dulu tapi jarang dapat diikuti kerana siarannya yang tidak meluas iaitu FM Stereo. Memang best sangat rangkaian ni kerana ia banyak muzik dan djnya yang kurang bercakap. Kalau bercakap pun setakat nak memperkenalkan tajuk rancangan dan nama lagu saja. Bukankah itu yang pendengar mahu? Kemudian berlaku rombakan, lalu namanya di tukar menjadi Radio 2 yang sudah mengikut macam format radio biasa yang penyampainya banyak berceloteh di susuli dengan lagu-lagu. Lepas tu tukar nama lagi menjadi Radio Muzik dan sekarang ianya dikenali sebagai Muzik fm.

3. Radio swasta pertama yang aku tahu ialah Radio Redifussion. Tapi aku tak pernah dengar stesyen ni sebab ia hanya meliput kawasan pantai barat sahaja. Menurut kawan aku yang ada pengalaman mengikuti radio ini, pendengar kena bayar bil bulanan untuk mendapatkan servisnya. Jadi siaran liputan hanya terhad kepada rumah yang melanggan. Ada sejenis alat apa entahlah yang di pasang pada rumah tersebut untuk mereka mendengar program yang ke udara. Setelah melalui pelbagai evolusi, radio ini sekarang terbahagi tiga stesyen iaitu Red fm, Suria fm dan satu radio Cina.

4. Tak silap aku THR ialah radio swasta pertama yang memberikan siaran percuma untuk pendengarnya tanpa perlu nak membayar yuran apa-apa. Memang seronok sangat radio ni kerana dj-djnya yang selamba, tak skima dan gila membuatkan ia menjadi sebutan ramai. Memang hangatlah masa THR mula-mula diperkenalkan dulu. Aku punyalah minat dengan stesyen ni sampai sanggup menghantar e-mel dekat salah seorang djnya iaitu Adiwati yang biasanya mengendalikan program berduet dengan Nasa dalam Bumper to Bumper.

Baik pula Kak Adi ni nak balas e-mel aku yang tak semenggah tu sampai beberapa kali jugaklah berutus e-mel. Peminat setia kaedahnya. Tapi sekarang dah lost contact sebab e-mail yahoo aku tu pun dah tak valid. Itu semua tinggal kenangan kini kerana THR telah mengalami perubahan drastik dengan terbahagi dua, Raaga yang mensasarkan pendengar kaum India serta THR Permata Pantai Timur yang hanya boleh didengari oleh penduduk wilayah itu. Pendengar di kawasan lain kenalah berpuas hati dengar Raaga saja. Kalau nak jugak ikuti siaran Melayu THR, sila tekan nombor 863 pada decoder Astro anda.

5. Ya, melalui decoder Astro anda tu, boleh juga dengar radio. Tapi untuk stsyen-stesyen yang bernaung di bawah AMP Networks saja. Agaknya macam ni juga dulu siaran Redifussion tu berfungsi. Selain THR aku juga suka mendengar Sinar fm yang beroperasi pada nombor 857. Maklumlah banyak lagu-lagu lama yang sesuai dengan selera aku.

6. Sebelum adanya Sinar ni, terlebih dulu Astro ada satu stesyen lagu-lagu Melayu lain selepas Era iaitu Wirama. Tapi Wirama tidak keudara secara bebas sebaliknya terhad untuk pelanggan Astro saja. Best juga Wirama tapi sayangnya sudah lenyap. Satu lagi stesyen radio yang sudah berkubur ialah Talk Radio. Mungkin sebab banyak bercakap saja kot jadi orang pun bosan nak mengalih frekuensi ke sana.

7. Disebabkan begitu berpengaruhnya peranan radio kepada masyarakat ketika itu sampai boleh di buat lagu berdasarkannya. Dua buah lagu popular yang diinspirasi oleh radio ini yang aku tahu ialah Hanya di Radio nyanyian Headwinds dan Juruhebah Pujaanku oleh Nuraliza Yusof. Dulu-dulu memang kita panggil "juruhebah" untuk mereka yang bertugas di konti ini. Tapi bunyinya sekarang macam tak glamor. Maka pengendali rancangan radio sekarang lebih dikenali sebagai penyampai atau dj.

Monday, August 31, 2009

Merdeka Berbuka Bufet

Rasanya inilah kali pertama aku alami sambut merdeka semasa bulan puasa tatkala dewasa ini. Mungkin masa aku kecil dahulu pun ada terjatuh merdeka ketika Ramadan cuma aku tak ingat. Sempena menghormati bulan yang mulia ini tidak adalah majlis berhibur-hibur seperti tahun-tahun lepas bagi meraikan malam 31 Ogos. Aku pun tak tahu apa acara yang dianjurkan atau berlangsung untuk memperingati hari bersejarah tersebut sebab aku sibuk dengan hal lain.

Hari Ahad semalam pada malam merdeka, akhirnya berjaya juga aku makan bufet Ikea. Padahal hari Sabtu tu pun pergi jugak tapi malas nak beratur panjang, aku dan kawan pun blah. Lepas tu ingat nak berbuka di Waroeng Penyet, penuh juga. Semua meja penuh. Tapi aku tapau juga set ayam penyet untuk makan kat rumah. Sudahnya kami putuskan untuk berbuka di Station Kopitiam di Cineleisure atau sekarang di kenali dengan nama e@the Curve.

Esoknya pergi lagi ke Ikea dengan kawan yang lain sebab nak juga makan kat situ. Tapi nampaknya semua tempat duduk dah diduduki orang dan barisan yang beratur pun panjang. Nak tak nak kenalah beralah dan makan dulu yang ringan-ringan dan solat maghrib. Bukannya mengidam sangat nak berbuka di Ikea tapi lebih untuk meninjau apa yang best sangat bufet buka puasa kat situ serta menikmati kemeriahan suasana.

Selesai maghrib di surau Ikano, barulah kami melangkah balik ke pusat perabot Sweden itu.

Thursday, August 20, 2009

Rumah Kecil Belon Seribu

Disney dan Pixar mencetuskan keseronokan lagi untuk kita semua kali ini melibatkan sebuah rumah yang boleh terbang! Err … bukan ia boleh mengibarkan kepak sebaliknya ia melibatkan beribu-ribu belon untuk membolehkan ia melayang di udara. Juga terdapat seorang kanak-kanak lelaki sihat yang bersemangat tinggi serta berfikiran positif dan berhati mulia. Walau sedikit mengganggu kadang-kadang tu.

Dan orang tua.

Menggarap sebuah filem kartun yang mengandungi golongan lanjut usia sebagai watak utama agak mencabar kerana kumpulan disasarkan itu mestilah boleh terasa ada berhubungan. Biasanya kanak-kanak susah sikit nak tertarik dengan sesuatu yang mereka tidak boleh relate walaupun filem animasi Disney biasanya melangkaui jurang umur. Agaknya itulah sebab mereka ambil belon-belon itu sebagai teaser kerana ia lebih menyerlah dan memberangsangkan.

Aku suka sangat dengan idea filem ini yang kita tidak pernah terlewat pun untuk memulakan sesuatu walau nampak mustahil dan walau hayat umur macam tidak mengizinkan. Selagi ada kudrat, peluang dan cara untuk melunaskan impian yang sekian lama teringin ditunaikan, jadikanlah ia kenyataan. Tidak ada gunung yang tinggi untuk di daki dan tidak ada lurah yang dalam untuk di turuni. Atau dalam kes filem ni tak ada air terjun yang tinggi yang tidak boleh diletakkan rumah di atasnya.

Emosi terusik sejak awal-awal filem berputar lagi dengan montaj tanpa suara hanya iringan lagu latar menghela kita menyusur perjalanan hidup Carl Fredricksen bersama isteri tercinta dari selepas menginjak dewasa, bercinta, berkahwin dan sampai isteri itu pergi. Syahdu sangat. Ia berubah rentak menjadi lebih serius dan kelakar selepas itu dalam durasi cerita yang sarat advencer dan inspirasi

Monday, August 17, 2009

Kaki Blue

Semalam aku berpeluang menyaksikan teater muzikal Kaki Blue di Klpac dengan kawan-kawan. Mula-mula agak was-was juga dengar tajuknya begitu, boleh membuat kita fikir benda kuning. Sebenarnya tak ada warna yang menyumbeleweng dalam teater ni. Walaupun aku pada awalnya tak dapat fikir apa makna biru yang diwakili oleh judul tersebut, tapi setelah menontonnya, aku tahu itu adalah warna uniform PLKN.

Pementasan yang baru saja berakhir petang semalam secara kasarnya nampak mengambil tema dan konsep dari High School Musical. Walaupun mendapat inspirasi dari HSM, tak adalah pulak watak lelaki utama dia tu macam Zac Efron! Sebaliknya dia adalah seorang budak lelaki lembut yang berkawan dengan dua budak perempuan. Mereka bertiga yang baru saja tamat SPM di sebuah sekolah di Pulau Pinang sedang bersukaria berborak merancang bagaimana untuk menghabiskan cuti sementara menanti keputusan keluar.

Ah Shan mengira-ngira duduk lepak di rumah bangun lambat dan marathon tengok Astro manakala Ah Nee berangan-angan mahu menyertai pertandingan realiti kerana ingin menjadi bintang dan Azlina yang paling rasional antara mereka tiada matlamat yang jelas. Namun impian yang indah demi menikmati hidup bebas tanpa tekanan belajar yang mereka impikan habis musnah apabila mereka di panggil untuk menyertai khidmat negara.

Bermula dari mereka habis SPM sampailah mereka berada dalam kem tersebut, dalam sela-sela dialog yang mereka lontarkan semuanya diiringi dengan lagu-lagu serta muzik yang mengikut konsep. Ada juga satu-dua lagu yang aku pernah dengar. Ianya menggambarkan pelbagai baju seragam yang muda-mudi kita hari ini kena pakai sejak dari bangku sekolah sehingga mereka di seru masuk PLKN pula. Terasa juga macam mereka menyindir dan memperolok-olokkan polisi begini serta hakikat menjadi belia di negara kita.

Namun memang menghiburkan cara mereka mempersembahkan teater ni. Langsung tak terasa bosan lebih-lebih aku tengok petang Ahad yang biasa time aku mengantuk giler. Kalau tak best, mahu je aku bantai tidur. Si Komander PLKN yang di panggil Major Sabar tu sangat kelakar dan berjaya menampilkan ciri-ciri pegawai kerajaan yang berdedikasi. Pelakon-pelakon lain yang kebanyakannya masih muda remaja menunjukkan bakat yang cemerlang.

Friday, August 14, 2009

Kembali Kepada Rabb

Tersentak mendengar berita pemergian Ustaz Asri Ibrahim menerusi internet semalam. Terus sms kawan mengkhabarkan peristiwa sedih itu. Walaupun tidak pernah bersua secara live setakat melalui tv atau suratkhabar, tetapi kehilangan Allahyarham amat di rasai. Dah-lah aku lately selalu bukak channel Astro Oasis memang kebetulan pulak Ustaz Asri yang sedang ke udara masa tu.

Dahulu semasa awal-awal kemunculan Rabbani aku sangka yang kumpulan ini sekadar hadir untuk memberi saingan kepada Raihan di atas penerimaan yang luar biasa kepada Raihan ketika itu oleh penggemar seni Malaysia. Rupa-rupanya anggota kumpulan ini terutama Ustaz Asri sudah terlebih dahulu bergiat dalam nasyid melalui Nada Murni. Memang biasa dengar nama Nada Murni ni cuma tak pasti pula siapa anggota-anggota dan penyanyinya.

Apabila mendengar saja suara vokalis Rabbani mula-mula dulu, terdetik juga dalam hati sebab macam pernah dengar suara lunak, gemersik dan memukau ini. Bagi aku ini memang satu langkah yang mulia kumpulan ini untuk menceburkan diri secara mainstream dalam memberikan banyak pilihan lagu-lagu nasyid yang boleh diketengahkan. Selepas itu, kita boleh lihat semakin mendadak muncul kumpulan-kumpulan nasyid lain di sini menyusur jalan yang di rintis oleh Raihan serta Rabbani.

Satu pendekatan ekstrem yang di ambil oleh Rabbani di dalam penglibatan seni mereka ialah apabila berkoloborasi dengan KRU untuk menerbitkan beberapa lagu nasyid mereka. Wow, ini sangat di luar jangkaan. Tak silap aku agak kontroversi juga masa tu apabila sebuah kumpulan nasyid berwibawa ingin mengambil lagu ciptaan anggota pop hip-hop. Macam mana agaknya hasilnya?

Tetapi gandingan mereka itu memang menjadi. Terutama lagu Pergi Tak Kembali yang turut dihasilkan oleh KRU merupakan antara lagu yang menyebabkan kumpulan Rabbani semakin meraih perhatian. Walaupun agak rancak dan drastik untuk menganggap itu sebagai lagu nasyid tetapi dengan alunan mengasyikkan oleh suara Ustaz Asri, kita boleh terima itu adalah lagu nasyid. Meneliti bait-bait liriknya kini membuatkan kita terpempan kerana pelontar suara itu sekarang sudah pun pergi ke alam barzakh.

Al-Fatihah.

Tuesday, August 11, 2009

Harry Potter and the Half-Blood Prince (2009)

Sudah agak lama juga aku habiskan menelaah buku Harry Potter and the Half Blood Prince ni. Tapi aku melengah-lengahkan masa untuk pergi menonton versi filemnya di panggung kerana ramai sangat yang cakap ia membosankan. Tidak ada klimaks yang padu serta jalinan cerita yang tidak teruja. Mengapa begitu pula jadinya? Padahal aku yang pernah baca bukunya mendapati ia sangat gelap, kejam, seronok dan membongkar misteri. Juga menyayat hati apabila pengetua yang disayangi itu meninggal dunia.

Tapi aku mengalah juga, pergi menonton sendiri untuk memuaskan hati sebagai tanda peminat siri filem ini yang aku belum lagi tertinggal. Mula-mula di buka adegan pertama itu memang kagum dengan visual cantik dan tertanya-tanya apakah wasap hitam bergelung-gelung melingkar atmosfera muggle London dengan cuaca mendung seakan membawa berita buruk? Imej janaan khas jambatan milenium bergegar dan musnah semakin menerbitkan semangat untuk tersihir sama dalam instalasi terbaru Harry Potter ini.

Namun, ia menjadi mendatar dan sedikit merampas minat untuk terus terpaku pada layar. Malah ada penonton yang keluar panggung, kecil hati pulak aku di buatnya sebab mereka tak tengok sampai habis. Boring sangat agaknya. Memanglah ia agak buruk filem ni tapi kalau baca bukunya, kamu tidak akan percaya begini sepatutnya ia akan terbentuk secara fizikal. Kenapa banyak sangat David Yates ingin memasukkan unsur budak-budak itu sedang di lamun cinta atau di rasuk asmara, tak tahulah.

Padahal yang paling penting plot dalam buku menceritakan bagaimana asal-usul Voldemort seperti yang tertayang pada teaser filem ini yang bermain sejak tahun lepas lagi. Babak Tom Riddle semasa kecil dan perincian tentang horcruxes yang merupakan antara elemen penting serta adegan akhir patut lebih diutamakan. Nanti bila edisi filem seterusnya keluar kenalah penonton buat assumption sendirilah tentang semua itu.

Sunday, August 02, 2009

Mencuri Ilmu

Minat membaca memang digalakkan. Tapi tak perlulah sampai mencuri! Rasa tertanya-tanya juga apakah buku-buku yang di cilok oleh pelakon Gerak Khas itu dari kedai tersebut. Khamis lepas dalam suratkhabar ada di beritahu tajuknya – The Sistine Secrets dan Decoding the Heaven. Tak tahulah apa istimewanya dua buah buku berkenaan sampai kena di songlap. Padahal bukannya tak mampu.

Setelah aku masuk Amazon, baru aku tahu secara ringkas kandungannya bila baca reviu yang diberikan oleh pengulas.

The Sistine Secrets sebenarnya ada sambungan judulnya berbunyi Michelangelo's Forbidden Messages in the Heart of the Vatican adalah digambarkan oleh kebanyakan sebagai Michelangelo's high Renaissance artworks in the Vatican City, Florence and elsewhere and claims Michelangelo was directly influenced by Jewish religious teachings of the Talmud, Midrash and Kabbalah in his subject matter as well as deeper symbolic messages of Christian religious art, particularly in the Sistine Chapel

Manakala Decoding the Heaven pula ada dua siri tajuk kecil yang lain jadi aku tak tahu dia curi yang mana satu?! Tapi ianya berkaitan dengan komputer yang di dakwa telah wujud sejak zaman purba dan berusia dua ribu tahun yang cuba di bongkar misteri kewujudannya. Macam menarik saja buku ini.

Jika bahan bacaan yang di jual di kedai buku besar ini terlalu mahal, kini ada kedai lain yang menawarkan buku lebihan yang di jual dengan harga lebih murah tanpa perlu nak mencuri. Aku baca dalam Kosmo! pada Jumaat lalu ada sebuah kedai beroperasi di AmCorp Mall mejalankan urusniaga ini.

Mungkin pelakon itu tak adalah sampai kena dakwa serta menjatuhkan reputasinya jika dia mengetahui kewujudan kedai yang di panggil BookXcess itu yang menjual buku-buku terlebih cetak atau yang telah lama diterbitkan maka kedai ini berfungsi membantu melariskannya menerusi tanda harga yang lebih rendah.

Kebanyakan bahan bacaan yang di jual di sini ialah terbitan asli dan masih baru serta berlambak jumlahnya. Tapi ia bergantung juga sama ada tajuk yang anda cari ada dalam simpanan mereka atau tidak. Namun sekurang-kurang ada juga alternatif lain kepada penggemar buku yang ingin membeli banyak tapi bajet terhad

BookXcess sekarang menawarkan potongan harga 20% untuk sebuah buku sehingga 7 Ogos ini dengan memotong kupon yang terdapat dalam Kosmo! keluaran 31 Julai lepas.

Tuesday, July 28, 2009

Pencerita yang Pergi

Walaupun terlambat, aku juga ingin hulurkan ucapan takziah buat keluarga Yasmin Ahmad di atas pemergian beliau pada hari Sabtu nan lalu. Sebenarnya petang Khamis lepas lagi dah dapat sms mengagetkan dari Gaia yang cakap dia terkejut bila ada orang send sms padanya yang Yasmin dah meninggal. Rupa-rupanya masa tu beliau di icu. Namun, sudah tersurat, hayatnya sampai setakat ini saja.

Pernah juga ada sekali dulu, aku ingat lagi Gaia ada sms aku bila Yasmin sms dia bertanyakan siapakah pelakon-pelakon dari Kelantan yang dia boleh suggest untuk berlakon? Aku pun tolonglah bagi list pelakon-pelakon dari Kelantan yang aku tahu. Lepas tu aku sms pada Gaia. Tak tahulah itu untuk projek Yasmin yang mana. Aku juga tidak tahu follow-up tentang sms tu sama ada Gaia ada menerima apa-apa respon daripada Yasmin. Apa-apa saja maklumat tentang Yasmin, semua aku dapat dari Gaia inilah.

Tidak ada pengalaman peribadi aku sendiri dengan beliau.

Cuma pernah sekali terserempak di KLCC masa aku balik kerja dan lalu berdekatan kedai Haagen-Dazs. Dari jauh ternampak kelibat seseorang yang famous. Berbaju kebaya putih dengan kain hitam tak silap aku, sambil mencebet beg. Sedang berjalan sambil bercakap dengan seorang wanita di sebelahnya. Yasmin Ahmad rupanya.

Kami berpapasan sambil mata melihat antara satu sama lain. Beberapa saat mata kami memandang tidak berkelip kerana aku memang kenal beliau jadi memang rasa nak tengok. Manakala aku tak tahulah apa yang beliau fikirkan bila aku tengok macam tu. Lepas tu aku terus sms adik aku di kampung beritahu yang aku nampak Yasmin Ahmad di KLCC. Kecil saja orangnya, aku sms begitu.

Dengan Talentime menjadi filem terakhir penghasilan beliau yang aku tengok di panggung, bermula dengan filem Rabun yang tersiar menerusi slot Cerekarama (yang ada potongan adegan mandi di perigi), sampailah housemate aku beli vcd Rabun semata-mata nak tengok secara penuh cerita Rabun ni dan iklan-iklan menyentuh perasaan, tidak ada lagi karya beliau dapat di tatap selepas ini. Tiba-tiba hati menjadi sayu.

Tuesday, July 21, 2009

The Blossoming of Maximo Oliveros (2005)

Ini merupakan sebuah filem tentang si kanak-kanak lelaki lembut yang cantik dan mempesonakan sekaligus menambat hati. Bukan budak tu saja yang cantik maksud aku tapi ceritanya pun turut memberi kesan. Pemilik nama dalam filem ini yang di panggil Maxi oleh ahli keluarganya, memang di besarkan begitu, di didik dan di terima seadanya dengan perangai hadek-hadek yang tulus sopan walaupun ada terselit gedik-gedik manja. Lebih-lebih lagi setelah ibunya meninggal sewaktu dia masih kecil menjadikannya satu-satunya “perempuan“ yang ada untuk melakukan kerja-kerja rumah yang tidak boleh di harap oleh ahli-ahli lelaki dalam keluarga itu.

Kedua abangnya malah bapa Maxi sendiri merupakan lelaki alfa yang keras, sejati dan penuh kejantanan sekaligus kontras dengan peribadi si bongsu itu. Namun mereka dipotretkan sangat mengambil berat, memahami dan melindungi Maxi selayaknya sebagai adik kecil yang masih hijau dan sentiasa perlu di bawah pengawasan. Ini mungkin sifat biasa bagi abang yang tua untuk bertindak begitu terhadap anggota famili yang masih kecil tetapi keluarga budak lembut itu berlatar-belakangkan semuanya adalah penyangak dengan buat kerja-kerja haram.

Jadi ini nampak luar biasa sikit sebab mereka sangat bertoleransi dengan keletah Maxi yang sotong itu. Malah apabila adik mereka ini mula berkawan dengan seorang polis dewasa yang segak dan tampan, mereka masih boleh terima tanpa sebarang waham untuk mengekang persahabatan tersebut yang boleh di pandang janggal. Cuma apabila leverage yang mereka ada terjejas kerana polis tadi tidak mahu bersubahat dengan penjenayah, barulah mereka membangkangnya.

Aku tak tahu sejauh mana filem ini condong untuk bersandar pada tema gay dengan karektor pusatnya yang memiliki naluri begitu lebih-lebih lagi setelah melihat babak endingnya. Mungkin ia lebih pada kisah seputar golongan setinggan yang hidup dalam kesempitan, penuh bobrok dan kacau namun kaya kasih sayang hanya secara kebetulan ada di kalangan mereka itu terdapat seorang insan yang musykil dengan jantina.

Wednesday, July 15, 2009

Hari Tanpa Membeli Apa-apa

Atau Hari Tanpa Belanja dan dalam Inggeris di panggil Buy Nothing Day hanya aku tahu setelah baca Malay Mail semalam. Ianya akan berlangsung esok di Malaysia jadi tahanlah nafsu membeli-belah anda untuk sehari demi menjayakan kempen yang murni ini. Hari ini, luangkan masa ke kedai atau restoran atau pasaraya untuk memenuhi tuntutan berbelanja anda yang membuak-buak itu. Jadi akan ada bekal atau stok untuk digunakan pada 16 Julai itu apabila anda tidak dapat beli apa-apa.

Tuesday, July 14, 2009

Departures (2008)

Filem ini yang tidak di beri perhatian kerana buzz lebih menjurus pada Waltz with Bashir, tiba-tiba menjadi buah mulut setelah memenangi kategori Filem Asing Terbaik dalam Oscar yang lalu. Kalau watak utama filem ini Daigo Kobayashi tidak tahu pun makna “Departures“ yang disiarkan dalam iklan kerja kosong itu, aku juga tidak tahu filem ini berkenaan tentang apa. *Dalam imdb menyatakan, tajuk filem ini dalam bahasa Jepun ialah Okuribito yang bermaksud menghantar seseorang pergi tetapi ia satu perkataan yang jarang digunapakai dalam kehidupan seharian mereka*. Lantas si Kobayashi tadi menganggap yang jawatan yang ingin di pohonnya itu ada kena-mengena dengan travel agency.

Walaupun dia mendapat tahu kemudiannya bahawa sangkaan awal itu meleset sama sekali, tapi difikir-fikir, memang ia ada kena-mengena dengan travel juga. Cuma ia perjalanan yang menuju ke alam barzakh. Secara tepatnya dia akan bertugas menyiapkan jenazah sebelum ia disemadikan. Pekerjaan ini adalah sesuatu yang taboo dalam masyarakat di sana sehingga dia sendiri tidak memberitahu dengan jelas kepada isterinya apabila di tanya. Malah kawan lamanya juga mencemuh dan menghindarinya setelah mendapat tahu.

Kematian menjadi titik mula kepada lelaki ini untuk membangkitkan semula hidupnya yang telah berakhir. Sebelum ini dia dengan kerjaya yang bagus sebagai pemain cello terpaksa berpindah ke kampung tanpa sebarang perancangan tertentu setelah orkestra yang disertainya bubar. Aku rasa idea untuk menggabungkan maut dengan alat muzik cello sangat berkesan di dalam pergerakkan filem ini. Landskap kawasan luar bandar Jepun dengan iklim yang berubah-ubah menjadi pencerita secara tidak langsung sepanjang proses Kobayashi mengadaptasi kepada takdir baru hidupnya.

Ini sebuah filem yang walaupun kita rasa ia perlahan dan longlai, kita boleh belajar sesuatu dari sikap dan perilaku Kobayashi yang serius, tertib dan penuh etika setiap kali mengendalikan pengkebumian yang diamanahkan. Memang kagum sangat dengan apa yang dia dedikasikan untuk satu bidang yang di lihat jelik oleh orang sekitar. Kita boleh belajar sesuatu dari situ kerana sampai di liang lahat sekalipun masih ada sesuatu yang boleh dijadikan pengajaran dan maklumat berguna.

Saturday, July 11, 2009

Adegan Ketawa

Kalau anda ada baca satu majalah baru di pasaran sekarang, Infiniti (macam Mastika - cuma lebih santifik - macam Dewan Kosmik - cuma lebih pop) ada satu artikel menyentuh tntang seorang gadis yang tidak boleh berhenti ketawa.

Eh, aku pernah alami macam tu - masa tengok wayang kalau ada adegan yang memang menggelikan hati, tak boleh berhenti ketawa jadinya). Tapi gadis tu bukan sedang tonton wayang. Dan dia memang akan tergelak walaupun bukan pada keadaan yang memerlukan dia ketawa sekali pun. Berasal dari China, Xu Pinghui, telah mengalami masalah ini sejak dia pulih daripada demam panas pada usia 8 bulan sampai dia berumur 13 tahun sekarang.

Tapi bukanlah dia ketawa non-stop 24-7!

Menurut seorang doktor yang ditemuramah berkenaan hal ini memberitahu pesakit biasanya akan tertawa berhenti-henti, iaitu mereka akan tergelak selama beberapa minit, kemudian berhenti dan selepas itu hanya tersenyum. Perbuatan ini tidak dilakukan secara terus-menerus tetapi kerap berlaku setiap hari. Sekiranya ketawa dilakukan tanpa berhenti, perlakuan itu agak berbahaya kerana boleh membawa maut lantaran penat terkekeh.

Sebenarnya aku nak cakap beberapa adegan dalam filem yang telah membuatkan aku ketawa bagai nak gila sampai orang tengok pun akan memandang serong. Antaranya

1) Rat Race

Adegan masa Whoopie Goldberg dengan anak perempuannya tu yang naik kenderaan “World Fastest Indian“ supaya mereka cepat sampai. Turun-turun je masing-masing dah pening lalat dan terhuyung-hayang sebab laju yang amat benda tu melunjur.

Kebetulan pulak tempat mereka berhenti tu dekat dengan sekumpulan pesakit mental sedang outing. Habis, dengan-dengan mereka berdua sekali kena angkut naik bas hospital gila tu sebab aksi diorang yang macam tengah tingtong masa tu.



2) Meet Dave

Babak dalam filem tu semasa Dave tu nak bersalam dengan jiran Elizabeth Banks ketika mereka baru jumpa. Kelakar sangat.

3) Ice Age: Dawn of the Dinosaurs

Masa diorang kena gas ketawa tu sampai terkeluar suara chipmunks. Diego yang macho tu macam tersipu-sipu pulak bila bercakap pun keluar suara kepit. Memang gamat punya kelakar sampai aku terlupa yang filem ni start dengan agak boring.

4) Bowfinger

Banyak jugak yang lawak tak hengat dalam filem ni. Paling aku suka masa Eddie Murphy kena buat stunt dengan melintas di tengah lebuh raya yang busy nak mampos.

5) Filem Melayu (Judul: Unknown)

Satu filem Melayu lakonan Salih Yaccob dengan adegan masa dia nak potong ayam sambil dengar panduan macam mana nak potong ayam tu dari tv. Dia pulak tak tengok tv masa tu just dengar je dari dapur. Tup-tup siapa entah pegi alih channel bukak rancangan senamrobik pulak. Dah lah suara instructor aerobik tu sebijik macam suara tukang masak tadi, jadi si Salih ni pun habis di-aerobik-kan ayamnya tu sebab dia ingatkan tukang masak tu ajar macam tu.

Nota: Beberapa bulan selepas tu aku tertengok satu filem Hong Kong di tv, ada satu secene tu sebijik macam yang Salih Yaccob buat ni. Aku tak tahu siapa tiru siapa, sebab nak check tajuk kedua-dua filem Melayu dan Cina tu, langsung aku tak ingat. Tapi bila tengok filem Cina tu, dah tak rasa lawak dah sebab dah pernah tengok kan.

Tuesday, July 07, 2009

Forever Enthralled (2008)

Filem tersohor pernah dihasilkan oleh Chen Kaige ialah Farewell to My Concubine. Ia berjaya merangkul Palme d’Or di Cannes serta tersenarai dalam nominasi di Anugerah Academy serta mengaut banyak penghargaan lain. Ia juga melonjakkan nama Leslie Cheung, pelakon utama filem tersebut menjadi sebutan. Berkisarkan dunia opera Cina, tetapi aku masih belum berpeluang menyaksikan filem berkenaan.

Tetapi terbaru daripada pengarah ini, juga menelusuri seni persembahan pentas opera berjudul Forever Enthralled, sebuah biopic penyanyi opera terkenal pada zamannya Mei Lanfang yang dibintangi oleh Zhang Ziyi, Leon Lai dan Masanobu Ando. Bezanya dengan filem yang menang tadi, itu adalah fiksyen cuma subjeknya saja yang sama perihal satu bentuk hiburan yang sudah lama berbudaya dalam masyarakat mereka.

Paling dekat aku boleh mengaku pernah menyaksikan sendiri acara ini ialah semasa Hungry Ghost Festival, dengan pentas didirikan dan kemudian para pemain watak akan menyanyi serta berlakon di atasnya dengan penonton terpesona. Aku pula bukan betul-betul tengok sekadar lalu di tepi. Tapi kebanyakan yang melalui kawasan pementasan itu memang akan tertoleh juga ke situ kerana pemeran yang bersolek tebal dengan mekap bersinar serta suara nyaring kuat bergema, memang akan menarik perhatian.

Filem ini juga akan menarik minat dan tumpuan khalayak untuk mengetahui sedikit sebanyak tentang opera Cina melalui perjalanan hidup tokoh paling diraikan dalam sejarah mereka. Walaupun memang sampai apa yang ingin pengarahnya ketengahkan cuma ia tidak cukup dramatik atau tidak rasa ada apa-apa tragedi untuk menimbulkan lebih efek pada penceritaannya. Mungkin ada sisi hidup Mei Lanfang yang getir atau lebih mencengkam tetapi tidak dirincikan. Sebuah filem biografi yang macam di paksa untuk menjadi epik.

Friday, June 26, 2009

The Last House on the Left (2009)



Kalau masih ingat aku pernah nyatakan dulu, sudah lama aku mencari filem ni. Sampai tertukar tajuk dengan filem lain, The Last House in the Woods. Memandangkan aku tidak dapat tengok versi asalnya (lepas periksa di imdb, tahun 1972 itu Wes Craven mengambil idea daripada filem Sweden, Ingmar Bergman's Jungfrukällan (1960), aka "The Virgin Spring" rupa-rupanya), aku berpuas hati setelah menontonnya di panggung dengan potongan yang terhad, plot yang mencengkam dan kisah yang menyesak dada.

Suasana yang sama seperti Funny Games atau Eden Lake yang menyongsong kita ke atmosfera terpencil dan hening dengan sekelompok kecil manusia ingin berlibur dalam keterasingan akhirnya terpalit ke nestapa. Sebenarnya dulu aku membayangkan ceritanya melibatkan hantu dengan penghuni rumah itu kena rasuk atau di serap entiti jahat. Lagipun aku mengelak untuk di beri idea apa yang bakal filem ini persembahkan tapi setelah melihat trailer, tentulah aku tahu ceritanya bagaimana. Asalkan ia ada prospek untuk menjadi tontonan yang berbaloi, ia tetap ada tenaganya.

Seperti dalam dua cerita yang sebut di atas yang menjadikan wanita sebagai mangsa atau sasaran utama, wanita itu juga akan bangkit menjadi pencetus keazaman untuk mengatasi segala yang mustahil, waima menempuh kesan yang berbeza akhirnya atau mungkin tiada beza sama sekali. Namun watak Mari Collingwood dalam filem ini dalam susah-payah dan sengsara masih mampu melunaskan kekejaman walaupun bukan melalui tangannya sendiri. Sebagai penonton kita memang akan bersimpati dengannya terutama ketika babak sadis itu yang ditunjukkan secara subtle tetapi menusuk.

Khabarnya edisi terbaru ini tidak sekejam atau sedahsyat yang asal. Namun ia masih memberi pulangan yang setara atau dalam sesetangah aspek lebih baik daripada yang lama. Seperti skrip, lakonan dan muzik latar yang lebih menjiwai walaupun pergerakan cerita adakalanya terasa lambat. Pengarah, George Iliadis telah membuat bikinan semula yang baik untuk filem ini.

;
;
;
;
;
;
;
;
;
r.i.p Michael Jackson

Wednesday, June 17, 2009

Drag Me to Hell (2009)

Kembalinya true horror movie, menurut satu tagline untuk promo filem ini. Sam Raimi yang semakin popular setelah mengarahkan filem blockbuster Spider-Man, kini berpatah balik ke asal-usulnya iaitu genre puaka. Aku kenal dengan Sam Raimi ni pun setelah di paksa oleh kawan aku tengok vcd Evil Dead. (Aku pernah cerita ke sebelum ni? Tak ingatlah) Menurut kawan aku tu yang fanatik filem seram, memang wajib tengok dan hargai true horror classic macam Evil Dead ni. Bagi aku sendiri pula yang tak pandai nak komen, terasalah keseraman, gerun dan ngeri yang di bawakan oleh cerita tu.

Tetapi beliau memang ada niche untuk menggerakkan konsep horror itu melalui cara tersendiri. Menerusi Drag Me to Hell, kita bagaikan tengok cerita seram zaman dulu dengan muzik tema dan kredit pembukaan malah logo Universal Studio itu pun di ambil yang versi 60-an punya. Tambahan pula apabila adegan permulaan bermain pada era tersebut dengan sepasang suami-isteri membawa anak lelaki mereka untuk berubat dengan seorang dukun di rumah agam. Dari sini kita mengenali sejenis ilmu hitam yang di panggil Lamia. Menakutkan juga.

Kalau anda sudah tengok trailer filem ni, tentu tahu yang watak Alison Lohman itu di sumpah oleh seorang wanita tua kerana Alison sudah memalukan dirinya apabila rayuannya (ala-ala menyembah) tidak di terima. Dia cuma mahu pinjaman perumahannya dilanjutkan tetapi pegawai bank tersebut tidak dapat meluluskan setelah mendengar nasihat daripada bos yang mahu dia menggunakan pertimbangan sendiri. Antara rasa perikemanusiaan atau ingin membuat bos tadi impress supaya dia dapat naik pangkat, maka dia pun nekad untuk memilih jalan yang akhirnya membuatkan dia binasa.

Seperti pepatah Inggeris yang menyebut the love of money is the root of all evil, tindakan Alison yang ingin menarik perhatian ketuanya supaya dia dapat promoted dan naik gaji memanglah menjadi umpan terjeremus ke lembah puaka secara sebenar. Raimi menggunakan lesen kreatif untuk menggambarkan naluri manusia yang kian di rasuk oleh material walaupun ada pilihan lain yang masih boleh di perhalusi untuk mengimbangkan tuntutan moral. Selain nada retro dan unsur thriller yang pernah beliau guna pakai untuk versi seram ini, masih terdapat kelucuan dalam sesetengah adegan yang tidak dapat di sangkal menghiburkan kita dalam sela-sela ketakutan yang di tampilkan.

Monday, June 15, 2009

State of Play (2009)

Filem ini di angkat dari siri mini yang pernah disiarkan di BBC. Bagaimana untuk memuatkan beberapa episod sebuah drama televisyen menjadi dua jam sebuah filem secara berkesan? Mungkin sesetengah aspek yang tidak perlu dan perkara yang tidak mencacatkan jalan cerita boleh dikesampingkan untuk memberi hasil yang sama mendalam. Pengarahnya, Kevin McDonald yang sebelum ini memberi kita The Last King of Scotland, mengadaptasi political thriller ini yang menimbulkan minat membongkar susunan teka-teki sehingga akhirnya.

Latar-belakang filemnya yang mengambil fasa pentadbiran sebelum ini yang bermatlamat memerangi keganasan melibatkan pegawai atasan kerajaan dengan sisi gelap serta konspirasi anggota korporat yang memiliki kontrak ketenteraan penuh muslihat. Manakala mereka yang terlibat untuk membongkar skandal ini boleh jadi bahaya dan mendatangkan ancaman kepada kedua-dua belah pihak. Malah ia lebih menimbulkan dilema lagi apabila ada conflicts of interest di kalangan mereka.

Itulah beban yang di usung Cal McAffrey, watak di peran Russell Crowe sebagai wartawan yang sedang menyiasat satu pembunuhan di sebatang lorong tiba-tiba dikejutkan bahawa kawannya seorang politikus mungkin terlibat dalam satu kes lain yang pada mulanya tidak berkaitan tetapi nampaknya ia ada kena-mengena dengan kejadian bunuh tadi. Ben Affleck sebagai ahli kongres yang sedang mengendalikan satu sidang siasatan terhadap sebuah organisasi yang disyaki ada membuat operasi yang meragukan tidak semena-mena menjadi tumpuan umum apabila seorang pegawai kanannya maut dalam kemalangan yang membawa syak bahawa kedua mereka mempunyai skandal.

Jika anda berminat dengan kerja-kerja perisikan dan cerakin maklumat serta tugas-tugas siasatan, mungkin anda akan tertarik dengan plot begini. Kerana di dalam mereka berbincang, menganalisis dan mencantum informasi yang ada, ia turut membawa penonton untuk merasai proses debaran mendapatkan jawapannya. Filem ini juga membuat kita melihat secara dekat peranan media konvensional bersaing dengan sumber maya bukan setakat mengeluarkan berita semata-mata malah bagaimana menyalurkannya secara penuh kredibiliti.

Friday, June 12, 2009

Sms Kilt

Semalam, sedang berjalan di siarkaki KLCC berdepan air panjut, tiba-tiba ternampak seorang lelaki mat salleh berjalan dengan seorang wanita Asia. Menariknya lelaki itu memakai sehelai kilt. Ada juga mereka yang sedang duduk melepak di sana merakam gambar mat salleh itu dengan kamera. Terus aku sms seorang kawan aku berkenaan hal ini. Dia memang minat dengan hal-ehwal foreigner … hehe … Aku tulis

Ada mat salleh pakai kilt kat klcc

Kemudian dia balas

Wah! Jgn jadi Beleisure pru kilt ditiup ribot n ternampak HUNG!

Hahaha… terus ketawa aku baca. Mari aku jelaskan apakah maksud sebenar sms yang di kirim oleh kawan aku tu. Memang simbolik giler jawapan.

Prudence Beleisure ialah watak dalam filem Le crime est notre affaire yang kitorang tengok masa French Film Festival bulan lepas. Dalam satu adegan tu ada watak suami si Prudence ni mengalami kejadian seperti gambar di bawah!



Manakala Hung tu pula merujuk pada satu siri terbaru yang bakal bermain di HBO. Minggu depanlah sambung

Thursday, June 11, 2009

Red FM

Di depan Ampang Point lewat petang tadi, ada krew Red fm sedang buat road tour. Mula-mula aku buat tak tahu saja dan terus masuk dalam kompleks. Bila aku keluar semula ke depan tengok mereka ada bagi majalah free, aku pun nak juga. Dah lama tak baca Galaxie, nak beli malas. Ada yang nak bagi free ni, rembat je lah.

Selain Galaxie, ada dapat sabun cuci Daia dan sticker. Mula-mula aku ingatkan benda sabun tu ialah minuman yoghurt sebab botol dia kecil cantik warna oren lagi tu. Padahal memang dah nampak tulisan Daia kat label botol. Sampai aku confuse, bila masa pulak Daia produce minuman ni?

Sebenarnya kita kena register nama dulu sebelum di beri benda-benda percuma tu semua. Tulis je butir-butir peribadi anda menandakan anda adalah peminat setia stesyen radio tersebut.

Kemudian datanglah seorang petugas Red fm ni bertanya khabar dengan aku. Mula-mula aku dengar dia sebut nama dia Lily, (when I find out later actually it’s Dilly. Beliau tanya pernah tak dengar siaran ni? Tak pernah pulak aku dengar, sorry … hehehe …. Rupa-rupanya beliau ialah dj program bertajuk Breakfast Show, setiap Isnin hingga Jumaat dari 6 ke 10 pagi bersama dj JD yang turut ada kat situ.

Tapi masa beliau mention satu rancangan lain yang ke udara melalui stesyen ni, Late Night Love Song, oh, baru ingat yang aku memang pernah dengar siaran Red fm. Cuma itu dj lain yang jadi penyampainya. Dj Dilly pun minta aku turut mendengar rancangan beliau juga. Anda memang patut mendengar Breakfast Show di rangkaian ini kerana ada promosi menarik sedang berlangsung. Mana tahu anda boleh menangi hadiah wang tunai lumayan.



Untuk Lembah Kelang, sila hala frekuensi ke 104.9FM

Monday, May 25, 2009

America's Toughest Jobs

Seorang rakan menghantar sms mengkhabarkan dia tak ada passion untuk ke tempat kerja walaupun telah setahun bertugas di tempat baru (sebelum ini dia satu company dengan aku).

Manakala seorang kenalan baru saja berhenti kerja tanpa mendapat kan dulu kerja yang lain. Padahal dia masih dalam probation period di syarikat tersebut. Kes dah tak tahan sangatlah ni. Dia cuba juga nasib dengan company lamanya kalau hendak terima dia semula tapi jawatan itu sudah terisi.

Seorang kawan ni pula baru saja sebulan dapat kerja baru tapi masih belum dapat mojo di pejabat baru ini walaupun sudah sebulan di sana. Bila sampai hari Ahad saja mulalah dia berdebar sebab Isnin besok nak kena kerja balik. Tak tahulah kenapa dia perlu cemas begitu sedangkan tiada motif jelas pun untuk dia berasa gementar di organisasi terkininya itu.

Macam-macam karenah kawan-kawan aku tentang kerjaya mereka. Tapi walaupun dengan masalah dan dilema yang melanda mereka itu, ada juga cabaran dan peluang baru yang di cuba dan di terokai. Tak adalah mereka statik dan terkurung di tempat sama serta melalui persekitaran biasa yang jemu dan bosan. Aku respek dengan semangat berani serta mahu melangkah ke depan yang mereka semua tabah mengharungi.

Semangat yang sama juga dilalui oleh beberapa orang wanita dan lelaki di depan kamera untuk mencuba kerja-kerja baru yang sukar dan getir dalam satu program realiti berjudul America’s Tougehst Jobs. Dihasilkan oleh mereka yang memberi anda dokumentari hebat seperti The Deadliest Catch dan Ice Road Truckers, siri ini ialah satu pertandingan ekstrim yang menguji 13 peserta yang berani keluar dari zon karier yang selamat dan enteng seperti yang dilalui sekarang kepada melakukan tugasan penuh cabaran, merbahaya dan memerah tenaga.

Daripada membalak di tanah tinggi Washington kepada melombong minyak di Texas serta memandu di lebih raya berais dan sukan memancing ekstrim, setiap kerja menuntut keberanian dan fizikal mantap kerana semua peserta terpaksa bersaing dan melunaskan tanggungjawab berat tersebut menurut piawai setanding pekerja sebenar. Di penghujung episod, tugasan setiap seorang akan di analisis dan di nilai oleh bos baru mereka serta pekerja profesional di bidang itu untuk menentukan sama ada tahap kerja yang peserta lakukan menepati kriteria yang dikehendaki. Peserta dengan gred tercorot akan di buang kerja.

Pada akhir program ini nanti hanya ada seorang saja yang bertuah berupaya membereskan semua kerjaya mencabar dan menjerihkan itu untuk mengaut habuan dengan jumlah bersamaan seluruh gaji tahunan terkumpul bagi setiap jenis kerja yang mereka laksanakan pada satu-satu episod. Aku sendiri baru tengok sekali rancangan ni di mana mereka kena mengendalikan trak dengan cekap di kawasan salji yang sejuk beku di Alaska. Seperti format reality show yang lain ada interviu, aksi dan drama melibatkan peserta untuk menimbulkan impak.



America's Toughest Jobs disiarkan setiap Isnin, 8.30 malam di ntv7

Wednesday, May 20, 2009

Mongol (2007)

Filem epik ini mengangkat awalan pengkisahan dalam perjuangan Genghis Khan seorang pahlawan dari Mongolia. Tapi seperti yang aku baca, paparan yang di bawa dalam filem ini tidak mengambil peristiwa sejarah itu secara tepat tetapi diubahsuai untuk memberi sensasi sebagai bahan seluloid. Namun naskhah ini juga berdasarkan kepada puisi yang di karang selepas kematian Genghis Khan. Ia membawa kita kepada susur-galur tentang bagaimana pemimpin kaum Mongol yang terkenal pada abad ke 12 ini bangkit memperkasakan wilayahnya setelah hidup dalam buruan.

Pada permulaan cerita jika nama Genghis itu langsung tidak kita dengar, ini kerana beliau membesar dengan dikenali sebagai Temudgin. Ketika berusia sembilan tahun dia di bawa oleh bapanya untuk memilih calon isteri dari puak Merkit sebagai tanda berdamai oleh kerana kesalahan lampau bapanya itu terhadap suku tersebut. Adegan ini sangat unik dan penting kerana hidup Temudjin pada tahun-tahun terkemudian bertitik-tolak daripada kejadian ini. Bakal isteri, Borte yang dikahwininya bukan dari kaum berkenaan tetapi berasal dari puak lain yang ditemuinya semasa rombongan itu singgah di suatu kawasan untuk berehat.

Masalah dan konflik hidup Temudgin selepas itu memang ada kena-mengena dengan perempuan atau untuk memegang tampuk kuasa. Dia digambarkan sebagai lelaki yang mempunyai prinsip, tegas, bermaruah terhadap orang bawahannya serta ahli keluarga yang penyayang. Kita rasa ingin menyokong beliau sebagai pemimpin yang memiliki jatidiri yang ulung terhadap bangsa serta koloni yang ingin ditadbirnya.

Filem ini memang memuatkan dengan jelas akan kronologi yang dapat penonton ikuti saat kecil sehingga lelaki ini boleh menjadi ketua yang disegani. Oleh kerana jarang dapat melihat panorama di Mongolia, filem ini menangkap sebaik-baiknya alam semulajadi yang memukau di sana. Babak peperangan dalam filem ini sangat menjadi dan berkesan dalam pergeseran antara puak dalam satu ketamadunan yang di anggap gasar dan penuh kekejaman.

Monday, May 18, 2009

Kirana yang Perlina

Masa tengah tekan-tekan remote nak cari rancangan apa yang sedap di tonton semalam, tersampai dekat saluran Astro Kirana. Filem Getaran sedang main masa tu. Kumpulan Kristal yang masih hingusan sedang nyanyi lagu rock. Tengoklah sekejap filem yang nampak tak best ni.

Tiba-tiba keluar crawler kat atas skrin tu dengan kenyataan bahawa mulai 18 Mei yang siaran ini tidak lagi akan ke udara.

Eh, tak semena-mena tidak lagi ke udara? Kenapa begini?

Walaupun bukanlah aku setia pun menjadi penonton rangkaian ini tetapi terasa rugi pula kalau saluran Kirana ini tiada. Setidak-tidaknya dapat juga menyaksikan pelbagai filem-filem asing yang jarang di tunjuk siar. Contohnya dari Eropah atau keluaran Asia seperti Filipina, Thailand, Korea dan sebagainya.

Kirana itu maknanya sinar, molek, cantik atau elok. Dengan tiadanya Astro Kirana ini, sinar saluran filem-filem percuma ini pun perlina (hilang).

Thursday, May 14, 2009

Hujan Bebola Daging

Melihat saja trailer filem Cloudy with a Chance of Meatballs ni, terus teringatkan satu artikel dalam majalah Dewan Siswa bulan lepas … hehe .. (dah tua-tua pun baca Dewan Siswa). Terus terketawa aku tengok makanan beraneka jenis turun mencurah-curah dengan penduduk di situ cuma perlu mendongak ke langit dan menganga mulut luas-luas.

Mudah, lazat dan menjimatkan.

Dalam filem Magnolia pula ada adegan hujan katak. Geli sangat! Berbondong-bondong katak terjun menghujani bumi lalu terhempas ke tanah, aspal, rumput, atas bumbung, kenderaan dan di mana-mana saja boleh ia mendarat. (Kenalah aku check balik cerita yang panjang giler ni untuk kenalpasti)

Aku tak pernah tengok atau alami hujan pelik macam ni.

(Entry di tulis sempena hujan telah kembali semula ke KL setelah panas terik yang azab melanda berminggu-minggu)

Untuk lebih banyak info pasal fenomena hujan luar biasa ini sila baca Dewan Siswa bulan April atau layari web ini.

Monday, May 04, 2009

Don't Tell My Mother ...

Kalau dia cakap dekat mak dia karang, harus jatuh koma pula orang tua tu nanti kalau tahu dia nak ke mana.

Dari situ lah dia mendapat idea untuk menamakan dokumentari ini dengan tajuk yang nampak main-main. Bukan tipikal judul bagi satu rancangan bagi sebuah saluran dokumentari serius dan berwibawa seperti National Geographic. Dengan tajuk pelik, macam lawak jugak sekaligus menarik minat kita untuk menontonnya. Mungkin program ini sendiri lebih kepada bentuk jurnal kembara dan memo perjalanan menjadikan tanda pengenalan begitu memang catchy.

Malah mengikut kata-kata Diego Buñuel sendiri: Travelling is my passion - I'm fascinated by the remarkable stories every country has to offer. It was this desire that led me to travel the world - to Pakistan, Venezuala, Iraq and more - looking for stories and meeting fascinating people along the way. It was a great trip, sometimes travelling to dangerous places, which is why I never told my mother where I was when travelling - check out my video, photos and blogs from the trip here, but do me a favour - Don't Tell My Mother.

Don't Tell My Mother adalah perasaan intrig kita yang selalu curiga dan ingin tahu bagaimanakah kehidupan di negara-negara yang kita jarang atau tidak pernah mendengar seseorang bercerita tentangnya. Biasanya jika ada rakaman tentang sesebuah negara, ia lebih banyak bercerita tentang tempat-tempat menarik untuk berlibur di sana. Ia tidak menjurus kepada aspek kehidupan, agenda harian masyarakatnya atau masalah sosial mereka. Sudah tentu niat Diego berkunjung ke situ bukan untuk melepak santai bercanda di pusat peranginan sambil menghirup tequila.

Beliau menelusuri segenap peringkat populasi dan hal-hal seputarnya di lokasi-lokasi yang sering disisihkan serta tidak disenangi seperti Korea Utara, republik Balkan, Gaza dan seumpamanya. Hos dokumetari ini Diego Buñuel adalah cucu kepada pembikin filem surrealist legenda, Luis Buñuel menyelak belakang tabir pengembaraan di sebalik wilayah yang selalu menerima gambaran jelik.

Yang betul-betul aku pernah tengok ialah episod Holy Land dan Colombia. itu pun tertengok sebab tengah surfing the channels. Dalam entry tahun bila entah, aku pernah senaraikan negara-negara yang berbahaya untuk dilawati berpandukan kepada rencana dalam suratkhabar Mingguan masa tu. Ada 14 destinasi paling bahaya di dunia antaranya seperti Burundi, Cechnya, Haiti dan Liberia. Walaupun tempat-tempat tadi di label sebagai bahaya, tapi kalau ikut perspektif dari Diego, beliau akan mencari sisi lain negara-negara tersebut, tentang adat budaya, cara hidup, sejarah, anutan, bahasa dan banyak lagi aspek yang di pandang sepi kerana media lain lebih memfokuskan konflik politik atau peperangan yang melanda negara berkenaan.

Dengan adanya beliau yang sanggup mengambil risiko bergadai nyawa bertandang ke tempat sebegitu, kita boleh tahu yang perniagaan minyak petrol secara haram sangat menguntungkan di sempadan Venezuela/Colombia, adanya bisnes menjahit pakaian untuk aktiviti S&M di Pakistan, rakyat Korea Utara tak tahu tentang gay, maki-hamun sesama jiran di Holy Land adalah perkara selamba walaupun sedang di rakam kamera tv, dan lain-lain. Melalui rancangan ini setiap pelusuk bumi yang walaupun sesadis atau sekeji mana pun gambaran yang pernah kita dengar sebelum ini, mendapat sorotan lain yang berbeza, subjektif, menyegarkan dan membuka minda.


Dont Tell My Mother ... setiap Isnin 10 malam di rangkaian National Geographic

Thursday, April 30, 2009

X-Men Origins: Wolverine (2009)

Paling seronok untuk X-Men Origins: Wolverine ini ialah ia lebih banyak aksi lasak dan padat dengan pertarungan berbanding dengan tiga filem terawal. Setidak-tidaknya kali ini tak adalah rasa macam tengok filem Harry Potter. Malah kita tidak merasa tenaga sakti yang mereka ada telah di ekspoitasi secara maksimum masa bergasak kerana masing-masing boleh ditandingi. Beberapa kesan khas untuk menaikkan impak juga tidak mengecewakan. Untuk kepuasan tontonan bertih jagung, boleh sangat pilih filem ni.

Mungkin para pembaca yang komited dengan komik atau sesiapa yang tidak mudah berpuas hati akan mencebik dengan produk ini. Untuk yang tidak mengetahui, ini merupakan prekuel kepada filem X-Men yang pertama. Kita di bawa menyusuri asal-usul Logan dan alter-egonya Wolverine dari kecil sampailah kepada beliau yang kita kenal sekarang. Filem ini di buka dengan cantik terutama montaj variasi jenis perang yang Wolverine serta abangnya Sabretooth sertai sepanjang hayat mereka.

Seperti biasa, Hugh Jackman berada sepenuhnya di dalam elemen untuk bermain dengan karektor sebagai hero beraura serigala ini. Cuma dulu screen time kena kongsi dengan banyak karektor pusat yang lain sekarang wayang ini dia yang punya. Liev Schreiber berjaya mencuri tumpuan sebagai Sabretooth yang ada sejarah dan isu di belakangnya dengan Wolverine sebagai asas kepada plot. Walau nampak tidak seiras lakaran kartunnya berbanding Tyler Mane, Liev memberi Hugh gandingan yang cocok sama ada menjadi sahabat atau seteru.

Sebagai pengikut versi filem X-Men kita telah pun disogokkan beberapa imej tentang Logan yang sering terbayang-bayang masa silamnya menerusi filem yang lepas. Kali ini susur-galur itu dirincikan lagi walaupun tidaklah menyeluruh merangkumi episod hidup masa kecil. Lebih kepada kisah dewasa beliau saja. Jalan ceritanya tidak mendalam atau berlapis kritikan sosial atau mesej berbaur falsafah rumit seperti Watchmen atau Dark Knight, ia menjurus genre adiwira dengan naratif senang dan menghiburkan.

Monday, April 27, 2009

Caramel (2007)

Segala yang mempesonakan ada di dalam cerita ini. Menontonnya terasa bagai dibelai-belai. Aku macam pernah dengar pasal filem ni dulu tapi tak ada gambaran langsung bagaimanakah bentuknya. Lalu bila terpandang posternya di gsc aku harus pergi tengok. Tanpa ada sebarang tanggapan awal sebelum aku memberi rumusan terhadapnya, Sabtu lepas aku meluangkan masa menonton.

Tajuknya itu memang sudah memberi simbolik kepada apa yang ingin di beritahu. Mula-mula aku bayangkan ia ada kena-mengena dengan restoran atau perusahaan makanan. Seperti Chocolat lakonan Juliette Binoche yang langsung merujuk kepada coklat. Caramel memanglah sejenis bahan makanan tapi di sini ia di guna sebagai kaedah buat waxing.

Kekenyalan karamel itu yang melekit, liat dan elastik ibarat ikatan sesama rakan perempuan di sebuah pusat kecantikan di Beirut. Persahabatan mereka yang melekat kukuh walau apa juga masalah dan krisis melanda mereka cuba hadapi bersama. Namun seperti karamel yang manis sebagai pembuka selera, ia juga boleh menjadi tersayat pedih kalau dijadikan ramuan mencabut bulu! Setiap individu di dalam kelompok wanita ini mempunyai konflik hidup mereka tersendiri di dalam lingkungan moden namun masih menjunjung nilai-nilai tradisi Asia Barat yang kian terhakis.

Nadine Labaki selaku pengarah dan pelakon utamanya berjaya membawa kita menyingkap secebis pengalaman beberapa wanita bersandarkan persekitaran yang jarang diketengahkan kecuali perang dan pergolakan politik di rantau itu. Filem ini sangat memikat daripada aspek ceritanya yang boleh di kira taboo untuk diperkatakan mengikut konteks masyarakat di sana seperti hilang dara, sukakan kaum sejenis dan bercinta dengan suami orang. Visual yang cantik serta muzik latar yang meransangkan melengkapi kisah yang syahdu ini.

Thursday, April 23, 2009

Crossing Over (2009)

Memang tidak dapat dinafikan yang terdapat persamaan antara Crash dan Babel dengan filem ini. Terkandung variasi pertembungan watak dan peristiwa untuk menjalinkan naratif di dalam membentuk plot. Malah Crossing Over ini tetap memainkan tema serupa dengan dua filem tadi yang melibatkan sosio-budaya, warna kaum, kepercayaan, latar-belakang, fahaman dan seumpamanya. Karektor yang terbentuk melalui unsur kebetulan bagai menjamin yang hidup tidak dapat lari jauh dari saling terikat sesama manusia.

Jalan cerita dalam filem ini terasa dekat dengan keadaan di Malaysia. Seperti yang diceritakan dalam Crossing Over, mana-mana negara yang di anggap lebih makmur dan ada begitu banyak peluang untuk memajukan diri akan menjadi tumpuan warga asing berhijrah ke situ. Dalam filem ini yang berlokasi di Los Angeles, pelbagai bangsa dari merata negara bergelut untuk melepasi karenah birokrasi imigresen dan undang-undang untuk mendapat taraf warganegara yang sah di Amerika. Seperti juga dengan negara kita yang ramai pendatang tanpa izin sanggup bergadai nyawa dan mengambil risiko demi untuk terus bermastautin dan mencari rezeki di sini, sama juga gambarannya dengan keadaan di negara Pakcik Sam itu.

Kadang-kadang tidak sampai kepada akal kita yang waras betapa terdesaknya mereka semua ini untuk lari dari negara asal semata-mata untuk mencari kehidupan di bumi orang sampai melampaui batas. Daripada pelbagai jalur cerita yang dipaparkan, kita ditemukan dengan aneka masalah, situasi dan ragam yang mencabar pihak berkuasa di sana untuk menanganinya sehingga menimbulkan dilema antara mematuhi dasar pemerintah dan garis kemanusiaan. Wayne Kramer selaku penulis dan pengarahnya bagiku telah menggarap cerita ini dengan baik memandangkan begitu banyak kisah yang berselirat dan kena di telusuri.

Dulu aku pernah tengok satu filem macam ni bertajuk Dirty Pretty Things. Cuma dalam tu sudut pandangnya adalah melalui imigran yang berhijrah ke UK itu. Manakala dalam Crossing Over paparannya menyeluruh antara pihak berkuasa dan pendatang. Hidup di negara mana pun asal saja ada kemahuan dan usaha serta berlandaskan saluran yang betul sekurang-kurangnya dapat menenangkan diri.

Sunday, April 19, 2009

The Uninvited (2009)


Oleh kerana selalu sangat melihat trailernya berputar di pawagam, aku merasa jelak. Tetapi setelah menonton filemnya sendiri, aku harus berterima kasih kepada trailer yang licik itu. Ia langsung tidak memberi gambaran apakah sebenarnya misteri yang berlaku di persekitaran mereka. Ok, semua ini tidak lagi menjadi surprise kepada anda kalau sudah tengok versi asalnya.

Macam juga Shutter yang aku sudah tengok filem awalnya terbitan Thailand dan apabila keluar edisi remakenya lakonan Joshua Jackson, telah merosot elemen kejutan yang sepatutnya menunggu di penamat. Malah The Uninvited ini sendiri sudah beberapa kali tergantung proses penyiapannya malah tajuknya juga turut di ubah daripada A Tale of Two Sisters seolah ia bukan satu hasil salinan semula. Strategi tersebut bagiku agak berkesan kerana judul itu agak menjurus kepada plot yang sepatutnya dirahsiakan.

Anna Rydell, seorang remaja yang sedang di tahan di hospital sakit jiwa akhirnya dibenarkan pulang ke rumah oleh doktor yang merawatnya setelah disahkan sembuh dari penyakit. Dia di jemput oleh bapanya yang kelihatan gembira anak gadisnya kembali pulih lalu membawanya balik ke rumah agam mereka. Apa yang menanti di sana selain kenangan pedih tentang ibunya yang maut dalam kebakaran adalah bakal ibu tirinya yang juga merupakan mantan jururawat peribadi ibunya dulu. Dia mengesyaki kekasih bapanya itu merupakan dalang kepada kematian ibunya setelah mendapat mimpi dan petanda ngeri melalui beberapa kejadian supernatural. Lalu dia berpakat dengan kakaknya Alex untuk membongkar muslihat jururawat berkenaan.

Memang ada beberapa elemen seram dan mengejutkan dalam The Uninvited untuk memberi kesan horror. Tetapi apa yang paling berjaya di sini ialah jalan ceritanya. Mungkin tidak ada yang baru daripada segi plot tetapi penulisnya masih mampu bermain dengan kreativiti untuk menjadikan ia tetap menimbulkan wow!

Wednesday, April 15, 2009

Paus Biru

Petang Ahad yang lepas aku dengan gigihnya pergilah ke MidValley untuk melawat baby terbesar di dunia. Anak ikan paus biru itulah maksudku. Hujan-hujan pun sanggup ni meredah banjir segala untuk ke sana. Kat KL ni kan hujan sikit pun air dah naik tahap buku lali. Sampai juga aku ke MidValley dalam pukul 4 macam tu.

Sebenarnya aku terbaca rencana pasal pameran ini dalam Berita Harian hari Sabtu tu baru tergerak hati nak pergi. Padahal selalu ternampak iklan dia dalam saluran National Geographic. Tiba saja di sana terus aku melangkah ke ruang legar di mana replika haiwan marin itu ditunjukkan.

Ketika ni sudah ramai orang berkerumun menyaksikan anak ikan paus itu nampak macam tergantung menjalar di udara. Ada yang sedang bergambar, menonton visual dokumentari melalui televisyen di situ, membeli cenderamata, membaca deskripsi yang terpapar di bahan pameran dan aku sendiri turut menyertai mereka mengagumi paus biru berkenaan dan membeli satu barang. Aku pilih benda yang tak mahal sangat. T-shirtnya hampir seratus ringgit sehelai. Aku rasa pensil ialah barang termurah yang di jual di situ, RM 10 sahaja.

Hasil dari pembelian pengunjung akan menyumbang kepada dana National Geographic untuk meneruskan usaha melakukan pengembaraan, kajian saintifik dan proses pemuliharaan terhadap flora dan fauna serta sebarang aktiviti penemuan dan pendidikan demi umat sejagat. Sekejap je aku pusing ruang pameran tu. Lagipun aku dah baca artikel mengenai kisah hidup paus biru ni dalam suratkhabar tadi. Aku percaya dengan kehalusan kerja tangan yang di buat terhadap replika haiwan ini yang seratus peratus menyerupai anak ikan paus sebenar.

Kalau anda rasa sudah puas dan biasa menonton hidupan ini dalam program dokumentari melalui saluran itu, kini anda boleh juga menyaksikannya berlakon. Kerana ikan paus ini turut membuat cameo dalam filem Queens of Langkasuka yang sedang ditayangkan sekarang… hahaha…


Foto ehsan daripada http://bangsawan-nilai.blogspot.com. Terima kasih

Thursday, April 09, 2009

Righteous Kill (2008)

Kedua pelakon veteran ini kembali bergabung setelah bersama-sama membintangi filem Heat pada tahun 90-an dulu. Sudah tentulah Heat lebih mantap daripada filem Righteous Kill yang sekadar boleh aje ni.

Mula-mula tengok tu agak pening nak serap apa yang mereka paparkan dekat layar. Dengan scene yang kejap-kejap melompat sebab kena sensor bab mencarut tu, dengan adegan flash forward serta suara periwayat dan juga adegan masa kini yang bercampur-aduk dengan imbas kembali, memang serabut habis. Sukar untuk kenalpasti apakah bendanya yang filem ini ingin utarakan. Masa tengah menulis ini pun aku dah lupa apakah perkara yang aku tengok pada awalan kisah.

Secara ringkasnya, pada pengenalan filem ini ada dua polis veteran yang berjuang untuk menentang jenayah di bandar mereka. Tapi salah-seorang dari mereka bukanlah polis yang baik. Kita dah tahu awal-awal lagi sebab ada adegan rakaman pengakuan di satu cctv. Ia lebih kurang macam siri tv Dexter yang ahli forensik itu membunuh mereka yang di fikirkannya layak walaupun undang-undang telah membebaskan pesalah tersebut. Namun dalam pada itu ada dua orang polis muda yang sedang menyiasat, melihat ada keraguan dalam beberapa kes bunuh yang mempunyai pattern yang mirip.

Seperkara lagi, aku rasa jalan ceritanya bukan saja berkisarkan pegawai polis yang ingin membasmi kebejatan walaupun terpaksa dilunaskan menerusi peraturan sendiri, ia juga mengenai persahabatan dua lelaki. Sehingga lelaki yang seorang lagi mengangkatnya sebagai idola. Ramai yang kutuk filem ni mungkin diorang harapkan ia jadi lebih baik terutama gandingan Robert de Niro dan Al Pacino.

Friday, March 20, 2009

Filem-filem Menarik 2009

Ada beberapa filem yang bakal ditayangkan tahun ni (kalau tidak ada apa-apa halangan) yang aku berminat untuk menontonnya. Dan mungkin kamu juga - Entry ini diinspirasikan daripada blog Maverick. Aku cuba cari gambar-gambarnya minggu depan. Keterangan mengenai filem-filem tersebut mungkin aku akan edit.

1) Dorian Gray

Aku cuma tahu mengenai figura ini melalui filem A League of Extraordinary Gentlemen. Masa tu aku sangat intrig untuk tahu lebih lanjut mengenai karektor ini. Rupa-rupanya ia dari novel Oscar Wilde dan bakal dilakonkan oleh Ben Barnes (Prince Caspian).


2)The Road

Masa tengok temuramah Cormac McCarthy dengsn Oprah Winfrey yang jarang-jarang bersetuju untuk di interviu, aku sudah tertarik untuk membaca novelnya (tak baca-baca pun sampai sekarang). Tunggu sajalah filemnya keluar.


3) 2012

Pengarah yang obsess dengan segala yang melampaui saiz dan fenomena, Roland Emerich memfilemkan metos berkenaan dunia akan berakhir pada tahun tersebut menurut kalender kaum Maya.

4) Extraordinary Garbage

Aku yang jenis sayang sangat nak buang barang-barang ni sampai dah bersepah kat rumah tu memang nak sangat tengok dokumentari ni. Boleh juga dapatkan idea sampah-sarap yang bertimbun tu untuk dijadikan hasil seni ….kehkehkeh… Fernando Meirelles menjadi penerbit eksekutif untuk dokumentari ini.

5) Amelia

Daripada pengarah Mira Nair dengan dua kali pemenang Oskar pelakon wanita utama, Hillary Swank berdasarkan kisah sejarah yang masih tidak terungkai misterinya, harus tonton.


6) The Last House on the Left

Tengah aku sibuk-sibuk nak cari versi tahun 1970annya, tiba-tiba keluar pula versi remake tahun ini. Kena tengoklah.


7) Where the Wild Things Are

Sebab aku suka tengok cerita seperti Bridge to Terabithia dan Spiderwick Chronicles, aku akan nantikan kemunculan filem ni.

8) Fame

Kalau tahun lepas kita ada Mama Mia, tahun ni ada Fame yang dulu pernah ada filemnya tahun 1980-an.


9) Crude

Filem dokumentari ni bertanding dalam Festival Filem Sundance 2009 mengenai buangan minyak di Amazon.


10) Taking Woodstock

Filem arahan Ang Lee mengenai seorang lelaki yang tiba-tiba menjadi penggerak kepada sebuah aliran fiesta konsert musim panas tahun 1969.

Thursday, March 19, 2009

City of Ember (2008)

Kalau kita di sini sedang sibuk dengan agenda untuk memadamkan lampu, rakyat jelata di sebuah koloni bawah tanah ini pula sedang kecoh berikhtiar untuk memastikan lampu di penempatan mereka tetap kekal menyala. Sudah tentulah aku bercakap tentang City of Ember. Sepatutnya akhir tahun lepas filem ni bermain di Malaysia tapi baru sekarang disiarkan. Pada masa tu aku sedang baca novel Tunnel jadi aku memang tertunggu-tunggu filem ni datang ke pawagam sebab temanya sedikit mirip ada kena-mengena dengan penduduk bawah tanah.

City of Ember juga berasal dari buku, tulisan Jeanne Duprau serta diarahkan oleh Gil Kenan (Monster House). Plot permulaan di buka dengan suara periwayat menceritakan bagaimana boleh tercetusnya manusia di hantar untuk hidup di perut bumi di sebuah bandaraya dinamakan Ember. Pengasas kota tersebut yang di panggil “Builders” turut mewasiatkan kepada datuk bandar yang di lantik untuk menjaga sebuah peti yang akan menentukan masa depan mereka selama 200 tahun akan datang. Malangnya pada giliran datuk bandar yang ke-berapa entahlah, beliau dengan cuainya telah mengabaikan kotak tersebut sehinggalah ia dilupakan untuk beberapa generasi seterusnya.

Dekat blog ironboard telah mengulas pasal filem ni dengan padatnya. Dan aku sangat setuju dengan pendapatnya mengatakan yang Bill Murray nampak macam Pak Lah sekali imbas. Menakutkan. Masa tengok tu aku tak terfikir pulak macam tu. Memanglah ada unsur satira politik dalam filem ni selain mesej utamanya supaya jangan membazir api elektrik (secara literal)! Walaupun sebagai rakyat Ember, penggunaan elektrik secara skala yang besar memang tak dapat dielakkan lagi sebab mereka dan memang hidup bawah tanah. Blackout sekejap pun dah traumatized giler.

Filem ini memang sesuai untuk kanak-kanak yang dahagakan advencer yang tidak sia-sia, sangat merangsang fikiran untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup. Mereka tahu menggunakan segenap peluang dan berikhtiar serta meraih kepercayaan daripada orang lain. Kita campaklah mereka ke hujung dunia pun dan tahu mereka boleh survive

Wednesday, March 18, 2009

Berkhemah dan Padam Lampu

Tiba-tiba saja malam tadi housemate aku ajak aku pergi berkhemah. Berkhemah? Atau camping dalam bahasa orang putihnya. Apa motifnya ni tak semena-mena nak berkhemah. Rancangannya nak pergi bulan depan. Tak tahulah aku nak setuju ke tak ni.

Tapi rasanya masa yang paling sesuai untuk anda berkhemah ialah 28 Mac nanti sebagai menyahut kempen memadamkan lampu selama sejam mulai pukul 8.30 sehingga 9.30 malam. Sebab kalau dah duduk dalam khemah mestilah tak pasang lampu elektrik kan. Pasang unggun api jer.

Thursday, March 12, 2009

Vicky Cristina Barcelona (2008)


Inilah filem ke-tiga Woody Allen yang menggunakan Scarlett Johansson sebagai teraju utama yang aku tengok selepas Match Point dan Scoop. Dia berlakon sebagai Cristina yang melawat Barcelona atas pelawaan Vicky (Rebecca Hall) untuk bersama-sama habiskan cuti musim panas mereka di sana. Mereka menumpang di rumah saudara Vicky. Pengarahnya kembali dengan tema komedi romantik, sesuatu yang pernah menjadi kegemaran beliau.

Tetapi untuk mengangkat filem ini adalah tergolong dalam genre itu secara yang lazim mungkin tidak boleh di terima. Ia adalah bertentangan dari itu. Sebagai pengkarya yang sukar difahami, Woody membentuk filem ni supaya kisah cinta dengan formula yang biasa menjadi cantik menurut acuannya walau tidak semestinya dalam lingkungan sahsiah. Terdapat empat karektor yang difokuskan di sini berkenaan pandangan mereka tentang perasaan dan perhubungan dalam struktur yang di luar normal, gila, melebih-lebih tetapi intim.

Selain mendasari hubungan antara sesama manusia itu, filem ini juga meninjau aspek manusia dengan persekitaran yang mereka alami ketika itu. Tentu saja berkenaan dengan bandaraya Barcelona itu yang menjadi “watak utama” di sini untuk menampilkan bagaimana perangai orang luar (diwakili oleh tunang Vicky dan sahabat bisnesnya dari Amerika) yang tidak ambil peduli mengenai budaya, seni, sejarah serta identiti kota itu yang tertonjol di mana-mana. Namun kita di pujuk oleh Vicky sendiri sebagai orang Amerika yang menafikan stigma itu sebagai pelajar yang mengkhusus bidang Catalan serta Cristina yang mencintai fotografi dan lukisan.

Sudah tentulah Javier Bardem dan Penelope Cruz adalah pasangan penggiat seni sewel yang paling anda ingin jauhkan walau sukar untuk menidakkan aura yang mereka pancar. Mereka berempat saling melengkapi untuk segala yang tidak selesa dalam ikatan yang terjalin. Risikonya anda tanggung di pundak sendiri.

Wednesday, March 11, 2009

The Page Turner (2006)

Tahun bila entah, filem ni ada disiarkan semasa French Film Festival di GSC. Aku tak sempat pula nak tengok. Bila nampak dvd ni kat satu kedai, aku pun beli. Walaupun tidak juga aku beria-ia nak tengok sangat. Setelah lama dvd ini terbiar, pada suatu hari yang sepi aku pun pasang.

Mula-mula dengar tajuk ni aku ingatkan ianya simbolik tentang sesuatu atau apa-apa yang bukan literal. Tapi memang ianya berkenaan seorang gadis yang bertugas sebagai penyelak mukasurat. Helaian nota muzik yang terletak atas piano itulah menjadi tanggungjawab Mélanie Prouvost untuk menyelak tatkala majikannya Ariane Fouchécourt seorang pemain piano tersohor sedang beraksi. Kerana memang agak sukar bagi wanita itu untuk fokus pada persembahannya jika dalam masa yang sama dia kena mengalihkan halaman nota tersebut.

Mujurlah ada Mélanie, seorang pelatih yang di bawa pulang oleh suami Ariane dari firma guamannya untuk bekerja sementara sebagai pengasuh anak lelaki mereka di rumah. Apabila mengetahui yang gadis itu mahir dengan piano, dia dengan ikhlas terus menawarkannya untuk berkhidmat sebagai seorang The Page Turner. Padahal Mélanie hadir kerana sekelumit dendam kerana pada sepuluh tahun yang lampau suatu detik yang menyakitkan hatinya telah berlaku semasa peperiksaan piano recitalnya yang melibatkan Ariane.

Apakah itu? Walaupun penulis cerita memberi kebetulan yang disengajakan dengan mudah untuk membenarkan situasi itu terjadi, tetapi filem ini merupakan psychological thriller yang mencengkam.

Dua wanita utama ini hanya di beri dialog yang minimum serta shot-shot kamera yang intim pada muka untuk menzahirkan segala-galanya. Muzik latar terutamanya piano menjadi penanda kepada susunan babak yang tenang tetapi merbahaya. Walaupun daripada awal kita sudah di beri clue tentang apakah motifnya, tetapi susah sikit nak agak bagaimana ia akan turn out akhirnya. Mungkin elok kita menyelak kembali pada helaian hidup untuk merenung jika kita pernah melukakan sesiapa secara tidak sengaja.

Tuesday, March 10, 2009

Tujuh Kati

Seorang kawan sms aku yang dia terdorong untuk menulis blog balik. Aku pun dah tak ingat nama blog dia sebab selalu sangat buka dan tutup atau dibiarkan laman itu bersawang. Lama-lama aku pun terlupa untuk klik ke situ. Sekarang dia tiba-tiba ingin mula menulis kembali, apakah puncanya?

Dia ingin menulis tentang rancangan realiti paling popular di tanahair kita ini yang sekarang dah masuk tahun ke tujuh. Aku setuju aje dia nak buat macam tu. Menurut dia lagi, suara peserta-peserta pada musim ini lebih mantap dan itu sesuatu yang boleh diperkatakan. Tapi aku tak dengar sangat lagi tahap vokal mereka ni semua. Malah tak sempat nak kenal pun lagi siapakah yang bertanding kali ini.

Aku sendiri masa mula-mula berminat dengan rancangan ini adalah di saat-saat ia menerima gembar-gembur seranta yang sangat kecoh perihal seorang pesertanya yang terpaksa di buang walhal membuat persembahan yang bagus. Manakala lagi seorang yang menyanyi dengan sangat teruk masih bertahan. Tapi ketika itu macam mana aku nak menontonnya kerana belum melanggan Astro. Sempat tengok final saja ketika ada karnival Astro di PWTC.

Selebihnya menjadi sejarah.

Ada jugaklah satu dua entry aku buat berkenaan dengan reality show ini pada tahun-tahun berikutnya sehinggalah aku hilang minat. Kalau dulu ada teman sepejabat, Ika yang memang minat habis dengan rancangan ni terutama juara musim ke-duanya. Selalu sangatlah aku dengar dia cerita itu ini pasal gathering yang dia sertai dengan mamat tu serta mereka yang sekepala dengannya. Kini Ika pun dah tak kerja sini aku pun sudah lost contact. Kalau tidak, ada saja benda yang dia nak beritahu.

Lama-lama ia jadi pudar. Ketiadaan kawan yang obses dengan program tersebut serta selalu berkongsi cerita tentangnya. Dan rancangan itu sendiri yang telah menimbulkan banyak saingan lain menyebabkan ia seakan satu lambakan komoditi yang tidak perlu. Aku menolak untuk mengambil tahu lagi. Tetapi kawan tadi yang ingin menulis mengenainya membuatkan aku akan kembali klik ke sana.

Thursday, February 26, 2009

Pendendam di Zon Perang

Kalau tak kerana aku tengok Rome, haram aku tak kenal siapa berlakon jadi Punisher yang baru ni. Ray Stevenson menggantikan Thomas Jane sebagai Frank Castle a.k.a The Punisher seorang veteran perang Vietnam yang kematian anggoa keluarganya di tangan sekumpulan gengster akibat terlihat kejadian jenayah yang melibatkan kumpulan itu. Lalu beliau pun membalas dendam dengan menjejaki anggota mafia terbabit untuk menghapuskan mereka.

Agak kelakar bila filem ni menterjemahkan nama Punisher itu menjadi “Pendendam“. Padahal Castle bukan sekadar insan yang penuh kesumat, sebaliknya memang akan terus menjatuhkan hukuman tak agak-agak. Tanpa mengira mereka tersabit sama dalam kes keluarganya di bunuh dulu. Tanpa mengira siapa pun si banjingan itu. Tanpa menyenarai pendek. Atau tanpa sempat mengenal pasti mereka sebenarnya adalah anggota polis yang menyamar sebelum mula menarik picu machinegun.

Itulah yang berlaku dalam The Punisher: War Zone kali ini apabila Castle secara tidak sengaja tertembak seorang FBI yang di sangkanya penjahat sedangkan pegawai itu sedang menjalankan operasi sulit kerajaan. Dilema melandanya kemudian namun setelah di desak oleh sekutunya dari pihak berkuasa, Castle kembali menghunus senjata. Misinya kali ini lebih hebat kerana penjenayah yang di burunya itu memang berdendam tahap gaban kepada beliau sebab mencacatkan mukanya yang dulu licin. Dia upah beberapa kumpulan gengster untuk menumpaskan The Punisher seorang dalam sebuah premis lama.

Kalau anda masih ingat filem pertama dulu tentu perasan yang ia tidak ada langsung membuat rujukan untuk versi awalnya. Ray nampaknya lebih berkesan sebagai watak anti-hero untuk The Punisher ini dengan terus bergasak dan berperang saat adegan bermula tanpa perlu merincikan pada penonton kenapa dia perlu jadi begitu tidak berhati perut. Seperti yang balu kepada anggota FBI yang Castle tak sengaja tembak itu beritahu The Punisher di akhir filem, bahawa Frank Castle sebenarnya seorang yang baik. Walaupun kita sendiri ingin menghukumnya di atas “kebaikan“ yang ditunjukkan itu.

Wednesday, February 18, 2009

Terasa Dungu Menonton Filem-Filem Bertaraf Oskar?

Mungkin corak filemnya yang bukan bersifat lebih disukai ramai seperti komedi, chick-flick, seram, aksi lasak, adaptasi komik atau novel popular menjadikan ia sukar menarik perhatian. Padahal jalan ceritanya pada aku senang difahami asalkan kamu ada minat untuk menontonnya. Mungkin minat saja bagi sesetangah orang tidak cukup. Peluang untuk menghargai atau belajar menonton sesuatu yang berbeza boleh dijadikan sebab. Ada juga filem begini di angkat daripada sumber yang aku sebut di atas, tetapi oleh kerana pendekatan atau olahan atau konsep telah di ubah lari menongkah arus, turut menyebabkan ia dijauhi.

Aku menyentuh satu rencana dalam majalah First pasal anugerah Oskar.

Patutnya banyak lagi aku tulis untuk sambungan entry di atas tapi dah blank pulak. Langsung tak ada idea. Tapi rencana yang bertajuk “It’s Intimidation Time” tu sendiri di tulis dalam nada humor. Siap buat lawak pasal Anne Hathaway yang dapat pencalonan dalam Rachel Getting Married, mengenai filem terbaik Oskar lakonan Kevin Costner dalam Dances with Wolves dulu, tentang Will Smith menjadi dramatik dalam The Pursuit of Happyness, pasal filem Australia yang sebesar skala Gone with the Wind dan lain-lain.

Seperti tahun ni antara filem-filem yang bertanding (meliputi pelbagai kategori) dalam anugerah Academy yang sudah aku tonton seperti Slumdog Millionaire, The Curious Case of Benjamin Button, Doubt, The Dark Knight, Changeling, Wall-E semuanya senang di fahami. Tak ada yang membuatkan aku bengap atau susah nak hadam. (aku tak mampu nak bagi contoh filem Oskar yang dicalonkan pada tahun lepas-lepas sebab nak kena rujuk balik pada internet – perlu lebih banyak masa).

Alasan lain menyebabkan filem bertaraf Oskar tidak mendapat sambutan mungkin kerana sensitiviti masyarakat. Contohnya filem seperti Doubt. Memang tak ramai pun yang tengok filem ni kerana situasinya berkisar agama walaupun subjeknya lebih kepada moral. Dengan dibarisi pelakon handalan seperti Meryl Streep, Amy Adams dan Phillip Seymour Hoffman ia tidak berupaya mendapat perhatian khalayak umum. Ketiga-tiga mereka ini pula pernah membintangi filem lain yang lebih popular seperti Mamma Mia, Enchanted, MI:III yang aku juga tengok kat panggung bersama penonton yang penuh.


Satu lagi sebab yang boleh aku fikirkan ialah mungkin penonton tidak suka filem yang tidak di beri penamat yang pasti. Misalnya dalam Doubt, kita tak di beri jawapan pun sama ada paderi itu betul-betul mencabul kehormatan budak lelaki bawah umur tersebut. Manakala dalam Changeling, adakah anak Angelina Jolie masih hidup atau telah di bunuh kerana dia digambarkan masih mencari anaknya yang terculik itu dan sangat optimis.

Tuesday, February 17, 2009

Zereshk Polow

Kalau korang tak pernah rasa biji barberry ni macam mana, lebih baik jangan. Tapi kalau nak cuba jugak, terpulanglah. Sebab rasa dia amatlah masam! Masam yang tiada tandingannya. Aku baru jumpa buah ni masa makan zereshk polow di sebuah gerai makanan Iran semalam.

Barberry adalah sejenis beri yang selalu di bubuh dalam masakan Parsi. Ia lebih kecil daripada kismis dan berwarna merah. Kalau lidah korang dapat tahan menjamah benda-benda masam, mungkin korang akan suka makan nasi campur barberry ni. Aku cuma mampu habiskan nasi dengan lauk kari ayam tawar yang dihidangkan sekali.


Macam itulah rupanya nasi Iran dengan saffron dan barberries. Oleh kerana aku tak minta kebenaran nak ambil gambarnya, pergi ke website ini kalau nak tengok foto-foto lain yang ada dalam tu.

Credit picture: http://www.flickr.com/photos/yutai Thank you!

Monday, February 16, 2009

Kesedihan Rome

Sebaik sahaja Octavia meluahkan rasa terima kasihnya dengan sebak terharu kepada Servilia sembari mengalirkan air mata, dia lantas mengambil segelas air di sisinya lalu diminumnya seteguk.

Alamak, memang betullah.

Apabila tengah bersedih, elok minum segelas air (tak pasti pula sama ada air sejuk atau suam-suam kuku yang efektif di sini).

Dalam adegan siri Rome tu, Octavia di suruh oleh ibunya, Atia yang kejam dan penuh muslihat supaya meminta bantuan pengawal daripada Servilia untuk mengawasi rumah mereka. Padahal Atia sebelum ini mengadakan komplot untuk memburukkan nama Servilia di mata masyarakat Roman. Jadi dia merasa sangat bersalah di atas perangai ibunya itu. Sebab itulah dia tersentuh dan tak percaya di atas budi baik Servilia yang masih sanggup membantu dia dan ibunya walaupun telah dikhianati.

Lepas tu entah macam mana, setelah habis bersedih tu, kedua-dua perempuan ni boleh tertarik pula antara satu sama lain!

Thursday, February 12, 2009

Sinetron Sejuk

“Sebelum ibu saya meninggal, dia sering berpesan agar minum air sejuk banyak-banyak masa bersedih karena air sejuk boleh menghilangkan segala kesedihan,” kata anak perempuan dalam sinetron bertajuk Jelita.

Huh?! Ye ke ni?

Tak kuasa masa tengah bersedih-sedih bagai tu sempat togok air sejuk! Kelakar gila skrip.

Bukan aku yang tengok drama Indonesia tu. Ada seorang kawan ni hah, lepas aje dia dengar dialog yang lawak tu, dia pun hantar sms kat aku. Sekali baca je terus aku terkekeh ketawa.

Aku memang tak gemar tengok sinetron yang meleret-leret jalan ceritanya dengan episod sampai entah berapa ratus. Masa cerita Bawang Putih Bawang Merah meletup dulu pun aku tak terfikir nak tonton. Setakat filem wayang Indonesia aku masih boleh bertahan lagi itu pun kena tunggu cerita yang benar-benar aku nak tengok seperti Janji Joni, Kala dan Novel Tanpa Huruf R (tengok melalui vcd – yang hampehnya vcd tu pulak asyik stuck).

Masa zaman-zaman dulu, filem Indonesia yang aku tengok kebanyakannya jenis joint venture seperti Gadis Hitam Putih, Dewi Cinta, Pernikahan Berdarah, Irisan-Irisan Hati, Bayangan Cinta dan seumpamanya.

Wednesday, February 11, 2009

Surat Terkoyak

Tengah sedap-sedap koyak surat tu baru aku sedar, ia bukan surat bil Astro! Sebaliknya surat housemate aku. Bank statement something apa entah. Kat mana pula aku campakkan surat Astro tadi?

Tentu dia ingat aku koyak surat dia sebab aku sakit hati. Housemate aku tu suka sangat carik buka surat orang. Aku tak faham perangai macam tu. Melanggar etika dalam pergaulan. Boleh mencetus sengketa.

Selepas menyedari aku tersilap, aku masukkan balik surat dalam sampulnya dan tak kan nak gam balik kot? Biarkan begitu saja. Kalau dia tanya, aku cakap yang aku tak sengaja.

“Aku ada tulis dalam blog kalau kau tak percaya,” (beritahu dalam hati)

Supaya meyakinkan yang aku memang tidak bermaksud untuk membuka surat orang. Aku bukan perangai macam tu. Walau dia nak suspek atau menaruh curiga itu aku tak boleh elak. Walau dia mulakan dulu. Aku tak fikir nak membalas perbuatan dia tu.

Ya, sesetengah perkara masih perlu berutus surat di zaman sms dan e-mel ni.

Tuesday, February 10, 2009

Makanan Baru di Rasa

Hujung minggu lepas berlangsung Fiesta Sarawak/Terengganu di MTC. Aku pun pergi ke sana. Ingat nak rasa bubur pedas, tapi tak ada jual. Yang ada ialah Laksa Sarawak, Kek Lapis, Mee Kolok dan jajan ala Sarawak yang diperbuat daripada sagu.

Makanan dari negeri penyu bertelur itu pula seperti nasi dagang, keropok lekor, satar (tak sesedap yang biasa aku makan), laksa dan makanan ringan ala-ala kampung. Adalah satu dua yang aku beli.

Pertama kali ternampak mee kolok. Dah lama dengar mengenainya tapi sebab tak jumpa kat Semenanjung ni, tak berpeluanglah aku nak makan. Sebab dah ada kat sini, aku pun order semangkuk. Dia macam bihun sup utara (daripada rasa tekak aku ni) tapi mee dia style lain. Ada rupa mee sanggul.

Satu makanan ringan yang di buat daripada sagu aku beli, sedap juga. Tapi sebab mahal RM3 dan sikit, aku beli sebungkus sajalah. Nanti aku try google gambarnya kalau ada. (Namun agak payah sebab nama kuih ni pun aku tak tahu)

Kemudian di One Utama, aku beli sejenis kuih yang atasnya di isi ubi kentang yang telah di cincang jadi serbuk dan bawahnya berinti ayam macam inti pai di kiosk makanan Korea depan Jusco. Kuih itu berisi dalam cawan seperti cupcake dan kita kena korek isi dia guna sudu. Aku nak beli lagi lain kali sebab rasanya enak banget.

Thursday, February 05, 2009

Bukan Percuma

Sebelum cuti Tahun Baru Lunar baru-baru ni, aku beli tiket wayang tiba-tiba dapat kupon guna internet free sejam. Yay! Sah sampai 31 Januari 09. Sebab tak ada keperluan pun nak berinternet masa tu aku pun simpan saja.

Kafe internet itu baru di buka di tingkat 9. Jadi mereka membuat promosi begini selain menarik pengguna baru, dapat memperkenalkan tempat mereka.

Dekat-dekat hujung bulan tu, aku pergi ke sana nak meluncur laman sesawang. Masa ni baru aku terfikir yang tak kan diorang nak kasi free je. Mesti ada udang di sebalik batu. Harus diorang suruh bayar jugak internet kat situ dalam sejam dua ke, and the next hour baru boleh percuma.