Dia tak ingat pula hari itu ialah hari raya ke dua atau ke tiga. Apa yang dia pasti musim itu ialah hari raya. Pada hari raya yang dimaksudkan, pagi-pagi lagi dia telah ke pantai. Dia tidak tahu kenapa dia ke situ. Sebelum ini dia tidak pernah turun ke pantai semasa hari raya. Pagi-pagi buta pula tu.
Hanya dia seorang saja ketika itu. Tiada manusia lain.
Berlari-lari di pesisiran pantai.
Dari hujung ke hujung.
Bermain air laut.
Dari gigi air ke tengah.
Biar basah.
Biar basah semuanya.
Dia belum mandi pagi itu. Pagi hari raya. Dia bangun dan belum mandi dan pergi ke pantai. Air laut menyimbah ke seluruh badan. Badan basah. Baru dia ingat kenapa dia turun ke laut semasa pagi hari raya. Kerana tidak ada orang. Kerana dia boleh mandi laut seorang diri.
Tidak ada sesiapa di situ.
Kerana tidak ada sesiapa yang akan pergi ke pantai tatkala hari raya. Sekurang-kurangnya pada pagi raya ke dua atau ke tiga.
Tidak ada orang akan memandang.
Jadi dia tidak perlu rasa aib.
Rasa rikuh.
Terasa malu-malu.
Kerana berseorangan di pantai adalah perkara asing.
Terasa dipulaukan.
Tiba-tiba dia ternampak ada orang datang. Dia ingin lari menyorok tapi tak sempat. Dia membiarkan orang itu menghala. Walau hati rasa kecewa.
Rupa-rupanya itu bapanya. Bapa datang dengan dua orang adik-beradiknya.
Walaupun dia rasa kebersendiriannya telah tergugat tetapi dia tak boleh buat apa-apa. Kerana pantai ini bukan miliknya. Sesiapa saja boleh datang bermain air. Mandi laut. Berlari-lari atas pasir yang berdesir.
Tambahan pula itu ialah bapanya. Dan adik-beradiknya. Dia tak boleh marah ahli keluarga sendiri. Kerana dia baru saja minta ampun dan maaf daripada mereka pada pagi 1 Syawal. Mereka pun ingin mandi laut juga. Walaupun pada pagi hari raya. Walaupun itu bukan perkara wirit yang mereka lakukan sebelum ini.
Bapa, dia dan adik-beradiknya menyerbu ke arah air. Mereka berenang. Meluru ke tengah, ke laut luas yang tidak di duga. Melihat ombak berlumba-lumba menuju ke pantai secara dinamik. Badan di lambung tetapi mereka cuba mengelak. Namun lencun juga.
Menjerit gembira dengan cara yang sebenar. Kerana itulah tujuan bapa dan adik-beradiknya ke sini. Dia pergi ke hujung sebelah sana. Batu-batu besar tercokol tegap kukuh seakan perisai. Kakinya memanjat hati-hati batu berlumut, licin dan sejuk tetapi selamat untuk sampai ke puncak.
Bapanya tidak memanjat sama. Sebaliknya berenang lambat-lambat menyusur tebing sembari mengawas. Adik-beradiknya mengikut dari belakang mengira batu-batu tersergam. Dia melangkah teliti kerana rentan tergelincir. Dia ingin melihat apa yang ada di sebalik pantai sana.
Pantai di sebalik batu-batu bagak.
Batu yang menyembunyikan.
Sesuatu yang dilindungi akan menjadi syak.
Sebenarnya mereka mungkin bukan ingin mandi laut. Atau bermain ombak. Atau memanjat batu. Mungkin bapa dan adik-beradiknya datang ke sini mencarinya. Dia tak ingat sama ada dia ada memberitahu mereka sebelum keluar tadi.
Apabila langit semakin meninggi, mereka sekeluarga meninggalkan pantai. Kerana cuaca tidak mengizinkan. Kerana hari itu masih hari raya. Mereka sepatutnya berada di rumah menyambut tetamu. Atau pergi berziarah ke rumah saudara atau tetangga.
Bukannya mandi-manda di pantai. Jejak-jejak pantai mereka tinggalkan. Matahari semakin terik memancar. Mereka tidak mahu di selar ultra lembayung.
