Tuesday, January 09, 2018

Kerja Berblog

Rasa macam masih nak tulis tentang cerita kawan ku itu. Dia sudah berhenti dari syarikat pereka grafik dan percetakan yang aku beritahu sebelum ini. Sudah dua bulan kot resign. .

Entahlah...

Buat diri aku pula aku masih bertugas di syarikat yang sama sejak 2012 (ada aku catatkan perihal aku mendapat kerja baru dalam blog ini) Alhamdulillah. Aku tidak lagi berada di jabatan yang kena bercakap dengan pelanggan melalui telefon itu. Sekarang di unit lain yang mula-mula tu agak rileks sekarang makin mencabar.

Namun itu semua akan ku tempuhi dengan tabah Insya-Allah.

Aku harap kawan aku tu akan cepat mendapat kerja semula. Dalam lapangan minyak dan gas seperti pengalaman dan kelulusan yang beliau ada. Kali ini semoga rezekinya lebih panjang.

Tahun ini menandakan tahun ke 15 aku berblog.

Syukurlah.

Harap aku akan jadi bertambah rajin untuk mengisi ruangan ini.

Tuesday, October 10, 2017

Masih Tentang Kawan

Biar aku sambung cerita pasal kawan aku yang menganggur tu (lama tertangguh baru sambung... huhu...). Sebenarnya beliau bukan lagi seorang tuna karya. Malah beliau sudahpun mendapat pekerjaan agak lama juga.

Cuma bidang karier yang diceburi kini bukan lagi dalam lapangan minyak dan gas. Sekarang beliau bekerja di sebuah syarikat rekabentuk dan percetakan sebagai pereka grafik. Mujurlah beliau memang berbakat dan minat dari segi senireka dan grafik komputer.

Lupakan imbuhan yang mungkin tidak selumayan tatkala bertugas sebagai ahli geologi di firma carigali. Lebih penting untuk mendapat gaji dan mampu membayar bil serta hutang piutang. Sekecil manapun pendapatan diperolehi adalah rezeki yang harus disyukuri dan dimanafaatkan sebaiknya demi kelangsungan hidup.

Aku ada menonton video Jack Ma yang menegaskan di masa akan datang terjadinya lebih banyak tugas-tugas konvensional yang akan di ambil alih oleh teknologi robotik dan mesin. Tetapi ia tidak boleh menggantikan manusia dalam arena kreatif dan penciptaan.

Oleh kerana robot tiada perasaan, maka ia tidak mampu untuk menghasilkan sesuatu yang perlu cetusan minda, fikiran kritis dan sentuhan peribadi. Jiwa puitis, yang intrig, sarat emosi dan bertenaga bagai menyeru untuk melakar, menzahirkan dan berkongsi sesuatu.

Jangan rungsing dengan masa hadapan. Ekonomi sekarang yang muram dan tidak memihak adalah cabaran. Seperti kawan tadi yang ada minat dan kebolehan dalam bidang kreatif, ia adalah kelebihan dan peluang untuk dimanafaatkan sebaik mungkin kerana mesin pun tidak dapat merampasnya.

Wednesday, February 15, 2017

Di Tulis Dengan Kasih Sayang

Mula-mula aku ingin ucapkan hai pada bekas rakan serumah yang membaca blog ini. Haha... Kepada Iwan dan Ap, jangan marah kalau ada catatan bertahun-tahun yang lalu tidak menyenangkan hati. (Aku telah beritahu mereka dalam whatsapp).

Tahun lepas semasa aku dan adikku Husna makan malam bersama Ap, tengah sedap berborak, tiba-tiba terkeluar cerita pasal movies, adik aku terbuka cerita yang aku ada menulis blog pasal filem!

Selepas itu apa lagi, Ap dengan curious tanyalah aku betul ke aku ada blog? Aku kenalah beritahu Ap, ya, aku ada tulis blog. Ya, memang blog tu pasal movie (itu dulu) dan aku pun sudah sangat-sangat jarang update.

Dia pun malam tu terus bongkarkan dekat Iwan yang kini jauh menjadi cikgu di Ranau dan selepas itu segalanya menjadi sejarah.

Monday, October 31, 2016

Berminatlah Dengan Apa yang Anda Lakukan

Kalau masih ingat dengan kawan aku yang tidak di sambung kontrak itu, nampaknya dia masih belum mendapat kerja baru. Tetapi aku tidak pula bertanya macam mana dia menyara hidupnya. Mungkin dia ada simpanan yang mencukupi.

Setakat ini dia menghabiskan masa dengan menyiapkan kerja-kerja penulisan buku tentang pengembaraannya di India. Aku berharap buku itu dapat disiapkan cepat supaya ia segera di jual. Jadi dia akan ada pendapatan.

Kalau menulis itu yang menjadi minat atau keseronokkan kamu, teruskanlah melakukannya.

Rasanya kata-kata di atas sudah lazim diucapkan. Tetapi aku ingin mengulanginya lagi sebagai peringatan untuk diri sendiri.

Mungkin sesuatu yang kamu minati itu tidak terus datang. Sekiranya kerja yang kamu jalani sekarang bukan apa yang menjadi passion kamu tetapi kamu tahu akan ada peluang lain di organisasi yang kamu sertai ini.

Maka jangan jemu untuk mengintai peluang itu. Insya-Allah jika ia telah ditakdirkan menjadi milikmu, ia tak lari ke mana.

Dalam masa yang sama, sekiranya perkara yang kamu minati itu dapat dipenuhi di luar waktu kerja rutinmu, maka isilah ia secara optimum. Kamu berhak menikmatinya.

Sebagai contoh jika minat kamu ialah memanjat pokok kelapa. Memang mustahil untuk kamu lakukan aktiviti itu sepanjang masa jika tugas hakiki kamu ialah eksekutif akaun di sebuah syarikat multi-nasional.

Oleh itu, panjatlah kelapa tu masa lepas waktu pejabat atau cuti hujung minggu. Sambil panjat tu, petiklah buah kelapa sekali.

Dari kelapa tadi boleh buat minyak. Minyak masak pun dah naik harga sekarang.

Friday, August 26, 2016

Belia Elektrik

Ada 3 perkara yang melibatkan elektrik dialami malam ini;

1) Aku beli plug 3 pin di pasaraya untuk menggantikan plug seterika yang telah pecah

2) Aku terkena kejutan elektrik!

Bukan. Ia tak ada kena-mengena ketika membaiki apa-apa perkakas elektrik.

Kejadian berlaku semasa aku sedang membeli tembikai.

Gerai jual tembikai itu yang ada wayar lampu terjulur terkena cuping telinga menyebabkan renjatan berlaku.

Mula-mula tu terasa sesuatu macam sejenis hidupan telah menyengatku.

Bisa sungguh rasanya.

Aku tertanya-tanya, apakah yang telah berlaku ni, sambil terpinga-pinga meraba kuping telinga yang masih bersentuhan dengan wayar.

Oh, terkena kejutan elektrik.

Si penjual tembikai seolah turut terpana dengan kejadian yang berlaku.

Lantas salah seorang dari penjual membantu merapikan lebihan wayar ke dalam atap gerai supaya tiada pelanggan lain yang terenjat oleh arus listrik juga.

Terutama kalau pelanggan itu tinggi orangnya.

Oh, dan aku beli sebiji tembikai.

3) Aku sedang tidur apabila tiba-tiba anak aku kejutkan bagi tahu tak ada elektrik.

Aku tidur awal sebab mengantuk yang amat sangat. Dalam pukul 11 kot anak aku kejut kata elektrik tak ada tu.

Dalam pada aku mamai-mamai macam tu, tiba-tiba bekalan elektrik kembali pulih.

Anak aku pun keluar dari bilik dengan gembiranya.

Aku pun sambung tidur.

Saturday, August 13, 2016

Masih Cerita Kawan

Dia baharu sembuh dari demam. Dia, kawan itu sejak seminggu lepas muntah-muntah, letih lesu tidak bermaya. Mujur ia bukan disebabkan oleh jangkitan apa-apa.

Menurut doktor, ia hanyalah viral fever.

Selepas itu dia berangkat ke Acheh untuk bercuti.

Err... bukan kerana dia telah pulih dari demam maka dia perlu melarikan diri dari Kuala Lumpur dan menyegarkan diri di sana. Kena ingat yang dia masih belum mendapat kerja baru.

Itu tiket penerbangan yang telah di beli sejak tahun lepas untuk bercuti bersama keluarganya. Lagipun Acheh dan menyegarkan diri selepas beberapa perkara tragedi macam tidak serasi dalam satu ayat.

Atau sebenarnya ia memang berkait rapat?

Dia cuma kehilangan kerja dan mendapat sakit yang tidak serius.

Sementara sebilangan yang lain kehilangan satu kampung dan mengalami kematian yang tidak dapat disembuhkan.

Wednesday, August 03, 2016

Diberhentikan Kerja Secara Tiba-tiba Menyebabkan Pemuda Ini Bertindak Melakukan Ini

Oh, buat masa ini pemuda yang diberhentikan kerja itu masih belum bertindak apa-apa.

Ya, anda yang biasa membaca blog ini memang mengenali pemuda yang aku maksudkan. Banyak kali aku mention nama samaran beliau dalam beberapa entry.

Aku tak pasti klausa pekerja dengan status kontrak jika diberhentikan berhak terima imbuhan apa-apa atau majikan berkuasa mutlak gugurkan pekerja macam tu saja. Dia pula employment letter entah di campak ke mana.

Wahai pemuda yang dimaksudkan itu (jika kau membacanya ketika ini), jika setuju biarlah cerita ini disertai dengan nama sekali?

Monday, July 25, 2016

Setelah Sekian Lama

Ya, akhirnya barulah ada kemaskini. (Sebenarnya aku merancang untuk lebih kerap menulis di sini setelah melanggan internet di rumah, tetapi selalu bertangguh). Aku cuma update dari handphone.

Kita masih dalam suasana Hari Raya kan?

Jadi, Selamat Hari Raya aku ucapkan.

Aku tak tahu sama ada masih ada ke lagi yang berblog? Menurut kawan aku Gaia, blog is so 90s, ha ha

Aku tak ada medium media sosial. Insya-Allah aku akan setia dengan blog ini. Sesiapa yang kebetulan singgah ke sini, semoga terasa nak singgah lagi.

Berdoalah supaya aku dikurniakan ilham yang melimpah untuk di kongsi. Aku cuba untuk tidak malas mengemaskini. Supaya ada sesuatu yang dapat dimanafaatkan bersama.

Friday, July 24, 2015

Di Hari yang Berbahagia Ini

Salam Aidilfitri

Terima kasih di atas kesudian anda yang masih ingin menjenguk blog ini (walaupun dah lama sangat tak update).

Tapi kalau dah lama benar tak update masih adakah lagi orang ingin menjenguk ke sini?

Dengan tak ada cerita-cerita sensasi.

Tak ada gambar.

Tak ada ulasan atau komen tentang apa-apa.

Tak ada kisah peribadi.

Kenapa setelah sekian lama tidak mengisi blog ini tiba-tiba ingin menulis sesuatu? Ya, aku masih minat menulis. Kalau boleh aku ingin jadikan karier daripada aktiviti tulis-menulis ini.

Tetapi dengan masa yang terhad campur malas yang melanda, maaf, ia seakan meranapkan impian yang satu ini. Oh, lagi satu aku ada self censorship yang tinggi. I will not simply put everything what I’m thinking into this space.

Bagaimana untuk menulis atau menzahirkan sesuatu jika banyak kekangannya?

Itulah persoalannya.

*Selamat berehat 3 bulan The Edge. Please come back.

Friday, December 19, 2014

Si Penggunting Rambut

Minggu lepas

Aku pergi ke kedai gunting rambut yang biasa aku kunjungi, selepas kerja Jumaat yang lalu. Bila tiba giliranku selepas bertanya itu ini soalan lazim jenis potongan yang aku kehendaki, aku serahkan kepalaku kepada yang pakar dan dia menjalankan tugasnya dengan tekun.

Habis menggunting disusuli pula dengan urutan leher dan kepala supaya aku terlihat lebih bermaya. Dia cakap aku nampak macam letih sangat.

“Tadi abang duduk saja di kerusi dan saya mahu start gunting terus tertidur,“ komen tukang gunting itu. Aku bukannya tidur betul, saja pejamkan mata dan buat-buat lelap. Tapi aku mengaku yang aku penat.

“Ni kalau abang tak cukup istirehat ini, minggu depan abang boleh jatuh sakit,“ tegasnya lagi.

“Ya ke?“ balasku dengan nada tak percaya.

“Ya, betul,“

Aku balas dengan tersenyum sambil hulurkan bayaran.

Minggu ini

Sebenarnya aku terfikir juga dengan kata-kata si penggunting rambut itu dalam dua tiga hari kemudiannya, aku cuba jaga kesihatan dengan baik supaya tidak demam atau sebagainya tetapi lepas itu aku tak ambil peduli.

Tiba-tiba kaki aku mengalami kecederaan akibat terpijak sesuatu semasa balik kerja. Sesuatu yang tajam. Malam hari terkena itu, aku rasa macam tak perlu pergi klinik, hanya tekap luka dengan tisu dan tampal plaster. Tetapi keesokan paginya kaki masih berdarah.

Kena juga pergi klinik. Mula-mula dapat mc dua hari. Lepas buat rawatan susulan, dapat lagi dua hari.

Tiba-tiba aku teringat balik kata-kata tukang gunting itu.

Friday, August 15, 2014

Jangan Takut Dengan Kapal Terbang

Nota: Selepas aku menyiapkan artikel di bawah, tiba-tiba terdapat satu lagi kejadian melibatkan kemalangan kapal terbang, kali ini di Iran dan Brazil seakan terus mengesahkan kerisauan mereka semua.

Seorang rakan sepejabat yang sepatutnya pergi becuti ke Korea hujung tahun ini sekarang sedang berbelah bahagi disebabkan ayah beliau melarangnya ke sana.

Puncanya?

Kejadian banyak kapal terbang terhempas membuatkan ayah beliau trauma.

Manakala lagi seorang kawan setugas juga telah membatalkan percutian ke Langkawi menaiki kapal terbang disebabkan alasan yang sama, takut terjadi nahas pesawat. (Aku macam nak syorkan dia kalau takut sangat naik kapal terbang, apa kata awak naik bas? Sampai kat jeti Kuala Perlis nanti, sambung naik feri ke Langkawi)

Memanglah kebelakangan ini banyak betul pesawat yang ditimpa malang sama ada disebabkan oleh cuaca buruk, di tembak oleh peluru berpandu atau hilang begitu saja, tetapi kita janganlah terlalu paranoid. Macam aku sendiri lepas dua bulan berlakunya tragedi MH370 aku, isteri dan beberapa kawan menaiki kapal terbang ke Bali. Sudahlah no penerbangan Air Asia kami ketika itu memakai angka 370 juga! Apakah ….? Sudahlah sepanjang perjalanan lewat petang itu cuaca agak kurang menyenangkan, tapi syukurlah kami selamat mendarat.

Kalau disuratkan berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ketika itu, ianya di luar kuasa kita. Menaiki atau tidak menaiki sebarang pengangkutan, jika terjadi juga musibah atau tetap juga kecelakaan menimpa, itu adalah takdir kita. Hidup ini akan menjadi teramat susah jika terlalu memikirkan sangat risiko yang buruk-buruk. Kita cuma boleh berikhtiar dan berwaspada dan berdoa supaya dipermudahkan dan selamat menjalaninya. Selebih dari itu bertawakkallah.

Friday, January 24, 2014

Update Kerana Mensch

Semalam baca dalam paper The Sun, ada satu artikel pasal seorang pengarang yang baru menerbitkan buku terkininya bertajuk “Beauty”. Nama beliau ialah Louise Mensch. Mensch? Eh, macam pernah dengar nama tu? Kat mana ya? Hahaha… Ya, betul. Lebih kurang sama macam nama pena empunya blog ini. Yang blognya dah bersawang dan berkurun lama tiada perkembangan.

Berbalik kepada penulis tadi, nama asal beliau bukanlah diakhiri dengan Mensch sebaliknya ialah Bagshawe. Penukaran nama di buat setelah beliau berkahwin baru. Rupa-rupanya beliau agak popular dalam arena penulisan ini dengan banyak menghasilkan karya chicklit. Tak pernah dengar pula aku nama beliau ini. Namun ulasan oleh penulis rancana tersebut tentang tulisan terbarunya itu agak kurang memberangsangkan.

Sedang aku godek-godek nak isi entry baru blog ni, sebab dah lama tak buka account blogger, mungkin sebab aku dah lupa password atau username atau apa membuatkan ia tidak dijumpai. Adakah riwayat blog ini bakal berakhir di sini? (Aku malas nak create blog baharu kalau betul ia sudah tidak boleh dijumpai lagi).

Tapi setelah aku gigih berusaha memikir-mikir apa agaknya password atau username segala itu, akhirnya ia dapat dikesan balik! Yay! Masih ada harapan untuk blog ini bernyawa. Aku akan cuba mengisi entry dengan lebih kerap tahun ini. Tapi tak janji. (Tolonglah doakan sama aku akan dapat kerja baru yang tak stress seperti sekarang)

Saturday, July 13, 2013

Tidak Berpuasa & Alasannya

Ada beberapa perkara mengenai tidak berpuasa di bulan Ramadan yang pernah diceritakan kepadaku oleh kawan, sesuatu yang pernah mereka dengari atau mereka sendiri yang tidak berpuasa. Aku tak mahu menghakimi mereka yang tidak berpuasa ini yang begitu terbuka bercerita tentangnya. Masing-masing ada alasan sendiri. Masing-masing telah tahu hukum-hakam.

1. Seorang kawan yang baru selesai menunaikan umrah, sekarang menghabiskan masa bercuti di Mesir. Dia mengaku tidak berpuasa kerana waktu siang yang panjang di sana. Lagipun dia sedang bermusafir. Lagipun buat masa ini Mesir sedang bergolak (lagi)

2. Seorang lagi rakan tidak berpuasa kerana setiap pagi ketika ingin melabur, dia mesti ingin merokok. Kalau tak menghisap rokok masa buang air besar tak ada feel, katanya. Aku selalu nasihatkan dia supaya belajar tahankan diri kemaruk nak merokok masa sedang buang air tu. Sambil bila nak ponteng puasa? Umur pun bukan muda lagi.

3. Ada kenalan kepada kawan, seorang Muslim yang tinggal di wilayah Kashmir, India, setiap tahun jarang puasa penuh. Alasannya? Contohnya macam tahun lepas, dia puasa cuma 28 hari. Kenapa tak cukupkan terus sebulan? Sebab hari lain tu dia ada exam. Kerana exam tak dapat puasa? Ya. Sebab untuk exam dia perlu makan. Err.....

4. Ada pula kawan lain bercerita, ada sekali tu setelah penat shopping di bulan puasa dengan kakaknya, dengan selamba mereka masuk restoran makanan segera dan order makan. Sebab dia nampak macam Cina, jadi tiada sesiapa yang akan suspek. Untuk melengkapkan lagi penyamaran, dia speaking London dengan kakaknya sepanjang berada dalam restoran.

5. Nampaknya di tempat kerja sekarang pun ada pekerja perempuan yang semasa tidak boleh berpuasa dengan senangnya makan di pejabat. Di syarikat lama dulu, kerana kakitangan wanita Islam di jabatan lama aku tak ramai, jadi mereka mungkin tak segan makan minum depan staff-staff non-Muslim lain. Atau ia patut jadi sebaliknya? Tapi syarikat sekarang yang hampir semuanya Islam, ada seorang saja di jabatanku buat masa ni yang aku lihat makan pada waktu berpuasa. Mungkin sebab sesama Islam, jadi lebih senang untuk makan ketika siang Ramadan itu sebab kita lebih memahami.

Thursday, July 04, 2013

Siri Bercakap Dengan Orang Asing

1. Terbaca satu artikel dalam The Sun dua hari lepas terdapat interviu bersama seorang pengembara bernama Zhang Su Li merangkap penulis yang membicarakan tentang buku terbarunya berjudul A Backpack and a Bit of Luck mengenai pengalaman kembara dan perkara seputarnya. Dalam rencana tersebut beliau menyentuh tentang tabiatnya yang boleh begitu mudah untuk bersembang dengan orang asing.

2. Menurutnya lagi, ia bukan perkara yang senang bagi orang sekarang untuk berhenti sekejap dengan bercakap bersama orang asing yang kita jumpa di tengah jalan atas alasan kita masing-masing sentiasa mengejar masa. “Because they are always in a hurry to get somewhere. I am not. I am not in a hurry to get anywhere,” ujarnya.

3. Dikaitkan dengan kenyataan itu, bidang kerja aku sekarang memang memerlukan aku sentiasa bercakap dengan orang asing. Padahal kalau boleh aku mahu selalu mengejar masa. Sedangkan aku kerap kali rasa yang aku ingin pergi ke suatu tempat lain. Jauh di sudut hati, aku memang berkeinginan hendak bercakap dengan orang asing tetapi dalam masa yang sama aku hendak menikmati pengembaraan seperti yang beliau kecapi.

4. Bulan ini sudah setahun aku di sini, bercakap dengan orang asing.

5. Nampaknya, buat masa sekarang, inilah kembara yang harus aku jalani, bermodalkan suara bercakap, berinteraksi dengan sesiapa saja, walaupun aku tidak berhenti sekejap untuk menyapa mereka. Walaupun aku harap ini untuk sekejap saja.

Thursday, May 23, 2013

Masih Ada

1. Aku tidak berpuas hati sebenarnya kerana tidak kemaskini blog ini. Seperti biasa kerja yang sibuk. Kerja sekarang membuatkan aku sentiasa kena buat report. Sudah malas mahu mengarang untuk blog lagi. Cuma kali ini aku gagahkan juga tulis sesuatu.

2. Panggung memang sudah lama tidak jenguk. Ada sekali ketika lepak di rumah kakak ipar, anak saudara memujuk kakak ipar melanggan satu filem dari Astro Best, The Impossible. Merasa juga lah tengok. Oleh kerana sudah lewat malam, tertidur pulak. Efek khas dan suasana pasca-tsunami memang menggerunkan.

3. Sedang menunggu musim kedua Revenge yang bakal kembali ke Star World nanti. Selain itu aku juga sedang mengikuti Hannibal. Cuma ada juga terlepas satu dua episod.

4. Sempat pergi ke Pesta Buku di PWTC baru-baru ni dengan Gaia. Nampak buku tontonfilem Fadz tapi tak beli. Tahniah Fadz sebab sudah terbitkan isi kandungan blog menjadi satu naskhah. Buku beliau terakhir aku baca ialah Saga Horizon. Makan tahun juga nak habiskan. Aku tak reti nak komen pasal buku itu. Tapi aku asyik terbayangkan Terminator Salvation sepanjang membacanya.

5. Bercakap tentang Gaia, beliau sudah kembali dari India. Tapi dia belum lagi sempat untuk berceloteh panjang pengalamannya mengembara di sana. Itu tentu satu bahan blog yang sangat mengujakan untuk di kongsi jika aku berupaya untuk tulis di sini.

Monday, January 21, 2013

Apa Khabar

1. Terus-terang, sudah malas mahu meng-update, malah mahu menjenguk blog ini juga agak malas. Sudah dua bulan lebih tidak membuka blog, baru hari ini tergerak mahu mengisi sesuatu.

2. Pasal kerja itu juga satu hal yang membuatkan keinginan untuk menulis di sini kian merosot (Patutnya lebih baik begitu kerana tempat kerja bukan sepatutnya dihabiskan dengan blogging seperti yang aku buat di tempat kerja lama) tetapi …. err…..

3. Mahu menonton wayang juga tiada mojo. Sudah agak lama tidak keluar menonton. Paling akhir ke panggung ialah untuk tengok filem dari Romania bertajuk “Exchange” sempena EUFF di gsc. Agak menarik ceritanya tentang seorang lelaki yang menjadi pengurup wang haram secara tiba-tiba disebabkan oleh suatu insiden.

4. Novel yang sedang aku baca ialah ADAM karya Ramlee Awang Murshid yang kebetulan pula keluar dalam Kosmo minggu lepas terdapat sebuah kelab peminat yang mendedikasikan terhadap penulis tersebut. Ini adalah novel ke-dua pengarang itu yang aku baca selepas Mandatori kerana aku rasa semacam apabila baca ayat-ayat tulisan beliau dalam novel yang kelihatan terlalu biasa (At least, biasa-biasa pun siap jugak sebuah novel …. haishh….)

5. Susulan daripada entry sebelum ini yang menyentuh calon-calon filem asing terbaik Oskar, nampaknya tiada calon Asia yang dapat menembusinya tahun ini. Nominasi yang terpilih ialah 1)Amour/Love (Austria), (2)War Witch (Canada), (3)No (Chile), (4)A Royal Affair (Denmark), (5)Kon-Tiki (Norway).

Tuesday, October 30, 2012

Bunohan Penari Barfi

Membaca blog Anak Wayang bahawa Bunohan menjadi antara calon terawal yang di pertimbangkan untuk nominasi Filem Asing Terbaik di Anugerah Oskar tahun hadapan membuatkan terbit rasa berharap dan teruja terhadapnya. Tetapi apabila membaca lebih lanjut artikel oleh penulis blog tersebut, pihak wartawan mungkin telah tersalah tafsir konteks berita asalnya yang sepatutnya berbunyi Finas telah memilih Bunohan untuk mewakili Malaysia pada majlis berprestij itu. Bukannya terus mendakwa yang filem ini sudah pun terjamin sebagai calon yang paling terkedepan bagi disenarai pendek. Ada banyak peringkat dan saringan yang harus Bunohan tempuhi sebelum boleh menempah sebagai lima calon akhir. Namun kita berharap yang terbaik untuk Dain Said dan krew.

Dalam laporan oleh malaysiandigest.com itu juga turut menyebut penyertaan lain yang bakal memberi saingan untuk filem Malaysia ini ialah The Dancer dari Indonesia dan Barfi! dari India.



Aku tahu mengenai filem ini apabila diperkenalkan oleh Gaia yang menghadiahkan novelnya tatkala dia pulang dari bercuti di Indonesia. Lama dah dapat buku Ronggeng Dukuh Paruk itu tapi aku belum sempat baca. Sebenarnya buku tersebut ada trilogi dan sebuah filem ini adalah berdasarkan ketiga-tiga novel berkenaan dan diberi judul Sang Penari. Sebelum ini ia telah mendapat pujian pengkritik dan ini adalah filem terbaik untuk anugerah Festival Filem Indonesia 2011.



Manakala filem Barfi ini aku dapat tahu setelah baca blog anutshellreview dan aku memang tertarik nak tengok. Ingatkan tak ditayangkan di Malaysia. Tiba-tiba suatu hari terima sms daripada Gaia yang bagitahu dia baru saja tengok cerita ni di CapSquare dan dia beri pujian melambung. Macam-macamlah benda bagus yang dia cakap tentang filem tersebut, lebih kurang seperti reviu oleh blog dinyatakan. Kita tengoklah nanti ada tidak wakil Asia yang tersenarai sebagai calon akhir Academy Awards tahun hadapan lebih-lebih lagi tiga filem yang aku sebut di atas.

Sunday, October 28, 2012

Doomsday Preppers

1. Sekarang, rancangan tv yang menarik perhatianku ialah Doomsday Preppers di saluran National Geographic. Sudah banyak episod ia dimainkan cuma aku tidak mengikutinya dengan tekun.

2. Ianya tentang sebilangan penduduk Amerika yang membuat persiapan dan persediaan untuk menghadapi bala bencana atau keadaan malapetaka mengikut tafsiran masing-masing. Terdapat variasi teori yang mereka cadangkan mengenai prospek kemusnahan secara total yang mereka takut sangat itu.

3. Antaranya ialah letupan super volcano, ancaman nuclear, kejatuhan mata wang, wabak penyakit, gempa bumi dan bermacam-macam lagi.

4. Setiap individu atau unit keluarga akan ditampilkan untuk mereka menerangkan serta menunjukcara tentang prosedur survival mereka jika bencana yang mereka andaikan itu benar-benar terjadi.

5. Pada akhir setiap demonstrasi, pakar penilai akan memberi markah berdasarkan faktor persedian yang mereka buat itu sama ada ianya membantu untuk menyelamatkan nyawa atau ia patut diperbaiki lagi serta dalam masa yang sama cadangan tertentu turut disyorkan supaya rancangan mereka bergerak dengan jayanya.

6. Rasanya sumber makanan dan air adalah elemen yang paling di titik beratkan oleh para preppers kita.

7. Kebanyakan persiapan yang mereka lakukan itu hanya tertumpu pada famili itu sendiri atau satu dua anggota kecil kelompok jiran atau rakan yang tidak melibatkan sebuah komuniti yang meluas. Pakar selalu menyarankan agar preppers dapat mengerah lebih ramai anggota masyarakat di sesebuah lokasi supaya apabila petaka betul-betul menimpa maka tiada individu atau pihak yang tidak bersedia yang menyasarkan untuk menceroboh puak preppers yang cukup bekalan sara hidup.

8. Aku rasa siri-siri tv seperti Walking Dead, Falling Sky atau Revolution turut memuatkan tema serupa contohnya kalau zombie membiak, makhluk asing menyerang atau bekalan elektrik tiada, itu juga merupakan senario doomsday yang menuntut supaya kita bersedia.

9. Dalam laman web Military Malaysia ada menyenaraikan beberapa item yang kita boleh ambil kira untuk membuat persiapan sekiranya malapetaka maha atau darurat menimpa di tanahair kita ini.

Friday, September 28, 2012

Teh Tarik yang Lazat

Semasa musim Syawal yang lalu, tempat kerja baru aku ini mengadakan majlis rumah terbuka dan pihak katering yang di panggil ialah D’Saji. Terus aku terbayangkan teh tarik mereka yang enak itu. Walaupun baharu saja aku menikmati juadah mereka sempena majlis buffet buka puasa dahulu, termasuk teh tarik, itu masih menjadi tumpuan utamaku, tapi makanan lain macam nasi briyani atau nasi impit dan kuah kacang dan sate tetap tak nak tolak.

Sekarang pihak Lipton ingin mengisytiharkan air yang menjadi kegemaran ramai ini sebagai minuman rasmi Malaysia. Aku memang tiada masalah dengan itu dan hari ini mereka memberi sepaket percuma dengan setiap naskhah The Sun. Cuma aku belum sempat bancuh lagi serbuk itu untuk menilai rasanya. Tapi apabila aku singgah sarapan di foodcourt The Intermark, aku tetap pesan segelas teh tarik. Sedap jugalah yang mamak ni buat.

Hanya sekarang aku lebih gemar yang kurang manis. Mungkin sebab dah makin berusia jadi aku tak betah lagi minum yang keterlaluan manisnya. Tapi yang pasti, warna teh tarik tersebut mesti seimbang. Tidak terlalu gelap atau cair walaupun gulanya dikurangkan. Sekali pandang dari warna yang terserlah daripada kaca gelas terbabit, kita sudah boleh suspek rasanya bagaimana.

Aku sendiri tidak pernah berjaya bancuh teh tarik yang sedap seperti piawaian yang aku tetapkan. Rasa lemak dan warna air teh susu serta buih yang menggoda hasilan tangan sendiri tidak pernah sesedap yang mamak atau pembuat air berkaliber seperti yang biasa di minum. Apatah lagi nak menyamai teh tarik D’Saji yang paling memuaskan. Apa rahsia bancuhan mereka agaknya?

Sunday, September 23, 2012

Perpustakaan Adalah Heterotopia

Di dalam novel Cekik karya Ridhwan Saidi, aku diketemukan dengan terma “heterotopia”. Antara contoh yang boleh dikaitkan dengan heterotopia ini ialah tanah perkuburan, rumah sakit jiwa, ruang berbulan madu, taman bunga, perpustakaan, muzium dan sebagainya. Terdapat keterangan bagi setiap satu misal di atas oleh penulis tentang hubungkaitnya dengan terma tersebut. Aku cuma ingin sentuh mengenai contoh perpustakaan yang turut di sebut pengarangnya dalam buku itu.

Mungkin kamu tidak berapa faham kerana aku tidak jelaskan langsung definisinya. Tetapi ketahuilah perpustakaan adalah sejenis heterotopia kerana ia menghimpunkan sejumlah buku-buku dari variasi pelusuk tempat ke dalam satu ruang mereka sendiri. Ruang ini akhirnya membentuk alam heterotopia mengikut maksud selayaknya. Perpustakaan seperti muzium perlu sebuah binaan dengan kondisi bukaan udara terkawal, hampir tertutup, agak terasing dari hegemoni dunia luar kerana sifat fizikal kertas dan material itu yang sensitif.

Dengan situasi yang terkurung dan terpisah seolah terputus hubungan dari persekitaran luar itu, buku-buku dan bahan bacaan lain akan menguasai ruang berkenaan. Buku-buku yang ditelaah di situ mewujudkan interaksi yang hanya boleh dialami dan dirasakan didalamnya. Seolah-olah berada di sini kamu dalam dimensi tersendiri yang ideal. Tidak perlu berkompromi dengan anasir atau unsur lain yang mahu berkongsi. Ia adalah ruang mutlak kamu yang sempurna. Ia adalah sebuah utopia.