Monday, May 31, 2004

Cli-Maid

Setelah panas berpanjangan hari demi hari, alhamdulillah sejak dua tiga hari ni hujan mula turun dengan lebatnya. Yayy! Sebelum ni pun hujan turun juga tapi sekejap-sekejap, tak cukup lebat untuk menyejukkan bumi yang membara. Mungkin hujan ini turun sebagai mengabulkan doa sebahagian hamba-Nya yang merintih bumi ini terlalu kegersangan, takut pula nanti kering air di empangan. Sekarang masih dalam musim peralihan monsun yang lazim memang membuatkan cuaca menjadi panas terik luar biasa. Panas hangat membakar suasana persekitaran ibarat turut membakar perasaan di dalam. Benarlah menurut rencana Kesihatan dalam Mingguan Malaysia dua minggu lepas, impak cuaca yang panas dan kering turut mengubah manusia menjadi lebih pemarah, panas baran, mood yang tidak menentu dan memberontak.

Walaupun majikan Nirmala Bonat tidak perlu menunggu sehingga iklim menjadi betul-betul hangat membara sebelum dia boleh mendera orang gajinya itu, namun cuaca turut menyumbang kepada kitaran emosi manusia. Namun kita semua masih mempunyai akal yang waras dan boleh berfikir dengan wajar sebab dan akibat sebelum bertindak untuk melunaskan sesuatu. Tak acilah nak salahkan cuaca pula. Ibarat membina rumah di lereng gunung berapi, kalau tiba-tiba rumah terbakar di musnahkan lava yang mengalir, kepada siapa kita nak salahkan? “Mestilah dekat orang gaji – apasal dia tak tolak rumah tu ketepi sikit!” ? ini mesti orang gila yang jawab ni.

Perasaan manusia sangat kompleks. Tidak ada manusia yang benar-benar patuh pada garis panduan tidak bertulis tentang bagaimana seseorang manusia itu harus berperasaan. Ia hidup subur dalam naluri kita, sama-sama bernyawa dengan kita dan mati dengan kita. Tidak seorang pun tahu gejolak di dalam jiwa (melainkan yang Maha Esa), sekiranya kita sendiri tidak zahirkan atau meluahkannya. Jika seseorang itu ada latar belakang agama yang kuat, didikan sivik yang baik, suasana pembesaran yang harmoni mungkin mereka akan dewasa sebagai individu yang mempunyai seketul hati dan perasaan yang mulia. Kalau pun mereka telah ada itu semua, agama, sivik dan keharmonian untuk dia membesar sebagai manusia yang berhemah tinggi - tapi kalau cuaca yang asyik panas memanjang atau orang gaji yang asal basuh pinggan aje, mesti ada pinggan yang pecah – dia mungkin tidak akan menjadi orang yang normal juga.

Justeru siapa atau apa yang dapat menyejukkan hati dan perasaan yang amarah?

A = Jika cuaca yang menyebabkan anda rasa nak marah jer, maka bolehlah anda

1) Minum lebih banyak air – air sejuk atau air suam ke

2) Duduk bawah air-cond atau kalau tak mampu pasang air-cond, kipas angin pun boleh. Kalau nak rasa macam air-cond jugak, bukak pintu peti ais, duduk depan tu – hah, macam air-cond kan?

3) Pakai baju yang nipis – berpada-padalah nak berbaju nipis ni, kang lain pulak jadinya

4) Elakkan bersesakkan di tempat orang ramai, duduk diam-diam dalam rumah

5) Tanam lebih banyak pokok, kalau anda duduk kat rumah flat atau pangsapuri, tanam pokok dalam pasu – sebab tumbuh-tumbuhan boleh menyejukkan suasana. Lepas tanam tu, jagalah pokok tu elok-elok supaya ia hidup subur. Jangan malas pulak nak siram, bubuh baja ke.

B = Kalau orang gaji pulak yang menyebabkan anda naik darah

1) Jangan bagi tekanan atau paksaan pada orang gaji jika dia lembab buat kerja tambahan yang tak ada pengalaman . Mana dia biasa guna mesin basuh, rice cooker, microwave, dapur gas, vacuum cleaner dan lain-lain alat-alat elektrik tu semua masa di ceruk Indonesia dulu. Kalau ada masa, mula-mula anda sendiri boleh buat kerja-kerja tu dulu, biar dia tengok sambil mulut anda explain dekat dia betul-betul.

2) Kalau tak ada masa pulak, anda ajar dia secara praktikal, biar dia guna sendiri benda-benda tu sambil anda perhatikan dan explain. Terangkan banyak kali sampailah dia mahir. Kalau dah sepuluh kali ajar pun masih tak paham jugak, ajar lagi biar sampai dua puluh kali pulak ke, sesambil tu mulut anda banyakkan beristighfar.

3) Mungkin dia tak faham bahasa Malaysia yang anda gunakan agaknya? Mesti anda explain campur aduk dengan bahasa orang putih kan? Mana dia nak faham. Tolong panggil cleaner Indon kat office anda bawak ke rumah dan mintak cleaner tu yang ajarkan orang gaji anda tu. Kali ni dalam bahasa ibunda mereka pasti tidar sukar lagi untuk mereka saling berkomunikasi. Pasti lebih mudah kerjanya.

4) Kalau cleaner Indon tu tak dapat bekerjasama sebab dia busy on weekend nak pergi dangdut, maka kenalah anda bersabar dengan orang gaji yang bengap tu. Luahkan perasaan tension anda kepada ahli keluarga, officemate atau jiran tetangga kalau-kalau mereka ada solution untuk masalah ini. Jangan pendamkan saja rasa nak marah anda tu dalam hati, nanti sakit jiwa pulak. Kalau kita dapat meluahkannya pada seseorang, boleh membuatkan kita rasa lega sikit.

5) Susah-susah sangat, berhentikan jer lah orang gaji yang tak boleh diharap tu. Simpan lama-lama kang, ada pulak seterika naik atas badan, tak pepasal naik court. Selisih.

Sunday, May 30, 2004

Menghampiri Mereka yang Masyhur

Sebagai remaja, William Miller sebenarnya masih dalam kongkongan ibunya seorang pensyarah yang bimbang dengan kancah social anak muda ketika itu. Apatah lagi anak gadis sulungnya sendiri telah bertindak untuk keluar rumah, bekerja sebagai pramugari dan tinggal bersama teman lelaki. Si ibu mengharapkan William tidak akan menghampakannya. Tetapi anak lelakinya ini minat muzik rock dan berbakat menulis tentang dunia muzik dari segenap aspek. Suatu hari dia berpeluang mengikut kumpulan rock, Stillwater mengadakan tour bersama beberapa group lain dan dia turut sama merasa keindahan dan kepalsuan dunia selebriti.

Aku bercakap tentang filem Almost Famous yang diarahkan oleh Cameron Crowe keluaran tahun 2000 yang memenangi Oscar tulisan lakon layar terbaik. Mungkin ramai yang telah menonton filem ini, aku saja yang lambat. Tetapi jika kita memandang pada agenda hiburan tv sekarang yang berlumba-lumba menyogok penonton dengan ajnas pertandingan nyanyian seperti Akademi Fantasia, Audition, Who Will Win, Malaysian Idol membuatkan kita rasa cemas berhadapan dengan fenomena ini. Adakah semua orang kini hanya mempunyai satu cita-cita – menjadi penghibur? Adakah sekarang semua orang hanya ada satu bakat saja – memegang mikrofon di atas pentas lalu mengalunkan lagu? Benarkah mereka betul-betul berbakat atau hanya ingin mengecap glamor? Apakah tujuan mereka menjadi popular? Seronokkah apabila di kenali ramai? Menjadi popular tidak semudah mendaftar memasuki pertandingan tadi. Ada harga yang perlu mereka bayar bila sudah menjadi terkenal nanti.

Penny Lane adalah nama watak yang di pegang oleh Kate Hudson dalam Almost Famous. Dia bukan penyanyi atau pemain drum atau ahli krew mana-mana kumpulan yang bergerak dalam tour berkenaan. Tapi dia sangat relevan kepada mereka dan kehadirannya bukanlah tanpa tujuan tertentu. Dia adalah “band-aids”. Boleh dibayangkan bahawa Penny juga ingin menikmati kemasyhuran, menjadi sebutan ramai atau merasa dirinya popular. Kerana dia tahu dia bukannya pemain muzik, pengurus, pencipta lagu atau siapa-siapa dalam arena muzik rock maka dia menawarkan benda lain sebagai tarikan. Ia seperti pepatah yang biasa kita dengar – Jika kamu tidak boleh menjadi seperti mereka, sertai mereka!

Selain Penny ada beberapa gadis lain yang sealiran dengannya bergelar band-aids. Band-aids ini boleh dikatakan peminat fanatik sesebuah kumpulan muzik yang mengekor ke mana saja mereka membuat tour atau persembahan. Kumpulan terbabit tentu saja tidak menolak apabila dikelilingi gadis-gadis cantik tadi. Walaupun Penny mengikut rombongan Stillwater sebagai peminat setia, dia nampaknya menaruh hati pada Russell Hammond, peminat gitar kumpulan tersebut. Di akhir kredit filem di beritahu bahawa watak Penny Lane cuma rekaan semata-mata tetapi ia secara kasarnya berpandukan pada seseorang yang pernah wujud.

Memang watak seperti Penny Lane ini wujud malah dalam dunia hiburan tanahair juga ada peminat seperti ini. Baru tengahari tadi dalam rancangan Melodi, pemenang peraduan sms video muzik Vince bernama Christine dikhabarkan sanggup menghantar beratus-ratus sms kerana terlalu minat. Di samping itu di mana saja persembahan Vince diadakan Christine memang tidak melepaskan peluang untuk menontonnya. Manakala Vince sendiri adalah produk dari pertandingan nyanyian yang menjadikan dia terkenal seperti sekarang. Malah Christine tidak sia-sia bergelar peminat sejati bila dia turut di undang ke studio untuk di temuramah dan sebagai hadiah kemenangan dia turut berpeluang berlakon dalam video klip terbaru penyanyi pujaannya nanti. Wow, sudah tentu kemasyhuran buatnya hampir saja menjadi kenyataan! Tapi dia minat Vince sekadar sebagai artis saja, bukan sampai nak buat boyfriend apabila di tanya Aznil sama ada dia ingin bercinta dengan penyanyi itu.

Seperti yang telah di sebut, harga menjadi popular bukannya murah. Dalam program Melodi itu juga memaparkan interviu dengan Fasha Sandha yang di tahan baru-baru ini untuk membantu dalam satu kes dadah. Walau hanya secalit berita negatif itu tersiar, ia bukan mudah buat pelakon baru ini membersihkannya kembali. Orang akan terus bercakap dan mengingatinya buat satu jangka masa. William Miller sebagai penulis tahu luar dan dalam, buruk dan baiknya anggota Stillwater ketika siang malam bersekongkol dengan mereka. Dia betul-betul mendapat peluang ini tatkala pesawat yang mereka naiki pada suatu hari di landa ribut elektrik dan setiap ahli kumpulan merasa cuak dan gementar. Masing-masing merasakan yang bila-bila masa saja kapal terbang boleh terhempas dan itulah saja saat yang tinggal untuk mereka bersama. Tiba-tiba setiap seorang dari anggota membuat pengakuan (yang buruk-buruk tentunya) tentang perbuatan mereka selama ini, perasaan sesama ahli krew, kejadian-kejadian rahsia yang mereka simpan malah salah-seorang ahli Stillwater rupa-rupanya gay.

Apabila usai saja sesi meluahkan perasaan itu cuaca kembali tenang dan mereka selamat mendarat. Russell memberi kebenaran kepada William untuk menulis ke semua apa yang di lihat dan di dengar sepanjang dia hidup bersama kumpulan tersebut. Dia rasa sangat teruja dan inilah masanya untuk dia mencipta nama sebagai penulis baru di majalah Rolling Stone dengan menulis cerita sensasi pula. Namun begitu pengurus Stillwater tidak bersetuju kisah peribadi kumpulan Stillwater didedahkan keterlaluan di dalam majalah. Ini akan mengurangkan aura misteri kumpulan terbabit di mata peminat. Peminat biasanya mudah muak dengan artis yang terlalu terbuka. Russell cepat-cepat menafikan berita yang di tulis William apabila pihak Rolling Stone menghubunginya untuk mendapatkan pengesahan sebelum cerita berkenaan di cetak. Dan ini benar-benar mengecewakan William. Ketika dia sedang di rundung duka itu, tiba-tiba kakaknya yang baru habis bertugas di awan biru telah bertembung dengannya di lapangan terbang. Lalu mereka balik semula ke rumah berjumpa dengan si ibu yang setia berkorban melepaskan anak-anak yang ghairah memburu impian masing-masing.

Sama ada cita-cita kita menjadi orang terkenal atau orang yang normal, ingatlah akan mereka yang berada di sekeliling kita lebih-lebih lagi keluarga kita sendiri. Apa saja yang kita buat turut memberi kesan kepada mereka kerana kita membawa nama baik keluarga walau di mana saja kita berada. Mereka yang memilih menceburi kerjaya glamor ini – sebagai artis atau seniman adalah kerana memang berbakat atau memenuhi impian sekian lama. Berbanding dengan kita yang memilih menjadi manusia biasa, mereka yang berkarier di bidang popular tidak saja memperkenalkan diri sendiri, sebaliknya kaum keluarga malah peminat mereka pun hampir saja turut merasa terbias kemasyhurannya.

Monday, May 24, 2004

Jom, Piza!

Baru-baru ni aku pergi ke Pizza Uno lagi. Tapi aku tak pilih ayam dah, aku makan piza pula. Memang sesuai makan piza di restoran yang di panggil Pizza. Aku pergi dengan seorang kawan yang belum pernah lagi masuk ke sini. Oleh sebab aku masih kenyang lagi kerana sebelum tu aku dah makan nasi jadi aku kongsi sekeping piza tu dengan dia. Kerak piza di sini sungguh nipis dan rangup, maklumlah didatangkan segar dari oven. Panas-panas lagi. Kalau kita order Domino Pizza tu keraknya nipis juga tapi dah keras sebab delivery boy tu kadang-kadang tersesat nak cari rumah si pelanggan. Manakala kerak dari Pizza Hut lagi tak boleh di harap. Tebal mengalahkan apam balik, kadang-kadang siap berisi sosej lagi kalau kita order yang jenis "stuffed crusted".

Piza makanan laut yang kami pesan tu ditaburi hirisan udang, sotong, kupang dan buah zaitun hitam. Aku pernah terbaca yang menurut jurumasak terkenal Chef Wan, piza ialah sejenis hidangan yang terhasil dari lebihan makan tengahari. Kalau anda ada saki-baki ayam, ikan, daging, sayur-sayuran yang tak habis maka anda boleh membuat piza dari lauk-pauk tersebut. Bayangkan asam pedas ikan kembung jadi bahan topping untuk piza? Macam manalah agaknya rasa kuih piza kita tu nanti? Tak tergamak nak makan. Aku rasa apa yang Encik Chef kita maksudkan tu ialah lauk pauk tengahari ala Barat atau mengikut citarasa masyarakat Itali. Piza kan berasal dari Itali.

Sebenarnya susur galur makanan ini bermula sejak dahulu kala dari era Babylon, Mesir dan lain-lain tamadun timur tengah yang menjadi budaya ruji mereka menikmati roti yang di canai leper dan di masak menggunakan ketuhar tanah liat. Roti yang serupa roti pita atau roti naan itu sangatlah masyhur di kawasan sebelah sana sehingga hari ini. Selanjutnya pula makanan tersebut telah tersebar ke wilayah Mediteranean dengan penduduk-penduduk di sana seperti Roman dan Greek menikmati roti tadi yang dihiasi di atasnya dengan minyak zaitun dan rempah asli.

Dpercayai, piza yang seperti kita kenal pada hari ni telah dicetuskan oleh golongan kelas bawahan dari daerah Naples di Itali. Pada lewat tahun 1800-an, seorang pembuat roti Itali bernama Raffaele Esposito telah dipercayai mencipta sejenis sajian sempena meraikan satu lawatan di-raja. Menurut ceritanya, pada masa itu Raja Itali, King Umberto dan permaisuri baginda Queen Margherita sedang menziarahi jajahan berkenaan. Sebagai tanda untuk memikat hati golongan bangsawan tersebut di samping menunjukkan rasa patriotiknya, Raffaele memilih untuk mencorakkan bahagian atas roti leper yang diadunnya dengan tomato, keju mozarela dan daun selasih. Ke semua bahan tadi yang memancarkan warna merah, putih dan hijau sekaligus menggambarkan bendera Itali sangat mempesonakan pasangan di-raja itu. Cerita tentang hidangan tadi telah tersebar ke khalayak ramai lalu mendapat sambutan yang hangat sehingga mereka yang lain turut meniru resepinya.

Wednesday, May 19, 2004

Banyak Soal

Berikut ialah soalan-soalan yang mungkin kita nak tanya tapi kita rasa tak tanya pun tak apa. Atau kita nak tanya tapi kita tak tahu nak bertanya kepada siapa dan akhirnya kita pun tak tanya-tanya. Tapi sekarang anda tak perlu tertanya-tanya lagi kerana seseorang telah sudi memberikan jawapannya kepada anda!

Informasi di terjemahkan secara bebas.


A - Kenapa kita tidak (ataupun jarang atau tak pernah) terjatuh dari katil semasa tidur kerana biasanya kita bukannya tidur statik tak bergerak-gerak sebaliknya badan kita kan aktif bergolek dan menggelisar semasa kita sedang melelapkan mata? Tapi kenapa kita tak jatuh?

Ini kerana walaupun tengah tidur otak kita sangat peka kepada persekitaran yang turut meliputi ruang lingkup tertentu. Ia akan sentiasa dapat mengingat betapa besar saiz sesebuah katil anda dan sejauh mana tubuh anda selamat untuk berpusing-pusing di sekitar permukaan katil tersebut. Apabila anda tiba-tiba saja berada terlalu hampir di birai, secara automatik ia akan mengisyaratkan supaya anda beralih ke tengah.

Tapi anda harus juga berhati-hati. Walaupun minda kita memang sentiasa berwaspada, adakalanya ia kesasar juga terutama apabila anda berada dalam keadaan mabuk atau anda tidur di peraduan yang tidak biasa. Kenyataan ini memang benar kerana penulis sendiri pun pernah tergolek jatuh dari katil masa mula-mula dapat katil baru dulu.


B - Wujudkah sikap perkauman di kalangan anjing?

Seperti manusia yang terbentuk dari pelbagai ras dan warna, dalam masyarakat anjing juga terdapat beberapa jenis baka yang membezakan mereka berdasarkan saiz, corak, warna kulit dan sifat. Kita pernah mendengar tentang dasar apartheid yang melebihkan kaum berkulit putih atau rejim zionis yang hanya mementingkan bangsa Yahudi, bagaimanakah pula dengan binatang bergelar anjing ini? Adakah mereka juga mengamalkan sikap perkauman atau per"baka"an atau kasta yang mempunyai piawai tertentu atau darjat dalam kehidupan sesama anjing?

Walaupun kebarangkalian untuk kita melihat rusuhan perkauman meletus antara anjing baka St Bernard dengan German Shepherd misalnya hampir mustahil berlaku, namun alam anjing juga tidak terlepas dari perasaan prejudis antara mereka. Menurut pakar perilaku haiwan peliharaan British, Peter Neville, "Anjing biasanya bergantung pada 'body language' daripada mengutamakan baka sebelum memutuskan ingin berinteraksi dengan anjing lain. Tapi jika mereka kurang pendedahan atau dibiasakan bergaul dengan anjing dari gen yang berbeza atau dengan manusia, maka mereka boleh bertindak agresif dan menjadi merbahaya." Pengalaman buruk yang pernah dialami suatu ketika dulu terhadap anjing yang berlainan jenis ini juga boleh mengakibatkan mereka bermusuh pada masa hadapan.


C - Kenapa adakalanya kapal terbang meninggalkankan kesan jet streams di langit?

Pernah tak adakalanya apabila anda mendongak ke langit ternampak satu jaluran keputih-putihan yang panjang membelah angkasa? Hati anda berbelah bagi mengandaikan itu adalah awan yang membentuk formasi secara memanjang sedangkan anda tahu ia bukannya awan. Itulah yang di panggil jet streams.

Menurut Profesor John Cawford, seorang pakar fizik di Universiti McGill di Montreal, Kanada, kesan penyejatan ini terbentuk oleh hot exhaust gases daripada enjin yang berbaur dengan udara sejuk di belakang kapal terbang. Jika tahap kehangatan yang mengelilingi udara itu adalah rendah maka air yang meruap akan menyejat lalu membentuk awan putih. Paras kehangatan yang rendah juga mengakibatkan awan tadi akan lenyap dengan lebih segera. Di samping itu angin turut memberi kesan pada kemunculan dan jangka masa jaluran itu menjelma di langit.


D - Bolehkah kita berbohong semasa sedang menjalani hipnosis?

Pernahkah anda melihat seseorang yang sedang dihipnosiskan? Biasanya yang tertayang di filem-filem apabila seseorang individu itu ingin di pakau mereka akan merenung seutas rantai yang di hayun ke kiri dan ke kanan di depan mata. Maka biji mata mereka akan juling ke kiri dan ke kanan juga menuruti pergerakan rantai tadi sehinggalah mereka tidak sedarkan diri. Salah satu tujuan manusia di pukau kerana ingin mendapatkan pengakuan mereka atas satu-satu kejadian atau untuk membuktikan kes.

Hipnosis samalah keadaannya seperti anda sedang mabuk dalam kadar tidak melampau, menurut Dr Phillip Jones seorang ahli psikologi yang turut mengamalkan kaedah hipnosis sebagai salah satu elemen perubatannya. "Anda cenderung berlaku lebih jujur dan paras naluri anda akan menurun tapi anda masih berupaya mengawal apa yang anda ingin sebut dan buat pada tahap tertentu". Sekiranya anda di tanya soalan susah yang anda tidak rela menjawabnya, anda masih boleh menipu malah boleh tersentak dari dunia pukauan tadi dan kembali ke alam nyata.

Walaupun kita tidak berniat untuk mengelat di kala menjalani hipnosis, himpunan kisah-kisah silam yang bercampur-aduk antara benar dan palsu boleh menjadi sukar dipercayai sebagaimana juga dalam keadaan normal, tambah Dr Jones. Sebagai contoh, mahkamah di Britain memaklumkan bahawa kenyataan yang diperolehi menerusi kaedah hipnosis tidak diakui kesahihannya berbanding kaedah lisan yang lain.


E - Kenapa kebanyakan gedung membeli-belah suka meletak harga yang di akhiri dengan .99 misalnya RM1.99 daripada menggenapkan terus harga barang yang di jual menjadi RM2.00? Apakah rasionalnya?

Memang kita akan sakit jiwa tengok harga barang yang sembilan puluh sembilan sen tu apatah lagi bila juruwang tu pula tak bagi balance satu sen yang mencukupi. Tapi pandai pulak dia letak price tag ada .99 sen. Jangan marah dulu kerana gedung terbabit mungkin telah mendapat iktibar dari satu kajian yang tak tahu siapa buat, menunjukkan bahawa harga barang yang di akhiri dengan .99 sen menghasilkan pulangan jualan sebanyak 8 peratus lebih tinggi dari jualan yang berangka genap.

Ada beberapa teori berkenaan hal ini. Pertamanya ialah manusia memiliki keupayaan terhad mendapatkan maklumat dan apabila mereka dilambakkan dengan begitu banyak perbezaan harga, otak mereka hanya mampu menyerap satu digit atau sepasang digit pertama yang dipamerkan pada tanda harga tersebut. Jadi, nombor 1 tentulah lebih kecil nilainya dari nombor 2, betul tak? Walaupun perbezaan harga 1 dan 2 itu hanyalah 0.01 sen saja, otak kita tetap akan mengarahkan supaya kita membeli barang yang dimulaikan dengan digit 1 berkenaan.

Teori lain pula mengandaikan apabila sesuatu barang itu di tanda dengan harga yang lebih spesifik, bakal pengguna secara mentaliti mereka menganggap yang penjual telah berlaku jujur meletakkan harga yang lebih terperinci berbanding jika penjual bertindak menggenapnya terus. Duit satu sen yang berbaki juga menjadi salah satu faktor pendorong kepada pembeli untuk merasa seronok walaupun nilainya tidak sebanyak mana tapi psikologi menerima wang baki selepas sesuatu pembelian menerbitkan kepuasan bahawa mereka masih dapat berjimat.


F - Apakah yang mamalia laut minum?

Binatang seperti anjing laut, dugong, singa laut dan seumpamanya adalah dari golongan mamalia sama seperti gajah, harimau, kuda belang, tenuk, badak sumbu dan lain-lain. Mamalia sama ada yang hidup di darat atau di laut mempunyai sifat yang serupa - mereka kena minum air tawar untuk kelangsungan hidup. Okey, haiwan darat tentu tidak menjadi masalah mendapatkan bekalan air tawar tetapi bagaimana dengan kawan-kawan dari jenis mamalia laut itu? Tak kan mereka nak suling air laut pulak baru boleh minum.

Sebab itulah mereka kena membuat habitat berhampiran dengan pantai supaya ianya dekat dengan sumber air tawar yang mengalir dari kuala sungai atau terusan atau juga daripada salji. Mereka juga boleh mendapatkan air melalui bekalan makanan seperti ikan yang memecahkan lemak-lemak lalu bertindak menyalurkan pada tubuh mereka. Mamalia marin ini sebenarnya telah dikurniakan sepasang paru-paru yang berkuasa untuk menyingkirkan sejumlah besar garam laut yang kerap menyimbah masuk dalam anggota badan. Tidak hairanlah kalau air kencing mereka pula lebih masin dari manusia dengan nisbah lapan kali ganda.


G - Kenapa belang-belang pada "Barber Pole" berwarna merah, putih dan biru? Apakah maknanya?

Anda mungkin tidak peduli motif bagi warna-warna tersebut jika "Barber Pole" pun anda tak tahu apa ke bendanya. Dalam Bahasa Melayu tak tahulah apa istilah yang di pakai tapi barber pole ialah benda seakan balang yang di gantung melekat di luar kedai gunting rambut atau salun tradisional. Kaca silinder yang berbelang itu akan berpusing-pusing seolah-olah jalur-jalur warna yang di cat itu naik turun atas dan bawah. Jika anda merenung pusingan warna itu secara berterusan mungkin menyebabkan anda rasa berpinar dan nak muntah.

Sebenarnya pada masa dahulu kala, tukang gunting rambut di Eropah bukan sekadar bekerja menggunting rambut pelanggan semata-mata, sebaliknya mereka turut melakukan servis lain seperti pembedahan dan bloodletting (berbekam). Pekedai gunting merangkap jurubedah dalam abad ke 16 ini akan mewar-warkan perkhidmatan mereka menerusi cara mempamerkan kain pembalut (bandages) dan mangkuk derma darah dalam balang yang di gantung di luar kedai.

Kain pembalut yang telah diresap darah itu melambangkan warna merah manakala kain pembalut yang masih bersih mewakili warna putih dalam barber pole seperti yang terdapat hari ini. Di Amerika yang kebanyakan barber pole mereka terdapat warna biru terselit mungkin melambangkan simbol patriotik seperti pada bendera Stars and Stripes. Bagaimanapun, sesetengah pihak berpendapat bahawa biru boleh jadi bermaksud salur darah yang mengalir menerusi pembuluh.

Nota : Sekiranya anda pembaca mendapati jawapan-jawapan yang di beri di atas boleh dipertikaikan atau anda ada jawapan tambahan atau versi yang berlainan, sila isi komen dalam guestbook. Terima kasih.

Tuesday, May 18, 2004

Bread Pick

Sepatutnya entry ni terbit last week.

“Kenapa kau beli roti ni? Kau nak bagi makan ikan ke?“ Hampir terpacul soalan itu dari mulutku tatkala terpandang saja bungkusan roti yang di beli Ap.

Tetapi pertanyaan itu tak jadi keluar kerana Ap tiba-tiba masuk ke bilik air dan aku rasa roti itu untuk di makan sendiri bukan untuk ikan. Lagi pun rumah kami mana ada bela ikan.

Bungkusan roti yang tak menarik itu ku belek-belek mencari tarikh expired, 16 Mei – hari Ahad nanti. Nampaknya masih belum sampai tarikh luput. Tapi yang musykil tu kenapa warnanya semacam jer. Pucat saja, tak cukup pewarna ke? Kilang mana yang buat ni? Aku mencari-cari pula alamat pada plastik pembalut. Oh, kat Shah Alam kilangnya. Jenama roti ni memang tak terkenal langsung, maka sebab itulah mereka boleh menjual produk makanan dengan packaging yang tidak bermaya dan menjengkelkan mata memandang.

Bagaimanakah pula dengan rasanya? Aku tak tergerak nak rasa pun disebabkan oleh bentuk fizikal yang tidak mengundang selera. Sepatutnya roti sandwich plain yang di potong-potong itu kan resamnya berwarna putih bersih contohnya seperti jenama Gardenia atau High 5. (Roti sandwich whole grains - itu lain cerita). Ini yang housemate aku beli ni, entah apa resepi roti yang mereka guna sampaikan warnanya menjadi kelabu asap. Mungkin dah nak expired tak? Nampak macam dah nak berkulat. Tarikh 16 Mei itu sekadar ingin mengelabui mata pengguna saja.

Adakah roti itu kena pakai Fair 'n Lovely dulu sebelum ia boleh menepati justifikasi sebagai roti sandwich yang polos dan berkeping-keping? Adakah citarasaku hanya terbuka pada benda-benda yang putih gebu dan bersinar-sinar? Rasanya tidak. Setakat ini aku tidak ada prejudis pada apa-apa warna. Aku bukan apartheid. Ah, tak payahlah aku nak memberatkan kepala otak. Ap beli roti tu pun bukannya nak bagi aku makan. Mungkin jenama popular yang biasanya dia beli tu dah kehabisan stok. Jadi terpaksalah dia beli roti kaler pucat tadi.

Kalau bukan aku yang makan pun, Iwan tentu boleh habiskan roti ni. Sesama housemate ni tak kan kita nak berkira juga. Atau pun bagi jer dekat ikan-ikan di kolam yang berhampiran. Ikan-ikan tu tentu suka kalau mendapat makanan selain dari lumut atau sel-sel hidupan air yang lain. Bukan senang nak jumpa roti dalam kolam tu melainkan yang di campak orang. Lagi pun ikan tu tentu tak cerewet pasal roti tu warna apa, dah expired ke belum. Kalau manusia tu lainlah, kita kenalah pilih-pilih sikit - tengok mana yang boleh membangkitkan selera dan nampak selamat untuk di cuba.

Tiba-tiba Ap keluar dari bilik air semasa aku masih lagi ralit membelek-belek bungkusan roti yang dibelinya tadi. Dia nampak hairan dengan aku yang tak pasal-pasal menilik roti tu macam tak pernah tengok roti sebelum ni. Tapi dia tak kata apa-apa. Padahal dia tak tahu yang aku tengah cari idea untuk mengisi entry ni berdasarkan roti yang dibelinya tu.

Wednesday, May 12, 2004

Pulangkan

Pagi Isnin itu, hariku telah dimulai dengan mug pemberian Jee pada era 90-an dulu pecah berkeping-keping. Semata-mata kerana aku hendak menyelamatkan sepasang sandal getah yang kalau jatuh pun tak akan jadi apa-apa telah menyebabkan sebiji mug menjadi mangsa. Sepatutnya mug itu tidak akan pecah kalau jatuh ke lantai kerana pejabat ini lantainya dilapisi permaidani.

“Waduhh… gi mana buleh pecah? Kan lantainya bercarpet?” tegur tea lady apabila dia perasan yang aku tidak lagi menggunakan mug tersebut.

Malangnya mug itu tidak terjatuh atas carpet, tapi ia terjatuh atas pasu yang kebetulan aku letak atas carpet tu. Punyalah malas aku nak pergi salin air pasu tu lantas aku biarkan saja atas lantai, tersorok belakang almari kecil. Pasu itu pula berisi dedaun “Money Plant” yang telah kering layu tidak bermaya lantaran tuan punya pasu yang malas nak menjaganya.

“Daun money plant ni tak bagus untuk feng-shui,” kata Anjeli kepada tea-lady di keesokan harinya. Anjeli tidak tahu berkenaan pasu money plant aku yang telah pecah semalam.

“Apa pasal tarak bagus? Daun ni banyak baguslah,” balas tea lady

Anjeli tidak menjawab apa-apa sebaliknya dia memberikan daun miliknya itu kepada tea lady. Nampaknya tea-lady gembira menerima daun tersebut.

”Betul ke tak bagus?“ aku bertanya setelah tea lady berlalu.

“Betul. Memang feng-shui tak elok,” tegas Anjeli lagi.

Aku sedang memangku begitu banyak barang, fail yang berat, sebungkus sandal dan sebiji mug pada pagi itu. Dalam terkial-kial mengawal tangan supaya tiada barang yang tercicir, aku berupaya meletakkan sandal yang berbungkus itu elok-elok di atas lantai. Tetapi aku telah tercuai semasa ingin meletakkan fail tersebut kerana aku tidak perasan yang sebiji mug sedang ku genggam entah macam mana boleh terlorot lalu jatuh berderai. Wah, permulaan pagi Isnin yang sungguh superstitious!

Jatuh menjunam menimpa pasu yang berisi dedaun kering money plant yang kononnya mendatangkan tuah. Esoknya apabila Anjeli bercakap demikian aku rasa ingin bersetuju. Atau agaknya daun itu hanya mendatangkan tuah ketika sedang mekar kembang segar saja? Pagi Isnin di pejabat kulalui dengan lebih berhati-hati supaya tiada malapetaka atau konflik menimpa. Aku tidak banyak bergerak, kurang bercakap dan cuba tidak terlalu lincah pada hari itu. Walaupun aku sendiri sedar nasib malang boleh menimpa dari pelbagai cara dan masa, namun aku tidak boleh mengambil ringan tentang perkara ini. Sekejap-kejap aku menjenguk jam, bilalah pukul 5.30 hendak menjelma ni supaya aku boleh cepat-cepat balik rumah dan duduk diam-diam di rumah pula.

Apabila waktu yang di nanti akhirnya tiba aku bergegas keluar pejabat tetapi dengan penuh waspada – ingat, aku masih dalam bangunan pejabat lagi ni. Tiba-tiba aku ternampak dengan satu kecelakaan jalan raya! Alamak, macam mana ni? Cermin depan teksi itu pecah beserpih dengan bentuk membulat seakan jaring labah-labah. Orang ramai berkerumun tempat kejadian memerhati dengan prihatin. Penunggang motosikal itu sudah terbaring di kaki lima sambil mengaduh dengan sepasang tangannya memangku salah satu kaki yang kelihatan azab. Beberapa orang yang baik hati kelihatan mengalihkan barang-barang yang berselerak di jalan raya ketepi. Aku bayangkan yang teksi itu telah bertembung dengan motosikal lalu penunggangnya terlambung ke cermin depan teksi tersebut sehingga mengakibatkan apa yang aku lihat sekarang.

Kita tidak boleh membiarkan mangsa kemalangan itu terbiar begitu saja di tepi jalan, bukan? Si penunggang akhirnya telah di bawa ke hospital dan aku harapkan dia beransur pulih dan lain kali lebih berhati-hati semasa di jalan raya. Rasanya pemandu teksi itu tidak luka apa-apa kerana yang kelihatan terseksa hanya si penunggang itu sahaja. Anehnya aku pula yang terasa cemas selepas itu, jantungku terdengar berdegup kencang. Rasa tak dapat nak melangkah dengan betul. Penutup hari Isninku di tempat kerja yang bermula dengan kaca yang pecah di akhiri dengan kaca yang pecah berkecai juga.

Sepatutnya aku pulangkan mug itu kepada Jee kerana sebelum dia pindah ke tempat asalnya dia ada tinggalkan beberapa barangnya di rumah aku termasuklah mug yang pecah kelmarin. Dia minta aku menjaganya baik-baik kerana nanti dia nak datang ambil balik Aku pula telah membawanya ke pejabat dan buat macam harta sendiri. Sampai aku dah bertukar tempat kerja lain pun aku masih menggunakan mug yang itu juga macam tak boleh beli yang lain. Tapi aku dah cakap kat dia yang aku gunakan mug tu dan dia pun nak tak nak kenalah bagi. Mungkin dia bagi kerana terpaksa, tak? Sebab itulah ia akhirnya pecah jua – kerana ia tidak dapat dipulangkan ke tuan asalnya maka terpaksalah ia memecahkan dirinya sendiri agar tiada siapa yang boleh memiliki dirinya lagi.

Merepek pulak dengar telahan macam tu. Dah bertahun-tahun aku guna selama ni tidak berlaku petaka musibah apa-apa, tiba-tiba ia memang telah ditakdirkan untuk pecah hari tersebut. Maka tiada siapa yang berkuasa boleh menghalangnya. Daun money plant itu aku sekadar menjadikan ia hiasan sebenarnya kerana aku perlukan warna hijau semulajadi untuk segarkan mataku setelah penat mengadap komputer. Eloklah kita balik ke ajaran agama kita sendiri yang menolak semua unsur-unsur khurafat yang boleh menyusahkan hidup kita sehingga melupakan qada’ dan qadar. Rasulullah bersabda : " Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak ada penentuan nasib dengan burung (dan sebagainya, tiyarah), tidak ada burung hantu (pembawa sial), dan tidak ada bulan Safar (pembawa na’as)." (HR. Bukhari-Muslim).

Monday, May 10, 2004

Antara Jala

Hari ini, jurnal yang sedang anda baca ini akan mengajak anda supaya meringankan jari dan klik pada beberapa laman web yang telah dicadangkan. Bukan senang nak menulis dan dalam masa yang sama merujuk internet supaya ia linear dengan apa yang telah aku karang. Sebenarnya dah lama aku teringin nak buat entry macam ni tapi malas nak cari idea dan kena pula mencari laman “antara jala“ (inter-net, aku buat direct translation) yang boleh membuatkan maklumat itu saling berpaut. Hasilnya, boleh menambahkan pengetahuan anda juga.

Selamat Meluncur! (surfing, that is ...)


A>>> Pernahkah anda fikirkan betapa susahnya kita dengan hanya melalui medium suara/bunyi/nada/muzik untuk meyakinkan atau memujuk pengguna supaya membeli atau menggunakan khidmat sesuatu? Adalah lebih mudah untuk mengiklankan sesuatu produk menerusi gambar atau visual, tetapi bunyi? Oh… bunyi, tersangatlah payahnya untuk menjual sesuatu dengan hanya bunyi suara semata-mata yang keluar.

Aku baru saja mendengar promo yang menghebahkan tentang satu majlis anugerah untuk menghargai iklan-iklan radio yang kreatif. Ini memang satu langkah yang tepat dalam usaha kita untuk mendengar lebih banyak iklan radio yang bukan setakat dialog statik orang yang bercakap serta membebel tentang barangan atau servis yang di tawar. Jadi iklan mungkin tidak lagi menjadi alasan untuk kita mengelakkan stesyen radio tertentu. Daripada buat sakit hati kita yang mendengar lebih baik mereka berikhtiar menghasilkan sesuatu yang sepatutnya membuatkan kita lebih tertarik untuk mengikutinya – bukan menjauhinya.

Tapi aku rasa iklan radio yang mempromosikan majlis anugerah ini sendiri pun dah lebih dari kreatif …. Pop!pop!pop!

Maklumat lanjut untuk anda mengetahui lebih terperinci lagi berkenaan majlis di atas, sila buka laman web theairawards.com.my


B>>> Sekiranya mendengar iklan radio bukannya menjadi minat anda, bagaimana dengan menonton televisyen? Seramai 51.1 juta orang telah menonton episod terakhir siri kelakar Friends apabila ia menutup tirainya Khamis lepas di Amerika. Selama satu dekad enam karektor ini telah menggeletek kita semua dengan situasi lucu yang memang tidak secocok dengan norma-norma tempatan.

Anda bagaimana pun jangan bersedih dengan perpisahan mereka kerana “Joey” watak yang di bawa oleh Matt leBlanc telah mempunyai spin-off. Sitkom terbaru ini menggunakan judul “Joey” juga dan akan memulakan siarannya pada musim luruh nanti. Tidak hairanlah pihak penerbit memilihnya kerana beliau antara watak yang paling di minati mungkin kerana sikap goofy dan wajah tampannya. Pelakon-pelakon lain tak tahulah pula apa yang akan mereka buat selepas ini. Kalau anda masih tidak gembira dengan kemunculan Joey seorang maka berdoalah mereka berenam akan berganding dalam Friends The Movie pula suatu hari nanti. Sebagaimana khabar yang mengatakan siri paranormal The X-Files akan muncul sequel filemnya nanti setelah tahun lepas aku bukan main lagi mengucapkan goodbye pada rancangan tersebut.

Segalanya yang anda ingin tahu tentang Friends, klik pada laman web ini.


C>>> Kalau anda tidak berminat dengan acara sukan yang hanya melibatkan dua puluh dua orang lelaki berebutkan sebiji bola, anda boleh menunggu Sukan Olimpik di Athens nanti. Aku lebih suka menonton acara olimpik kerana ada variasi acara yang boleh kita pilih. Tapi yang peliknya acara bola sepak Olimpik pun aku tengok jugak (kalau dah tak ada apa sangat nak tengok) lebih-lebih lagi perlawanan akhir untuk menentukan pingat emas. Macam Sydney 2000 dulu pun aku tengok game antara Cameroon menentang Sepanyol yang berkesudahan negara di benua Afrika itu memenangi pingat emas pertama dalam sejarah Olimpik mereka.

Sepatutnya Athens di beri peluang menjadi tuan rumah ini pada tahun 1996 yang lalu ketika Atlanta pula mendapat hak penganjuran. Pada tahun yang dimaksudkan itu, sukan Olimpik moden pertama kali diadakan di Greece telah mencapai usia seratus tahun dan betapa signifikan jika Greece di beri penghormatan berkenaan. Tetapi ianya telah terlambat lapan tahun dan cuma bulan lapan nanti baru impian untuk menyaksikan acara sukan ini kembali ke tempat asalnya akan terlaksana. Itu pun telah berlaku begitu banyak kontroversi apabila Athens dilaporkan terlalu lewat menyiapkan kemudahan serta kelengkapan untuk kegunakan ketika temasya berlangsung kelak. Baru-baru ini pula berlaku kejadian pengeboman di sana serta keadaan di dunia yang masih di belenggu keganasan menyebabkan Greece sebagai tuan rumah akan menghadapi situasi yang lebih mencabar.

Untuk maklumat lanjut tentang Sukan Olimpik Athens 2004, bolehlah melayari laman web yang berkaitan.

Wednesday, May 05, 2004

Back to Work

Tiada ayat yang dapat di karang untuk menggambarkan betapa lesunya untuk kembali ke pejabat setelah lama banget menikmati cuti umum yang panjang. Tapi aku dapat mengarang benda lain...

1) Oleh kerana kita mulakan kerja minggu ini pada hari Rabu setelah bercuti 4 hari (atau 5 hari bergantung sama ada syarikat anda mengamalkan polisi menggantikan cuti umum yang jatuh pada hari Sabtu yang telah memang sedia cuti) maknanya tiada lagi istilah Monday Blues. Salah! Sebenarnya ia lebih teruk lagi pasal makin lama cuti semakin payah kita hendak memulakan hari baru kembali bertugas. Sebab itulah minggu ini ada kakitangan yang mengambil annual leave tiga hari supaya cuti berterusan seminggu.

2) Cuti panjang lebih afdhal dimanafaatkan jika anda balik kampung menjenguk muka datuk nenek dan saudara mara kerana mereka bukan hanya available pada waktu hari raya. Malah mungkin tidak sempat untuk bertemu muka pada musim raya akan datang (boleh jadi anda atau mereka) kerana ajal maut di tangan Tuhan. Jadi kesempatan yang jarang-jarang sekali cuti umum muncul secara serentak dan banyak begini memberi peluang tidak ternilai untuk merapatkan silaturrahim.

3) Jangan merasa kasihan kepada mereka yang bekerja di sektor yang memang tidak boleh menikmati cuti panjang 4 hari seperti kita. Ini kerana mereka memang berminat dengan kerjaya yang mempunyai waktu kerja dan cuti tidak seragam dan kita patut memberi galakkan supaya mereka bertambah makmur dalam karier yang di ceburi. Berterima kasihlah pada jururawat, pemandu bas, wartawan, pelayan restoran, pramugari, juruwang, juruhebah dan yang seangkatan dengannya kerana setia menabur bakti di saat anda dan sebahagian dari kita sedang seronok bergembira bercuti sakan.,

4) Tetapi ada syarikat yang waktu operasinya terbahagi antara 9 to 5 dan berganti-ganti. Aku pernah bekerja di premis yang terpaksa mengamalkan sistem begitu untuk melancarkan urusniaga. Memang dengki betul rasanya melihat mereka yang bekerja di jabatan pentadbiran dapat bercuti pada hujung minggu atau cuti umum sedangkan kita di bahagian operasi dengan separuh terpaksa kena datang bertugas. Oleh kerana tidak sanggup membiarkan naluri cemburu dan tidak puas hati terus merajai diri maka selepas sebulan aku terus berhenti. Mudah, bukan?

5) Atau pun mungkin anda tidak sempat hendak merasa blues apa-apa kerana anda akan bercuti semula pada hari Sabtu ini, kan? Kerja setakat tiga hari tentu tidak menjadi hal kerana penting juga anda habiskan sedikit demi sedikit beban tugas dalam jangka waktu tersebut. Berbanding dengan setimbun kerja yang perlu dilangsaikan minggu depan seandainya anda ada mengambil cuti tambahan, ia akan lebih merumitkan lagi.

Sama ada anda telah mula bekerja atau masih bercuti pada minggu ini - harap anda semua dapat berseronok dan ikhlas dalam apa jua yang anda lakukan.