Wednesday, October 28, 2009

(500) Days of Summer



Filem ni aku dapat tahu masa baca reviewnya dalam majalah Entertainment Weekly. Memang tertarik nak tengok berdasarkan artikel tu. Peliknya ia hanya ditayangkan di KLCC saja. Ia di label sebagai bukan filem romantik komedi yang biasa. Walaupun ada premise yang biasa, lelaki dan wanita bertemu, tertarik antara satu sama lain lalu memungkinkan cinta. Cuma di sini, pihak lelaki saja nampaknya yang di rasuk asmara.

Terdapat disclaimer yang kelakar pada kredit pembukaan. Juga suara periwayat yang awal-awal lagi sudah memberi amaran kepada penonton bahawa apa yang bakal kita saksikan bukannya kisah cinta. Sekurang-kurangnya kisah cinta yang lazim dihidangkan kepada kita selama ini. (Tapi bagi pendapat peribadi aku ia sama saja macam cerita romance barat yang lain)

Mungkin kerana penamatnya yang bukan tipikal Hollywood membuatkan ia nampak lain? Tapi aku suka dengan jalan ceritanya yang walaupun menggunakan tajuk bilangan hari tetapi susunan peristiwa yang melibatkan dua sejoli ini di selerakkan bersilih hari tanpa aturan tertentu. Paparan sesetengah adegan yang di buat kreatif seperti dalam babak si lelaki menerima undangan wanita ke satu majlis di apartmennya, pada layar terdapat dua visual yang menunjukkan mana satu realiti dan yang mana cuma angan-angan pihak lelaki tadi. Memang memberi kesan. Babak muzikal tari-menari itu juga sangat menarik hati.

Teraju utama filem ini, Joseph Gordon-Levitt dan Zooey Deschanel memang berjaya mewujudkan watak sebagai pasangan yang dimahukan oleh skrip. Lebih-lebih lagi Zooey yang memang buat aku naik geram dengannya sehingga simpati dengan nasib si hero. Tapi itu bukan salahnya kerana dia memang sudah berterus-terang daripada mula bahawa dia ingin berkawan saja. Walaupun kita sendiri mengimpikan supaya hubungan mereka berdua adalah lebih daripada sekadar itu.

Sunday, October 25, 2009

La Buena Vida

Kalau anda suka menonton telenovela Amerika Latin tentu anda akan tertarik untuk mengambil tahu tentang corak filem-filemnya pula. Walaupun agak jauh panggang dari api untuk mengaitkan antara drama tv yang beratus-ratus episod dengan bentuk lakonan yang ketara sangat berlebih-lebihan aksi dramatiknya tentu anda bersyukur kerana konsep filem yang dihasilkan mereka kebanyakan adalah berpijak di bumi nyata dan terisi mesej yang membina. Jika tahun lepas Festival Filem Amerika Selatan ini diadakan di Balai Seni Lukis Negara, kali ini ia di buat di pawagam gsc terpilih sekitar Lembah Klang. Agak tricky untuk memilih satu-satu cerita tanpa mengetahui langsung tentang latar-belakangnya namun ia bukan masalah untuk menikmatinya.

Aku menonton La Buena Vida atau A Good Life, sebuah filem dari Chile yang menarik untuk kita tinjau aspek kehidupan mereka. Menggabungkan bervariasi watak dan kisah menempuhi perjalanan rutin harian di Santiago yang serba mencabar dan menuntut ketahanan diri bukan sedikit. Walaupun secara kasarnya setiap antara mereka macam tak ada kena-mengena antara satu dengan lain tetapi jauh dari yang dapat mereka bayangkan, tidak sedikit sebanyak ada juga peranan atau pertalian yang terwujud lewat perjalanan yang di telusuri hari-hari. Secara tidak langsung setiap tindakan yang kita ambil, akibatnya kelak akan mendatangkan kesan bagi orang lain sama ada positif atau buruk.

Semua cerita yang dibentangkan dalam filem ni aku suka. Mungkin kalau dalam standard Hollywood benda-benda yang diutarakan ini macam biasa saja tapi sebab bukannya selalu dapat tengok filem Chile jadi kita menghargai kepelbagaian budaya yang ditampilkan. Adegan bermula dengan satu perjumpaan dengan para pekerja seks oleh Teresa seorang pengamal perubatan untuk mencegah jangkitan AIDS atau simptom yang berkaitan melalui pemakaian kondom sedangkan di luar pengetahuannya anak remajanya sendiri yang masih bersekolah sedang hamil di luar nikah. Menyusul senario selepas itu kita di bawa mengenali Edmundo yang ada iras-iras Datuk K yang bekerja sebagai pendandan rambut dan jurukecantikan yang sedang dalam kesulitan kewangan untuk membeli kereta. Kalau kat Malaysia ni tentu watak begitu dah jadi ala-ala nyah dah.

Karektor pemain alat muzik clarinet Mario juga menarik diperhatikan yang peluangnya untuk terpilih sebagai anggota filharmonik terjejas kerana di kala sesi ujibakat para juri tidak menumpukan perhatian semasa dia membuat persembahkan. Oleh kerana dia sangat perlukan kerja yang setimpal, lalu dia mendaftar sebagai ahli muzik dengan pasukan tentera walaupun sasaran sebenarnya bukan di situ. Kita kembali kepada watak yang keluar pada awal-awal filem iaitu seorang pelacur yang sedang menderita kerana Aids yang juga merupakan pesakit yang ingin di bantu Teresa tetapi seolah terlalu megah untuk mendapat bantuan. Dia tinggal berdua dengan anak kecilnya di sebuah pangsapuri kusam di samping membilang hari yang tersisa masih ingin menampung hidup dengan kudrat sendiri.

Friday, October 23, 2009

Hantu Di Pejabat

Kawan aku cerita yang kat office dia ada hantu! Oh, sebenarnya dari dulu lagi dia sudah memberitahu pasal ini. Memandangkan Halloween pun dah dekat, jadi sekarang aku nak kongsi dengan korang semua. Kalau dulu setakat terdengar bunyi yang aneh atau perasaan seram menjalar dalam tubuh tidak semena-mena, kali ini usikan hantu tersebut sudah semakin melampau. Ia sudah berani menunjukkan rupanya! Tapi bukan kawan aku yang kena. Officemate dia yang menjadi mangsa sampai lemah semangat budak tu.

Dia cakap boss dia masa mula-mula dia selalu kena stay-back dekat office menyarankan agar dia buat tak tahu saja kalau terasa sesuatu yang pelik-pelik. Walaupun ketika dia dengar boss dia cakap begitu dia terasa sudah tidak sedap hati dan kecut perut juga tetapi nak buat macam mana. Sebab banyak sangat kerja nak disiapkan. Hari-hari mesti balik lambat juga. Terpaksalah dia bertahan selesaikan tugasan pejabat walaupun tahu yang kebarangkalian untuk dia di sakat hantu adalah tinggi.

Peristiwa teman seofisnya di usik hantu tersebut baru saja berlaku minggu lepas. Jadi pihak pengurusan syarikatnya telah mengadakan majlis membaca surah yassin di level itu di samping upacara mistik untuk memulihkan kembali keadaan di sana. Oleh kerana masih baru lagi kejadian ini di alami, tak dapat kawan aku nak pastikan situasi di tempat kerjanya itu sekarang sama ada telah benar-benar aman atau senyap buat masa ini saja. Mungkin kena tunggu lagi perkembangannya seminggu dua lagi akan datang.

Ini adalah bangunan yang sama pernah aku sebut dalam blog ni semasa gegaran gempa bumi melanda bulan sudah. Yang masa aku masuk saja dalam pejabat dia terus diserbu dengan pertanyaan adakah aku terasa bergegar bila naik ke situ tadi. Jangan pula lain kali bila aku masuk ke sana diserbu dengan pertanyaan, adakah aku terserempak dengan mana-mana hantu masa naik ke situ tadi?

Tuesday, October 20, 2009

A Perfect Gateway

Aku memang gemar dengan kisah pelancong atau pengembara yang berkunjung ke suatu tempat asing dan di timpa kejadian tidak di sangka. Misalnya filem Turistas, The Ruins atau Wolf Creek. Percutian yang di harap berjalan lancar dan berlangsung dengan sempurna tetapi tidak menepati perancangan awal kerana di tengah wisata berlaku perkara memusnahkan impian. Bermulalah detik-detik cemas dan ngeri tatkala karektor terlibat akan mula mencari penyelesaian melarikan diri daripada marabahaya.

A Perfect Gateway lebih dari sekadar pelancong yang terjebak dalam nestapa apabila jalan ceritanya di putar 360 darjah sampai aku tengok pun terpaksa buat-buat faham aje. Iyelah masa babak yang keluar gambar hitam putih tu saat “aha, sebenarnya, inilah perkara yang terjadi” penonton depan aku ni sibuk duduk bersembang kat handphone. Kuat pulak tu berborak sakan. Geram aku ni. Langsung tak dapat nak concentrate pada penjelasan yang menimbulkan tanda tanya pada penonton.

Tapi aku dapat juga tangkap sikit-sikit kejutan tersembunyi yang di jalin dalam plotnya. Cuma aku rasa macam ada kejanggalan bila watak utama itu bersungguh-sungguh “berlakon” depan kita semua yang dia punyalah wasangka dengan beberapa orang lain yang disyaki sebagai pemangsa. Hakikatnya orang lain tu yang patut takut dengan dia. Mungkin boleh dimaafkan sebab dia digambarkan sebagai psycho yang bermotif suka mencuri identiti individu lain dan memanipulasi manusia di sekelilingnya.

Pembentukan cerita yang melibatkan teka-teki siapa jahat, siapa yang mulia dan peleraian misteri di saat-saat tidak di duga memang akan terus menerbitkan minatku. Tak kisahlah bagaimana cliché pun olahan drama di beri kerana sebagai penonton aku harapkan ada sesuatu aspek yang mengujakan. File m ini selain itu ada pemandangan landskap yang indah serta pemeran yang meyakinkan.

Monday, October 19, 2009

Inilah Dia

Masa aku beratur untuk beli tiket wayang, aku terperasan ada pasangan depan aku ni tengah membeli tiket awal tayangan This Is It. Oh, dah start jual rupanya. Banyak juga tiket yang couple ni beli. Mesti peminat setia Michael Jackson ni. Atau sekadar ingin memuaskan diri menonton rakaman raptai konsert terakhir Raja Pop yang tidak menjadi kenyataan itu. Aku pula tidak begitu pasti sama ada filem This Is It itu akan aku tengok atau tidak. Rasa-rasa macam nak tengok.

Tidak terfikir pula kita akan muncul sebuah filem begini secara tiba-tiba. Ekoran kematian seorang ikon yang terunggul dalam dunia hiburan tercetuslah ilham untuk memberi penghormatan kepada beliau menerusi cara yang boleh dinikmati semua. Bagi aku ini strategi yang menguntungkan dan praktikal supaya lebih ramai peminat dan pengikut dunia seni dapat menghargai sumbangan, jasa dan tarikan oleh personaliti yang seorang ini.

Michael Jackson yang sejak kecil sudah mendapat perhatian umum melalui aktiviti seni persembahan pentas sehingga sudah kembali ke alam lain pun masih mendapat sambutan. Menjadi tumpuan lensa kamera sejak daripada kumpulan Jackson 5 sehinggalah bergerak secara solo dengan kejayaan yang melampau gemilangnya. Sampai sudah mati pun nampaknya ianya tetap hidup dalam dunia hiburan alam semesta ini.

Thursday, October 15, 2009

Cloudy with a Chance of Meatballs

Dalam suratkhabar Kosmo! hari ni telah memberikan sinopsis filem Cloudy with a Chance of Meatballs seperti berikut

Dunia sudah sampai ke penghujungnya. Filem animasi bencana alam pertama ini menceritakan satu mesin yang dicipta untuk memuntahkan makanan ke bandar yang penduduknya kelaparan. Pencipta mesin itu mahu mendapat perhatian daripada gadis yang dicintainya. Taksub dengan cinta yang diberikan, lelaki itu yang hilang kawalan menyebabkan makanan yang diberi terlalu banyak sehingga gadis itu meninggalkan dia. Bagaimana dia membetulkan keadaan dan memenangi hati gadis itu semula?

Suka-suka hati aje diorang ni ubah jalan cerita filem ni. Part mesin yang memuntahkan makanan itu jer yang betul. Walaupun macam jijik saja guna perkataan muntah tu. Tapi sesuai juga sebab dah terlampau banyak makanan yang turun ke bumi dan di tambah dengan saiz yang besar gedabak sampai nak terjeluak pulak kita. Mungkin itu juga maksud sebenar bencana alam yang di sebut dalam sinopsis di atas. Menjamu selera secara berlebihan memang membawa malapetaka.

Lagipun zaman sekarang ni kebanyakan makanan yang di sumbat ke mulut kita telah menjalani banyak pengubahsuaian, di tambah hormon serta menjalani proses bioteknologi untuk meningkatkan mutu serta membiakkannya dengan segera dan menggandakan jumlahnya. Tak ada banyak bezanya pun seperti yang Flint watak saintis dalam kartun ini cuba buat untuk membantu masalah pemakanan di pulau yang didiaminya cuma kita tak adalah pula boleh menadah atau menganga mulut menanti makanan yang turun bak hujan itu di alam nyata ni.

Memberi terlalu banyak makanan pula boleh menyebabkan seorang gadis meninggalkan kita seperti menurut sinopsis itu lagi. Sebenarnya Flint syokkan seorang gadis pembaca berita cuaca yang datang ke pulau itu untuk membuat liputan. Tak ada pula adegan ditinggal-tinggalkan seperti yang di tulis dalam akhbar tadi. Sebaliknya mereka saling bekerjasama untuk membantu mengatasi masalah mesin penurun makanan yang rosak di atas awan. Memang sangat menghiburkan cerita ni di samping penuh mesej yang bermanafaat.

Tuesday, October 06, 2009

Teater Gamat

Setelah menyaksikan teater Short+Sweet 2009 di KLPac dengan tema yang khusus untuk dewasa beberapa bulan lalu, kali ini aku berpeluang mengikuti teater untuk kanak-kanak pula bertajuk Gamat. Sebagai seorang yang menggemari seafood kenalah aku tengok cerita ni.

Ingat nak sambung tulis minggu lepas entry pasal ni tapi asyik bertangguh. Sampai dah habis pun shownya kat Istana Budaya. Tapi ada seorang blogger telah menulis ulasan yang bernas tentang teater gamat ni. Memang durasinya panjang sangat. Nasib baik tak ada break. Kalau ada break sah-sah penonton yang keluar rehat tu tak nak masuk balik dalam dewan.

Tapi ada jugalah time para penonton boleh menghilangkan rasa sengal semasa segmen yang Amy Mastura dengan dua lagi pelakon utama menerjah ke barisan penonton untuk sesi tanya soalan dan bagi hadiah. Siap boleh ambil gambar lagi tu. Memang sportinglah Amy buat pose-pose kelakar dan mencuit hati apabila di suruh peminat untuk berfoto. Selain itu ada juga part-part lain ketika persembahan berlangsung yang pelakon turut mengajak penonton untuk terlibat sama terutama masa suruh bersenam tu. Aku pun gigih berdiri ni join dengan sebahagian besar yang lain buat aksi yang pelakon tu suruh.

Matlamat utama teater ni adalah untuk menyemai sikap cintakan alam sekitar dalam diri kanak-kanak menurut buku cenderamata yang aku dapat tu. Gamat kan hidupnya di laut jadi menjaga keindahan dan kebersihan samudera adalah inti pementasan tersebut. Cuma macam tak berapa sampai je hasrat yang murni ni kepada kanak-kanak sebab ia lebih banyak melibatkan obor-obor yang jahat dan sotong kurita yang keji. Setelah bersusah-payah ibu gamat merawat sotong yang sakit tu tiba-tiba dia pergi perangkap ibu gamat tu pulak. Motif? Tak ada kena-mengena dengan alam sekitar pun.