Mula-mula dengar tajuk ni aku ingatkan ianya simbolik tentang sesuatu atau apa-apa yang bukan literal. Tapi memang ianya berkenaan seorang gadis yang bertugas sebagai penyelak mukasurat. Helaian nota muzik yang terletak atas piano itulah menjadi tanggungjawab Mélanie Prouvost untuk menyelak tatkala majikannya Ariane Fouchécourt seorang pemain piano tersohor sedang beraksi. Kerana memang agak sukar bagi wanita itu untuk fokus pada persembahannya jika dalam masa yang sama dia kena mengalihkan halaman nota tersebut.
Mujurlah ada Mélanie, seorang pelatih yang di bawa pulang oleh suami Ariane dari firma guamannya untuk bekerja sementara sebagai pengasuh anak lelaki mereka di rumah. Apabila mengetahui yang gadis itu mahir dengan piano, dia dengan ikhlas terus menawarkannya untuk berkhidmat sebagai seorang The Page Turner. Padahal Mélanie hadir kerana sekelumit dendam kerana pada sepuluh tahun yang lampau suatu detik yang menyakitkan hatinya telah berlaku semasa peperiksaan piano recitalnya yang melibatkan Ariane.
Apakah itu? Walaupun penulis cerita memberi kebetulan yang disengajakan dengan mudah untuk membenarkan situasi itu terjadi, tetapi filem ini merupakan psychological thriller yang mencengkam.
Dua wanita utama ini hanya di beri dialog yang minimum serta shot-shot kamera yang intim pada muka untuk menzahirkan segala-galanya. Muzik latar terutamanya piano menjadi penanda kepada susunan babak yang tenang tetapi merbahaya. Walaupun daripada awal kita sudah di beri clue tentang apakah motifnya, tetapi susah sikit nak agak bagaimana ia akan turn out akhirnya. Mungkin elok kita menyelak kembali pada helaian hidup untuk merenung jika kita pernah melukakan sesiapa secara tidak sengaja.