Monday, July 10, 2006

Berarak Warna

Hari Jumaat lepas tengok raptai Citrawarna dengan housemate. Disebabkan masih tak memiliki kamera untuk upload gambar, pakat-pakat baca sajalah apa aku nak tulis ni. Tapi posternya cantik – ada muka pemuda yang seolah sedang terkejut + terpinga-pinga apabila kotaraya ini dibanjiri propaganda kebudayaan. Semua negeri ada budaya tradisinya yang unik untuk menjadi wakil wilayah mereka kecuali Kuala Lumpur.

Nampak sangat KL tak ada budaya tertentu yang boleh dibanggakan – terpaksa menumpang atas nama budaya kontemporari. Kali ini ia bertemakan Batik apakejadahntah. Aku terpaksa highlight team dari KL ni kerana ia “terlalu unik“. Apabila tiba giliran kumpulan KL berhenti depan grandstand untuk menari, aku melihatnya seraya cringe with horror. Sampai terdengar penonton lelaki kat belakang yang mulutnya tak ada insurans melaung

“Ramai woi pondan tu...!!“

Memang betul. Sampai tak dapat cam yang mana satu perempuan, yang mana satu lelaki dan yang mana pulak yang separuh-separuh! Ini baru betul mardi-grass. Macam negeri-negeri lain walaupun ada ahli perbarisan mereka tu lemah gemalai ala-ala nyah gitu, tapi mereka memakai kostum yang mewakili lelaki. Kita tengok pun tahu ini budaya mewakili gender perempuan manakala yang satu lagi adalah puak lelaki. Tapi untuk KL ni ahli-ahli team mereka ada sedikit kekeliruan di tonjolkan. Kalau ada gambar senang sikit untuk korang analisis sendiri.

Kemudian masa negeri Pahang punya kontigen mengambil giliran sekali lagi lelaki celupar yang duduk di belakang membuat bising

“Wooi.... ada burung buat sarang atas kepala pulak....hakhakahkkhak....“

Aku pun terpaksa ketawa sekali dengar dia cakap macam tu. Kepala penari semua dihiasi jurai-jurai jerami menjadi bentuk sarang burung. (Aku rasa ini Pahang atau Kedah punya penari – tak ingat pulak). Kadang-kadang rasa kasihan dengan peserta perarakan berkenaan yang terpaksa bertahan memakai kostum yang pelik-pelik sambil melemparkan senyuman (palsu?) kepada penonton.

Tatkala hari raptai yang aku tengok tu corak perarakan masih tidak tersusun kemas dan kelam-kabut sikit. Macam tak cukup latihan (tak tahulah hari sebenar macam mana). Namun masih ramai manusia yang membanjiri pinggir jalan Tuanku Abdul Rahman untuk memeriahkan raptai penuh tersebut. Ia satu promosi yang bagus untuk mengetengahkan setiap negeri di Malaysia. Malah kalau kita berkunjung ke negeri itu sendiri belum tentu aspek kebudayaan seperti itu dapat kita saksikan di depan mata.

Friday, July 07, 2006

Stay Alive or Stay Away?


Telah bermacam-macam objek, jirim dan unsur yang telah di angkat untuk memomokkan hidup anda. Kali ini video game pula sebagai berpotensi untuk mengganggu – bolehkah anda melepaskan diri hidup-hidup dari permainan berpuaka ini? Jika boleh, bagaimanakah caranya? Jika tak boleh, mesti kena bunuh kan? .... duh...kalau semuanya hidup selamat, di manakah trillnya? Seakan semua benda ada menyimpan hantunya tersendiri.

Untuk abad ke-21 ini, hantu jembalang telah menjadi bertambah hi-tech. Aku bukan seorang “gamer“ untuk bercakap mengenai jenis-jenis permainan video. Tapi yang tersohor macam Lara Croft atau Resident Evil, Final Fantasy atau Sim City tu aku tahulah jugak. Lara Croft misalnya, si gadis cantik lasak pembongkar kubur yang sentiasa dalam misi bahaya membabitkan dunia alam barzakh. Manakala Resident Evil pula melibatkan zombie. Semuanya ada kena-mengena dengan unsur spirit dan alam ghaib.

Jadi, beri laluan untuk Stay Alive. Apabila bunuh-membunuh di dalam permainan video telah satu takah menjadi ekstrem, kita lihat apa terjadi kepada pemainnya apabila benar-benar di bunuh di luar permainan. Di dalam game ini, sekumpulan anak muda bertarung demi nyawa mereka untuk menewaskan seorang Blood Countess yang bukan hanya memburu mereka secara online malah terbawa-bawa sampai ke dunia nyata. Aku rasa memang itu pun impian kebanyakan gamers yang sicko supaya karektor yang mereka perangi tiba-tiba bukan lagi sekadar ada dalam skrin sebaliknya mencabar mereka sehingga ke realiti.

Kalau korang abaikan jalan cerita yang tak masuk akal ni, Stay Alive memang seronok di tonton. Ada cheap shock effects di situ, sini sikit, kill! kill! die! die!, kejar-mengejar dan sebagainya. Filem ini guna formula biasa kisah-kisah thriller yang pernah kita tengok.

Dalam satu adegan masa hero dan heroin nak masuk rumah tu ada sebuah motosikal Harley di pintu depan, tak tahulah apa fungsi motosikal tu. Penonton mesti bayangkan ada geng penjahat tengah stand-by di dalam nak memerangkap hero. Tapi sebenarnya tak ada fungsi apa-apa pun motor tersebut. Watak heroin ni yang si hero temui masa pengebumian kawannya (mangsa pertama Blood Countess) pun macam tak ada impak. Aku bayangkan ada lah twist apa-apa di hujung cerita melibatkan beliau (I know it sounds lame) but at least ada lah signifikan kewujudannya yang tiba-tiba itu.

Lain kali boleh tak jangan bagi ada nama watak sempena bulan dalam kalendar? Bayangkan tengah-tengah jalan terdengar orang menjerit-jerit memanggil October! October! Macam ganjil bunyinya campur kelakar. Oleh kerana plotnya ada kena-mengena dengan video game, jadi bersedialah anda untuk dihadapkan dengan kesan khas CGI permainan video sebesar panggung wayang. Itu aspek yang agak cool untuk filem ini setelah disogokkan dengan benda-benda lain yang corny.

Monday, July 03, 2006

Movie of My Life

The Movie Of Your Life Is An Indie Flick

You do things your own way - and it's made for colorful times.
Your life hasn't turned out how anyone expected, thank goodness!

Your best movie matches: Clerks, Garden State, Napoleon Dynamite

Friday, June 30, 2006

Mee 'yang itu'

Semalam tatkala aku menemani officemate aku membeli barang di sebuah “supermarket yang sejuk” ini, kami menghala ke bahagian belakang. Masa lalu di situ ada seorang promoter tengah mempromosikan mee segera. Mee yang telah di rebus dan di bubuh perencah kemudian di isi dalam cawan mini. Kelihatan begitu menyelerakan.

“Eh, ada mee segera, nak rasalah,” ujar officemate.

[Sebenarnya tak adalah officemate aku nak menyebut “mee segera” masa tengah bercakap tu, dia sebut satu brand yang popular ni]

“Ya lah, nampak sedap,”

Promoter tu kelihatan begitu berbesar hati kami ingin mencuba mee yang disediakannya. Masa kami dah hampir nak mencapai cawan tersebut tiba-tiba aku rasa semacam. Tak semena-mena aku teringatkan satu iklan mee segera di tv yang tidak memerlukan three hours untuk memasaknya! Dengan segera aku menarik tangan officemate supaya pergi dari situ sambil berkata “Aku rasa tu bukan mee yang biasa tu lah,”

“Bukan mee yang biasa?! Amender kau cakap ni?” Officemate agak meradang setelah aku tak bagi dia merasa mee yang kelihatan lazat itu.

“Aku rasa tu mee ‘yang itu’ lah,”

“Mee ‘yang itu’??” tanya officemate dengan nada pelik.

Kemudian aku pun explain dekat dia.

“Ha’aah lah… baru aku perasan. Nasib baik aku tak sempat makan tadi,”
:
;
;
:
;
:
;
;
:
Patutlah jauh sangat dia promote mee segera yang satu ini, terceruk di hujung donia. Mee ‘yang itu’ rupanya. Lelaki yang tengah prepare mee tu pula nampak macam tersinggung setelah kami tak jadi nak rasa mee dia. Kemudian kami blah dari situ dan meneruskan agenda shopping.

p/s: Sebenarnya aku tengok sepintas lalu jer orang tu tengah promote mee segera berperisa ‘yang itu’. Nanti aku nak check betul-betul (kalau ada lagi lah).

Tuesday, June 27, 2006

Send Me Score

Oh, akan di caj 50 sen jika kita tidak mahu menerima sms keputusan World Cup. Tak tahu pulak aku. Nasib baik presiden CAP telah menghantar komennya dalam suratkhabar dan aku ada baca pulak tu. Oleh kerana ketika membaca kritikan tersebut otak aku macam weng sikit, aku ingatkan setiap kali telco provider ni send that results mereka akan deduct credit kita sebanyak 50 sen! Banyaknya! Bukan kita mintak mereka hantar pun.

Housemate aku yang terdengar aku merungut tu pun membetulkan aku.

“Bukan diorang tolak kredit kita masa send result tu TAPI masa kita nak cancel service tu baru diorang caj kita 50 sen“

Oh eikk?

Baru aku rasa lega lepas tu.

Tapi kenapa pula ada orang yang tak mahu terima sms keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia? Apakah gangguan yang boleh diakibatkan oleh sms itu? Rasanya ia tidak mendatangkan apa-apa kejahatan. Kita boleh erase mesej tersebut setiap kali selepas mereka hantar. Lagipun bukannya lama sangat lagi, sampai 9 Julai saja bila final berlangsung.

Tambahan pula dengan kiriman sms begini boleh menjadi topik perbualan. Misalnya hari itu di dalam teksi, pemandu telah bertanya kepadaku perlawanan antara Switzerland menentang Togo malam tadi, siapa yang menang? Aku pula cepat-cepat membelek-belek handphone untuk menyemak jawapan. Hahaha… nasib baiklah aku belum padam mesej tadi dan terus beritahu taxi driver.

Lepas tu terpaksalah aku menganga dengar dia explain pasal World Cup, siapa yang main bagus, negara mana yang mungkin layak ke suku akhir, pasukan mana yang underdog, gol mana yang cantik, penalty, tendangan sudut, referee… semua keluar. Walaupun aku macam tak peduli dengan world cup ni tapi sebab housemates aku pun tengok jugak so bolehlah aku tahu sikit-sikit. Tak adalah nampak aku ni blur sangat.

Monday, June 26, 2006

Ciggie B_ _ak*

“Aku tak suka berak kat tandas sekolah kalau cikgu-cikgu lain ada sekali dalam tu.” Beritahu kawanku semalam. Tak semena-mena dia bukak topik pasal buang air besar lah pulak.

[Pengakuan: aku kurang selesa nak guna perkataan “berak” dalam blog, tapi buang air besar?!! Ada ke orang berborak dengan kawan-kawan guna perkataan buang air besar? Jadi terpaksalah aku guna word berak ni supaya nampak natural]

“Yer, betul tu, asap rokok tu kadang-kadang masuk jugak dalam cubicle tandas sebelah. Kita nak melepas pun tak selesa.” Aku menambah.

“Eh, aku bukan mention pasal orang yang berak sambil hisap rokok. Ini yang saja-saja lepak dalam toilet lepas tu dok hisap rokok”.

“Ohh. Dah tu apa masalahnya? Kau buatlah “bisnes” kau dalam tu. Bukan diorang kacau kau pun?”

“Memanglah. Tapi aku tak selesa masa aku tengah berak dengan ada orang kat luar. Tak kira lah tengah smoking atau bersembang. .... Isyhkk pepaham jer lah kalau tengah berak tu,”

I think I get his point.

Bayangkan pula kalau kita buang air besar berbunyi macam satu scene dalam filem Not Another Teen Movie. kahakhkahkah…. malu hidup. Aku rasa kalau benda macam tu betul-betul berlaku terpaksalah cikgu-cikgu kaki smoking tu kena cepat-cepat blah dari toilet tu ataupun tahan nafas jer.

Mungkin cikgu-cikgu ni ingin merasa nostalgik dengan hisap rokok dalam tandas. Masa aku sekolah menengah dulu memang bebudak lelaki ni kalau nak melepaskan gian mereka, akan merokok di dalam jamban. Tapi kena juga pilih bilik tandas yang strategik, biasanya di blok bangunan sekolah yang hujung-hujung.

Bila dah dewasa dan bekerja sebagai guru, mereka masih lagi terpaksa merokok di dalam tandas. Maklumlah sekolah kan kawasan larangan merokok, walaupun tandas tu masih dalam kawasan sekolah tapi sebab ia bukan kelas atau makmal dan tidak membabitkan semua tenaga pengajar serta tidak melibatkan murid-murid jadi tak apalah kot?!! Eh, apa aku merepek ni?

Mengikut pendapat aku yang bukan kaki merokok ni, memang tidak sesuailah cikgu-cikgu menghisap rokok di sekolah walaupun di dalam tandas guru. Kalau pekerja di bidang lain (macam aku yang kerja office ni), mereka boleh merokok di koridor atau laluan tangga kecemasan.

Ada satu peristiwa masa aku sekolah menengah dulu. Aku masa tu dalam tandas doing my business tiba-tiba terdengar bunyi bising suara beberapa guru menyerbu tandas tu. Budak-budak yang tengah hisap rokok tu pun terkantoi dan terdengarlah aksi diorang kena bambu dengan cikgu-cikgu.

Sampai pintu bilik jamban yang aku tengah guna tu pun cikgu tu ketuk. Tapi aku duduk jer dalam tu diam-diam. Bila aku rasa operasi memberkas student yang merokok dalam tandas tu dah clear, aku pun keluar. Itu jer lah ceritanya.


*Posisi huruf r dan e boleh di ubah-ubah ikut suka

Tuesday, June 20, 2006

Rupa Tanpa Wajah

Rupa Tanpa Wajah tu adalah tajuk lagu yang M. Nasir atau nama wataknya dalam filem ini ialah Bujang, mula-mula nyanyikan masa dia buat audition di studio rakaman. Walaupun dua tiga verse saja yang dia nyanyi tapi memang sedap lagu bercirikan folk itu. Sampai penerbit yang tengah handle audition tu walaupun dia macam menyampah dengan Bujang, tapi bila dia dengar lagu tersebut, terus dia macam tersuka pulak!

Tetapi oleh kerana Encik Johan ni (nama penerbit tu) seorang yang keji, dia tetap tidak menyetujui Bujang untuk menjadi penyanyi di bawah syarikat rakaman tersebut. Katanya Bujang tak ada rupa nak jadi penyanyi dengan rambut panjang dan selebet, “Rupa macam kepala penyamun!” menurutnya. Apa yang menyakitkan hati lagi ialah, dia tak nak ambil Bujang sebagai artis tetapi lagu Rupa Tanpa Wajah tu dia ambil pula tanpa kebenaran dan di ubah melodinya jadi ala-ala dangdut gitu!

Sedap jugak walaupun dangdut sebab melodi asalnya dah memang sedap. Sekali dengar macam lagu dari genre yang biasa dinyanyikan oleh Razis Ismail atau Malek Ridzwan. Dalam filem ni penyanyi lagu ciplak itu ialah Fariz. Malah tajuknya turut di ubah menjadi “Jiwa-jiwa Luka!”. Kelakar giler tajuk….. Proses ini kita panggil cetak rompak sebab tidak acknowledge pencipta asal. Fariz ni penyanyi paling top lah masa tu yang tengah popular dengan lagu “Korban Cinta Remaja”….. wakakkaka….

Apabila Bujang dapat menghidu perbuatan mereka, dia menyerang syarikat berkenaan semasa sidang akhbar album itu. Maka dia di beri nama glamor Jebat disebabkan sikap rebelliousnya itu. Ada seorang penerbit lakonan DR. Sam discover bakat Bujang masa dia tengah busking dengan rakannya Osman Tikus (Pyanhabib). DR. Sam dari syarikat Halal Rekod percaya dengan bakat dan potensi Bujang lalu menawarnya untuk mengikat kontrak dengan beliau.

Paling menarik dalam filem ini semasa sidang akhbar album Bujang (juga bertajuk Rupa Tanpa Wajah) di lakukan dekat bangunan Bank Negara. Alasannya untuk menarik aura RM supaya melekat pada album ni nanti. Publisiti stunt. Antara soalan yang wartawan tanya ialah apakah makna Rupa Tanpa Wajah, mengapa berimej ranggi, kenapa sebelum ini menyanyi di tepi jalan dan banyak lagi.

Ada soalan yang sangat releven dari seorang wartawan ni tentang kritikan seorang artis seberang, Titiek Puspa yang mengatakan lagu-lagu kita ni crap. Lepas tu M. Nasir jawab, itu satu cabaran buat kita untuk hasilkan yang lebih baik. Muzik itu bersifat universal dan menjadi hak individu untuk tentukan muzik yang mereka gemari. Lagu-lagu Indonesia pun tidak sejauh mana perginya. Masa M. Nasir tambah, “Lagipun siapa Titiek Puspa?” terus aku teringatkan dia juga pernah dikaitkan dengan dialog “Siapa Mahathir?”.

Selain persaingan dengan muzik Indonesia, satu hal yang masih menjadi racun dalam industri ialah cetak rompak. “Cetak rompak ….. adalah kerja orang dalam …. “ menurut satu baris lirik yang pernah kita dengar. Melalui satu babak, ia seakan mengesahkan polemik ini tetapi nampak macam tergesa-gesa di buat sampai orang jadi keliru. DVD ni ada tiga menu - main gambar, bab dan setup. Patutnya kena tambah subtitle sebab kadang-kadang aku tak faham apa yang Pyanhabib cakap. Jika anda ada aspirasi untuk bergelar artis, sila tonton Kembara Seniman Jalanan untuk mengambil satu dua iktibar darinya.

Wednesday, June 14, 2006

Seorang Kencana di Perancis


Rasa-rasanya hampir setahun juga aku ambil masa nak habiskan buku ni. Bukanlah sebab tak sedap tapi kerana agak meleret sikit + tiada konflik yang hangat membuatkan ia seakan hambar. Sebelum menaip entry ni aku mencari siapa lagi online journalist yang ada membaca @ menyentuh tentang buku ini. Mba ada membacanya dan aku amat bersetuju dengan ulasan ringkas yang beliau berikan.

Buku Zaharah Nawawi yang aku suka ialah Jalur Sinar di Celah Daun yang menceritakan tentang hidup keluarga peneroka yang mula-mula di beri tanah untuk mengusahakan ladang mereka. Bait-bait isi di dalamnya memang merincikan setiap tenaga yang tercurah + peluh yang mengalir oleh suami-isteri ini untuk menebas hutan sebelum mereka boleh mula bercucuk tanam. Sampai aku yang membaca ni pun boleh berbekas jerih-perih mereka mencari sumber rezeki.

Haruman Kencana juga ada kaitan dengan pokok @ tanaman iaitu pokok bunga. Walaupun ia tidaklah seteruk @ semencabar meneroka kawasan hutan tropika tetapi permulaan novel ini ada isi yang menarik minat untuk terus membaca. Tambah meyakinkan lagi apabila plot dalam buku ini yang mengambil latar akhir 90-an turut memuatkan insiden yang benar-benar berlaku di negara kita. Misalnya tragedi helikopter terhempas yang dinaiki oleh tokoh usahawan terkenal dengan isteri beliau, pemecatan timbalan perdana menteri ketika itu + kemelesetan ekonomi tahun 1998.

Pengarang juga rajin meletakkan nota kaki untuk memberi definisi kepada perkataan yang sukar @ jarang di dengar seperti katarsis [1] atau dukana [2]. Di samping itu ada terjemahan ayat-ayat suci seperti petikan di bawah,

Mungkin engkau tidak menyukai sesuatu, sedang Allah telah menjadikan pada apa yang tidak engkau sukai itu kebaikan yang sebanyak-banyaknya [3].

Terdapat juga kata-kata hikmah seperti, Hidup terbina antara pahit dan manis. Kalau selalu sahaja pahit, hati akan menjadi rawan dan kalau sentiasa manis hati akan menjadi bosan [4].

Selain itu kita juga boleh belajar satu dua ungkapan Perancis yang ada diberikan maksud perkataan tersebut pada bawah mukasurat seperti Aprés la pluie, le beau temps [5] atau Bois de santal [6].

Oleh sebab novel ini berlatar-belakangkan negara Perancis jadi terdapat dua tiga dialog dalam bahasa berkenaan di pakai. Penamat buku ini agak tidak di sangka-sangka juga, ada twist lah sikit.

Merci bien!
______________________________________________

[1] Emosi, perasaan; kelegaan daripada ketegangan dan pergolakan batin
[2] Tinggi nafsu, kuat syahwat, gasang, gangsang
[3] Maksud al-Quran, An-Nisa’: 19
[4] Hamka
[5] Yang patah tumbuh, yang hilang berganti
[6] Kayu cendana

Friday, June 09, 2006

Edisi Piala Dunia 2006 - Stadium di Jerman

Tiba-tiba sampai sebuah e-mail dalam kotak inboxku yang berbunyi “Fwd: FW: Edisi Piala Dunia 2006 - Kenali Bandar di Jerman ::..”. Walaupun mungkin anda tidak sampai bergolok-bergadai untuk ke Jerman sendiri menikmati perlawanan secara langsung di depan mata, sekadar meluaskan pengetahuan tentang negara tuan rumah, tidak ada salahnya. Oleh kerana gambar-gambar stadium yang disertakan dalam e-mail tersebut kecil sangat saiznya, terpaksalah aku tukar dengan gambar lain yang aku cari sendiri kat internet. Sebarang penerangan adalah hasil tulisan pengirim asal e-mail ini yang aku pun tak kenal siapa.

E-mail start here
Sempena piala dunia lebih kurang 10 hari, 9 jam, 4 minit dan 44 saat (ketika artikel ini di tulis) saya ingin membawa anda mengenali bandar-bandar utama di Jerman yang di gunakan untuk menjadi tempat perlawanan piala dunia tahun ini. Di samping itu saya menyiarkan gambar-gambar stadium utama di setiap bandar tersebut.jom kita tengok.

Berlin

Berlin menjadi bandar penaja piala dunia selepas tujuh belas tahun keruntuhan tembok Berlin. Berlin juga bukan sahaja terkenal dengan kebudayaan tetapi merupakan pusat aktiviti sukan di Jerman. Terdapat kira-kira 525 ahli sukan di dalam 1900 kelab dan lebih 1000 tempat kemudahan untuk bersukan di bandar ini. Antara acara tahunan sukan di bandar ini adalah perlumbaan maraton Berlin, perlumbaan basikal, pertandingan tenis dan sebagainya.


Olympiastadion Berlin

Cologne

Menara 'Cologne Cathedral' yang kelihatan dari jauh di atas mempunyai ketinggian kira-kira 157 meter, ianya menara kedua tertinggi di bandar ini dan merupakan simbol di bandar ini yang paling popular. Menara ini terletak di tengah-tengah bandar, 'Cathedral' menerima kira-kira 1.8 juta pelawat pada setiap tahun. Bandar Cologne juga adalah tempat yang hebat untuk acara sukan seperti 'American football', hoki ice, bolasepak dan sebagainya.


RheinEnergie Stadion (before: Müngersdorfer Stadion)

Dortmund

Dortmund terletak di tengah kawasan bernama Ruhr. Industri besi dan arang batu merupakan tunjang utama sumber ekonomi di tempat ini. Setelah menempuhi era moden, industri ini berkembang sejajar dengan perkembangan teknologi dan kedua-dua industri itu kini menggunakan teknologi terkini dalam proses pengeluaran. Bolasepak menjadi keutamaan penduduk di bandar ini dan mereka mempunyai kelab bolasepak di kenali sebagai 'Borussia Dortmund' yang menggamit peminat mereka memenuhi stadium Westphalia pada setiap kali perlawanan.


Westfalenstadion

Frankfurt

Frankfurt adalah antara bandar paling mashyur di Jerman dan di beri jolokan 'Mainhattan'. Bangunan pencakar langit yang terdiri daripada bank-bank dan syarikat insuran menghiasi bandar ini.bangunan tertinggi di sini adalah bangunan 'Commerzbank' yang mempunyai ketinggian kira-kira 300 meter termasuk antenanya serta terdapat sebanyak 56 tingkat dan siap pada tahun 2000. Pengunjung boleh menikmati panorama di bandar ini dari atas bangunan ini seperti di KL Tower.


Commerzbank Arena (before: Waldstadion)

Gelsenkirchen

Bolasepak menjadi raja di bandar ini, antara kelab terkenal di sini adalah 'FC Schalke 04'. Stadium mereka ini di kenali sebagai 'AufSchalke Arena' yang mana menjadi mercu tanda bagi bandar ini.stadium ini boleh memuatkan kira-kira 61,524 orang.


Veltins Arena (Arena auf Schalke)

Hamburg

Bandar ini merupakan pelabuhan yang terbesar di Jerman serta eropah dan industri perkapalan sudah tidak asing lagi di sini. Terdapat kira-kira 80 ribu orang bekerja di pelabuhan ini. Di sini juga terletak bandar kedua terbesar di Jerman dan menjadi salah satu pintu masuk ke Jerman. industri perkapalan di sini menjadi kekuatan sumber ekonomi tempatan Jerman.


AOL Arena

Hanover

Bandar ini terkenal dengan pesta perdagangannya yang di adakan pada setiap tahun dan di kunjungi oleh berjuta orang dari seluruh dunia. Juga di adakan pesta komputer terbesar di sini. Jadi bandar ini agak meriah dengan pesta-pestanya pada setiap tahun.


AWD Arena (Niedersachsen-stadion)

Kaiserslautern

Bandar ini mempunyai pengaruh bolasepak yang kuat di Jerman. Kelab pertama mereka 'FC Kaiserslautern' yang di beri jolokan 'Red Devil' telah menyumbangkan lima orang pemain untuk pasukan kebangsaan Jerman pada piala dunia 1954 di Switzerland.


Fritz Walter Stadion

Leipzig

Pada 1989,beribu-ribu orang mengambil bahagian dalam demostrasi keamanan di jalanan yang di buat sekali seminggu pada setiap hari Isnin. Mereka menjerit 'kami adalah manusia'. Demostrasi ini adalah untuk untuk kebebasan dan demokrasi di Jerman dan akhirnya mereka berjaya di mana akhirnya membawa kepada keruntuhan tembok Berlin.


Zentralstadion

Munich

Antara bandar yang menjadi tumpuan manusia dari serata dunia. Sebuah bandar kosmopolitan yang hebat.di sini terdapat pesta tahunan di panggil 'Oktoberfest' berlansung di Bavaria, salah satu kelab bolasepak yang berjaya di Jerman adalah daripada bandar ini iaitu 'FC Bayern Munich' yang bermain di dalam liga Bundes.


Allianz Arena

Nuremberg

Sebuah bandar yang seolah-olah anda berada pada zaman pertengahan bila sampai di sini. Istana-istana zaman silam, gereja-geraja lama dan pelbagai bangunan dari zaman pertengahan masih utuh di sini.


Frankenstadion

Stuttgart

Di sini merupakan pusat automotif Jerman Terkenal di Jerman.pada tahun 2004, pengeluar motor tertua di dunia iaitu 'DaimlerChrysler' telah meraikan ulangtahun ke 100 mereka. Ibu pejabat pengeluar Porsche juga terletak di sini. Terdapat dua universiti dan banyak institusi penyelidikan di sini yang menjadikan bandar ini sebagai pusat akademik ulung di Jerman.


Gottlieb Daimler Stadion (before 1993: Neckarstadion)

Photo Credit: stadiumguide.com & www.minga.de

Tuesday, June 06, 2006

Silver Screen

Hari Ahad petang, baring-baring sambil tengok tv. Tengah browsing a few channel tu tiba-tiba terbuka pula stesyen ART atau Arab Radio TV. Aku jarang tengok saluran ni sebab tak faham. Rasa macam bulan puasa pun ada bila dengar diorang tu semua cakap Arab. Dulu-dulu masa aku kecil hanya pada bulan puasa saja ada tayangan drama berbahasa Arab ni.

Tapi yang aku tengok Ahad lepas bukannya cerita kisah nabi-nabi atau drama padang pasir tetapi adalah program bertajuk Silver Screen.

Ada seorang awek Arab yang rancak bercakap tengah mengacarakan rancangan tersebut. Dia cakap ada terselit perkataan Inggeris satu dua. Silver Screen tu macam program Reel Review kat 8TV atau The Ticket di Channel V atau MTV Screen. Macam tu lah konsep rancangan ni yang memberi reviu kepada filem-filem akan datang, tunjukkan sedikit “the making of...”, temubual dengan pelakon dan tenaga produksi, promosi filem itu dan sebagainya.

Apa yang hampehnya semua filem yang di previu dalam Silver Screen tu adalah yang tahun lepas punya! Punyalah ketinggalan zaman. Tapi tak tahu ler kalau-kalau ini memang program yang tahun lepas, kemudian ART siarkan balik. Nak jimat kos lah gamaknya. Pulak tu semua filem omputih, tak ada pulak dia promote filem-filem tanah Arab. Walaupun tak berapa faham apa yang awek ni tengah membebel kat tv tu tapi aku bantai jugak tengok.

Cuma yang dapat faham masa ia siar temubual dengan para pelakon. Sambil kat bawah tu disertakan subtitle dalam bahasa Arab. Filem-filem yang dipromosikan dalam Silver Screen itu adalah Elektra, Fantastic 4, Transporter 2 dan Hostage. Fantastic 4 tu aku dah tengok kat wayang manakala yang lain-lain tu belum lagi. Elektra tu tak tahulah teringin ke tidak nak tengok sebab ia adalah “turkey of the year” filem tu. Movie yang aku rasa tergerak nak tengok ialah Hostage sebab nampak macam boleh tahan.


Nama jer Elektra tapi tak adanya nak pakai pedang elektrik, ni semua pasal bil api naiklah ni!

Satu hal yang menarik tentang format mereka menayangkan preview-preview filem dalam program ini ialah ia disiarkan sampai dua kali. Misalnya mula-mula ia preview Fantastic 4 lepas tu diikuti dengan filem-filem lain. Ingatkan dah habis lah part filem Fantastic 4 tu rupa-rupanya ada lagi. Lepas tu di sambung pula dengan the making of filem tersebut, diikuti dengan di sebalik tabir Elektra, Transporter 2 dan lain-lain. Bukannya nak siar sekali harung. Tapi overall biasa saja rancangan ni. Bolehlah tonton buat habiskan masa lapang.


Nasib baik filem aku ni budget mahal. Mampu jugak nak bayar bil letrik guna cahaya CGI yang besar ni...kihkihkih....

Wednesday, May 31, 2006

Jus Oren Melimpah

Di sepanjang menonton A Clockwork Orange ada satu adegan yang aku tak sanggup tengok -. Ludovico scene! OMG!!!!!! Aku tak tahan tengok adegan tu. Gila! Tak tercapai akalku bila menengoknya. Tengok di balik celah jari jer…. macam adegan seram pulak. Bukan. Ianya bukan babak hantu vampire atau puaka. Tapi ngeri.

Peliklah. Hostel atau Saw yang lebih banyak keganasan dan melapah daging manusia malah patutnya lebih membuat aku tak sanggup tengok tapi aku rasa biasa saja.

Bagaimanakah kita ingin menyerap kengerian tadi?

Kalau kita tengok tanpa lepas tu nak terus menikam orang, I think it is okey. Sebaliknya kalau kita cenderung nak mengamuk membelasah atau membunuh atau memperkosa orang lain – kita hantar dia pergi menjalani proses Ludovico!

Sesuatu yang menyeronokkan perihal filem ini ialah latar belakangnya. Daripada warna, konsep tempat tinggal, bar, susunan perabot, art-deco bilik/ruang serta pakaian yang di gaya – semuanya begitu psychedelic! Kalau kita perhatikan imej binaan bangunan dan kondominium yang tengah rancak di bina di sekitar KL sekarang semuanya kembali ke arah itu. Seolah mengambil inspirasi dari filem ini. Seakan-akan kita semua di seru supaya masuklah kamu ke dalam A Clockwork Orange!

Walaupun absurd, walaupun memeranjatkan, jalan cerita ini (lebih-lebih lagi ia di bikin awal 70-an dulu, mana tidak melenting masyarakat di zaman itu) filem ni releven kerana keganasan tidak berhenti setakat satu-satu era saja. Ia membawa pula kepada persoalan adakah boleh ada penawar untuknya?

Digambarkan watak utamanya, Alex dengan sekumpulan rakan-rakannya yang di gelar Droogs menjadi banjingan di waktu malam. Dalam scene berikutnya, kita tahu yang Alex malas ke sekolah. Ringkas cerita dalam penjara, dia berpura-pura jadi baik dengan mendalami agama kerana ingin di beri pelepasan menjalani rawatan alternatif mengubati kezaliman yang berakar-umbi dalam tubuh.

Saat yang menyedihkan (tapi lawak pun ada) masa Alex balik ke rumah setelah pulih dan mendapati biliknya dulu telah mak bapaknya sewakan buat lelaki lain. Malah lelaki itu jadi anak angkat ibu bapanya malah berbudi-bahasa pula. Jauh beza dengan perangai dia dulu yang kurang ajar.

Oleh kerana dah sembuh sehinggakan melodi Beethovens 9th symphony "An Die Freude" yang menjadi anthem setiap kali dia membuat aktiviti ganas pun dia tak sanggup dengar. Muzik nampaknya memainkan peranan terhebat di sini, menjadi pengaruh anasir jahat. Kontras nasibnya dengan geng droogs yang lain, mereka menjadi polis.

Ke arah hala mana filem ini ingin membawa kita merupakan subjektif. Stanley Kubrick mengadaptasi novel Anthony Burgess yang kalau aku baca pun mesti tak faham (Trivia: Dialog dalam filem ni antara Alex and his droogs di panggil, "Nadsat" adalah campur aduk English, Russian dan slang. Burgess sendiri yang cipta bahasa tu sampaikan Kubrick pun risau kalau banyak sangat pakai bahasa Nadsat ni, takut mesejnya tak sampai). Filemnya di buat dengan gaya yang tidak konvensional menjadikan ia satu seni yang unggul. Tontonlah filem ini kalau anda boleh bertoleransi dengan eksplisiti.

Monday, May 29, 2006

+@#!


Tetap ceria walaupun memakai "Tahi"!

Thursday, May 25, 2006

At a Place Called Vertigo

Mula-mula tengok filem ni sudah rasa intrig. Di pertengahan jalan rasa macam boring sikit. Lama-lama bila sampai dekat klimaks (aku ingatkan part ni lah klimaks) ia sangat mengejutkan. Ingatkan lepas tu habislah. Kemudian ia jadi boring semula sampai dalam hati aku bercakap, bila nak habis ni? Tiba-tiba ia jadi intrig balik sebab muncul semula satu watak ni yang menimbulkan syak wasangka. Dengan tak semena-mena ada satu lagi klimaks dan barulah ia tamat.

Filem yang aku ingin sentuh ini tajuknya ialah Vertigo. Babak dimulakan dengan kejar-mengejar antara tiga individu di atas bumbung. Apabila orang yang di kejar itu dapat melompat melepasi puncak bangunan yang curam, dua orang polis di belakangnya cuba melompat sama tetapi cuma seorang yang berjaya manakala lagi seorang tersangkut. Anggota polis yang berjaya itu cuba membantu polis yang sedang terkapai-kapai berpaut pada cucur atap tetapi tragedi berlaku. Sedang dia berusaha membantu rakannya tadi dia tergelincir lalu terjatuh.

Sebenarnya polis yang terkandas itu mengalami kegayatan apabila dia memandang ke bawah segalanya-galanya seolah jadi sayup seakan infiniti sedang kakinya terhuyung-hayang dan tangannya berpegang pada atap. Dia cuba menyahut tangan rakannya malangnya dia tidak berdaya lalu rakan itu pula tersadung dan jatuh maut. Detektif tersebut, John Scottie lakonan James Stewart bersara dari perkhidmatan akibat kejadian ini kerana dia ada satu penyakit di panggil altophobia.

Apakah yang boleh dikembangkan dari sebuah filem tentang orang gayat atau fobia kepada tempat yang tinggi? Tak payah nak expect apa-apa kerana ini ialah filem garapan Alfred Hitchcock jadi hasilnya tentulah surprise!! Bahagian yang paling perlahan dalam cerita ini ialah semasa dia mengambil upah menjadi penyiasat persendirian untuk mengintip seorang wanita bernama Madeleine (Kim Novak) dari sebuah tempat ke tempat yang lain. Lebih kurang sejam juga babak-babak ini dengan Novak berlakon tanpa berkata apa-apa. Hanya ekspresi serta di iringi muzik latar belakang yang membantu kita berkongsi resah dan ghalau seorang perempuan.

Apabila tiba di jambatan Golden Gate, Madeleine yang mula-mulanya hanya berjalan iseng tiba-tiba terjun ke teluk San Fransisco. Scottie yang memang mengekorinya dari awal bertindak untuk terjun dan menyelamatkan beliau. Mulai sini aku kira yang filem ini telah bertukar temponya dari horror/thriller menjadi love story. Tapi ia bukanlah sesuatu yang tak bagus malah ia menjadi prospek bahawa plot filem ini bukan sesuatu yang dapat anda jangkakan.

Scottie tiba-tiba obses dengan wanita berkenaan malah menjadi subjek cemburu bagi bekas tunangnya Midge yang dia masih berhubung rapat. Madeleine pula bukanlah single sebaliknya beliau ialah isteri orang yang suaminya sendiri sebenarnya menugaskan Scottie supaya menyiasat pergerakannya. Jika anda sudah rasa tertarik dari sini – tunggulah sehingga anda diberitahu kenapa suaminya mengupah detektif untuk mengintip isteri sendiri. Selalunya kerana pasangan main kayu tiga tetapi bukan. Madeleine disyaki telah di rasuk oleh roh tertentu yang membuatkan dia berpotensi tidak waras serta cenderung untuk membunuh diri.

Jika anda tertanya-tanya bagaimana Hitchcock ingin mengaitkan dengan sindrom altophobia dengan konsep mistik di campur percintaan, ianya sungguh bijak. Vertigo bukan hanya filem dengan tajuk yang sedap di sebut tetapi adalah sebuah cerita yang sangat memberi impak.

Tuesday, May 23, 2006

Oksigen Untuk di Jual

“Tak lama lagi udara pun orang jual,” kawan aku Zul pernah buat ramalan.

“Jual udara buat apa? Sapa nak beli?” aku menidakkan.

“Sekarang air pun orang jual. Air mineral. Tak mustahil suatu hari nanti orang jual udara pula,”

Entahlah.

Tapi minggu lepas nampaknya nostradamus yang kawan aku buat tu menjadi! Lihat berita di bawah.
Canned Oxygen To Be Sold In 7-11 Stores In Japan

May 15, 2006 2:01 p.m. EST

Julie Farby - All Headline News Staff Writer

Japan (AHN)— Japanese convenience store operator Seven-Eleven Japan announces it will make an entry into the rapidly expanding oxygen market, and begin selling cans of oxygen on May 24.

According to the RapidNewsWire.com report, oxygen has emerged as a popular new product and sparked the creation of city "oxygen bars" that provide oxygen for customers to breathe in.

As the first retailer among Japanese convenience stores and supermarkets to enter the so-called oxygen market, Seven-Eleven will sell small portable cans.

Aku tak ingat bila si Zul ni meramalkan perkara ini. Tetapi bila aku membaca berita tersebut aku terus tersengih lebar dan kepalaku bersipongang teringatkan apa yang pernah dia beritahu. Memang alam sekitar sekarang yang dimonopoli oleh asap dari kenderaan, constructions dan industri metah melemaskan. Sampai aku pun jadi asthmatic. Di tambah dengan situasi aku sekarang yang masih batuk-batuk dan sesekali sukar bernafas, aku macam teringin nak beli oksigen dalam tabung seperti yang di jual di Seven-Eleven Jepun berkenaan.

Menurut berita itu lagi, motif adanya produk ini ialah membolehkan pelanggan memperbaharui level oksigen mereka pada sebarang tempat dan masa setiap kali mereka rasa seakan kurang bernyawa sama ada di pengaruhi oleh tekanan, kerisauan atau letih lesu atau apa-apa saja faktor yang lain. Berdasarkan kajian, akibat kekurangan paras oksigen dalam tubuh, manusia akan lebih kerap menguap, mengeluh dan tercungap-cungap. Udara yang normal meliputi hanya 21 peratus oksigen manakala oksigen yang ditinkan itu megandungi 95 peratus lalu bernafas di dalamnya adalah sangat merangsang dan menyegarkan.

Begini cara nak bernafas guna tin oksigen ni

Monday, May 22, 2006

Pagar yang Kelakar

Apakah itu possum? Binatang apakah itu? Ini kali kedua aku “terjumpa” menatang ni dalam filem. Kali pertama dalam Ice Age 2: The Meltdown. Nampaknya ia ada di mana-mana sekarang kerana dalam Over The Hedge pun puak-puak ni ada. Quick check dekat wikipedia, ia adalah dari keluarga marsupial. Selain possum, kita ada kura-kura, rakun, skunk, tupai, landak dan beruang dalam filem animasi ini.

Lebih banyak haiwan maka lebih meriangkan. Memang betul pun kerana Over The Hedge sangat-sangat seronok malah ada mesej yang boleh kita semai pada kanak-kanak tentang penjagaan alam sekitar. Selain hidupan “liar“ itu tadi ada pertembungan dengan haiwan domestik seperti anjing dan kucing. Ada seekor kucing parsi ni yang walaupun muncul hanya sekejap tetapi wataknya cukup menggelikan hati.

RJ seekor rakun terasing yang tiba-tiba mencelah dalam hidup sekumpulan haiwan yang baru bangkit dari hibernasi. Dia terdengar perbincangan kura-kura dan geng tentang rancangan untuk mencari sumber makanan setelah berakhirnya musim salji. Ini merupakan proses biasa bagi mereka, kumpulkan sebanyak mungkin bekalan makanan yang boleh diperolehi dari hutan mereka. Tetapi sesuatu yang aneh telah berlaku apabila mereka ternampak “sebatang daun“ merimbun tebal yang jaraknya tiada penghujung seolah-olah jadi garis pemisah. Mereka ingin tahu apakah yang ada di sebaliknya.

Mereka panggil benda tu “Steve“ sebab tak tahu nak panggil apa. Kelakar betul. Kemudian datang RJ bagai cahaya memberi tarbiah kepada haiwan-haiwan tadi yang jahil bahawa benda tersebut ialah “Hedge”. Hedge atau pun pagar itu adalah sangat menyusahkan sekaligus boleh menggeletek jiwa. Oleh kerana tajuk kartun ni berkaitan dengan pagar maka ia adalah objek yang menjadi matlamat hidup binatang ini sekarang –mereka ingin masuk ke sana dan venture alam yang baru manakala manusia yang hidup di dalam pagar itu pula mahu membasmikan hidupan-hidupan ini kerana mereka yang meneroka tempat itu mahu menikmati prasarana yang terbaik mengikut piawai mereka.

Naluri kita akan menyebelahi haiwan-haiwan ini yang dunia mereka seakan di robek angkara modenisasi. Apa yang tinggal buat mereka adalah hutan sekangkang kera bersempadan lebuhraya dan taman perumahan. Walaupun tak masuk akal mereka digambarkan sungguh gembira dan obses dengan barang dan gajet kegunaan manusia malah makanan ringan kita, tetapi jika haiwan ini tidak dapat mengalahkan kita, lebih baik mereka tumpang sekaki.

Thursday, May 18, 2006

Kenangan Rompakan

Gambar-gambar dari kamera litar tertutup kedai 24 jam (nampak macam kedai Kiosk) semalam, seperti yang tertera dalam Kosmo! adalah mengganggu. Kalau staff yang kena acu dengan pisau tu jenis yang lemah semangat, dah berhenti kerja dah hari ni. Satu pengalaman yang bisa jadi trauma seumur hidup. Lepas tu paper pula siarkan. Boleh kerat gambar berkenaan dan bingkaikan sebagai kenangan. Hari-hari tenung gambar tu sambil bersyukur kerana tidak diapa-apakan oleh si perompak. Tapi ada ke sesiapa yang ingin mengenangi kenangan pahit?

Atau pun perompak itu sendiri. Ambil gambar insiden dari suratkhabar. Gunting dan frame kan elok-elok. Hari-hari tenung sambil bersyukur berbangga kerana berjaya dalam misi untuk merompak kedai serbaneka. Dengan tiada sesiapa tercedera atau nyawa melayang pulak tu. Dapat pula hasil lumayan – wang tunai dan minuman keras. Memang puas hati.

Gambar

Hampir tidak ada orang yang menyimpan gambar berunsurkan nestapa atau pengalaman yang mendukacitakan sebagai objek kenang-kenangan. Lebih-lebih lagi gambar yang boleh membuatkan kita disumpah seranah sampai tujuh keturunan.

Kenangan

Apa-apa saja peristiwa atau kejadian yang dialami sama ada buruk atau pun manis adalah kenangan. Sama ada kita ingin mengingatinya adalah terpulang.

Cedera

Kita selalu kaitkan situasi kecederaan dengan luka fizikal yang nampak pada mata kasar sahaja. Misalnya dalam kes rompakan semalam, kita tidak tahu bahawa mangsa sebenarnya mengalami “cedera parah” dari aspek psikologinya. Dia mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih dari ketakutan kerhadap pisau atau kedai 24-jam.

Bersyukur

Kalau mereka yang jadi mangsa kejadian rompakan terbabit, sudah pastilah bersyukur kerana selamat dan masih hidup serta tidak disakiti oleh perompak durjana. Manakala bagi kalangan perompak pula jika mereka berjaya melaksanakan satu rompakan tanpa ada sebarang aral, adakah mereka bersyukur juga?

Aku sengaja membayangkan situasi yang melibatkan dua entiti berkenaan iaitu pekerja kedai 24-jam dan penjenayah. Kawan aku pernah jadi pengurus kedai macam tu. Satu masalah besar baginya ialah pekerja yang susah nak kekal lama dan mencari pekerja baru. Apatah lagi dengan risiko di rompak menambahkan lagi masalah untuk meyakinkan individu supaya bekerja dalam sektor begini. Malah dia sendiri kerja tak sampai setengah tahun dah resign. Tapi nasib baik sepanjang dia kerja di sana, tidak berlaku rompakan di kedainya.

Masalah di sini ialah penjenayah tersebut. Asyik nak menyusahkan hidup orang je kerjanya. Padahal merompak itu pun bukannya kerja senang. Penuh risiko terhadap diri sendiri dan orang sekeliling. Hidup sentiasa tidak selamat dan di buru pihak berkuasa dan di buru dosa. Kalaulah mereka ingin berfikir panjang dan menimbangkan segala kemungkinan, mereka tidak akan melakukan jenayah. Baik mereka minta kerja sebagai petugas di kedai 24-jam.


Photo credit: studycrime.com

Tuesday, May 16, 2006

Projek Terbaru Lis

Lepas aku habis makan mihun goreng semalam, aku pun belek-belek kertas suratkhabar yang jadi pembungkus mihun tu (dah memang habit, suka baca pembungkus makanan selain suka baca suratkhabar lama). Ianya adalah akhbar sisipan Bintang Popular yang bertarikh bila entah (16 April kot) dengan gambar Lis Dawati besar terpampang beserta tajuknya yang mendakwa artis wanita itu terkena “guna-guna”.

Berita-berita ilmu hitam ni sedap di baca.

Tapi yang di mention pasal “guna-guna” tu sikit aje, dekat hujung-hujung. Laporan utamanya ialah tentang Lis yang di dakwa asyik bertukar ganti boyfriend. Begitulah lebih kurang bunyi artikel tu pasal aku pun baca sekali lalu jer. Sekarang beliau digosipkan dengan seorang pelakon bernama Fauzi Nawawi padahal mereka hanyalah kawan biasa. Selain itu apa yang lebih menarik perhatianku adalah satu kotak kecil di sisi artikel tersebut yang mengisi profil Lis Dawati termasuklah projek terbaru pelakon popular ini. Sekarang beliau sedang terlibat dalam satu filem keluaran Tayangan Unggul bertajuk “Syaitan”.

Syaitan?!

Biar benar.

Ya, Syaitan. Itulah tajuknya (tak tahulah pulak kalau-kalau projek ni betul-betul jadi pasal aku tak pernah dengar pulak tentang filem ni).

Kita ketepikan dulu sebarang skeptikal bahawa filem dengan tajuk yang “tidak mesra” ini akan lepas tayangannya. Aku ingin imbas kembali dua buah filem yang menggunakan judul makhluk laknat ini yang pernah aku tengok.

Perjanjian Syaitan

Bila aku check dekat website filemkita.com, haa... tak ada apa sangat maklumat. Filem ini keluaran tahun 1981 yang dibintangi oleh Azean Irdawaty serta diarahkan oleh S. Sudarmaji. Aku pernah tengok sekali saja filem ni masa disiarkan di kaca tv dulu. Itu pun tv yang lebih banyak tengok aku pasal aku banyak tutup mata....hahhaha..... takut jugak masa tu.

Satu adegan yang bermain di fikiranku ialah masa Azean yang membawa watak bernama Ribut sedang memegang tongkatnya lalu menyeru sesuatu. Tak silap akulah (lebih kurang) jalan ceritanya, si Ribut ni seorang wanita yang agak buruk parasnya lalu beliau pun membuat perjanjian dengan satu makhluk supaya beliau boleh menjadi cantik. Tapi perjanjian yang dimateri bukanlah tanpa syarat-syarat tertentu.

Ali Setan (1 & 2)

Walaupun ejaan makhluk tersebut lain sikit tetapi maksudnya tetap sama. Berlainan dengan Perjanjian Syaitan, Ali Setan bukanlah dari genre seram. Tetapi tajuk filem ini aku pernah terbaca turut mendatangkan kontroversi. Tetapi penulisnya, Osman Abadi mempertahankan penggunakan “Setan” pada judul berkenaan kerana ingin menggambarkan betapa jahatnya perangai budak Ali ni macam Setan, maka ia adalah sangat bertepatan dengannya.

Tentang sinopsis dan para pelakon tak payahlah aku nak cerita lagi kat sini. Lebih-lebih dialog si Latipah tu, sampai boleh buat tajuk lagu dan tajuk filem. Tapi sekuel kepada Ali Setan ini, jarang diperkatakan orang. Mungkin kerana pelakon wanita utamanya yang tidak lagi mahu terbabit kerana (tak silap akulah) skripnya yang longgar. Sepatutnya filem ni kekal dengan yang pertama itu saja tanpa perlu untuk membuat Ali Setan 2.


photo credit: superherostuff.com

Monday, May 15, 2006

Menonton Filem [Habis/Tidak/Entahlah]

The Astronaut’s Wife

Rabu lepas 8TV siarkan filem The Astronaut’s Wife. Aku kena tengok filem ni kerana aku ingin tahu kesudahannya. Dahulu masa TV3 tayang, aku tak tengok sampai habis. Ia tergantung sampai dekat Charlize menyorok bawah tangga dekat subway. Masa tangannya nak ambil beg dokumen yang lelaki kulit hitam tu tertinggal tiba-tiba tangan suaminya pun turut ingin mengambil beg tersebut. Tapi aku tak tahu sebabnya kenapa aku tak habiskan tengok dulu.

Jadi, hari Rabu itu aku pun ambil peluang untuk menonton kesudahan filem yang agak menarik bagiku. Memang betul suaminya lakonan Johnny Depp adalah seorang alien. Walaupun aku lebih suka Mr. Depp melakonkan watak-watak yang quirky seperti Captain Jack Sparrow atau Willy Wonka tetapi watak serius begini pun beliau boleh bawakan juga. Oleh kerana aku dalam mood menonton, aku bagi lagi beberapa tajuk filem lain yang ada kena-mengena dengan tema “filem yang aku telah habiskan / tak dapat habis tengok / tak tahulah dapat tengok ke tidak” untuk input kali ini.


The Majestic

Aku pernah mention yang The Majestic, sebuah filem lakonan Jim Carrey yang aku ada beli vcdnya dulu, masih belum dapat aku saksikan. Tapi last two weeks rasanya TV3 ada siarkan filem ni pada slot cinema tengah malam. Itu pun masa aku tengah membelek suratkhabar lama (aku suka baca suratkhabar lepas-lepas) dan tertengok ruangan intisari rancangan. Hahaha..... intisari rancangan yang dah berlalu pun aku boleh baca jugak.

Apa yang buat aku tertarik untuk menonton The Majestic ialah sinopsisnya tentang seorang yang hilang ingatan. (Aku rasa releven dengan situasi aku sekarang yang tengah sakit kepala. Dah seminggu rasa pening kepala - alhamdulillah demam dah sembuh – tapi pening masih menyerang). Tapi minta dijauhkanlah sakit kepala yang aku alami boleh membuatkan aku kena amnesia. Mungkin kalau aku terjumpa dvdnya aku akan beli jika terdesak sangat nak tengok.


Match Point

A couple of weekends ago, aku telah menonton Match Point. Oleh kerana ia kelihatan boring, aku pun stop kejap lepas scene Jonathan Rhys-Meyers bertemu Scarlett Johansson lalu mengajarnya bermain pingpong. Kemudian bila aku mc hari Selasa tu aku pun sambung tengok filem ni. Kali ini rasa best pulak, tak ada boring langsung. Apa yang paling menarik tentang Match Point ialah penamatnya. Kita rasa nak menarik nafas lega dan bersyukur.

Pembinaan karektor dan jalan cerita yang perlahan ketika aku mula-mula tengok dulu mungkin agak membosankan. Aku rasa ia disengajakan kerana pengarahnya Woody Allen ingin penonton menilai sendiri attitude dan pendirian JRM terhadap peluang, status dan nasib yang melingkari hidupnya secara tidak tergesa-gesa. Satu lagi aspek yang boring ialah kerana filem ni senyap saja tanpa muzik latar-belakang namun sesekali keluar muzik opera seakan memberi ancaman bahawa tragedi akan berlaku.


Alfie

Aku ada meminjam dvd filem Alfie dari kawan kemudian aku menontonnya sebentar sebelum menutupnya. Ia agak bosan sikit. Jadi aku kena tunggu mood yang betul sebelum habiskan menengoknya . Bila housemate aku ternampak dvd ni dia pun cakap

“Kan aku dah beli dvd ni, yang kau pinjam buat apa?”

“Ye ke? Tak apalah nanti aku return yang ni,“

Aku pun pulangkan dvd tersebut pada kawan aku minggu sudah. Kemudian baru-baru ni bila aku terasa ingin sambung tengok Alfie yang aku tengok sekerat hari tu – aku pun tercari-cari dvd ini dalam koleksi filem yang housemate aku ada. Malangnya tak ada. Entah-entah dia memang tak beli pun filem ni. Tak kisahlah, bukan aku nak tengok sangat pun.


Lelaki Komunis Terakhir

Filem yang satu ni tak tahulah nasibnya bagaimana. Harap-harapnya pihak tertentu akan menarik balik larangannya dari di tayang. Sesetengah berpendapat kerana tajuknya ada perkataan “komunis” itu yang seakan taboo kepada rakyat Malaysia seumpama ia adalah urban legend. Manalah tahu kalau kita sebut perkataan komunis … komunis … itu berulang-ulang, ia akan kembali menghantui kita lalu ia merebak semula menjadi pengacau kepada keamanan yang kita sedut selama ini.

Komunis memberi konotasi negatif dalam hidup kebanyakan rakyat Malaysia. Malah oleh kerana pengharamannya baru-baru ini Lelaki Komunis Terakhir seolah-olah memberi implikasi yang sama. Walaupun aku menyukai tajuk tersebut, mungkin pengkarya dokumentari ini boleh berkompromi supaya judulnya dapat “diperbaiki” kerana sayang sekali filem yang provokatif seperti ini hasilnya tidak dapat dinilai oleh khalayak ramai.


poster credit LKT: redfilms

Wednesday, May 10, 2006

Permainan Mental

Dalam Buletin Utama semalam masa segmen sukan, wartawan diorang menemuramah beberapa atlit berkenaan mental yang lemah. Ini kes skuad badminton negara gagal ke final Piala Thomas hari tu. Walaupun ramai atlit nampak gugup dan terpinga-pinga masa nak menjawab apa benda yang di panggil mental yang lemah tu, well at least suatu hari nanti diorang akan mewakili negara juga (where’s applicable…)


Mungkin mereka terlalu giat berlatih sampai tak ada masa nak menyemak wikipedia apakah makna mental. Tapi aku pasti atlit-atlit tu semua blank sebab tiba-tiba kena sergah tanya pasal kelemahan mental. Peluh belum kering pasal penat kejar bola (atau lumba lari, angkat berat or whatever …) tak semena-mena kena memulas kepala otak nak jawab soalan-soalan psikologi macam tu, boleh kena sakit mental apa… Bila dah kena siar kat tv, nampaklah macam diorang ni tak memiliki intelektual yang tinggi.

Kemudian masa wartawan tu interviu satu kakitangan swasta, nampak ada point yang meyakinkan dari beliau. Aku fikir atlit-atlit yang terlibat dalam sukan badminton atau hoki di Malaysia ada pressure yang lebih tinggi untuk menunjukkan prestasi yang cemerlang. Give them a break lah. Bukannya kita tak pernah bawa balik Piala Thomas (tahun 92 dulu, lama jugalah, tahun 2002 pulak missed dekat Indonesia). Hoki, walaupun gagal melepasi kelayakan untuk ke Piala Dunia di Jerman tapi mereka dapat gangsa di Komanwel Melbourne baru-baru ni. Ada juga pencapaian yang boleh kita julangkan mereka.

Dulu, masa rakyat Malaysia masih kabur-kabur lagi dalam sukan skuasy, tiba-tiba muncul Nicole David yang sekarang dah jadi No. 1 dunia. Bila beliau tidak berjaya mendapat sebarang pingat dalam Sukan Komanwel yang lepas, kita macam tak dapat maafkan beliau. Sebab kita ada stigma dengan Title No. 1 itu – mereka-mereka ini harus mendapat nombor satu dalam semua pertandingan yang mereka masuk. Sedangkan Roger Federer pun kalah kepada Rafael Nadal dalam Open Monte Carlo yang lalu. (Sebenarnya Nadal memang pakar dalam gelanggang tanah liat, but that another story, yang penting Fedex ada juga kalah).

Semalam dalam paper aku baca, pemain boling padang wanita, Nor Iryani Azmi duduk pada rangking ke-3 dalam senarai pemain sukan berkenaan. Bayangkan mendapat gelaran No. 3 untuk seluruh dunia. Ianya pencapaian terbaik bagi seorang atlit untuk sejenis sukan tidak popular seperti boling padang. Malah beliau sendiri katanya, mula-mula main benda ni pun sekadar suka-suka. Beliau tidak menyangka aktiviti suka-suka itu akhirnya mendapat pengiktirafan yang cemerlang. Aku rasa beliau akan cuba untuk mendapat rangking pertama pula, jika mahu terus terbabit dalam bidang ini. Tapi kita janganlah tekan Nor Iryani habis-habisan untuk mendapat gelaran tersebut.

Tahniah! No. 3 = Nor Iryani

Semua atlit yang bertanding dalam apa acara sekali pun, memang setkan mental diorang ingin menang dan mengharumkan nama negara. Di tambah pressure dari pegawai pengiring (aku ada baca yang pegawai pengiring atlit pun lebih ramai dari ahli sukan tu sendiri) dan media – macam mana mereka nak berlawan dengan tenang. Lagi pun adat pertandingan, ada menang ada kalah. Biarlah mereka bermain dengan selesa atau suka-suka tetapi mendapat hasil yang memberangsangkan. Kita akan terus menyokong dan memberi semangat pada mereka.

[Dah habis baca ni, anda boleh sebut dalam hati ----- Majulah Sukan Untuk Semua]

Kredit Foto: NST dan worldbowls2008

Friday, May 05, 2006

Melancong Ala Hostel

Aku pernah terbaca yang Quentin Tarantino mungkin telah menonton Saw, lalu mencebik bahawa dia boleh membuat yang lebih baik daripada itu. Lalu dia pun menghasilkan Hostel. Tapi QT bukan buat cerita atau mengarahkannya, dia sekadar jadi penerbit eksekutif. Hostel adalah garapan Eli Roth yang filem beliau terdahulu aku tengok ialah Cabin Fever.

Aku pernah tulis pasal aku tengok filem ni kat TGV tahun 2003 dahulu. Tak puas hati betul pasal banyak sangat yang di potong. Hostel ni kalau siar kat wayang, tak tahulah tinggal apa. Memang tak layak tunjuk kat panggung kalau setakat nak bagi orang sakit hati. Kalau aku dah mention filem Saw di atas, korang tahu lah pengisian Hostel bagaimana. Gore dan horror adalah tema utamanya. Aku terbaca komen dalam imdb, ia adalah Eurotrip atau Deuce Bigalow: European Gigolo yang ganas dan sadis.

Sadis kerana menurut Roth, beliau mendapat idea nak buat filem macam ni setelah terserempak dengan laman web dari Thai yang mengiklankan “murder vacation”. Laman tersebut menawarkan peluang untuk sesiapa saja yang teringin torture dan membunuh orang lain dengan bayaran $10,000. Lepas tu beliau tunjukkan website ni pada QT dan mereka pun buat filem ni. Tetapi mereka tidak dapat pastikan sama ada laman web itu sahih atau olok-olok saja.

Tetapi di dalam Hostel, “murder vacation” itu bukannya olok-olok lagi kerana ia telah menimpa tiga orang backpackers, Paxton, Josh dan Oli semasa mereka ingin berseronok di Slovakia. Apa yang tak logiknya masa Paxton ingin menyelamatkan diri ….haha… aku terus kasi spoiler pasal mula-mula ingat macam tak ada harapan seorang pun yang akan selamat, para pengawal kat luar tu tak perasan langsung ke dia sedang terbongkok-bongkok nak curi kereta?

Satu lagi aspek yang boleh “menghiburkan” ialah dalam satu adegan menunjukkan senarai kadar nyawa seseorang berdasarkan benua untuk dijadikan mangsa seksaan. Rakyat Amerika paling mahal bayarannya. Agaknya itu memberi maksud jika kita ingin membunuh mereka atas nama rekreasi sekali pun kita terpaksa membayar sejumlah yang mahal ke atas nyawa orang A.S. tersebut, apatah lagi nak ajak mereka berperang. Manakala aspek yang buat kita tidak tenteram ialah gangster kanak-kanak itu.

Menonton Hostel mengingatkan aku pada Reservoir Dogs kerana terdapat nuansa filem berkenaan di sini. Lebih-lebih lagi gedung yang menjadi markas untuk mendera itu sangat signifikan untuk kedua-dua buah filem ini selain warna latar-belakang yang macam zaman dulu. Walaupun Paxton telah keluar dari situ tetapi adegan ngeri tidak habis setakat itu saja. Ini sebuah lagi filem yang boleh memenuhi selera barbaric anda.

Thursday, May 04, 2006

Slam Dunk de Funk

Dahulu aku selalu breakfast dalam pantry, makan nasi lemak atau mee goreng atau sajian sarapan yang berat seumpamanya. Setiap kali aku tengah bersarap di situ, mesti aku terpapas seorang staff perempuan Punjabi ni yang setiap pagi mesti dia makan biskut cream crackers atau kita panggil biskut lemak. Ada juga yang panggil biskut kering.

Itu saja yang dia makan setiap pagi membuatkan aku terfikir bolehkah bertahan dengan biskut kering saja sampai tengahari? Tak rasa badan akan lembik ke nanti? Atau sengaja nak diet? Tapi badan dia dah kurus, buat apa nak diet lagi? Atau saja nak berjimat-cermat? Itulah kata-kata yang sering bersipongang dalam kepala sambil mulutku tekun mengunyah nasi lemak.

Tetapi nampaknya sekarang aku terpaksa telan kata-kata ku itu kerana di office kini setiap pagi aku memang makan biskut kering! (Kadang-kadang kalau rajin baru aku cari kuih-muih). Sebabnya saiz pantry yang telah menjadi lebih kecil selepas renovation menyukarkan untuk di muat lebih banyak kerusi/meja. Aku pun jadi segan untuk menyempitkan diri berkongsi makan dalam ruang yang minimum. Aku rasa klaustrofobik.

Nasi lemak, mihun goreng, roti canai, nasi dagang, roti jala dan segala jenis makanan berat lainnya itu aku makan di kala pantry kami dahulu luas saujana saiznya. Sekarang ni aku terpaksa memilih makanan lain yang tidak renyah. Apa ya?

Biskut keringlah jawabnya.

Biskut cream crackers selain sedap di makan begitu saja, enak juga jika di cicah dalam air kopi, milo, teh atau minuman panas lain. Horlicks ke misalnya. Air limau suam tak tahu ler sedap ke tidak rasa biskut ni nanti kalau di cicah. Jangkamasa rendaman tu bergantung pada citarasa masing-masing. Kalau nak lembut terlebih, cicah lama sikit. Selain biskut kering, biskut Oreo pun popular sebagai bahan celupan apabila kempen iklan tv mereka mendogmakan susu sebagai cecair untuk melazatkan lagi Oreo anda.


Sekarang, marilah kita sama-sama melihat beberapa jenis biskut, kuih, kudapan atau jajan yang lain yang juga tidak kurang sedapnya untuk kita jadikan bahan cicahan. [Aku dapat idea untuk menulis entry ni setelah membaca ruangan Food dalam majalah 8Days bertajuk Taking the Plunge].

Roti

Walaupun menurut Gardenia, roti adalah sungguh enak di makan begitu saja, cicah dalam air pun sedap jugak. Jangan rendam lama sangat, nanti ia akan bercerai dan menyusahkan anda untuk mengautnya balik. Roti sandwich yang putih dan kosong paling sesuai sebagai cicahan.


Biskut balak

Sorrylah, tak ada gambar yang dapat ku tampal untuk menunjukkan rupa bentuk biskut balak ni. Daripada namanya saja korang boleh agak fizikal biskut ni kan … (aku pun dah lama tak makan benda ni, ada jual lagi ke hah?) Tak silap aku, ianya di perbuat daripada serdak roti yang tak laku. Dikumpulkan segala serdak tersebut dan di bentuk menjadi batang balak berukuran mini lalu seterusnya menjalani proses ereksi pengerasan. Sesuai dinikmati hanya dengan cara di cicah. Kalau nak gigit begitu saja, patah pulak gigi tu kang.

Pancake

Aku rasa pancake sesuai untuk di cicah dalam minuman panas. Tapi aku tak pernah pulak cuba. Mungkin lambat sikit untuk pancake ni menyerap minuman tu ke dalamnya sebab ia macam tebal. Aku pernah tengok orang makan kuih cakoi dengan mencicahnya. Lebih kurang macam tu jugalah kalau nak cicah pancake ni.

Kuih Baulu

Pergi sajalah ke website ini kalau nak tahu lebih lanjut tentang kuih baulu. Biasanya orang makan macam tu aje, jarang yang celup dalam air. Try lah kalau nak rasa bagaimana kuih baulu apabila menjadi lebih lembut daripada biasa setelah terkena air kopi. Langsung enzim-enzim baulu tidak berdaya mempertahankan bentuk asal kuihnya setelah di rendam dalam air.

Makanan yang paling pelik pernah aku cicah ialah keropok keping yang telah di goreng lepas tu cicah dalam air teh! Rasanya tentulah dah bertukar tidak rangup lagi sebaliknya jadi lembik dan berminyak. Aku tak tahulah siapa yang mengajarnya tapi masa aku kecil dahulu aku suka buat macam tu.

Menurut artikel tu, snek yang paling tidak sesuai untuk di cicah ialah wafer. Wafer umpama sekeping cardboard tebal yang dilapisi gelembung udara yang dimaniskan. Apabila terkena air ia lebur sama sekali.


Trivia:

1. Jenama Dunkin' Donuts yang famous sebagai bakeri menjual kuih gelang ni mendapat namanya kerana dahulu orang makan kuih gelang atau donut ni dengan cara mencelupnya (dunk) dalam air kopi.

2. Menurut kajian, dengan mencicah biskut ke dalam minuman panas, ia akan merembaskan sebanyak 10 kali lebih perisa daripada biskut itu berbanding jika menikmatinya begitu saja.

3. Ada satu aktiviti popular untuk memakan snek Tim Tam di Australia di panggil “Tim Tam Slam”. Orang yang buat aktiviti tu di gelar ‘slammers’ akan menggigit hujung biskut itu sambil hujung satu lagi di celup dalam air teh. Kenkonon dia buat Tim Tam tu macam straw, sedut air teh tu sehingga Tim Tam tu berderai.

Friday, April 28, 2006

Kesal Kerana Tulisan

Kalau sebelum tidur tu, macam-macam aku rancang dalam kepala, apa yang nak di tulis esoknya dalam blog. Tapi bila dah ada depan komputer, langsung hilang segala idea yang telah di set (kecuali apa yang aku ada jot down sikit-sikit). Kadang-kadang tak payah nak rancang idea apa-apa, sebabnya ilham boleh tiba dalam pelbagai medium. Contohnya input sebelum ini, aku cuma mengisi entry tersebut setelah mendapat kiriman e-mel berkenaan perbezaan kos sara hidup UK dan KL.

Asyik sangat menulis entry yang itu sampai tak sedar jadi panjang berjela. Idea mencurah-curah turun. Macam air terjun Niagara. Bilakah sepatutnya seseorang itu sedar, yang dia wajar menamatkan artikelnya setakat itu saja?

Bila dia sedar apa yang di tulisnya itu lama-lama jadi hambar, ayat-ayat yang di karang seakan pengulangan kepada apa yang telah di tulis lebih awal. Senang cakap, dah tak ada isi lah. Kalau nak teruskan tulis juga, bimbang jadi sia-sia.

Sebenarnya apa yang kita tulis atau paparkan dalam weblog ini memang tidak akan jadi sia-sia. Ia adalah bentuk amalan atau deed yang kita salurkan supaya orang ramai (dalam kes ini ialah internet’s surfers) boleh mendapat faedah daripadanya. Sama ada masyarakat menerima faedah itu dalam bentuk positif atau negatif, kita yang harus bersedia untuk memikulnya. Malah beban yang di pikul itu akan lebih terasa beratnya apabila kita bangkit pada hari pembalasan kelak untuk di beri pengadilan terhadap hasil kerja kita selama hidup di dunia fana ini termasuklah apa yang kita tulis dalam blog.

[sekali-sekala aktiviti memblogging ini buat aku terasa macam aku sedang mempraktikkan peribahasa “tiada beban, batu di galas” – elok-elok hidup secara offline dengan tak payah menambahkan tanggungjawab tak bergaji ni, tiba-tiba sengaja cari pasal]

Menerusi ruangan Kembara Seorang Penulis dalam akhbar Siasah ... eh, nanti dulu. Tahun 2003 dulu aku pernah mention tentang satu majalah bernama Siasah dan pernah juga aku beli (walaupun tak konsisten) tetapi majalah tersebut tidak panjang hayatnya. Kini ada sebuah surat khabar tabloid dengan tajuk yang sama beredar di pasaran. Kurang pasti pula hamba bilakah suratkhabar ini dimulakan kerana baru saja hamba perasan kewujudannya. Tidak pula hamba membelinya pada setiap keluaran kerana baru ada beberapa naskhah saja yang apabila berminat barulah hamba mendapatkannya.

Kita berbalik semula kepada ruangan itu tadi, sorry sebab terlencong ke lain sekejap. Tajuk kepada kolum tersebut berbunyi “Tanggungjawab Seorang Wartawan Islam”. Ia di tulis oleh seorang bekas wartawan yang merupakan salah-seorang karyawan perintis yang memulakan akhbar petang Harian Metro. Selain menceritakan sejarah awal penubuhan suratkhabar itu, jerit-perih untuk memastikan ia terbit keesokkan harinya termasuk berkejar untuk mendapatkan scoop, beliau masih merasa ralat di dalam hati terhadap hasil usahanya itu walaupun Harian Metro telah menjangkau usia 15 tahun.

Apakah yang beliau kesalkan tentang kerjanya ini?

Pengisian suratkhabar berkenaan. Sesetangah daripada kandungannya yang tidak Islamik seperti paparan gambar-gambar artis berpakaian tidak senonoh, ada pertandingan ala ratu cantik dinamakan Gadis Metro di samping keputusan empat nombor ekor. Walaupun tidak terlibat secara langsung dengan ruangan Gadis Muka Tiga itu tetapi sikap beliau yang membisu ketika cadangan tersebut dibentangkan dalam mesyuarat editorial seolah beliau merestuinya. Beliau turut sama menambah saham di atas kemunculan ruangan yang boleh mendatangkan fitnah itu.

Itulah yang menjadi kekesalan di hati beliau. Ketika ini hanya keampunan yang beliau panjatkan dan berharap agar akhbar tersebut turut menjadi medan dakwah supaya ada sedikit faedah yang dapat beliau kutip di atas hasil usahanya itu. Malah beliau juga kaitkan hal ini dengan seorang penulis, Faisal Tehrani, yang menurut beliau pernah mencoretkan betapa dia menyesal menulis beberapa kisah-kisah lara dan cinta picisan lewat novel-novel terawalnya. Dan kalau jam boleh berputar balik Faisal mahu memadamkan semua karya itu kerana bimbang apa hendak dijawab di depan Tuhan nanti. Malangnya, semua itu tidak mungkin berlaku kerana semalam sudah menjadi sejarah.

Macam aku sendiri, apakah yang aku kesalkan sepanjang aku menulis blog ini?

Memanglah ada perkara-perkara yang aku kesalkan. Blog ni pula bukannya menjurus ke arah urusan dakwah atau memiliki keperibadian Muslim yang tawadduk. Korang tahulah apa benda kebanyakan yang aku tulis kan? Majoritinya tentang hedonisma semata-mata. Bezanya, aku boleh delete semua yang aku pernah publish tu atau lebih extreme lagi aku mansuhkan terus blog ini. Cuma aku saja yang masih tidak berbuat demikian.

Setiap kali aku cuba sedaya-upaya agar tidak tergelincir, sama ada dalam menjalani hidup di dunia nyata atau pun secara online. Aku mahu segala apa yang aku usahakan diberkati dan dapat memberi manafaat kepada sesiapa yang ia sampai. Aku tidak mahu menyesal di kemudian hari.

Wednesday, April 26, 2006

Tinggal Atau Tinggalkan

“Kalau kau nak berhijrah ke UK, aku pun nak ikut sekali”

Bunyi balasan satu e-mel.

Aku cuma buat kelakar dengan menghantar e-mel kepadanya menyatakan “Kalau macam tu aku nak pindah duduk UK lah lepas ni,“

Sebelum itu dia telah forward satu e-mel bertajuk - Fwd: Cost of Living in Malaysia....Terlalu Tinggi? - kepada inbox ku.

Aku rasa aku pernah dapat e-mel ni dulu. Biasalah lepas dapat, baca dan padamkan. (Atau aku ada forward pada orang lain? Tak ingatlah). Tetapi kiriman e-mel itu kali ni sangat berbeza. Pasalnya aku baru saja terbitkan entry tentang kehidupan pendatang asing yang bermigrasi ke UK dalam filem Dirty Pretty Things. Cuma aku rasa tak perlu aku paparkan e-mel tersebut di sini.

Bila aku baca apa yang tertulis tentang perbezaan kos sara hidup antara Malaysia dan UK membuat kita rasa tak puas hati. Tambah menyakitkan hati lagi apabila pada perenggan terawal penulis e-mel itu membandingkan dengan Singapura, (kerana ia contoh yang paling munasabah) memang jauh sangat nampak yang kita ni “miskin” dari segi pendapatan tetapi terpaksa membayar harga yang mahal untuk menikmati barang dan perkhidmatan asas. Sedangkan di Singapura, mereka mendapat gaji yang lumayan untuk membayar harga yang setimpal atau pun murah kepada barang dan perkhidmatan di negara mereka.

[Aku pernah tulis dulu dalam entry yang lepas-lepas mengenai sivil servant mereka pun mendapat gaji yang ribu-ribu untuk mengelakkan amalan korupsi]

Satu lagi fakta yang sangat jelas ialah Singapura tidak ada hasil sumber asli berbanding dengan Malaysia bumi bertuah ini yang nama saja kaya dengan sumber mineral, pertanian dan hutan tetapi hasilnya seakan tidak sampai dari segi material untuk di kongsi secara saksama dengan rakyat terbanyak. Bagi aku sekurang-kurangnya kayu ukur yang menunujukkan kerajaan benar-benar menyalurkan kekayaan negara ini dengan cara yang tidak di ragui ialah melalui penyediakan kemudahan keperluan asas seperti air, elektrik, telefon, makanan, pengangkutan awam, perubatan, pendidikan serta kemudahan awam dengan berkesan dan murah.

Walaupun subjektif sebenarnya untuk mengkelaskan bagaimana yang dikatakan berkesan dan murah tu tetapi kita tahu bahawa setiap bulan gaji kita yang ciput ni tak adalah habis dengan bayar petrol atau bayar tol/parking atau bayar tambang lrt/bas, bayar hutang rumah/kereta dan bayar bil air/api/kad kredit saja. Sampai nak beli baju baru atau makan yang mewah sikit pun dah tak mampu. Takut jadi papa kedana pulak sebelum dapat gaji baru nanti. Itu belum masuk lagi angan-angan nak beli Nokia N-Series atau tv plasma. Aku menulis ni dengan tiada ilmu khusus ekonomi atau sains politik atau cara-cara mentadbir negara anda sendiri – ia sekadar pembacaan dan pemerhatian secara umum. Tapi aku berhak untuk menyuarakan hal-hal begini, bukan?

Analoginya macam satu persatuan atau kelab di sekolah, peringkat yang paling asas kita mula belajar membentuk satu sistem organisasi. Ada presiden, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli-ahli biasa. Negara adalah organisasi dalam skala yang lebih besar. Bezanya jadi presiden dalam persatuan di sekolah tidak di bayar. Walaupun kita ada raise money untuk menjana aktiviti persatuan kita – melalui yuran ahli, jual makanan kat sukaneka, kutip derma dan lain-lain – tujuannya hanya satu, untuk menggerakkan persatuan supaya ia memberi faedah kepada ahli-ahlinya. Dengan tidak ada sebarang kepentingan material kepada diri sendiri (mungkin untuk dapat nama pada sekolah, tapi itu lain cerita).

Sebelum aku mula rasa macam buat esei menulis benda-benda skima macam ni, apa yang aku nak point out ialah bahawa budak sekolah rendah pun tahu bagaimana sesebuah negara itu berjalan dan berfungsi. Apatah lagi orang dewasa yang ada pendidikan tinggi. Kita ingin bergantung dalam sebuah negara yang kita boleh berasa yakin dengannya dan berasa selamat duduk di dalamnya.

Dalam akhbar The Star ada ruangan Malaysians Abroad setiap hari Isnin. Antara soalan yang kerap di tanya kepada orang Malaysia yang duduk di negara luar itu, apakah perkara yang awak rindukan pasal Malaysia? Jawapan standard yang di beri ialah rindu nak makan nasi lemak, roti canai, teh tarik dan rindukan ahli keluarga atau paling busuk pun rindukan keindahan pantai di Malaysia. Tak ada pula jawab saya merindui suasana pemerintahan Malaysia yang sangat cekap dan berwibawa serta amalan demokrasi yang tiada tolok banding.

Memanglah nampak tak logik pulak nak jawab macam tu. Apakah yang membuatkan mereka berhijrah in the first place? Asasnya untuk mencari kehidupan yang lebih baik bukan? Sama juga konsep hijrah oleh Rasulullah (s.a.w) dari Mekah ke Madinah dulu. Tak ada pulak mereka nak bermigrasi dari negara yang boleh dikatakan okey macam Malaysia ni ke negara yang lebih huru-hara, Burundi misalnya. Pemerintah mungkin tidak boleh puaskan hati semua rakyatnya, sebab itulah ada peluang saja sesetengah dari mereka akan cabut ke negara lain yang ada lebih banyak prospek.

Walaupun kerajaan tidak mampu mengekang rakyat daripada lari meninggalkan negara ini, sekurang-kurangnya kerajaan kenalah menjaga dengan lebih baik akan kebajikan rakyatnya yang tidak mampu untuk berhijrah itu. Macam kita rakyat hina-dina ni yang semakin hari rasa semakin tertekan ini. Kalau rakyat tempatan semakin kurang, macam mana negara ingin berkembang? Bagaimana untuk mempertahankan negara? Siapa yang ingin mengeluarkan produktiviti? Sampai bila nak berharap tenaga buruh asing? Kalau inginkan sumber manusianya progresif, mengapa tidak memelihara mereka sebaik-baiknya?

Aku selalu terasa jengkel dengar satu pepatah yang sekian lama di acu dalam kepala kita “Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri – lebih baik lagi di negara sendiri. Sedangkan emas juga yang menjadi sandaran untuk mengeluarkan matawang (tapi dalam satu e-mel yang aku pernah dapat mendakwa bahawa ringgit negara ini tidak lagi berpaksikan emas). Namun masih juga emas itu yang jauh lebih baik daripada batu Oklah, aku mengaku aku menafsir peribahasa ini secara literal, mungkin ada subtle di mana-mana. Entah-entah orang yang mereka peribahasa itu sendiri menciptanya masa telah berpindah ke tempat lain sebagai alasan untuk mengelak orang kampungnya dari mengikutnya berpindah ke tempat baru yang lebih makmur.

Banyak merungut pun tak guna. Kalau nak sedapkan hati sendiri kita pandang saja aspek positif dalam hidup di negara ni misalnya tak ada peperangan, politik yang stabil, ada tempat tinggal, makan minum yang mencukupi, ada kerja dan sebagainya. Atau untuk menyenangkan hati lagi kita bandingkan pula dengan negara-negara yang lebih menderita misalnya Afghanistan, Ivory Coast, Haiti – tentu kita rasa Malaysia lebih baik. Macam yang selalu pemimpin kita buat tu, suka benar bandingkan harga minyak kita dengan minyak negara lain. Tapi dia tak justify pula perbandingan itu dengan income atau cost of living negara tersebut.

Apakah rasionalnya banding-membanding begini?

Kalau ada rakyat yang singkat pemikiran, dah bangun memberontak dah. Menurut e-mel tersebut “It is just that Malaysians are just too content with what they have.”. Sebenarnya kita terpaksa content, bukan tidak timbul rasa kita berhak mendapat imbalan yang lebih baik. Dengan struktur ekonomi yang khabarnya antara terbaik di negara dunia ke-tiga tetapi kita masih kekal di dunia ke-tiga. Sedang jiran kita di selatan itu sudah pun masuk ke dunia pertama. Padahal kita melalui proses yang sama, daripada sejarah, iklim, latar-belakang pemimpin, demografik, geografi malah kita ada kelebihan sumber asli dan bilangan penduduk tetapi masih tidak mampu untuk bersaing dengannya.

Singapura mungkin ada masalahnya sendiri. Atau UK, negara yang kita ingin hijrah itu (kalau bolehlah) atau Dubai atau mana-mana tempat lain yang berpotensi tidak seratus-peratus sempurna. Paling utama kita kena lihat dalam sesebuah negara itu ialah ketelusan pemimpinannya. Kita boleh lihat track record politik, ekonomi dan sosial mereka sebagai panduan sebelum kita boleh memutuskan untuk kita tinggal di sana (macam ye, ye, jer nak migrate ni – sebenarnya paling mustahak ialah cara untuk bekerja di negara itu, bagaimana untuk survive? Tak kan nak kerja jadi cleaner kat hotel jer. Tapi aku rasa gaji cleaner kat UK mesti lagi mahal kan?)

Kalau asyik ragu-ragu dan tidak yakin macam tu memang tidak boleh berhijrah ke mana-mana. Di sudut kecil hati kita masih menaruh harapan untuk negara kita sendiri. Kebanyakan dari kita belum mahu lagi bermigrasi ke negara lain yang lebih hijau dan lebih banyak emas. Walaupun dalam satu poll yang di buat minggu lepas mengenalpasti bahawa ahli politik adalah golongan yang paling rakyat Malaysia tidak percayai, tetapi adakah kita punya alternatif lain untuk mengenepikan mereka?

Sementara masih ada harapan yang bersisa, pemimpin kita kena membuat sesuatu yang konkrit untuk meyakinkan rakyatnya bahawa masih ada masa depan yang cemerlang untuk negara ini. Tidak perlu berhijrah. Tapi, apakah sesuatu itu? Menjadi tugas mereka untuk ikhtiarkan, sebab itulah kita memilih mereka in the first place, right?


Photo Credit:http://wisp11.physics.wisc.edu/

Monday, April 24, 2006

Dirty PATI Things

Oleh kerana tak tahu nak kaitkan filem ni dengan apa, aku pilih Crash sebagai rujukan yang layak untuk Dirty Pretty Things. Alasannya sebab tema perkauman atau imigran yang terkandung di dalamnya adalah sangat kuat dalam kedua-dua buah filem di atas. Crash nampak terlalu banyak kebetulan yang bila difikirkan balik nampak macam mustahil untuk terjadi di dunia nyata. Manakala Dirty tak adalah banyak sangat kebetulan. Walau pun Dirty lebih awal keluar tetapi Crash yang aku tengok dulu.


Filem keluaran tahun 2002 ini mengisahkan survival pendatang asing tanpa izin (PATI) di UK yang bekerja di sebuah hotel. Salah seorang pekerja itu ialah Okwe, watak yang sangat berkesan di bawa oleh Chiwetel Ejiofor, sebagai pendatang dari Afrika. Mula-mula kita ingatkan yang Okwe bekerja sebagai pemandu teksi saja tapi rupa-rupanya sebelah malam di kerja di hotel pula sebagai front-desk.

Dia terpaksa mengambil sejenis herba peransang untuk membolehkan dia berjaga tatkala membuat semua tugas-tugas itu. Kita juga ingatkan yang Okwe hanya gelandangan dengan kerja yang rencam dan hidup tidak terurus, rupa-rupanya dia lebih daripada apa yang ditampilkannya.

Kita juga berkenalan dengan seorang lagi karektor, iaitu Senay lakonan Audrey Tautou sebagai imigran dari Turki yang menjadi house-keeper di hotel tersebut. Selain itu ada watak pelacur diperankan oleh Sophie Okonedo dan Juan si pengurus hotel lakonan Sergi López.

Hotel ini bukan saja menjadi tempat mereka cari makan bahkan ia juga adalah simbol bagi mereka meneruskan ikhtiar kelangsungan hidup di bumi asing serta bagaimana mereka menentukan takdir mereka sendiri. Jika mereka sangka dengan lari daripada kesulitan hidup di negara asal dapat melepaskan mereka dari bencana, tunggulah sehingga bertemu ruas di negara yang mereka tumpangi ini.

Ada seorang kawan aku masa belajar di Mesir, pernah datang secara saluran belakang ke UK untuk bekerja di ladang strawberi di sana masa cuti musim panas. Memang menarik cerita mamat tu malah saat paling mendebarkan apabila dia dan kawan-kawannya bertembung dengan polis dan terpaksa mereka-reka cerita. Lain kalilah aku cakap pasal tu (kalau tak nanti entry ni jadi menyimpang pulak).

Memang para imigran berkenaan amat takut dengan pihak berkuasa malah dalam Dirty mereka digambarkan sanggup berbuat apa saja agar tidak di heret ke muka pengadilan waima terpaksa menggadaikan kehormatan diri. Dalam kes ini, Senay yang kelihatan terdesak sangat walaupun banyak situasi wataknya tidak diperjelaskan.

Mungkin jalan cerita Dirty boleh dipertikaikan dari aspek undang-undang imigresen atau sistem birokrasi tertentu atau kesahihan latar belakang tetapi dari segi kemanusiaannya ia adalah relevan. Digambarkan juga bahawa tidak semua pendatang itu mencari rezeki secara haram di negara yang mereka hijrah itu.

Misalnya kawan Okwe, Guo Yi yang kerja di rumah mayat nampaknya ada kerjaya yang terurus dan status yang sah. Peranan Guo Yi adalah penting di sini kerana Okwe sebenarnya adalah seorang doktor (walaupun mula-mula dia tak mengaku) di Nigeria kerana terdapat plot mengenai penjualan organ secara black market yang melibatkan imigran-imigran ini. Jadi antara dilema, prinsip, etika, maruah atau nafsu, mereka semua dalam bersimpang-siur di samping cuba bertahan untuk meneruskan hidup.

Jika diperhalusi, setiap watak pendatang dalam Dirty adalah wakil kepada bangsa-bangsa tertentu yang memang terkenal selalu mencuba nasib di rantau orang. Okwe adalah wakil kulit hitam Afrika yang telah sekian lama dijadikan subjek sebagai “pelarian” dari benua penuh masalah tersebut. Senay pula secara longgar adalah mewakili golongan Asia Barat walaupun Turki sendiri macam tak ada apa-apa konflik untuk dia tinggalkan negaranya itu. Mungkin dia sebagai wanita timur tengah ingin tinggalkan adat dan resam kaumnya supaya dapat bebas menjalani hidup mengikut terma moden.

Juan seorang latin di beri nafas pendatang yang haloba menindas pendatang lain yang ingin berlindung di bawah ehsannya. Manakala Guo Yi seorang imigran China adalah yang paling selesa antara mereka dengan cuba meminimumkan penglibatannya dengan masalah tetapi masih penuh dengan ciri-ciri manusiawi.

Friday, April 21, 2006

Open Fly, Close Mind

Ada satu iklan aiskrim di televisyen. *Mungkin aku pernah tertengok iklan ni tapi aku tak perasan* Masa kami serumah tengah tengok tv, tersiar iklan ini dalam versi bahasa Melayu.


Budak remaja lelaki dalam lif ramai-ramai sambil dia menjilat aiskrim – Memandang lelaki di sebelah sambil berteriak – “Kedai dah bukak!“

Kedai dah bukak....? Apakah maknanya? Dia nak buat kelakar ke ni? Kenapa aku tak rasa lawak pun? Tak paham gue. Menurut housemate aku kalau dalam versi Inggeris, budak tu bukan cakap kedai dah bukak tapi zip seluar terbukak (in English, of course).

Yes! Barulah terasa dia punya punch line.

Tetapi aku mengaku kita akan tidak selesa atau sikit gabra bila ada orang mention zip seluar kita terbuka. Macam pagi tadi kat pantry office masa aku tengah buat air.

“Woi, zip seluar kau terbukak tu,” Colleague

“Mana ada,” Aku dengan muka nervous tapi maintan cool.

Dia pun gelak-gelak sambil menyuap nasi lemak.

Tapi aku tak terus periksa. Sambil kacau air dengan camca lepas tu aku cepat-cepat blah. Aku pasti yang tak ada apa-apa yang terbuka depan seluar aku ni. Tapi selepas keluar dari pantry saja, aku tunduk juga check kat “area itu” manalah tahu kan …. kalau tak jom sure heboh officemates aku tengok aku punya seluar zip tak bertutup.

Aku rasa sensitif agaknya perkara ini untuk disiarkan di kaca tv. Kalau setakat untuk dijadikan bergurau sesama kawan mungkin tak sensitif sangat. Ini sampai dijadikan iklan untuk tontonan ramai boleh menyinggung perasaan sesetengah golongan. Jadi para penapis iklan kita tiba-tiba rasa nervous mendengar skrip tersebut lalu bertindak untuk menukarnya menjadi kedai dah buka. Walaupun tak ada kena-mengena dialog tu dengan babak berkenaan.

Padahal bukan kamera fokus “kat situ“ pun. Dan aku pasti yang kalau kamera masih nak fokus “kat situ“, tak kan dia nak tunjuk yang zip seluar lelaki tu tengah ternganga. Tapi kalau kebetulan kamera fokus sekejap “di situ“ cuma dalam keadaan zip seluarnya tertutup sekadar untuk meyakinkan penonton yang remaja lelaki tadi rupa-rupanya berlawak saja – itu masih boleh di terima. Tak payahlah kita nak gelabah disebabkan oleh hal sekecil itu.

Atau mungkin sebab kita orang Asia? Agaknya penapis iklan kita fikir apabila terdengar ayat “Zip seluar awak terbuka” penonton kita akan terus teringatkan alat sulit lelaki Asia yang saiznya ahem….tidak begitu mencapai piawai kepuasan syahwat?! Patutlah dalam suratkhabar Kosmo! semalam ada berita seorang pelajar dari Singapore bunuh diri kerana tidak berpuas hati dengan saiz alat kelaminnya.

Jadi perkara ini amat sensitif bagi sesetengah daripada kita. Tentang saiz itu? Bukan. Pasal zip seluar terbuka tadi. Eh, boleh jadi ianya memang pasal saiz?! Bukan pasal dialog mengenai zip seluar terbuka? Atau pasal aiskrim tu tak? Iklan tentang aiskrim dan zip seluar terbuka mungkin boleh menjadi double meaning. Aiskrim dan zip tidak cocok untuk disatukan? Begitu? Apa-apa sajalah.

Wednesday, April 19, 2006

Destinasi-Destinasi Dijauhkan

Dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 16 April, ada sebuah rencana yang memetik laporan dari Forbes.com berkenaan beberapa destinasi yang disifatkan paling berbahaya di dunia. Kebanyakan daripada tempat yang disenaraikan tidak selamat itu adalah beberapa negara yang memang selalu kita disogokkan kebobrokan tentangnya. Malah senang pula kita kenalpasti destinasi tersebut berdasarkan peta. Cuma ada beberapa kawasan yang mungkin kita tak pernah dengar namanya apatah lagi nak identify tempat tu kat mana.

Mari kita meninjau destinasi-destinasi yang diuar-uarkan sebagai berisiko tinggi serta penerangan ringkas yang aku cedok dari suratkhabar tu mengapa mereka boleh membawa padah kepada anda jika melawatnya.

1. Afghanistan

Di culik dan dijadikan tebusan. Itulah risiko yang bakal menimpa orang luar yang mengunjungi negara ini, lebih-lebih lagi jika anda berkulit putih. Pencetusnya ialah bekas pejuang Taliban dan Al-Qaeda yang masih giat menjalankan aktiviti pengeboman sama ada oleh penyerang berani mati atau dengan cara meletupkan kenderaan.

2. Burundi

Di manakah letaknya Burundi? Sila lihat peta di bawah. Perang saudara yang bermula sejak 1993 akibat tidak bersetuju dengan tekanan pihak kerajaan menyebabkan berlakunya pemberontakan. Tidak diketahui pula apakah tekanan tersebut (aku malas nak buat further research) mungkin sebab kerajaan mereka menghapuskan subsidi minyak? Keganasan yang berlaku belum ada tanda-tanda akan berakhir apatah lagi tahun lepas mereka dikatakan telah setuju untuk menggenjat senjata tetapi dalam saat-saat akhir masih tembak-menembak dengan kerajaan.

3. Ivory Coast

Mengikut laporan yang aku baca, negara ini menjadi tidak stabil disebabkan oleh rasuah. Walau sekaya mana pun hasil sumber asli atau sebijak mana pun dasar kerajaannya tetapi jika korupsi berleluasa, negara tidak akan menjadi makmur. Justeru ia akan membawa konfrontasi lalu memburukkan reputasi negara itu sendiri.

4. Republik Congo

Sama juga konfliknya macam negara sebelum ini. Walaupun ada penyeliaan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) namun kejadian rogol, penculikan dan rompakan masih terus berleluasa. Malah kerajaan peralihan yang diwujudkan pada 2003, gagal mengekang aktiviti gangsterisme yang semakin melampau dilakukan oleh kumpulan bersenjata. Apa yang menakutkan orang luar ialah prosedur “duit kopi“ yang menjadi amalan untuk keluar masuk ke negara ini.

5. Georgia

Perang saudara juga menjadi pencetus krisis di sini yang telah berlanjutan antara tahun 1980-an dan 1990-an, mengakibatkan negara itu terbahagi seperti apa yang ada pada hari ini. Sebenarnya aku pun tak tahu “apa yang ada pada hari ini” di negara terbabit pasal tak pernah ambil tahu pun. Konklusinya situasi politik yang kucar-kacir dan sering berevolusi menyebabkan negara ini terutamanya di wilayah tertentu sukar bagi pihak luar untuk merujuk siapakah sebenarnya pihak atau kerajaan yang memegang tampuk kuasa.


6. Haiti

Berhati-hatilah apabila ingin berkunjung ke negara ini kerana apabila keselamatan anda terancam semasa di sana, jangan berharap untuk mendapat tindakan dari pasukan polis mereka. Dilaporkan bahawa anggota polis negara tersebut kurang efisien. Manakala adalah normal untuk melihat kegiatan tunjuk perasaan dan keganasan berlaku di sini terutama mereka yang menjalankan urusan bisnes, memang biasa menjadi mangsa. Selain masalah jenayah itu, sumber bekalan asas, air dan elektrik yang terhad juga memudarkan minat kita untuk berlibur di negaranya.

7. Iraq

Siapakah yang ingin melancong ke Iraq buat masa ini? Melainkan anda adalah wartawan, atau pasukan bantuan kemanusiaan, atau tentera pengaman atau…. entahlah….. orang yang sanggup ambil risiko mungkin? Lebih-lebih lagi jika anda orang putih dari Amerika – tidak ada orang yang sanggup melawat Iraq buat masa ini. Jika anda tidak tahu kenapa, maybe anda berada di planet Marikh sebelum ini dan belum begitu faham dengan situasi di bumi lebih-lebih lagi di Iraq.

8. Liberia

Adalah sangat bahaya dan mengancam untuk melawat Liberia lebih-lebih lagi jika anda adalah wanita. Di sini penjenayah rogol adalah sangat bermaharajalela. Berpuluh ribu anggota keselamatan PBB dan polis penasihat mengawasi negara itu tahun lepas sempena pemilihan presiden dan walaupun ia berjalan lancar, keselamatan masih belum terjamin. Kesan dari sisa-sisa perang saudara selama 14 tahun dan krisis sosial masih menghantui sebahagian daripada wilayah ini

9. Pakistan

Tak payahlah nak melancong ke Pakistan pasal di negara kita pun ramai orang Pakisatan. Ok, kalau nak tahu juga, Pakistan berkonflik dengan India sejak mereka berpisah pada 1947 untuk menjadi sebuah negara Islam. Jadi, kerap terjadi pergolakan sempadan. Tambah memburukkan lagi apabila Afghanistan yang juga bersempadan dengannya telah membuat negara ini sebagai sarang untuk para pejuang mereka seperti Taliban dan Al-Qaeda menyorok.

10. Papua New Guinea

Apabila anda berada di sini dinasihatkan supaya anda tidak menaiki pengangkutan awam kerana tidak selamat. Jadi sewa kereta atau motosikal kalau nak berjalan-jalan. Manakala Port Moresby yang juga ibu negaranya dilaporkan sebagai antara kawasan yang mencatatkan kadar jenayah bunuh tertinggi di dunia. Kawasan luar bandarnya pula banyak penyeluk saku berkeliaran. Maka, enter on your own risk.

11. Rusia (Chechnya)

Masalah utama yang menyebabkan wilayah ini tidak tenteram ialah keadaan politik yang tidak stabil. Antara kawasan-kawasan yang tidak digalakkan anda kunjungi termasuklah North Ossetia, Ingushetia, Dagestan, Stavropol, Karachayevo-Cherkessiya dan Kabardino-Balkariya seperti juga Chechnya.

12. Somalia

13. Sudan

14. Zimbabwe

Tiga negara Afrika yang terletak dalam rangking terbawah ini sama jugak masalahnya dengan jiran-jiran Afrika mereka yang lain. Keganasan, krisis politik, jenayah, rasuah, penyakit, bencana alam, karenah birokrasi, kegawatan ekonomi, perang dan lain-lain gejala sosial memang membantutkan hasrat masyarakat global untuk berwisata ke negara mereka. Walaupun terdapat aneka kecantikan semulajadi, budaya dan kesan-kesan sejarah yang sepatutnya menjadi bahan tarikan pelancong namun kerana seribu satu masalah itu menyebabkan kita tidak berani memperjudikan nyawa menjejakkan kaki ke sana.