Wednesday, September 30, 2009

Bergegar

Petang tadi selepas habis kerja aku singgah kejap kat bangunan belakang ni nak pergi jumpa kawan aku. Office dia kat tingkat 15. Sampai-sampai saja di sana, terus aku di serbu dengan pertanyaan, terasa tak gegaran apa-apa?

Gegaran?

Tak ada pulak, jawabku.

Ada tadi. Terasa macam gempa bumi, dia bagitahu. Sampaikan officemates dia pun turut sama kecoh berkongsi kepanikan serupa.

Tapi memang ada berlaku tsunami tadi kan, aku beritahu.

Tsunami? Kat mana? Dia bertanya.

Kat Jepun.

Dengan confidentnya mulut aku menjawab kat Jepun. Padahal aku nak jawab kepulauan Samoa sebab memang berlaku gempa bumi kat pasifik selatan pada awal hari ini. Jepun hanya terlibat sikit dalam kejadian tersebut. Tup-tup ke Jepun pulak perginya. Jauh naw kalau gempa tu kat Jepun sampai semenanjung pun boleh bergegar ni.

Dah-lah itu kejadian tu berlaku pagi tadi, tak kan lah petang ni baru terasa gegarannya? Hmmm... musykil lak.

Rupa-rupanya petang itu memang berlaku gempa bumi yang kuat 7.6 pada skala Richter melanda pulau Sumatera, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan, lapor Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia.

Gegaran itu berlaku pada pukul 5.16 petang waktu tempatan (6.16 petang waktu Malaysia) di barat daya bandar Padang di Sumatera Barat. Patutlah kawan aku dengan rakan sepejabatnya yang berada di tingkat 15 itu rasa bangunan bergegar.

Saturday, September 26, 2009

Nescafe yang Mengikut Citarasaku

Kadang-kadang malas nak order Nescafe di kedai. Kalau aku sebut “Nescafe” saja tanpa ada “kaw” atau “nipis” selepas itu, patutnya biarlah rasa kopi tu dengan susu sedang elok saja. Regular taste, menurut istilah sachet Nescafe 3-in-1 dan warnanya pula seimbang tidak begitu ketara kepekatannya. Tapi yang selalunya tukang buat air tu buat mesti yang pekat punya. Tak faham aku.

Kalau aku tengah tak ada mood bila tengok kopi tu jadi macam ni, aku panggil pelayan suruh dia modify balik Nescafe tu, tambah air panas sikit atau tambah susu ke biar warna dia sekata dan boleh kurangkan pahit kopi.

Cuma adakalanya memang aku akan order Nescafe nipis sebab ada sesetengah kedai bila bancuh Nescafe nipis ni hasilnya jadi yang seperti aku expect. Susu dan serbuk Nescafe tu di adun menimbulkan warna dan perisa yang aku inginkan. Ada juga yang biarkan susu itu mendap di dasar dan membiarkan pelanggan kacau sendiri.

Tapi satu benda yang tidak pernah mengecewakan semasa memesan Nescafe ialah apabila membelinya menerusi vending machine. Memang memberikan aku rasa yang tepat setiap kali sebab aku sendiri yang picit butang-butangnya untuk menentukan citarasa yang bagaimana aku mahu.

Terlanjur cakap pasal Nescafe ni keluar pula berita pasal seorang penganggur kena tahan sebab mencuri kopi segera ini di pasaraya. Mungkin dah tak mampu sangat agaknya nak beli. Dia yang mengebas lima bungkus Nescafe Classic 200 gram dan lima bungkus Nescafe Classic 300 gram, yang kesemuanya bernilai RM190.95 sekarang sedang menanti hukuman dijatuhkan.

Friday, September 18, 2009

Kuih Raya Tak Jadi

Setiap tahun kat rumah aku di kampung ni ada saja kes buat biskut raya keras. Adoii..! Buat baling ke anjing pun harus cedera parah anjing tu. Bukanlah tak boleh di makan langsung tapi agak malu nak di hidang buat para tetamu. Selepas baru je bersalam-salaman memohon maaf dengan tuan rumah, lepas tu mengata-ngata tuan rumah pulak bila termakan kuih raya keras yang tak sedap.

Demi menjaga hati family members yang bersusah payah menguli mengadun dan membentuk biskut-biskut itu serta bersengkang mata membakarnya walau hasilnya …err…. tidak begitu membangkit selera, aku cuba juga merasa barang sekeping dua. Kemudian akulah yang menjadi mangsa untuk membawa balik biskut raya tak laku tu ke KL. Biasanya sampai KL, habis pulak tu housemates aku makan! Tapi tak adalah makan in one shot. Sikit-sikit jamah sambil tengok tv.

Lama-lama habis. Kadang-kadang bila orang bertandang ke rumah, at least ada juga benda untuk di jamu walaupun sekadar kuih raya nampak sedap persis coklat walau setelah makan rasanya keras macam batu. Mengutuk jer pandai aku ni kan. Aku sendiri pun bukannya pandai nak buat kuih-muih tu semua. Pakat beli secara order je dengan kawan-kawan.

Lain kali kena ingatkan diorang lagi kalau nak experiment buat biskut raya pun janganlah membancuh adunan banyak sangat. Membazir saja nanti bila hasilnya siap tak ada orang makan. Lagi pun aku sendiri memang akan beli biskut raya di KL bawak ke kampung. Namun aku kena bagi kredit untuk diorang di atas effort nak juga cuba buat biskut raya saban tahun.

Selamat Hari Raya!

Wednesday, September 09, 2009

Hari Radio SeMalaysia

Tidak pula aku tahu wujudnya Hari Radio ni. Bila selidik di internet baru aku tahu yang ia baru saja dianjurkan dan Malaysia merupakan negara ketiga menyertainya selepas Russia dan Belanda. Tapi ia di panggil Hari Radio Sedunia. Manakala yang aku dengar di Sinar fm tadi menyebutnya sebagai Se-Malaysia.

Selain entry ini di buat untuk menandakan tarikh yang unik hari ini 09/09/09, mari kita imbas kembali beberapa kenangan aku dan radio. Memang sejak dari kecil lagi aku dah biasa dengar radio ni. Tapi biasalah zaman dulu tak banyak variasi media radio untuk di buat pilihan. Jadi aku bergantung kepada RTM saja untuk memuaskan halwa telinga ini.

1. Radio Nasional menjadi pilihan utama aku untuk dengar pagi-pagi sebelum aku ke sekolah sesi petang dulu sampai aku dah boleh hafal dua program utamanya sebab dek kerana selalu sangat pasang. Ianya ialah drama radio popular No. 5 Persiaran 1 yang dibintangi oleh pelakon terkenal Osman Zailani dan Fatimah Yassin. Pelakon lain tak pulak aku ingat. Kisah satu family yang tinggal di alamat tersebut bersama anak-anak dan jiran tetangga menelusuri hidup seharian mereka.

Habis saja drama berkenaan, ada program bertajuk Segar Mewangi yang membawa kita menghubungi stesyen-stesyen radio negeri kelolaan RTM untuk meninjau aktiviti atau berita setempat dari sana.

2. Ada satu stesyen radio yang aku minat sangat dulu tapi jarang dapat diikuti kerana siarannya yang tidak meluas iaitu FM Stereo. Memang best sangat rangkaian ni kerana ia banyak muzik dan djnya yang kurang bercakap. Kalau bercakap pun setakat nak memperkenalkan tajuk rancangan dan nama lagu saja. Bukankah itu yang pendengar mahu? Kemudian berlaku rombakan, lalu namanya di tukar menjadi Radio 2 yang sudah mengikut macam format radio biasa yang penyampainya banyak berceloteh di susuli dengan lagu-lagu. Lepas tu tukar nama lagi menjadi Radio Muzik dan sekarang ianya dikenali sebagai Muzik fm.

3. Radio swasta pertama yang aku tahu ialah Radio Redifussion. Tapi aku tak pernah dengar stesyen ni sebab ia hanya meliput kawasan pantai barat sahaja. Menurut kawan aku yang ada pengalaman mengikuti radio ini, pendengar kena bayar bil bulanan untuk mendapatkan servisnya. Jadi siaran liputan hanya terhad kepada rumah yang melanggan. Ada sejenis alat apa entahlah yang di pasang pada rumah tersebut untuk mereka mendengar program yang ke udara. Setelah melalui pelbagai evolusi, radio ini sekarang terbahagi tiga stesyen iaitu Red fm, Suria fm dan satu radio Cina.

4. Tak silap aku THR ialah radio swasta pertama yang memberikan siaran percuma untuk pendengarnya tanpa perlu nak membayar yuran apa-apa. Memang seronok sangat radio ni kerana dj-djnya yang selamba, tak skima dan gila membuatkan ia menjadi sebutan ramai. Memang hangatlah masa THR mula-mula diperkenalkan dulu. Aku punyalah minat dengan stesyen ni sampai sanggup menghantar e-mel dekat salah seorang djnya iaitu Adiwati yang biasanya mengendalikan program berduet dengan Nasa dalam Bumper to Bumper.

Baik pula Kak Adi ni nak balas e-mel aku yang tak semenggah tu sampai beberapa kali jugaklah berutus e-mel. Peminat setia kaedahnya. Tapi sekarang dah lost contact sebab e-mail yahoo aku tu pun dah tak valid. Itu semua tinggal kenangan kini kerana THR telah mengalami perubahan drastik dengan terbahagi dua, Raaga yang mensasarkan pendengar kaum India serta THR Permata Pantai Timur yang hanya boleh didengari oleh penduduk wilayah itu. Pendengar di kawasan lain kenalah berpuas hati dengar Raaga saja. Kalau nak jugak ikuti siaran Melayu THR, sila tekan nombor 863 pada decoder Astro anda.

5. Ya, melalui decoder Astro anda tu, boleh juga dengar radio. Tapi untuk stsyen-stesyen yang bernaung di bawah AMP Networks saja. Agaknya macam ni juga dulu siaran Redifussion tu berfungsi. Selain THR aku juga suka mendengar Sinar fm yang beroperasi pada nombor 857. Maklumlah banyak lagu-lagu lama yang sesuai dengan selera aku.

6. Sebelum adanya Sinar ni, terlebih dulu Astro ada satu stesyen lagu-lagu Melayu lain selepas Era iaitu Wirama. Tapi Wirama tidak keudara secara bebas sebaliknya terhad untuk pelanggan Astro saja. Best juga Wirama tapi sayangnya sudah lenyap. Satu lagi stesyen radio yang sudah berkubur ialah Talk Radio. Mungkin sebab banyak bercakap saja kot jadi orang pun bosan nak mengalih frekuensi ke sana.

7. Disebabkan begitu berpengaruhnya peranan radio kepada masyarakat ketika itu sampai boleh di buat lagu berdasarkannya. Dua buah lagu popular yang diinspirasi oleh radio ini yang aku tahu ialah Hanya di Radio nyanyian Headwinds dan Juruhebah Pujaanku oleh Nuraliza Yusof. Dulu-dulu memang kita panggil "juruhebah" untuk mereka yang bertugas di konti ini. Tapi bunyinya sekarang macam tak glamor. Maka pengendali rancangan radio sekarang lebih dikenali sebagai penyampai atau dj.