Thursday, June 24, 2004

A Theme to Fill

Ahah! Aku dah jumpa satu site yang review begitu banyak tempat makan di Malaysia terutamanya di Klang Valley dan hanya dengan membacanya saja telah membuatkan air liurku meleleh. Masa aku nak tulis pasal sarapan di McDonalds dalam entry sebelum ni, aku tiba-tiba hilang ingatan tentang apa benda yang di panggil burger masa aku bersarap tu? Kemudian aku terus check internet untuk mendapat jawapannya. Dari beberapa laman yang google cadangkan akhirnya aku klik di sini dan bukan sekadar pasal burger McDonalds yang aku dapat tetapi beratus-ratus restoran, gerai dan medan selera yang sesuai untuk anda pergi melantak.

Kan bagus kalau aku boleh maintain jurnal ini dengan hanya menumpukan pada satu tema atau isu supaya ia nampak sistematik. Pada mula-mula laman ini ingin dibangunkan aku berhasrat untuk menfokuskan tentang filem-filem yang pernah aku tonton. Apa-apa saja filem sama ada di pawagam, dvd atau tv yang telah aku tontoni, aku ingin ulas (atau pulas...hahahar...) mengikut suka hati aku. Tetapi setelah aku terjumpa dengan blog ini dan ini membuatkan aku cepat-cepat tersedar ke alam nyata. Aku tidak boleh menulis sebaik mereka dengan kritikan dan reviu sungguh bernas membuatkan menonton wayang bukan sekadar hiburan semata-mata. Setelah menghayati laman mereka itu membuatkan aku jadi tumpul untuk menulis pasal filem secara konsisten dan ia cuma mengisi entry ini sekali-sekala apabila aku tergerak untuk menulisnya. Lebih-lebih lagi jika filem itu terlalu berbekas di hati membuatkan idea untuk mengarang menjadi lebih licin.

Atau aku boleh menulis tentang hobi aku! Ya.... betul tu! tentu tidak menjadi masalah untuk aku menghidupkan jurnal ini dengan cerita tentang hobi aku yang sesuai di kongsi bersama. Malangnya aku tak ada sebarang hobi yang boleh dikatakan unik atau intrig untuk anda semua mengetahuinya. Aku terserempak dengan jurnal ini yang si empunya mempunyai minat menonton bola. Kalau anda teringin untuk tahu aspek-aspek peminat bola terutama sekarang ni tengah musim Euro 2004 bolehlah membacanya di sana. Apa yang membuatkan jurnal ini tambah istimewa ialah dia ni seorang perempuan yang fanatik dengan bolasepak! Pasukan kegemaran beliau ialah Itali. Sekarang masa yang baik untuk kita menjenguk laman ini kerana Itali yang gagal ke suku akhir Euro 04 pastinya mempunyai banyak sebab untuk tuan punya jurnal ini berkabung. Selain itu beliau juga bermain gitar di masa lapang dan sedikit sebanyak kita boleh tahu tentang gitar dan perkara-perkara yang berkaitannya.

Bukankah elok jika aku ada satu minat yang konsisten - oh, aku suka baca buku tapi err.... nak habiskan satu buku jer dah memakan masa berbulan-bulan. Nanti dapat update jurnal sebulan sekali sajalah sebab nak reviu pasal buku tu - sebulan baru habis. Aku rasa tak ada satu anasir yang boleh aku angkat menjadi tema untuk jurnal aku ni. Bukanlah aku tidak pernah ada hobi langsung. Aku pernah berminat mengumpul setem masa budak-budak dulu, pernah minat tanam sayur, main dam, lukis kartun dan macam-macam lagi. Tapi semua tu tak berkekalan sampai sekarang. Apabila masa beredar dan usia meningkat aku sudah melupakan benda-benda tu dan tidak berminat untuk meneruskannya. Kalau tak korang boleh menambah ilmu membaca tentang cara-cara membaik-pulih setem yang rosak atau pasal cara-cara untuk memastikan pokok tomato anda boleh menghasilkan buah yang merah dan subur.

Alamak, baru aku ingat - aku memang ada satu hobi yang unik - - - - - - -
Aku suka mengumpul sampah!! Hah... sekarang anda boleh membaca tentang minat aku yang masih kekal sampai sekarang ni, hobi mengumpul sampah. Aku tak ingat bila pertama kali aku start berminat mengumpul sampah-sarap nih. Nampaknya aku kena buat entry lain yang special pasal hobi ni. Hmm .... lepas ni jenuhlah korang membaca jurnal yang terisi dengan tema cara-cara mengumpul sampah dengan efektif.
>
>
>
>
>
>
>
>
>
>
Korang : Cheh ....kalau dah dasar malas nak kemas rumah tu, memanglah sampah sarap tu akan berkumpul ..... boleh dia kata itu hobi "mengumpul sampah". Itu bukan hobi oii..... itu namanya pemalas!!

Aku : Kahkahkahkah ...!!

Monday, June 21, 2004

Subuh ke Dinihari

Hujung minggu baru-baru ni aku habiskan masa membawa keluarga aku jalan-jalan di sekitar bandaraya. Mereka datang hari Sabtu – subuh-subuh hari dah call suruh pick them up dan balik semula pada malam harinya. Tak tidur kat sini pun. Apakah tempat-tempat yang sesuai untuk membawa kaum keluarga anda yang baru tiba dari desa bersiar-siar di Kuala Lumpur ini? Shopping complex of course.

Tarikan membeli-belah terbaru di sini tentulah Berjaya Times Square. Sebelum tu kami pergi Stesyen Sentral dulu sebab tempat yang ini pun mereka belum pernah sampai lagi. Berjalan kejap sambil tengok apa-apa yang menarik di kiosk serta kedai-kedai yang di buka. Tak beli apa-apa sebab lepas ni nak simggah di Times Square baik beli terus di sana, lagi banyak pilihan. Naik lenguh kaki banyak berjalan dan lepas tu duduk melepak tengok tv di satu sudut. Hanya gambarnya saja yang dapat di lihat, audio tak dengar, lagi pun suasana agak bising.

Dah sampai KL ni mesti nak bawa diorang merasa naik sistem kenderaan awam terbaru di sini iaitu Monorail. Diorang komplen gayat sikit naik benda ni macam bergoyang-goyang terutama masa dia nak korner kat selekoh landasan tu. Kami naik sampai stesyen Imbi dan terus masuk ke kompleks beli-belah yang berwarna terracota bertunjangkan dua menara. Terus cari restoran laksa dalam tu sebab kakak aku mengidam nak makan laksa Sarawak. Tapi bila disajikan bukan dia guna laksa tapi mihun. Berbeza masa aku makan laksa Sarawak di Maju Junction, memang laksa itu sendiri sebagai bahan utamanya dan bukan mihun atau mee kuning ke. Mihun dia warna putih cuma saiz dia tebal sikit dari mihun yang lazim. Tak tahu macam mana nak bezakan resepi laksa antara dua tempat ni pasal aku tak cuba merasa yang kakak aku order tu. Yang kat Maju Junction tu punya memang sedap. Kecur pulak air liur aku ni.

Kemudian kami pergi ke Sungai Wang yang terletak berhampiran sebab nak mencari barang-barang untuk di bawa pulang sebagai buah tangan. Seperti biasa kat sini manusia berpusu-pusu sampai di luar kompleks pun ramai. Pergi farmasi, Parkson dan melihat kedai-kedai yang memang banyak terdapat kat sana. Lepas tu singgah beli buah kat Giant pulak. Memang sesuailah beli buah sebagai buah tangan. Selain buah, beli roti yang jenisnya tidak ada di kampung untuk sarapan esok paginya. Pagi tadi pun aku bawak diorang sarapan stail fast food di McDonalds. Paling sedap makanan breakfast di sini ialah Hash Brown potatoes. Memang sedap benda ni sampai kita boleh bersarapan dengan Hash Brown saja tanpa makan sajian lain. Tapi kami order set breakfast yang mengandungi sosej berbentuk daging burger dengan McEgg dan minum teh dan kopi.

Selesai membeli barang-barang makan di Giant kami pun berangkat ke Pudu nak mengejar bas. Penat sungguh rasanya satu badan penat bersiar-siar sekitar ibu kota sehari suntuk dari subuh ke dinihari melayan familyku ini. Balik rumah rasa nak tidur terus tapi kena mandi dulu dan solat isyak lepas tu baru pengsan.

Wednesday, June 16, 2004

The One with the f.r.i.e.n.d.s Quiz





I'm Joey Tribbiani from Friends!

Take the Friends Quiz here.

created by stomps.





First time aku try kuiz macam ni. Err... no, rasanya pernah try kuiz macam ni sebelum ini tapi tak publish dalam jurnal. Tak ingatlah kuiz apa.

Aku try kuiz karektor f.r.i.e.n.d.s yang mana mirip anda. Result yang keluar ... I'm Joey. "Macam" Joey lah tapi bukan macam Matt le Blanc.
Kuiz di ambil dari Airiz.net. Aku dah send e-mail dekat dia cakap aku ambil kuiz ni. Dah ambik baru tanya.
Aku nak try paste kat blog, menjadi tak hasilnya.

Tuesday, June 15, 2004

The O.C. @ The Obses Cinema

Biasanya kita dengar nama jalan, tempat atau bangunan diabadikan dengan nama tokoh-tokoh yang berjasa, tumbuhan atau kesan-kesan sejarah. Tapi sekarang ada pula lapangan terbang yang akan dinamakan mengikut siri televisyen. Bukan, bukan KLIA akan di beri nama baru sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Gerak Khas atau Lapangan Terbang Akademi Fantasia sebaliknya sebuah lapangan terbang lain di selatan California. Pihak berkuasa di sana ingin menukar namanya jadi The O.C. Airport. Ahad lepas aku tunggu jugak cerita ni keluar di LapanTV tapi di ganti dengan Euro 2004 pulak. Sampai bulan Julai lah nampaknya kena mengadap bola jer.

Berbalik pada rancangan The O.C yang dihebohkan tadi, nama tu dicadangkan kerana populariti yang dikecapi oleh siri televisyen tersebut kebelakangan ini. Namun usul itu tidak mendapat reaksi menggalakkan kerana rancangan tv biasanya tidak kekal lama. Siri The O.C. baru memasuki musim keduanya tahun ini. Jika tiba-tiba ia dibatalkan penyiarannya kerana mungkin rating yang merudum, maka tiada signifikan lagi sedangkan nama itu terus kekal di lapangan terbang. Namun sebuah bandar di Hot Springs, New Mexico ada menggunakan sebuah rancangan tv sebagai nama pekan mereka iaitu "Truth Or Consequences" berdasarkan program popular di tahun 50-an. Sekarang lapangan terbang di selatan California itu di panggil John Wayne Airport. John Wayne tu pun pelakon jugak, ada kena-mengena dengan hburan dan televisyen. Mereka di California tu nampaknya memang obses dengan dunia hiburan.

Bukan di California saja ada orang yang obses dengan dunia seni dan hiburan ni, kat negara kita ni pun ada. Contohnya yang tengah menaip ni. Sebelum tu aku rasa dah sampai masanya aku memaafkan Shuhaimi Baba kerana membikin filem yang (entah ler, tak tahu nak describe macam mana) bertajuk Mimpi Moon lima tahun sudah. Mimpi apa entah yang Shuhaimi dapat sehingga sanggup produce filem yang lemah dari segi jalan cerita dan skrip yang memerlukan pelakon-pelakonnya bertutur slang utara yang pelik. Teruk sangat filem tu, yang berkualiti cuma teknik penggambaran yang cantik. Dengan munculnya Pontianak Harum Sundal Malam maka terubat sudah kekecewaan akibat kehampasan Mimpi Moon malah sampai aku berhajat nak tengok Pontianak buat kali kedua! Punyalah suka dengan filem ni.

Tapi malangnya tak sampai hajat di hati aku nak tengok Pontianak buat kesekian kalinya karena duit aku hilang entah ke mana padahal aku dah susah payah beratur kat TGV masa tu!!! Aku rasa aku dah simpan duit tu dalam poket seluar siap-siap sebelum pergi ke panggung tapi bila aku cari-cari tak ada pulak. Ada tercicir di mana-mana kot? Risau gak ni. Extra cash yang ada cuma empat lima ringgit jer tak cukup nak bayar harga tiket. Petang tu after office hour aku beratur balik tapi dah sold out pun tayangan Pontianak untuk show pukul 11 lebih jadi aku tengok Harry Potter and the Prisoner of Azkaban. Duit yang hilang tu aku masih musykil sama ada ia betul-betul hilang atau aku sebenarnya tak masukkan dalam poket tapi aku letak kat tempat lain? Sebab aku ada jumpa duit extra dalam beg aku yang aku tak ingat bila masa aku letak kat situ. Aku pulak tabiat suka letak duit merata-rata.

Filem sambungan ke-tiga kisah Harry dan rakan-rakan di Hogwart School ni adalah yang terbaik (in my opinion) berbanding dengan dua filem terawal. Ia lebih padat, penuh aksi dan lebih mendebarkan. Aku rasa mungkin ada yang terfikir bahawa konsep filem Harry Potter dengan dua rakan karibnya, Hermione dan Ron lebih kurang macam siri novel tiga sekawan atau lima sekawan yang Enid Blyton tulis tu. Bezanya mereka hidup di alam fantasi berbanding dengan buku cerita Blyton berkisarkan alam nyata. Weekend lepas juga aku tengok dvd Cheaper by the Dozen yang mengisahkan tentang keluarga beranak 12. Biasa saja filem ni tahap-tahap cerekarama jer. Ironiknya dalam filem ni Ashton Kutcher yang berlakon sebagai boyfriend Piper Perabo allergik dengan adik-adik Piper seramai sebelas orang padahal in real life dia sendiri pun dia terpaksa berdepan dengan anak-anak Demi Moore yang segerabak tu.

Hari Isnin pun aku tunggu cerita Alias keluar dia siar ulangan bola lagi. Nampaknya betul-betul kena tunggu sampai musim Euro 2004 ni tamat barulah siri-siri kegemaran aku kembali ke tv.

Thursday, June 10, 2004

Demon, Pontianak & Zombie

Tengah aku mencari vcd Sweet Home Alabama yang kawan aku nak pinjam, tiba-tiba terjumpa beberapa vcd yang aku ada tapi aku tak pernah tengok. Banyak pulak tu. Antaranya Rosemary's Baby, The Thin Red Line, Chopper, Dr Dolittle 2 dan banyak lagi. Nanti aku buat satu entry yang menyenaraikan beberapa movie yang ada kat rumah tu tapi aku belum tengok. Aku akan senaraikan reasons nya sekali kalau ada yang logik. Salah satu filem yang masih belum ku tonton itu ialah The Ninth Gate lakonan Johnny Depp dan Lena Olin (mak Sidney Bristow dalam Alias). Aku tak jumpa vcd Sweet Home Alabama tu sebagai gantinya aku bagi dia pinjam vcd Harry Potter and the Chamber of Secrets.

Pagi Sabtu lepas aku pun tengok The Ninth Gate yang ceritanya lembab nak mampus. Tak ada English subtitle pulak tu, kenalah aku pasang telinga dengar betul-betul. Aku tengok satu vcd dulu sebab boring gila. Filem ni pun lebih kurang sama macam Secret Window yang hampir 80 % bertumpu pada Johnny Depp semata-mata. Beliau banyak berlakon secara solo dalam ke dua-dua filem ni dan watak-watak lain seolah-olah terpaksa mengemis untuk muncul di adegannya. Berdasarkan sinopsis yang aku baca The Ninth Gate sepatutnya seram pasal ia ada kaitan dengan unsur menyeru demon. Tapi so far tak seram lagi. Mungkin dalam vcd ke-dua nanti baru hantu akan muncul.

Oleh kerana tak sabar nak melihat hantu, petang tu aku dengan Jee yang baru datang dari Shah Alam pergi ke KLCC untuk menonton Pontianak Harum Sundal Malam. Malangnya tiket telah sold-out untuk kebanyakkan show. Queue pulak seperti biasa tetap panjang berjela dengan orang ramai. Padahal filem-filem blockbuster masa tu mostly dah sold out, mungkin mereka semua nak beli tiket filem Bicara Hati pulak yang masih belum laris. Kami berkejar pula ke Mid Valley manalah tahu di sana kami lebih bernasib baik. Tapi sold-out juga. Hai... ramai peminat pontianak rupanya di KL ni. Lagipun dah tiga puluh tahun filem genre hantu ini tidak diizinkan mengilai di pawagam. Jadi, semua orang seakan di rasuk untuk mengejar dan memakunya di mata masing-masing. Bagaimanakah rupa pontianak di alaf baru ini? Masih menakutkan tak?

Lepas solat maghrib singgah Carrefour, jalan-jalan dan tengok apa yang murah untuk di beli. Singgah di seksyen cd muzik, tengok album baru Misha Omar. Tentulah kerana tertarik dengan lagu tema filem berjudul "Pulangkan" maka hati tambah terdesak untuk menonton filemnya sendiri. Tapi album tu tak berjaya dibeli. Setengah jam mundar-mandir dalam pasaraya besar, beli satu dua bahan makanan untuk mengisi tembolok. Lepas tu pergi shopping kat Petaling Street pula. Nampak dvd Dawn of the Dead berasa tertarik untuk memborong. Mengubat hati yang ralat tidak dapat melihat pontianak tadi, dapat melihat zombie pun jadilah. Balik rumah bila test dvd tu, hampehh..! Kualiti gambarnya menyedihkan, kelabu jer macam tengok vcd yang di rakam di panggung wayang. Tengok jer lah, malas nak pergi tukar. Kalau clear sangat takut pulak nampak zombie berkeliaran dalam mimpi aku nanti.

Pagi Ahad esoknya di KLCC, awal-awal lagi kami dah terpacak depan TGV nak beli tiket. Ingatkan kami yang terawal sampai, rupa-rupanya ramai lagi makhluk lain yang awal dari kami. Berduyun-duyun semuanya dok kerumun kat situ padahal TGV belum buka kedai lagi. Bila kedai bukak aje, menderu orang menyerbu ruang legar untuk merebut tempat pertama. Aku pun berlari sekali ..... kihkihkih.... nampak sangat kemaruk nak tengok wayang, macam apa jer. Masa tengah taip ni malu pulak bila aku ingat-ingat balik. Siap bertolak-tolak, sampai tali yang di buat border barisan tu entah ke mana-mana perginya. Ada amoi sorang tu bengang giler bila mamat belakang dia dok menghimpit, last-last dia surrender terpaksa blah. Apa ke jadahnya nak tengok wayang sampai kena peluk?! Namun pak guard @ bouncer TGV telah berjaya mengawal keadaan dan suasana menjadi tenang. Dapat jugak tiket akhirnya setelah hampir sejam beratur nak dapatkan tiket pontianak tu. Itupun seat antara yang ke depan, terpaksa mendongak ler jawabnya. Ni kalau tak best filem ni aku cekik-cekik Shuhaimi Baba pulak lepas ni.

Monday, June 07, 2004

Akhir Bulan Lepas, Awal Bulan Ini

Sabtu May 28th, 2004

Hari ni buat OT. Walaupun aku rasa macam nak demam campur selesema terpaksa juga datang habiskan kerja supaya Isnin nanti tak melambak benda-benda yang tertangguh. Sempat makan mihun dan buat Nescafe. Tapi dalam sejam jer duduk buat kerja pasal rasa creepy pulak duduk kat office yang luas tu sorang-sorang.

Sebab dah ada kat KL masa ni aku pun pergi tengok wayang. Panjangnya barisan orang beratur - rasa tak percaya pulak rakyat KL suka tengok wayang di pawagam. Ingatkan suka beli dvd pirates jer. Aku tengok Secret Window pasal filem-filem lain terlalu popular dan akan bermain di pawagam dalam tempoh yang panjang. Secret Window pula dah nak tamat tayangannya. Kalau anda tidak biasa tengok siri Twilight Zone tentu anda akan rasa surprise dengan ending filem ni.

Petang tu KL hujan lebat. Aku yang macam nak demam ni, dengan sejuk dan selesema memaksakan diri pergi juga ke PWTC. Dalam bangunan tu pun sejuk tahap maksimum - menggigil-gigil jadinya. Aircond yang di pasang terlampau powerful. Aku terus berjalan dari satu booth ke satu booth borong buku. Lagi pun tahun lepas aku tak pergi jadi tahun ni bolehlah lepas geram beli buku banyak-banyak. Tahun lepas bukan tak nak pergi tapi asyik bertangguh jer, nantilah, nantilah, tup-tup dah habis pun pesta buku. Aku banyak beli majalah yang back issues dan yang baru, second hand English novels dan novel Melayu yang first hand punya.

Rabu 2nd June 2004

Lunch hour pergi TGV nak beli tiket wayang. Panjangnya barisan manusia beratur nak beli tiket, serupa macam Sabtu lepas. Give-up nak beratur terus pergi lunch kat Picnic dengan Khai. Dekat Picnic pun ramai orang, melilau ler nak cari tempat duduk. Makan nasi dengan lauk chicken fillet dengan black pepper gravy. Cepat-cepat sudahkan makan dan lepas tu masing-masing balik ke pejabat semula.

Petang pergi survey hadiah di Ampang Point untuk kasi kat orang kahwin weekend ni. Singgah di Royel tengok dulu barang apa yang mereka jual dan harganya bagaimana - mampu ke nak beli. Lepas tu pergi Remix pula survey pinggan mangkuk. Aku rasa pinggan mangkuk, gelas, cawan, piring ni adalah antara barang-barang lazim yang orang hadiahkan dekat pengantin. Dah puas membelek semua benda-benda tu aku pun blah. Bila-bila aku datang balik kalau dah confirm nak beli.

Khamis 3rd June 2004

Hari ni officemate aku belanja makan beberapa orang staff di Pizza Hut. Walaupun aku tak berapa gemar Pizza Hut tapi sebab orang nak belanja, settt...! Masa tengah makan-makan tu, officemate aku pun cakap

“Benda macam piza ni sesuai makan sebulan sekali jer – fast food ni tak elok makan selalu sangat,“

Haa, tapi aku pulak seminggu sekali makan piza. Tak tahulah apasal tapi dah tiga minggu berturut-turut, ada jer nak melantak piza ni. Bermula dengan Pizza Uno, diikuti minggu lepas makan piza di De Palma. Dalam banyak-banyak makanan yang ada kat hotel tu, kawan aku boleh order piza? Dah lah tak berapa sedap pulak tu. Semalam pulak makan di Pizza Hut. Nampaknya ada menu baru di restoran ini, piza bertopping kembar atas satu crust. Ini idea yang bagus, kalau kita jenis cepat muak dengan satu jenis perisa, ada satu lagi perisa yang boleh kita cuba.

Jumaat 4th June 2004

After office hour terus pergi Ampang Point. Aku beli jer lah pinggan mangkuk kat Remix tu. Dah malas nak survey kat tempat lain tambahan pulak ada diskaun lagi. Macam tahun lepas pun aku hadiahkan barang jenis ni juga untuk orang kahwin. Kalau sesiapa yang jemput aku pergi majlis kahwin tu rasanya mereka dah boleh expect hadiah apa yang aku akan bagi. Singgah food court di tingkat atas untuk makan malam. Sambil tu tengok Channel V yang ditayangkan. Entahlah tak dengar sangat lagu-lagu yang keluar pasal suasana kat situ yang bising.

Monday, May 31, 2004

Cli-Maid

Setelah panas berpanjangan hari demi hari, alhamdulillah sejak dua tiga hari ni hujan mula turun dengan lebatnya. Yayy! Sebelum ni pun hujan turun juga tapi sekejap-sekejap, tak cukup lebat untuk menyejukkan bumi yang membara. Mungkin hujan ini turun sebagai mengabulkan doa sebahagian hamba-Nya yang merintih bumi ini terlalu kegersangan, takut pula nanti kering air di empangan. Sekarang masih dalam musim peralihan monsun yang lazim memang membuatkan cuaca menjadi panas terik luar biasa. Panas hangat membakar suasana persekitaran ibarat turut membakar perasaan di dalam. Benarlah menurut rencana Kesihatan dalam Mingguan Malaysia dua minggu lepas, impak cuaca yang panas dan kering turut mengubah manusia menjadi lebih pemarah, panas baran, mood yang tidak menentu dan memberontak.

Walaupun majikan Nirmala Bonat tidak perlu menunggu sehingga iklim menjadi betul-betul hangat membara sebelum dia boleh mendera orang gajinya itu, namun cuaca turut menyumbang kepada kitaran emosi manusia. Namun kita semua masih mempunyai akal yang waras dan boleh berfikir dengan wajar sebab dan akibat sebelum bertindak untuk melunaskan sesuatu. Tak acilah nak salahkan cuaca pula. Ibarat membina rumah di lereng gunung berapi, kalau tiba-tiba rumah terbakar di musnahkan lava yang mengalir, kepada siapa kita nak salahkan? “Mestilah dekat orang gaji – apasal dia tak tolak rumah tu ketepi sikit!” ? ini mesti orang gila yang jawab ni.

Perasaan manusia sangat kompleks. Tidak ada manusia yang benar-benar patuh pada garis panduan tidak bertulis tentang bagaimana seseorang manusia itu harus berperasaan. Ia hidup subur dalam naluri kita, sama-sama bernyawa dengan kita dan mati dengan kita. Tidak seorang pun tahu gejolak di dalam jiwa (melainkan yang Maha Esa), sekiranya kita sendiri tidak zahirkan atau meluahkannya. Jika seseorang itu ada latar belakang agama yang kuat, didikan sivik yang baik, suasana pembesaran yang harmoni mungkin mereka akan dewasa sebagai individu yang mempunyai seketul hati dan perasaan yang mulia. Kalau pun mereka telah ada itu semua, agama, sivik dan keharmonian untuk dia membesar sebagai manusia yang berhemah tinggi - tapi kalau cuaca yang asyik panas memanjang atau orang gaji yang asal basuh pinggan aje, mesti ada pinggan yang pecah – dia mungkin tidak akan menjadi orang yang normal juga.

Justeru siapa atau apa yang dapat menyejukkan hati dan perasaan yang amarah?

A = Jika cuaca yang menyebabkan anda rasa nak marah jer, maka bolehlah anda

1) Minum lebih banyak air – air sejuk atau air suam ke

2) Duduk bawah air-cond atau kalau tak mampu pasang air-cond, kipas angin pun boleh. Kalau nak rasa macam air-cond jugak, bukak pintu peti ais, duduk depan tu – hah, macam air-cond kan?

3) Pakai baju yang nipis – berpada-padalah nak berbaju nipis ni, kang lain pulak jadinya

4) Elakkan bersesakkan di tempat orang ramai, duduk diam-diam dalam rumah

5) Tanam lebih banyak pokok, kalau anda duduk kat rumah flat atau pangsapuri, tanam pokok dalam pasu – sebab tumbuh-tumbuhan boleh menyejukkan suasana. Lepas tanam tu, jagalah pokok tu elok-elok supaya ia hidup subur. Jangan malas pulak nak siram, bubuh baja ke.

B = Kalau orang gaji pulak yang menyebabkan anda naik darah

1) Jangan bagi tekanan atau paksaan pada orang gaji jika dia lembab buat kerja tambahan yang tak ada pengalaman . Mana dia biasa guna mesin basuh, rice cooker, microwave, dapur gas, vacuum cleaner dan lain-lain alat-alat elektrik tu semua masa di ceruk Indonesia dulu. Kalau ada masa, mula-mula anda sendiri boleh buat kerja-kerja tu dulu, biar dia tengok sambil mulut anda explain dekat dia betul-betul.

2) Kalau tak ada masa pulak, anda ajar dia secara praktikal, biar dia guna sendiri benda-benda tu sambil anda perhatikan dan explain. Terangkan banyak kali sampailah dia mahir. Kalau dah sepuluh kali ajar pun masih tak paham jugak, ajar lagi biar sampai dua puluh kali pulak ke, sesambil tu mulut anda banyakkan beristighfar.

3) Mungkin dia tak faham bahasa Malaysia yang anda gunakan agaknya? Mesti anda explain campur aduk dengan bahasa orang putih kan? Mana dia nak faham. Tolong panggil cleaner Indon kat office anda bawak ke rumah dan mintak cleaner tu yang ajarkan orang gaji anda tu. Kali ni dalam bahasa ibunda mereka pasti tidar sukar lagi untuk mereka saling berkomunikasi. Pasti lebih mudah kerjanya.

4) Kalau cleaner Indon tu tak dapat bekerjasama sebab dia busy on weekend nak pergi dangdut, maka kenalah anda bersabar dengan orang gaji yang bengap tu. Luahkan perasaan tension anda kepada ahli keluarga, officemate atau jiran tetangga kalau-kalau mereka ada solution untuk masalah ini. Jangan pendamkan saja rasa nak marah anda tu dalam hati, nanti sakit jiwa pulak. Kalau kita dapat meluahkannya pada seseorang, boleh membuatkan kita rasa lega sikit.

5) Susah-susah sangat, berhentikan jer lah orang gaji yang tak boleh diharap tu. Simpan lama-lama kang, ada pulak seterika naik atas badan, tak pepasal naik court. Selisih.

Sunday, May 30, 2004

Menghampiri Mereka yang Masyhur

Sebagai remaja, William Miller sebenarnya masih dalam kongkongan ibunya seorang pensyarah yang bimbang dengan kancah social anak muda ketika itu. Apatah lagi anak gadis sulungnya sendiri telah bertindak untuk keluar rumah, bekerja sebagai pramugari dan tinggal bersama teman lelaki. Si ibu mengharapkan William tidak akan menghampakannya. Tetapi anak lelakinya ini minat muzik rock dan berbakat menulis tentang dunia muzik dari segenap aspek. Suatu hari dia berpeluang mengikut kumpulan rock, Stillwater mengadakan tour bersama beberapa group lain dan dia turut sama merasa keindahan dan kepalsuan dunia selebriti.

Aku bercakap tentang filem Almost Famous yang diarahkan oleh Cameron Crowe keluaran tahun 2000 yang memenangi Oscar tulisan lakon layar terbaik. Mungkin ramai yang telah menonton filem ini, aku saja yang lambat. Tetapi jika kita memandang pada agenda hiburan tv sekarang yang berlumba-lumba menyogok penonton dengan ajnas pertandingan nyanyian seperti Akademi Fantasia, Audition, Who Will Win, Malaysian Idol membuatkan kita rasa cemas berhadapan dengan fenomena ini. Adakah semua orang kini hanya mempunyai satu cita-cita – menjadi penghibur? Adakah sekarang semua orang hanya ada satu bakat saja – memegang mikrofon di atas pentas lalu mengalunkan lagu? Benarkah mereka betul-betul berbakat atau hanya ingin mengecap glamor? Apakah tujuan mereka menjadi popular? Seronokkah apabila di kenali ramai? Menjadi popular tidak semudah mendaftar memasuki pertandingan tadi. Ada harga yang perlu mereka bayar bila sudah menjadi terkenal nanti.

Penny Lane adalah nama watak yang di pegang oleh Kate Hudson dalam Almost Famous. Dia bukan penyanyi atau pemain drum atau ahli krew mana-mana kumpulan yang bergerak dalam tour berkenaan. Tapi dia sangat relevan kepada mereka dan kehadirannya bukanlah tanpa tujuan tertentu. Dia adalah “band-aids”. Boleh dibayangkan bahawa Penny juga ingin menikmati kemasyhuran, menjadi sebutan ramai atau merasa dirinya popular. Kerana dia tahu dia bukannya pemain muzik, pengurus, pencipta lagu atau siapa-siapa dalam arena muzik rock maka dia menawarkan benda lain sebagai tarikan. Ia seperti pepatah yang biasa kita dengar – Jika kamu tidak boleh menjadi seperti mereka, sertai mereka!

Selain Penny ada beberapa gadis lain yang sealiran dengannya bergelar band-aids. Band-aids ini boleh dikatakan peminat fanatik sesebuah kumpulan muzik yang mengekor ke mana saja mereka membuat tour atau persembahan. Kumpulan terbabit tentu saja tidak menolak apabila dikelilingi gadis-gadis cantik tadi. Walaupun Penny mengikut rombongan Stillwater sebagai peminat setia, dia nampaknya menaruh hati pada Russell Hammond, peminat gitar kumpulan tersebut. Di akhir kredit filem di beritahu bahawa watak Penny Lane cuma rekaan semata-mata tetapi ia secara kasarnya berpandukan pada seseorang yang pernah wujud.

Memang watak seperti Penny Lane ini wujud malah dalam dunia hiburan tanahair juga ada peminat seperti ini. Baru tengahari tadi dalam rancangan Melodi, pemenang peraduan sms video muzik Vince bernama Christine dikhabarkan sanggup menghantar beratus-ratus sms kerana terlalu minat. Di samping itu di mana saja persembahan Vince diadakan Christine memang tidak melepaskan peluang untuk menontonnya. Manakala Vince sendiri adalah produk dari pertandingan nyanyian yang menjadikan dia terkenal seperti sekarang. Malah Christine tidak sia-sia bergelar peminat sejati bila dia turut di undang ke studio untuk di temuramah dan sebagai hadiah kemenangan dia turut berpeluang berlakon dalam video klip terbaru penyanyi pujaannya nanti. Wow, sudah tentu kemasyhuran buatnya hampir saja menjadi kenyataan! Tapi dia minat Vince sekadar sebagai artis saja, bukan sampai nak buat boyfriend apabila di tanya Aznil sama ada dia ingin bercinta dengan penyanyi itu.

Seperti yang telah di sebut, harga menjadi popular bukannya murah. Dalam program Melodi itu juga memaparkan interviu dengan Fasha Sandha yang di tahan baru-baru ini untuk membantu dalam satu kes dadah. Walau hanya secalit berita negatif itu tersiar, ia bukan mudah buat pelakon baru ini membersihkannya kembali. Orang akan terus bercakap dan mengingatinya buat satu jangka masa. William Miller sebagai penulis tahu luar dan dalam, buruk dan baiknya anggota Stillwater ketika siang malam bersekongkol dengan mereka. Dia betul-betul mendapat peluang ini tatkala pesawat yang mereka naiki pada suatu hari di landa ribut elektrik dan setiap ahli kumpulan merasa cuak dan gementar. Masing-masing merasakan yang bila-bila masa saja kapal terbang boleh terhempas dan itulah saja saat yang tinggal untuk mereka bersama. Tiba-tiba setiap seorang dari anggota membuat pengakuan (yang buruk-buruk tentunya) tentang perbuatan mereka selama ini, perasaan sesama ahli krew, kejadian-kejadian rahsia yang mereka simpan malah salah-seorang ahli Stillwater rupa-rupanya gay.

Apabila usai saja sesi meluahkan perasaan itu cuaca kembali tenang dan mereka selamat mendarat. Russell memberi kebenaran kepada William untuk menulis ke semua apa yang di lihat dan di dengar sepanjang dia hidup bersama kumpulan tersebut. Dia rasa sangat teruja dan inilah masanya untuk dia mencipta nama sebagai penulis baru di majalah Rolling Stone dengan menulis cerita sensasi pula. Namun begitu pengurus Stillwater tidak bersetuju kisah peribadi kumpulan Stillwater didedahkan keterlaluan di dalam majalah. Ini akan mengurangkan aura misteri kumpulan terbabit di mata peminat. Peminat biasanya mudah muak dengan artis yang terlalu terbuka. Russell cepat-cepat menafikan berita yang di tulis William apabila pihak Rolling Stone menghubunginya untuk mendapatkan pengesahan sebelum cerita berkenaan di cetak. Dan ini benar-benar mengecewakan William. Ketika dia sedang di rundung duka itu, tiba-tiba kakaknya yang baru habis bertugas di awan biru telah bertembung dengannya di lapangan terbang. Lalu mereka balik semula ke rumah berjumpa dengan si ibu yang setia berkorban melepaskan anak-anak yang ghairah memburu impian masing-masing.

Sama ada cita-cita kita menjadi orang terkenal atau orang yang normal, ingatlah akan mereka yang berada di sekeliling kita lebih-lebih lagi keluarga kita sendiri. Apa saja yang kita buat turut memberi kesan kepada mereka kerana kita membawa nama baik keluarga walau di mana saja kita berada. Mereka yang memilih menceburi kerjaya glamor ini – sebagai artis atau seniman adalah kerana memang berbakat atau memenuhi impian sekian lama. Berbanding dengan kita yang memilih menjadi manusia biasa, mereka yang berkarier di bidang popular tidak saja memperkenalkan diri sendiri, sebaliknya kaum keluarga malah peminat mereka pun hampir saja turut merasa terbias kemasyhurannya.

Monday, May 24, 2004

Jom, Piza!

Baru-baru ni aku pergi ke Pizza Uno lagi. Tapi aku tak pilih ayam dah, aku makan piza pula. Memang sesuai makan piza di restoran yang di panggil Pizza. Aku pergi dengan seorang kawan yang belum pernah lagi masuk ke sini. Oleh sebab aku masih kenyang lagi kerana sebelum tu aku dah makan nasi jadi aku kongsi sekeping piza tu dengan dia. Kerak piza di sini sungguh nipis dan rangup, maklumlah didatangkan segar dari oven. Panas-panas lagi. Kalau kita order Domino Pizza tu keraknya nipis juga tapi dah keras sebab delivery boy tu kadang-kadang tersesat nak cari rumah si pelanggan. Manakala kerak dari Pizza Hut lagi tak boleh di harap. Tebal mengalahkan apam balik, kadang-kadang siap berisi sosej lagi kalau kita order yang jenis "stuffed crusted".

Piza makanan laut yang kami pesan tu ditaburi hirisan udang, sotong, kupang dan buah zaitun hitam. Aku pernah terbaca yang menurut jurumasak terkenal Chef Wan, piza ialah sejenis hidangan yang terhasil dari lebihan makan tengahari. Kalau anda ada saki-baki ayam, ikan, daging, sayur-sayuran yang tak habis maka anda boleh membuat piza dari lauk-pauk tersebut. Bayangkan asam pedas ikan kembung jadi bahan topping untuk piza? Macam manalah agaknya rasa kuih piza kita tu nanti? Tak tergamak nak makan. Aku rasa apa yang Encik Chef kita maksudkan tu ialah lauk pauk tengahari ala Barat atau mengikut citarasa masyarakat Itali. Piza kan berasal dari Itali.

Sebenarnya susur galur makanan ini bermula sejak dahulu kala dari era Babylon, Mesir dan lain-lain tamadun timur tengah yang menjadi budaya ruji mereka menikmati roti yang di canai leper dan di masak menggunakan ketuhar tanah liat. Roti yang serupa roti pita atau roti naan itu sangatlah masyhur di kawasan sebelah sana sehingga hari ini. Selanjutnya pula makanan tersebut telah tersebar ke wilayah Mediteranean dengan penduduk-penduduk di sana seperti Roman dan Greek menikmati roti tadi yang dihiasi di atasnya dengan minyak zaitun dan rempah asli.

Dpercayai, piza yang seperti kita kenal pada hari ni telah dicetuskan oleh golongan kelas bawahan dari daerah Naples di Itali. Pada lewat tahun 1800-an, seorang pembuat roti Itali bernama Raffaele Esposito telah dipercayai mencipta sejenis sajian sempena meraikan satu lawatan di-raja. Menurut ceritanya, pada masa itu Raja Itali, King Umberto dan permaisuri baginda Queen Margherita sedang menziarahi jajahan berkenaan. Sebagai tanda untuk memikat hati golongan bangsawan tersebut di samping menunjukkan rasa patriotiknya, Raffaele memilih untuk mencorakkan bahagian atas roti leper yang diadunnya dengan tomato, keju mozarela dan daun selasih. Ke semua bahan tadi yang memancarkan warna merah, putih dan hijau sekaligus menggambarkan bendera Itali sangat mempesonakan pasangan di-raja itu. Cerita tentang hidangan tadi telah tersebar ke khalayak ramai lalu mendapat sambutan yang hangat sehingga mereka yang lain turut meniru resepinya.

Wednesday, May 19, 2004

Banyak Soal

Berikut ialah soalan-soalan yang mungkin kita nak tanya tapi kita rasa tak tanya pun tak apa. Atau kita nak tanya tapi kita tak tahu nak bertanya kepada siapa dan akhirnya kita pun tak tanya-tanya. Tapi sekarang anda tak perlu tertanya-tanya lagi kerana seseorang telah sudi memberikan jawapannya kepada anda!

Informasi di terjemahkan secara bebas.


A - Kenapa kita tidak (ataupun jarang atau tak pernah) terjatuh dari katil semasa tidur kerana biasanya kita bukannya tidur statik tak bergerak-gerak sebaliknya badan kita kan aktif bergolek dan menggelisar semasa kita sedang melelapkan mata? Tapi kenapa kita tak jatuh?

Ini kerana walaupun tengah tidur otak kita sangat peka kepada persekitaran yang turut meliputi ruang lingkup tertentu. Ia akan sentiasa dapat mengingat betapa besar saiz sesebuah katil anda dan sejauh mana tubuh anda selamat untuk berpusing-pusing di sekitar permukaan katil tersebut. Apabila anda tiba-tiba saja berada terlalu hampir di birai, secara automatik ia akan mengisyaratkan supaya anda beralih ke tengah.

Tapi anda harus juga berhati-hati. Walaupun minda kita memang sentiasa berwaspada, adakalanya ia kesasar juga terutama apabila anda berada dalam keadaan mabuk atau anda tidur di peraduan yang tidak biasa. Kenyataan ini memang benar kerana penulis sendiri pun pernah tergolek jatuh dari katil masa mula-mula dapat katil baru dulu.


B - Wujudkah sikap perkauman di kalangan anjing?

Seperti manusia yang terbentuk dari pelbagai ras dan warna, dalam masyarakat anjing juga terdapat beberapa jenis baka yang membezakan mereka berdasarkan saiz, corak, warna kulit dan sifat. Kita pernah mendengar tentang dasar apartheid yang melebihkan kaum berkulit putih atau rejim zionis yang hanya mementingkan bangsa Yahudi, bagaimanakah pula dengan binatang bergelar anjing ini? Adakah mereka juga mengamalkan sikap perkauman atau per"baka"an atau kasta yang mempunyai piawai tertentu atau darjat dalam kehidupan sesama anjing?

Walaupun kebarangkalian untuk kita melihat rusuhan perkauman meletus antara anjing baka St Bernard dengan German Shepherd misalnya hampir mustahil berlaku, namun alam anjing juga tidak terlepas dari perasaan prejudis antara mereka. Menurut pakar perilaku haiwan peliharaan British, Peter Neville, "Anjing biasanya bergantung pada 'body language' daripada mengutamakan baka sebelum memutuskan ingin berinteraksi dengan anjing lain. Tapi jika mereka kurang pendedahan atau dibiasakan bergaul dengan anjing dari gen yang berbeza atau dengan manusia, maka mereka boleh bertindak agresif dan menjadi merbahaya." Pengalaman buruk yang pernah dialami suatu ketika dulu terhadap anjing yang berlainan jenis ini juga boleh mengakibatkan mereka bermusuh pada masa hadapan.


C - Kenapa adakalanya kapal terbang meninggalkankan kesan jet streams di langit?

Pernah tak adakalanya apabila anda mendongak ke langit ternampak satu jaluran keputih-putihan yang panjang membelah angkasa? Hati anda berbelah bagi mengandaikan itu adalah awan yang membentuk formasi secara memanjang sedangkan anda tahu ia bukannya awan. Itulah yang di panggil jet streams.

Menurut Profesor John Cawford, seorang pakar fizik di Universiti McGill di Montreal, Kanada, kesan penyejatan ini terbentuk oleh hot exhaust gases daripada enjin yang berbaur dengan udara sejuk di belakang kapal terbang. Jika tahap kehangatan yang mengelilingi udara itu adalah rendah maka air yang meruap akan menyejat lalu membentuk awan putih. Paras kehangatan yang rendah juga mengakibatkan awan tadi akan lenyap dengan lebih segera. Di samping itu angin turut memberi kesan pada kemunculan dan jangka masa jaluran itu menjelma di langit.


D - Bolehkah kita berbohong semasa sedang menjalani hipnosis?

Pernahkah anda melihat seseorang yang sedang dihipnosiskan? Biasanya yang tertayang di filem-filem apabila seseorang individu itu ingin di pakau mereka akan merenung seutas rantai yang di hayun ke kiri dan ke kanan di depan mata. Maka biji mata mereka akan juling ke kiri dan ke kanan juga menuruti pergerakan rantai tadi sehinggalah mereka tidak sedarkan diri. Salah satu tujuan manusia di pukau kerana ingin mendapatkan pengakuan mereka atas satu-satu kejadian atau untuk membuktikan kes.

Hipnosis samalah keadaannya seperti anda sedang mabuk dalam kadar tidak melampau, menurut Dr Phillip Jones seorang ahli psikologi yang turut mengamalkan kaedah hipnosis sebagai salah satu elemen perubatannya. "Anda cenderung berlaku lebih jujur dan paras naluri anda akan menurun tapi anda masih berupaya mengawal apa yang anda ingin sebut dan buat pada tahap tertentu". Sekiranya anda di tanya soalan susah yang anda tidak rela menjawabnya, anda masih boleh menipu malah boleh tersentak dari dunia pukauan tadi dan kembali ke alam nyata.

Walaupun kita tidak berniat untuk mengelat di kala menjalani hipnosis, himpunan kisah-kisah silam yang bercampur-aduk antara benar dan palsu boleh menjadi sukar dipercayai sebagaimana juga dalam keadaan normal, tambah Dr Jones. Sebagai contoh, mahkamah di Britain memaklumkan bahawa kenyataan yang diperolehi menerusi kaedah hipnosis tidak diakui kesahihannya berbanding kaedah lisan yang lain.


E - Kenapa kebanyakan gedung membeli-belah suka meletak harga yang di akhiri dengan .99 misalnya RM1.99 daripada menggenapkan terus harga barang yang di jual menjadi RM2.00? Apakah rasionalnya?

Memang kita akan sakit jiwa tengok harga barang yang sembilan puluh sembilan sen tu apatah lagi bila juruwang tu pula tak bagi balance satu sen yang mencukupi. Tapi pandai pulak dia letak price tag ada .99 sen. Jangan marah dulu kerana gedung terbabit mungkin telah mendapat iktibar dari satu kajian yang tak tahu siapa buat, menunjukkan bahawa harga barang yang di akhiri dengan .99 sen menghasilkan pulangan jualan sebanyak 8 peratus lebih tinggi dari jualan yang berangka genap.

Ada beberapa teori berkenaan hal ini. Pertamanya ialah manusia memiliki keupayaan terhad mendapatkan maklumat dan apabila mereka dilambakkan dengan begitu banyak perbezaan harga, otak mereka hanya mampu menyerap satu digit atau sepasang digit pertama yang dipamerkan pada tanda harga tersebut. Jadi, nombor 1 tentulah lebih kecil nilainya dari nombor 2, betul tak? Walaupun perbezaan harga 1 dan 2 itu hanyalah 0.01 sen saja, otak kita tetap akan mengarahkan supaya kita membeli barang yang dimulaikan dengan digit 1 berkenaan.

Teori lain pula mengandaikan apabila sesuatu barang itu di tanda dengan harga yang lebih spesifik, bakal pengguna secara mentaliti mereka menganggap yang penjual telah berlaku jujur meletakkan harga yang lebih terperinci berbanding jika penjual bertindak menggenapnya terus. Duit satu sen yang berbaki juga menjadi salah satu faktor pendorong kepada pembeli untuk merasa seronok walaupun nilainya tidak sebanyak mana tapi psikologi menerima wang baki selepas sesuatu pembelian menerbitkan kepuasan bahawa mereka masih dapat berjimat.


F - Apakah yang mamalia laut minum?

Binatang seperti anjing laut, dugong, singa laut dan seumpamanya adalah dari golongan mamalia sama seperti gajah, harimau, kuda belang, tenuk, badak sumbu dan lain-lain. Mamalia sama ada yang hidup di darat atau di laut mempunyai sifat yang serupa - mereka kena minum air tawar untuk kelangsungan hidup. Okey, haiwan darat tentu tidak menjadi masalah mendapatkan bekalan air tawar tetapi bagaimana dengan kawan-kawan dari jenis mamalia laut itu? Tak kan mereka nak suling air laut pulak baru boleh minum.

Sebab itulah mereka kena membuat habitat berhampiran dengan pantai supaya ianya dekat dengan sumber air tawar yang mengalir dari kuala sungai atau terusan atau juga daripada salji. Mereka juga boleh mendapatkan air melalui bekalan makanan seperti ikan yang memecahkan lemak-lemak lalu bertindak menyalurkan pada tubuh mereka. Mamalia marin ini sebenarnya telah dikurniakan sepasang paru-paru yang berkuasa untuk menyingkirkan sejumlah besar garam laut yang kerap menyimbah masuk dalam anggota badan. Tidak hairanlah kalau air kencing mereka pula lebih masin dari manusia dengan nisbah lapan kali ganda.


G - Kenapa belang-belang pada "Barber Pole" berwarna merah, putih dan biru? Apakah maknanya?

Anda mungkin tidak peduli motif bagi warna-warna tersebut jika "Barber Pole" pun anda tak tahu apa ke bendanya. Dalam Bahasa Melayu tak tahulah apa istilah yang di pakai tapi barber pole ialah benda seakan balang yang di gantung melekat di luar kedai gunting rambut atau salun tradisional. Kaca silinder yang berbelang itu akan berpusing-pusing seolah-olah jalur-jalur warna yang di cat itu naik turun atas dan bawah. Jika anda merenung pusingan warna itu secara berterusan mungkin menyebabkan anda rasa berpinar dan nak muntah.

Sebenarnya pada masa dahulu kala, tukang gunting rambut di Eropah bukan sekadar bekerja menggunting rambut pelanggan semata-mata, sebaliknya mereka turut melakukan servis lain seperti pembedahan dan bloodletting (berbekam). Pekedai gunting merangkap jurubedah dalam abad ke 16 ini akan mewar-warkan perkhidmatan mereka menerusi cara mempamerkan kain pembalut (bandages) dan mangkuk derma darah dalam balang yang di gantung di luar kedai.

Kain pembalut yang telah diresap darah itu melambangkan warna merah manakala kain pembalut yang masih bersih mewakili warna putih dalam barber pole seperti yang terdapat hari ini. Di Amerika yang kebanyakan barber pole mereka terdapat warna biru terselit mungkin melambangkan simbol patriotik seperti pada bendera Stars and Stripes. Bagaimanapun, sesetengah pihak berpendapat bahawa biru boleh jadi bermaksud salur darah yang mengalir menerusi pembuluh.

Nota : Sekiranya anda pembaca mendapati jawapan-jawapan yang di beri di atas boleh dipertikaikan atau anda ada jawapan tambahan atau versi yang berlainan, sila isi komen dalam guestbook. Terima kasih.

Tuesday, May 18, 2004

Bread Pick

Sepatutnya entry ni terbit last week.

“Kenapa kau beli roti ni? Kau nak bagi makan ikan ke?“ Hampir terpacul soalan itu dari mulutku tatkala terpandang saja bungkusan roti yang di beli Ap.

Tetapi pertanyaan itu tak jadi keluar kerana Ap tiba-tiba masuk ke bilik air dan aku rasa roti itu untuk di makan sendiri bukan untuk ikan. Lagi pun rumah kami mana ada bela ikan.

Bungkusan roti yang tak menarik itu ku belek-belek mencari tarikh expired, 16 Mei – hari Ahad nanti. Nampaknya masih belum sampai tarikh luput. Tapi yang musykil tu kenapa warnanya semacam jer. Pucat saja, tak cukup pewarna ke? Kilang mana yang buat ni? Aku mencari-cari pula alamat pada plastik pembalut. Oh, kat Shah Alam kilangnya. Jenama roti ni memang tak terkenal langsung, maka sebab itulah mereka boleh menjual produk makanan dengan packaging yang tidak bermaya dan menjengkelkan mata memandang.

Bagaimanakah pula dengan rasanya? Aku tak tergerak nak rasa pun disebabkan oleh bentuk fizikal yang tidak mengundang selera. Sepatutnya roti sandwich plain yang di potong-potong itu kan resamnya berwarna putih bersih contohnya seperti jenama Gardenia atau High 5. (Roti sandwich whole grains - itu lain cerita). Ini yang housemate aku beli ni, entah apa resepi roti yang mereka guna sampaikan warnanya menjadi kelabu asap. Mungkin dah nak expired tak? Nampak macam dah nak berkulat. Tarikh 16 Mei itu sekadar ingin mengelabui mata pengguna saja.

Adakah roti itu kena pakai Fair 'n Lovely dulu sebelum ia boleh menepati justifikasi sebagai roti sandwich yang polos dan berkeping-keping? Adakah citarasaku hanya terbuka pada benda-benda yang putih gebu dan bersinar-sinar? Rasanya tidak. Setakat ini aku tidak ada prejudis pada apa-apa warna. Aku bukan apartheid. Ah, tak payahlah aku nak memberatkan kepala otak. Ap beli roti tu pun bukannya nak bagi aku makan. Mungkin jenama popular yang biasanya dia beli tu dah kehabisan stok. Jadi terpaksalah dia beli roti kaler pucat tadi.

Kalau bukan aku yang makan pun, Iwan tentu boleh habiskan roti ni. Sesama housemate ni tak kan kita nak berkira juga. Atau pun bagi jer dekat ikan-ikan di kolam yang berhampiran. Ikan-ikan tu tentu suka kalau mendapat makanan selain dari lumut atau sel-sel hidupan air yang lain. Bukan senang nak jumpa roti dalam kolam tu melainkan yang di campak orang. Lagi pun ikan tu tentu tak cerewet pasal roti tu warna apa, dah expired ke belum. Kalau manusia tu lainlah, kita kenalah pilih-pilih sikit - tengok mana yang boleh membangkitkan selera dan nampak selamat untuk di cuba.

Tiba-tiba Ap keluar dari bilik air semasa aku masih lagi ralit membelek-belek bungkusan roti yang dibelinya tadi. Dia nampak hairan dengan aku yang tak pasal-pasal menilik roti tu macam tak pernah tengok roti sebelum ni. Tapi dia tak kata apa-apa. Padahal dia tak tahu yang aku tengah cari idea untuk mengisi entry ni berdasarkan roti yang dibelinya tu.

Wednesday, May 12, 2004

Pulangkan

Pagi Isnin itu, hariku telah dimulai dengan mug pemberian Jee pada era 90-an dulu pecah berkeping-keping. Semata-mata kerana aku hendak menyelamatkan sepasang sandal getah yang kalau jatuh pun tak akan jadi apa-apa telah menyebabkan sebiji mug menjadi mangsa. Sepatutnya mug itu tidak akan pecah kalau jatuh ke lantai kerana pejabat ini lantainya dilapisi permaidani.

“Waduhh… gi mana buleh pecah? Kan lantainya bercarpet?” tegur tea lady apabila dia perasan yang aku tidak lagi menggunakan mug tersebut.

Malangnya mug itu tidak terjatuh atas carpet, tapi ia terjatuh atas pasu yang kebetulan aku letak atas carpet tu. Punyalah malas aku nak pergi salin air pasu tu lantas aku biarkan saja atas lantai, tersorok belakang almari kecil. Pasu itu pula berisi dedaun “Money Plant” yang telah kering layu tidak bermaya lantaran tuan punya pasu yang malas nak menjaganya.

“Daun money plant ni tak bagus untuk feng-shui,” kata Anjeli kepada tea-lady di keesokan harinya. Anjeli tidak tahu berkenaan pasu money plant aku yang telah pecah semalam.

“Apa pasal tarak bagus? Daun ni banyak baguslah,” balas tea lady

Anjeli tidak menjawab apa-apa sebaliknya dia memberikan daun miliknya itu kepada tea lady. Nampaknya tea-lady gembira menerima daun tersebut.

”Betul ke tak bagus?“ aku bertanya setelah tea lady berlalu.

“Betul. Memang feng-shui tak elok,” tegas Anjeli lagi.

Aku sedang memangku begitu banyak barang, fail yang berat, sebungkus sandal dan sebiji mug pada pagi itu. Dalam terkial-kial mengawal tangan supaya tiada barang yang tercicir, aku berupaya meletakkan sandal yang berbungkus itu elok-elok di atas lantai. Tetapi aku telah tercuai semasa ingin meletakkan fail tersebut kerana aku tidak perasan yang sebiji mug sedang ku genggam entah macam mana boleh terlorot lalu jatuh berderai. Wah, permulaan pagi Isnin yang sungguh superstitious!

Jatuh menjunam menimpa pasu yang berisi dedaun kering money plant yang kononnya mendatangkan tuah. Esoknya apabila Anjeli bercakap demikian aku rasa ingin bersetuju. Atau agaknya daun itu hanya mendatangkan tuah ketika sedang mekar kembang segar saja? Pagi Isnin di pejabat kulalui dengan lebih berhati-hati supaya tiada malapetaka atau konflik menimpa. Aku tidak banyak bergerak, kurang bercakap dan cuba tidak terlalu lincah pada hari itu. Walaupun aku sendiri sedar nasib malang boleh menimpa dari pelbagai cara dan masa, namun aku tidak boleh mengambil ringan tentang perkara ini. Sekejap-kejap aku menjenguk jam, bilalah pukul 5.30 hendak menjelma ni supaya aku boleh cepat-cepat balik rumah dan duduk diam-diam di rumah pula.

Apabila waktu yang di nanti akhirnya tiba aku bergegas keluar pejabat tetapi dengan penuh waspada – ingat, aku masih dalam bangunan pejabat lagi ni. Tiba-tiba aku ternampak dengan satu kecelakaan jalan raya! Alamak, macam mana ni? Cermin depan teksi itu pecah beserpih dengan bentuk membulat seakan jaring labah-labah. Orang ramai berkerumun tempat kejadian memerhati dengan prihatin. Penunggang motosikal itu sudah terbaring di kaki lima sambil mengaduh dengan sepasang tangannya memangku salah satu kaki yang kelihatan azab. Beberapa orang yang baik hati kelihatan mengalihkan barang-barang yang berselerak di jalan raya ketepi. Aku bayangkan yang teksi itu telah bertembung dengan motosikal lalu penunggangnya terlambung ke cermin depan teksi tersebut sehingga mengakibatkan apa yang aku lihat sekarang.

Kita tidak boleh membiarkan mangsa kemalangan itu terbiar begitu saja di tepi jalan, bukan? Si penunggang akhirnya telah di bawa ke hospital dan aku harapkan dia beransur pulih dan lain kali lebih berhati-hati semasa di jalan raya. Rasanya pemandu teksi itu tidak luka apa-apa kerana yang kelihatan terseksa hanya si penunggang itu sahaja. Anehnya aku pula yang terasa cemas selepas itu, jantungku terdengar berdegup kencang. Rasa tak dapat nak melangkah dengan betul. Penutup hari Isninku di tempat kerja yang bermula dengan kaca yang pecah di akhiri dengan kaca yang pecah berkecai juga.

Sepatutnya aku pulangkan mug itu kepada Jee kerana sebelum dia pindah ke tempat asalnya dia ada tinggalkan beberapa barangnya di rumah aku termasuklah mug yang pecah kelmarin. Dia minta aku menjaganya baik-baik kerana nanti dia nak datang ambil balik Aku pula telah membawanya ke pejabat dan buat macam harta sendiri. Sampai aku dah bertukar tempat kerja lain pun aku masih menggunakan mug yang itu juga macam tak boleh beli yang lain. Tapi aku dah cakap kat dia yang aku gunakan mug tu dan dia pun nak tak nak kenalah bagi. Mungkin dia bagi kerana terpaksa, tak? Sebab itulah ia akhirnya pecah jua – kerana ia tidak dapat dipulangkan ke tuan asalnya maka terpaksalah ia memecahkan dirinya sendiri agar tiada siapa yang boleh memiliki dirinya lagi.

Merepek pulak dengar telahan macam tu. Dah bertahun-tahun aku guna selama ni tidak berlaku petaka musibah apa-apa, tiba-tiba ia memang telah ditakdirkan untuk pecah hari tersebut. Maka tiada siapa yang berkuasa boleh menghalangnya. Daun money plant itu aku sekadar menjadikan ia hiasan sebenarnya kerana aku perlukan warna hijau semulajadi untuk segarkan mataku setelah penat mengadap komputer. Eloklah kita balik ke ajaran agama kita sendiri yang menolak semua unsur-unsur khurafat yang boleh menyusahkan hidup kita sehingga melupakan qada’ dan qadar. Rasulullah bersabda : " Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak ada penentuan nasib dengan burung (dan sebagainya, tiyarah), tidak ada burung hantu (pembawa sial), dan tidak ada bulan Safar (pembawa na’as)." (HR. Bukhari-Muslim).

Monday, May 10, 2004

Antara Jala

Hari ini, jurnal yang sedang anda baca ini akan mengajak anda supaya meringankan jari dan klik pada beberapa laman web yang telah dicadangkan. Bukan senang nak menulis dan dalam masa yang sama merujuk internet supaya ia linear dengan apa yang telah aku karang. Sebenarnya dah lama aku teringin nak buat entry macam ni tapi malas nak cari idea dan kena pula mencari laman “antara jala“ (inter-net, aku buat direct translation) yang boleh membuatkan maklumat itu saling berpaut. Hasilnya, boleh menambahkan pengetahuan anda juga.

Selamat Meluncur! (surfing, that is ...)


A>>> Pernahkah anda fikirkan betapa susahnya kita dengan hanya melalui medium suara/bunyi/nada/muzik untuk meyakinkan atau memujuk pengguna supaya membeli atau menggunakan khidmat sesuatu? Adalah lebih mudah untuk mengiklankan sesuatu produk menerusi gambar atau visual, tetapi bunyi? Oh… bunyi, tersangatlah payahnya untuk menjual sesuatu dengan hanya bunyi suara semata-mata yang keluar.

Aku baru saja mendengar promo yang menghebahkan tentang satu majlis anugerah untuk menghargai iklan-iklan radio yang kreatif. Ini memang satu langkah yang tepat dalam usaha kita untuk mendengar lebih banyak iklan radio yang bukan setakat dialog statik orang yang bercakap serta membebel tentang barangan atau servis yang di tawar. Jadi iklan mungkin tidak lagi menjadi alasan untuk kita mengelakkan stesyen radio tertentu. Daripada buat sakit hati kita yang mendengar lebih baik mereka berikhtiar menghasilkan sesuatu yang sepatutnya membuatkan kita lebih tertarik untuk mengikutinya – bukan menjauhinya.

Tapi aku rasa iklan radio yang mempromosikan majlis anugerah ini sendiri pun dah lebih dari kreatif …. Pop!pop!pop!

Maklumat lanjut untuk anda mengetahui lebih terperinci lagi berkenaan majlis di atas, sila buka laman web theairawards.com.my


B>>> Sekiranya mendengar iklan radio bukannya menjadi minat anda, bagaimana dengan menonton televisyen? Seramai 51.1 juta orang telah menonton episod terakhir siri kelakar Friends apabila ia menutup tirainya Khamis lepas di Amerika. Selama satu dekad enam karektor ini telah menggeletek kita semua dengan situasi lucu yang memang tidak secocok dengan norma-norma tempatan.

Anda bagaimana pun jangan bersedih dengan perpisahan mereka kerana “Joey” watak yang di bawa oleh Matt leBlanc telah mempunyai spin-off. Sitkom terbaru ini menggunakan judul “Joey” juga dan akan memulakan siarannya pada musim luruh nanti. Tidak hairanlah pihak penerbit memilihnya kerana beliau antara watak yang paling di minati mungkin kerana sikap goofy dan wajah tampannya. Pelakon-pelakon lain tak tahulah pula apa yang akan mereka buat selepas ini. Kalau anda masih tidak gembira dengan kemunculan Joey seorang maka berdoalah mereka berenam akan berganding dalam Friends The Movie pula suatu hari nanti. Sebagaimana khabar yang mengatakan siri paranormal The X-Files akan muncul sequel filemnya nanti setelah tahun lepas aku bukan main lagi mengucapkan goodbye pada rancangan tersebut.

Segalanya yang anda ingin tahu tentang Friends, klik pada laman web ini.


C>>> Kalau anda tidak berminat dengan acara sukan yang hanya melibatkan dua puluh dua orang lelaki berebutkan sebiji bola, anda boleh menunggu Sukan Olimpik di Athens nanti. Aku lebih suka menonton acara olimpik kerana ada variasi acara yang boleh kita pilih. Tapi yang peliknya acara bola sepak Olimpik pun aku tengok jugak (kalau dah tak ada apa sangat nak tengok) lebih-lebih lagi perlawanan akhir untuk menentukan pingat emas. Macam Sydney 2000 dulu pun aku tengok game antara Cameroon menentang Sepanyol yang berkesudahan negara di benua Afrika itu memenangi pingat emas pertama dalam sejarah Olimpik mereka.

Sepatutnya Athens di beri peluang menjadi tuan rumah ini pada tahun 1996 yang lalu ketika Atlanta pula mendapat hak penganjuran. Pada tahun yang dimaksudkan itu, sukan Olimpik moden pertama kali diadakan di Greece telah mencapai usia seratus tahun dan betapa signifikan jika Greece di beri penghormatan berkenaan. Tetapi ianya telah terlambat lapan tahun dan cuma bulan lapan nanti baru impian untuk menyaksikan acara sukan ini kembali ke tempat asalnya akan terlaksana. Itu pun telah berlaku begitu banyak kontroversi apabila Athens dilaporkan terlalu lewat menyiapkan kemudahan serta kelengkapan untuk kegunakan ketika temasya berlangsung kelak. Baru-baru ini pula berlaku kejadian pengeboman di sana serta keadaan di dunia yang masih di belenggu keganasan menyebabkan Greece sebagai tuan rumah akan menghadapi situasi yang lebih mencabar.

Untuk maklumat lanjut tentang Sukan Olimpik Athens 2004, bolehlah melayari laman web yang berkaitan.

Wednesday, May 05, 2004

Back to Work

Tiada ayat yang dapat di karang untuk menggambarkan betapa lesunya untuk kembali ke pejabat setelah lama banget menikmati cuti umum yang panjang. Tapi aku dapat mengarang benda lain...

1) Oleh kerana kita mulakan kerja minggu ini pada hari Rabu setelah bercuti 4 hari (atau 5 hari bergantung sama ada syarikat anda mengamalkan polisi menggantikan cuti umum yang jatuh pada hari Sabtu yang telah memang sedia cuti) maknanya tiada lagi istilah Monday Blues. Salah! Sebenarnya ia lebih teruk lagi pasal makin lama cuti semakin payah kita hendak memulakan hari baru kembali bertugas. Sebab itulah minggu ini ada kakitangan yang mengambil annual leave tiga hari supaya cuti berterusan seminggu.

2) Cuti panjang lebih afdhal dimanafaatkan jika anda balik kampung menjenguk muka datuk nenek dan saudara mara kerana mereka bukan hanya available pada waktu hari raya. Malah mungkin tidak sempat untuk bertemu muka pada musim raya akan datang (boleh jadi anda atau mereka) kerana ajal maut di tangan Tuhan. Jadi kesempatan yang jarang-jarang sekali cuti umum muncul secara serentak dan banyak begini memberi peluang tidak ternilai untuk merapatkan silaturrahim.

3) Jangan merasa kasihan kepada mereka yang bekerja di sektor yang memang tidak boleh menikmati cuti panjang 4 hari seperti kita. Ini kerana mereka memang berminat dengan kerjaya yang mempunyai waktu kerja dan cuti tidak seragam dan kita patut memberi galakkan supaya mereka bertambah makmur dalam karier yang di ceburi. Berterima kasihlah pada jururawat, pemandu bas, wartawan, pelayan restoran, pramugari, juruwang, juruhebah dan yang seangkatan dengannya kerana setia menabur bakti di saat anda dan sebahagian dari kita sedang seronok bergembira bercuti sakan.,

4) Tetapi ada syarikat yang waktu operasinya terbahagi antara 9 to 5 dan berganti-ganti. Aku pernah bekerja di premis yang terpaksa mengamalkan sistem begitu untuk melancarkan urusniaga. Memang dengki betul rasanya melihat mereka yang bekerja di jabatan pentadbiran dapat bercuti pada hujung minggu atau cuti umum sedangkan kita di bahagian operasi dengan separuh terpaksa kena datang bertugas. Oleh kerana tidak sanggup membiarkan naluri cemburu dan tidak puas hati terus merajai diri maka selepas sebulan aku terus berhenti. Mudah, bukan?

5) Atau pun mungkin anda tidak sempat hendak merasa blues apa-apa kerana anda akan bercuti semula pada hari Sabtu ini, kan? Kerja setakat tiga hari tentu tidak menjadi hal kerana penting juga anda habiskan sedikit demi sedikit beban tugas dalam jangka waktu tersebut. Berbanding dengan setimbun kerja yang perlu dilangsaikan minggu depan seandainya anda ada mengambil cuti tambahan, ia akan lebih merumitkan lagi.

Sama ada anda telah mula bekerja atau masih bercuti pada minggu ini - harap anda semua dapat berseronok dan ikhlas dalam apa jua yang anda lakukan.

Wednesday, April 28, 2004

Disturbing Behaviour

Seksa sangat ke nak menghabiskan masa lima tahun di sekolah menengah? Apa yang payahnya dengan belajar? Cikgu kat sekolah tu garang sangat ke? Tentu ada sebabnya. Atau mungkin ada sekumpulan gangster atau pembuli di sekolah yang suka buat huru-hara? Suasana sekolah yang tidak selesa agaknya? Nak selesa macam mana lagi. Lagi pun cuma setengah hari saja masa yang perlu mereka habiskan di situ. Kemudian boleh balik. Seminggu hanya lima hari yang mereka perlu datang ke sekolah. Kalau dalam bulan itu ada cuti umum atau cuti penggal, maka bertambah kuranglah waktu persekolahan mereka. Itu pun mereka masih malas nak ke sekolah, masih ingin ponteng.

Apa masalah budak-budak sekarang ni yang degil sangat suka menyusahkan ibu bapa dan masyarakat? Nak jadi apa besar nanti kalau malas belajar. Cukupkah dengan tahap pendidikan setakat PMR atau yang lebih inferior dari itu. Apa yang mereka cari di luar dengan tuang kelas dan melarikan diri dari sekolah? Tidak puas lagi cuti hujung minggu dua hari keluar berfoya-foya, melepak dan berpeleseran. Tak kan mereka nak masa melepak LIMA HARI dan masa sekolah DUA HARI pulak kot? Melampau. Mana cukup cikgu-cikgu nak cover semua syllabus dalam masa dua hari saja. Nak harap belajar sendiri, itu lah dia – malas pulak. Orang nak mengajar dia dalam masa lima hari tu, dia pulak ponteng-memonteng.

Duduk melepak, menghisap rokok dan menghabiskan masa dengan sia-sia tidak akan membawa mereka ke mana-mana. Percayalah mereka akan menyesal bila telah dewasa kelak. Apatah lagi pihak polis khabarnya akan memberkas pelajar-pelajar yang didapati ponteng pada waktu yang sepatutnya mereka berada di sekolah. Sudahlah malas belajar, ada rekod polis pula. Memang menconteng nama baik ibu bapa dan orang kampung saja. Rekod polis itu nanti mereka akan bawa sampai ke tua. Nak minta kerja pun orang akan berfikir seribu kali disebabkan oleh secalit kesalahan. Paling malang jika berlakunya sebarang kejadian jenayah di tempat tersebut, mereka dengan mudah akan menjadi kambing hitam akibat rekod polis yang telah terbukti. Ini semua gara-gara ponteng sekolah masa kecil dulu.

Apa agaknya penyelesaian lain yang ada untuk kita menangani krisis remaja bermasalah yang suka ponteng sekolah ini selain dari pihak polis memberkasnya? Kita boleh menggunakan kaedah “Twilight Zone“

Sinopsis dari siri supernatural Twilight Zone bertajuk “Evergreen“. P/s : Sinopsis ini tidak seratus peratus tepat kerana penulis tidak dapat mencari transkrip sepenuhnya di internet.

Sebuah MPV menghampiri satu pagar di kawasan kediaman yang kelihatan eksklusif. Mereka bertanya pada si pengawal adakah itu tempatnya yang dinamakan Evergreen Estate. Pengawal mengiyakan dan setelah mendapatkan pengesahan mereka dibenarkan masuk. Turut terlihat pada masa itu ialah beberapa orang sedang berhimpun sambil menangis hiba seolah berkabung tetapi mereka bukan berada di kuburan sebaliknya sedang menanam sebatang pokok.

Keluarga Winslow berpindah ke estet tersebut kerana ingin membentuk sahsiah anak perempuan mereka Jenna yang liar dan tidak terkawal. Tubuh Jenna bercacah, berpakaian imej punk, berbahasa kesat dan tidak menghormati orang tua. Seorang lagi anak Winslow, Julie pula sangat berbeza dari perangai kakaknya itu. Dia lebih bersopan-santun, lembut dan berbudi bahasa. Walaupun agak keberatan untuk berpindah ke tempat baru itu, dia terpaksa juga menurut kerana ingin melihat kakaknya berubah. Lagi pun kedua ibu bapanya telah menghabiskan segala harta benda mereka semata-mata supaya mereka dapat menetap di Evergreen.

Jenna pula memang tidak setuju langsung dengan idea berpindah ke sana kerana ia akan menyekat kebebasannya nanti. Memandangkan dia tidak ada pilihan lain maka dia terpaksa beralah. Tidak jauh dari situ terdapat sekumpulan remaja berpakaian seragam yang sedang berbaris dengan penuh disiplin. Jenna melihatnya dengan rasa sangsi dan tidak sedap hati. Apabila keluarga Winslow sampai saja di rumah yang telah disediakan, mereka menikmati lemon juice untuk menghilangkan dahaga.

Segala-galanya berubah menjadi mimpi ngeri bagi Jenna apabila dia bangkit dari tidur keesokkan harinya apabila tatu pada badannya telah dipadamkan manakala rambutnya yang tercacak berwarna-warni itu telah bertukar mayang mengurai ke warna semulajadi. Dia memeriksa pula almari dan mendapati pakaian ala minah rockers yang selalu dipakainya semua telah hilang sebaliknya dipenuhi dengan berpasang-pasang baju seragam. Dia pun menjerit histeria. Julie yang telah siap berpakaian serupa menyabarkan kakaknya itu. Jenna menuduh ibu bapanya yang merancang agenda ini tatkala dia pengsan semalam. Baru dia sedar bahawa jus lemon itu telah di letak sedatif supaya memudahkan mereka melakukan transformasi ini.

Walaupun dalam keadaan memberontak dia terpaksa juga menurut kemahuan orang tuanya itu di samping adiknya sendiri yang tidak jemu-jemu memberi kata-kata perangsang kepadanya. Namun dia masih berusaha mencari jalan untuk melarikan diri dari situ. Di sekolah dia secara tidak sengaja tertarik pada seorang pelajar lelaki yang juga kelihatan rebellious. Ketika dia menghisap rokok dalam belukar tiba tiba dia dikejutkan dengan kehadiran seseorang. Rupa-rupanya pelajar itu, Logan turut memerhatikannya malah menawarkan diri untuk membantu Jenna melepaskan diri dari terkongkong di estet berkenaan.

Di luar pengetahuannya, Logan rupa-rupanya telah banyak kali menimbulkan masalah di sana malah pernah tertangkap dan di hukum masuk ke sekolah tentera yang keras di panggil Arcadia. Tetapi dia tidak pedulikan semua itu. Apa yang penting ialah dia dapat hidup bebas, liar dan lari dari kawalan undang-undang yang sungguh menyeksakan. Dia meminta supaya Julie merahsiakan pakatan ini tetapi adiknya itu kelihatan teragak-agak malah amat bimbang dan gusar. Suatu malam pada waktu yang di anggar selamat, Jenna telah menyusup keluar senyap-senyap untuk bertemu Logan. Namun di luar jangkaannya pihak pengawal Evergreen tiba-tiba muncul dan memberkas Logan di rumah itu. Dia memerhatikannya dengan sungguh cemas lalu berpatah balik ke rumah sendiri. Namun dia tidak bernasib baik apabila dia juga turut di tangkap oleh askar-askar Evergreen yang sedang berkawal ketika itu.

Siang pun menjelma. Keluarga Winslow tersedu-sedu di halaman rumah mereka sambil beberapa orang menanam sebatang pokok. Terbongkarlah bahawa sebenarnya pelajar bermasalah yang tidak dapat dibendung lagi akan di bunuh saja oleh penguasa Evergreen Estate. Lalu ibu bapa yang malang itu akan dihadiahkan sepohon pokok sebagai memperingati anak mereka yang telah dibasmikan. Winslow bagaimanapun masih bernasib baik kerana ada seorang lagi anak mereka Julie yang boleh diharap. Ibu bapa Logan pula hanya tinggal sepohon pokok untuk menandakan mereka pernah mempunyai seorang anak kerana Logan ialah anak tunggal mereka.

Daripada mereka hidup sebagai manusia dengan menyusahkan orang, lebih baik mereka menjadi pokok saja yang bila besar nanti dapat juga menghijaukan alam sekitar dan menjadi tempat orang lain berlindung dari panas terik matahari.

Tuesday, April 27, 2004

Pulut Kenduri

Nota : Ini cerita Jumaat lepas 23 April 2004.

Hujan masih turun antara lebat dan renyai seusai solat Jumaat. Berfikir dalam hati sama ada hendak tunggu sekejap dalam masjid atau redah saja hujan yang merintik? Ada jemaah yang bawa payung terus keluar tanpa risaukan kebasahan. Aku pulak tak bawa payung walaupun langit sudah pun gelap semasa keluar menuju ke masjid tadi. Main redah sajalah, bukan lebat sangat pun.

Tiba-tiba dalam aku terkocoh-kocoh berlari, hujan turun dengan lebih deras dan aku pun seberapa pantas mencari tempat perteduhan. Aku berlindung sekejap di situ daripada membiarkan baju dan seluar menjadi terlalu kuyup. Bersama aku ada ramai lagi jemaah lain yang turut tergendala untuk meneruskan perjalanan balik ke pejabat masing-masing.

Lama juga kami semua menanti di situ sementara hujan berhenti. Dalam setengah jam kemudian setelah hujan mula kelihatan rintik-rintik, aku dan beberapa yang lain mengambil keputusan untuk berlari saja. Tak boleh nak tunggu sampai hujan tak ada setitik langsung atau pun sampai matahari keluar bersinar. Tak tahulah sampai pukul berapa nak tercongok kat taman lagi kalau macam tu. Berjam-jam agaknya.

Sampai di pejabat dekat-dekat pukul 3 maknanya tinggal lagi dua setengah jam sebelum balik. Yeaa..! Malas nak kerja betul aku ni. Lagi pun weekend dah dekat dan malam itu ada majlis makan-makan pula : ) makin tak sabar jadinya. Kenduri doa selamat tu di buat di Gombak, rumah mak cik yang kerja satu tempat dengan housemate. Oleh kerana aku dah start lapar selepas balik kerja tu, aku pun makan nasi dulu. Petang-petang dah makan nasi siap dengan lauk masak lemak rebung (see, I like rebung very much) – minus the rebung lah. Aku ambik kuahnya aje. Siap dengan ikan goreng dua ekor.

Dalam pukul 9.30 malam barulah kami tiba di rumah mak cik yang dimaksudkan. Hujan turun agak lebat juga masa tu. Ingat dah selesai dah orang baca yassin, bolehlah terus makan. Rupa-rupanya, orang-orang surau tu belum sampai lagi. Dalam pukul 10 lebih baru nampak kelibat mereka. Mereka hadir di satu kenduri lain kat rumah berhampiran sebelum tu. Maknanya dua round makanlah malam ni. Orang dah jemput, tak kan nak tolak rezeki pula. Lagi pun acara doa selamat begini kalau disertai oleh alim ulama atau ustaz nampaklah barakahnya. Masa tu yang dah datang adalah kaum-kaum ibu, kanak-kanak dan budak-budak muda kaki lepak (macam mat rempit jer gayanya.. hehehhe...) memang jenis tak sesuai langsung nak jadi kepala majlis doa selamat. Aku ni pula termasuk dalam kategori tak layak lagi.

Apabila tok imam sampai kami pun start baca yassin. Sejurus kemudian berdoa dan barulah diikuti dengan makan-makan. Nasib baik aku dah jamah nasi petang tadi maka aku tak adalah rasa kebuluran. Lambat juga nak tunggu masa makan-makan tu hampir pukul 11 malam baru dapat menjamu selera. Aku turut meringankan tulang membantu mengedarkan talam hidangan untuk orang-orang lelaki yang duduk bersila dalam kelompok. Menu majlis doa selamat tersebut ialah nasi bukhari (aku rasa macam nasi minyak jer, cuma nasi dia berwarna-warni), ayam masak merah, agar-agar, pajeri timun campur lobak, gulai daging, mihun goreng, keropok dan air sirap / air teh o panas.

Sebelum balik tetamu semua dibekalkan dengan pulut kuning yang disimpulkan kecil comel dalam plastik bersekali dengan kuah gulai daging. Ikut pengalaman aku di kampung, biasanya tuan rumah akan bagi baki nasi atau lauk-pauk seperti yang mereka sajikan itu juga untuk tetamu bawa balik. Kali ini, tuan rumah bagi pulut kuning yang memang tidak dihidangkan sekali pada masa itu. Mungkin mereka ingin tonjolkan kelainan dengan menghadiahkan makanan lain sebagai tanda berterima kasih. Atau pun sebagai buah tangan untuk orang di rumah yang tidak dapat menghadirkan diri? Mana-mana jer lah, asalkan niatnya ikhlas.

Aku fikir lebih elok bagi nasi, mihun atau lauk-pauk yang berlebih itu saja. Mungkin saki baki makanan tu tuan rumah nak bagi pada jiran-jiran juga. Bersyukur sajalah dah orang bagi pulut kuning tu encik. Aku ambil sampai empat bunjut pulak tu! Dulu-dulu, mak aku akan masak pulut kuning ini untuk di beri pada tok guru mengaji setiap kali kami adik-beradik khatam mengaji Quran. Pulut kuning senang nak jumpa masa kenduri kahwin yang dijadikan tempat di cucuk bunga telur di sisi pelamin. Tak tahulah pulak aku lepas habis saja bunga telur tu dibagi-bagi, pulut kuning berkenaan di buat makan atau tidak. Sebelum tidur aku merasa dulu pulut kuning tu walaupun perut dah sendat dengan nasi bukhari. Biasalah pulut, mestilah melekit tapi rasa dia sedap di lawan dengan gulai daging yang pedas.

Friday, April 23, 2004

Chicken Confession

Berbalik pada cerita aku makan-makan di Pizza Uno last week, sebenarnya tak ada yang gempak pun pasal benda tu. Kalau aku ada kamera, aku dah rakam dah suasana restoran tu dan up-load dekat website ni. Senang kerja. A picture can tell a thousand words, right? Klik pada apa yang aku makan, klik pada dinding restoran, klik pada shopping complex – kemudian letak caption pada setiap foto. Dah siap satu entry. Lebih mudah macam tu kan? Tak payah susah-susah memerah idea menulis panjang-panjang.

Aku kalau boleh ingin mencari ayat yang sedap di baca (sekurang-kurangnya aku sendiri yang rasa sedap bila membacanya).Aku kena kurangkan bahasa slanga – bahasa pasar yang dipertuturkan sehari-hari. Sebab semua itu sudah biasa kita dengar dalam hidup seharian kita, malah kita bercakap pun guna bahasa pasar bukan? Jadi, semasa menulis aku ingin melarikan diri dari kebiasaan. Aku enggan gunakan bahasa bercakap lagi. Aku cuba juga rangka ayat-ayat macam buat karangan sekolah walaupun dalam struktur nahu yang tunggang-langgang. Tapi aku tak kisah kalau baca jurnal orang lain yang guna bahasa slanga ke, bahasa rojak ke – asalkan apa yang empunya jurnal tulis itu menarik minatku untuk mengikutinya.

Ini soal kepuasan. Dalam apa saja benda yang kita buat, mesti ada minat yang akhirnya menzahirkan kepuasan. Begitu juga dalam setiap kali aku menulis sesebuah entry, aku fikir biarlah sekurang-kurangnya aku merasa puas apabila ia terbit di laman ini. Tetapi perasaan puas yang mutlak memang sukar untuk kita capai kerana biasanya setiap kali selepas aku publish sesebuah entry aku pasti merasa malu. Yes people, now you have my confession. Aku rasa puas sekejap lepas tu aku tiba-tiba rasa segan pulak bila mengingatkan balik apa yang telah aku tulis. Gila agaknya.

“Tak apalah, diorang bukannya kenal kau pun – tulislah apa-apa benda yang kau suka. Buat apa nak malu-malu,” pujuk hati sendiri.

Bagi pengelakkan entry ini dari melencong masuk ke bab kepuasan dan ke”malu”an, kita terus saja pergi ke Pizza Uno. Sebenarnya aku teringin nak makan ayam grilled yang terdapat pada menu tapi manager dia kata dah out of stock. Aku nak order carbonara tapi aku dah pernah try carbonara with meat balls di San Fransisco Café yang penuh keju berkrim sampai naik muak. Mesti rasa dia sama jer dengan cabonara di sini. Aku pun order fried chicken walaupun lagilah aku dah biasa makan ayam goreng. Masa tu tengah buntu tak tahu nak pesan apa. Sepatutnya aku datang makan berteman supaya kami boleh discus apa yang sepatutnya di order dan aku boleh bertukar-tukar makanan.

Memang sepatutnya aku datang makan dengan kawan (sekurang-kurangnya seorang) kerana ayam goreng yang aku order tu sungguh besar! A half chicken rupanya. Macam mana aku boleh tak perasan dalam menu tu ada tulis half chicken tadi. Besar sangat. Ayam belanda agaknya. Ayam goreng tu dihidangkan sekali dengan salad bersalut thousand island dan chips. Boleh habis ke ni ayam separuh dengan sekali hadap? Hatiku berbisik. Sebelum ni memang aku TIDAK PERNAH order ayam sebesar itu dan ianya tidak semena-mena membuat aku cemas. Memang membazir saja kalau tak dapat habis.

Namun aku mula menghiris ayam itu berhati-hati. Isinya empuk dan garing kelihatan menyelerakan. Hidangan ayam itu dilengkapi dengan sos barbecue mungkin, aku tak ingat sos apa. Kemudian aku menyuapnya perlahan-lahan ..... hmmm … sedap, walaupun gaya masakannya tidak sama dengan fast food punya ayam goreng. Selepas itu aku alternate dengan salad dan potato chips. Sayur saladnya juga sedap dan dingin di tambah sos thousand island yang pekat menjadikan ia kombinasi yang tidak dapat dilupakan. Kentang gorengnya biasa saja, cuma ia bersaiz besar dan yang menariknya ia tak cepat sejuk. Hampir setengah jam aku duduk mengadap hidangan berkenaan tapi kentang goreng itu masih suam.

Di kala ini restoran ada menerima beberapa pelanggan lain yang kebanyakan mereka adalah foreigner. Akhirnya aku decide yang aku tidak mampu lagi untuk menjamah ayam yang bagak itu. Aku cuma makan salad dan chips sampai habis. Di atas pinggan hanya tinggal ayam goreng yang isinya telah suku terluak. Aku juga habiskan ice blended chocolate yang razanya lazat sungguh dengan ada aiskrim sekali. Okey now what should I do with this remnants of chicken?

Aku rasa macam nak bungkus ayam yang lebih tu bawa balik. Nanti boleh sambung makan kat rumah. Sebelum ni memang aku tak pernah bungkus apa-apa makanan yang aku tak habis kat restoran. Lagi pun tak ada benda yang nak dibungkuskan pasal aku biasanya memang makan sampai licin. Kali ni, sayang betul kalau ayam itu terbuang begitu saja. Kalau aku dah tak lalu nak makan pun, aku boleh bagi housemates aku yang memang selalu kelaparan tu. Terlintas juga dengan orang-orang miskin yang nak makan ayam sebulan sekali pun seksa, kita ni main buang-buang pulak. Tak baik membazir rezeki. Belum tentu lagi akan datang kita dapat makan sebegini lagi.

Masa nak bayar tu – aku dengan tersipu-sipu suruh pelayan tu bungkuskan ayam yang berbaki tu.

“Sure, no problem,“ jawabnya dengan senang hati. Agaknya aku bukan pelanggan pertama di situ yang bawa balik makanan tak habis.

Lega rasanya dapat menyelamatkan lebihan ayam goreng dari menjadi mangsa tong sampah. Satu lagi sebab oleh rasanya yang sedap membuatkan ia berbaloi untuk di tapau. Kemudian pelayan memulangkan wang baki dan menyerahkan plastic container yang berisi ayam tersebut Kalau aku ada kamera, anda boleh tengok sendiri ayam goreng itu bagaimana. Mungkin lebih menarik kalau aku tunjukkan step by step dari pinggan yang penuh dengan sajian sehinggalah pinggan tersebut tinggal ayam semata-mata. Diikuti dengan ayam yang telah selamat di bungkus dalam bekas plastik.

Tapi kalau entry aku siap dengan foto-foto semua, rasanya aku akan lebih malu lagi. Cukuplah anda menatap tulisan buat masa ini. Belum masanya untuk aku menyerikan jurnal ini dengan gambar-gambar. Nantilah dulu.

Tuesday, April 20, 2004

Sentuhan Listrik TNB

Sejak dari petang Isnin internet tidak dapat dihubungi. Aku terpaksa mengalih perhatian kepada kerja-kerja sebenar. Ini semua angkara blackout pada sebelah paginya. Suasana office jadi hangat kerana air-cond tidak dapat berfungsi. Lampu panjang kalimantang satu dua masih menyala kerana back-up supply. Aku pergi pantry buat air dalam gelap. Main agak-agak letak kopi dua camca, krimer dua tiga sudu, tuang air mendidih dan kacau.

Balik ke tempat sendiri. Minum kopi. Duduk termenung dalam samar-samar cahaya yang masih dapat menerangi. Aku mencapai sebuah novel di dalam laci, mengulang baca bab-bab tertentu. Cuba menghilangkan bosan. Sambil itu menghirup minuman dan memeriksa surat-surat atas meja. Penat membaca, aku pergi cubicle kawan-kawan, borak-borak. Elektrik kembali pulih dalam beberapa jam kemudian. Lepas setengah jam tiba-tiba terputus kembali! Aku baru saja draft e-mail dalam Word, habis hilang begitu saja. Tak sempat save. Rats.

Sebelum waktu makan tengahari, elektrik datang kembali. Syukur. Harap-harap berterusan sampai bila-bila. Macam main ba-ba-cak pulak TNB hari ni. Kejap ada, kejap tak ada. Memang payah bila bekalan elektrik terputus di pejabat. Tahun ni saja dah dua kali kejadian ni berlaku. As usual, a whole building was effected. Nasib baik siang. Kalau blackout ni berlaku waktu malam, habislah mereka-mereka yang stay back buat kerja malam-malam tu. Tambahan pulak masa nak turun ke car park di bawah tanah. Macam-macam cerita suspen yang kita boleh dengar dari car park ni. Tambahan pula bagi kaum perempuan yang memang kena extra cautious. Ngeri juga.

Lebih-lebih lagi bila bangunan tersebut pernah terjadi peristiwa-peristiwa sedemikian. Memang fobia kalau mendengar cerita-cerita macam tu tatkala kita sendiri berada di tempat yang dimaksudkan.Terasa terbayang imej-imej yang mengganggu di ruang mata. Terus kita mengandaikan apa tindakan selanjutnya yang akan di ambil. Cari bahagian sulitnya! Kaum wanita jangan malu-malu ya, anda kena tendang bahagian itu, bukan meraba atau bagi sentuhan ghairah! Kang, lain pulak jadinya. Lepas tu lari ke arah yang selamat walaupun tempat yang selamat itu kelihatan subjektif pada masa itu. Sedangkan pada waktu siang dengan lampu terpasang, kejadian tidak diingini kadang-kala masih tidak dapat dielakkan - ini kan pula bila dah blackout.

Senang cerita, kalau bekalan listrik terputus waktu malam - terus saja keluar bangunan, balik rumah naik public transaport. Esok siang baru datang balik ambil kereta. Misalnya tempat kerja anda susah nak dapatkan kenderaan awam, suruhlah keluarga atau kawan datang jemput. Atau call teksi. Sementara tu pergi ke tempat yang ramai orang atau tunggu di pondok pengawal.

Pengawal?

Isyhkk… pak guard pun ada yang jenis durjana juga ni. Jadi, pandai-pandailah anda menjaga keselamatan diri sendiri. Belajarlah skil martial art seperti seorang rakan jurnal anda ini atau sediakan pepper-spray. Payung pun boleh jadi senjata. Belasah jer si durjana dengan payung itu. Ataupun kalau anda dari jenis perempuan yang berani, boleh cuba tips di bawah – [ini dari forward e-mail yang aku terima. Disclaimer; Penghantar e-mail tidak bertanggungjawab di atas risiko yang mungkin berlaku ; ) ]






Angkat Skirt & Buka Seluar


Seorang Guru ingin mengetahui sejauh mana kepintaran
murid-muridnya. Dia bertanya satu soalan kepada seorang murid perempuan.

Guru : Bila kamu bertemu penjahat yang ingin memperkosa kamu,
apa yang akan kamu lakukan?


Murid: Saya akan menaikkan skirt saya tinggi-tinggi!

Guru : HAH ! (terperanjat), lepas tu awak buat apa?

Murid: Saya akan suruh penjahat tu buka seluarnya.

Guru : Habis tu apa yang ...(Mula Khuatir)

Jeng! Jeng! Jeng!

( SCROLL DOWN )




> >
> >
> >
> >
> >
> >
> >
> >
> >
Ø >
Ø >
Ø >
Ø >
Ø >
Murid : Lepas tu, saya akan lari. Saya dapat lari laju jika skirt
saya diangkat, sedangkan penjahat itu susah nak kejar sebab
seluarnya tersangkut di kaki ketika dilucutkan...


What were you thinking?

Friday, April 16, 2004

Caca-Marba

Kita cerita pasal makan lagi lah ya hari ni, pasal tak ada idea nak cerita pasal perkembangan politik ke, pasal dunia nak berperang ke, pasal skandal seks David Beckham ke, yang itu kita serahkan pada yang pakar. Sementara aku dah kembali berselera nak makan ni, baik kita cakap pasal makanan.

The other day, aku pergi mencuba restoran Pizza Uno yang terdapat di Times Square. Sebenarnya dulu pernah plan nak makan di cawangannya di Ampang Point dengan kawan tapi tak jadi. Oleh kerana aku dah sampai di Times Square ni, aku pun meringankan kaki masuk ke dalam. Masa ni kosong jer restoran tu tak ada pelanggan. Elok sangatlah tu sementelah aku pun seorang jadi taklah aku rasa kekok. Aku mudah rasa terasing kalau masuk ke kedai makan yang ramai orang sedang duduk sekelompok atau setidak-tidaknya berduaan manakala aku well….. just me and myself. Nanti aku jadi serba tak kena, tak tahu nak buat apa – kalau hidangan yang di pesan cepat sampai, okeylah. Tapi kalau lambat, duduklah kau melangut menongkat dagu termenung mengenangkan untung nasib sambil hati merungut “apasal’lah lambat sangat masak ni, ayam baru nak sembelih ke?”

Oh, sebab itulah sesetengah kafe atau restoran ada membekalkan majalah dan suratkhabar, kan? Ia boleh jadi bahan escapism bagi pengunjung kedai makan yang solo serta ingin menenggelamkankan diri dengan menelaah majalah yang disediakan. Masa yang sangat emas tidaklah terbuang begitu saja dengan duduk termenung. Kalau yang datang makan berteman pun adakalanya mereka terambil juga bahan-bahan bacaan ni untuk di selak. Sama ada teman mereka itu boring atau mereka jenis orang yang tak banyak mulut. Daripada mereka kelihatan terkulat-kulat di meja makan, baiklah mereka buat-buat sibuk dengan membaca. Macam di klinik pun ada sudut di simpan koleksi bahan bacaan macam ni. Sementara menunggu giliran untuk di rawat, kita boleh meluangkan masa dengan membelek-belek majalah yang kabanyakannya jenis dah sesuai masuk arkib negara.

Hey, jangan memandang rendah pada majalah-majalah lama ni. Anda tidak akan tahu apa yang akan anda temui di dalamnya. Tidak lama dulu aku dan Rule sedang duduk menunggu hidangan kami disiapkan di sebuah restoran laksa. Nasib baik restoran ni ada provide magazines jadi bolehlah aku membaca kejap. Aku masa tu dah tak ada topik nak dicakapkan dengan Rule lalu aku pun mencapai senaskhah majalah yang tersisip di dinding. Covernya dah tercarik dan bila ku periksa tarikh isu majalah, sudah berkurun lama rupanya.

Apabila aku membelek-belek isi kandungan, tiba-tiba terpampang suatu wajah yang familiar. Eh, dia ni bukan yang satu office dengan aku? Satu artikel berkenaan dirinya bersama isteri tersiar dalam majalah itu sambil aku baca sekali lalu. Dulu pun dalam satu majalah lain aku pernah ternampak officemate aku (kini ex) yang majlis perkahwinannya tersiar di dalam. Tapi majalah lama tu aku baca kat rumah bukan di restoran. Majlis kahwin itu memang nampak sungguh indah kerana idea yang di bawa oleh si “wedding planner“nya bukan seperti kebiasaan majlis perkahwinan Melayu.

Kalau ada budget lebih, kita pun boleh mengimpikan majlis kahwin yang istimewa seperti ex-officemate aku langsungkan itu. Sesetengah orang bila tengok foto kahwin mereka mungkin beranggapan yang perhiasan untuk pelamin dan pakaian pengantin terlalu ringkas buat raja sehari. Tidak nampak langsung ciri-ciri orang kahwin yang wiritnya memakai songket dengan segala mak nenek aksesori sampai nampak serabut. Ex-officemate aku cuma pakai baju Melayu manakala isterinya mengenakan sepasang baju kurung yang begitu menyerlah. Memang berbaloi mereka mengupah pereka terkenal ini kerana hasilnya sungguh memuaskan. Ini berdasarkan apa yang aku baca dalam artikel itulah, keluarga pengantin sangat gembira dengan majlis tersebut kerana menepati perancangan dan ianya berjalan dengan sempurna.

Ahaks! Ambik kau. Kata nak cerita tentang makan-makan, dah melencong bab majalahlah, bab kahwinlah. Mengarut betul. Minggu depan jer lah aku sambung cerita kat kedai pizza tu.

Have a enjoyable weekend, people!

Tuesday, April 13, 2004

The Bone Encounter

Alhamdulillah, aku sudah semakin sembuh. Perut ku sudah tidak meragam lagi. Hari Jumaat tu aku memang tak sentuh kopi langsung, takut pulak perut masih merajuk. Tapi pagi-pagi dah makan nasi lemak telur goreng (sambal kurang). Tak tahan sehari suntuk tak makan nasi. Masa mc semalamnya makan roti sapu jem saja. Aku pilih Chinese tea yang tawar hambar sebagai minuman sarapan pagi.

Tapi pada hari Sabtu, terpaksa juga minum Nescafe sebab dah tak tertahan lagi kalau tak dapat. Seakan dah ketagih. Itu pun dah petang sangat baru aku minum, order kat restoran tatkala cuaca di luar kebasahan hujan. Lega rasanya dapat menikmati segelas Nescafe yang manis, lemak dan beraroma. Syukurlah aku tak sakit perut lepas tu.

Pada malamnya aku dan Ap ke Bukit Indah, pergi ke rumah seorang kenalan yang menyambut hari jadi. Ramai saudara-mara dan rakan handai tuan rumah yang memeriahkan majlis. Tuan rumah menyediakan roti jala, mihun soto, ayam bakar, kek, buah-buah, nasi dan mee goreng. Kuah kari yang di makan dengan roti jala tu yang paling sedap pernah aku rasa. Tak serupa dengan kuah kari yang pernah aku makan kat kedai-kedai. Ayam bakarnya pun sedap.

Aku yang baru sembuh dari sakit perut ni memang langkah kananlah pergi acara makan-makan macam ni. Boleh menjamu selera puas-puas. Cuma yang aku rasa tak bestnya tu, ada ke patut suami si kenalan ini pergi buang tulang ayam tu kat luar balkoni! Memanglah itu kondo mereka dan suka hatilah kalau mereka nak buat sepah pun, tapi aku tetap terasa jengkel. Sampainya hati mereka mengotorkan alam sekitar di kondo yang cantik menghijau tu. Tapi sisa-sisa tulang ayam tu mungkin akan di hurung semut bila terdampar di tanah nanti. Menjadi rezeki semutlah tu.

Apa juga jenis sampah walaupun tulang ayam mereka harus sedar cara untuk melupusnya dengan sempurna. Bukannya di baling sewenang-wenang keluar rumah. Nanti jadi macam situasi dalam iklan tv seorang budak malas nak turun ke tong sampah, hanya baling saja sampah keluar dari blok rumah pangsanya. Sejurus kemudian, sampah itu tertimpa atas kepala seorang pakcik yang di akhir iklan di tunjukkan bahawa pakcik yang malang itu adalah datuknya sendiri.

Bayangkan tulang yang di buang itu melayang jatuh terkena orang yang kebetulan sedang berjalan-jalan di bawah. Bayangkan kita pula yang ditakdirkan menjadi orang yang tengah berjalan itu. Apa agaknya perasaan kita? Marah tak? Tentulah marah dan sakit hati. Rasa nak memaki dan belasah jer siapa yang tidak ada sivik itu. Sesuka hati saja nak buang sampah merata, tulang ayam pulak tu. Rasa jijik pun ada.

Cleaner kat kondo tu pun mesti menyumpah seranah kerana terpaksa membersihkan sisa-sisa tulang yang bersepah di tanah. Memanglah itu tugas mereka sebagai cleaner. Tapi tidakkah kita kasihan dengan mereka yang terpaksa berpanas dan berhujan menjaga kebersihan kediaman kita sebagai punca rezeki? Apa salahnya kita membantu ringankan beban itu dengan membuang sampah ke dalam tong. Memang di situ pun tempat sebenarnya sampah. Jadi cleaner-cleaner tadi ada lebih banyak masa untuk membuat kerja-kerja lain seperti mencuci longkang, menyapu daun-daun kering dan sebagainya.

Sendiri buat sampah, sendiri buanglah (dalam tong sampah, please). Jagalah kebersihan. Kebersihan sebahagian dari iman.

Friday, April 09, 2004

Di Dalam Kesakitan Ini

Hari Khamis mc. Mula-mula rasa macam malas nak mc sebab aku bukan sakit sangat. Lagi pun mata aku ni dah okey sikit dari semalam yang merah dan pedih. Macam mana ni? Nak pergi kerja atau pergi klinik?

Baik pergi kliniklah sebab nanti officemate kau semua jadi paranoid kalau tengok mata kau yang merah menyala tanda berpenyakit.

Tapi hari ni dah tidak semerah semalam?

Walaupun dah tak semerah semalam, pergilah jugak jumpa doktor, nanti boleh dapat nasihat atau doktor tu dapat detect apa-apa. Kau pun sakit perut jugakan? Semalam sampai empat-lima kali berulang alik ke tandas. Boleh kau minta ubat untuk cirit-birit sekali.

Betul juga tu. Ok. Aku pun ambil keputusan tidak mahu ke office dan sambung tidur.

Dalam pukul 10 pagi aku breakfast tapau roti canai dan kuih cek mek serta air nescafe. Makan roti kosong sekeping dan minum nescafe, lepas tu perut tidak semena-mena meragam. Cepat-cepat aku ke tandas.

Nampaknya aku memang kena pergi klinik, bukan pasal sakit mata lagi tetapi kerana cirit-birit. Tak boleh jadi macam ni. Asal lepas makan jer mesti nak melepas. Makanan tu pun tak sempat nak hadam gamaknya.

Sampai kat klinik pun, aku berkejar lagi ke tandas, buang air besar dulu sebelum jumpa doktor! Punyalah kronik. Doktor menasihatkan aku supaya mengelakkan sajian bercili, bergoreng, air kopi, buah pun tak boleh, minum jus saja. Beliau suruh aku minum soya, makan bubur, roti atau makanan yang lembut. Paling membuatkan aku risau doktor tu suspek aku kena appendiks!

“Kalau ubat yang I bagi hari ni tak berkesan, you datang balik esok sebab kita kena refer you dekat GH,“ kata doktor tu.

Mata aku pun di periksanya juga tapi beliau tidak komen apa-apa. Tidak ada apa yang perlu dikomenkan pun pasal mata aku memang dah tak rasa pedih-pedih lagi.

Klinik itu membekalkanku dengan berpaket-paket pil yang berkaitan dengan sakit perut. Aku dapat mc satu hari. Beli roti dan jem serta air mineral sebelum pulang ke rumah.

Sampai di rumah, aku terus menelan pil-pil tersebut antaranya pil untuk gastrik, angin, sakit perut dan cirit-birit. Ada ubat serbuk yang bernama “Oral Rehydration Salt” perisa oren di kasi sekali. Aku pun membancuh serbuk oral itu dalam air mineral sehingga larut dan kemudian minum.

Jangan terpedaya dengan warnanya yang macam oren tu kerana rasanya tidak sama langsung seperti buah oren. Pahit-pahit sikit rasa dia. Nama pun ubat, jadi aku kena habiskan minum kalau nak sembuh.

Selesai proses menghabiskan ubat, aku buka dvd filem bertajuk In Hell – Rage Unleashed lakonan Van Damme. Tak sesuai pula masa aku tengah sakit begini menonton filem pasal penderitaan banduan yang sakit terseksa dalam penjara kerana di dera fizikal dan mental.

Melihat lakonan Van Damme tatkala dia tengah berlatih untuk menguatkan stamina dalam penjara teringat pada Jim Caviezel yang pernah memerankan aksi yang sama dalam filem The Count of Monte Cristo. Tentulah Jim Caviezel lebih cemerlang kerana Van Damme nampak cliché.

Sebaik habis dvd, aku tidur.

Tuesday, April 06, 2004

Flyers Away

Last Sunday aku ke MidValley dengan Iwan sebab nak berkunjung ke pameran kerjaya. Seperti biasa setiap petang hujan mesti turun dengan lebat. Bila sampai saja di MidValley hujan sudah berhenti dan aku bergegas cari toilet sebab rasa nak terkemih. Ada satu bilik air yang ganjil dalam kompleks ni sebab tempat basuh tangannya tak ada sinki.

Apabila kita menekan kepala paip, air akan jatuh atas para-para marble yang di buat condong lebih kurang 25 darjah ke belakang. Dan di belakang para-para tersebut telah tersedia longkang kecil untuk mengalirkan sisa-sisa air. Selepas mencuci tangan, aku pun bergegas ke level 3 mendapatkan Iwan yang telah pun masuk ke ruang pameran. Pertama kali masuk ke MVEC ini – lebih biasa dengan pusat expo di PWTC. Agak banyak booth yang didirikan antaranya Southern Bank, Kumpulan Genting, British American Tobacco, Intel dan institusi pengajian tinggi seperti Cosmopoint, UKM, UMS, UIA, MLVK dan lain-lain.

Di sana Iwan yang lebih banyak bertanya di booth IPT sebab dia plan nak sambung master. Aku cuma collect pamphlet dan flyers yang di unjuk oleh petugas booth yang diwakili. Nanti tak ambik, kecil hati pula mereka-mereka yang menghulur tu. Manalah tahu maklumat yang disertakan dalam risalah tadi berguna untuk masa depan lagipun bukan kena bayar. Tapi ada juga yang menolak dan menggeleng kepala tanda tidak berminat dengan flyers yang di hulur

Iwan pernah mengalami kerja yang melibatkan distribute pamphlet kepada orang ramai ni. Masa tu dia kerja di Fish & Co. dan untuk menyedarkan manusia yang lalu lalang depan Lot 10 bahawa ada restoran baru sedang di buka, kenalah promosi macam tu. Bukan sekadar pamphlet yang di hulur, restoran itu juga bagi mouse-pad sekali. Kadang-kadang dia sengaja tak kasi mouse-pad tu, tunggu orang tanya baru dia bagi. Bukan apa, bila bagi pamphlet saja, biasanya orang akan terus campak – lebih teruk lagi depan-depan mata benda tu di buangnya. Jadi kalau sesiapa nak mouse-pad tu kenalah ringankan mulut, meminta dan bila dah dapat mouse-pad tidak tergamak pula mereka nak buang pamphlet.

Aku pula pernah terima risalah yang mempromosi atau memperkenalkan ajnas item antaranya diskaun barangan tertentu, promosi jualan murah, pembukaan fitness center yang baru, rayuan derma, risalah pasal ajaran Kristian dan banyak lagi agenda lain. Paling best kalau flyers tadi diselitkan sekali dengan barangan percuma misalnya mouse-pad tadi atau pun sample minyak wangi. Adalah dinasihatkan anda semua ambik saja apa-apa flyers yang di edar dan baca dulu kemudian baru decide nak buang atau simpan. Ini untuk mengelakkan anda dari mengalami kejadian seperti housemate aku Ap.

Ada sekali tu aku tengah berjalan depan Lot 10 kerana dah berjanji nak jumpa Ap di sana. Sebab aku sampai dulu di kompleks tersebut aku merayau kejap dan masa tu ada promosi haruman Romance. Petugas yang mempromosikan pewangi terbabit mengedarkan miniature haruman kepada orang yang lalu-lalang. Aku pun tidak ketinggalan turut mengambil sample tersebut. Lebih kurang lima minit menanti Ap pun tiba dan aku pun menunjukkan pewangi itu kepadanya

"Laa.. dia ada bagi sample perfume ke?! Aku ingat dia bagi kertas jer. Tadi diorang nak bagi kat aku, aku buat donno jer," beritahu Ap.

"Haa... kau tak ambik sample tu. Ruginya."

Dia pun terdiam sebentar.

"Eh, kau tolong pergi balik kat diorang tu, ambilkan untuk aku," Ap mencadangkan.

"Tak ada kerja aku nak buat macam tu. Kau pergilah sendiri kalau nak."

Oleh kerana dia rasa ralat tadi tak mengendahkan petugas yang menghulurkan minyak wangi tersebut, lalu Ap terpaksa menebalkan mukanya berpatah balik ke arah kaunter promosi Romance itu. Bila dia kembali ke arahku, dia cakap, pekerja Romance tu sempat lagi memerli dia semasa dia minta sample tu dari mereka. Itulah tadi sombong sangat tak nak.

Ingat, benda-benda macam ni hanya wajar dilakukan kalau anda jenis muka tak malu saja.

Monday, April 05, 2004

Dinner Treat

Last Friday night after meredah hujan lebat dengan Ap, terasa nak makan Chinese food pulak. Kami pergi ke restoran Yong Tau Foo dekat area Ampang Point. Dah banyak kali lalu kat kedai makan ni cuma tak tergamak pulak nak masuk. Memang nampak ramai orang Melayu menjamu selera kat sini cuma hati saja terasa sangsi. Bila terpandang logo Halal besar terpampang di dinding, barulah hilang was-was.

Jadi hari Jumaat tu kami pun masuk ke restoran ni untuk menikmati hidangan Cina yang memang bukan senang nak jumpa yang halal. Sebab tak biasa nak order makanan Cina ni – nasib baik menu dia ada gambar, jadi kita boleh agak sendiri macam mana bentuk makanan dia tu. Tapi gambarnya tak cantik. Kalau tengokkan dari keadaan gambar makanan dalam menu tu saja, memang nampak tak menyelerakan langsung. Tambahan pulak kalau anda jenis baru first time nak try Chinese food, silap haribulan anda boleh angkat punggung – keluar terus.

Oleh kerana aku dah pernah try makanan Cina (biasanya kat hotel) aku tak adalah nak angkat kaki. Kami mengambil masa untuk meneliti menu dia sambil mulut sibuk bertanya dengan nyonya waitress tu yang nampak macam bosan jer melayan kami. Kenalah tanya dulu ya tak, nanti order yang tak menepati citarasa, membazir pulak.

Ada beberapa gambar yang nampak macam kuih-muih tapi tak pasti apa dia, aku pun tanya nyonya tu

“Ni apa ni auntie?”

“Ni ikan, ada campur sayur sikit, goreng-goreng punya,” jawab nyonya tersebut.

“Ni pulak apa auntie, nampak macam sama dengan tadi,”

“Haiyya…ni pun ikan juga – tapi sikit lain…”

“Ohh…”

“Ini pun ikan ….. ini ikan ....“ Habis di bantainya gambar-gambar makanan lain pun dikatanya ikan juga. Dah fed-up nak melayanlah tu.

Jadi, tak nak bagi nyonya tu naik angin aku pun order dua jenis isi ikan goreng yang nama resepinya ialah fried soi kow dan char keoy (gitu kot spelling dia). Ap pulak makan nasi dengan kuah asam ikan kembung. Mintak-mintak sedaplah benda yang aku order tu, kalau tak sedap malas nak datang lagi. Sementara menunggu pesanan tiba, restoran itu terus dikunjungi pelanggan pelbagai bangsa, ada Melayu, India, Mat Salleh, kecil besar tua muda – rasa muhibbah pulak! Orang Cina memanglah ada. Dia punya waitress pulak, selain dari nyonya tadi adalah gadis-gadis Indonesia.

Dalam masa tak sampai lima minit makanan pun sampai. Aku pun try fried soi kow dengan seribu harapan. Hmm…. sedap. Lepas tu try char keoy pula. Ahh… sedap juga. Aku tak ingat yang mana satu tapi salah satu hidangan tadi lebih kurang macam keropok lekor yang di celup tepung. Gitulah lebih kurang walaupun rasa dia tak seratus peratus sama. Harga dia 60 sen seketul. Kemudian aku mengendeng pulak asam ikan kembong yang Ap order tu. Ikan tu macam masak rebus cuma kuah asam dia pedas sikit. Tak sangka pula resepi Cina pun ada yang pedas-pedas.

Tengah sedap-sedap melantak, tiba-tiba ternampak penyanyi Aqasha masuk ke sini dengan dua orang geng dia. Mereka memilih tempat duduk betul-betul kat lawang kedai. Besar orangnya mamat Aqasha ni tinggi dan nampak lebih putih kat luar, tak macam Melayu. Kawan dia dua orang tu tak kenal pulak siapa. Dah puas makan minum, kami pun blah.

Tapi sebab tak kenyang makan kuih isi ikan goreng tu, aku makan roti canai pulak lepas tu. Bukan makan kat kedai Cina tadi, mana ada jual roti canai kat situ. Ini kami singgah kat restoran mamak pula yang bersebelahan dengan kompleks Ampang Point. Sambil pekena teh tarik (Ap tak makan, minum nescafe jer) dan menikmati roti canai kosong cicah kuah dal sambil menikmati angin malam Kuala Lumpur selepas hujan.