Wednesday, November 28, 2007

Merentas Semesta

Kalau kamu peminat tegar The Beatles, pasti fikiran kamu akan ligat mengait atau mencantum susun atur adegan dan sinambungan setiap laras cerita dalam filem Across the Universe ini dengan legenda muzik tersebut. Itu pun jika kamu tahu terlebih awal bahawa filem ini ada ada kena-mengena dengan kumpulan itu (merujuk kepada lagu dan kerja-kerja muzik mereka). Ia akan lebih memudahkan malah membuat kamu tidak senang duduk menyenaraikan segala references yang dihidangkan.

Mendengar nama watak utama filem ini adalah Jude saja sudah buat aku ingin menjerit “Hey…!”

Daripada Julie Taymor yang filemnya sebelum ini tidak habis aku tonton, Frida (pasal dvd tersekat-sekat) ini naskhah yang sangat releven untuk situasi sekarang di Amerika atau di mana-mana jua berkenaan polisi negara itu yang mencerobohi kedaulatan negara lain atas nama menghapuskan keganasan dengan bertindak secara ganas juga. Namun ia dipersembahkan dalam genre muzikal, bukan drama seperti Lions for Lamb atau aksi seperti The Kingdom. Malah ia juga bukan berlatar-belakangkan zaman kini sebaliknya kita di bawa ke tahun-tahun 60-an dan 70-an ke era perang Vietnam.

Kerana The Beatles yang begitu idealis menerusi lagu-lagu mereka mempengaruhi dan menyebarkan kemanusiaan, memupuk kasih sayang dan menyemai toleransi secara puitis dan berseni. Ia memang berceretek di dalam filem ini walau ada yang boleh di ambil secara surface seperti semasa poster Uncle Sam itu menyanyikan “I Want You” malah ia juga eksentrik dengan rendisi “Being for the Benefit of Mr. Kite!” di waktu mereka masuk ke khemah sarkas dan “Let It Be” yang menyentuh emosi tatkala di perkuburan.

Kalau berkesempatan apabila Across the Universe bermain di pawagam nanti, pergilah tengok. Penonton tidak ramai pun semalam di tgv yang buat promosi menerusi kupon percuma dalam suratkhabar. Walau terasa agak panjang tetapi dengan jalinan lagu dan plot yang berpadu cantik dan kena, langsung ia menafikan kebosanan. Kamu tidak perlu pun meminati The Beatles atau menjadi radikal seperti kumpulan subversif untuk menghayatinya. Apa yang perlu hanyalah, kamu harus sebarkan semangat cinta sesama insani.

Saturday, November 24, 2007

Berkereta Horror

"Don't forget to breathe,"

Demikian beberapa kali nasihat ahli pskitiari bernama Orianna yang sedang dalam proses memulihkan pesakitnya, Penny Deerbon lakonan Rachel Miner yang mengalami trauma terhadap kereta ekoran kemalangan jalan raya yang melibatkan kedua ibubapanya terbunuh semasa dia kecil dahulu. Jadi caranya, dia membawa kembali Penny dalam satu perjalanan berkereta ke tempat di mana kejadian malang itu bermula. Well, kamu tahu di sini episod pemanduan mereka tidaklah semudah yang di rancang.

Manakala aku sendiri yang tidak merancang menonton filem ini tapi setelah membaca ulasan ringkas dalam The Star semalam, tiba-tiba rasa tertarik pula ingin menontonnya. Dan seperti menurut nasihat pakar tersebut, jangan lupa untuk menarik nafas dengan tenang kerana sama juga macam Penny, aku juga bagai tak bernyawa bila filem horror seperti ini cuma aku seorang saja yang menontonnya. Takut juga sesekali.

Filem ini mengingatkan aku macam The Hitchiker yang pernah ku tengok dulu. Okey lah jalan ceritanya walaupun di sini kita hanya tertumpu pada watak Penny itu semata-mata bergelut untuk menyelamatkan diri. Dia memang berjaya membuatkan kita bersimpati dengannya di atas faktor psikologi yang di alami serta situasi yang tidak menyebelahi nasibnya. Tapi rasa macam melampau pula bila terdapat prospek yang ingin membantu perempuan ini semuanya kena cantas.

Aku juga tidak faham kenapa rating filem ini 18SG. Ia tidak ada elemen ganas yang menyinggung pun berbanding Beowulf yang lebih ekstrem. Manakala pelakon famous yang terlibat dalam filem Penny Dreadful ini cuma Mimi Rogers, itu pun terpaksa berlakon "kayu" di separuh kedua durasi.

Thursday, November 22, 2007

"Asteroid"

Akan jatuh sebuah lagi asteroid Disember nanti seperti yang diramalkan oleh seorang ahli nujum yang berasal jauhnya beribu batu dari tempat berpunca. Tapi dalam rancak bersamba dan membuat capoeira, sempat pula menelek bencana bakal menimpa di tempat sama. Kali ini entah berapa ratus atau ribu nyawa lagi yang akan tewas seperti yang pernah dunia saksikan semasa kejadian pertama dulu. Belum pun sembuh luka yang lama telah timbul pula berita begini waima ia sekadar cakap-cakap yang belum dapat di maktubkan kesahihannya. Namun tiada salahnya ambil iktibar mana terdaya.

Apabila dikenangkan, tragedi seperti ini bukan semata-mata mempalitkan lara pada yang tertimpa sebaliknya turut meledakkan ilham pada yang lain. Batu angkasa yang menghentam keras bumi serambi Mekah menyebarkan sisanya ke pelusuk atmosfera ke hampir separuh dunia sehingga garisan hidup dan mati seakan tidak berbeza. Padahal mereka tidak lagi membuat perkara mungkar jika dulu itu peringatan yang ingin ditunjukkan Tuhan, maka insaf sungguh mereka semua kini.

Peristiwa pertama yang abadi dalam fikiran dengan takbir dan taubat bergema-gema membungkus tubuh kerdil dan hati yang cuma mampu akur. Siapa lagikah yang degil masih belum berbekas petanda dahulu atau iman umpama rollercoster yang tidak tetap darjah paksinya? Atau ini satu lagi kifarah yang didatangkan menjadi tebusan bagi menghapuskan dosa atas keterlanjuran?

Semoga musibah yang singgah tidak begitu memusnahkan. Namun masih juga tersimpan harapan agar tertepis ramalan bencana tidak menjadi nyata.

Tuesday, November 20, 2007

Clash of the Titans

Mungkin aku tak tahu bagaimana menyebut nama Richard Gasquet dengan betul tapi thanks to Mahadzir Lokman yang beberapa kali mewar-warkan nama itu di tv sebentar tadi, maka ia sudah jelas. Tapi aku tak pasti pasal nama Menteri Belia dan Sukan yang beliau sebut tu.

Datuk Azalina Aziz?!

Atau aku salah dengar?

Anyway tahniah kepada Rafael Nadal yang menjuarai acara tenis pertunjukan Clash of the Titans di Stadium Malawati beberapa minit lalu. Satu permainan yang aku fikir tidak begitu memberangsangkan. Namun mereka yang sempat hadir di stadium malam ini sudah lebih dari berbaloi dapat tengok sendiri di depan mata pemain yang diminati beraksi secara langsung.

Lagi satu yang agak kelakar dan malu jugak aku rasa bila trofi kotak kaca yang berisi hiasan wau bulan di beri kepada Gasquet mula-mula macam nak tercabut dari plaknya. Gam tak cukup kuat agaknya.


kredit foto: The Star

Thursday, November 15, 2007

Semburlah

Bercakap pasal semburan ... ehemm hari Sabtu yang lepas kita dapat melihat imej-imej manusia yang kena sembur di kawasan Jalan Melaka dan Masjid Jamek.



Gambar-gambar di petik daripada laman web ni. Harap tuan punya gambar tak marah sebab ambil tanpa kebenaran http://flickr.com/photos/najiblaa/1979167103/in/photostream/

Monday, November 05, 2007

Semburan Si Pemalu

Ini petikan dari suratkhabar Mingguan Malaysia semalam.

Penawar bagi mereka yang rasa rendah diri dan malu. Para saintis Universiti Zurich berjaya mencipta semburan hidung yang di dakwa mampu meningkatkan keyakinan diri dan mengurangkan rasa malu.

Kajian awal mendapati 70 orang dewasa yang mencuba semburan ini menunjukkan perubahan dramatik dari segi sikap.

Semburan ini adalah versi sintetik oksitoksin, iaitu hormon yang memberi kesan terhadap tindak balas rasa takut dan mengurangkan kerisauan. Ia dihasilkan oleh badan sebagai sebahagian proses induksi ketika bersalin.

Penemuan itu dipertontonkan ketika Kongres Neurosains Sedunia oleh Dr. Markus Heinrichs. Percubaan besar sedang di rangka dan jika ia berjaya, semburan hidung ini mungkin akan memasuki pasaran dalam masa lima tahun lagi.


Err... mungkin aku patut dapatkan satu?