Tuesday, January 09, 2018

Kerja Berblog

Rasa macam masih nak tulis tentang cerita kawan ku itu. Dia sudah berhenti dari syarikat pereka grafik dan percetakan yang aku beritahu sebelum ini. Sudah dua bulan kot resign. .

Entahlah...

Buat diri aku pula aku masih bertugas di syarikat yang sama sejak 2012 (ada aku catatkan perihal aku mendapat kerja baru dalam blog ini) Alhamdulillah. Aku tidak lagi berada di jabatan yang kena bercakap dengan pelanggan melalui telefon itu. Sekarang di unit lain yang mula-mula tu agak rileks sekarang makin mencabar.

Namun itu semua akan ku tempuhi dengan tabah Insya-Allah.

Aku harap kawan aku tu akan cepat mendapat kerja semula. Dalam lapangan minyak dan gas seperti pengalaman dan kelulusan yang beliau ada. Kali ini semoga rezekinya lebih panjang.

Tahun ini menandakan tahun ke 15 aku berblog.

Syukurlah.

Harap aku akan jadi bertambah rajin untuk mengisi ruangan ini.

Tuesday, October 10, 2017

Masih Tentang Kawan

Biar aku sambung cerita pasal kawan aku yang menganggur tu (lama tertangguh baru sambung... huhu...). Sebenarnya beliau bukan lagi seorang tuna karya. Malah beliau sudahpun mendapat pekerjaan agak lama juga.

Cuma bidang karier yang diceburi kini bukan lagi dalam lapangan minyak dan gas. Sekarang beliau bekerja di sebuah syarikat rekabentuk dan percetakan sebagai pereka grafik. Mujurlah beliau memang berbakat dan minat dari segi senireka dan grafik komputer.

Lupakan imbuhan yang mungkin tidak selumayan tatkala bertugas sebagai ahli geologi di firma carigali. Lebih penting untuk mendapat gaji dan mampu membayar bil serta hutang piutang. Sekecil manapun pendapatan diperolehi adalah rezeki yang harus disyukuri dan dimanafaatkan sebaiknya demi kelangsungan hidup.

Aku ada menonton video Jack Ma yang menegaskan di masa akan datang terjadinya lebih banyak tugas-tugas konvensional yang akan di ambil alih oleh teknologi robotik dan mesin. Tetapi ia tidak boleh menggantikan manusia dalam arena kreatif dan penciptaan.

Oleh kerana robot tiada perasaan, maka ia tidak mampu untuk menghasilkan sesuatu yang perlu cetusan minda, fikiran kritis dan sentuhan peribadi. Jiwa puitis, yang intrig, sarat emosi dan bertenaga bagai menyeru untuk melakar, menzahirkan dan berkongsi sesuatu.

Jangan rungsing dengan masa hadapan. Ekonomi sekarang yang muram dan tidak memihak adalah cabaran. Seperti kawan tadi yang ada minat dan kebolehan dalam bidang kreatif, ia adalah kelebihan dan peluang untuk dimanafaatkan sebaik mungkin kerana mesin pun tidak dapat merampasnya.

Wednesday, February 15, 2017

Di Tulis Dengan Kasih Sayang

Mula-mula aku ingin ucapkan hai pada bekas rakan serumah yang membaca blog ini. Haha... Kepada Iwan dan Ap, jangan marah kalau ada catatan bertahun-tahun yang lalu tidak menyenangkan hati. (Aku telah beritahu mereka dalam whatsapp).

Tahun lepas semasa aku dan adikku Husna makan malam bersama Ap, tengah sedap berborak, tiba-tiba terkeluar cerita pasal movies, adik aku terbuka cerita yang aku ada menulis blog pasal filem!

Selepas itu apa lagi, Ap dengan curious tanyalah aku betul ke aku ada blog? Aku kenalah beritahu Ap, ya, aku ada tulis blog. Ya, memang blog tu pasal movie (itu dulu) dan aku pun sudah sangat-sangat jarang update.

Dia pun malam tu terus bongkarkan dekat Iwan yang kini jauh menjadi cikgu di Ranau dan selepas itu segalanya menjadi sejarah.

Monday, October 31, 2016

Berminatlah Dengan Apa yang Anda Lakukan

Kalau masih ingat dengan kawan aku yang tidak di sambung kontrak itu, nampaknya dia masih belum mendapat kerja baru. Tetapi aku tidak pula bertanya macam mana dia menyara hidupnya. Mungkin dia ada simpanan yang mencukupi.

Setakat ini dia menghabiskan masa dengan menyiapkan kerja-kerja penulisan buku tentang pengembaraannya di India. Aku berharap buku itu dapat disiapkan cepat supaya ia segera di jual. Jadi dia akan ada pendapatan.

Kalau menulis itu yang menjadi minat atau keseronokkan kamu, teruskanlah melakukannya.

Rasanya kata-kata di atas sudah lazim diucapkan. Tetapi aku ingin mengulanginya lagi sebagai peringatan untuk diri sendiri.

Mungkin sesuatu yang kamu minati itu tidak terus datang. Sekiranya kerja yang kamu jalani sekarang bukan apa yang menjadi passion kamu tetapi kamu tahu akan ada peluang lain di organisasi yang kamu sertai ini.

Maka jangan jemu untuk mengintai peluang itu. Insya-Allah jika ia telah ditakdirkan menjadi milikmu, ia tak lari ke mana.

Dalam masa yang sama, sekiranya perkara yang kamu minati itu dapat dipenuhi di luar waktu kerja rutinmu, maka isilah ia secara optimum. Kamu berhak menikmatinya.

Sebagai contoh jika minat kamu ialah memanjat pokok kelapa. Memang mustahil untuk kamu lakukan aktiviti itu sepanjang masa jika tugas hakiki kamu ialah eksekutif akaun di sebuah syarikat multi-nasional.

Oleh itu, panjatlah kelapa tu masa lepas waktu pejabat atau cuti hujung minggu. Sambil panjat tu, petiklah buah kelapa sekali.

Dari kelapa tadi boleh buat minyak. Minyak masak pun dah naik harga sekarang.

Friday, August 26, 2016

Belia Elektrik

Ada 3 perkara yang melibatkan elektrik dialami malam ini;

1) Aku beli plug 3 pin di pasaraya untuk menggantikan plug seterika yang telah pecah

2) Aku terkena kejutan elektrik!

Bukan. Ia tak ada kena-mengena ketika membaiki apa-apa perkakas elektrik.

Kejadian berlaku semasa aku sedang membeli tembikai.

Gerai jual tembikai itu yang ada wayar lampu terjulur terkena cuping telinga menyebabkan renjatan berlaku.

Mula-mula tu terasa sesuatu macam sejenis hidupan telah menyengatku.

Bisa sungguh rasanya.

Aku tertanya-tanya, apakah yang telah berlaku ni, sambil terpinga-pinga meraba kuping telinga yang masih bersentuhan dengan wayar.

Oh, terkena kejutan elektrik.

Si penjual tembikai seolah turut terpana dengan kejadian yang berlaku.

Lantas salah seorang dari penjual membantu merapikan lebihan wayar ke dalam atap gerai supaya tiada pelanggan lain yang terenjat oleh arus listrik juga.

Terutama kalau pelanggan itu tinggi orangnya.

Oh, dan aku beli sebiji tembikai.

3) Aku sedang tidur apabila tiba-tiba anak aku kejutkan bagi tahu tak ada elektrik.

Aku tidur awal sebab mengantuk yang amat sangat. Dalam pukul 11 kot anak aku kejut kata elektrik tak ada tu.

Dalam pada aku mamai-mamai macam tu, tiba-tiba bekalan elektrik kembali pulih.

Anak aku pun keluar dari bilik dengan gembiranya.

Aku pun sambung tidur.

Saturday, August 13, 2016

Masih Cerita Kawan

Dia baharu sembuh dari demam. Dia, kawan itu sejak seminggu lepas muntah-muntah, letih lesu tidak bermaya. Mujur ia bukan disebabkan oleh jangkitan apa-apa.

Menurut doktor, ia hanyalah viral fever.

Selepas itu dia berangkat ke Acheh untuk bercuti.

Err... bukan kerana dia telah pulih dari demam maka dia perlu melarikan diri dari Kuala Lumpur dan menyegarkan diri di sana. Kena ingat yang dia masih belum mendapat kerja baru.

Itu tiket penerbangan yang telah di beli sejak tahun lepas untuk bercuti bersama keluarganya. Lagipun Acheh dan menyegarkan diri selepas beberapa perkara tragedi macam tidak serasi dalam satu ayat.

Atau sebenarnya ia memang berkait rapat?

Dia cuma kehilangan kerja dan mendapat sakit yang tidak serius.

Sementara sebilangan yang lain kehilangan satu kampung dan mengalami kematian yang tidak dapat disembuhkan.

Wednesday, August 03, 2016

Diberhentikan Kerja Secara Tiba-tiba Menyebabkan Pemuda Ini Bertindak Melakukan Ini

Oh, buat masa ini pemuda yang diberhentikan kerja itu masih belum bertindak apa-apa.

Ya, anda yang biasa membaca blog ini memang mengenali pemuda yang aku maksudkan. Banyak kali aku mention nama samaran beliau dalam beberapa entry.

Aku tak pasti klausa pekerja dengan status kontrak jika diberhentikan berhak terima imbuhan apa-apa atau majikan berkuasa mutlak gugurkan pekerja macam tu saja. Dia pula employment letter entah di campak ke mana.

Wahai pemuda yang dimaksudkan itu (jika kau membacanya ketika ini), jika setuju biarlah cerita ini disertai dengan nama sekali?