Tuesday, August 29, 2006

Snakes on a Plane Tak Patut Dilepaskan


Siapa saja yang bagi idea untuk buat filem ni patut kena belasah dan humban dia dalam sangkar yang penuh dengan ular beraneka genetik. Biar dia kena belit dan kena patuk! Hahaha..... filem yang bikin orang geli-geleman sampai terasa macam ada ular pulak menyusur kat bawah kaki kerusi ni. Definately a must watch.

Apa yang hendak aku cakap tentang filem ni? Tajuknya saja adalah spoiler kalau itu yang korang harap ada benda surprise lain untuk tambah terkejut. Rasanya tak ada binatang perkara yang lebih mengejutkan selain daripada tak semena-mena beratus-ratus ular berbisa merayap di sekeliling anda tatkala anda berada dalam silinder besi... kapal terbang ler tu. Macam mana nak lari dalam ruang terhad dan ular saja yang kita nampak bersepah-sepah menyusur di segenap pelusuk.

Satu benda yang penting untuk anda ketahui ialah bagaimana reptilia beracun ini boleh berada dalam kabin? Siapa yang buat angkara menyeludup mereka dan apa yang menyebabkan mereka boleh terlepas dari kurungan. Satu fakta menarik ialah penerbangan ini berlepas dari Hawaii, sebuah kepulauan yang bukan menjadi tempat ular berasal. Apa yang menarik lagi ialah anda juga dapat shot dari sudut pandangan ular sebelum ia mula menyerang mangsanya. Ini adalah B-Movie yang cuba naikkan sikit taraf B-Movienya dari yang kita ketahui.

Kalau sebuah pesawat itu di beritahu akan terhempas bila-bila masa saja dari sekarang, memang pastilah jantung kita mula berdegup kencang. Bayangkan pula sebelum terhempas tu tiba-tiba ada pulak serangan daripada ular-ular. Double kencang lah jawabnya. Jadi pasang tali pinggang keledar anda dengan kemas, duduk diam-diam dan enjoy the fright!

Monday, August 28, 2006

Di Mana Kebenaran Berbaring

Benarkah kita betul-betul obses ingin tahu selok-belok kehidupan artis? Apakah kenikmatan yang kita boleh perolehi daripadanya? Bagaimanakah kita boleh lampiaskan kepuasan itu dengan ambil-tahu setiap inci ceruk apa yang artis itu buat, pergi, singgah atau menghala? Siapakah yang paling untung di sebalik semua ini?

Karen O’Connor (lakonan Alison Lohman) ingin menulis biografi idolanya pasangan komedi tahun 90-an yang popular Vince Collins dan Lanny Morris (Colin Firth dan Kevin Bacon). Mereka di anggap sebagai heronya terutama apabila semasa kecil beliau mengidap sakit polio tetapi berjaya mendapat rawatan ekoran telethon yang diacarakan pasangan tersebut. Ada satu episod penting dalam karier duo ini pasal perpisahan mereka dari dunia showbiz secara mendadak yang masih diselimuti misteri serta tiada liputan lanjut. Tambahan pula apabila sebelum itu mayat seorang gadis di temui dalam bathtub suite mereka.

Tinggalkan dulu kenapa ada orang berminat ingin menulis kisah hidup orang lain sama ada mereka artis atau tidak atau mereka tiba-tiba saja menjadi selebriti disebabkan oleh hal-hal yang digembar-gemburkan. Indikator yang boleh kita pegang di sini ialah faktor menarik minat orang untuk mengambil tahu seterusnya membaca produk tersebut. Faktor berkenaan haruslah sensasi dan menjadi buah mulut masyarakat. Kita semua kan suka menjaga tepi kain orang lain.

Tetapi macam mana kita ingin memastikan apa yang bakal di baca itu betul-betul satu kebenaran yang ingin orang ramai tahu atau ia hanyalah publisiti sebagai bahan pelaris? Dan jika kita sanggup menulis, sejauh mana kita ingin menggali rahsia yang terpendam selama ini demi untuk menghebahkan kepada peminat? Apakah batasan moral atau material yang sanggup kita gadai atau pertaruhkan dengan membongkar skandal yang tertutup selama ini.

Itulah antara beberapa isu yang terpaksa Karen tempuhi demi untuk mendapatkan bahan-bahan yang dia perlu dalam bukunya. Perlahan-lahan dua lelaki yang selama ini di anggap wira di hatinya mula pecah tembelang siapakah mereka yang sebenar. Persona yang di tonjol atas pentas tidaklah kemilau mana cahayanya malah menyakitkan mata. Kita ditunjukkan juga bagaimana sebagai penulis Karen terpaksa memanipulasi keadaan dan menganalisis secara rinci maklumat yang diperolehi untuk mengawal situasi tertentu.

Seperti mana tajuk filemnya, Where the Truth Lies seakan memberi amaran kepada kita bahawa letak duduknya satu kebenaran adakalanya menjadi samar atau boleh jadi satu penipuan sama sekali. Jika lebih banyak lapisan yang tersingkap kadang-kadang cuma akan mengaibkan empunya badan sendiri. Malah ada baiknya kita terus melihat saja façade seperti yang mereka ingin pamerkan pada media atau memandang dari kaca mata orang biasa yang malas untuk membuang masa mengambil tahu hal-hal peribadi artis.

Wednesday, August 23, 2006

Tinggal Saja

Kamu pernah kena langgar? Atau di timpa kemalangan jalan raya? Kalau kamu pernah di langgar tentu kamu tahu bahawa pada ketika itu suasana sekitar kita bergerak terlalu perlahan, terlalu berhati-hati. Kalau kamu pernah menonton tayangan mana-mana filem, adakalanya satu-satu babak di buat dalam bentuk slow-motion supaya kita turut merasakan apa yang pelakon jiwai, supaya nampak hidup dan berpadu dalam konteks.

Macam itulah visual yang akan kamu dapat apabila kamu kena langgar. Kamu bagaikan di awang-awangan, begitu lambat dan masa seakan terhenti. Tetapi dalam sekelip mata juga suasana tiba-tiba menjadi drastik. Kamu jatuh dan tercedera lalu barulah kamu sedar yang kamu berdarah. Kamu bukannya statik dan “Stay”.

Stay adalah sebuah kisah yang sulit. Ini adalah psychological thriller yang memeningkan kepala. Ketika mula-mula kamu mengharapkan ia mesti ada twisted ending, sebenarnya ia bukan. Kita ingatkan ia tidak menurut turutan tapi ia tidaklah melangkau-langkau. Tatkala kamu rasa yang wataknya cuma bermimpi tetapi ia adalah real. Mungkin kita boleh anggap bahawa ianya separa sedar. Tetapi siapakah sebenarnya yang berhalusinasi?

Ada persamaan antara tiga watak tunjang dalam filem ini. Sam seorang psikiatrist, kekasihnya Lila adalah bekas pesakitnya yang pernah cuba membunuh diri juga seorang pelukis dan Henry seorang pelajar art yang dalam proses membunuh diri. Seni dan suicide bersatu membentuk asas filem ini seperti kebanyakan daripada kita yang tidak memahami maksud seni abstrak. Begitu juga kita tidak faham kenapa seseorang perlu membunuh dirinya.

Stay cuba melanggar semua teknik penceritaan yang konvensional. Perlahan-lahan apabila kamu sampai ke penghujungnya barulah kamu sedar di manakah kamu berada. Lalu kamu cuba mencantum semula realiti walaupun ia sesuatu yang tidak pernah kamu alami. Walaupun kamu tahu ia tak ada logika.

Monday, August 21, 2006

Lif Tanpa Cahaya

p/s: Entry bertajuk “Lif Tanpa Cahaya” tu sebenarnya adalah teaser trailer sahaja untuk entry penuh yang aku nak beritahu hari ni.

Lif yang dimaksudkan masih berjalan seperti biasa cuma lampunya saja yang tidak berfungsi. Bila pintu terbuka di ground floor, beberapa orang yang sedang menanti tergamam melihat lif yang gelap-gelita. Tapi kami semua lima orang masa tu masuk juga ke dalam sebab dah lama tunggu. Lagi pun nak takut apa, ramai orang kan.

Salah.

Mula-mula memanglah ramai. Tapi bila lepas seorang demi seorang keluar di tingkat terawal, last-last tinggal aku seorang. Cepat decide macam-mana ni, nak terus jugak naik lif sampai ke level office aku tu atau keluar bersama orang terakhir di tingkat yang dia nak pergi.

Dan orang terakhir itu ialah seorang apek yang baik hati dengan membantu menerangi ruang lif yang gelita melalui nyalaan lighter. Seorang apek yang tua memetik lighter dekat dengan mukanya lalu api turut membias raut-raut kedut wajahnya sambil mulutnya menyeringai. Masuk-masuk saja dalam lif yang tak ada lampu itu tadi orang tua tersebut terus menyalakan lighter.

Empat orang pengguna lif yang lain semuanya lega dapat berkongsi sekelumit cahaya daripada pemetik api termasuklah aku.

“Manyak gelap woo... nasib baik saya ala lighter....hehhehheehe...” ujar apek.

“Ye...ye... tengkiu....tengkiu......” balas semua yang lain dengan nada gembira.

Bila aku tengok cahaya dari panel nombor di sisi pintu lif menandakan dua lagi tingkat nombor yang masih belum padam dan masa tu tinggal aku dan apek saja dalam lif bermakna sahih lah aku orang terakhir yang akan berada di situ. Apek tersebut mesti keluar di level 4 dan aku pula akan keluar di tingkat 8.

Alamak, nak buat macam mana ni? Sanggup ke aku duduk seorang diri dalam tu sampai ke level 8? Di buatnya tak ada sesiapa yang dari tingkat 5 dan ke atas ingin ke tingkat 8, bermakna sepanjang masa itu lah aku akan bersendirian, sunyi, gelap, terkurung dan terpisah.

Dan biasanya memang tak ada orang dari tingkat-tingkat tersebut nak naik ke pejabat aku tu. Bukannya ada urusan apa pun. Walaupun bukannya lama sangat aku akan bergelap dari level 4 ke 8 namun aku rasa satu macam panik dah menyerang. Inikah yang di panggil panic attack?!

Tiba-tiba apabila lif berkenaan berhenti di tingkat 4 aku pun keluar sekali dengan si apek.

“Eh, you mukan nak pegi tingkat 8?” tanya si apek.

Aku tersengih-sengih.

“Tak jadi lah nak pergi tingkat 8, saya turun sini jer lah….hehe….”


Cerita telah diubahsuai sikit untuk menimbulkan kesan dramatik. Teaser untuk entry 17 Ogos itu sebenarnya telah diinspirasikan dari teaser trailer filem Snakes on a Plane

Sunday, August 20, 2006

Who's Afraid of Monster House


Semua orang takut kepada rumah berhantu. Usahkan kanak-kanak, orang dewasa pun takut. Kalau biasanya rumah yang disyaki berpenunggu atau ada hantu ni adalah rumah kosong dan ditinggalkan, sekarang rumah yang ditakuti ini masih didiami orang. Itulah yang kita panggil “Monster House”.

Semua orang di kejiranan itu tahu yang Encik Nebbercracker ialah si tua kerepot yang tinggal seorang diri di rumah usang yang misteri. Ada satu mitos tentangnya yang menjadi buah mulut penduduk sekeliling – Nebbercracker telah membunuh isteri beliau lalu memakan mayatnya. DJ ialah seorang budak pra-akil baligh yang duduk di rumah hadapan selalu merasa intrig dengan rumah berkenaan dan tuannya lalu meneropong untuk menyiasat.

Ini adalah cerita tipikal Amerika tentang budaya Halloween mereka. Apabila Chowder rakan karib DJ mengajaknya pergi trick or treat, dia menolak dengan alasan itu adalah aktiviti untuk budak-budak sedangkan dia sudah mengalami pecah suara. Semasa sedang skodeng rumah di depan itu juga, tiba-tiba teleskop mereka terarah pada seorang remaja perempuan yang ingin menuju ke rumah puaka. Tidak semena-mena hormon merembas dan mereka berdua berusaha menarik perhatian si gadis. Ya, menarik perhatian dengan cara menyelamatkan gadis tadi, Jenny daripada di telan oleh rumah raksasa.

Di telan bukan sekadar harafiah di sini sebaliknya ia adalah kenyataan. Apabila melihat tagline filem ini “The House is Alive” memang ia maksudkan begitu. Lalu mereka bertiga ingin memusnahkan mitos yang menjadi igauan kejiranan itu selama ini tentang rumah yang tidak friendly. Kenapa boleh wujud rumah yang sebegitu aneh dan mengancam? Bagaimanakah caranya untuk menghentikan semua ini? Dengan jalan cerita yang mengujakan serta lakaran animasi yang licin, ia memang filem yang menghiburkan.

Nampaknya Amerika telah mendidik anak-anak mereka sejak kecil lagi supaya menyibuk untuk mencari “monster” di rumah orang sedangkan “monster” itu sebenarnya berada dalam rumah mereka sendiri.

Untuk itu kita sepatutnya merasa takut …….

benar-benar takut.

Thursday, August 17, 2006

Lif Tanpa Cahaya : Teaser

Achluophobia - fear of darkness


Cleisiophobia - fear of being locked in an enclosed place


Autophobia - fear of being alone or of oneself


Kenophobia - fear of voids or empty spaces


Spectrophobia - fear of specters or vision or ghosts



Kalau anda fikir yang anda berani untuk menaiki lif yang blackout seorang diri ke tingkat atas yang anda ingin tuju ...
;
:
:
;
:
:
:
;
:
:....... fikir semula

;)

p/s: aku rela panjat tangga.

Tuesday, August 15, 2006

Perkataan

Petang semalam di sebuah kedai dvd, aku tengah membelek-belek album koleksi dvd yang kedai tu jual. Kemudian masuklah tiga orang gadis Arab. Berkelubung hijab hitam dari hujung kepala ke kaki. Mereka meninjau-ninjau sambil bercakap dalam bahasa mereka. Tiba-tiba lengchai yang jaga kaunter tu menyapa mesra,

“Hello, what can I do for you my habibi?”

Aku pun menoleh ke arah lengchai tadi selepas dia berkata-kata macam tu. Minah Arab tu pulak macam tak percaya apa yang dia dengar lantas bertanya,

“What did you say?” dia bertanya sambil tersenyum manis.

Walaupun aku memang mendengar ucapan tersebut tetapi rasa tidak begitu pasti dia menyebut habibi. Itu bahasa Arab. Habibi itu maknanya kekasihku dalam BM. Kemudian pemuda Cina tadi melayan minah Arab tu membelek folder dvdnya sambil aku pasang telinga. Minah tersebut lalu berbual-bual dengan “kekasihnya” itu tentang dvd yang ingin di beli. Dengarnya macam nak cari cerita kungfu.

Alhamdulillah, anda dapat belajar satu perkataan Arab hari ini.

Wednesday, August 09, 2006

M. Night Khayalan


Night maknanya malam. Bedtime Story? Beliau mungkin tak tahu yang namanya bermaksud malam apabila diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Sebuah nama yang nampaknya layak menjadi pencipta kisah-kisah sebelum melelapkan mata. Adakah Lady in the Water begitu membuaikan? Adakah kita akan terlena kerananya?

Shyamalan memberitahu yang filem ini berdasarkan bedtime story yang selalu beliau ulitkan untuk anak-anaknya. For the record, I’ve never heard this fable before. Jadi aku menganggap yang beliau telah merekanya. Sebenarnya itu tidak penting sama ada cerita rakyat ini di ambil dari sumber yang sedia ada atau rekaan baru. Ini adalah idea yang ampuh daripadanya cuma kita masih perlu berhati-hati tidak terperangkap di dalam permainan penamat Shyamalan yang ai-ai twist!

Jika anda masih ingat dengan Unbreakable maka begitulah Lady in the Water. Ia bukan ada persamaan yang linear tetapi cara beliau memberi manifestasi terhadap gaya yang lazim bagi sesuatu genre melalui menongkah arus memang patut di puji. Unbreakable sepatutnya adalah jelmaan superhero bagi Shyamalan tetapi di bikin tanpa terbang-terbang, spender di luar, kuasa luar biasa secara superficial, musuh-musuh yang aneh dan sakti dan sebagainya. Sama juga Lady in the Water. Ia adalah Lord of the Ring atau Narnia kepada beliau.

Seorang dewi laut yang pucat dan rapuh tiba-tiba muncul dalam hidup seorang penjaga pangsapuri bernama Cleveland Heep. Dewi laut dan pangsapuri adalah tidak cocok untuk satu zaman yang sama. Kita juga ada scrunts (sejenis binatang macam anjing tapi berduri), ada tartutics (macam mawas tetapi pelik) di samping majlis cocktail, band, rumah yang moden serta peralatan canggih tetapi berselit watak-watak dari alam fantasi dalam sela-sela kehidupan manusia biasa.

Walaupun payah untuk menghadam karektor manusia biasa yang menjadi penghuni apartmen tersebut, tetapi merekalah yang paling menarik untuk diperkatakan. Salah seorang dari mereka ialah Mr. Farber seorang pengkritik filem yang baru berpindah ke sana. Perhatikan semasa beliau dalam lorong dan bertembung dengan scrunts lalu keadaan menjadi getir dan cemas, tetapi ianya hilarious. Begitu juga dengan sekumpulan lelaki yang asyik merokok dan bermalas-malasan, bapa dan anak lelakinya yang ralit dengan teka silangkata, perempuan Cina dengan suara nyaring yang banyak membantu Heep menafsirkan hikayat dewi lautnya dan ramai lagi.

Kita mungkin tidak faham dengan jati diri semua manusia di sana yang berkongsi bumbung yang sama lalu terperangkap dengan makhluk cerita dongeng. Tetapi mereka semua ada tujuan masing-masing tanpa di sedari. Di sini peranan mereka adalah membantu melepaskan semula dewi laut pulang ke dunianya. Tetapi ianya tidak semudah itu dan kalau anda rasa teringin menjadi kanak-kanak semula, inilah masanya!

Monday, August 07, 2006

Konsert Akhir di Bukit Jalil

Hey, aku bayar bil Astro bukan sebab nak tengok Konsert Final AF di stadium! (hahhaha… tiba-tiba jer macam naik angin, padahal tak kisah pun). Kalau tahun lepas di Stadium Malawati Shah Alam, tahun ini aku di Stadium Putra, Bukit Jalil pula. Pergi pun lebih kepada ingin menemankan rakan yang teringin sangat nak rasa suasana konsert AF. Baiklah, aku pun bukan ada kerja sangat hari tu. Walaupun aku tak berapa sihat, rasa nak demam dan macam nak muntah tapi aku pergi juga ke sana.

Nasib baik juga aku ikut dia ke konsert, bolehlah aku tolak offer kawan aku yang lain nak ajak makan sushi. (tahun inilah paling banyak sekali aku makan sushi – aku ada tulis entry pasal makan sushi ni – tapi entry tu tersembunyi). Macam tahun lepas juga ada berlangsung Karnival AF di luar stadium, tapi tahun lepas lagi meriah (meriah dengan produk Mawi). Ternampak juga beberapa blogger popular kat sana.

Masa dalam stadium aku rasa nak muntah sangat-sangat. Tapi aku tahan jer. Nanti kecik hati pulak para finalist yang tengah menyanyi tu. Apahal ni sampai termuntah-muntah? Teruk sangat ke cara diorang menyanyi ni?! Hahahahha….. Alhamdulillah aku berjaya menahan rasa loya tu walaupun pening kepala tu masih ada juga sikit-sikit.

Hari Ahad esoknya barulah aku rasa sihat dan lebih segar. Eh, lupa pulak aku nak komen persembahan budak-budak tu. Kelima-lima mereka ada keistimewaan masing-masing dan potensi tersendiri (diplomatik sikit ayat …. hahahaha….). Oleh kerana itu adalah konsert final mereka, ke semua mereka sudah mampu menguasai pentas dan aku sendiri terhibur dengan nyanyian dan showmanship yang mereka tonjolkan. Jadi, aku bagi pendapat tentang mereka secara amnya sajalah.

Aku syorkan Haziq Rosebi supaya sambung belajar, ambil degree (tak kisahlah bidang apa pun) dan nyanyi-nyanyi ni buat sambilan jer. Muka dia yang macam ulat buku tu lebih sesuai berada di IPT. Velvet Lawrence boleh jadi the singing chef.... hahaha.... kita tak ada tukang masak perempuan yang terkenal kan, selain Florence Tan? Sekarang, kita bukan saja boleh ada chef wanita yang handal, malah boleh menyanyi pula. Suara sengau Lotter Edwin adalah anugerah yang unik. Dia kena cepat buat album yang sesuai konsep (lebihkan lagu-lagu ciptaan Nerves atau ala Sunday Morning Maroon 5) kalau tidak orang akan lupa.

Farhan Azizan memang menjadi pelapis untuk penyanyi seperti Datuk Yusni Hamid, Julie Sudiro atau Salamiah Hassan yang sesuai untuk majlis VIP atau dinner show. Oleh kerana aku pernah dengar Syafinaz nyanyi lagu Spain masa showcase Formula 1 di concourse KLCC awal tahun ni dulu, jadi bagi aku versi Spain Farhan adalah boleh tahan. Sebenarnya tak aci nak compare macam tu sebab Syafinaz dah pro, tapi ianya percubaan yang baik untuk membiasakan pendengar menghargai lagu-lagu jazzy begini.

Untuk Faizal Ramly, oleh kerana snippet lagu-lagu rakyat yang selalu dinyanyikannya tatkala di temuramah Aznil, eloklah dia buat satu album macam tu. Memang ada orang akan menghargai lagu warisan begini sekurang-kurangnya oleh rakyat Terengganu. Persembahannya pada konsert akhir tidak begitu memberangsangkan. Sepatutnya bagi dia satu lagu rancak untuk memberi lebih impak atau bagi lagu Sudirman yang kurang popular seperti Toyol ataupun Punch-Card itu. Sama ada Faizal berjaya jadi ikon yang baik atau menjadi ikon sama sekali, kita tunggu dan lihat saja.

Thursday, August 03, 2006

Wayang Padang

Kalau korang dah bosan tengok wayang secara indoor, apa kata kita menonton wayang secara outdoor pulak. Starlight Cinema datang lagi pada tahun ini dengan berbagai seleksi filem-filem yang kebanyakannya dah ditayangkan di pawagam cineplex. Tapi kalau ada filem-filem tu yang korang tak sempat kejar, boleh saksikannya di panggung wayang padang ni.

Tahun ini ia bertukar lokasi ke Sentul Park. Kalau tahun-tahun lepas ia bermain di Bukit Kiara yang aku tak sempat merasai semasa itu tetapi menurut kawan aku tempatnya terpencil sangat. Selasa lepas aku sempat menikmati pengalaman menonton wayang berbumbungkan langit dan berlantaikan bumi apabila ada kawan mempelawa. Kami menonton preview filem Click.

Ianya sejenis feel-good movie yang boleh aku rumuskan seperti tagline iklan satu kementerian di negara kita yang berbunyi “Family come first“ atau “Utamakan Keluarga“. Alat kawalan jauh yang magical menjadi simbol kepada matlamat itu dengan variasi situasi menggeletek perut terjadi. Tapi humornya banyak 18SX sama ada berkaitan suami-isteri, dialog-dialog double-meaning dan juga melibatkan anjing. Tak faham aku dengan anjing yang obses ingin bersama anak patung itik itu yang mula-mula saja macam lawak, lepas tu jadi melampau pulak.

Oleh kerana keadaan masih lembap dan sejuk lepas hujan, tanah-tanih di Sentul Park tu agak lecah. Tapi kelir atau pun skrin didirikan agak jauh dari kawasan becak lalu pilih tempat yang korang fikirkan selesa. Kena bawa tikar atau pun plastik sebagai pelapik punggung. Kalau tidak habis basah seluar kena rumput. Ada juga penonton yang baring macam tengok tv di rumah sendiri kayaknya. Boleh bawa jajan atau kudapan dari rumah – manalah tahu lapar pula masa tayangan. Tapi di situ juga tersedia kiosk menjual makanan/minuman.

Tapi satu hal yang menjadi sedikit kesulitan bila duduk kat kawasan lapang, berumput dan gelap begini ialah gigitan serangga. Aku tak tahu apa serangga yang gigit aku sampai tergaru-garu dibuatnya. Semut gatal kot? Nasib baik nyamuk tak ada. Untuk keselamatan, baik korang bawak torchlight untuk menyuluh area sekitar tempat korang landing tu manalah tahu kalau-kalau ada serangga merayap tiba-tiba nak join tengok wayang sekali.

Tuesday, August 01, 2006

Rumah Terlewat Waktu

Di dalam satu adegan, Sandra Bullock di restoran, menunggu kedatangan Keanu Reeves di meja yang telah di reserve sejak dua tahun yang lalu. Nampak macam mengada-ngada pula, terlalu advance buat booking tapi nama restoran itu ialah Il Mare, seperti juga judul asal filem remake ini yang di ambil daripada Korea. Versi Korea punya aku tak tengok tapi menurut kawan aku kalau nak senang faham, The Lake House adalah lebih mudah di mengerti.

Seronok menonton di panggung untuk cerita yang seindah ini. Aspek yang paling membuai syahdu dan meninggalkan kesan tatkala menengoknya ialah sorot pemandangan yang di rakam lensa kamera suasana di Chicago. Bagaikan lukisan, warna yang di bancuh pada senibina dan latar-belakang alam semulajadi bersatu membentuk perasaan yang kita sebagai penonton boleh menangkap impaknya. Kalau boleh kita hanya ingin melayan suasana itu tanpa mempedulikan pokok cerita.

Tapi, bagaimanakah pula ceritanya?

Rumah itu... eh, atau pun peti surat keluli di depan rumah tasik itulah menjadi penghubung kepada pertalian dua insan (dua pelakon utama di atas) yang terpisah oleh batas musim dan masa. Mereka berdua mempamerkan memek dan aksi yang wajar dan tidak berlebih-lebihan di dalam menghayati karektor yang mengalami situasi pelik ini. Walaupun memonopoli sebahagian besar screen time tapi watak mereka muncul berasingan kebanyakkannya namun kita masih dapat menghidu kimia yang terbit dari keserasian mereka berdua.

Mungkin agak kecewa kalau penamatnya bukan happily ever-after tetapi aku lebih suka sebenarnya jika ia berakhir sebagai tear-jearker. Bukannya mereka tiada hidup yang sempurna – keluarga, kerjaya dan rakan-rakan yang mengelilingi, cuma kurangnya tidak ketemu cinta sejati. Untuk sebuah jalan cerita yang kronologinya memeningkan kepala, kita terima kenyataan dan biarkan waktu menemui takdir mereka.