Thursday, April 30, 2009

X-Men Origins: Wolverine (2009)

Paling seronok untuk X-Men Origins: Wolverine ini ialah ia lebih banyak aksi lasak dan padat dengan pertarungan berbanding dengan tiga filem terawal. Setidak-tidaknya kali ini tak adalah rasa macam tengok filem Harry Potter. Malah kita tidak merasa tenaga sakti yang mereka ada telah di ekspoitasi secara maksimum masa bergasak kerana masing-masing boleh ditandingi. Beberapa kesan khas untuk menaikkan impak juga tidak mengecewakan. Untuk kepuasan tontonan bertih jagung, boleh sangat pilih filem ni.

Mungkin para pembaca yang komited dengan komik atau sesiapa yang tidak mudah berpuas hati akan mencebik dengan produk ini. Untuk yang tidak mengetahui, ini merupakan prekuel kepada filem X-Men yang pertama. Kita di bawa menyusuri asal-usul Logan dan alter-egonya Wolverine dari kecil sampailah kepada beliau yang kita kenal sekarang. Filem ini di buka dengan cantik terutama montaj variasi jenis perang yang Wolverine serta abangnya Sabretooth sertai sepanjang hayat mereka.

Seperti biasa, Hugh Jackman berada sepenuhnya di dalam elemen untuk bermain dengan karektor sebagai hero beraura serigala ini. Cuma dulu screen time kena kongsi dengan banyak karektor pusat yang lain sekarang wayang ini dia yang punya. Liev Schreiber berjaya mencuri tumpuan sebagai Sabretooth yang ada sejarah dan isu di belakangnya dengan Wolverine sebagai asas kepada plot. Walau nampak tidak seiras lakaran kartunnya berbanding Tyler Mane, Liev memberi Hugh gandingan yang cocok sama ada menjadi sahabat atau seteru.

Sebagai pengikut versi filem X-Men kita telah pun disogokkan beberapa imej tentang Logan yang sering terbayang-bayang masa silamnya menerusi filem yang lepas. Kali ini susur-galur itu dirincikan lagi walaupun tidaklah menyeluruh merangkumi episod hidup masa kecil. Lebih kepada kisah dewasa beliau saja. Jalan ceritanya tidak mendalam atau berlapis kritikan sosial atau mesej berbaur falsafah rumit seperti Watchmen atau Dark Knight, ia menjurus genre adiwira dengan naratif senang dan menghiburkan.

Monday, April 27, 2009

Caramel (2007)

Segala yang mempesonakan ada di dalam cerita ini. Menontonnya terasa bagai dibelai-belai. Aku macam pernah dengar pasal filem ni dulu tapi tak ada gambaran langsung bagaimanakah bentuknya. Lalu bila terpandang posternya di gsc aku harus pergi tengok. Tanpa ada sebarang tanggapan awal sebelum aku memberi rumusan terhadapnya, Sabtu lepas aku meluangkan masa menonton.

Tajuknya itu memang sudah memberi simbolik kepada apa yang ingin di beritahu. Mula-mula aku bayangkan ia ada kena-mengena dengan restoran atau perusahaan makanan. Seperti Chocolat lakonan Juliette Binoche yang langsung merujuk kepada coklat. Caramel memanglah sejenis bahan makanan tapi di sini ia di guna sebagai kaedah buat waxing.

Kekenyalan karamel itu yang melekit, liat dan elastik ibarat ikatan sesama rakan perempuan di sebuah pusat kecantikan di Beirut. Persahabatan mereka yang melekat kukuh walau apa juga masalah dan krisis melanda mereka cuba hadapi bersama. Namun seperti karamel yang manis sebagai pembuka selera, ia juga boleh menjadi tersayat pedih kalau dijadikan ramuan mencabut bulu! Setiap individu di dalam kelompok wanita ini mempunyai konflik hidup mereka tersendiri di dalam lingkungan moden namun masih menjunjung nilai-nilai tradisi Asia Barat yang kian terhakis.

Nadine Labaki selaku pengarah dan pelakon utamanya berjaya membawa kita menyingkap secebis pengalaman beberapa wanita bersandarkan persekitaran yang jarang diketengahkan kecuali perang dan pergolakan politik di rantau itu. Filem ini sangat memikat daripada aspek ceritanya yang boleh di kira taboo untuk diperkatakan mengikut konteks masyarakat di sana seperti hilang dara, sukakan kaum sejenis dan bercinta dengan suami orang. Visual yang cantik serta muzik latar yang meransangkan melengkapi kisah yang syahdu ini.

Thursday, April 23, 2009

Crossing Over (2009)

Memang tidak dapat dinafikan yang terdapat persamaan antara Crash dan Babel dengan filem ini. Terkandung variasi pertembungan watak dan peristiwa untuk menjalinkan naratif di dalam membentuk plot. Malah Crossing Over ini tetap memainkan tema serupa dengan dua filem tadi yang melibatkan sosio-budaya, warna kaum, kepercayaan, latar-belakang, fahaman dan seumpamanya. Karektor yang terbentuk melalui unsur kebetulan bagai menjamin yang hidup tidak dapat lari jauh dari saling terikat sesama manusia.

Jalan cerita dalam filem ini terasa dekat dengan keadaan di Malaysia. Seperti yang diceritakan dalam Crossing Over, mana-mana negara yang di anggap lebih makmur dan ada begitu banyak peluang untuk memajukan diri akan menjadi tumpuan warga asing berhijrah ke situ. Dalam filem ini yang berlokasi di Los Angeles, pelbagai bangsa dari merata negara bergelut untuk melepasi karenah birokrasi imigresen dan undang-undang untuk mendapat taraf warganegara yang sah di Amerika. Seperti juga dengan negara kita yang ramai pendatang tanpa izin sanggup bergadai nyawa dan mengambil risiko demi untuk terus bermastautin dan mencari rezeki di sini, sama juga gambarannya dengan keadaan di negara Pakcik Sam itu.

Kadang-kadang tidak sampai kepada akal kita yang waras betapa terdesaknya mereka semua ini untuk lari dari negara asal semata-mata untuk mencari kehidupan di bumi orang sampai melampaui batas. Daripada pelbagai jalur cerita yang dipaparkan, kita ditemukan dengan aneka masalah, situasi dan ragam yang mencabar pihak berkuasa di sana untuk menanganinya sehingga menimbulkan dilema antara mematuhi dasar pemerintah dan garis kemanusiaan. Wayne Kramer selaku penulis dan pengarahnya bagiku telah menggarap cerita ini dengan baik memandangkan begitu banyak kisah yang berselirat dan kena di telusuri.

Dulu aku pernah tengok satu filem macam ni bertajuk Dirty Pretty Things. Cuma dalam tu sudut pandangnya adalah melalui imigran yang berhijrah ke UK itu. Manakala dalam Crossing Over paparannya menyeluruh antara pihak berkuasa dan pendatang. Hidup di negara mana pun asal saja ada kemahuan dan usaha serta berlandaskan saluran yang betul sekurang-kurangnya dapat menenangkan diri.

Sunday, April 19, 2009

The Uninvited (2009)


Oleh kerana selalu sangat melihat trailernya berputar di pawagam, aku merasa jelak. Tetapi setelah menonton filemnya sendiri, aku harus berterima kasih kepada trailer yang licik itu. Ia langsung tidak memberi gambaran apakah sebenarnya misteri yang berlaku di persekitaran mereka. Ok, semua ini tidak lagi menjadi surprise kepada anda kalau sudah tengok versi asalnya.

Macam juga Shutter yang aku sudah tengok filem awalnya terbitan Thailand dan apabila keluar edisi remakenya lakonan Joshua Jackson, telah merosot elemen kejutan yang sepatutnya menunggu di penamat. Malah The Uninvited ini sendiri sudah beberapa kali tergantung proses penyiapannya malah tajuknya juga turut di ubah daripada A Tale of Two Sisters seolah ia bukan satu hasil salinan semula. Strategi tersebut bagiku agak berkesan kerana judul itu agak menjurus kepada plot yang sepatutnya dirahsiakan.

Anna Rydell, seorang remaja yang sedang di tahan di hospital sakit jiwa akhirnya dibenarkan pulang ke rumah oleh doktor yang merawatnya setelah disahkan sembuh dari penyakit. Dia di jemput oleh bapanya yang kelihatan gembira anak gadisnya kembali pulih lalu membawanya balik ke rumah agam mereka. Apa yang menanti di sana selain kenangan pedih tentang ibunya yang maut dalam kebakaran adalah bakal ibu tirinya yang juga merupakan mantan jururawat peribadi ibunya dulu. Dia mengesyaki kekasih bapanya itu merupakan dalang kepada kematian ibunya setelah mendapat mimpi dan petanda ngeri melalui beberapa kejadian supernatural. Lalu dia berpakat dengan kakaknya Alex untuk membongkar muslihat jururawat berkenaan.

Memang ada beberapa elemen seram dan mengejutkan dalam The Uninvited untuk memberi kesan horror. Tetapi apa yang paling berjaya di sini ialah jalan ceritanya. Mungkin tidak ada yang baru daripada segi plot tetapi penulisnya masih mampu bermain dengan kreativiti untuk menjadikan ia tetap menimbulkan wow!

Wednesday, April 15, 2009

Paus Biru

Petang Ahad yang lepas aku dengan gigihnya pergilah ke MidValley untuk melawat baby terbesar di dunia. Anak ikan paus biru itulah maksudku. Hujan-hujan pun sanggup ni meredah banjir segala untuk ke sana. Kat KL ni kan hujan sikit pun air dah naik tahap buku lali. Sampai juga aku ke MidValley dalam pukul 4 macam tu.

Sebenarnya aku terbaca rencana pasal pameran ini dalam Berita Harian hari Sabtu tu baru tergerak hati nak pergi. Padahal selalu ternampak iklan dia dalam saluran National Geographic. Tiba saja di sana terus aku melangkah ke ruang legar di mana replika haiwan marin itu ditunjukkan.

Ketika ni sudah ramai orang berkerumun menyaksikan anak ikan paus itu nampak macam tergantung menjalar di udara. Ada yang sedang bergambar, menonton visual dokumentari melalui televisyen di situ, membeli cenderamata, membaca deskripsi yang terpapar di bahan pameran dan aku sendiri turut menyertai mereka mengagumi paus biru berkenaan dan membeli satu barang. Aku pilih benda yang tak mahal sangat. T-shirtnya hampir seratus ringgit sehelai. Aku rasa pensil ialah barang termurah yang di jual di situ, RM 10 sahaja.

Hasil dari pembelian pengunjung akan menyumbang kepada dana National Geographic untuk meneruskan usaha melakukan pengembaraan, kajian saintifik dan proses pemuliharaan terhadap flora dan fauna serta sebarang aktiviti penemuan dan pendidikan demi umat sejagat. Sekejap je aku pusing ruang pameran tu. Lagipun aku dah baca artikel mengenai kisah hidup paus biru ni dalam suratkhabar tadi. Aku percaya dengan kehalusan kerja tangan yang di buat terhadap replika haiwan ini yang seratus peratus menyerupai anak ikan paus sebenar.

Kalau anda rasa sudah puas dan biasa menonton hidupan ini dalam program dokumentari melalui saluran itu, kini anda boleh juga menyaksikannya berlakon. Kerana ikan paus ini turut membuat cameo dalam filem Queens of Langkasuka yang sedang ditayangkan sekarang… hahaha…


Foto ehsan daripada http://bangsawan-nilai.blogspot.com. Terima kasih

Thursday, April 09, 2009

Righteous Kill (2008)

Kedua pelakon veteran ini kembali bergabung setelah bersama-sama membintangi filem Heat pada tahun 90-an dulu. Sudah tentulah Heat lebih mantap daripada filem Righteous Kill yang sekadar boleh aje ni.

Mula-mula tengok tu agak pening nak serap apa yang mereka paparkan dekat layar. Dengan scene yang kejap-kejap melompat sebab kena sensor bab mencarut tu, dengan adegan flash forward serta suara periwayat dan juga adegan masa kini yang bercampur-aduk dengan imbas kembali, memang serabut habis. Sukar untuk kenalpasti apakah bendanya yang filem ini ingin utarakan. Masa tengah menulis ini pun aku dah lupa apakah perkara yang aku tengok pada awalan kisah.

Secara ringkasnya, pada pengenalan filem ini ada dua polis veteran yang berjuang untuk menentang jenayah di bandar mereka. Tapi salah-seorang dari mereka bukanlah polis yang baik. Kita dah tahu awal-awal lagi sebab ada adegan rakaman pengakuan di satu cctv. Ia lebih kurang macam siri tv Dexter yang ahli forensik itu membunuh mereka yang di fikirkannya layak walaupun undang-undang telah membebaskan pesalah tersebut. Namun dalam pada itu ada dua orang polis muda yang sedang menyiasat, melihat ada keraguan dalam beberapa kes bunuh yang mempunyai pattern yang mirip.

Seperkara lagi, aku rasa jalan ceritanya bukan saja berkisarkan pegawai polis yang ingin membasmi kebejatan walaupun terpaksa dilunaskan menerusi peraturan sendiri, ia juga mengenai persahabatan dua lelaki. Sehingga lelaki yang seorang lagi mengangkatnya sebagai idola. Ramai yang kutuk filem ni mungkin diorang harapkan ia jadi lebih baik terutama gandingan Robert de Niro dan Al Pacino.