Thursday, January 29, 2004

2 Cuti Raya

Cuti panjang Lunar New Year baru saja berlalu dan minggu depan cuti panjang lagi untuk menyambut Hari Raya Korban. Mereka yang kerja di Wilayah Persekutuan dapat ekstra satu hari lagi sebab bertindan cuti Hari Wilayah.

Bukan orang Malaysia saja yang suka bab-bab cuti ni, warga asing yang cari makan di negara ini pun turut sama ambil peluang untuk berjalan-jalan. Masa aku dan kawan-kawan keluar ke KL masa first day cuti Tahun Baru Cina baru-baru ni, ramainya pendatang asing duduk mengerumuni kawasan Puduraya, Kotaraya, Bus Stand Klang, Petaling Street dan di mana-mana saja ternampak kelibat mereka.

Dari mana entah datangnya, tiba-tiba saja ribuan warga asing ini macet memenuhi setiap inci bandaraya, bersidaian di tembok berbual-bual sesama sendiri. Seolah-olah mereka baru di hambat keluar dari persembunyian dan ini masanya untuk menjengah dunia. Tiba-tiba saja populasi Kuala Lumpur jadi berganda dengan kemunculan mereka walaupun kita anggap mereka cuma menggantikan warga kota sebenar yang kebanyakannya balik kampung ketika itu kerana cuti panjang.

Aku sedang menunggu di luar Puduraya tatkala rakan pergi membuat urusan dalam bangunan itu lalu aku memerhatikan gelagat pendatang asing ini yang tidak diketahui asal negara mereka. Dari Vietnam barangkali atau Nepal atau mana-mana kawasan lain yang kita sendiri tak begitu arif. Duduk berdekatan mereka kita boleh mendengar bunyi butir pertuturan yang janggal.

Mari kita lihat beberapa penemuan menarik yang aku dapat ketika meneliti pendatang asing ini

1) Mereka mempunyai penglihatan yang baik kerana hampir ke semua mereka tidak memakai cermin mata. Mungkin kerana tidak ada banyak faktor di negara asal untuk menyebabkan mereka jadi cepat rabun.

2) Sesetengah mereka sangat fashionable sehingga sanggup memakai pakaian serba kulit dari jaket ke kasut dan duduk lepak di stesyen bas. Tak panas ke pakai macam tu? Ada yang pakai serkup kepala yang konon mahu di lihat seperti rappers bergaya hip-hop tapi serkupnya kelihatan seperti anak tudung yang perempuan biasa pakai tu. Tersilap ambik, barangkali.

3) Mereka juga tak kisah nak ambil gambar di mana tempat sekalipun. Kalau dah sampai negara orang tu pilihlah lokasi yang cantik dan bersih sebagai kenangan. Ini bergambar kat Puduraya yang kelam dan sesak, langsung tak menarik tempat tu. Aku sendiri kalau tak kerana nak naik bas ekspres, jangan harap nak sana, apatah lagi nak bergambar.

4) Mereka sangat mesra antara sesama jantina sehingga tidak risau untuk berpegangan tangan sembari berjalan di khalayak ramai. Mungkin itu sudah culture atau resam yang tidak di pandang serong oleh sesiapa. Atau mereka bukan berpegangan sebagai tanda intim sebaliknya memimpin tangan si rakan menjadi pemandu arah kerana rakan itu sebenarnya rabun.

5) Perangai mereka sama saja dengan rakyat negara ini yang hanya tahu meninggalkan sampah apabila telah usai berkumpul. Bila aku kembali semula ke kawasan yang disebutkan tadi pada waktu malam, sampah sarap berselerak memenuhi setiap ruang terutama bahagian depan bangunan Cahaya Suria. Begitu juga masa aku berjalan depan KLCC semasa sambutan tahun baru yang lepas pun berceretek sampah di sekitar cuma tak sampai setinggi bangunan KLCC lagi sampah-sarap tu.

That’s it, folks. Cuti panjang minggu depan aku nak observe benda apa pulak ye? I wish you all Selamat Hari Raya Aidil Adha.

Sunday, January 25, 2004

Keaiban Kita

Dua minggu lepas aku ikut officemate aku ke sebuah butik sebab dia nak menyewa baju. Lagi pun dia nak pakai sekali jer baju tu nak attend majlis formal pejabat, elok sewa jer, kalau beli nanti membazir pulak. Sementara dia sibuk membelek-belek pakaian yang banyak tergantung di tepi dinding butik aku duduk di kerusi yang disediakan. Tuan punya butik (TPB) asyik melayan dia memilih sambil memberikan khidmat nasihat mana yang sesuai di pakai, mana yang tak lawa, berapa harganya dan macam-macamlah.

Bosan duduk saja-saja macam tu aku pun bacalah Harian Metro yang terdampar di atas meja. Tapi yang semalam punya – gasaklah, asalkan ada benda untuk dibaca. Aku tengah meneliti berita perbicaraan pembunuhan Canny Ong yang kebetulan pada muka surat itu ada sekali terselit gambar isteri si tertuduh.

“Dah ada isteri yang cantik macam ni pun masih nak rogol orang,” tiba-tiba ada suara menyampuk.

Aku terpinga-pinga kejap. Oh, TPB rupanya yang bersuara. Aku cuma tersenyum kepadanya. Dia turut sama membaca berita tersebut sementara menunggu officemate aku tengah fitting.

“Haa… tak cantik ke isteri macam tu? Pakai tudung lagi. Buat apa dia nak rogol orang?“ sambungnya lagi dengan nada kesal.

“Ya…ya…” aku membalas pendek. Kemudian dia berlalu setelah terdengar suara offiemate memanggil untuk tengokkan kebaya yang sedang di fitting itu.

Aku sepatutnya balas balik - ‘Kalau isteri TAK CANTIK pun TAK BOLEH rogol orang jugak. Atau pun aku boleh tambah ‘Kalau TAK ADA isteri (yang cantik atau tidak) pun TAK BOLEH rogol orang.

Aku sebenarnya sangat malu dengan TPB kerana dia orang CINA sehingga membuatkan lidahku kelu untuk menjawab apa-apa. Sedangkan yang dibicarakan itu ialah orang MELAYU yang dituduh merogol, membunuh dan membakar seorang wanita Cina.

Untuk pengetahuan anda TPB ialah seorang Cina yang telah pun memeluk ISLAM sedangkan yang dituduh merogol, membunuh dan membakar wanita Cina itu ialah ISLAM jugak - sejak lahir lagi malah setiap kali hadir ke mahkamah dia tidak lekang dengan kopiah di kepala.

Dan TPB mualaf Cina tadi ada mengambil seorang anak angkat perempuan MELAYU berusia lingkungan 4 tahun untuk di pelihara dan dilindungi selayaknya bagi seorang kanak-kanak dan bukannya untuk di rogol, di liwat, di bunuh atau di bakar atau apa-apa saja perbuatan keji yang lain.

Aku tidak tahu apa perasaan TPB apabila dia membaca pula berita tentang adik Nurul Huda seminggu selepas itu. Kita sebagai LELAKI ISLAM MELAYU , entahlah kenapa kita tidak mendidik keMALUan sendiri …..

Monday, January 19, 2004

Lari Dari Mulut Harimau, Masuk Ke Mulut Anjing

Aku pernah ternampak filem Lars von Trier bertajuk Dancer in the Dark yang berjaya memenangi Palm d’Or tetapi aku tak beli. Melalui filem itu juga penyanyi eksentrik Björk yang baru pertama kali berlakon, berjaya merangkul aktres terbaik di festival yang sama. Kemudian aku dah tak temui lagi filem ini di pasaran (gelap) tetapi aku jumpa Dogville dan terus beli.

Balik rumah aku pasang dvd itu dan tiba-tiba aku rasa seakan terpedaya pula.

Macam ni ke filemnya?

Boleh ke buat filem macam ni? Menarik ke untuk ditonton?

Kalau ada adegan 18SX nanti, macam mana? Habislah pelakon lain nampak! Call me pervert if you want, tapi itulah yang bermain dibenakku tatkala filem berkenaan tertayang di skrin. Aku tak tahu apakah yang orang gelar filem sebegini jadi aku akan menulis dari sorot penonton naif seperti aku.

Grace tidak semena-mena muncul di Dogville apabila dia ingin melarikan diri dari sekumpulan gangster. Penduduk pertama yang menemuinya ialah Tom yang kebetulan sedang berjalan iseng menghidu angin malam. Dia ternampak Grace mencuri tulang makanan anjing di luar sebuah rumah lalu merasa curiga. Tiba-tiba kedengaran bunyi kereta datang mendekati dan Grace menjadi kencar. Tom menyembunyikannya di sebuah lombong dan menyambut kereta tadi. Mereka sedang mencari Grace yang di dakwa sebagai merbahaya dan meminta kerjasama Tom dan orang kampung lain sembari menghulur kad untuk dihubungi jika terdapat apa-apa maklumat.

Perempuan itu meminta ihsan Tom agar dia tidak diserahkan kepada kumpulan terbabit kerana dia bukanlah seperti apa yang diperkatakan. Tom tidak dapat berjanji kerana sebagai jurucakap tidak rasmi Dogville dia harus bermesyuarat dengan penduduk dulu walau dihatinya sendiri terbit rasa simpati. Mula-mula orang-orang kampung agak was-was untuk menerima seorang fugitive di situ tetapi dengan jaminan dari Tom mereka bersetuju Grace di beri tempoh probation selama dua minggu.

Selama jangka masa tersebut Grace akan menawarkan khidmat membantu sebarang kerja-kerja penduduk sebagai cagaran di atas jasa baik mereka menyembunyikannya. Penduduk agak musykil kerja apa yang hendak di beri kepada Grace sebab semua boleh mereka uruskan sendiri. Tetapi mereka perlu juga menyerahkan tugas-tugas rencam kepadanya kerana risiko telah di ambil.

Apabila dua minggu berlalu, mereka telah bermesyuarat lagi dan penduduk semua impress dengan kerja-kerja serta tingkah-laku Grace lalu dia dibenarkan menetap di situ. Malah dia di bayar gaji pula. Grace terpikat dengan kedai perhiasan kaca di kampung tersebut yang menjual beberapa figurine kecil dan dia berimpi untuk memiliki ke semuanya dengan duit itu nanti. Manakala Tom pula lama-kelamaan makin terpikat kepadanya.

Musim bertukar musim dengan Grace masih tekun menjalankan rutin hariannya di tambah situasi kampung yang ceria dan tenteram walaupun filem ini berlatarkan ketika Amerika di landa era meleset. Apabila seorang polis datang ke situ untuk menampal poster berkenaan Grace berserta imbuhan yang bakal di beri telah mencetus tidak keruan kepada penduduk. Mereka bermesyuarat lagi sekali dan kali ini orang kampung bertindak mengeksploitasi Grace dengan lebih keras melalui waktu kerja lebih berganda serta upah dikurangkan. Mereka beralasan yang kehidupan di kampung semakin terancam dengan menjadikan poster itu sebagai medium untuk mengugut Grace.

Dari sini, filem Dogville telah mula mencapai landas yang membuatkan aku terpaku untuk terus menonton. Peringkat awal filem yang bosan dan mendatar dan rupa-rupanya ada beberapa adegan awal yang akan berkaitan dengan adegan di belakang. Aku tidak sanggup untuk meleraikan plot filem ini kepada anda semua kerana manalah tahu ada yang berminat untuk menonton, nanti anda dapat merasai suspen yang sama. Tengok sampai habis kerana ending filem ini sungguh di luar dugaan. Aku jangkakan yang Grace berjaya melarikan diri dari situ dan hidup bahagia dengan Tom tetapi err.... tengoklah sendiri.

Dogville dilakonkan oleh Nicole Kidman, Paul Bettany, Cloë Sevigny, Ben Gazzara, Lauren Bacall dan Stellan Skarsgård.

Wednesday, January 14, 2004

Ironically, Its A New Year

Sebenarnya setiap hari aku asyik berfikir untuk mengisi entry dalam blog ini. Fikir jer banyak, isinya tidak. Kalaulah anda semua dapat meneroka apa yang berkelintar dalam kepala otak ini, maka anda boleh terus saja membaca dari situ. Tak perlulah aku nak kelut-melut lagi mengisi segenap segi petak blog yang kaku menulis patah demi patah. Payahnya ingin menzahirkan apa yang tersembunyi sementelah malas itu turut bersekongkol menjadi beban yang di galas. Sepanjang jurnal ini di tinggalkan, malas terasa begitu mengheret. Ada banyak cerita telah terilham tetapi tinta ini bagai kemarau. Permulaan tahun baru yang tidak begitu bernafsu, nampaknya. Baiklah – aku kena cerita juga apa yang berlaku setelah aku balik dari Johor semata-mata kerana aku ingin gunakan perkataan “Ironik”.

Apa yang ironik?

Telah dua tahun aku tidak menyambut tahun baru mengikut resmi warga kota. Tahun 2002 aku berada di Melaka. Orang Melaka pun sambut tahun baru cuma aku dan rakan-rakan saja yang memerap di rumah, tengok tv. Tahun sebelumnya pula aku memang berada di KL tetapi kami hanya keluar makan-makan di sebuah gerai di Ampang Hilir dan dari situ pun boleh nampak bunga api memancut-mancut di KLCC. Tidak perlu bersesak ke sana untuk sengaja melemaskan diri bernafas dari sela-sela tubuh tengik manusia. Tetapi tahun ini aku kena pergi KLCC walaupun aku tidak berada betul-betul di bawah dua menara tersebut tetapi aku masih berdekatan dengannya. Aku dan Ap berada di MTC kerana sedang dalam perjalanan ke sana, Ap tiba-tiba ingin membeli lighter dan ada satu kedai runcit di MTC yang aku jangka masih di buka pada waktu itu. Kedai itu sudah pun di tutup dan untuk merokok dia terpaksa meminjam lighter dari mana-mana sumber yang boleh di percayai. Kami terlalu penat untuk meneruskan perjalanan walau sebenarnya kami telah berjanji untuk bertemu Iwan di KLCC.

Kami memutuskan untuk duduk saja-saja bersantai di ruang louge dalam MTC. Di luar ada bunyi riuh-riuh seakan majlis sedang berlangsung sesekali menggamit perasaan ingin tahu. Tiba-tiba terdengar letupan bunga api, membingit serta mengundang perasaan untuk meninjau. Bila menjenguk keluar, di ruang angkasa KLCC tidak terdapat pula apa-apa tanda bahawa bunga api sedang memercik. Tapi bunyi berkenaan masih kedengaran. Rupa-rupanya bunga api dari kawasan Bukit Bintang (atau Dataran Merdeka?) yang meletus dulu. Mungkin kawasan itu terletak dalam zon waktu berbeza. Kami menghampiri kawasan majlis tadi yang terletak di ruang lapang luar Saloma Bistro. Rupa-rupanya sedang berlangsung majlis makan malam yang dianjurkan oleh Persatuan Orang-orang Pekak. Adakah aku akan menyambut tahun baru 2004 bersama golongan ini? Nampaknya begitulah. Bagaimanakah mereka akan menyambut tahun baru? Bagaimanakah ekspresi mereka ketika melihat bunga api yang senyap-sunyi itu? Adakah mereka juga memang ternanti-nantikan percikan bunga api? Apakah rasanya melihat bunga api tanpa bunyi? Itulah yang akan aku find out dan aku rasa intrig.

Beberapa detik kemudian barulah bunga api KLCC mengambil giliran untuk mewarnai langit malam bandaraya. Ada yang bersorak, meniup apa entah nama benda kertas bergulung panjang yang pandai mengeluarkan bunyi tu, melompat-lompat dan bertepuk tangan. Ada ajnas bentuk formasi bunga api yang terpancut yang semuanya menarik hati. Suasana bising dengan bunyi yang terhasil dan gelap bukan lagi sinonim bagi malam. Masing-masing kelihatan gembira dan puas hati kerana satu lagi tahun telah berjaya di ganti. Aku pun mengambil peluang untuk melihat wajah-wajah golongan tidak boleh mendengar yang air muka mereka semuanya ceria. Mereka tetap ekspresikan semangat keriangan yang sama seperti insan-insan normal lain. Tetapi walaupun begitu mereka masih dapat mengeluarkan bunyi-bunyi terhad dari mulut mereka yang walaupun ianya bukan satu istilah tetapi benda itu masih berbunyi. Tak tahulah kalau-kalau sesetengah dari mereka ada yang tidak dapat mendengar tapi masih boleh bercakap seperti Christy peserta Survivor Amazon dulu.

Acara tahun baru yang sepatutnya hingar-bingar dan dipenuhi aneka bunyi tetapi aku dikelilingi oleh mereka yang tidak dapat mendengar. Tidakkah aku rasa ironik? Mood aku sedikit merosot untuk benar-benar bersuka-ria menyambut tahun baru dan aku memperuntukkan sedikit ruang untuk mengenangi nasib mereka dan mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah selama ini. Walaupun tidak dapat mendengar, hey, sekurang-kurangnya mereka juga tahu berseronok. Way to go, guys!

Monday, January 05, 2004

Akhir Disember

Minggu terakhir sebelum tahun baru sangat meletihkan. Ini semua gara-gara aku terpengaruh dengan Ap nak ikut dia balik Johor naik komuter dan bas sampailah ke negeri kuda kepang itu. Di tambah dengan aku yang demam dan sakit kepala secara mengejut menjadikan perjalanan itu tambah memeningkan.

Ahad - 28 Dec 2003

Senja di Bukit Jalil. Pertama kali masuk ke Stadium Putra untuk menyaksikan Juara Lagu. Aku dan Iwan mencari tempat duduk yang strategik supaya acara dapat disaksikan dengan jelas. Seperti biasa macam tengok HMI di Angkasapuri beberapa minggu nan lalu, mesti ada briefing dulu untuk audience sebelum siaran bermula. Siap suruh buat Mexican Wave lagi, apa, dia ingat ni macam tengok bola ke nak buat Mexican Wave? Tapi bila part “gelombang” tu sampai kat seat kami, aku pun turut berdiri sama sambil melonjakkan tangan. Sportinglah sikit.

Tempat duduk tu sebenarnya agak jauh dari pentas dan kalau dah jauh tu artis-artis yang buat persembahan semuanya kelihatan sebesar pensil sahaja. Nasib baik ada skrin gergasi di atas siling membantu menambahkan keseronokan menonton. Barulah nampak jelas penyanyi dan penari itu semua. Tetapi kalau dah kena tengok melalui skrin jugak, baik aku tengok tv kat rumah jer, lagi puas hati. Kelebihan tengok secara live hanyalah dapat saksikan acara stand-up comedy bersama Sallih Yacob mengisi slot commercial break. Penonton semua ketawa masa Sallih berlawak walaupun aku sendiri tak begitu jelas kedengaran apa benda yang kelakar sangat tu.

Selesai sahaja anugerah berlangsung, kami bergegas keluar kerana ingin mengejar lrt. Nasib baik sempat setelah berlari-lari anak menuju ke stesyen. Semasa train masih menunggu sekejap di situ, keadaan kecoh kerana ada seorang pemuda bergelut dengan seorang remaja yang didakwa telah mencopet telefon genggamnya. Dalam nada garang si pemuda menggertak dan berhempas pulas untuk mendapatkan balik telefon yang di curi tadi dan akhirnya berjaya juga memperolehinya semula. Entah macam mana sempat pula dia menanggalkan baju budak terbabit! Manakala budak tadi dapat melepaskan diri dan cepat-cepat keluar dari train. Aku ternampak kehadiran kakitangan lrt di situ setelah berlaku kekecohan tersebut. Penumpang-penumpang yang lain bersoksek-soksek sesama sendiri dan ada yang ketawa melihat budak itu berlari keluar secara topless. Aku pun meraba dompet dan telefon dalam poket seluar sendiri, manalah tahu kan.... Nasib baik ada.

Sejurus kemudian train mula berlepas dari stesyen Bukit Jalil. Sampai di rumah masih sempat mengikut Amazing Race 2, final episod. Pada waktu inilah aku mula rasa pening kepala. Tak tahulah sama ada aku berupaya untuk ikut Ap pergi ke Johor esok kalau pening ini masih berlarutan. Sebelum tidur telan panadol sebiji.

Isnin – 29 Dis 2003

Esok pagi, demam terasa surut dan kepala pula dah lega sikit. Kami menuju ke stesyen keretapi dalam pukul 10 setelah bersarapan di Dayabumi. Iwan tak dapat ikut pasal dia kena kerja. Komuter bergerak pukul 11 dan sampai di Seremban dalam pukul 12 lebih. Sepanjang perjalanan aku cuma duduk diam untuk merehatkan otak kerana aku terasa yang sakit kepalaku kembali menyerang. Sesekali aku melayan Ap yang asyik bersembang dan sesekali aku melihat pemandangan di luar. Masa tengah tak sihat begini nak berjalan-jalan pun rasa putus asa. Kami singgah masuk Seremban Parade yang lebih kurang macam The Summit. Berhajat nak makan tengahari tetapi tak jumpa lauk masak lemak cili api dalam food court lantas keluar saja. Elok kalau kami terus pergi cari tiket di Terminal 1 tapi tersesat pula jalan sampai depan Dataran Majlis Perbandaran.

Selepas tawaf kawasan Majlis Perbandaran tersebut barulah kami sampai di Terminal 1. Cepat-cepat ke food court sebab dah lapar sangat. Kali ni tak kisahlah lauk apa sekali pun, bedal jer lah. Syukurlah jumpa juga gerai yang jual lauk masak lemak cili api walaupun ayamnya tinggal dua ketul. Berselera juga makan walau tekak terasa pahit kerana demam mula beransur hinggap ke tubuh. Pening kepala juga semakin merebak. Sesudah makan, terus ke kaunter, beli tiket ke negeri berjiran. Tak jadi singgah di Melaka walaupun plan asal nak makan angin di Melaka dulu sebelum pulang ke Johor. Bimbang pula kalau-kalau termuntah dalam bas nanti bila dah pusing kat sana, pusing kat sini, baik terus saja balik ke destinasi.