Jalan cerita dalam filem ini terasa dekat dengan keadaan di Malaysia. Seperti yang diceritakan dalam Crossing Over, mana-mana negara yang di anggap lebih makmur dan ada begitu banyak peluang untuk memajukan diri akan menjadi tumpuan warga asing berhijrah ke situ. Dalam filem ini yang berlokasi di Los Angeles, pelbagai bangsa dari merata negara bergelut untuk melepasi karenah birokrasi imigresen dan undang-undang untuk mendapat taraf warganegara yang sah di Amerika. Seperti juga dengan negara kita yang ramai pendatang tanpa izin sanggup bergadai nyawa dan mengambil risiko demi untuk terus bermastautin dan mencari rezeki di sini, sama juga gambarannya dengan keadaan di negara Pakcik Sam itu.
Kadang-kadang tidak sampai kepada akal kita yang waras betapa terdesaknya mereka semua ini untuk lari dari negara asal semata-mata untuk mencari kehidupan di bumi orang sampai melampaui batas. Daripada pelbagai jalur cerita yang dipaparkan, kita ditemukan dengan aneka masalah, situasi dan ragam yang mencabar pihak berkuasa di sana untuk menanganinya sehingga menimbulkan dilema antara mematuhi dasar pemerintah dan garis kemanusiaan. Wayne Kramer selaku penulis dan pengarahnya bagiku telah menggarap cerita ini dengan baik memandangkan begitu banyak kisah yang berselirat dan kena di telusuri.
Dulu aku pernah tengok satu filem macam ni bertajuk Dirty Pretty Things. Cuma dalam tu sudut pandangnya adalah melalui imigran yang berhijrah ke UK itu. Manakala dalam Crossing Over paparannya menyeluruh antara pihak berkuasa dan pendatang. Hidup di negara mana pun asal saja ada kemahuan dan usaha serta berlandaskan saluran yang betul sekurang-kurangnya dapat menenangkan diri.
